Photobucket

Thursday, March 7, 2013

CERITA CERITI OPS DAULAT



            Umum mengetahui bahawa negara kita mengalami pencerobohan oleh kumpulan yang dianggotai oleh beberapa individu yang mengaku keturunan Diraja Sulu. Seluruh pantai timur Sabah menjadi tumpuan media seluruh dunia. Begitu juga Kampung Tanduo yang tiba-tiba menjadi terkenal. Tidak ketinggalan Tanjung Labian juga menjadi sebutan. Semuanya kerana gerakan pengganas yang kononnya mahu menuntut Sabah menjadi sebahagian kerajaan Sulu. Anggota polis yang tidak berdosa menjadi korban gara-gara penentangan golongan yang mengaku keturunan Kesultanan Sulu itu.
            Apa yang ingin Cikgunie paparkan di sini bukanlah hendak membuktikan bahawa Cikgunie sebahagian waris Kesultanan Sulu ataupun Cikgunie seorang anggota polis yang hendak berjuang di medan pertempuran. Sebenarnya negara Malaysia yang tercinta ini tidak pernah mengalami pertumpahan darah yang bernama ’perang’ menyebabkan sebahagian daripada kita tidak pernah hendak menghargai perjuangan anggota tentera atau pun pihak polis yang sentiasa menjaga pertahanan dan keselamatan negara kita.
(bersambung....)

JOM ULANGKAJI LATIHAN TATABAHASA


Tatabahasa Soalan 3 (e) Peribahasa
Soalan peribahasa dalam tatabahasa biasanya terdiri daripada beberapa bentuk soalan. 

A. Membina ayat daripada peribahasa:
1. bagai menatang minyak yang penuh
Ibu bapa selalunya menyayangi dan menjaga anak-anak mereka bagai menatang minyak yang penuh sehinggalah mereka dewasa.

2. seperti katak di bawah tempurung
Sikap Ng Khai Liang yang sukar menerima perubahan yang berlaku menyebabkan dia berfikiran tertutup seperti katak di bawah tempurung.

3. seperti paku dengan penukul
Pelajar yang malas dan bersikap seperti paku dengan penukul tidak mungkin dapat meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.

4. ketam mengajar anaknya berjalan lurus
Masih ramai ibu bapa yang malas membaca tetapi mahu anak mereka rajin mengulang kaji pelajaran samalah seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus.

B. Mengemukakan peribahasa yang sesuai berdasarkan situasi yang diberi:
Contoh: Beri tiga peribahasa yang sesuai dengan cerita yang diberi.

1. Encik Azhar terkejut besar apabila anak yang dipelihara dengan penuh kasih sayang sanggup melakukan perkara yang terkutuk itu. Dia tidak menyangka bahawa anaknya itu terlibat dalam kes ragut yang telah memalukannya. Tindakan anaknya yang telah membunuh mangsa itu tidak dapat diselamatkan kerana anaknya akan menerima hukuman yang setimpal.
i. bagai menatang minyak yang penuh (memelihara dengan penuh kasih sayang)
ii. bagai menyonteng arang ke muka (memalukan)
iii. anak emas (anak kesayangan)
iv. air muka (diri, peribadi)

2. Pasangan pengantin di atas pelamin itu amat sepadan. Pasangan itu bakal melayari hidup sebagai suami isteri. Setiap pasangan perlu bersabar dan jika ada perselisihan pendapat, mereka perlu bertolak ansur serta saling memaafkan. Tanpa sikap tolak ansur sesebuah keluarga tidak akan dapat bertahan lama dan perasaan kasih sayang akhirnya akan lenyap. Hal ini boleh menyebabkan perceraian berlaku.
i. bagai pinang dibelah dua.
ii. sedangkan lidah lagi tergigit.
iii. bagai embun di hujung rumput.

C. Mengemukakan peribahasa berdasarkan ayat yang diberi:

1. Setelah berjaya melepaskan dirinya daripada digigit anjing liar, gadis itu terpaksa pula bergelut dengan seorang lelaki yang hendak meragut beg tangannya.
* keluar mulut harimau, masuk ke mulut buaya.

2. Walaupun telah lama tinggal di luar negara namun akhirnya Romzy pulang semula ke kampung halamannya kerana berasakan kampung halamannya lebih tenteram.
* hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

3. Apabila Encik Santos meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dua tahun yang lalu, keluarganya menjadi kucar-kacir dan saling berbalah.
* bagaikan anak ayam kehilangan ibu.

