Photobucket

Thursday, October 17, 2013

CONTOH KARANGAN JENIS RENCANA


                    ‘’Kesan-kesan buruk Pengambilan Makanan Segera Secara Berlebihan’’

                                                Oleh : Siti Amiirah Amirullah

 

Kebiasaan mengambil makanan segera seperti burger, piza,dan mi segera sudah menjadi  suatu  trend dalam kalangan rakyat Malaysia. Tapi sedarkah kita bahawa negara kita Malaysia terkenal dengan keunikan pelbagai makanan tradisional yang sangat membuka selera? Namun, mengapa lebih ramai yang gemar menghabiskan wang ringgit untuk makanan yang hanya nikmat sesaat tetapi menanggung sengsara berpanjangan? Inilah fenomena yang amat menggusarkan. Media-media massa  dan corong-corong radio juga telah memainkan peranan mereka dengan cukup baik sekali namun inilah gaya hidup rakyat negara kita sehingga kita masih dibelenggu dan mengamalkan budaya hidup negara yang pernah menjajah kita. Sikap sambil lewa yang hanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri  menjadi kerisauan  kepada pemimpin negara kita yang ingin melihat rakyatnya hidup dalam keadaan yang sihat dan mengamalkan pemakanan seimbang serta tidak memudaratkan. Lebih-lebih lagi, jika kita nilai dari sudut ekonomi, restoran-restoran segera ini mengancam ekonomi para pengusaha restoran tempatan. Tidakkah ekonomi negara akan merudum dan rakyat negara kita tanpa disedari sedang meningkatkan ekonomi negara luar. Oleh itu,kita haruslah tahu akan kesan-kesan pengambilan makanan segera secara berlebihan.

            Sebagai seorang kanak-kanak, selera makan mereka pastinya tertumpu kepada makanan yang lazat dan menggiurkan sahaja. Mereka akan makan makanan yang mereka suka tanpa memikirkan kesan yang akan berlaku kepada mereka nanti. Di sini, ibu bapalah yang harus memainkan peranan untuk mengawal pengambilan  makanan segera bagi kanak-kanak . Jangan menjadikan rasa sayang kepada anak-anak sebagai satu alasan untuk memberi  mereka makanan yang tidak sesuai yang mana akan mempengaruhi  tumbesaran kanak-kanak. Sayang bukanlah bermaksud hanya memberi kepuasan kepada mereka tetapi sayang adalah apabila kita menjaga seseorang dengan baik dalam jangka masa yang panjang.  Nyawa tidak bisa dijual beli.  Janganlah apabila nasi sudah menjadi bubur baru hendak menyesal tidak berkesudahan. Sedarlah bahawa sesal dahulu pendapatan,sesal kemudian tiada guna. Justeru, adalah baiknya sebagai seorang yang makan garam terlebih dahulu, ibu bapa menasihati dan mengawal pengambilan makanan segera kanak-kanak. Sebagai contohnya, ibu bapa menghidangkan sayuran di dalam sarapan pagi ataupun menyediakan salad  untuk anak-anak mereka.  Justeru, diharapkan bahawa pihak ibu bapa sedar akan kesan buruk pengambilan makanan segera bagi kanak-kanak.

