Photobucket

Tuesday, January 31, 2012

PERCINTAAN BERMULA SELEPAS PERPISAHAN~~

Sepurnama berlalu. Musim berganti. Tahun beredar. Masih seperti dulu. Tidak berubah. Nama yang sama. Orang yang sama. Senyuman yang sama. Seraut wajah yang sama. Masih seperti dulu. Namun perasaan saja yang berubah. Jika dulu benci, kini semakin merindu. Jika dulu marah, kini semakin sayang. Jika dulu kasih, kini semakin cinta. Perasaan berubah mengikut masa. Hati berubah mengikut musim. Kasih berbunga rindu. Harum di kamar hati. Cinta bersemi saat rindu berbunga. Namun perpisahan yang melanda memudarkan kuntuman rindu. Punah dimamah waktu. Tiada lagi cinta. Hanya sebuah perpisahan yang menjadi tanda tanya. Perpisahan membawa rindu mengembara. Berkelana mencari damai. Hampa saat bertemu rimba sengsara. Saat itu jiwa semakin celaru. Ketenangan hati berkocak. Bermunajat seketika. Bertasbih dan bertahmid tanda diri tiada upaya. Kelihatan sayup-sayup nurMu di hujung perjalanan. Langkah demi langkah diatur. Mengekori sejalur cahayaMu. Tanda kekerdilan seorang hamba. Di sana hamba belajar menilai diri. Kerdilnya diri ini. Tuhan, jauhnya jarak kita. Bersujud dan tafakur kepadaMu. Tanda bermulanya sebuah percintaan. Percintaan yang tiada noktah. Segalanya takdirMu Tuhan. Pasrah bahawa tiada cinta yang suci sesuci cinta terhadapMu Tuhan.

No comments:

Post a Comment