Photobucket

Thursday, December 23, 2010

Berapakah Nilai Nyawa Manusia?

Dasawarsa ini kita disajikan dengan pelbagai kes penyakit kronik, rompakan, ragut, kemalangan dan pembunuhan yang membawa kepada kematian. Namun ada juga kes kematian yang disebabkan oleh individu yang membunuh dirinya sendiri. Manusia kini semakin rakus mencabut nyawa orang lain dan nyawa diri mereka sendiri tanpa memikirkan kesan dan akibatnya kepada sosial dan mobaliti negara. Pada saat seseorang itu bergelut dengan penyakit kronik seperti kanser dan jantung, ada pula insan lain dengan mudah merampas nyawa orang lain dengan membunuh mangsa yang tidak bersalah. Paling tragik, ada suami yang sanggup mengambil nyawa sendiri kerana tidak tahan dengan isteri yang "high taste" menggantung diri di hadapan anak yang masih kecil! Ada ibu-ibu yang mengandung di luar nikah menanam bayi yang baru dilahirkan hidup-hidup. Ada bapa yang tidak tahan dengan tangisan anak-anak lantas mencampakkan anak seperti bola sehingga koma. Nilai-nilai apakah yang sedang melanda masyarakat Malaysia yang teguh dengan slogan "Malaysia Boleh" ini? Apakah ini satu fenomena di negara kita atau rakyat di negara kita mula mencontohi gejala negatif yang yang diimport dari Barat? Atau kita sudah kembali ke zaman jahiliah?

Kematian akibat pembunuhan kejam seperti Datuk Sosilawati, Canny Ong, dan yang terbaru pelajar perempuan berusia 14 tahun di ladang sawit adalah beberapa contoh betapa mudahnya seseorang itu mencabut nyawa orang lain semata-mata kerana terdesak untuk menghapuskan bukti. Sudahlah mereka menganiaya mangsa malah tergamak pula membunuh mangsa. Walau selicik mana pun orang yang membunuh akhirnya dapat diberkas juga kerana bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru dan sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Orang yang menyebabkan kematian orang lain dipanggil pembunuh. Apabila seseorang itu dengan sengaja menyebabkan kematian orang lain, maka hukuman yang dikenakan ke atasnya adalah digantung sampai mati. Mona Fendy, Kalimuthu, dan Botak Chin adalah contoh beberapa individu di negara ini yang mati kerana digantung sampai mati akibat membunuh orang. Undang-undang di negara kita tidak pernah melepaskan orang yang bersalah. Bukankah rugi kita membunuh orang lain kerana kita juga akan mengiringi orang yang kita bunuh ke alam barzah?

Kemalangan juga menyebabkan kematian. Manusia yang normal sentiasa inginkan tubuh badan yang sihat namun malang tidak berbau. Saban hari media melaporkan kes kemalangan jalan raya di negara kita yang meragut nyawa manusia. Terbaharu sebuah bas dua tingkat dari Syarikat Murni yang membawa pelancong dari Thailand terbabas ketika menuruni Cameron Highlands di Simpang Pulai telah mengorbankan 27 orang. Bayangkan dalam sekelip mata 27 orang terkorban kerana kemalangan jalan raya! Tidakkah hal ini menunjukkan betapa nyawa kita hanyalah pinjaman yang sementara diberikan oleh Allah Taala untuk kita gunakan dengan sebaik-baiknya.  Justeru, apabila seseorang itu mengambil keputusan membunuh dirinya sendiri walau dengan apa cara sekalipun sama ada menggantung diri, terjun dari bangunan atau menelan pil tidur berlebihan adalah salah dari sisi undang-undang dan agama Islam sendiri. Hukumnya seseorang Islam yang membunuh diri adalah dianggap murtad dan tidak layak dikebumikan sebagai seorang Muslim. Di sisi undang-undang pula, seseorang yang membunuh diri tidak layak untuk mendapat pampasan dan insurans. Oleh itu, fikirkanlah berapa harganya sebuah nyawa yang dipinjamkan oleh Allah kepada kita. Tepuk dada tanya iman kerana tanpa iman tiadalah sempurna amalan kita. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment