BAB SATU
Balik segera!
Aku mengamati mesej yang baru saja aku terima. Penghantar … Mama. Belum sempat aku melihat butiran selanjutnya…..
Tiba-tiba ……Gedegangggg!
Ah, aku terlanggar kereta di hadapan aku. Sepantas kilat aku menekan brek dan memberhentikan kereta. Bunyi tayar diseret meresap ke dalam kereta lantas hinggap di gegendang telinga aku. Aku terhenyak di tempat duduk. Jantung aku berdegup kencang. Kereta yang aku langgar terhenti di atas bahu jalan. Aku hanya mampu melihat. Kemalangan rupanya.
Mata aku melorot ke hadapan. Pintu kereta terbuka luas. Seorang lelaki melangkah keluar dari kereta jenis Proton Wira dengan penuh bergaya. Dia memakai kemeja T berwarrna hijau pucuk pisang dan seluar jeans berwarna hitam. Amat padan sekali dengan kulitnya yang putih. Aku mengamati rupa parasnya. Oh, lelaki itu berketurunan Cina.
Beberapa saat, sebuah motorsikal berkuasa besar jenis motorsikal lumba berhenti di sebelah keretaku. Seorang lelaki yang memakai topi keledar yang menutup penuh mukanya turun dari motosikal dan mengetuk cermin kereta aku. Dia mengangkat cermin topi keledarnya hingga menampakkan bibir tanpa kumis.
“Mata letak kat mana? Buta ke?”
Sedapnya kalimah yang menangkap cuping telinga aku. Kasar pula ayat yang keluar daripada bibirnya. Aku terpempan. Rasa takut menguasai diri. Lelaki Cina yang memakai kemeja T berwarna hijau pucuk pisang itu hanya memerhatikan sahaja. Akhirnya lelaki Cina itu melangkah menghampiri keretaku. Aku mendiamkan diri dan hanya menunggu reaksi lelaki itu seterusnya. Lelaki bermotorsikal itu pula menunjuk isyarat supaya aku keluar dari kereta.
Aku tiada pilihan. Aku melakukan kesalahan, maka aku perlu bertanggungjawab. Terketar-ketar aku keluar dari kereta. Kedudukan aku terlalu rapat dengan lelaki berseluar jeans ketat dan memakai jaket kulit itu.
“Macam mana U drive?” Suara lelaki itu bergetar menahan amarah.
“Maa..maa..afkan sa..sa..saya Encik! Saya tak sengaja. Saya ingat Encik ni nak belok terus ke kiri. Mana saya tahu Encik ni brek mengejut.” Kataku merujuk lelaki Cina yang sudah berada di sebelahku.
“Ada kereta dari arah kanan. Takkan I nak teruskan perjalanan. Lagipun U follow dekat sangat.” Lelaki Cina itu akhirnya bersuara. Lembut saja suaranya pada pendengaran telinga aku. Fasih pula dia berbahasa Melayu.
“Habis, sekarang ni nak buat macam mana?” Lelaki bermotosikal itu masih tidak puas hati. Suaranya seperti tadi. Keras dan kasar.
Aku mendongak memandang lelaki bermotosikal itu. Kemudian aku memandang ke arah lelaki Cina itu pula. Aku berada di tengah-tengah mereka. Aku sangat takut. Kereta yang lalu-lalang seakan tidak bersimpati padaku. Tiada sebuah kereta pun yang berhenti. Ya, Allah! Apa yang perlu aku lakukan? Aku tidak pernah terlibat dalam kemalangan sebelum ini. Berkomunikasi adalah cara terbaik. Tapi bagaimana?
“Terpulang kepada Encik berdua. Saya ikut saja.”
“Jadi U sanggup tanggung semua kerugian.” Lelaki bermotorsikal itu mula mengendurkan suaranya.
Aku mengangguk. Rupanya terlalu sukar untuk menyelesaikan masalah kemalangan yang kecil ini. Lebih-lebih aku seorang perempuan dan belum berkahwin pula.
“Maafkan saya, Encik. Saya betul-betul tak sengaja. Ini contact number saya. Apa-apa hal Encik konteks saya.” Aku menghulurkan kad nama aku kepadanya. Kad nama itu sebenarnya saja-saja kawan aku cetak. Mata aku melirik ke arah lelaki Cina itu. Aku cuba memohon simpati daripadanya.
“Betul ini contact number U?” Lelaki Cina itu ragu-ragu apabila melihat kad nama di tangan aku. Matanya yang sepet melirik ke arahku manakala lelaki bermotosikal itu tanpa sopan merampas kad nama dari tangan aku. Terkejut aku. Perasaan takut kembali menjalar dalam fikiranku. Siapakah lelaki yang kurang ajar itu? Pakaiannya melambangkan perwatakannya. Sarung tangan yang dipakai lelaki bermotosikal itu tersagat tanganku. Pedih dan sakit. Entah dibuat daripada kulit apa aku sendiri tidak pasti.
