Photobucket

Wednesday, October 2, 2013

SOALAN KLON BAHASA MELAYU KERTAS 2 SPM 2013



Soalan 1 : Rumusan

[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang tindakan-tindakan bagi menangani iklan yang negatif dan kebaikan-kebaikan memaparkan maklumat yang tepat dalam iklan. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

                Industri periklanan di Malaysia merupakan satu daripada sektor yang berkembang pesat dan berdaya saing. Perkembangan ini dapat meningkatkan pendapatan negara dan membuka peluang pekerjaan. Di samping itu, kepesatan industri ini mendorong penghasilan dan penerbitan iklan yang lebih banyak. Namun, disebabkan terlalu ghairah untuk memenangi hati pengguna, kadangkala syarikat periklanan mengabaikan peranan iklan sebagai sumber maklumat sehingga menjejaskan kepentingan pengguna. Oleh hal yang demikian, kerajaan perlu bertindak bagi mengawal dan memantau aktiviti periklanan di negara ini.

                Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan telah menyebabkan sebahagian masyarakat menggunakan kemudahan Internet untuk membeli barangan dan perkhidmatan, terutamanya golongan berada. Walau bagaimana pun, masyarakat perlu bijak melakukan pembelian kerana kes penipuan melalui iklan di Inetrnet dilaporkan meningkat dari semasa ke semasa. Pembeli dinasihati supaya menyimpan bukti transaksi pembayaran sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini. Dalam hal ini, terdapat pembeli yang pernah tertipu telah mewujudkan laman sosial antipenipuan. Mereka menyenaraikan nama kedai dan individu yang disyaki menipu wang pelanggan sebagai panduan kepada pengguna. Kmen-komen di laman sosial tersebut dapat dijadikan rujukan sebelum pengguna membuat pembelian.

                Selain itu terdapat aduan bahawa pengguna tidak menerima barangan yang dibeli walaupun pembayaran sudah dilakukan. Oleh itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah melancarkan Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu dan Mengelirukan. Di samping itu, KPDNKK juga telah mengambil tindakan memperhalus pindaan akta berkaitan iklan palsu, iaitu mengenakan hukuman atau penalti terhadap pengiklan yang menghasilkan iklan yang mengelirukan. Misalnya, dakwaan pengiklan terhadap penyembuhan penyakit kronik dan penggunaan logo halal yang meragukan. Oleh itu, iklan yang hendak disiarkan mestilah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa terlenih dahulu.

                Kini, masyarakat semakin mudah dipengaruhi oleh iklan yang dipaparkan. Oleh hal yang demikian, mereka terdedah kepada pemaparan iklan palsu dan iklan yang mengelirukan oleh syarikat-syarikat periklanan yang mengambil kesempatan daripada keadaan ini. Masyarakat pengguna sewajarnya membuat aduan sekiranya terdapat iklan yang menyebarkan maklumat palsu. Sehubungan dengan itu, masyarakat tidak seharusnya mempercayai sesuatu iklan tanpa usul periksa. Sesungguhnya, iklan merupakan medium pemasaran yang mampu mempengaruhi pengguna, namun menjadi tanggungjawab syarikat periklanan menghasilkan iklan yang memberi manfaat kepada semua pihak.

Dipetik dan diubahsuai daripada ‘Awasi Iklan Mengelirukan dan Palsu’ oleh zulaini ismail, Dewan Ekonomi, Mac 2013

 

Soalan 2 : Pemahaman

Soalan 2 (a)

 

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)                 Apakah maksud mengambil kesempatan?           [2 markah]

(ii)               Pengarang mengemukakan beberapa manfaat industry periklanan.

Kemukakan manfaat-manfaat tersebut.                                [3 markah]

(iii)             Pada pendapat anda, mengapakah pengguna mudah dipengaruhi oleh iklan barangan dan perkhidmatan yang dipaparkan?

Nyatakan tiga alas an.                                                       [4 markah]

 

Contoh jawapan rumusan karangan.

Pendahuluan (tukar terlebih dahulu perkataan kata kerja selepas arahan, iaitu tindakan-tindakan kepada perkataan yang sinonim atau sama erti dengan tindakan)

Petikan membincangkan langkah-langkah bagi menangani iklan yang negatif dalam Internet di negara kita.

Isi tersurat (Isi yang terdapat dalam petikan)

Cara mengesan isi tersurat yang terdapat dalam petikan ialah cari perkataan berikut terlebih dahulu

Perlu
Dinasihati
Juga

Dapat
Selain itu
Telah
Sewajarnya

Antara tindakan bagi menangani iklan yang negatif ialah kerajaan perlu bertindak bagi mengawal dan memantau aktiviti periklanan di negara ini. Masyarakat perlu bijak melakukan pembelian di Internet. Pembeli dinasihati supaya menyimpan bukti transaksi pembayaran sebagai langkah berjaga-jaga. Seterusnya, komen-komen di laman sosial dapat dijadikan rujukan sebelum pengguna membuat pembelian. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah melancarkan Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu dan Mengelirukan. Di samping itu, KPDNKK telah mengambil tindakan memperhalus pindaan akta berkaitan iklan palsu.

Isi tersirat (tiada dalam petikan tetapi KBKK iaitu kebaikan memaparkan maklumat yang tepat dalam iklan)

           Kebaikan memaparkan maklumat yang tepat dalam iklan ialah dapat mempengaruhi pengguna membeli barangan yang diiklankan. Selain itu, dapat melariskan barangan yang dijual kerana barangan tersebut memberi kesan yang dikehendaki oleh pengguna.

Kesimpulan (Saranan Penulis/Calon)

       Kesimpulannya, pengeluar dan syarikat periklanan perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan agar pengguna tidak tertipu semasa membeli barangan di Internet.

Rumusan karangan yang lengkap.

Petikan membincangkan langkah-langkah bagi menangani iklan yang negatif dalam Internet di negara kita.
Antara tindakan bagi menangani iklan yang negatif ialah kerajaan perlu bertindak bagi mengawal dan memantau aktiviti periklanan di negara ini. Masyarakat perlu bijak melakukan pembelian di Internet. Pembeli dinasihati supaya menyimpan bukti transaksi pembayaran semasa pembelian. Seterusnya, komen-komen di laman sosial dapat dijadikan rujukan sebelum pengguna membuat pembelian. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah melancarkan Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu dan Mengelirukan. Di samping itu, KPDNKK telah mengambil tindakan memperhalus pindaan akta berkaitan iklan palsu.
Kebaikan memaparkan maklumat yang tepat dalam iklan ialah dapat mempengaruhi pengguna membeli barangan yang diiklankan. Selain itu, dapat melariskan barangan yang dijual kerana barangan tersebut memberi kesan yang kepada pengguna.
Kesimpulannya, syarikat periklanan perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan agar pengguna tidak tertipu semasa membeli barangan di Internet.

[120 patah perkataan]

 

 

 

 

2 comments:

  1. maaflah Hui Jing, tiada.
    Tapi soalan rumusan tentang kepentangan hutan bandar tadi senang jugak kan?

    ReplyDelete