Pejam celik pejam celik kita sedang menghampiri bulan Zulkaedah dan bulan Syawal akan berlalu meninggalkan kita. Selepas berlalunya bulan Zulkaedah, bulan Zulhijah pula akan memanggil semua Umat Islam untuk menunaikan ibadat haji seterusnya melaksanakan ibadah korban. Namun pengorbanan yang perlu kita lakukan ialah mengawal nafsu makan. Cikgunie nampak setiap hari sejak bermula 1 Syawal, aktiviti rakyat Malaysia ialah makan, makan dan makan. Jamuan hari raya di sini sana. Rumah terbuka pula seperti acara wajib. Jabatan, sekolah dan pelbagai agensi dan organisasi telah melengkapkan takwim Jamuan Hari Raya masing-masing. Unit Kecemasan di hospital pun bertambah jumlah pesakitnya. Iya, makanan dan kesihatan saling berkait. Makan berlebihan makanan berlemak akan meningkatkan kolestrol. Makan berlebihan makanan manis akan menyebabkan kencing manis. Persoalannya, salah siapa jika kita didatangi penyakit kronik seperti kolestrol yang akan menyebabkan serangan jantung, kecing manis dan darah tinggi. Betul, setiap penyakit ada ubatnya. Namun, mampukah kita menelan ubat-ubat sepanjang hidup? Awas, jangan jadikan kita hamba ubat sepanjang hayat.