Matanya merenung kad nama aku. Pandangannya silih berganti antara kad nama dengan wajah aku. Perasaan aku tidak keruan. Rasa takut mula menjalar lagi. Namun akhirnya dia memberikan isyarat kepada lelaki itu agar beredar dari situ. Situasi yang menggerunkan itu berakhir juga. Lelaki Cina itu bersetuju menghantar keretanya ke bengkel pilihannya. Aku berjanji akan membayar semua kos membaiki keretanya. Sebelum berlalu dia juga memberikan nombor telefonnya kepadaku. Aku mula menekan setiap nombor yang diberikan. Selepas isyarat telefonnya berbunyi barulah lelaki itu beredar meninggalkan aku. Dia terus memecut keretanya. Lelaki bermotosikal itu memberikan isyarat ibu jari sebelum memecut meninggalkan aku.
Aku memandu dalam keadaan gementar. Peluh dingin memercik di mukaku. Rasa takut masih menguasai diri. Aku cuba mententeramkan diri. Biarlah aku melupakan kemalangan sebentar tadi. Aku mahukan ketenangan. Seram aku hendak memikirkan tindakan lelaki bermotosikal itu. Sampai di bangunan hospital, barulah aku melihat keadaan keretaku. Tiada kesan-kesan telah berlaku perlanggaran. Mungkin kerana itulah harga kereta import lebih mahal daripada kereta tempatan. Patutlah kereta Wira yang baru aku langgar sebentar tadi hampir tercabut bumpernya.
Mengingatkan kemalangan sebentar tadi, aku menjadi sangat takut. Siapakah lelaki bermotosikal yang biadap itu? Aku langsung tidak nampak wajahnya yang ditutupi topi keledar hitam. Sikap lelaki yang biadap itu melupakan hasrat aku hendak tanya nama hamba Allah yang aku langgar keretanya sebentar tadi. Astagfirullahalazim. Lalai dan cuainya aku. Aku cuba mengingati wajah lelaki tersebut. Itu pun aku gagal untuk mengecamnya. Yang pasti lelaki itu berketurunan Cina walaupun dia agak fasih berbahasa Melayu. Lelaki bermotosikal itu pula sangat fasih berbahasa Melayu. Adakah dia lelaki Melayu? Biarlah dia lelaki Melayu atau lelaki Cina, aku tidak mahu cari pasal. Takut.
Aku memasuki bangunan yang tersergam di hadapanku. Besarnya mengalahkan bangunan di tempat lamaku. Hari ini hari pertama aku melapor diri di sini, di tempat baru. Tiga tahun dulu aku berkhidmat di Malaysia Timur. Aku seorang doktor. Sebelum ini aku berkhidmat di Hospital Likas, Kota Kinabalu. Keadaan di Hospital Likas tidak sibuk dan sesak seperti di hospital ini. Sebenarnya aku damai di sana. Cuma Mama dan Papa yang sibuk menyuruh aku posting ke Kuala Lumpur semata-mata untuk mencari pasangan hidup buatku. Ah, aku perlu taat kepada kedua orang tuaku.
Mataku tidak putus-putus memandang bangunan yang sedang aku lalui. Tersangat besar bangunan bersalin di hospital ini. Aku langsung tidak tahu tentang bangunan yang menempatkan pesakit-pesakit untuk bersalin. Aku menuju ke arah lif yang terbuka di depanku. Tanpa berlengah aku pun memasuki lif dan menekan butang tingkat 5. Aku sendiri tidak tahu mengapa tanganku laju menekan butang lif yang bernombor 5.
Hanya aku seorang saja yang berada di dalam lif. Lif terhenti di tingkat 3. Dua orang jururawat dan seorang doktor masuk. Mereka menekan butang nombor 5. Sah, mereka menuju ke tingkat yang sama denganku. Doktor lelaki itu tersenyum memandangku. Tanpa ucapan aku turut membalas senyumannya. Terasa macam sedang berlakon iklan ubat gigi pula.
Apabila lif berhenti di tingkat 5, aku melangkah keluar diikuti oleh doktor lelaki dan dua orang jururawat itu. Aku melihat tanda arah yang terdapat di tepi lif. Bilik Ketua Pakar Sakit Puan di hujung sekali aras 5. Nampaknya aku tidak tersilap menekan butang ke tingkat 5. Pantas aku menuju ke arah bilik Ketua Pakar Sakit Puan.
Di depan pintu tertera nama Doktor Danish Ong Abdullah. Aku mengetuk pintu agak kuat. Kedengaran suara menyuruh aku masuk dari dalam.
“Morning!” Sapaku setelah masuk ke dalam.
“Morning. Have a sit!” Suara Doktor yang agak berusia itu mesra pada pendengaranku.
“Thanks. I’m Qistina Batrisya from Likas.”
“Oh, You lah salah seorang doktor baru yang akan melapor diri pagi ni?” Doktor itu seakan terkejut.
Aku hanya menganggukkan kepala. Fikiranku ligat berfikir. Salah seorang doktor yang akan melapor diri? Maknanya bukan aku seorang saja yang akan melapor diri pada pagi ini. Siapa lagi mereka?
“Maksud Doktor, ada lagi doktor baru yang akan melapor diri?”
