Sekadar Renungan,,,,
Hati
ialah lubuk perasaan. Segala-galanya bermula dari hati. Jika hati gembira, riak
wajah kita akan diselimuti dengan senyuman sepanjang masa. Jika hati dilukai,
riak wajah yang muram akan menghilangkan kecantikan diri. Namun jika hati
disakiti, wajah akan menampakkan reaksi yang pelbagai. Rasa sakit hati akan
dilampiaskan melalui emosi, fizikal dan rohani. Semua perbuatan menjadi serba
tidak kena sehinggalah muncul bisikan-bisikan untuk membalas dendam. Hal ini
demikian kerana dalam kehidupan kita di dunia yang fana ini saban waktu kita menerima
ujian dan dugaan daripada Yang Maha Esa. Ada masa kita dizalimi, disakiti,
difitnah, dan pelbagai bentuk ujian lagi. Hati kita disakiti oleh orang yang
kita percayai yang sanggup memalukan kita kerana wasangka yang keterlaluan
terhadap kita. Dugaan pula datangnya daripada orang yang tidak senang melihat
kebahagiaan, kelebihan dan kesenangan yang kita miliki. Mereka yang berhati
busuk, iri hati dan penuh hasad ini akan menabur fitnah, memalukan kita dengan
pelbagai cara dan membuat tuduhan-tuduhan yang tidak berasas.
Sebagai
manusia biasa, kadang kala kita akan mengambil jalan singkat untuk menangani
keadaan ini. Membalas dendam adalah pilihan utama. Hal ini berlaku kerana kita kurang nilai kesabaran lantas memikirkan usaha
untuk membalas dendam. Dalam melaksanakan misi membalas dendam, kita lupa dosa
dan pahala. Kita sanggup berbuat apa sahaja hatta menggadaikan maruah asalkan
dendam kita tertunai walaupun mengambil masa yang lama. Akhirnya, apa yang kita
dapat selepas kita membalas dendam terhadap orang yang menyebabkan kita
dimalukan dan dizalimi? Tidak lain dan tidak bukan hanyalah dosa. Dosa yang
terpalit tidak mungkin hilang dalam sekelip mata. Dari satu dosa akan timbul
lagi dosa yang lain akibat dendam. Perbuatan membalas dendam adalah dosa yang
boleh mengheret kita ke neraka. Sepatutnya apabila kita dilanda musibah seperti
dimalukan atau dizalimi kerana sifat kita yang terlalu naïf, kita kena
banyakkan bersabar dan bersyukur menerimanya sebagai ujian. Ingatlah, Allah
sentiasa bersama-sama dengan orang yang dizalimi.
Berdoa
dan menyerahkan segala ketentuan takdir kepada Allah SWT adalah sebaik-baik
perbuatan. Apabila kita dizalimi, disakiti, dimalukan dan sebagainya, kita
hendaklah perbanyakkan doa kepada Allah SWT agar memberi hidayah kepada orang
yang menzalimi kita. Doa-doa orang yang dizalimi akan cepat dimakbulkan Tuhan. Jika
hari ini kita dizalimi, hari esok Allah akan membalas perbuatan orang tersebut
dengan lebih dahsyat lagi. Tetapi semua itu boleh berlaku apabila kita memanjatkkan
rasa syukur atas ujian yang menimpa kita dan kita sentiasa berdoa agar Allah
memberikan balasan atau hidayah kepada orang tersebut. Kita perlu ingat, bukan tugas kita memberi hukuman
kepada orang yang menzalimi kita, sebaliknya ada yang lebih berkuasa daripada
kita, iaitu Allah SWT. Apabila kita mengambil wuduk, solat dan mengangkat
kedua-dua belah tangan kita ke atas seusai solat, berdoalah dan mintalah apa
sahaja yang kita ingini daripada Allah Yang Maha Esa kerana Dialah tempat kita
meminta.
Dendam
akan mewujudkan dosa. Dosa pula akan menjadi titik hitam di dalam hati. Untuk mengelakkan
kita diburu dosa-dosa kerana dendam, tingkatkan kesabaran dalam diri dan
berdoalah banyak-banyak agar Allah memberi taufik dan hidayah serta balasan
kepada orang yang menzalimi dan menganiaya kita. Ingat, janji Allah itu pasti! Cuma
cepat dan lambat sahaja Allah memakbulkannya.
No comments:
Post a Comment