Photobucket

Tuesday, January 31, 2012

PERCINTAAN BERMULA SELEPAS PERPISAHAN~~

Sepurnama berlalu. Musim berganti. Tahun beredar. Masih seperti dulu. Tidak berubah. Nama yang sama. Orang yang sama. Senyuman yang sama. Seraut wajah yang sama. Masih seperti dulu. Namun perasaan saja yang berubah. Jika dulu benci, kini semakin merindu. Jika dulu marah, kini semakin sayang. Jika dulu kasih, kini semakin cinta. Perasaan berubah mengikut masa. Hati berubah mengikut musim. Kasih berbunga rindu. Harum di kamar hati. Cinta bersemi saat rindu berbunga. Namun perpisahan yang melanda memudarkan kuntuman rindu. Punah dimamah waktu. Tiada lagi cinta. Hanya sebuah perpisahan yang menjadi tanda tanya. Perpisahan membawa rindu mengembara. Berkelana mencari damai. Hampa saat bertemu rimba sengsara. Saat itu jiwa semakin celaru. Ketenangan hati berkocak. Bermunajat seketika. Bertasbih dan bertahmid tanda diri tiada upaya. Kelihatan sayup-sayup nurMu di hujung perjalanan. Langkah demi langkah diatur. Mengekori sejalur cahayaMu. Tanda kekerdilan seorang hamba. Di sana hamba belajar menilai diri. Kerdilnya diri ini. Tuhan, jauhnya jarak kita. Bersujud dan tafakur kepadaMu. Tanda bermulanya sebuah percintaan. Percintaan yang tiada noktah. Segalanya takdirMu Tuhan. Pasrah bahawa tiada cinta yang suci sesuci cinta terhadapMu Tuhan.

Saturday, January 28, 2012

JOM BUAT ULANGKAJI RUMUSAN KARANGAN...


CONTOH SOALAN
ARAHAN SOALAN : Baca petikan dengan teliti, kemudian buat rumusan tentang faktor-faktor penderaan pembantu rumah dan kesan penderaan terhadap mereka di negara kita.
                                                          
CONTOH PENDAHULUAN

1.      Menulis frasa pendahuluan

CONTOH
    :  Petikan membincangkan/ atau membicarakan/   atau menyatakan.

Sinonim   : Petikan membincangkan punca-punca/ sebab-  sebab penderaan   pembantu rumah di negara   kita pada masa kini (KATA KUNCI FOKUS UTAMA)

                      ATAU
Tema         :  Petikan membincangkan perkara-perkara yang mendorong majikan mendera  pembantu rumah mereka di negara   ini.



CONTOH SOALAN RUMUSAN

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara menguruskan tekanan dan kepentingan pengurusan tekanan kepada individu. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Tekanan didefinisikan sebagai satu tindak balas mental dan fizikal terhadap pengalaman pahit atau sukar yang dialami oleh seseorang. Tekanan yang berterusan akan memberikan kesan buruk terhadap mental, emosi dan jasmani. Oleh itu, tekanan perlu diurus dengan baik supaya tindakan-tindakan yang terhasil merupakan tindakan yang mencerminkan kebijaksanaan dan bukan tingkah laku melulu yang memalukan. Ekoran itu, setiap individu perlu mengetahui cara-cara menguruskan tekanan dengan baik supaya tekanan tidak menguasai diri mereka.

            Pepatah ada mengatakan bahawa mencegah lebih baik daripada mengubati. Kita perlu mengelakkan gejala ini sebelum terlambat dengan mengamalkan budaya hidup sihat, bukan sahaja dari segi pemakanan tetapi juga dari segi pergaulan. Beriadah merupakan salah satu amalan budaya hidup sihat. Aktiviti ini membolehkan seseorang itu mendapat tidur yang berkualiti dan menghindarkan kemurungan serta meningkatkan daya tahan. Kita juga perlu membuang segala perasaan buruk dan sentiasa berfikiran positif. Hal ini dapat dilakukan dengan memberikan kata-kata perangsang yang dapat meredakan perasaan negatif supaya kita berada dalam keadaan yang lebih terkawal dan seimbang. Walau bagaimanapun, jika kita gagal berbuat demikian, kita boleh memikirkan hikmah atau kebaikan di sebalik perkara-perkara buruk itu. Seseorang itu dapat menegaskan kepada dirinya bahawa seteruk mana sekalipun sesuatu perkara itu menyakitkan hatinya, bukan bererti dunia berakhir dalam hidupnya. Kita hendaklah memahami bahawa kitalah yang bertanggungjawab menentukan emosi kita. Oleh itu, kita hendaklah ingat bahawa perasaan marah tidak memberikan keuntungan, sebaliknya keadaan diri sendiri akan menjadi lebih buruk.

