Setiap kali kita kehilangan atau tercicir sesuatu barangan berharga yang kita miliki, sangat sukar atau barangkali kita tidak akan menemui apatah lagi memilikinya semula. Hanya orang yang bertuah sahaja akan mendapat semula apa yang telah hilang itu.
Begitu juga dengan Cikgunie. Rantai tangan bernilai ribuan ringgit tercicir di tempat paling ramai orang lalu lalang. Kita semua tahu Hentian Duta adalah tempat menurunkan dan mengambil penumpang. Semasa menunggu kawan datang menjemput Cikgunie menghadiri taklimat, rantai tangan Cikgunie tercicir. Semasa keluar dari Jalan Duta barulah Cikgunie menyedari kehilangan rantai tangan Cikgunie. Apabila datang semula ke Hentian Duta, kerani kaunter Mara Liner memberikan nombor telefon seorang insan yang menjumpai rantlai tangan Cikgunie untuk dihubungi.
Bayangkan Cikgunie bukan orang KL. Jarang-jarang pula bawa kereta di KL. Cikgunie cuba hubungi beberapa orang kawan Cikgunie tapi malangnya tiada yang menjawab panggilan. Akhirnya ada orang yang sudi menolong Cikgunie menunjukkan jalan ke BREM MALL, CROWN CRYSTAL di Kepong. Jam 10 malam insan tersebut menemui Cikgunie dan men-yerahkan rantai tangan kepada Cikgunie.
Alhamdulilah. Insan jujur itu seorang lelaki bernama Muhammad Ikram. Tidak pernah Cikgunie termimpi barang berharga yang hilang akan ditemui semula. Semuanya takdir Allah. Setiap yang hilang akan kembali menjadi milik kita jika memang ia adalah hak kita.
No comments:
Post a Comment