Photobucket

Sunday, August 18, 2013

Kepentingan Memahami Maksud Peribahasa

Adik-adik calon PMR dan SPM sekalian...
Hafal sekurang-kurangnya 10 peribahasa umum untuk dimasukkan dalam setiap perenggan karangan anda.
Karangan yang menarik ialah karangan yang banyak menggunakan ungkapan menarik seperti peribahasa, slogan, dan kesantunan bahasa. Oleh itu, belajarlah menghafal peribahasa Melayu yang terdapat dalam buku teks dan dalam buku rujukan untuk memantapkan karangan anda. Antara peribahasa umum yang perlu diketahui maksudnya ialah:
1. melentur buluh biarlah dari rebungnya
maksudnya : mendidik anak-anak menjadi baik sejak kecil
2. belakang parang diasah lagikan tajam
maksudnya : usaha yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh akan berhasil
3. di mana ada kemahuan, di situ ada jalan
maksudnya : orang yang berusaha akan berjaya
4. bak cendawan tumbuh selepas hujan 
maksudnya : sangat banyak
5. yang bulat tidak akan datang menggolek, yang pipih tidak akan datang melayang
maksudnya ; sesuatu kejayaan tidak akan datang dengan sendiri
6. hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri
maksudnya : walaupun tempat orang sangat menarik tetapi tetapi tempat sendiri lebih selesa
7. di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
maksudnya : mengikut adat resam atau budaya setempat
8. indah khabar dari rupa
maksudnya : perkhabaran yang lebih indah
9. pucuk di cita ulam mendatang @ orang mengantuk disorongkan bantal
maksudnya : mendapat sesuatu yang dihajati
10.seperti enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing
maksudnya : orang yang mementingkan diri sendiri

Maksud Peribahasa dalam Buku Teks Tingkatan 5

1. lintah darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.

2. bagai aur dengan tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

3. anak dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat

4. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

5. kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah

6. indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

7. hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

8. bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

9. kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

10. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

11. masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan


12. ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya..

13. memerah otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.

14. kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah

15. berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

16. yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha

17. sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

18. bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

19. bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

20. yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.

21. mencari jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.

22. biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.

23.sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

24. berbesar hati
Maksud : Gembira.

25. anak buah
Maksud : a. Anak saudara. b. Pekerja di bawah jagaan kita.

26. tuan rumah
Maksud : tempat berlangsungnya sesuatu acara

27. yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

28. batu penghalang
Maksud : Halangan

29. untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

30. bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : 

a. Orang yang pulang ke tempat asal. 
b. Kehidupan yang senang.

Selamat Kembali Ke Sekolah

Selamat Hari Raya, Selamat Bercuti dan Selamat Kembali Ke Sekolah
Adik-adik yang akan menduduki UPSR, PMR dan SPM sudah bersedia?
Kalau belum bersedia, rajin-rajinlah menjenguk kerja rumah, buku teks dan buku rujukan.
Ingat, masa itu emas dan sangat berharga.
Gunalah masa dengan sebaik-baiknya.
Mulakan malam ini dengan menyusun jadual waktu, menggosok baju sekolah dan membaca buku sebelum tidur. Buat semua calon PMR SMK Mutiara, jangan lupa mulai esok 19 Ogos 2013 hingga 30 September 2013 Program Jambori Kecemerlangan PMR akan bermula. Selamat Maju Jaya untuk semua calon UPSR, PMR dan SPM 2013.

Friday, July 26, 2013

Nuzul Al-Quran VS Lagu Raya

Cikgunie mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada semua pembaca sekalian. Sedar tidak sedar kita sudah memasuki fasa kedua berpuasa. Semalam kita menyambut Hari Nuzul Al-Quran. Hanya ada beberapa buah negeri sahaja yang mengambil cuti sempena Hari Nuzul Al-Quran. Saban tahun kita menyambut Peristiwa Nuzul Al-Quran tetapi berapa ramaikah daripada kita yang mengetahui sejarah Peristiwa Nuzul Al-Quran dan mengapa kita menyambutnya setiap tahun?



Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Qur'an yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M. 

Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW .melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

Tanpa kita sedari, selepas 15 hari umat Islam berpuasa, stesen-stesen radio galak menyiarkan lagu-lagu raya dan persiapan menyambut Hari Raya. Jadi, bagaimanakah umat Islam terutama golongan remaja hendak mendapat penghayatan peristiwa Nuzul Al-Quran kalau saban hari selepas 15 Ramadhan mereka dihidangkan dengan lagu-lagu raya? Mengapa tidak ada inisiatif daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( menerusi stesen radio IKIM ) untuk mendidik masyarakat menghayati peristiwa Nuzul Al-Quran sekaligus memantapkan mutu bacaan Al-Quran?

Tidak perlu fikir jauh melangkau sempadan masa, cukuplah kita bertanya kepada anak-anak kita, ingatkah mereka 5 ayat yang terkandung dalam Surah Al-Alaq? Atau cubalah kita tanya Surah Al-Mudatsir ialah surah ke berapa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW? Daripada mendengar lagu-lagu raya, sesekali stesen radio putarlah surah-surah Al-Makiyyah yang pendek-pendek sebagai santapan telinga umat Islam di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Oh My Tatabahasa

Kata Kerja Imbuhan di- perlu dirapatkan. Contoh dilukis.
Kata Sendi Nama di perlu dijarakkan. Contoh di Kuala Nerang.
Lukisan ini dilukis oleh Nur Afifah.

Puan Rusni menerima anugerah daripada YB Datuk Haji Yussuf Haji Mahal di atas pentas.

Wednesday, July 24, 2013

Soalan Ramalan Sejarah Kertas 2

PERISTIWA HIJRAH
Ingat perjalanan Rasululullah yang memakan masa selama 13 hari dan kronologi peristiwa Hijrah.
1. Nabi Muhammad meninggalkan Kota Mekah bersama Sayyidina Abu Bakar setelah puak Quraisy merancang hendak membunuh Nabi.
2. Bersembunyi di Gua Thur selama 3 hari (malam Jumaat, Sabtu dan Ahad) dimana Baginda Rasululullah dibantu oleh 4 A. TIPS MENGINGAT FAKTA PERISTIWA HIJRAH.
Asma Abu Bakar membantu menghantar makanan.
Abdullah bin Abu Bakar bertindak sebagai pengintip bagi Nabi Muhammad.
Amir bin Fuhayrah (hamba Abu Bakar)bertindak sebagai pengembala kambing dan membekalkan susu kepada Nabi Muhammad.
Abdullah bin Urayqit al-Laythi seorang penunjuk jalan yang mahir yang bukan beragama Islam, tetapi boleh dipercayai, telah menemui Nabi di Gua Thur dengan membawa bersamanya kenderaan untuk mereka berdua, sebagaimana dijanji sebelum itu.
3.Singgah di Quba’ selama 4 Hari
Pada hari Isnin, 8 Rabi`ul Awwal Rasululullah SAW tiba di Quba. Di Quba’, Rasulullah SAW singgah di rumah Kalthum bin al-Hadam. Baginda menetap selama 4 hari iaitu Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis di Quba’. Di situ Baginda mengasaskan masjid dan bersolat di dalamnya. Itulah masjid pertama yang diasaskan atas dasar taqwa selepas Baginda menjadi Nabi, iaitu Masjid Quba’.
4. Sampai di Yathrib (Madinah) Pada hari Jumaat, 12 Rabi`ul Awwal, Rasulullah bertolak ke Yathrib dan sampai ke Yathrib selepas solat Jumaat. Rumah Abu Ayyub al-Ansari telah terpilih menjadi tempat menetap Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam di Yathrib apabila unta Baginda berhenti di kampung Bani al-Najjar iaitu kampung keluarga pihak bapa-bapa saudara sebelah ibu Baginda, di mana rumah Abu Ayyub merupakan rumah yang paling hampir tempat unta tersebut berhenti. Tapak unta itu berhenti dijadikan tapak Masjid Nabawi.