“Yup. Tapi belum sampai sampai lagi agaknya,” Penerangan Ketua Pakar Sakit Puan itu melegakan aku. Sekurang-kurangnya aku tidak kekok sebagai staf baru di hospital ini. Doktor lelaki itu menyambung. “Agak lama saya tunggu di sini. Nampaknya U sorang yang datang.”
“Sorry Doktor. I pun terlewat juga sebenarnya. Tadi I terlibat dalam kemalangan semasa on the way ke sini. Tu yang agak lambat sikit.”
“Tak apalah Doktor Qistina. Esok U boleh jumpa Ketua Pakar Sakit Puan. U boleh balik dulu dan mula bertugas esok .”
“Tapi kan sekarang saya dah jumpa Doktor. Kena lapor sekali lagi ke esok hari?” Aku mula ragu-ragu dengan penjelasan Doktor Danish Ong.
“Saya Doktor Daud Ong. Pengarah Hospital ini. Ini bilik anak saya. Doktor Danish Ong. Dia belum sampai lagi. Katanya tadi ada hal mustahak. Sengaja saya datang ke sini kerana dia maklumkan saya ada doktor baru yang akan melapor diri hari ini .”
Terkejut aku mendengar penjelasan Doktor Daud Ong. Rupanya aku sedang berhadapan dengan Pengarah Hospital . Patutlah nampak seperti dia sudah berumur. Paling menunjukkan kebodohanku ialah aku tidak lihat tanda nama yang dipakainya. Tertera nama Dr. Daud Ong.
Seingat aku kalau Ketua Pakar apa-apa pun paling tinggi pun usia mereka dalam 40-an ke atas. Ini nampak seperti baya-baya Papa aku. Memanglah tua kerana dia Pengarah Hospital . Malunya aku kerana hari pertama datang ke hospital ini sudah berhadapan dengan Pengarah Hospital.
Aku membuat keputusan untuk pulang ke rumah. Mesej yang dihantar Mama pagi tadi menyuruh aku pulang segera. Apa hal? Hatiku tertanya juga. Entah apa halnya Mama menyuruh aku pulang segera. Mungkinkah ada orang datang hendak meminang aku? Kalau benar telahanku, biarlah aku terima saja pinangannya. Usia aku pun sudah menjangkau 28 tahun. Lagipun tiada sesiapa yang bertakhta di hatiku saat ini.
Rumah keluargaku terletak di Rawang. Baru dua hari aku menyewa rumah di Selayang. Biar dekat dengan kawasan hospital. Sekurang-kurangnya kalau aku on-call tidaklah teruk sangat terkejar-kejar ke hospital. Apalah masalah dengan Mama? Aku kena pulang segera ke Rawang. Hmm…satu kesempatan untuk aku bertemu dengan buah hati pengarang jantung aku. Siapa lagi kalau bukan kekasih di depan rumahku.
Betulkah jejaka di hadapan rumah Mama kekasih aku? Mimpilah aku sekiranya jejaka itu meluahkan hasrat hatinya kepada aku. Aku hanya meminatinya dalam diam. Jejaka idaman aku menyewa rumah di depan rumah Mama sejak lima tahun dulu. Hanya jejaka itulah yang aku puja siang dan malam. Namun tatkala takdir mula berbisik, nyatalah jejaka itu bukan milikku. Aku tahu jejaka itu sudah pun dimiliki kerana aku pernah melihatnya berjalan berpegangan tangan dengan seseorang. Hancurnya hatiku saat itu.
Penantian aku selama ini pun berakhir. Peritnya menerima kenyataan bahawa cintanya bukan milikku. Namun aku pasrah. Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Aku akur kini. Jejaka yang menyewa rumah di hadapan rumah Mama sudah pun berpunya. Orang yang mengisi hatinya pula bukanlah aku. Mengapa aku bukan gadis pilihannya? Jawapannya ialah aku sangat malang. Tidak pernah seorang pun lelaki meluahkan perasaan mereka terhadapku selama aku bernafas di muka bumi ini.
Perlukah aku memulakan? Biarlah aku menjadi perigi mencari timba. Memang tidak ada salahnya aku memulakan langkah. Tapi siapakah jejaka yang aku boleh luahkan perasaan? Jejaka idamanku sudah dimiliki. Perlukah aku membilang lelaki ke sepuluh yang aku temui esok hari untuk menjadi pasangan hidupku? Lagipun aku percaya setiap insan yang diciptakan Allah ada pasangannya masing-masing. Mungkin cepat atau lambat jodoh seseorang itu akan tiba. Tanpa disedari aku telah tiba di hadapan pagar rumah Mama.
Aku melihat rumah jejaka tersebut. Keretanya tiada di garaj. Ke manakah dia? Rinduku yang mula berbunga terkulai layu. Kecewanya aku. Kepulangan aku sia-sia sahaja. Kelibatnya tidak kelihatan. Ke manakah engkau wahai sang arjuna. Hanya aku yang memujamu sedangkan aku bukan dewi pujaanmu. Hmm..malang adalah permainan takdir hidup aku. Terimalah segalanya dengan hati terbuka.
