Photobucket

Wednesday, April 4, 2012

LATIHAN RUMUSAN KARANGAN 2012


Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah hidup berjiran dan cara-cara memupuk semangat kejiranan. Panjang rumusan hendaklah  tidak melebihi 120 patah perkataan.

             Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemantapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri  masyarakat yang berkualiti.  Semangat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni.

             Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir  dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku pada diri kita terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak-saudara. Jiran yang berbeza latar belakang pekerjaan, pendidikan, agama dan budaya akan memberikan manfaat yang besar kepada kita. Hal ini kerana mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita kongsi bersama-sama. Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan setempat  daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan budaya samseng.

             Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama dan keprihatinan sesama jiran. Gejala sosial seperti khalwat, penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa ahli keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya dapat menjana program yang menyumbang kebajikan kepada masyarakat setempat. Rahsia kejayaan program ini terletak pada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran.

             Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya memupuk semangat tolenrasi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka. Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

            Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

                        (Dipetik dan diubahsuaikan daripada Kejiranan, Cara Kekalkan    
                                                  Hubungan Baik, oleh Ahmad Tarmizi Zakaria,
                                                                            Utusan Malaysia, Jun 2003)



TAJUK KARANGAN DALAM BUKU TEKS TINGKATAN 4

Unit 1 : SENARIO MASYARAKAT KITA
Masyarakat Malaysia Alaf Baru
Tradisi Kejiranan Dalam Masyarakat

Unit 2 : AMBANG REMAJA
Remaja dan Cabaran
Remaja dan Keluarga
Disiplin Remaja dan Kokurikulum

Unit 3 : DUNIA SEMAKIN CANGGIH
Kad Elektronik
Budaya Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi
E-mel dan anda

Unit 4 : KERANAMU Malaysia
Patriotisme
Malaysia Alaf Baru
Pengorbananku

Unit 5 : MELESTARIKAN ALAM SEKITAR
Pendidikan Alam Sekitar
Kualiti Udara
Pencemaran Sungai Kita

Unit 6 : RIADAH
Hobi, Sukan dan Rekreasi
Cabaran di Puncak Kinabalu
Hobi dan Cabarannya

Unit 7 : GENERASI KITA
Wawasan Generasi Kita
Patriotisme Generasi Muda
Generasi Pelapis

Unit 8 : GAYA HIDUP SIHAT
Amalan Gaya Hidup Sihat
Remaja dan Kesihatan
Obesiti dan Pencegahannya

Unit 9 : KERJAYA
Minggu Kerjaya
Cita-cita dan Kerjaya
Surat Permohonan
Unit 10 : WARISAN BANGSA
Pemeliharaan dan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah
Warisan Seni Bina MelayuTradisional
Pemuliharaan Warisan Sejarah

Unit 11 : INDUSTRI PELANCONGAN MALAYSIA
Kebudayaan dan Pelancongan
Malaysia dan Destinasi Pelancongan

Latihan Karangan Berdasarkan Topik dalam Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 4
 
1. Senario Masyarakat Kita (Buku Teks m.s. 1)

Soalan Contoh

Masyarakat berbilang kaum yang tinggal di negara kita hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

Berikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk mengekalkan keadaan tersebut.

2. Ambang Remaja (Buku Teks m.s. 23)

Soalan Contoh

Sebagai seorang remaja, anda juga merupakan seorang belia yang mempunyai peranan yang penting untuk membangunkan negara ini.

Ulas pernyataan di atas.

3. Dunia Semakin Canggih (Buku Teks m.s. 50)

Soalan Contoh

Penggunaan kad kredit dalam kalangan masyarakat pada masa ini semakin meluas kerana banyak memberikan kemudahan kepada penggunanya.

Huraikan implikasi penggunaan kad kredit kepada masyarakat.

4. Keranamu Malaysia (Buku Teks m.s. 75)

Soalan Contoh

Banyak kejayaan yang dicapai oleh rakyat Malaysia telah membuktikan bahawa negara kita juga setanding dengan negara maju yang lain.

Huraikan kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh rakyat Malaysia pada peringkat antarabangsa.

5. Melestarikan Alam Sekitar (Buku Teks m.s. 100)

Soalan Contoh

Pelbagai usaha telah diambil oleh pihak kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mengatasi masalah pencemaran alam namun masih kurang berkesan untuk mengatasinya.

Jelaskan pendapat anda tentang pernyataan tersebut.

6. Riadah (Buku Teks m.s. 127)

Soalan Contoh

Aktiviti memancing ikan semakin diminati oleh sesetengah anggota masyarakat pada masa ini.