            Tekanan juga boleh diatasi dengan cara memikirkan perkara-perkara yang menggembirakan kehidupan kita. Contohnya, seseorang itu boleh mengimbau kejayaan-kejayaan yang telah dicapai selama ini kerana dengan berbuat demikian, dia berasa lebih yakin dan mampu menghadapi cabaran. Penglibatan diri dalam kegiatan kemasyarakatan dapat menghindarkan tekanan dalam diri kita. Pergaulan dalam masyarakat membolehkan kita tidak keseorangan dalam menghadapi masalah hidup. Oleh itu, luahkan masalah tersebut kepada orang yang boleh dipercayai secara terus-terang dan tidak menyimpannya dalam hati kerana masalah yang dipendam akan menjadi racun yang membunuh secara senyap.

            Berjenaka juga dapat mengurangkan kerunsingan kerana dengan ketawa seseorang dapat melupakan masalah yang dihadapinya. Di samping itu, kita perlu kembali kepada kepercayaan agama masing-masing supaya dapat menenangkan fikiran dan emosi. Kita perlu sedar bahawa masalah hati tidak dapat diatasi sekiranya kita lemah dalam penghayatan agama.

[Diubahsuaikan daripada Membina Motivasi Diri Tatkala Tertekan oleh Dr. HM Tuah Iskandar al Haj, Dewan Masyarakat, Mac 2002]

BAHASA MELAYU ATAU BAHASA MALAYSIA???

Lembaga Peperiksaan Malaysia menetapkan penggunaan nama Bahasa Melayu dalam kertas 1 dan kertas 2 SPM (1103/1 dan 1103/2)

Thursday, January 5, 2012

Salam Tahun Baru....2012

Selamat Menyambut Tahun Baru..
Alhamdulillah, Allah memanjangkan lagi setahun usia kita di muka bumi ini. Bersyukurlah dengan nikmat usia yang pinjamkan kepada kita. Sebagai hambaNya kita perlu menghargai setiap detik usia kita dengan melakukan sesuatu yang berfaedah dan memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Setiap tindakan kita juga perlulah memgambil kira kepentingan diri sendiri dan orang lain. Justeru, hargailah apa yang kita ada dan jagalah apa yang kita miliki agar usia yang dipinjamkan kepada kita ini tidak sia-sia. Pujangga menyatakan usia dan dunia ini adalah pinjaman daripada Khaliq kepada kita sebagai Khalifah di muka bumi ini. Oleh hal demikian, kita harus melunaskan perintah dan suruhanNya serta menjauhi laranganNya.untuk mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Sebagai seorang insan yang mendapat rahmat Ilahi kerana masih lagi bernafas pada awal tahun baru ini, sewajarnya kita mensyukuri nikmat pemberian Allah ini dengan meneruskan azam memperbaiki kelemahan kita pada tahun lepas.
Sebagai seorang pelajar, setiap tahun adalah tahun memperbaiki pencapaian dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan sahsiah diri. Ingatlah harapan setiap anggota keluarga kita, para guru kita dan sekolah kita. Setiap individu berperanan memberi bimbingan kepada para pelajar agar meningkatkan lagi prestasi akademik seiring sahsiah diri agar dapat menjana kecemerlangan dalam kehidupan mereka. Oleh itu, transformasi dalam pembelajaran dan pengajaran setiap guru sangat diperlukan untuk memberi didikan dan bimbingan kepada para pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam semua aspek kehidupan. Selamat meneruskan persekolahan dan selamat melayari blog Cikgunie.
Suasana Awal Persekolahan

SALAM TAHUN BARU...2012

Selamat Datang 2012...
Selamat Tinggal 2011...