            Seperti yang kita semua sedia  maklum, peningkatan harga minyak sudah menjadi bualan ramai pihak khususnya golongan yang berpendapatan rendah. Dengan ini, sudah semestinya perancangan keluarga akan terjejas. Jika kita sering mengamalkan pengambilan makanan yang menjadi punca tegar kepada penyakit-penyakit yang bisa membawa kepada peperangan ajal dan maut ini, bukankah terjadi sedikit pemborosan yang sia-sia di situ? Adalah lebih molek jika kita memasak sendiri di rumah.  Namun, kesibukan bekerja pula dilihat menjadi punca utama seperti yang menymbang peningkatan permintaan terhadap makanan segera. Malaysia juga terkenal dengan pelbagai restoran yang menghidangkan makanan berkhasiat di negara kita. Justeru, mengapa harus membazir wang di restoran makan segera seperti KFC, Pizza Hut, Mc Donald dan lain-lain sedangkan makanan di restoran  tersebut jauh lebih berkhasiat dan seimbang. Tambahan lagi, kasih sayang juga pastinya akan dapat terjalin antara keluarga jika kita mengamalkan masak makanan di rumah daripada di luar ataupun mana-mana makanan segera ini khususnya. Maka cantiklah jika kita sebagai seorang yang  berfikiran  jauh untuk menyimpan duit tersebut daripada membelanjakannya untuk perkara yang hanya akan mendatangkan kemudaratan kepada diri kita kelak. Meskipun nilainya hanya sedikit, namun lama kelamaan pasti menjadi bukit daripada tidak ada sama sekali. Di sini, dapatlah disimpulkan bahawa sesungguhnya, pengambilan makanan segera hanyalah akan menyebabkan pembaziran yang sia-sia.

            Selanjutnya, makanan berkolestrol, gula yang tidak terkawal serta garam yang berlebihan banyak terdapat dalam makanan segera. Dengan kandungan kolestrol yang tidak terkawal, penyakit mudah untuk datang bertandang. Bagaikan hujan yang tidak diundang, dan ribut yang tidak dijemput. Gula yang berlebihan pula menyebabkan segelintir masyarakat  kehilangan kaki kerana kencing manis. Malah yang lebih merisaukan lagi, hospital kerajaan di kota raya semakin penuh dengan para pesakit yang menghidap penyakit darah tinggi kerana terlebih garam. Walaupun pada dasarnya, itu adalah satu kebaikan kepada para doktor yang dapat memantapkan kemahiran merawat pesakit mereka ke tahap yang lebihbaiki ,namun tidakkah kita sedih melihat banyak nadi yang harus terhenti dengan sia-sia? Maka, haruslah rakyat Malaysia sedar akan banyaknya keburukan yang datang dari pengambilan makanan segera yang hanya merugikan ramai pihak tersebut dan menguntungkan pihak yang tidak sepatutnya .

            Selain itu, masalah kenaikan berat badan yang berlebihan, iaitu obesiti juga merupakan salah satu penyumbang keburukan kepada pengambilan makanan segera. Wanita khusunya menjadi contoh yang tepat masa kini. Wanita yang sudah mendirikan rumah tangga pastinya akan lebih tertumpu kepada suami, rumah dan anak-anak. Dengan ini, mereka akan lebih tertarik untuk mengambil jalan mudah selepas lelah seharian bekerja sebagai suri rumah. Mereka akan lebih gemar memesan makan di luar daripada memasak sendiri. Tidakkah ini merugikan?  Obesiti bukanlah sesuatu yang boleh dipandang sebelah mata sahaja.  Jantung juga akan mudah sesak dan kita akan tercungap-cungap. Hal ini dapat mengganggu rutin harian kita. Maka, sudah terang lagi bersuluh sememangnya obesiti juga adalah kesan buruk pengambilan makanan segera.

            Konklusinya,  sebagai rakyat Malaysia yang mengamalkan gaya hidup sihat, kita wajar meneruskan pengambilan makanan yang seimbang dan tidak menjadikan makanan segera sebagai makanan wajib dalam hidup seharian. Sesungguhnya, otak yang cerdas adalah apabila badan kita cergas. Sebagai pilihan, para suri rumah, ibu-ibu dan wanita yang bekerjaya wajar memasak di rumah sebagai alternatif mengelakkan pengambilan makanan segera yang berlebihan. Mencegah lebih baik daripada merawat dan janganlah sudah terhantuk baru hendak terngadah. Sesungguhnya apa yang ditelan, itulah yang akan dihadam oleh perut. Jika makanan yang mengandungi kolestrol, gula, garam dan lemak yang berlebihan masuk ke dalam perut, maka badanlah yang akan menanggung akibatnya. Tepuk dada tanya selera kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

7 comments: