Photobucket

Friday, December 27, 2013

PAGI JUMAAT YANG SYAHDU

Apabila Kebenaran Menjelma,,,,,

Syukur Alhamdulillah. Akhirnya kebenaran terserlah. Terbukti bahawa tohmahan dan tuduhan yang tidak berasas terhadap diriku hanyalah palsu belaka. Aku memanjatkan rasa kesyukuran kepadaMu Ya Allah. Panggilan Puan Jijah Mohamad Suhai di pagi Jumaat yang barakah ini telah merungkai segalanya. Tahun 2013 adalah tahun kesedihan dan tahun paling malang buat diriku. Akhirnya Allah makbulkan jua doa-doaku lewat solat-solatku selama ini. Membawa beban fitnah selama hampir setahun ibarat memikul gunung di kedua-dua belah pundakku. Logikkah aku yang tidak pernah percaya perkara khurafat atau bomoh-bomoh atau sebarang ilmu hitam dituduh mengamalkan ilmu hitam dan sihir? Hebat sangatkah ilmu yang aku miliki hingga mempunyai ilmu seumpama itu? Aku dituduh mengenakan sihir kepada ketua jabatan atau pengetua aku. Aku juga dituduh mengenakan ilmu hitam kepada paderi di tempat aku bertugas. Aku dituduh mengenakan ilmu hitam kepada mantan pengetua aku. Begitu juga dengan beberapa orang guru di tempat aku bertugas. 

Walaupun tiada bukti, tetapi berdasarkan penyakit misteri yamg mereka alami dan setelah mereka berubat dengan bomoh-bomoh, maka mereka mengatakan bahawa orang yang menyihir mereka ialah aku. Tidak semua orang percaya tetapi ramai yang percaya. Sindiran dan kata-kata sinis sering kedengaran di mana sahaja aku berada. Akhirnya aku memencilkan diri. Aku hanya menghadiri mesyuarat dan kursus yang betul-betul perlu sahaja. Aku kehilangan kawan baik kerana kawan-kawan dan orang-orang di sekeliling mula meragui aku. Aku tidak mahu mempertahankan diriku. Aku tahu berani kerana benar. Aku tahu Allah Maha Mengetahui. 

Akhirnya, setelah aku gagal mengawal keadaan dan aku terlalu kecewa dengan apa yang berlaku,  aku mengambil keputusan berpindah dari daerah ini. Aku sanggup berpisah beribu batu dengan insan-insan yang aku sayangi asalkan aku tidak mengalami tekanan yang berterusan. Bumi Tuhan ini luas. Aku percaya rezeki ada di mana-mana.

Andainya benar aku mempunyai dan mengamalkan ilmu hitam, aku boleh buat orang yang aku suka menyukai diriku. Aku boleh buat orang yang benci aku menyukai diriku. Aku juga boleh buat orang yang aku sayang menyayangi diriku. Tetapi aku tidak memiliki keistimewaan luar biasa itu. Malangnya tiada siapapun yang percaya kecuali jiran-jiran dan suamiku sahaja. 

Meniti hari-hari yang berlalu pada tahun 2013 ibarat menyeberangi lautan api. Aku tiada siapa-siapa pun untuk meluah perasaan. Hanya suami aku menjadi pendengar setia. Kawan baik aku juga memutuskan silaturahim dengan aku. Aku tiada siapa-siapa pun. Akhirnya suami aku menyarankan agar aku berpindah dari daerah ini. Permohonan aku mendapat perhatian pihak negeri kelahiranku. 

Namun takdir Tuhan tiada siapa tahu. Dalam suasana kekecewaan hendak membawa hati yang sangat kecewa, Puan Jijah kawan baik aku suatu ketika dahulu menghubungi aku. Walaupun dia antara insan yang tidak percaya aku mengamalkan ilmu sihir tetapi beliau juga terpengaruh dengan dakwaan aku mengenakan ilmu hitam kepada pengetua aku. Sungguh aku tidak tahu tujuan dia menghubungi aku di pagi yang mulia ini...27 Disember 2013...Namun aku terkedu saat dia berbicara....

“Nie, aku faham perasaanmu. Aku juga mengetahui bahawa dirimu menjadi mangsa keadaan. Aku minta maaf banyak-banyak. Aku tahu terlalu sukar bagimu melalui situasi sepanjang tahun ini. Tapi aku benar-benar salute dengan dirimu. Tanpa bantuan sesiapa, kau berusaha menyembunyikan segala kesakitan yang kau alami. Kau buat setakat yang kau mampu. Mentalmu begitu kuat. Aku tidak pernah jumpa orang sepertimu. Kalau aku, sudah lama aku gila dan masuk wad gila. Sekarang baru aku sedar bahawa menjaga hati dan perasaan kawan-kawan sangat penting dalam menjaga hubungan sesama manusia. Kalau kau tak kisah, kami menjemput kau untuk meraikan perpindahan kau ke semenanjung.  Aku nak ajak Adnan sekali. Kami tahu kau tidak bersalah.....”

Aku tersentap dengan ayat-ayat Puan Jijah di pagi yang hening ini.
Namun aku menolak dengan ikhlas.

“Puan. Jijah, cukuplah saya menjaga hubungan saya dengan suami saya, keluarga saya dan ipar duai saya. Saya dah lupa siapakah nama-nama yang Puan. Jijah sebutkan kerana saya rasa saya tak mempunyai kawan-kawan seperti itu. Saya memang tak baik. Mulut saya tiada insurans. Saya tegur apa yang saya rasa tak betul. Saya jenis out spoken. Sebab itu semua orang melabelkan saya ada ilmu hitam. Black magic. Biarlah saya dengan kehidupan saya. Saya ada atau tiada di sini tiada orang yang perasankan saya. Ya, saya mengaku, saya tiada siapa-siapa pun untuk mendengar luahan hati dan perasaan saya. Saya tiada siapa-siapa pun untuk membantu saya di kala saya kesusahan. Yang saya ada ialah Puan Hajah Siti Zahara. Dialah kakak saya, emak saya dan segala-galanya bagi saya....”

Puan Jijah tetap merayu,,,,

“Nie, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Aku sedar sekarang......”
Namun sebelum sempat Puan Jijah meneruskan ayat-ayatnya,,,,

“Puan Jijah, maafkan saya. Saya ada hal. Lain kali kalau ada masa saya call Puan Jijah. Assalamualaikum.”


Apa yang ingin aku sampaikan di sini, kadang kala kita kehilangan kawan-kawan kerana fitnah yang dilemparkan terhadap kita. Kadang kala kita kehilangan kawan kerana kita terlalu “out spoken” menegur tanpa berlapik. Kadang kala kita kehilangan kawan kerana kita meluahkan kebenaran. Sebenarnya walau apa pun alasannya, kawan sejati tetap akan menerima dan memaafkan kesilapan dan kesalahan kita kerana tiada manusia yang sempurna di dunia ini. Aku tetap mendoakan kesejahteraan kawan-kawanku walau apa pun yang telah mereka lakukan terhadapku. Aku juga pernah melakukan kesilapan. Laut mana yang tidak bergelora, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Semoga Puan Jijah yang rakan-rakan sejawatan aku di daerah ini sentiasa sihat sejahtera dan maju dalam bidang masing-masing. Aku pergi bukan kerana mengalah, tetapi aku pergi demi hidup yang lebih sempurna.

No comments:

Post a Comment