Huraikan faedah-faedah yang diperoleh daripada aktiviti terebut.

7. Generasi Kita (Buku Teks m.s. 156)

Soalan Contoh

Remaja pada hari ini perlu diberikan pendidikan yang sempurna kerana mereka merupakan generasi yang akan memimpin negara pada masa depan.

Nyatakan peranan ibu bapa dalam merealisasikan hasrat kerajaan melahirkan pemimpin pada masa hadapan.

8. Gaya Hidup Sihat (Buku Teks m.s. 180)

Soalan Contoh

Sebagai seorang wartawan majalah terkemuka di negara ini, anda dikehendaki menulis rencana yang bertajuk “Budaya Makanan Segera dalam Kalangan Masyarakat ”.

Tulis rencana itu selengkapnya.
9. Kerjaya (Buku Teks m.s. 203)

Soalan Contoh

Anda berminat untuk menulis rencana tentang masalah mahasiswa yang menganggur dan hanya berminat untuk bekerja makan gaji selepas menamatkan pengajian.

Tulis rencana tersebut selengkapnya.

10. Warisan Bangsa (Buku Teks m.s. 223)

Soalan Contoh

Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi.

Jelaskan kelebihan-kelebihan bangunan bersejarah tersebut.

11. Industri Pelancongan Malaysia (Buku Teks m.s. 249)

Soalan Contoh

Industri pelancongan di negara kita merupakan antara penyumbang utama dalam bidang ekonomi dan hal ini penting untuk memajukan negara.

Huraikan sumbangan-sumbangan industri pelancongan terhadap kemajuan negara.

  

Monday, April 2, 2012


Syair Si Burung Nuri Dua

Datang menyembah Si Burung mengerna,
Ia bermadah sambil berbahana,
Mimpi tuanku sangatlah sempurna,
Mendapat mudah yang bijaksana.

Serta Nuri mendengar begitu,
Mukanya manis lakunya tentu,
Di dalam hatinya menjadi satu,
Di mana gerangan dalam halaman.


Lalu beradu Nuri bangsawan,
Ditunggui pulak dengan Si Bayan,
Tiadalah sedap makan dan minumnya,
Badan terhantar dalam halaman.

Kurus dan kering akan tubuhnya,
Daripada sangat menahankan rindunya,
Tiada sedar makan dan minumnya,
Mengenangkan cempaka dalam mimpinya.

Lalu bermadah Si Burung Nuri,
Pada kakanda Si Burung Murai,
Dendamku sangat tiada terperi,
Di mana gerangan hendakku cari.                               

Murai menyahut sambil bermadah,
Ayuh tuanku muda yang indah,
Jangan diturut hati yang gundah,
Jadi tersedarlah ayah dan bonda.

Bermadah pula kepada Punai,
Apalah sudahi dengan begini,
Hati dan jantung bagaikan fani,
Baiklah terbang dari sini.

Burung Punai menyahut seraya katanya,
Ayuh tuan emas juita,
Jikalah hendak bertanya warta,
Pergilah kepada Burung Dewata.

Terbanglah Nuri pergi ke barat,
Pergi mencari akan isyarat,
Minta doa biar selamat,
Aku berkabul kepada keramat.

ALHAMDULILLAH~~

Syukur, hampir 3 minggu Cikgunie tidak dapat masuk blog cikgunie.blogspot.com kerana tidak ingat kata laluan, maka pada hari ini 2 April 2012 Cikgunie berjaya mengingatinya seterusnya dalpat mengakses blog Cikgunie. Masalah utama Cikgunie ialah mengingati kata laluan. Hal ini demikian kerana di sekolah Cikgunie mempunyai lebih daripada 10 tugas yang memerlukan kata laluan untuk mengakses maklumat secara online. Antaranya ID dan kata laluan Infoblast, e-Hadir, e-Gtukar, e-Operasi, Emel, Facebook, Blog, HRMIS, SAPs, Skype, Eduweb, Iab.edu, dan lain-lain lagi. Oleh itu, untuk memudahkan pengurusan mengingati ID dan kata laluan bagi setiap perkara dia atas, Cikgunie menyediakan sebuah buku khas hanya untuk kata laluan sahaja.