D. Mengisi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai

1. Tok Penghulu kesal akan sikap penduduk kampung yang hanya membisu ketika mesyuarat dijalankan, tetapi mula bersuara apabila projek sudah dijalankan.
Ada-ada sahaja yang tidak kena. Mereka bersikap umpama …………(i)…………… Mereka sepatutnya tidak mengemukakan pendapat sesuka hati dan tidak mengeluarkan kata-kata yang dapat menyinggung perasaan orang lain. Hal ini demikian kerana ……(ii)…….. Walau bagaimanapun, sebagai ketua tok penghulu akan berusaha untuk menyelesaikan masalah …………(iii)………..nya itu supaya dapat memuaskan hati semua pihak.

i. rumah siap pahat berbunyi
ii. mulut manusia lebih tajam daripada mata pedang / terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
iii. anak buah


Latihan 1:
Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.

1. bagaikan kera mendapat bunga
2. kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya terpalit
3. burung terbang dipipiskan lada
4. menegakkan benang yang basah
5. bagaikan telur dihujung tanduk
6. ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
7. bagaikan tikus jatuh di kepuk
8. matinya semut kerana gula
9. air dicincang tidak akan putus
10. bagaikan embun di hujung rumput

Latihan 2:
Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.

1. seperti mendukung biawak hidup
2. sudah jatuh ditimpa tangga
3. kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan
4. ditelan mati emak, dibuang mati bapak
5. kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah
6. bagaikan anjing dengan bayang-bayang
7. sekilas ikan di air, sudah kutahu jantan betina
8. genggam bara api biar sampai menjadi arang
9. bagai mencurah air ke daun keladi
10. kuman di seberang laut Nampak, gajah di depan mata tak Nampak

Latihan 3:
Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.

1. Bagaikan lalat mengharung najis/ tahi
2. Seperti cendawan tumbuh selepas hujan
3. sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain
4. seperti pelanduk dua serupa
5. melentur buluh biarlah dari rebungnya
6. seperti ular kena palu
7. mati semut kerana gula
8. bagai mendapat durian runtuh
9. umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain
10. mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan

Latihan 4:
Beri peribahasa yang sesuai dengan ayat yang dinyatakan tersebut.

1. Kata-kata dan janji manis yang diberi oleh calon yang bertanding dalam pilihanraya itu tidak disukai oleh penduduk di kawasan itu kerana janji yang ditabur tersebut mempunyai maksud yang tertentu.

2. Selepas pertandingan memilih calon wakil rakyat itu berakhir, semua pihak yang bermusuhan telah berbaik-baik semula seperti sediakala.

3. Walaupun sudah sepuluh tahun berhijrah ke luar negara untuk mencari rezeki, namun kehidupan Encik Hamid masih juga susah apabila dia pulang ke kampung halamannya.

4. Walaupun berbadan besar dan kelihatan garang namun sebenarnya Encik Farid seorang yang baik hari dan lemah lembut.

5. Walaupun cuba keluarga Encik Abdullah cuba menyembunyikan kisah anaknya terlibat dalam rasuah, namun akhirnya rahsia tersebut tersebar juga kepada orang ramai.

6. Hanya Hardy seorang sahaja yang nakal di kelas itu tetapi semua pelajar di sekolah itu menganggap pelajar kelas tersebut sebagai kelas pelajar-pelajar nakal.

7. Walaupun asalnya How Huai Lam seorang pelajar yang lembam namun setelah diajar dengan bersungguh-sungguh oleh guru-gurunya, akhirnya dia berjaya dalam peperiksaan itu dengan cemerlang.

8. Azman seorang pelajar yang tidak tahu bermain badminton tetapi cuba mengambil bahagian dalam pertandingan badminton peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

9. Setelah merantau di India lebih tujuh tahun, akhirnya Cik Saraswathy pulang dan menetap semula di kampungnya yang terletak di Negeri Sembilan.

10. Perbuatan Azizah yang menasihati kekasihnya bernama Zamri itu supaya berhenti merokok sia-sia sahaja kerana tidak diendahkan sama sekali oleh Zamri.


Latihan 5:
Beri peribahasa yang sesuai dengan ayat yang dinyatakan tersebut.

1. Encik Surinder meminta pelajarnya membaiki komputernya tetapi akhirnya komputer itu semakin rosak teruk dan tidak dapat digunakan sama sekali.

2. Perbuatan Mahendran itu sungguh melampau kerana dia menggunakan Rajendran untuk memikat hati adik perempuan Rajendran yang cantik itu.

