Photobucket

Wednesday, September 20, 2017

LATIHAN RUMUSAN KARANGAN SPM 2017


Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha melestarikan alam sekitar dan kesan-kesan kemusnahan alam sekitar. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Alam umpama makmal kehidupan. Para saintis dan penyelidik membandingkan kepentingan alam dengan semua benda hidup. Flora dan fauna saling melengkapi dan mengimbangi ekosistem alam sekitar. Kerosakan alam sekitar akan mengganggu kehidupan flora dan fauna. Kemusnahan alam sekitar akibat tangan-tangan rakus yang mengejar pembangunan perlu dihentikan. Antara langkah mencegah kemusnahan alam sekitar ialah Program Penghutanan semula Semula yang digiatkan dari semasa ke semasa. Sepatutnya kita hidup dimuka bumi ini sebagai penjaga dan memelihara alam ini sambil menggunakan segala sumber yang ada dengan bermanfaat dan bijaksana.

Usaha yang dilakukan ini menunjukkan keprihatinan pihak terlibat yang berikhtiar untuk memelihara dan memulihkan alam sekitar yang dimusnahkan akibat pembangunan yang tidak terkawal. Setiap pihak yang memusnahkan alam sekitar akan dikenakan tindakan kompaun oleh pihak berkuasa.  Syarikat swasta juga menjadikan agenda pemulihaaraan dan melestarikan alam sekitar sebagai agenda penting mereka. Kita juga hendaklah mengikis sikap memusnahkan alam untuk mengaut keuntungan jangka pendek seperti pembalakan dengan membiarkan generasi masa hadapan berputih mata. Chief Seattle berkata, “Kita tidak mewarisi bumi kita ini daripada nenek moyang kita, tetapi sebaliknya kita hanya meminjamnya daripada anak cucu kita.”Pihak berkuasa pula mestilah bertindak dengan mewujudkan piawaian perniagaan mesra alam agar penyangak-penyangak yang terlalu mementingkan diri ini tidak terlalu rakus memusnahkan alam sekitar. Usaha yang dilakukan ini bertujuan untuk memastikan komuniti setempat mempunyai kesedaran  menyeluruh dalam jiwa tentang kepentingan alam sekitar.

Di samping itu, sebarang bentuk perancangan pembangunan mesra alam perlu segera dilaksanakan  demi kesejahteraan rakyat. Kemajuan dalam bidang teknologi semakin mengagumkan. Kesedaran tentang penjagaan alam sekitar telah memajukan teknologi ke arah lebih mesra alam. Teknologi menggunakan sumber tenaga melalui cahaya matahari atau solar serta angin amat berjaya dalam menjaga alam sekitar. Pemuliharaan alam sekitar menjadi sangat mustahak kerana kita bergantung kepada bahan mentah yang berterusan dan mencukupi serta tidak pupus untuk jangka masa pendek. Sebenarnya,  kita boleh kumpul barangan terbuang yang boleh dikitar semula seperti barangan plastik, kertas, besi dan sebagainya untuk dijual atau guna semula tanpa memusnahkan alam.


Jangan fikir dan lihat apa yang orang lain lakukan. Jangan menuding jari, mulakanlah dari diri kita sendiri. Kini masih belum terlewat untuk kita bertindak. Bersama-samalah kita bertanggungjawab dalam melestarikan alam sekitar demi kehidupan yang lebih aman, sihat dan sejahtera di masa kini dan masa hadapan. 
(Dipetik dan diubahsuai daripada “Kempen Hijau UMW”, Utusan Malaysia, Januari 2014).


No comments:

Post a Comment