TERIMA KASIH TEMAN....
Dedikasi buat team Puan Hajah Siti Zahara Mohamad
Aku tidak pernah meminta emas permata
walaupun bibirku sering menyebutnya
Aku tidak pernah meminta budi segenggamku
dibalas emas sebungkal
Aku tidak pernah meminta jasaku
dibayar terlalu tinggi harganya
Aku cuma mahu bernaung di sudut hatimu
yang di muaranya mengalir ehsan kasihmu
buat peneman jiwaku yang mencengkam
saat nurani tidak tertahan menepis gelora rindu
Gemersik suaramu mengalun bicara bermadah
persis primadona sedang berkhutbah
Meminta aku bangkit melurus saf
Maju ke hadapan tanpa menoleh ke belakang
Sesungguhnya aku amat berterima kasih
Menerima pemberianmu kali ini....
Jam tangan pengganti diri
Lambang cepatnya masa berlalu pergi
Merampas apa yang ada
Melarikan apa yang tertinggal
Terima kasih sekali lagi
Cikgunie mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Puan Hajah Siti Zahara, Puan Siti Aminah, Puan Shamsiah, Puan Nah, Puan Norizan, Puan Zaleha, Puan Wan Shariha, Puan Jurizah, dan Encik Yahya kerana berkongsi sumbangan membelikan hadiah sebuah jam tangan. Emak Cikgunie selalu berpesan, jika hari ini kita buat baik dengan orang, esok lusa orang lain pula akan balas kebaikan kita. Jika hari ini kita menyakiti hati orang, esok lusa orang lain pula menyakiti hati kita. Itulah hukum karma. Buat baik dibalas baik tetapi buat jahat jangan sekali kerana orang akan sentiasa mengenang kejahatan yang kita buat sekali dan menghakis seribu kebaikan yang telah kita lakukan.
Terima kasih tidak terhingga wahai kawan-kawanku. Orang lain yang dah dapat surat posting pun tak dapat hadiah, tapi Cikgunie baru minta posting kawan-kawan sibuk cari hadiah. Tahun ni ada kelainan sebab tak dapat kain baju dan aksesori tudung serta pinggan mangkuk sebaliknya dapat jam tangan. Walaupun Cikgunie sudah ada beberapa jam tangan, tapi pemberian kawan-kawan yang ikhlas sangat-sangat Cikgunie hargai. Semoga team Puan Hajah Siti Zahara sentiasa dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik. Amin.
No comments:
Post a Comment