3. Pada waktu hampir senja baharu pelajar tingkatan satu dan tingkatan peralihan berduyun-duyun pulang ke rumah masing-masing.

4. Oleh sebab terlalu mengikut rasa marah setelah dirotan oleh guru disiplinnya akibat berambut panjang, Randy menyepak tiang gol itu sehingga menyebabkan kakinya patah.

5. Walaupun berani dan bijak dengan selok-belok di hutan itu tetapi Muhaimin tidak menunjuk-nunjuk kemampuannya itu kepada peserta perkhemahan tersebut.

6. Sejak pengurus itu bersara bersara, Lennon Tan yang memangku jawatannya semakin sombong dan bersifat kejam kepada pekerja-pekerja bawahannya.

7. Sebagai rakyat negara asing yang berhijrah ke Malaysia untuk mencari rezeki, pendatang asing mestilah menghormati undang-undang  Malaysia.

8. Tidak ada apa-apa yang lebih dipercayai dan bermakna oleh seseorang itu kecuali janji-janji yang telah diucapkannya kepada mereka.

9. Walaupun hanya memenangi pertandingan membaca berita peringkat sekolah namun berita kemenangan Muhammad Azam itu tersebar ke seluruh Wilayah Persekutuan Labuan.

10. Walaupun berbadan kecil dan kurus namun semua pelajar takut akan Azita yang garang dan pandai bersilat itu.
Latihan 6:
Bagi setiap satu petikan yang diberi di bawah, kemukakan 3 peribahasa yang sesuai dengan cerita dan situasi tersebut.

1. Perbuatan Mohd Azam memang tidak dapat dimaafkan. Ayahnya, Encik Zambrose benar-benar kecewa akan tindakan anak kesayangannya. Encik Zambrose sentiasa memenuhi kehendak Mohd Azam dan menjaganya dengan penuh kasih sayang. Tindakan Mohd Azam menjual kereta Mercedes milik Encik Zambrose tanpa pengetahuannya sangat melampau. Hancur luluh hati isteri Encik Zambrose yang turut menyayangi anak tunggalnya itu. Dia tidak menyangka kebaikan yang telah diberi kepada Mohd Azam selama itu dibalas dengan perbuatan yang tidak baik tersebut. Encik Zambrose berjanji akan menghukum anaknya yang tidak tahu mengenang budi dan jasa keluarganya itu. Perbuatan Mohd Azam itu sungguh tidak bertanggungjawab.

2. Penduduk Taman  Sea View tidak mempercayai kata-kata pegawai itu kerana bagi mereka, kata-katanya mempunyai maksud tertentu. Mereka sudah serik dengan janji manis yang ditaburkan oleh pegawai itu dahulu. Sebenarnya pegawai itu pandai berkata-kata dengan menabur janji palsu bahawa penduduk taman itu akan menjadi jutawan sekiranya menjual tanah mereka untuk projek yang bakal dijalankan. Walau bagaimanapun, penduduk di taman itu kecewa kerana pegawai itu tidak dapat menyelesaikan tugas yang diamanahkan dan melakukan kerja itu separuh jalan. Sebelum itu penduduk berharap agar tugas yang dilakukan oleh pegawai itu dapat disempurnakannya.

3. Sikap Noradilah yang selalu ponteng kerja tidak disenangi oleh majikannya. Rakan-rakannya telah menasihatinya agar tidak mengulangi perbuatan buruk itu tetapi nasihat mereka sia-sia belaka. Malahan Noradilah mula berani tidur ketika majikannya tiada di pejabat. Pada satu hari, perbuatan buruk Noradilah tidak dapat disembunyikan lagi. Dia telah dimarahi oleh majikannya. Pada bila-bila masa sahaja dia boleh dibuang kerja. Nasibnya kini bergantung kepada budi bicara majikannya.

Latihan 7:
Bagi setiap satu petikan yang diberi di bawah, kemukakan 3 peribahasa yang sesuai dengan cerita dan situasi tersebut.

1. Dalam keadaan sedih bercampur gembira, Siti Aminah akan menempuh alam perkahwinan mendahului kakaknya yang sulung. Bakal suaminya pula bukanlah sebangsa atau rakyat Malaysia tetapi berasal dari negara barat iaitu seorang rakyat Polland. Selepas berkahwin, bakal suaminya akan membawanya bercuti selama dua minggu ke Eropah.

