Keluarga Bahagia Masyarakat Sejahtera
KELUARGA
adalah asas ke arah pembentukan masyarakat yang bahagia dan sejahtera.
Pembinaan keluarga bahagia mestilah menerapkan cara hidup yang positif
berlandaskan ilmu dan nilai-nilai yang baik. Dalam kehidupan, setiap insan
mempunyai cara hidup tersendiri untuk menentukan kebahagiaan. Sebuah keluarga
yang bahagia mampu melahirkan masyarakat sejahtera kerana kehidupan setiap
individu bermula di rumah atas didikan dan bimbingan ibu bapanya. Justeru,
Islam menggalakkan perkahwinan untuk mengawal dan mengatur fitrah manusia baik
di dunia mahupun di akhirat.
Melahirkan
masyarakat sejahtera bermula dari rumah tangga setiap pasangan yang berkahwin.
Perkahwinan setiap pasangan akan melahirkan zuriat sebagai pewaris keturunan
mereka. Perkahwinan yang berlandaskan perasaan kasih dan sayang antara suami
dan isteri akan membentuk kerukunan dalam rumah tangga. Rumah tangga yang rukun
akan membentuk suasana yang harmoni dalam masyarakat. Apabila anak-anak dibentuk dengan baik dalam sesebuah keluarga, maka
masyarakat di sekelilingnya akan harmoni dan sejahtera. Sehubungan dengan itu, bu
bapa hendaklah berusaha membentuk anak-anak mereka menjadi generasi hebat dan berkualiti. Contoh
membina keluarga bahagia boleh diperoleh daripada pendekatan Rasulullah SAW kepada
ahli keluarganya. Rasulullah SAW adalah seorang suami dan ayah yang sangat
mengambil berat terhadap kebajikan keluarganya. Rasulullah SAW juga merupakan
bapa yang sangat penyayang terhadap anak-anaknya. Walaupun baginda pemimpin
masyarakat, kewibawaannya sebagai suami dan ayah tidak dapat ditandingi.
Rasulullah SAW juga seorang suami yang sangat romantik. Oleh itu, setiap
pasangan perlu menjadikan Rasulullah SAW sebagai suri teladan untuk mewujudkan
kebahagiaan dalam rumah tangga mereka.
Keupayaan
seseorang suami sebagai pemimpin dalam sesebuah keluarga adalah sangat penting.
Suami yang merupakan ketua keluarga perlu mempunyai hala tuju serta matlamat
yang jelas dalam usaha membentuk keluarga bahagia. Keluarga bahagia bergantung
kepada corak pentadbiran dan pengurusan ketua keluarga. Ibu bapa yang terlalu
mengutamakan harta benda, kerja dan keseronokan hawa nafsu menjadi penyumbang
kepada masalah dalam keluarga. Selain itu, kehidupan yang mementingkan hiburan
dan kebebasan sosial dikatakan faktor sampingan yang membawa kepada masalah
dalam rumah tangga. Sebagai ketua keluarga, setiap suami perlulah menjaga
kebajikan setiap ahli keluarganya. Keperluan anak-anak dan isteri hendaklah
dipenuhi mengikut kemampuan. Kasih sayang sangat penting dalam menjalin
hubungan dengan anak-anak. Meluangkan masa berkualiti dengan setiap ahli
keluarga dapat mengelakkan masalah sosial yang tidak mengira mangsa. Manusia
memerlukan petunjuk dan hidayah Allah SWT untuk mencapai kejayaan dalam
kehidupan duniawi dan ukhrawi. Keluarga sangat penting dalam kehidupan manusia
kerana ia merupakan asas dalam pembinaan masyarakat dan negara yang sejahtera.
Pembangunan keluarga perlu difahami sebagai prinsip asas ke arah membina
keluarga bahagia. Oleh itu, sebagai pemimpin dalam rumah tangga, setiap suami
perlulah mempunyai pegangan agama yang kental untuk membimbing keluarga menuju
kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Perceraian
dalam kalangan pasangan yang berkahwin di negara ini semakin meningkat. Statistik
perkahwinan di seluruh negara pada 2008 mencatatkan 130,314 bilangan pasangan
yang berkahwin. Manakala yang bercerai membabitkan 22,289 kes. Oleh itu, kes
perceraian dikatakan semakin meningkat setiap 15 minit membabitkan satu
pasangan bercerai. Isu sosial semasa di Malaysia yang merangkumi permasalahan
individu, keluarga, masyarakat menjadi punca perceraian di negara kita.