“Assalamualaikum!” Kedengaran suara Mama memberi salam. Terkejut aku.
“Waalaikumsalam!” Jawabku separuh gugup.
“Kenapa berhenti kat depan pagar?”
“Saja. Kejap lagi nak keluar.” Dalihku.
“Hai, baru sampai dah nak keluar lagi?” Soal Mama tidak puas hati.
“Ye lah. Kan Qis baru mula kerja. Qis balik ni pun sebab Mama suruh.”
“Ye lah tu. Mama dan Papa baru nak makan. Jom kita makan sekali.”
“Qis nak rehatlah Mama. Tiada selera nak makan.”
“Kenapa? Honey, ada apa-apa yang tak kena?”
“Qis langgar kereta orang pagi tadi Ma!”
“Habis Qis tak pa-apa ke?” Mama mula gusar.
“Qis takde apa-apa. Tapi kereta Cina tu teruk juga.”
“Qis baiki je la kereta orang tu. Kalau tak nak bayar, biar Papa yang bayarkan.”
Aku tahu Mama hanya ingat aku mempunyai masalah kewangan. Sebenarnya hal itu bukan menyebabkan kerunsingan aku. Sebenarnya aku tidak tentu arah kerana tidak nampak kelibat jejaka idamanku ketika pulang tadi. Keretanya juga tiada. Ke manakah dia pergi? Adakah dia keluar bertemu kekasihnya? Hatiku mula diburu cemburu. Kenapa aku perlu cemburu kepadanya sedangkan dia bukan milikku? Ah, sakitnya kepalaku memikirkan jejaka itu.
“Qis, pukul 5 nanti turun ke bawah.” Jeritan Mama dari bawah membawa lara hatiku berterbangan ditiup angin.
“Ada apa Mama?” Terkocoh-kocoh aku turun ke bawah. Aku hampir terlupa tujuan kepulanganku ke rumah Mama.
“Ada orang nak datang merisik. Qis tengoklah orangnya dulu. Kalau tak berkenan Mama tak paksa.” Selamba saja Mama menjelaskan tujuannya menyuruh aku pulang.
“Mama ingat anak Mama ni dah tak laku ke?” Aku rasa seperti budak-budak apabila Mama memperlakukan aku sedemikian rupa.
“Bukan macam tu, Sayang. Mama tahu tugas Qis 24 jam kat hospital tu. Mana mungkin Qis jumpa orang luar. Mama hanya menunaikan kewajipan Mama.”
Penjelasan Mama membuatkan aku tergamam. Memang tugas seorang doktor seperti aku tiada masa untuk mencari teman hidup apatah lagi seorang suami. Lagi pun sekarang aku akan bertugas di wad bersalin. Siapa lelaki yang akan aku temui di sana ? Tiada sesiapa kerana setiap lelaki yang aku temui di sana adalah suami para isteri yang akan bersalin.
“Suka hati Mamalah. Qis tak kisah. Kalau Mama setuju, Mama terima sajalah. Qis tak nak turun petang nanti.”
“Tak boleh Sayang. Mereka pun nak juga lihat calon menantu. Pihak lelaki pula tentulah nak tengok calon isterinya.” Mama memujukku lembut.
“Baiklah Mama. Qis nak tidur. Nanti Mama kejutkan Qis.” Akhirnya aku mengalah. Sebenarnya aku terlalu sedih. Jejaka idamanku sudah dimiliki. 5 tahun jejaka idamanku menyewa bersama teman-temannya di hadapanpan rumah Mama. Mereka menyewa sejak aku masih student di UM lagi. Namun sampai sekarang aku masih tidak tahu namanya. Peliknya aku. Aku tidak dapat menerima cinta rakan sekuliah di HUKM kerana menyimpan hasrat untuk menjadi suri hidupnya satu hari nanti. Setelah diposting ke Sabah dan balik semula ke sini, pun hasrat aku masih tidak kesampaian. Akhirnya aku terlelap jua.
BAB DUA
BAB DUA
Bunyi telefon bimbit mengejutkan lenaku.
“Assalamualaikum.”
“Nak cakap dengan siapa?” Aku rasa aku tidak pernah dengar suara orang yang menelefon aku. Nombor yang tertera di skrin telefon pun tidak pernah aku lihat.
“Sorry to disturb U.” Lembut dan bersahaja suaranya berbual denganku.
“Maafkan saya. Siapa yang bercakap?” Terpaksa aku bertanya lanjut.
“Tuan punya kereta yang U langgar pagi tadi!” Satu-satu suara di hujung talian menuturkan bicara denganku. Kenapa suaranya selembut bayu yang berpuput di pantai sedangkan pagi tadi aku rasa hampir pengsan diperlakukan oleh lelaki bermotosikal itu.
“Sorry! I tak perasan. Dah baiki kereta U?”
“I dah hantar bengkel. Mekanik tu kata bumpernya kena ganti yang baru.”
“Berapa kosnya?”
“Arround RM200. Bumper RM100 dan upah cat bumper dalam RM100.”
“U nak I pergi bayar sekarang ke?”