2. Setelah meninggalkan kampung halamannya lebih daripada 20 tahun, tiba-tiba Intan Salwati mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bagi menabur khidmat baktinya sebagai guru. Kata beliau, walaupun dia beroleh pelbagai kesenangan ketika bertugas di bandar, namun keseronokan yang diperolehnya di kampung tidak sama dengan keseronokan ketika bertugas di bandar. Setelah kepulangannya ke kampung itu, beliau telah menjadi tajuk perbualan masyarakat kerana beliau merupakan seorang guru yang berdedikasi.

3. Sikap Mohd Adib yang malas amat dibenci oleh ibu bapanya terutama dalam aspek pelajaran. Sekali suruh barulah dia mahu memegang buku. Jika tidak disuruh, dia sentiasa tidur. Cikgunya, iaitu Encik Nazari sering menasihatinya bahawa semua pelajar boleh mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.
Walaupun seseorang itu sangat lemah dalam pelajaran, namun jika mereka berusaha, mereka pasti akan berjaya. Perkara yang penting ialah seseorang itu mesti mempunyai kemahuan. Jika kita tidak mempunyai kemahuan atau keinginan, sudah tentulah kita tidak akan berjaya.

Latihan Tatabahasa Soalan 3 Kertas 2 SPM

Soalan  3 (c) Cari satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan imbuhan dalam ayat-ayat di bawah.

1. Pengerusi Perbadanan Labuan telah memesan kepa
da kaki tangannya supaya bekerja bersungguh-sungguh.

2. Kerajaan telah melengkapi SMK Mutiara  dengan pelbagai pasarana untuk golongan OKU.

3. Para belia yang tidak berjaya menyambung pelajaran ke universiti telah disarankan agar mengikut kursus kemahiran di instituisi kemahiran yang ada.

4. Matan Perdana Menteri telah menyeru para belia agar lebih proaktif untuk bangunkan negara.

5. Pengguna jalan raya untuk ke Gua Musang telah dinasihatkan oleh pihak berkuasa agar lebih berhati-hati kerana jalan raya tersebut mempunyai beberapa kawasan merbahaya.

6. Permohon untuk jawatan kosong di syarikat itu boleh dihantar menerusi mesin fax sahaja.

7. Pada awalnya, gagasan 1Malaysia telah memberikan pelbagai definasi oleh pihak-pihak tertentu sehingga wujud kekeliruan.

8. Semua calon SPM 2012 dijangka akan terima keputusan masing-masing pada bulan 22 Febuari 2013.

9. Hajjah Siti Zahara Mohamad telah ternobat sebagai Ibu Mithali negeri Melaka pada tahun 2013 atas kejayaan beliau mendidik anak-anaknya menjadi orang berjaya.

10. Semua kenderaan yang berusia sepuluh tahun atau lebih telah dipaksa membayar insuran yang lebih mahal

JOM BUAT ULANGKAJI TATABAHASA

PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN BAHASA
[ 30 markah ]

(a)       Tulis satu ayat bagi setiap kata majmuk di bawah ini supaya jelas menunjukkan maksudnya. Anda tidak boleh menambah imbuhan, dan menggunakan kata majmuk itu sebagai peribahasa dan nama khas.

 (i)            anak angkat

(ii)          anak busur

(iii)         anak dagang

(iv)         anak kapal

(v)          anak kunci

(vi)         anak tangga

 (6markah)

(b)       Gabungkan ayat-ayat pendek di bawah ini supaya menjadi tiga ayat sahaja tanpa mengubah susunan dan makna asal ayat-ayat tersebut.

 Proses globalisasi membawa kepada kemajuan negara. Proses globalisasi membawa masalah pencemaraan alam sekitar. Pencemaran alam sekitar kian berleluasa. Masalah itu menyebabkan berlakunya pencemaran sungai. Sungai membekalkan sumber air mentah kepada rakyat. Sumber air tidak pupus. Air semakin berkurangan. Air dapat digunakan oleh manusia dengan selamat.

(6 markah)

(c)        Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan penggunaan ejaan dan satu kesalahan imbuhan. Senaraikan kesalahan-kesalahan itu dan betulkan kesalahan-kesalahan tersebut.

(i)            Pihak berkuasa telah adakan serbuan yang kerap untuk membasmi kemasukan cekera padat cetak rompak di pasaran negara.

(ii)          Pegawai Daerah itu telah memberikan ucaputama sewaktu dirasmikan majlis berbuka puasa bersama-sama dengan anak-anak yatim di daerah itu.

