Photobucket

Monday, September 22, 2014

SOALAN RAMALAN TIDAK RELEVAN????

Cikgunie terdengar berita pagi tadi bahawa salah seorang orang Kementerian Pendidikan menyatakan bahawa calon peperiksaan tidak perlu bergantung kepada soalan ramalan dan perlu berdikari serta bertanggungjawab terhadap keupayaan diri sendiri. Mereka perlu berdikari untuk belajar menjawab soalan peperiksaan kerana matlamat akhir seorang murid belajar di sekolah ialah memperoleh dan mengaut sebanyak mungkin ilmu pengetahuan. Pelik dan janggal sangat bunyinya. Di mana tidak relevannya soalan ramalan kepada setiap calon peperiksaan? Soalan ramalan sangat membantu murid-murid menjawab soalan dalam peperiksaan kerana tidak semua silibus dalam setiap mata pelajaran akan keluar dalam peperiksaan. Sudahlah masa menjawab soalan terhad, tidak mungkin beratus-ratus soalan perlu dijawab dalam masa yang terhad. Itulah maksudnya pentaksiran dan penilaian.

Rasanya ibu bapa, masyarakat dan seluruh rakyat Malaysia tidak pernah tahu apa yang berlaku di sekolah. Macamlah semua murid yang datang ke sekolah hendak belajar dan mendapatkan ilmu sebanyak mungkin. Sebenarnya apa yang berlaku di semua sekolah ialah murid-murid tidak berminat untuk belajar apatah lagi hadir ke sekolah. Oleh sebab itu, ada murid yang ponteng kelas bagi mata pelajaran tertentu, ada juga murid yang hadir ke sekolah selepas itu keluar dari kawasan sekolah. Bagi murid yang hadir dan berada di dalam kelas pula, ada yang bersembang semasa guru mengajar, ada yang mengganggu murid lain semasa guru mengajar, ada juga yang bermain-main semasa guru  sedang mengajar dan paling sadis ada juga murid yang tidur hingga tidak sedar dir semasa guru sedang mengajar. Namun tidak dinafikan ada juga yang memberi fokus semasa guru sedang mengajar tapi sayang jumlah mereka tidak seramai murid yang tidak memberi fokus semasa guru sedang mengajar. Di sini, Cikgunie ingin bertanya, pada masa bila murid-murid atau lebih tepat lagi calon peperiksaan hendak menimba ilmu pengetahuan? Bila waktu pula mereka hendak belajar sendiri untuk berdikari mencari tajuk-tajuk atau topik bagi setiap mata pelajaran yang akan keluar dalam peperiksaan?

Ibu bapa serta masyarakat sekalian perlu ingat, seramai 490,000 lebih calon UPSR akan mengambil peperiksaan tahun ini perlu mengingat isi kandungan dan silibus setiap mata pelajaran ( 4 subjek sahaja ) dari Tahun 1 hingga Tahun 6! Mampukah mereka menganalisis berpuluh-puluh topik bagi setiap mata pelajaran untuk disaring dan dibaca sebagai soalan yang mungkin naik dalam UPSR?????? Impossible! Tidak mungkin! Tanpa bantuan guru yang menganalisis tajuk dan meramal soalan yang bakal keluar dalam peperiksaan, tidak sampai 5% calon UPSR akan mendapat 5A. Kita perlu ingat, untuk peperiksaan PT3 pun, murid-murid akan dinilai dan ditaksir semua mata pelajaran yang dipelajari dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3. Begitu juga bagi calon SPM. Mereka perlu belajar setiap mata pelajaran selama 2 tahun sebelum ditaksir dan dinilai dalam peperiksaan SPM. 8 mata pelajaran dan berpuluh-puluh topik yang dipelajari tetapi soalan yang ditanya hanya 40 soalan objektif dan 10 atau 20 soalan esei atau struktur. Baki topik-topik yang tidak relevan tidak akan keluar dalam peperiksaan. Adakah semua murid tahu soalan yang bagaimana akan keluar kalau bukan guru yang memberitahu mereka. Bukan mudah hendak mengingat kerana murid-murid tidak berminat untuk belajar. Apabila seorang guru bagi setiap mata pelajaran dari setiap buah sekolah yang berada di setiap buah negeri di Malaysia menganalis dan meramal topik-topik tertentu yang bakal keluar bagi setiap mata pelajaran 100% dapat membantu meningkatkan pencapaian murid-murid dalam peperiksaan. Tidak percaya???? Hanya warga pendidik sahaja yang tahu makna kecemerlangan bagi setiap orang murid. Murid-murid yang cemerlang akademik ialah murid-murid yang cemerlang sahsiah mereka.

No comments:

Post a Comment