“No! No! I cuma nak maklumkan U je. Esok I pergi ambil kereta I.”
“U hantar kereta kat bangkel mana?” Aku perlu tahu alamat bengkel yang membaiki kereta lelaki tersebut. Kalau tidak macam mana aku hendak membayar kos kerosakan keretanya.
“Kenapa? Kereta U pun rosak juga ke?”
“I nak bayar kos kerosakan kereta U. ”
“Miss, kan I dah kata I just nak maklumkan U je. Tak payah U nak tanggung kosnya. Sikit je.”
“Apa? Maksudnya I tak payah bayar?” Hairannya aku. Pagi tadi bukan main marah lagi lelaki bermotorsikal dan lelaki Cina itu terhadapku. Kini lain pula nadanya. Aku mencubit pipi aku beberapa kali. Mimpikah aku. Sakit pula bila terkena cubitan. Ah, realiti. Memang kenyataan.
“Ya. I juz nak bagitau U je.”
“Nak bagitau je? Ah, terima kasihlah Encik. Boleh saya tahu nama Encik?”
Kenapa laju saja soalan itu terpacul dari bibirku? Ah, tidak rugi berkenalan dengan ramai orang. Getus hatiku. Sebenarnya aku lega kerana tidak perlu bertemu lelaki Cina yang aku langgar keretanya kerana dia mungkin akan datang bersama lelaki bermotosikal yang ganas itu.
“Panggil I Danny aje. Okay see U next time.” Langsung lelaki itu mematikan talian telefonnya. Aku termangu di birai katil.
Aku cuba mengingat semula kejadian pagi tadi. Aku terlanggar kereta seorang lelaki Cina. Mukanya masam mencuka. Datang pula lelaki bermotosikal kuasa besar yang garangnya mengalahkan harimau. Mengapa pula lelaki yang menelefon aku tadi siap memberiku salam. Sudahlah begitu, lembut pula bait-bait kata yang dituturkan kepadaku. Kemudian keretanya yang rosak aku tak payah bayar. Itu yang paling sedap didengar. Betulkah namanya Danny? Apa bangsa dan agamanya? Ah, meleret-leret pula aku melamun.
Lemas melayan perasaan, aku turun ke bawah. Mama sedang minum petang bersama Papa di taman berhampiran kolam ikan. Aku menghampiri mereka.
“Ha, dah cukup rehat?” Soal Mama. Aku mengangguk malas.
“Honey, duduk sini.” Papa mengarahkan aku duduk di sebelahnya. Lama Papa merenung aku.
“Kenapa Pa ?”
“Honey satu-satunya anak perempuan Papa. Papa mahukan yang terbaik untuk Honey.”
“Pa.. Qis tak faham apa yang cuba Pa sampaikan. Qis dah besar. Papa cakap ajelah apa yang tersirat di hati Papa.”
“Mereka tak jadi datang petang ni. Pihak lelaki ada masalah. Mungkin mereka akan datang minggu depan.” Papa meluahkan perasaan yang tersirat di hatinya dengan wajah yang muram.
“Pa, Qis belum terdesak nak kahwin lagilah. Umur Qis baru masuk 28 tahun. Qis baru 3 tahun bekerja. Qis belum puas lagi merasai nikmat hidup sebagai orang bujang.”
“Maksudnya Qis tak rasa dah terlewat untuk mencari pasangan hidup?” Papa masih tidak puas hati dengan jawapanku.
“Pa, Qis serahkan jodoh Qis di tangan Tuhan. Ramai lagi orang di luar sana yang belum kahwin walaupun usia sudah menjangkau 40 tahun.” Cikgu aku dulu, Intan Salwati, umurnya 45 tahun belum juga berkahwin. Jika dibandingkan dengan aku sekarang, aku rasa aku masih muda belia lagi. Aku terpaksa meredakan kebimbangan Papa terhadapku.
Papa seorang yang agak kolot dalam hal memberi pendidikan kepada aku kerana tugasnya adalah seorang guru. Papa dan Mama memberi didikan agama dan pelajaran yang seimbang untuk aku. Aku bersyukur dilahirkan dalam keluarga pendidik. Papa seorang guru tetapi Mama adalah seorang Pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri. Mama merupakan Ketua Sektor Akademik di Jabatan Pelajaran Selangor.
Aku tidak pernah bertanya tentang gaji mereka. Aku tahu gaji Papa mungkin lebih rendah daripada gaji Mama tetapi seumur hidup aku tidak pernah mendengar Mama merungut tentang perbezaan gaji mereka.
“Jadi, Honey dapat pulang tak minggu depan?” Soalan Papa mematikan lamunanku. Papa lebih suka memanggilku dengan gelaran Honey. Aku tahu Papa menyayangiku melebihi Mama.
“InsyaAllah Pa. Kalau umur panjang dan diizinkan Tuhan, Qis balik nak jumpa bakal suami.” Jawabku separuh bergurau. Aku lihat ada sinar harapan di wajah Papa.
“Macam itulah anak Papa!” Balas Papa dengan penuh makna.
“Macam mana dengan tugas hari ni?” Mama pula mencelah.