(iii)         Pada abad ke20, banyak perubahan berlaku di negara ini dalam bidang bangunan. (6 markah)

(d)       Dalam tiap-tiap ayat di bawah ini terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan kesalahan-kesalahan itu dan betulkan kesalahan-kesalahan tersebut.

(i)            Anggota-anggota masyarakat hendaklah meminimumkan penggunaan air pada musim kering agar bekalannya tidak dicatu.

(ii)          Peniaga yang memikirkan keuntungan semata-mata akan mengalami kemerosotan apabila pelanggan beralih ke lain-lain kedai.

(iii)         Sikap mementingkan diri dapat dihapuskan jika semua pihak menerima hakikat justeru amalan itu bertentangan dengan estetika masyarakat. 

(6 markah)

(e)       Beri maksud setiap peribahasa di bawah.

(i)         bagai pinang dibelah dua.
(ii)        sedangkan lidah lagi tergigit.
(iii)       bagai embun di hujung rumput.

( 6 Markah )

DEMI KEDAULATAN DAN MARUAH BANGSA


KRONOLOGI PERISTIWA SERANGAN ATM KE ATAS KG TANDUO, 
LAHAD DATU JAM 7.00 PAGI 5 MAC 2013 HARI SELASA 

6.15 pagi
Kedengaran pesawat tempur bergema di ruang angkasa WP Labuan.
8:18 pagi
Letupan kedengaran berhampiran Kampung Tandou yang diduduki sekumpulan penceroboh asing, pada kira-kira jam 7:30 pagi ini, menyebabkan 100 penduduk kampung melarikan diri.

"Mereka telah  mula mengebom kawasan itu. Kami nampak jet pejuang di udara, mereka mengebom tempat itu empat kali," kata seorang penduduk kampung, Nasir Asrama, 38.
Penduduk kampung tersebut adalah dari Kampung Sungai Merah, sebuah kampung jiran dengan Kampung Tandou di mana kira-kira 100 penceroboh bersenjara dari Filipina berkubu. Kampung Tandou terletak di antara Tanjung Labian dan Kampung Sungai Merah, masing-masing dalam 5km dan 2km.

8.19 pagi 
:Pasukan keselamatan telah melancarkan serangan ke atas kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada jam 7 pagi ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan hari ini. Gerakan ke atas penceroboh dimulakan kira-kira pukul 7 pagi dengan serangan udara.

Pada awalnya kedengaran bunyi jet mengisi ruang udara kampung itu diikuti dengan bunyi tiga letupan setengah jam kemudian. Serangan ofensif udara dilakukan jet pejuang F18 dan Hawk diikuti mortar dan gerakan di darat oleh anggota tentera.

Pasukan komando di barisan hadapan yang mengepung kawasan itu dilihat merapati kawasan perkampungan diikuti dengan Pasukan Gerakan Am.
   
Di Felda 16, kira-kira 20 kilometer dari Kampung Tanduo dilaporkan letupan ketiga paling kuat sehingga menggegarkan cermin kafe Residental Felda Sahabat tempat wartawan menginap.
   
Dua helikopter Nuri kelihatan melalui ruang udara kawasan itu.
   
Penduduk Kampung Labian dan Kampung Batu berhampiran Kampung Tanduo dipindahkan malam tadi dan polis dijadual mengadakan sidang akhbar pada pukul 10 pagi.

8.45 pagi

: Penduduk  Kampung Sungai Merah meninggalkan kediaman mereka dengan menaiki lori, dengan hampir seratus orang memenuhi setiap kenderaan.Ketua kampung, Bani Rauf berkata mereka telah cuba ke Kampung Embara Budi tetapi tidak dibenarkan masuk.

"Pengawal kata mereka tidak akan benarkan kami masuk, jadi kami datang ke sini," katanya.

8.54 pagi
Seorang pegawai Felda tiba dan memberitahu ketua kampung untuk membuat kiraan jumlah penduduk dan mendaftarkan mereka.  Seluruh penduduk kampung sekitar 300 orang beredar dari tempat itu menuju ke jalan kebun kelapa sawit.

9.11 pagi
: Difahamkan tujuh batalion tentera dikerahkan ke kawasan tersebut untuk mengukuhkan pasukan polis.

9.15 pagi
: Di bandar Lahad Datu, kira-kira 120km dari medan pertempuran, persediaan sedang dibuat di hospital utama bagi menerima mangsa serangan tersebut.

9.37 pagi
: Menurut satu sumber tentera, operasi yang terlibat jet pejuang, meriam serta askar berjalan kaki.