Justeru, usaha melahirkan keluarga bahagia adalah tanggungjawab setiap pasangan
yang berkahwin. Tolak ansur dan bertoleransi adalah kunci utama kebahagiaan
sesebuah keluarga. Setiap pasangan perlu mempunyai sikap tolak ansur untuk
mengelakkan pertengkaran yang boleh membawa kepada perceraian. Mengamalkan
sifat mengalah untuk memberi laluan kepada pasangan menyedari kesilapan yang
dilakukan dapat memaksimumkan kebahagiaan dalam keluarga. Suasana yang harmoni
dalam keluarga akan memberi impak maksima kepada tumbesaran anak-anak kerana
bagaimana acuan begitulah kuihnya. Oleh itu, anak-anak yang terasuh dalam
keluarga yang harmoni akan membentuk masyarakat yang sejahtera.
Terdapat
beberapa kajian dari Timur dan Barat yang telah menghasilkan buku berkaitan
dengan pembangunan keluarga. Setiap pasangan mempunyai tanggungjawab yang perlu
dilaksanakan bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan yang berkekalan sehingga ke
akhir hayat. Memetik pandangan ilmuwan Islam, Muhammad Al-Ghazali yang
menyatakan pendidikan yang baik akan membentuk akhlak yang luhur. Akhlak yang luhur dibawa oleh Rasulullah SAW telah
berhasil membawa masyarakat yang penuh dengan petunjuk hidayah. Segala
tindakan, aktiviti dan amalan yang dilakukan oleh ahli keluarga mestilah
berlandaskan Islam. Rasulullah SAW pernah menjelaskan: "Bahawasanya aku
diutus Allah untuk menyempurnakan keluhuran akhlak (budi pekerti)."
(riwayat Ahmad). Pembinaan akhlak yang baik juga menjadi penyumbang kepada
pembentukan keluarga yang bahagia dan sejahtera. Pembentukan iman, akhlak dan
amal yang baik akan menjurus kepada kehidupan yang bahagia. Tokoh pendidik,
Prof. Dr. Hassan Langgulung menjelaskan pembentukan insan soleh sangat penting
dalam pembinaan keluarga. Insan soleh adalah manusia yang mendekati
kesempurnaan. Oleh itu, setiap pasangan yang berkahwin mestilah memahami sumber
rujukan utama, iaitu al-Quran dan al-Sunnah selepas melayari alam rumah tangga
bagi membentuk keluarga yang bahagia.
Memang tidak dapat disangkal bahawa
keluarga merupakan unit asas kepada pembentukan masyarakat sakinah dalam usaha membangunkan
generasi yang berketrampilan, bersahsiah mulia, dan berilmu. Keluarga yang
bahagia dapat mengamalkan solat berjemaah di rumah sekurang-kurangnya 2 waktu
sehari. Solat berjemaah dapat melahirkan perasaan saling memerlukan antara
setiap ahli keluarga. Aktiviti bersalam-salaman dengan ahli keluarga selepas
solat berjemaah dapat mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga. Taiada
perasaan hasad dan iri yang dapat bertandang di sudut hati setiap ahli keluarga
selepas solat berjemaah. Solat itu tiang agama. Maka dengan melaksanakan solat
berjemaah di rumah bersama ahli keluarga dapat mewujudkan perasaan sayang
menyayangi antara satu sama lain. Rasa cinta dan mengasihi sesame ahli keluarga
akan memantapkan kebahagiaan sesebuah keluarga. Mutiara kata ada menyebut, bagi
aur dengan tebing. Begitulah ibaratnya sebuah rumah tangga yang dilingkari
kebahagiaan akan menumpahkan keharmonian kepada masyarakat sejagat.
Pincang keluarga, pincanglah masyarakat.
