Kehidupan di kampung dan di kawasan pedalaman pula sangat sukar untuk mendapat liputan dan rangkaian Internet. Begitulah yang berlaku kepada Cikgunie dan semua penduduk Malaysia yang mendiami di kawasan kampung. Walaupun membesar dan menerima pendidikan di bandar tetapi Cikgunie masih betah dengan suasana kampung. Perbezaan ketara pada alaf siber dan millenium antara penduduk bandar dan luar bandar ialah kemudahan Internet. Internet memainkan peranan penting untuk memudahkan perhubungan antara individu dengan individu yang lain. Namun, kemunculan laman sosial telah menyebabkan banyak kerja tertangguh.
Surirumah akan lewat mengemas rumah dan memasak kerana leka mengemaskini status di laman sosial seperti Facebook dan Twitter. Remaja pula tidak sempat menyiapkan kerja sekolah atau tugasan kuliah. Penjawat awam atau pekerja pula lewat menyiapkan tugasan yang diamanahkan kepada mereka kerana sibuk melayan laman sosial. Pasangan bercinta pula langsung tidak sempat menonton program televisyen kesukaan mereka seperti suatu ketika dahulu. Begitu juga dengan Cikgunie suatu masa dahulu. Semuanya kerana Internet.
Walau bagaimanapun, apabila tinggal di kawasan pedalaman yang jauh daripada kemudahan dan teknologi ICT, membuatkan kehidupan Cikgunie semakin tenang. Tiada kemudahan Internet memudahkan dan mempercepatkan urusan seharian Cikgunie. Kerja tidak terbengkalai, urusan dapat dilaksanakan dalam masa sehari dan Cikgunie mempunya masa melayan program televisyen kegemaran Cikgunie. Semuanya amat mudah dan senang. Tidak perlu terburu-buru atau mengejar masa kerana semuanya beres. Cikgunie amat bersyukur kerana di tempatkan di daerah yang susah dan tiada kemudahan Internet. Sesungguhnya, sudah terang lagi bersuluh, Internet mengundang pelbagai masalah sosial dan menyebabkan manusia malas melakukan rutin harian. Akibatnya kerja tergendala, urusan tertangguh dan kita menjadi tidak aktif dalam semua bidang. Pilihan di tangan kita. Buatlah pilihan yang tepat. Pastinya kehidupan Cikgunie lebih tenang dan urusan teratur tanpa Internet seperti tahun-tahun sebelum ini.
No comments:
Post a Comment