Photobucket

Thursday, February 28, 2013

Latihan Rumusan Karangan SPM 2013


Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara memanfaatkan masa lapang oleh murid-murid sekolah dan halangan murid-murid memanfaatkan masa lapang merekaPanjangnya rumusan tersebut hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Biasanya selepas murid-murid menghadapi peperiksaan awam seperti Peperiksaan UPSR, dan Penilaian Menengah Rendah, masa murid-murid  masih banyak di sekolah. Masa yang panjang ini perlu diisi dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah dan bukannya dibiarkan berlalu begitu sahaja. Oleh kerana murid-murid yang mengambil peperiksaan ini masih berada di sekolah selepas peperiksaan, pihak sekolah mestilah mengadakan pelbagai program termasuk lawatan ke tempat-tempat bersejarah. Selain itu, pihak sekolah boleh mengadakan aktiviti ceramah serta perkhemahan untuk memberi faedah kepada murid-murid agar tidak ponteng sekolah. Contohnya menerusi Persatuan Sejarah, murid-murid akan mendapat pendedahan tentang sejarah Malaysia dan  budaya    sesuatu tempat yang mereka lawati.

Pihak sekolah juga boleh mengadakan pelbagai pertandingan yang menawarkan hadiah yang menarik seperti pertandingan membaca, bahas, kuiz, berbalas pantun dan sebagainya. Dalam hal ini, pihak sekolah memstilah memastikan bahawa murid-murid yang telah selesai menghadapi pepriksaan awam tidak akan ponteng sekolah dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah. Guru-guru pula mestilah memainkan peranan dengan memberikan penekanan kepada murid-murid tentang matlamat mereka berada di sekolah bukan hanya untuk lulus peperiksaan sahaja tetapi juga untuk mempelajari pelbagai ilmu lain. Langkah yang boleh dilakukan oleh guru ialah membuat pelbagai aktiviti yang melibatkan murid seperti membuat mural di dinding sekolah dan mencantikkan bilik darjah.

Pertandingan sukan antara sekolah juga boleh diadakan untuk memberikan pendedahan kepada murid-murid tentang kepentingan sukan. Selain itu Program 1 Murid 1 Sukan dapat diterapkan dengan lebih berkesan dalam diri setiap murid.  Semangat kesukanan dapat diterapkan dalam diri murid-murid agar mereka memahami erti kekalahan dan kemenangan yang diperoleh semasa pertandingan. Walaupun demikian, aktiviti selepas peperiksaan tidak hanya dibebankan kepada pihak sekolah sahaja. Sebaliknya ibu bapa dan masyarakat perlu juga melibatkan diri untuk membantu pihak sekolah dengan melaporkan aktiviti yang tidak berfaedah oleh murid-murid sekolah kepada pihak sekolah.

Oleh itu, ibu bapa tidak boleh lepas tangan, tetapi mereka perlu memainkan peranan untuk memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dalam gejala negatif selepas tamat peperiksaan. Ibu bapa perlulah memantau dan memerhati pergerakan anak-anak agar sentiasa berada di sekolah dengan sentiasa menghubungi pihak sekolah untuk mengetahui keadaan anak-anak mereka. Ibu bapa juga boleh meluangkan masa datang ke sekolah untuk melihat sendiri aktiviti anak-anak mereka selepas peperiksaan. Kerjasama semua pihak dapat menghindarkan murid-murid melakukan gejala tidak sihat selepas peperiksaan.

(Dipetik dan diubah suai daripada ”Manfaat Masa Lepas Peperiksaan” oleh M. Jasni Majed, Harian Metro, Oktober 2010)  

No comments:

Post a Comment