Photobucket

Monday, April 21, 2014

Alhamdulillah

Lama Cikgunie tidak menjenguk blog. Nampak bersawang juga sebab lama tidak mengepos bahan-bahan bahasa Melayu untuk calon SPM 2014 dan murid-murid Tingkatan 4. Kekangan masa, hambatan tugas, rutin dan tanggungjawab menjadi penyebab Cikgunie tidak dapat mengepos bahan-bahan bahasa Melayu di blog Cikgunie. Hari ini, alhamdulillah segala urusan dan tanggungjawab telah disempurnakan sehingga berjaya melaksanakan tanggungjawab terhadap diri sendiri.

Sebenarnya tugas sebagai seorang Penolong Kanan Hal Ehwal Murid memerlukan pengorbanan dan komitmen yang tinggi. Alhamdulillah, anak-anak yang makin membesar tidak memerlukan pemerhatian yang teliti seperti anak-anak kecil memudahkan Cikgunie melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Sedikit pengalaman yang ingin Cikgunie kongsikan di sini ialah sebagai murid dan anak-anak mereka tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Apabila melakukan kesalahan, tidak mudah bagi murid-murid atau anak-anak ini mengaku kesalahan mereka. Maka cerita yang bukan-bukan akan mereka sampaikan kepada ibu bapa. Sebagai ibu bapa pula janganlah kita mempercayai bulat-bulat apa yang diceritakan oleh anak-anak ketika berada di sekolah atau di asrama.

Kisah yang berlaku di sekolah Cikgunie ialah seorang murid asrama mengadu kepada bapanya yang dia dibuli dan dibelasah oleh pelajar asrama. Bapanya pun membawa anaknya membuat laporan polis setelah mendapatkan rawatan. Kebetulan bapanya seorang Pembantu Perubatan. Semasa datang balik ke asrama, bapa murid berkenaan berjumpa dengan warden menceritakan kes anaknya dibuli dan dibelasah pada malam sebelumnya. Oleh itu beliau ingin mengeluarkan anaknya dari asrama. Warden memaklumkan bapa murid berkenaan bahawa beliau tidak menerima apa-apa laporan daripada mana-mana penghuni asrama. Setelah meminta maaf, warden tersebut membenarkan bapa murid berkenaan membawa anaknya keluar dari asrama. Bapa murid berkenaan berkata beliau tidak mahu memanjangkan kes. Kebetulan pula emak saudara murid berkenaan bekerja dengan Harian Metro. Wartawan Harian Metro pun datang mewawancara murid berkenaan pada sebelah petangnya. Murid berkenaan pun menunjukkan kesan lebam kepada wartawan tersebut. 

Bapa murid berkenaan menghantar Whatsapp kepada Cikgunie pada jam 11.40 malam tersebut dengan menyatakan bahawa dia telah menyerahkan perkara tersebut kepada peguamnya. Cikgunie terkejut. Pada malam tersebut semua murid asrama termasuk Cikgunie mengadakan qiamullail di surau asrama. Jadi tindakan tidak dapat diambil. Kenapa pula cakap beliau terbalik? Pada hari Jumaat semua penghuni asrama kepenatan termasuk Cikgunie. Beberapa orang polis datang ke asrama untuk mengambil kenyataan beberapa orang yang disyakki memukul mangsa. Oleh itu pada hari Sabtu Cikgunie memanggil semua murid yang terlibat untuk menyiasat punca kejadian.

Setelah disiasat, puncanya ialah mangsa telah menyepak dan menendang 3 orang murid perempuan yang juga penghuni asrama. Salah seorang murid perempuan itu mempunyai seorang abang di tingkatan 5. Rupa-rupanya mangsa ialah seorang yang "jahat mulut", iaitu suka menggelar penghuni asrama dengan benda-benda keji. Apabila abang murid perempuan itu memukul mangsa, penghuni asrama  lain yang tidak puas hati terhadap mangsa selama ini mula mengambil bahagian memukul mangsa. Mangsa tidak berani memberitahu hal sebenar kepada bapanya sebaliknya mengadu bahawa dia dibuli. Oleh itu, Cikgunie menghubungi bapa mangsa untuk mempertemukan beliau dengan waris-waris murid lain yang memukul anaknya agar berdamai. Malangnya bapa mangsa tidak mahu melayan permintaan Cikgunie dan memaklumkan kepada Cikgunie bahawa dia telah mengambil tindakan mahkamah untuk mengheret semua murid yang memukul anaknya agar dimasukkan ke sekolah juvana. 

Cikgunie tidak menyebelahi mana-mana pihak kerana Cikgunie tahu kedua-dua pihak bersalah. Cikgunie cuba menjelaskan kepada bapa murid terbabit tentang "keceluparan mulut" anaknya. Selamba bapa murid terbabit memberitahu Cikgunie, "Cikgu, kata-kata kesat hanya sakit kat hati je...tapi body contact sakit kat badan"! Cikgunie ingin ingatkan pembaca sekalian, kata-kata yang menyakitkan hati adalah provokasi. Apabila hati sakit, tindakan yang tidak diduga akan berlaku. Peribahasa menyatakan KERANA PULUT SANTAN BINASA, KERANA MULUT BADAN BINASA.

Satu perkara lagi yang perlu diingat ialah, mendatangkan kecederaan kepada orang lain memang satu kesalahan walau apa sebab sekalipun. Oleh itu Cikgunie menggantung murid-murid yang memukul pelajar terbabit dari asrama. Mencederakan orang disiasat mengikut Seksyen 323 yang tidak boleh menangkap orang yang melakukan kesalahan kerana kecederaan yang tidak menggunakan objek selain tangan dan kaki. Oleh itu, apabila kes ini disiasat, pihak polis menyerahkan kepada pihak sekolah melakukan siasatan dalaman dan mengambil tindakan dalaman. Sekarang yang malu siapa kalau bukan bapa murid tersebut? Cikgunie pun menyiasat latar belakang bapa murid terbabit. Rupanya bapa murid terbabit adalah kakitangan kerajaan yang pro pembangkang. Laman FB beliau penuh dengan kata-kata cacian dan makian kepada pihak kerajaan. Kerjanya ialah mencari salah kerajaan dan menghentam kerajaan. Kalau bapanya selalu mengata orang, bagaimana pula kelakuan anaknya? Peribahasa ada menyebut KEMANA TUMPAHNYA KUAH KALAU TIDAK KE NASI.

Hari ini segala-galanya telah selesai. Alhamdulillah. Akhirnya kebenaran terserlah jua.

No comments:

Post a Comment