Sunday, March 4, 2012

PENGALAMAN DI SHAH ALAM 03.03.2012

Seumur hidup Cikgunie belum lagi menjejakkan kaki ke Shah Alam. Al-kisah pada 03.03.2012 Cikgunie ada urusan peribadi di Shah Alam. Kawan Cikgunie yang baik hati telah menjemput Cikgunie dari KLIA untuk dibawa ke Shah Alam. Tapi yang kelakarnya, kawan Cikgunie tak pernah memandu selain dari kawasan Port Dickson. Maka dipendekkan cerita, Cikgunie yang akan memandu dari KLIA ke Shah Alam. Kawan Cikgunie pun tidak pernah menjejakkan kaki ke Shah Alam. Jadilah kami seperti rusa masuk kampung. Setelah melalui beberapa halangan sepanjang jalan, kami pun menemui susur keluar ke Shah Alam. Kami berhenti di sebuah stesen minyak yang berdekatan dengan Stadium Melawati. Seusai solat jamak, kawan Cikgunie pun datang dan membawa kami ke Masjid Negeri Shah Alam.(bersambung)....

Saturday, February 25, 2012

CERITA CERITI CERITU~~

Alkisah seorang penghulu sebuah daerah yang dinamakan Daerah Pembuangan telah melakukan sebuah pembunuhan. Oleh kerana pembunuhan itu dilakukan dengan teliti, maka terlepaslah penghulu itu daripada disula. Maka pada suatu hari yang ceria, langit membiru, awan gemawan memutih di atas kayangan, berjalanlah penghulu itu diiringi hulubalang-hulubalangnya yang badan mereka mengalahkan balang-balang kuih melintasi sebuah kampung. Maka terserempaklah mereka dengan balu kepada mangsa yang dibunuh oleh mereka. Kecantikan balu itu mengalahkan semua gadis-gadis dan anak-anak dara seluruh isi negeri itu. 

Maka terpesonalahlah penghulu yang tidak sedarkan diri bahawa rumah kata pergi dan kubur kata mari itu. Dia pun menghantar segala bantuan kepada balu itu sehingga balu itu teramat malu adanya kerana menerima sumbangan demi sumbangan yang tidak pernah diminta walaupun diperlukan oleh balu itu. Maka pada suatu hari, penghulu itu meminta balasan daripada balu itu. Terkejutlah balu itu kerana tidak pernah sama sekali dia menyangka demikian buruknya niat penghulu itu terhadapnya. Penghulu itu tidak puas hati lalu dia mencuba pelbagai helah untuk menundukkan balu itu. Balu yang menyedari muslihat penghulu itu memasang strategi lalu menyuruh penghulu itu datang ke rumahnya pada waktu malam. Tepat masa yang dijanjikan, balu itu memadam pelita di dalam rumahnya lalu membunuh penghulu itu. Arakian, mayat penghulu itu dicampakkan di dalam sungai di belakang rumahnya. Maka tamatlah riwayat penghulu itu. 

Keesokan harinya gemparlah seluruh Daerah Pembuang dengan kematian penghulu yang mereka sayangi dan kasihi itu. Usaha menjejaki pembunuh itu pun dilaksanakan serta merta. Ganjaran yang menanti mereka yang berjaya menangkap pembunuh itu ialah sekarung dinar emas. Maka, berbondong-bondonglah rakyat jelata mengesan dan menjejaki pembunuh itu termasuklah balu yang telah mebunuh penghulu itu. Hampir sepurnama, tampillah balu itu menghadap Raja. Katanya beliau telah berjaya menangkap pembunuh penghulu itu dan pembunuh itu berada dalam genggamannya. Raja terkejut yang amat sangat lalu menyuruh Balu itu membuka genggaman tangannya. Apabila Balu itu membuka genggaman tangannya, terpancarlah wajah seekor lipas. Lipas itu pun terbang lalu hinggap di atas tapak tangan Raja. Raja pun terkejut lalu berlari ke sana sini sehingga terjatuh dari singgahsana lalu mati. Demikianlah adanya….

Jenayah Siber~~~

Tahukah anda bahawa saban hari kita terdedah dengan pelbagai jenayah siber apabila kita melayari alam maya ini. Jenayah siber ini boleh mengancam kehidupan kita seterusnya mengganggu ketengan jiwa kita. Apa yang ingin Cikgunie paparkan di sini ialah jenayah siber yang menggunakan teknik superimpose untuk memfitnah dan memalukan pengguna Internet dalam kalangan kawan-kawan dan taulan mereka. Di sini cuba perhatikan apa yang telah dilakukan oleh salah seorang pengguna facebook untuk memalukan cikgunie dengan mengambil gambar dari facebook Cikgunie seterusnya mencantumkan wajah Cikgunie dengan gambar asal pelakon Taiwan Mike He. Apa yang berlaku kepada Cikgunie ini eloklah dijadikan pengajaran kepada pengguna Internet agar berhati-hati apabila memilih kawan kerana kawan baik kita hari ini berpotensi untuk menjadi musuh kita hari esok.