Hidup bukan keseorangan, sebaliknya hidup memerlukan interaksi sosial yang
ditanggung bersama sebagai khalifah di muka bumi ini. Tanpa keluarga bahagia,
siapalah kita? Mengendalikan bahtera rumah tangga dengan penuh kasih sayang
waima dunia pascakemodenan ini penuh dengan pancaroba. Ramai yang menikmati hidup di rumah besar tapi yang mereka rasa hanya
kosong, dan ramai yang hidup di rumah kecil, tapi mereka temui syurga di
dalamnya. Menikmati sebuah kebahagiaan tidaklah begitu mahal, kerana harganya cumalah kasih sayang, masa
bersama dan kesudian berkongsi rasa. Kita semua mampu membayarnya. Allah SWT merakamkan
kisah keluarga Imran dalam kitab suci Al-Quran. Kenapa? Hal ini adalah
kerana keluarga Imran adalah keluarga
contoh yang merasa risau akan zuriat mereka. Bukan risau soal makan, minum dan
tempat berteduh. Bukan juga soal pakaian dan hiburan. Tapi keluarga Imran
risaukan nasib zuriatnya, andai mereka gagal dibentuk menjadi sebenar-benar
insan. Bagaimana pula dengan masyarakatnya kelak? Oleh itu, keluarga yang
bahagia akan menjamin kesejahteraan masyarakatnya.
Ibu bapa yang
reda dengan zuriat masing-masing akan berjaya membentuk keluarga bahagia. Tidak
semua impian setiap pasangan akan dikabulkan Tuhan. Ada pasangan yang dikurniai anak-anak yang
comel. Ada
paangan yang langsung tidak mempunyai zuriat. Namun, ada juga pasangan yang
dikurniai anak-anak istimewa. Tidak seharusnya ibu bapa meminggirkan anak-anak
yang kurang upaya atau anak-anak yang tidak bijak hingga melahirkan perasaan
tersisih dalam diri anak-anak. Dalam kitab sejarah Ennels, karya Tesites, kisah
masyarakat Rom Purba telah dinukilkan. Pada tahun ke seratus, hidup atau mati
seorang anak kecil, bergantung pada belas ihsan seorang ayah. Bagi wanita
berada, yang mereka dahulukan adalah kemewahan, dan anak-anak diserahkan pada
hamba yang paling hina. Lebih dahsyat, seks rambang dan arak adalah rutin
harian mereka. Justeru, seorang ayah berperanan menjaga anak-anak mereka untuk
terus menikmati kelangsungan hidup.
Peranan seorang
ketua keluarga dapat mengekalkan kebahagiaan yang sepatutnya menjadi milik
setiap orang anak. Dunia juga telah membuktikan, Hellen Keller
yang dilahirkan pekak, buta dan bisu, atau Michael Oher yang berketurunan
Afrika, atau Riced Brenson, seorang kanak-kanak disleksia. Mereka semua tidak akan
membesar menjadi sumber inspirasi dan tokoh dunia, tanpa pengorbanan keluarga
yang berhati suci, dan yang menerima mereka seadanya. Di sebalik warna kulit
yang berbeza, di sebalik jasad yang tidak sempurna, dan disebalik sejarah hidup
yang hina, rasa syukur dan ikhlas sebuah keluarga, membawa mereka semua merasa
erti bahagia. Oleh itu, setiap ibu bapa
yang mempunyai anak-anak istimewa sepatutnya bersyukur dengan zuriat yang
dianugerah kepada mereka. Memiliki sesuatu yang tidak dimiliki oleh orang lain
adalah satu anugerah. Persamaan dan perbezaan diukur dengan setiap apa yang
dimiliki. Sesungguhnya manusia sentiasa ingat apa yang dimiliki oleh orang lain
dan sentiasa lupa dengan apa yang mereka miliki. Begitu juga dengan anak-anak.
Kebahagiaan bukan diukur dengan kelebihan tetapi juga kekurangan kerana
kekurangan kita adalah kesempurnaan orang lain. Seyogia, terimalah seadanya apa
yang kita miliki kerana kebahagiaan itu milik semua insane.
Intihanya,
kebahagiaan adalah impian semua orang. Kebahagiaan rumah tangga dan kebahagiaan
dalam kehidupan adalah saling berkait. Kebahagiaan dalam kehidupan bermula
daripada kehidupan dalam rumah tangga. Rumah tangga yang aman akan melahirkan
persekitaran yang harmoni. Persekitaran yang harmoni akan melahirkan
kesejahteraan masyarakat. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Oleh itu,
berusahalah mencari kebahagiaan kerana di situ kunci kejayaan.