Photobucket

Saturday, August 13, 2011

SAJAK Antologi Harga Remaja...

TIBA WAKTUNYA
Angin musim semakin deras dan ganas
meniup tamadun ke era yang pantas
lihatlah siapa mereka yang memanjang langkah
merebut tunas-tunas harapan yang hijau
dari putik dan pucuk berembun kemilau.

Haruskah kita tunduk mengutip sisa-sisa
atau berada di sana meraih sejahtera
usah kau tanaya persoalan atau dilema
kerana ini bukan waktunya
untuk berhujah perlu tidaknya
dan masa pun tidak akan menanti
buat mewajar padah atau simpati.

Wanita zaman siber
perlu mengacung minda ke tengah arena
suara dan kudratmu adalah pemangkin aspirasi
menuju wawasan era globalisasi.

Lepaskan segala belenggu kedaifan
huraikan segala keliru kekusutan
wanita zaman ini perlu bangun berani
yakin diri tahan diuji
tinggi pekerti anggun gerak-geri
terunggul dalam segala segi.

Mari kita jana semua upaya
dalam menjulang citra seluruh wanita
dengan kudrat mental juga fizikal
berbekal iman dan semangat cekal
kita gerakkan kemampuan yang pukal.
Kini sudah tiba waktunya
kita bertakhta di persada dunia.

GHAZALI LATEH
Antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tema
Kesedaran golongan wanita bangun membantu negara mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang.

Persoalan

  • Keberanian golongan wanita menyahut cabaran.
  • Kesanggupan kaum wanita merebut semua peluang pekerjaan.
  • Tanggungjawab wanita dalam membangunkan negara.
  • Kemampuan dan ketabahan kaum wanita menghadapi dugaan dan cabaran.
  • Mengekalkan keanggunan dan budi pekerti walaupun menyandang pelbagai jawatan.

No comments:

Post a Comment