Photobucket

Sunday, November 2, 2014

(Ramalan) Tajuk Wajib Baca Karangan SPM 2014

Assalamualaikum WBT. Salam 1 Malaysia dan Salam Perpaduan. Terlebih dahulu Cikgunie ingin mengucapkan selamat mengulangkaji pelajaran terutama Kertas Bahasa Melayu akan akan bermula pada jam 8.10 pagi 3 November 2014, iaitu kira-kira 15 jam daripada sekarang. Berikut ialah contoh-contoh tajuk karangan berserta contoh jawapan untuk dibaca oleh para calon SPM 2014 sekalian.

Kebanyakan sekolah mengadakan Kedai Koperasi. Apakah faedah/Peranan yang boleh diperoleh daripada kedai koperasi itu?

           Koperasi merupakan salah satu jenis perniagaan. Koperasi juga merupakan sebuah syarikat usahasama yang terdiri daripada beberapa individu yang memegang saham di dalam syarikat tersebut. Koperasi sekolah ditubuhkan untuk memberikan kemudahan kepada murid-murid mempelajari selok-belok perniagaan. Sejak dua tiga dekad belakangan ini kita dapat menyaksikan peranan koperasi kepada warga sekolah. Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana menggalakkan penubuhan koperasi dalam kawasan sekolah. Koperasi Sekolah merupakan perniagaan yang dibangunkan oleh pihak sekolah yang terdiri daripada guru dan murid. Oleh itu, terdapat beberapa faedah yang mewarnai fokus perbincangan demi kebaikan bersama.

            Umum mengetahui bahawa koperasi memberi faedah kepada warga sekolah kerana koperasi membantu memudahkan murid memperoleh barangan keperluan sekolah. Malah, harga yang dikenakan lebih murah dan berpatutan daripada harga di pasaran. Secara logiknya, murid-murid hanya membuang masa sahaja jika mereka pergi ke pasar raya semata-mata  hendak membeli sebatang pen. Dengan penubuhan koperasi di sekolahi, secara tidak langsung pelajar tidak akan membuang masa dan tidak akan membazir wang dengan mengunjungi pasar raya atau kedai serbaneka semata-mata untuk membeli peralatan sekolah. Tidak tumbuh tidak melata, tidak sungguh orang tidak mengata. Justeru, penubuhan koperasi di sekolah-sekolah banyak membantu murid-murid dan guru-guru sekolah membeli peralatan menulis tanpa membuang masa dan tenaga.

            Selain itu, kita dapat menyaksikan betapa banyak kebaikan dapat diperoleh melalui penubuhan koperasi seperti pengalaman baru untuk murid dalam perniagaan. Secara tidak langsung, penglibatan murid dalam koperasi adalah merupakan proses pembelajaran di luar bilik darjah. Perkara yang dipelajari di dalam kelas seperti subjek prinsip akaun dan matematik dapat dipraktikkan ketika murid-murid mencari pengalaman berniaga daripada penglibatan mereka dalam koperasi.sebagai contoh, murid-murid dalam beklajar cara menguruskan Akaun Tunai, membuat Kunci Kira-kira dan Timbang Duga apabila menutup akaun bagi setiap tahun.  Pengalaman tersebut juga membantu memudahkan murid-murid yang ingin menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan dan menjadikan bidang tersebut  sebagai kerjaya pada masa hadapan bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh koperasi sekolah dapat membantu memberi pengalaman berniaga kepada murid-murid sekolah.

            Seterusnya, penubuhan koperasi juga memberi faedah untuk menjana pendapatan sekolah dengan membantu menambah sumber kewangan sekolah. Keuntungan diperoleh pihak koperasi berpunca daripada pembelian barangan koperasi oleh murid-murid, guru-guru dan warga sekolah. Oleh hal yang demikian, sebahagian keuntungan akan diberi kepada pihak sekolah supaya kewangan sekolah meningkat memandangkan koperasi merupakan kepunyaan sekolah. Di samping itu, kebanyakan koperasi juga dengan ikhlas memberi sumbangan untuk sekolah demi kemudahan murid-murid dan guru-guru. Misalnya, kemudahan bersolat di surau setiap sekolah dan menambah prasarana sesebuah sekolah merupakan sumbangan ikhlas daripada koperasi sekolah tersebut. Oleh itu, pendapatan dan keuntungan sesebuah koperasi dapat membantu meringankan beban sekolah dalam menyediakan kemudahan untuk guru dan para pelajarnya.

            Realitinya, tidak dapat dinafikan bahawa penubuhan koperasi membawa  semangat muhibah dalam kalangan guru dan murid. Buktinya, penglibatan murid-murid memudahkan guru-guru untuk menguruskan koperasi. Jika tiada kesepakatan, pengurusan koperasi tidak akan berjalan dengan lancar. Di samping itu, murid-murid juga dapat menimba ilmu daripada guru. Sebagai contoh, ilmu mengenai selok-belok perniagaan berkoperasi. Hubungan silaturahim antara guru dan murid juga akan terjalin dengan baiknya. Kerjasama mereka dalam pengurusan koperasi diibaratkan seperti aur dengan tebing. Justeru, pengurusan koperasi dapat mewujudkan jalinan dan jaringan antara pengurusan sekolah dengan pembekal barangan koperasi di sekolah.

                Intihanya, penubuhan koperasi oleh pihak sekolah yang telah lama berkembang di Malaysia seperti cendawan tumbuh selepas hujan memberi banyak faedah kepada warga sekolah termasuk guru dan murid. Dengan demikian, semua warga sekolah perlulah bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kebaikan yang diperoleh akan berterusan serta menambah baik tahap koperasi kepada yang lebih tinggi. Sekiranya semua pihak bekerjasama, nescaya impak positif penubuhan koperasi akan berkekalan dalam jangka masa yang lama. Jelaslah, peranan warga sekolah menaik taraf koperasi adalah sama penting dengan peranan koperasi terhadap warga sekolah.


No comments:

Post a Comment