“Qis mula duty esok. Tadi dah jumpa Pengarah Hospital . Dia suruh Qis datang jumpa anak dia esok hari.” Jawapanku membuatkan Mama tertanya-tanya. Begitu juga dengan Papa.
“Maksud Qis?”
“Ayahnya Pengarah Hospital . Anaknya pula Ketua Pakar Sakit Puan!” Jelasku ringkas. Biarlah Papa dan Mama berfikir hospital tempat aku akan bertugas mulai esok dikawal oleh Pengarah Hospital anak beranak.
“Persekitarannya macam mana? Sibuk macam kat KK atau kurang sikit?” Mama terus bertanya soalan tentang tempat kerjaku.
“Hospital baru. Bangunannya nampak besar dan keadaannya tentulah lebih sibuk dari Likas kat KK dulu.” Jawabku cuba meredakan kebimbangan Mama. Aku tahu Mama risaukan aku. Aku merupakan Puteri tunggal dalam keluargaku. Dua orang adik lelakiku pun sudah bekerja. Beza umur antara kami hanya selang setahun.
Aizat adik di bawah aku sudah pun masuk 27 tahun. Aizuddin adik bongsuku pula sudah menginjak usia 26 tahun. Kedua-dua mereka sudah mempunyai pilihan hati masing-masing. Aizuddin seorang Pegawai Perancang Bandar dan Desa di Pulau Pinang manakala Aizat pula seorang pensyarah di UTP, Perak. Aku tahu sebab itulah Papa dan Mama seolah-olah terdesak untuk mencari jodoh untukku.
“Bila Honey nak balik ?” Giliran Papa pula bertanyakan soalan kepadaku.
“Lepas Maghrib nanti. Kenapa Pa ?”
Aku dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena.
“Sebenarnya, kalau Honey setuju dengan pilihan Mama dan Papa, biarlah kita sekalikan majlis pertunangan dan akad nikah nanti.” Terpaku aku mendengar saranan Papa. Bergilir-gilir aku memandang Papa dan Mama. Aku cuba mencari kepastian di wajah mereka.
“Mama, Papa … andai Qis membebankan, buatlah apa yang terbaik untuk Qis. Qis tahu niat Ma dan Pa adalah untuk kebaikan Qis.” Terpaksa aku berserah dengan takdir yang telah diputuskan oleh Mama dan Papa. Biarlah aku terima sesiapa saja pilihan mereka asalkan dapat membahagiakan kedua orang tuaku.
“Mama tahu Qis anak yang mendengar kata.” Lantas Mama memelukku dengan erat sekali. Terasa kehangatan kasih sayangnya menjalar dalam segenap urat sarafku. Sungguh aku tidak sanggup mengorbankan diriku untuk hidup di samping orang yang tidak aku kenali. Lalu bagaimana aku harus menangani kemelut yang sedang melanda diriku? Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubahnya. Aku perlu berubah. Aku mesti mengubah nasib aku. Aku tekad akan mengubah takdir aku.
Perjalanan ke Selayang terasa beribu batu jauhnya. Aku tekad dengan keputusanku. Aku akan menyerahkan cintaku kepada lelaki pertama yang menegurku esok hari. Bukan lelaki kedua atau kesepuluh. Aku akan mencari lelaki pertama untuk mengisi carta hatiku yang paling atas. Tapi siapakah dia? Tidak kira apa pun yang berlaku aku akan luahkan perasaan kepada lelaki pertama yang menegurku esok hari. Ya, aku akan mengubah nasib aku.
Kata orang yang pertama adalah afdal. Yang kedua adalah sangat baik. Yang ketiga adalah baik. Yang seterusnya adalah impian. Jadi mengejar yang pertama adalah matlamat. Mendapat yang kedua adalah rahmat. Menemui yang ketiga adalah nasib. Mencari yang seterusnya adalah harapan. Lalu aku mahu yang pertama. Lelaki pertama untuk cinta pertama aku. Adakah nasib aku akan berubah selepas mendapat yang pertama? Takdir yang menentukan.
Biarlah siapapun lelaki pertama itu asalkan aku dapat menyelamatkan diri daripada berkahwin dengan lelaki pilihan Mama dan Papa yang entah siapa-siapa orangnya. Manalah tahu lelaki pertama yang menegurku esok hari adalah jejaka yang aku cari-cari selama ini. Tidak sabar aku menunggu esok hari.
Esok adalah harapan. Esok adalah penantian. Esok adalah penentuan. Semua yang berlaku esok adalah penentuan hidup dan mati aku.
BAB TIGA
Pagi-pagi lagi aku sudah bangun. Selamat datang hari yang akan mencatat sejarah buatku. Aku melihat kalender. 16 Julai. Tarikh ini akan aku ingat selamanya. Hari ini aku pasti bertemu jejaka idaman. Lelaki pertama yang menegurku hari ini adalah lelaki pertama yang akan menerima cinta pertama aku. Siapakah jejaka bertuah itu? Biar siapa pun dia, aku akan pastikan dia menjadi milikku. Minta-minta janganlah tempang atau cacat orangnya. Hitam putih kacak hodoh bukan lagi ukuran.
Aku mengenakan sepasang baju kebaya berwarna maroon dengan bunga-bunga kecil berwarna oren. Rambut paras bahu aku biarkan lepas bebas. Aku melihat wajahku di depan cermin. Mukaku yang bujur sirih tampak sedikit ceria selepas disapu bedak dan dikenakan make-up yang ringkas. Sekadar sedikit pemerah pipi dan lipstick nipis aku rasakan sudah terlebih pula make-up ku hari ini. Maklumlah aku akan bertemu jejaka yang akan menjadi pasangan hidup aku hari ini. Harapan aku menggunung tingginya. Aku tersenyum sendirian.
Selalunya aku tidak pernah kenakan sebarang make-up apabila bertugas di hospital. Siapakah yang mahu melihat kecantikanku? Bekerja di dalam wad bersalin tidak memungkinkan aku bergaya seperti model. Tetapi hari ini aku terpaksa bergaya. Minta-minta aku berjumpa Mr. Perfect atau Prince Charming.
Aku menghadiahkan sebuah senyuman paling manis untuk diriku sendiri di hadapan cermin. Hmm…manis juga aku rupanya. Sengaja aku memberi motivasi untuk diri sendiri sebelum memulakan langkah keluar rumah. Ketika mengenakan kasut, bunyi telefon bimbit berdering dari dalam rumah. Ah, hampir aku terlupa. Tertinggal pula telefon bimbit di atas meja ruang tamu.
Aku bergegas masuk semula ke dalam rumah. Pantas aku mencapai telefon comel itu. Aku melihat skrin telefon. Danny. Ah, panggilannya macam penting. Selepas menjawab panggilannya, dia mengucapkan selamat pagi buatku. Aku sedikit teruja. Maklumlah sebagai motivasi untuk aku menjayakan misiku hari ini. Seronoknya berangan sambil memandu kereta. Suara deejay yang menghiburkan semakin menceriakan hariku. Lagu-lagu yang berkumandang dari corong radio cukup menghiburkan. Bibirku tidak lekang mengukir senyuman. Hari yang indah ini pasti mencipta sejarah buatku. Sejarah bahagia aku.
Tanpa sedar kereta sudah memasuki perkarangan hospital. Selepas parking kereta, aku menunggu lif untuk ke tingkat 5. Aku berdiri membelakangkan lif. Hatiku berbunga keriangan. Aku senyum sendirian memikirkan misi aku yang mungkin menjadi kenyataan hari ini. Bunyi pintu lif terbuka mengejutkan aku. Segera aku berpaling untuk masuk ke dalam lif. Malangnya aku terlanggar seseorang. Beg tangan terjatuh.
“Buta ke? Mata letak kat mana?”
Aku mengangkat muka. Pandanganku terpaku pada seorang jejaka yang berada di hadapanku. Matanya yang agak sepet memandang tajam ke arahku. Wajahnya bujur sirih. Rambut di atas dahinya diangkat ke atas dengan tangan kirinya. Terserlah plaster di atas dahinya. Mungkin dia datang untuk membuka jahitan di atas dahinya. Aku mengagak sendirian. Jejaka bermata sepet itu memakai jaket kulit dan seluar jeans lusuh. Semua kemungkinan bermain di minda fikirku.
“Kenapa? Dah tak larat nak kutip barang yang jatuh ke?” Kali ini alam fantasiku berterbangan seiring herdikan lelaki yang aku kira mengalahkan mafia di Itali. Matanya melirik ke arah beg tangan aku di atas lantai. Belum sempat aku mengambilnya, tangannya terlebih dahulu mencapai beg tangan aku lantas disandangkannya di atas bahu aku.
“Lain kali mata letak kat atas, bukan kat lutut.” Katanya sambil beredar. Aku terpaku di depan lif. Kejadian yang tidak seronok untuk dikenang. Misiku pasti menemui kegagalan. Aku ditegur oleh seorang lelaki samseng. Bukan ini yang aku harapkan. Mengapa berlaku sesuatu yang tidak kita ingini di saat kita mahu membuat pilihan? Walau apa pun yang berlaku hari ini pasti mencatat mencatat sejarah aku. Yang pasti bukan sejarah dunia atau sejarah Malaysia.
Mengapa aku berjumpa dengan samseng pula hari ini? Sudahlah samseng, kasar pula bahasanya. Kalau bahasa kasar, samseng pula, bagaimana hendak aku tafsirkan rupa parasnya? Watak budak nakal dalam cerita Why Why Love bukanlah kacak pun. Itulah perbandingan yang mampu aku katakan. Tapi aku perlu ingat akan misi aku. Tidak mungkin samseng itu pula yang mesti menjadi lelaki pertama aku. Sudahlah orangnya tidak kacak, samseng pula. Mana mungkin dialah lelaki pertama aku. Ah, dia hanya pengganggu saja. Hatiku berbisik.
