Photobucket

Tuesday, December 17, 2013

UJIAN VS KESABARAN

Sering kali kita diuji dengan bermacam-macam ujian sehingga kita tidak mampu hendak menangis apatah lagi mengalirkan air mata. Kita sering bertanya mengapa, mengapa, mengapa dan mengapa kita saja sering gagal dalam segala-galanya. Mengapa kita saja sering dirundung malang. Mengapa orang lain senang-senang saja mengecapi kebahagiaan sedangkan kita dilingkari penderitaan? Mengapa itu, mengapa ini sering menghantui diri kita sehingga kita tidak menyedari itulah sebenarnya ujian yang Allah berikan kepada kita.

Ujian yang ditimpakan kepada kita datang dalam pelbagai bentuk. Kadang kala ujian gagal dalam peperiksaan, kadang kala ujian patah hati, kadang kala ujian dalam bentuk kemewahan dan kadang kala ujian dalam bidang kerjaya sehingga membuat kita rasa kita tidak berguna, kita rasa kita sangat-sangat bodoh dan kita rasa kita sangat-sangat berdosa. 

Pernahkah kita terfikir mengapa Allah berikan ujian itu kepada kita? Mengapa orang lain tiada masalah dan hanya kita sahaja yang ada masalah? Sebenarnya Allah berikan ujian kepada kita sebagai tanda betapa rindunya Allah melihat kita kembali ke jalan yang diredhaiNya. Kadang-kadang kita terlalu leka sehingga kita tidak sedar kita telah terbabas dari landasan keimanan. Lalu Allah timpakan ujian supaya kita nampak jalan yang lurus dan diredhaiNya. 

Bagaimana pula sebagai hambaNya kita perlu menghadapi ujian itu? Sabar separuh dari iman. Kita sering mendengar ungkapan ini tetapi kita tidak pernah mempraktikkannya. Mengapa? Kerana kita tidak sabar. Tahukah kita bahawa kesabaran adalah ubat paling mujarab apabila menghadapi segala bentuk musibah yang ditimpakan kepada kita. Hasil kesabaran, segala kepahitan yang kita lalui saat diuji akan membuahkan kemanisan. Seterusnya membuat kita bersyukur atas semua ujian dan dugaan yang Allah berikan kepada kita.

Maka telanlah segala kepahitan yang kita lalui dengan sabar kerana di akhir kehidupan ini kita akan merasakan kemanisannya. Tidak percaya? Belajarlah bersabar kerana Kesabaran adalah Ubat paling mujarab menepis semua dugaan dan ujian yang melanda hidup kita. Di sebalik kesabaran Allah berikan ganjaran yang tidak kita jangkakan. Mungkin rezeki, atau kenaikan pangkat dan sebagainya. Ingatlah, Allah tidak pernah menzalimi hambaNya sebaliknya sebagai hambaNya, kita selalu menzalimi diri kita. Ingatan ini untuk diri Cikgunie juga!

2 comments: