Photobucket

Sunday, February 28, 2016

Teks Ucapan Pengetua
Sempena Mesyuarat Agung PIBG SMK MAHANG
Kali ke 38 tahun 2016.


Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dan Salam

Sejahtera. Terima kasih Saudari Pengacara Majlis, 


Yang Setia, Superitenden Tn. Hj. Abdullah bin Hj. Arshad,

Yang berusaha, Naib Yang Dipertua PIBG, Tn. Hj. Azim bin Aziz

Yang di Hormati Ahli-ahli Jawatankuasa PIBG,


Guru- guru Penolong Kanan, Ketua-ketua Bidang, Guru-guru, para ibu bapa seterusnya pelajar
            Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat kita sama-sama berkumpul pada petang ini, sempena Majlis Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Mahang kali ke- 38.  Saya ingin merafakkan kesyukuran ke hadrat Illahi kerana diberi peluang untuk bersama Tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis penuh bersejarah kepada seluruh warga SMK MAHANG pada petang  ini. Bagi pihak sekolah saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Tuan Ketua IPD Kulim, Tn. Hj. Abdullah bin Hj. Arshad kerana sudi hadir untuk merasmikan majlis kita pada petang ini.


pelajar yang disayangi sekalian.


Hadirin sekalian,
Mesyuarat Agung PIGB diadakan pada setiap  tahun sebelum 31 Mac untuk memilih dan melantik AJK PIBG. Pada setiap kali Mesyuarat Agung akan diadakan perbincangan tentang  keperluan dan kebaikan anak-anak kita di sekolah ini.  PIBG sekolah ditubuhkan bertujuan untuk mewujudkan permuafakatan antara ibu bapa dan guru di setiap sekolah ibarat aur dengan tebing. Tanpa pemuafakatan ini akan pincanglah pengurusan sesebuah sekolah. Permuafakatan seumpama ini diharapkan dapat membina kesefahaman tentang tugas dan tanggungjawab bersama dalam usaha untuk meningkatkan mutu pengajaran guru-guru dan pembelajaran murid di sekolah, selain mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian antara pihak sekolah, ibu bapa, dan komuniti setempat .
            Untuk pengetahuan hadirin , saya baharu bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Mahang ini, iaitu lebih kurang 2 bulan. Dalam tempoh ini, saya dapati bahawa sekolah ini mampu meningkatkan kualiti dan kuantiti kecemerlangan dalam pelbagai aspek jika kerjasama tuan-tuan dan puan-puan dengan pihak sekolah terjalin erat.  Pembangunan fizikal sekolah ini sangat menarik kerana terletak dalam kawasan pergunungan.  Keistimewaan sekolah ini pula yang menarik perhatian saya ialah terdapatnya 6 buah kolam ikan di belakang sekolah, di samping tanaman pokok naga yang jarang ada di sekolah-sekolah lain. Jadi sebagai ibu bapa, seharusnya kita berbangga kerana SMK Mahang ini  menjadi tempat anak-anak kita menuntut ilmu.

Tuan-tuan dan Puan-puan,
            SMK Mahang mempunyai bilangan pelajar seramai 453 orang sehingga hari ini . Bilangan guru pula seramai 43 orang , staf bukan guru seramai 9 orang , dan 7 orang pekerja kebersihan. Saya kemukakan perangkaan ini untuk berkongsi bersama hadirin, kerana populasi pelajar sekolah ini semakin menurun dari tahun lepas, iaitu seramai 517 orang.  Hal ini demikian kerana sekolah-sekolah rendah di kawasan ini juga mempunyai pelajar yang semakin berkurang.  Walau bagaimanapun, sebagai pengetua saya bersama-sama pentadbir dan guru-guru SMK Mahang akan sentiasa memikirkan kaedah terbaik merangka perancangan strategi jangka pendek dan jangka panjang berdasarkan visi dan misi sekolah bagi memastikan pencapaian akademik dan sahsiah pelajar sentiasa pada tahap cemerlang. Sebenarnya, banyak perancangan yang telah dibuat untuk kemajuan sekolah ini demi kebajikan anak-anak kita. Walau bagaimana pun, kita perlu mengoptimumkan penggunaan wang memandangkan keadaan ekonomi negara pada masa kini yang memerlukan kita berjimat cermat. Kita telah merancang beberapa program dan aktiviti  untuk pembestarian PT3 dan SPM untuk tahun 2016 ini.  Antaranya ialah Program MBMMBI (Memperkasa Bahasa Melayu Mempertingkat Bahasa Inggeris, kelas-kelas tambahan,  Program Gerak Gempur, Program Anak Emas, Program Skor Kecemerlangan SPM dan pelbagai lagi.  Kita akan sedaya upaya cuba memanggil ibu bapa hadir ke sekolah untuk bersama-sama memastikan kecemerlangan anak-anak kita dalam aspek akademik dan sahsiah.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan
Berdasarkan keputusan PT3 2015 ,  SMK Mahang boleh berbangga kerana kita masih dapat melahirkan beberapa orang pelajar cemerlang yang memperoleh 6A dan 7A.  Antaranya ialah Muhammad Aniq Akmal, Muhammad Shafiq bin Subuh, Nur Fatihah Mat Sharif, Qairyulneesa bt Yusri, dan Muhammad Ammar bin Azman. Gred Purata Sekolah dalam PT3 tahun lepas ialah 3.55. Keputusan SPM 2015 pula akan diumumkan pada 3 hb Mac 2016 ini.  Semoga bilangan pelajar-pelajar SPM 2015 yang  mendapat keputusan yang cemerlang bertambah.  Kita mendoakan agar ramai daripada mereka dapat menjejakkan kaki ke IPTA, sesuai dengan pencapaian mereka.  Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, keputusan SPM tahun-tahun sebelum ini juga boleh dibanggakan kerana setiap tahun , kita mempunyai pelajar yang cemerlang dan ramai sudah pelajar dari sekolah ini sudah berada di pusat-pusat pengajian tinggi.
Di samping itu, PIBG juga mempunyai peranan saling melengkapi antara satu sama lain terhadap fungsi Kementerian Pendidikan dalam menyediakan prasarana, kemudahan, dan suasana sekolah yang kondusif kepada murid-murid danguru-guru di sekolah. Mesyuarat Agung PIBG ini diadakan sebagai tanda penghargaaan dan dorongan kepada pelajar supaya mereka terus berjaya pada masa hadapan sama ada dalam bidang akademik, kokurikulum, dan sahsiah.  Majlis ini amat bermakna bagi saya kerana memberi peluang kepada saya mengenali ibu bapa secara lebih dekat lagi.  Kata orang tua-tua, tak kenal maka tak cinta.  Pada kesempatan keemasan ini, izinkan saya berkongsi visi dan misi sekolah bersama tuan-tuan dan puan-puan.  Visi sekolah ialah Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera.  Manakala Misinya pula ialah Melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi Negara.
Dalam aspek Kokurikulum, cabaran olahraga, sukantara dan merentas Desa adalah acara tahunan sekolah ini untuk membina daya juang dan semangat yang tinggi untuk pelajar berjaya dalam kegiatan sukan.  Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, sekolah ini telah berjaya dalam sukan petanque, bola baling, hoki dan bola sepak. Pada tahun lepas, pasukan bola baling SMK Mahang telah berjaya menjadi johan daerah dan pada tahun ini, sekali pasukan bola baling perempuan bawah 18 tahun sekali lagi menjadi johan daerah.  Pertandingan telah dijalankan pada tarikh 17 hb Februari yang lalu.  Dalam permainan petanque pula, SMK Mahang telah beberapa kali berjaya bertanding hingga ke peringkat kebangsaan mewakili negeri Kedah Darul Aman.
            Golongan pelajar hari ini adalah khazanah kepada Negara kita kerana mereka merupakan “human capital” yang sangat penting.  Dalam usaha melahirkan individu ini, pihak Hal Ehwal Murid telah menjalankan beberapa program antaranya Kursus Kepimpinan Pengawas dan Ketua Tingkatan, Spot Check kepada pelajar yang berterusan dijalankan, mengadakan buku kawalan kelas untuk mengatasi masalah ponteng kelas, Tazkirah setiap hari Ahad, Bacaan Yasin setiap minggu dan pertemuan dengan ibu bapa pelajar yang bermasalah.  Alhamdulilah, hasil usaha bersepadu unit HEM , AJK Disiplin, Badan Pengawas, dan Unit Kaunseling telah menampakkan hasil yang positif.  Sepanjang 2 bulan persekolahan 2016 , masalah disiplin terkawal dan tidak ada kes-kes berat dilaporkan.
            Jika dilihat kepada persekitaran sekolah SMK Mahang pada hari ini, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Antaranya bangunan bengkel Sains Pertanian telah roboh akibat angin kuat beberapa minggu yang lalu dan terpaksa dibaik pulih. Kolam ikan di kawasan  belakang mesti sentiasa dipantau dan ditambah dengan benih ikan serta sekolah ini mempunyai 36 buah akuarium ikan yang masih kosong dan perlu diisi. Berdasarkan pemerhatian saya juga, SMK Mahang  ini kekurangan floranya.  Pihak sekolah merancang untuk menambah lagi pokok-pokok bunga hiasan untuk menceriakan persekitaran sekolah.  Memandangkan kita menghadapi kekangan dalam urusan  kewangan, maka amatlah dialu-alukan agar setiap waris dan guru SMK Mahang  dapat menyumbangkan ikan atau pokok-pokok bunga kepada pihak sekolah.
Tuan-tuan dan Puan-Puan,
Adalahdiharapkan pengetahuan berkaitan NKRA Kementerian Pelajaran iaitumeluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuandifahami olehsemua pihak, terutamanya ibu bapa .  Saya yakin dan penuh percaya BarisanPengurusan Sekolah  dan guru-guru akan dapat melaksanakan transformasi pendidikandan NKRA KPM dengan penuh amanah.Harus juga diingatkan kecemerlangan anak-anak kita sebenarnya bermuladi rumah. Sebagai ibu bapa, kitalah yang akanmenentukan sama adaanak-anak kita terdidik dengan nilai-nilai yang murni danmempunyaikekuatan dalaman untuk berhadapan dengan segala gejala negatif diluar rumah. Jelaslah, tanggungjawab menentukan keperibadian anak-anaksebenarnyaadalah tanggungjawab ibu bapa. Amat tidak adil untukmelepaskan tanggungjawab itusewenang-wenang ke atas bahu guru danpihak sekolah semata-mata. Dalam konteks ini, PIBGsekolah perlulah bersikap proaktif untuk menyumbang ke arah usaha tersebut selainmembantudalam kebajikan pelajar, guru dan juga pembangunansekolah. Alhamdulillah, setakat ini kerjasama yang baik dan erat telah ditunjuk olehpihak sekolah dan PIBG di SMK Mahang ini.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Mesyuarat Agung tahunan yang diadakan saban tahun merupakan masa yang terbaik bagi ibu bapa memberi pandangan, cadangan sertamembantu meningkatkan imej dan prestasi sekolah. Bagi para AJK tentunya ini masa untuk menilai sejauh mana usaha yang dilakukan memberikan hasil yang diharapkan dan diterima oleh para ibu bapa dan guru. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua guru dan tidak lupa kepada ahliPIBG yangsentiasa menyokong usaha-usaha peningkatan akademik sekolah tanpa jemu. Adalah diharapkan untuk Peperiksaan PT3 dan SPM pada tahun 2016  ini, SMK Mahang akan mencapai kejayaan yang lebih gemilang lagi. Usaha-usaha JK PIBG dalam menjayakan pelbagai program dan aktiviti telah juga dapat membantu sekolah meningkatkan keceriaan persekitarannya, memantapkan lagi hubungan guru dengan ibu bapa melalui aktiviti anjuran bersama seperti Majlis Hari Raya, Majlis Qurban, Kejohanan Sukan Sekolah, Hari Anugerah Pelajar, Program Jaya Waris,  Sambutan Maulidur Rasul dan sebagainya. Sebagai contohnya, pada bulan April depan pihak sekolah akan mengadakan Gotong Royong Perdana bersama PIBG untuk membersihkan kawasan kuarters sekolah. adalah diharapkan aktiviti seumpama itu dapoat mengeratkan hubungan guru-guru dengan para waris SMK Mahang.  Insya Allah, keyakinan dan kepercayaan tuan-tuan dan puan-puan tidak akan dipersiakan dan didoakan murid-murid di sekolah ini akan terus menempa kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan. Selain itu, saya juga ingin memaklumkan kepada semua ibu bapa yang hadir pada hari ini bahawa pada 31 Julai 2016 nanti SMK Mahang akan merayakan Perayaan Jubli Emas sempena 50 tahun penubuhannya. Mengikut perancangan Perayaan Jubli Emas ini diadakan pada tahun 2015 (1965-2015) tetapi atas faktor kekangan masa ia ditangguhkan pada tahun lepas.  Pada tahun ini saya mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan dan merealisasikannya. Acara ini bukanlah acara biasa yang memerlukan tindakan yang biasa tetapi merupakan acara yang julung-julung kali diadakan yang memerlukan usaha keras dan kerja keras daripada seluruh warga SMK Mahang. Oleh itu, sudah tentulah kami memerlukan sokongan padu daripada PIBG khususnya ibu bapa sekalian.
      Sesungguhnya, majlis pada pagi ini amat bermakna, di mana pihak sekolah dan ibu bapa dapat  bertemu untuk berbincang dan mencari kata sepakat, demi kepentingan dan masa depan anak-anak masing-masing. Permuafakatan seumpama inilah yang menjadi kunci kejayaan PIBG dan sekolah dengan mengambil kira batasan-batasan kuasa PIBG. Selain memilih dan melantik Jawatankuasa PIBG yang baru dan membincangkan usul-usul daripada ibu bapa, diharapkan juga mesyuarat PIBG pada pagi ini akan berbincang dan mendapat persetujuan bersama berkaitan perkara-perkara yang berkaitan  dengan PIBG bagi melancarkan lagi aktiviti atau program untuk kepentingan anak-anak kita yang belajar di sekolah ini.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi mengambil kesempatan disini untukmengucapkan terima kasih dan saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada JK PIBGyang bakal dipilih dandilantik sebentar nanti. Allah SWT sahajalah yang akan membalas segala jasa baik tuan-tuan dan puan-puan. Saya memohon maaf jika terdapat sebarang kekurangan dalam majlis ini dan keterlanjuran dalam ucapan saya tadi. Harapan saya ialah supayaMesyuarat Agung PIBG SMK Mahang kali ke- 38 ini  akan berjalan dengan lancar dan diberkati Allah S.W.T.
Sekian, terima kasih
Wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.











No comments:

Post a Comment