Ibarat irama dan lagu, guru dan peperiksaan tidak boleh dipisahkan. Tambahan pula guru yang mengajar kelas peperiksaan seperti UPSR, PMR atau PT 3 dan SPM bergelut dengan semua bentuk analisa soalan, soalan ramalan dan latih tubi setiap mata pelajaran yang diajar. Walau hanya seorang murid kelas peperiksaan yang gagal dalam peperiksaan, guru kelas peperiksaan terpaksa menjawab bagi pihak ibu bapa, pihak Panitia Mata Pelajaran, pihak Guru Kanan, pihak Penolong Kanan dan pihak Pengetua atau Guru Besar. Terlalu penat menjadi guru kelas peperiksaan.
Namun demi memajukan bangsa, agama dan negara, setiap guru kelas peperiksaan tidak jemu menganalisis soalan-soalan tahun-tahun lepas dan membuat ramalan sendiri berdasarkan analisa yang dibuat. Maka soalan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan pun hampir sama dengan soalan-soalan ramalan guru bagi setiap mata pelajaran yang diajar oleh guru-guru kelas peperiksaan. Akhirnya dikatakan soalan peperiksaan bocor. Adilkah?????
Baru-baru ini 19 guru kelas peperiksaan dan Guru Besar pun disiasat dan dibawa ke lokap seperti penjenayah. Pada hal guru terbabit hanya mahu memastikan anak-anak murid yang diajarnya lulus cemerlang dalam peperiksaan. Balasan untuk semua tenaga mereka yang tidak dibayar itu telah disalahtafsir oleh ibu bapa dan masyarakat seolah-olah guru terbabit melakukan rasuah atau jenayah kolar putih yang sangat dahsyat. Walhal soalan itu sebenarnya mungkin adalah soalan ramalan berdasarkan analisa soalan-soalan tahun lepas yang dibuat oleh guru-guru berkenaan. Hasilnya guru dilabel sebagai TIDAK AMANAH, TIDAK JUJUR DAN PENJENAYAH !!!!!! Mereka dibawa ke lokap sebagai pesalah jenayah yang telah dibicarakan berdasarkan cara mereka dilayan polis sedangkan mereka baru disiasat.
Kecanggihan teknologi maklumat harus disalahkan dalam kes soalan UPSR yang bocor baru-baru ini. Sikap masyarakat Malaysia atau sikap semua individu pula ialah suka menyebarkan sesuatu berita yang didengar tanpa diketahui kesahihan atau kebenarannya. Hasilnya 19 orang guru telah ditangkap. Adilkah????? Selepas ini jangan pula masyarakat dan ibu bapa menyalahkan guru kerana anak mereka tidak cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki termasuk Cikgunie. Cikgunie tidak berani menyiarkan soalan ramalan Bahasa Melayu Kertas 1 seperti tahun-tahun lepas kerana takut soalan ramalan Cikgunie betul-betul naik akan dikata Cikgunie membocorkan soalan pula. Nanti satu Malaysia pula akan menyaksikan muka Cikgunie dibawa ke lokap untuk siasatan.
Di sini Cikgunie merayu, wahai masyarakat, wahai ibu bapa dan wahai sekalian rakyat Malaysia, berfikirlah dengan waras. Jangan hanya menuding jari menyalahkan guru semata-mata kerana tindakan guru adalah untuk menyelamatkan anak-anak murid mereka semua. Lagi pun ini hanyalah peperiksaan UPSR. Lulus atau gagal tiada sebarang erti pun. Tetap boleh masuk Tingkatan 1. Lagipun tahun 2016 akan dimansuhkan Peperiksaan UPSR. Lainlah kalau peperiksaan SPM. Murid-murid mendapat Sijil untuk dijaja bagi mendapat tempat di Universiti atau mendapatkan kerja. Entahlah, kadang-kadang Cikgunie keliru sampai bila masyarakat hendak menghentam guru apabila timbul sesuatu isu. Hina sangatkah kami sebagai warga guru bagi kalian sekalian?