Tuesday, August 23, 2011

SUBGOLONGAN KATA TUGAS


Kata Adverba
Unsur kata adverba merupakan subgolongan kata tugas yang terkini dan dipersetujui oleh para penyusun Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008) untuk menambah subgolongan kata bahasa Melayu. Kata adverba dikelompokkan sebagai kata prafrasa dan pascafrasa. Menurut Nik Safiah Karim et. al. (2008) kata adverba ialah perkataan yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, atau frasa sendi nama.

Untuk memahami konsep kata adverba, mari kita teliti ayat-ayat yang berikut:
1.    Kami selalu memperkatakan hal itu.
2.    Mereka datang ke sini diam-diam.
3.    Setinggi-tinggi bangau terbang, akhirnya hinggap di belakang kerbau juga.

Ketiga-tiga perkataan yang ditebalkan dikenali sebagai kata adverba, iaitu kata yang menerangkan kata kerja, kata adjektif atau frasa sendi nama. Hal yang sama dapat diteliti pada perkataan sentiasa, tersipu-sipu, serta-merta, dan kadang-kadang dalam ayat-ayat 4 - 7.
4.    Badannya sihat sentiasa.
5.    Gadis sunti itu malu tersipu-sipu.
6.    Dia serta-merta ke hospital apabila mendengar berita kematian itu.
7.    Lelaki itu kadang-kadang di rumah untuk menjaga ibunya yang uzur.

Dalam ayat 4, sentiasa menerangkan kata adjektif sihat, manakala dalam ayat 5, tersipu-sipu menerangkan kata adjektif malu. Perkataan serta-merta dan kadang-kadang dalam ayat 6 dan 7 menerangkan  frasa sendi nama ke hospital dan di rumah.

Penggolongan Kata Adverba: Kata Adverba Jati
Nik Safiah Karim et. al. (2008) mentakrifkan kata adverba jati ini sebagai perkataan yang yang berfungsi sebagai penerang kepada kata dan frasa kerja, kata dan frasa adjektif, atau frasa sendi nama. Contohnya:

    semalam
    dahulu
  julung kali
    sempat
    kelmarin
    tadi
  sentiasa/senantiasa
    langsung
    esok
    kemudian
  kadang-kadang
    nyaris
    lusa
    barangkali
  Saling
    begitu
    tulat
    sering kali
  sekali gus
    begini
    kelak
    acap kali
  Serentak
    demikian
    sekarang
    kerap kali
  jarang kali
    pertama kali
    agaknya
    nanti



Contoh kata adverba jati dalam ayat adalah seperti yang berikut:
1.    Pelajar-pelajar dari Pantai Timur tiba semalam.
2.    Mesyuarat itu akan berlangsung esok.
3.    Dalam perundingan itu, pihak pejuang kerap kali dipersalahkan oleh negara kuasa besar.

Kata Adverba yang Asalnya Kata Adjektif
Kata adverba ini asalnya ialah kata adjektif yang berfungsi sebagai penerang kepada kata kerja, kata adjektif, atau frasa sendi nama, misalnya:
          berjalan laju
        sakit kuat
          ketawa besar
        sering di pejabat
          bertiup kencang
        panjang lebar
          terbang tinggi
        tinggi lampai
          hampir terjatuh
        ke hospital segera
          kurang berhati-hati
        dari rumah selalu
          besar panjang
       

Kata Adverba yang Asalnya Kata Kerja
Kata adverba ini pula asalnya ialah kata kerja yang berfungsi sebagai penerang kepada kata kerja, kata adjektif, atau frasa sendi nama, misalnya:
         berjalan mengiring
        hitam berkilat
         terbang meninggi
        merah menyala
         berenang melentang
        tenang membiru
         putih berseri
        di rumah bersendirian
         tinggi mengawan
        ke hutan menyendiri

Kata Adverba Bentuk Gandaan
Kata adverba ini terbentuk daripada proses penggandaan (penuh, separa, dan berentak) yang berfungsi menerangkan kata kerja, kata adjektif, atau frasa sendi nama, sebagaimana contoh yang berikut:

Penggandaan penuh
betul-betul, sedikit-sedikit, jarang-jarang, laju-laju, malam-
malam, pura-pura, cepat-cepat, sama-sama, tinggi-tinggi,
diam-diam


Penggandaan separa
terkinja-kinja, berdikit-dikit, bermalam-malam, bersungguh-sungguh, sekali-kali, terkedek-kedek, terkial-kial,
berderet-deret, sepandai-pandai, selama-lamanya,seikhlas-ikhlasnya, secepat-cepatnya, setinggi-tingginya, semahu-mahunya, gila-gilaan, habis-habisan, besar-besaran,
kecil-kecilan, mati-matian

Penggandaan berentak
menangis sedu-sedan, berbunyi hingar-bingar, bekerja
tungkus-lumus, berjalan mundar-mandir, lari lintang-pukang, berjalan huyung-hayang, datang serta-merta


Latihan
1.  Jelaskan kelainan bentuk kata perintah dalam komunikasi harian.
2.  Nyatakan sumber yang mengandungi banyak contoh kata pangkal ayat.
3.  Apakah beza antara ialah dengan adalah?
4.  Apakah beza antara bukan dengan tidak?
5.  Nyatakan dua contoh penggunaan kata penekan.
6.  Jelaskan konsep-konsep yang berikut:
a)   kata penyambung ayat
b)    kata praklausa
c)   kata prafrasa dan pascafrasa
d)   kata pascakata
7.   Bagi setiap jenis adverba yang dihuraikan, bina satu ayat contoh

No comments:

Post a Comment