9.41 pagi
: Stesen radio Filipina dzBB melaporkan bahawa Abraham Idjarani, jurucakap kesultanan Sulu, berkata Azzimudie Kiram, adik sultan yang mengetuai pencerobohan itu,  mengesahkan jet pejuang telah menggugurkan sekurang-kurangnya dua butir bom.

Bagaimanapun, Idjirani mendakwa bom mengenai kedudukan penduduk Malaysia dan bukan kumpulan Azzimudie. Stesen radio itu juga berkata pertempuran itu berlaku 107 tahun selepas bermulanya Perang Bud Dajo di Sula pada 1906.
Dalam pertempuran itu 1,000 Tausug, termasuk wanita dan kanak-kanak, telah dibunuh oleh tentera Amerika juga dikendali sebagai Pembunuhan Bud Dajo.

9.45 pagi
Menurut ABS-CBNnews, sebelum serangan, pagi ini Azzimudie Kiram, yang mengetuai kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo, memberitahu radio dzMM bahawa dia tidak risau dengan rancangan kerajaan Malaysia untuk membawa lebih ramai tentera ke Sabah untuk membanteras mereka. Azzimudie berkata dia dan tenteranya akan tidak akan berganjak walaupun kerajaan Malaysia dan Filipina telah berulangkali menggesa mereka supaya menamatkan pencerobohan tersebut.

"Ini adalah masa. Kami perlu komited untuk memperjuangkan hak kami. Saya meminta mereka (Filipina) melakukan sesuatu untuk menyokong kami.

"Mereka tidak boleh menakutkan kami kerana kami berjuang untuk hak kita - hak Bangsa Sulu dan secara umum, rakyat Filipina.  Iaitu, jika kerajaan Filipina masih menganggap kami adalah rakyat Filipina," katanya.

9.55 pagi
 Azzimudie Kiram mengesah dalam temubual dengan radio dzMM ABS-CBN bahawa pasukan Malaysia menggunakan jet pejuang dalam serangan terbaru itu ke atas kedudukan mereka di Lahad Datu. Pemimpin tentera diraja itu juga melahirkan kekecewaan terhadap pendirian Presiden Filipina Benigno Aquino berhubung krisis tersebut.

Beliau berkata kerajaan Malaysia dan Filipina jelas telah berhenti mendengar gesaan mereka untuk menyelesaikan krisis tersebut secara aman.

10.05 pagi
: Di Manila, pasukan polis dan wartawan berkumpul di luar kedutaan Malaysia. Mereka menjangka satu kumpulan penunjuk perasaan akan tiba di sana.

10.09 pagi
Pihak polis telah menubuhkan pusat pemeriksaan di jalan utama di Tanjung Labian, iaitu kira-kira 5km dari medan pertempuran. Tiada siapa dibenarkan masuk ke kawasan itu. Bunyi letupan telah berhenti sejak sejam yang lalu. Tidak jelas sama ada tentera darat telah dikerah masuk ke Kampung Tanduo.

10.15 pagi
 : Azzimudie Kiram, pemimpin penceroboh, meluahkan kemarahannya terhadap kerajaan Filipina, dalam temubual radio dengan InterAksyon.com - portal berita dalam talian saluran TV Filipina TV5. "Kerajaan mengarahkan penangkapan sahabat kita walaupun kita tidak melakukan apa-apa yang buruk," katanya. "Ia seperti kita bulan rakyat Filipina." Sementara itu, Abraham Idjarani, jurucakap kesultanan, memberitahu stesen radio dzBB bahawa Azzimudie telah menelefon untuk memberitahu mereka tentang serangan tersebut. "Tidak ada apa yang dapat dilakukan tentang itu sekarang," kata Idjirani dalam satu wawancara berasingan dengan AFP.

Beliau mengulangi pengumuman awal Azzimudie bahawa mereka akan berjuang hingga ke akhir ayat. "Kami bukan penceroboh. Mereka (rakyat Malaysia) adalah orang yang menduduki tanah nenek moyang kami," katanya.

10.17 pagi
 Memetik laporan dari ANC News Channel, InterAksyon.com melaporkan bahawa bom telah digugurkan kira-kira satu kilometer jauhnya dari kubu Azzimudie Kiram dan orang-orangnya.

Azzimudie berkata pihaknya tidak pasti sama ada bom tersebut mensasarkan mereka atau pengikut mereka, tetapi mereka kekal selamat dan bersedia untuk bertempur. Sementara itu di Manila, sekumpulan penunjuk perasaan tiba di kedutaan Malaysia untuk mengutuk serangan itu.

