Photobucket

Saturday, September 14, 2013

PENCULIKAN KANAK-KANAK

Dalam jenayah penculikan di Malaysia, ia terbahagi kepada dua jenis: 
(a) Seksyen 360 Kanun Keseksaan:
Penculikan mangsa sehingga keluar daripada sempadan Malaysia
(b) Seksyen 361 Kanun Keseksaan:
Penculikan mangsa sehingga memisahkan mangsa daripada ibu bapanya atau penjaganya yang sah.

Mengikut Seksyen 360 Kanun Keseksaan:
(Penculikan mangsa sehingga keluar daripada sempadan Malaysia)
Sesiapa yang melarikan atau membawa keluar mana-mana individu melebihi daripada sempadan Malaysia tanpa restu/keizinan orang itu, atau mana-mana individu lain yang merupakan penjaganya yang sah memberikan keizinan bagi pihak orang itu maka perlakuan itu telah dianggap sebagai perbuatan menculik keluar daripada Malaysia. 

Berpandukan Seksyen 361 Kanun Keseksaan:
(Penculikan mangsa sehingga memisahkan mangsa daripada ibu bapanya/penjaganya yang sah)
Sesiapa yang mengambil/mengumpan/menarik keluar mana-mana kanak-kanak di bawah umur 14 tahun sekiranya lelaki, atau 16 tahun sekiranya perempuan, atau mana-mana orang yang gila/tidak siuman, berpisah/jauh daripada penjagaan penjaganya yang sah maka perlakuan itu dianggap sebagai perbuatan menculik daripada penjaga yang sah.

*Maksud penjaga yang sah mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan ialah mana-mana individu yang diberikan hak penjagaan ke atas kanak-kanak atau mana-mana individu lain. 

Hukuman bagi Jenayah Culik:
Mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan,
Sesiapa yang menculik mana-mana individu keluar daripada Malaysia atau memisahkannya daripada penjaganya yang sah, maka dia boleh dihukum dengan hukuman penjara yang boleh menjangkau sehingga tempoh 7 tahun dan boleh juga dikenakan denda. 

Dengan jenayah culik yang kerap kali berlaku kebelakangan ini, hukuman berat bagi jenayah culik sahaja tidak akan mampu untuk menakut-nakutkan mereka yang bernafsu binatang ini. Apa yang lebih penting buat masa sekarang ialah ibu bapa atau penjaga harus sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan tidak akan ada kejadian yang tidak diingini seperti jenayah culik berlaku ke atas anak mereka. 

Antara Langkah-Langkah Pencegahan Jenayah Culik:
1. Ibu bapa/penjaga tidak harus membiarkan anak mereka bermain di luar rumah/kediaman tanpa pemerhatian/penjagaan.
2. Ibu bapa/penjaga perlu tiba lebih awal bagi menjemput anak mereka di nurseri/tadika/sekolah.
3. Ibu bapa/penjaga tidak harus membiarkan anak mereka berkeliaran di luar rumah pada waktu malam.
4. Ibu bapa/penjaga harus sentiasa mengingatkan kepada anak mereka supaya tidak bercakap atau berada dekat dengan orang yang tidak dikenali. 
5. Anak-anak harus diingatkan supaya sentiasa menjauhkan diri daripada kawasan sunyi.
Natijahnya, anak merupakan kurniaan Tuhan yang akan membawa kebahagiaan dan hiburan kepada keluarga. Anak juga akan mewarnai masyarakat, nusa dan bangsa kita . Seisi masyarakat kita bertanggungjawab untuk melindungi mereka supaya membesar dengan aman dan sentosa. Janganlah kes jenayah kanak-kanak dan gangguan seksual menjadi fobia kepada ibu bapa tentang keselamatan anak mereka. Jangan terhantuk baru tengadah. Semua pihak yang terlibat tidak patut melepaskan batuk di atas tangga dan berusaha dengan gigih untuk melindungi hak kanak-kanak.
     Sebagai kesimpulannya, masalah kehilangan kanak-kanak di negara ini perlulah dikurangkan dengan adanya kerjasama antara semua pihak. Hal ini demikian kerana anak-anak ialah harapan nengara yang paling berharga pada masa depan. Tanpa aset yang berharga ini, negara akan menanggung kerugian yang besar. Di samping itu, pihak berkuasa perlulah memainkan peranan yang penting untuk memastikan keamanan dan keselamatan rakyat terjamin seperti menyediakan payung sebelum hujan. Untuk memastikan kanak-kanak dapat menjalani saat-saat kehidupan yang bermakna dan bahagia, ibu bapalah tempat mereka berlindung. Oleh itu, ibu bapa khususnya berperanan penting untuk memastikan anak-anak hidup bahagia, selamat dan terjamin keselamatannya.



No comments:

Post a Comment