Photobucket

Sunday, October 26, 2014

PANDUAN DAN ARAHAN SEMASA MENDUDUKI SPM


ARAHAN TENTANG KERTAS PEPERIKSAAN

Calon hendaklah:

Menyemak butiran kod kertas, nama kertas, masa peperiksaan dan arahan pada muka hadapan kertas peperiksaan bagi memastikan calon mendapat kertas peperiksaan yang betul.

Memaklumkan kepada Ketua Pengawas Peperiksaan dengan segera jika menerima kertas peperiksaan yang salah atau tidak lengkap.
Membaca dan mematuhi semua arahan pada muka hadapan dan muka belakang (jika ada) kertas peperiksaan sebelum peperiksaan dimulakan.


ARAHAN TENTANG KERTAS JAWAPAN DAN SKRIP JAWAPAN PEPERIKSAAN

Calon hendaklah:

Menulis Nombor Kad Pengenalan atau Nombor Pengenalan Diri dan Angka Giliran dengan jelas dan betul di muka hadapan skrip jawapan peperiksaan.

Menulis Angka Giliran, Nombor Kad Pengenalan atau Nombor Pengenalan Diri, Nama Kertas, Kod Kertas dan Nombor Soalan dengan jelas dan betul di muka hadapan Helaian Tambahan (HT).

Menulis jawapan dengan menggunakan pena mata bola berdakwat hitam atau biru. Pensel atau pena mata bola berdakwat selain hitam atau biru boleh digunakan untuk melukis gambar rajah dan peta.

Menulis semua jawapan dalam Bahasa Melayu kecuali bagi kertas peperiksaan yang membenarkan atau memerlukan calon menjawab dalam bahasa lain.

Menulis dengan jelas nombor soalan pada kertas jawapan seperti yang tertera pada kertas peperiksaan. Calon tidak perlu menyalin soalan.

Memastikan Angka Giliran, Nombor Kad Pengenalan, Nama Kertas, Kod Kertas dan Nombor Soalan telah ditulis dengan betul pada ruangan yang disediakan pada kertas peperiksaan dan kertas jawapan seperti BJ dan HT apabila diarah berhenti menulis.

Memastikan setiap helaian tambahan disusun mengikut urutan nombor soalan
sebelum diikat bersama kertas peperiksaan atau BJ.

Berada di tempat duduk yang ditetapkan semasa skrip jawapan peperiksaan
dikumpul semula oleh Pengawas.


ARAHAN TENTANG JAWAPAN OBJEKTIF BERMAKLUMAT (JOB) DAN

JAWAPAN OBJEKTIF TIDAK BERMAKLUMAT (JOTB)

Calon yang menerima kertas JOB hendaklah menyemak Nama Calon, Angka Giliran, Nombor Kad Pengenalan, Kod Kertas dan Nama Kertas pada kertas JOB berkenaan.

Calon dilarang membuat sebarang pindaan terhadap maklumat yang telah dicetak pada Bahagian A. Kosongkan Bahagian B dan Bahagian C.

Calon hendaklah memaklumkan kepada Ketua Pengawas Peperiksaan dengan segera jika menerima kertas JOB yang salah atau tidak lengkap.

Calon yang menerima kertas JOTB hendaklah melengkapkan Nama Calon, Angka Giliran, Nombor Kad Pengenalan, Kod Kertas dan Nama Kertas pada ruangan yang disediakan dan hitamkan ruang yang berkenaan. Kosongkan Bahagian B dan Bahagian C.

Calon hendaklah menanda ruangan BAHASA DIGUNAKAN untuk menjawab
kertas peperiksaan yang berkenaan.

Calon hendaklah menggunakan pensel 2B atau BB sahaja.


Calon hendaklah memastikan ruang jawapan yang dihitamkan memenuhi
keseluruhan ruang.

Calon hendaklah menggunakan getah pemadam jenis lembut sahaja untuk memadamkan hingga bersih tanda jawapan yang tidak dikehendaki. Calon dilarang menggunakan pemadam jenis cecair, kimia, pelekat atau seumpamanya.

Calon dilarang melipat, menggulung atau merenyuk Kertas JOB dan JOTB.

Calon dilarang membuat lubang atau apa-apa tanda yang tidak dikehendaki pada Kertas JOB dan JOTB.


AMARAN DI DEWAN/BILIK PEPERIKSAAN

Tidak dibenarkan melipat atau merenyuk kertas jawapan sama ada yang belum atau pun yang telah digunakan.

Tidak dibenarkan keluar dari dewan/bilik peperiksaan 30 minit pertama peperiksaan dimulakan dan 10 minit terakhir sebelum peperiksaan ditamatkan kecuali dengan kebenaran Ketua Pengawas Peperiksaan.

Tidak dibenarkan membawa keluar dari dewan/bilik peperiksaan kertas peperiksaan sebelum peperiksaan tamat.

Tidak dibenarkan mengganggu ketenteraman di dalam atau berhampiran dewan/bilik peperiksaan semasa peperiksaan.

Tidak dibenarkan memakai pakaian yang tidak sopan dan mencolok mata.

Tidak dibenarkan merokok di dalam dewan/bilik peperiksaan.


LARANGAN DI DEWAN/BILIK PEPERIKSAAN

Calon dilarang:

Membawa masuk sebarang catatan sama ada pada pakaian atau anggota badan, nota, dokumen seperti buku, lukisan, grafik, akhbar, kamus, kertas, Jadual Waktu Peperiksaan serta telefon bimbit, alat-alat komunikasi atau peranti elektronik, bekas alatulis dan beg ke dalam dewan/bilik peperiksaan kecuali alat tambahan yang dibenarkan semasa peperiksaan.

Menulis nota pada pakaian, anggota badan, dinding atau meja tulis di dewan/bilik peperiksaan.

Mendedahkan kertas peperiksaan atau/dan jawapan peperiksaan sehingga boleh dibaca oleh calon lain.

Memberikan pertolongan, mendapatkan pertolongan, berhubung dengan orang lain di dalam atau di luar dewan/bilik peperiksaan walau dengan apa cara sekalipun yang boleh disabitkan dengan perbuatan salah laku dalam peperiksaan.

Menukar kertas peperiksaan atau/dan jawapan peperiksaan dengan calon lain.

Menukar tempat duduk yang telah ditetapkan tanpa kebenaran daripada Ketua Pengawas Peperiksaan.

Menyamar atau membenarkan orang lain menyamar bagi pihak calon.

Membuat rujukan di luar dewan/bilik peperiksaan semasa peperiksaan

Membawa kertas peperiksaan keluar dari dewan/bilik peperiksaan semasa peperiksaan.

Membawa kertas/skrip jawapan peperiksaan sama ada yang belum atau pun yang telah digunakan keluar dari dewan/bilik peperiksaan.

Membawa kertas peperiksaan tertutup keluar dari dewan/bilik peperiksaan.


1 comment:

  1. Nak tanya..kalau kita tersilap tulis nombor dekat bahagian C Bm tu mcm mana? Aduh xsenang duduk..

    ReplyDelete