10.43 pagi
 Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur mendedahkan satu pertemuan diadakan pada malam tadi di antara setiausaha luar negaranya Albert F del Rosario, menteri luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman dan menteri pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Pertemuan di Kuala Lumpur itu bagi membincangkan langkah untuk penyelesaian aman berhubung situasi di Lahad Datu.

10.45 pagi
Media Filipina melaporkan jurucakap presiden negara itu Benigno Aquino berkata Manila melakukan apa yang termampu untuk mengelakkan situasi di Sabah berakhir dengan keganasan. “Kami melakukan semua yang kami mampu untuk mengelakkannya, namun akhirnya orang (Jamalul) Kiram memilih jalan ini,” kata Setiausaha Ricky Carandang.

10.57 pagi
Polis memperluaskan kawalan dari kawasan konflik ke kawasan luar dan menutup semua pintu masuk ke Kampung Tanduo. Anggota polis dengan raifal dilihat mengambil kedudukan di kawasan ladang sawit sebagai persediaan untuk menghadapi penceroboh yang lolos.

11.00 pagi
Datuk Seri Najib Razak berkata operasi besar-besaran hari ini bermula dengan serangan udara menggunakan pesawat TUDM, serangan mortar dan diikuti serangan oleh pasukan tentera darat dan polis.

"Kita bermula dengan serangan udara melalui pesawat TUDM diikuti dengan kekuatan mortar dan pada saat saya sedang berucap ini, pasukan tentera darat dan anggota polis, dalam kereta dengan anggota yang mengikuti dibelakang sedang melakukan tindakan untuk memberkas, menumpas pasukan yang telah melanggar kedaulatan negara," katanya.

Menurutnya, tindak tanduk "yang berhemah" tersebut, pada awalnya tidak ada niat lain melainkan untuk tidak membenarkan setitik darah tertumpah di bumi Sabah, sama ada rakyat Malaysia atau kumpulan yang menceroboh. "Namun umat dukacita, niat murni kita telah dibalas dengan tembakan dengan sangat kejam yang dilakukan kepada pasukan polis kita," katanya dalam satu majlis di Bukit Jalil.

Beliau juga menyelar golongan yang tergamak mengatakan bahawa kejadian pencerobohan oleh kumpulan bersenjata di Lahad Datu sebagai “sandiwara”. Tanpa menamakan individu berkenaan, Najib berkata tindakan itu merupakan "perbuatan yang keji" oleh orang yang “tak ada isi perut”. "Ada orang yang tergamak bahawa ini satu sandiwara. Saya tak tahu nak kata apa kepada manusia yang tergamak cakap begitu.

"Tak ada isi perut. Ini satu perbuatan yang keji... Kita perlu tolak orang seperti ini," kata Najib.

11.02 pagi
 Pekerja ladang kelapa sawit dilihat berkumpul di bawah satu pondok sementara. Mereka diminta menangguhkan tugas sementara polis memperluaskan kawalan di sekeliling ladang tersebut yang terletak hampir dengan kawasan pertempuran

Turut bersama pekerja tersebut ialah seorang penduduk, Sabri Abdullah, 49, yang tidak dapat pulang disebabkan kawalan polis. "Saya menunggu untuk pulang sejak pagi ini. Saya lapar dan tidak ada makanan," katanya kepada Malaysiakini. Tambahnya, mereka orang miskin dan tidak mempunyai wang dan terpaksa menyediakan makanan sendiri.

11.10 pagi
Bercakap dalam satu akhbar, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata operasi masih berjalan dan pihak keselamatan yang terdiri daripada anggota PDRM dan tentera mendapat tentangan dalam bentuk beberapa das tembakan yang dilepaskan oleh pihak musuh. Katanya, ketika ini pasukan keselamatan sedang menjalankan pengeledahan terhadap beberapa buah rumah di kampung tersebut. Ketika sidang akhbar itu diadakan, beliau berkata, setakat ini tidak ada kehilangan nyawa di pihak keselamatan  sama ada di pihak PDRM dan tentera.

11.25 pagi
Satu-satunya stesen minyak di kawasan Felda Sabahabt kehabisan petrol. Kawasan itu terletak kira-kira 15km dari Kampung Tanduo yang menjadi medan pertempuran.

11.35 pagi
The Star yang memetik sumber polis melaporkan, kumpulan penceroboh bersenja di Kampung Tanduo berjaya ditewaskan sepenuhnya. Ia tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa pasukan kita, lapor laman itu.

11.50 pagi
Seorang wartawan ABN-CBS memuatkan gambar penunjuk perasaan membakar gambar menunjukkan Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan presiden negara itu, Benigno Aquino. Kumpulan berkenaan berbuat demikian dalam perhimpunan di luar kedutaan Malaysia di Filipina.

11.54 pagi
Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar berkata operasi bersama antara polis dan tentera masih menerima tentangan musuh yang melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan negara. Pasukan Malaysia kini menjalankan operasi pembersihan. Tiada korban di pihak kita direkodkan setakat ini namun di pihak musuh masih belum diketahui. Ismail meminta semua pihak agar tidak membuat spekulasi mengenai jumlah kemalangan kerana akan menjejaskan Ops Sulu ini. Katanya, operasi ini hanya difokuskan di Kampung Tanduo.

12.44 petang
Laman The Philippine Inquirer menyiarkan laporan mendakwa Askar Diraja Sulu tidak bercadang untuk menyerah walau digempur pasukan keselamatan Malaysia.

Laporan itu menyebut, jurucakap kesultanan Sulu Abraham Idjirani memberitahu satu stesen radio bahawa kumpulan itu akan terus berjuang sehingga ke titisan darah terakhir.

Idjirani yang memetik Azzimudie Kiram mendakwa bom yang dilepaskan jet Malaysia jatuh ke kawasan berkenan tetapi tidak mengenai kumpulan bersenjata Sulu. InterAksyon.com juga menerbitkan laporan sama pada jam 10.46 pagi ini. "Tidak. Tidak menyerah," kata Idjirani, yang menambah Azzimudie dalam perbualan terakhir mereka melalui telefon memberitahunya bahawa mereka akan berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. Laporan itu tidak menyatakan masa panggilan telefon itu dibuat.

Idjirani juga dilaporkan berkata, mereka akan mencari jalan untuk keluar dari keadaan bahaya demi kelangsungan kumpulan itu.
"Ini hanya bermakna merka hanya takut kepada kita... Jika mereka berani, mereka tidak akan guna pasukan besar untuk mengelakkan tuduhan (bertindak) keterlaluan. Mereka menunjukkan kepada dunia bahawa apa yang mereka lakukan keterlaluan."

12.50 petang
: Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata makanan disediakan untuk penduduk yang tersesar.
"Mereka ditempatkan dalam dewan... berdekatan dan kami membantu mereka. Tiada masalah makanan atau air," katanya.

1.00 petang
Dalam satu lagi laporan pada 12.43 petang, Philippine Daily Inquirer melaporkan dakwaan Azzimudie, yang mengetuai kumpulan bersenjata Sulu di Lahad Datu memberitahu jurucakap kesultanan Sulu Abraham Idjirani bahawa mereka sedang "beristirahat".

1.08 petang
 The Star dalam laporan di Twitter menyebut, Semporna diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga susulan Ops Sulu di Tanduo.

1.15 petang
Pegawai-pegawai Jabatan Penerangan mengedarkan jaket kuning terang bertulis 'media' kepada wartawan di pusat media.

"Ini adalah permintaan pihak polis, jadi kita mematuhinya. Ia akan lebih mudah mengenal pasti petugas media," jelas seorang pegawai.

1.30 petang
: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pertahanan Zahid Hamidi tiba di Felda Sahabat dengan helikopter dan diiringi ke bilik taklimat.
                                            
1.42 petang
ABS-CBN melaporkan bahawa Filipina meminta pihak berkuasa Malaysia untuk membantu menyediakan perjalanan keluar yang selamat dari Sabah untuk wanita Filipina dan mereka yang bukan penceroboh bersenjata. Setiausaha Luar Filipina, Albert del Rosario (kanan) telah meminta rakan sejawatannya dari Malaysia untuk berbuat demikian supaya mereka dibenarkan meninggalkan kawasan pertempuan di sana. Del Rosario juga meminta Jabatan Hal Ehwal Luar di Manila untuk menyampaikan nota kepada duta Malaysia ke Filipina untuk berhubung rayuan tersebut.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Anifah Aman berkata beliau akan menyampaikan permintaan itu kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zamid Hamidi.

1.54 petang
Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur menasihatkan warganya agar tidak mengunjungi kawasan pantai timur Sabah, termasuk bandar Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. Satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat kedutaan berkenaan menyebut menjangkakan lebih banyak insiden keganasan akan berlaku di kawasan terbabit.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Anifah Aman berkata beliau akan menyampaikan permintaan itu kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zamid Hamidi.
(sumber malaysiakini.com)