Aku menaiki lif dan menuju ke tingkat 5. Aku tidak bertemu seorang lelaki pun dalam perjalanan ke bilik Doktor Pakar Sakit Puan. Hatiku berdebar-debar. Bagaimanakah rupa Doktor Danish Ong? Adakah setegap dan segagah ayahnya? Masih muda atau sudah 40 tahun umurnya? Semuanya menjadi teka-teki. Akhirnya kakiku sampai juga ke hujung koridor. Perlahan aku mengetuk pintu.
“Come in!” Jelas kedengaran suara dari dalam menyuruh aku masuk. Perlahan aku membuka pintu dan masuk ke dalam bilik Ketua Pakar Sakit Puan. Seorang lelaki keturunan Cina berada di dalamnya. Masih muda lagi orangnya. Aku ingatkan Ketua Pakar Sakit Puan sudah berusia orangnya. Rupanya masih muda lagi. Mungkin dalam pertengahan 30-an umurnya.
Dia tersenyum memandangku. Aku mengamati rupa parasnya. Kacak dan bergaya orangnya walaupun dia memakai baju doktor di luar kemejanya. Rambutnya disisir rapi dan kemas. Kaca mata yang dipakainya tidak tebal seperti kebanyakan doktor pakar yang selalu aku temui. Matanya agak sepet tetapi tidak terlalu bundar. Hidungnya mancung. Kemas dan bergaya. Penampilannya pula menarik. Orangnya memang kacak sekacak Kingone dalam drama Taiwan Why Why Love. Sekali pandang aku menyukainya. Aku melihat tanda nama di kemejanya. Danish Ong. Sahlah beliau ialah Ketua tempat bertugas aku di sini.
“Have a sit! U Miss Qistina Batrisya?”
“Thanks. Saya Qistina Batrisya.” Gugup dan gementar ketika aku memperkenalkan diri kepadanya. Renungan matanya yang agak sepet seolah cuba mengenali diriku dengan lebih lanjut. Aku mula berasa tidak selesa. Takkanlah bos aku menjadi lelaki pertama yang menegurku paling sopan hari ini. Mana mungkin aku meluahkan perasaan kepadanya. Harapnya ada jejaka lain yang akan menegurku paling sopan selain dia.
Harapanku berbunga apabila kedengaran pintu diketuk dari luar. Aku berasa lega kerana mungkin ada jejaka atau doktor lain yang masuk ke biliknya lantas menegur aku. Maka tercapailah misi aku. Aku mula menguntum senyuman. Dengan agak kuat Doktor Danish Ong menyuruh tetamu yang mengetuk pintu masuk. Mataku turut melirik ke arah pintu. Seorang lelaki memakai kemeja berwarna biru laut dan tali leher bercorak petak-petak kecil berwarna kuning melangkah masuk lalu berdiri di sebelahku.
Nah, nasib aku memang berubah hari ini. Hampir pitam aku. Berkali-kali aku melihat jejaka yang berada di sebelahku sambil menggosok mata. Dr. Danish kehairanan melihat tingkah aku. Huh, lelaki idaman aku. Bagaimana mungkin dia boleh berada di sini? Aku sangat gembira. Terujanya aku kerana lelaki pertama yang akan menegurku hari ini ialah jejaka idamanku. Kenapa jejaka idaman aku ke sini? Dan kenapakah hari ini aku baru perasan jejaka idamanku terlalu kacak? Terlalu kacak orangnya tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata. Alis matanya yang lebat, kumisnya yang nipis, bibirnya yang kemerahan, hidungnya yang mancung dan lesung pipit yang menghiasi kedua belah pipinya menjadikan dia jejaka yang cukup sempurna di mataku.
“Morning! Saya Doktor Fadzreen Nushi Irsyaduddin.” Sapanya sambil menghulurkan tangan ke arahku. Mimpikah aku. Takkanlah dia jodohku. Pipiku mula panas menahan malu sendiri saat aku bersalaman dengannya. Terujanya aku. Gembiranya aku. Memori hari ini akan aku pahat dalam diari hidupku.
Rupanya jejaka idamanku seorang doktor. Selama lima tahun aku menaruh harapan dalam diam kepadanya, kini aku dapat bertentang mata dengannya. Baru hari ini aku dapat menyapanya. Segala yang aku impikan menjadi kenyataan. Juga baru hari ini aku tahu namanya. Sedap pula namanya. Suaranya pula terlalu mesra pada pendengaranku. Aku sangat terpesona mendengar bicaranya yang sungguh lembut ketika dia memperkenalkan dirinya.
“Morning. Have a sit. Doktor Qistina Batrisya. Juga Doktor baru di Klinik Obsetektrik dan Ginekologi ini.” Doktor Danish Ong memperkenalkan aku kepada jejaka tampan lagi kacak itu.
“Dr. Qis, actually Dr. Fadzreen Nushi baru hari ini memulakan tugasnya sebagai Doktor Pakar O&G di hospital ini. U pun boleh jadi Doktor Pakar satu hari nanti. So, I letakkan U di bawah seliaan Dr. Fadzreen.”
Penjelasan Doktor Danish Ong membuatkan hatiku menjerit keriangan. Mana tidaknya. Aku akan bekerja dan sentiasa menemani jejaka idamanku di mana-mana saja dalam kawasan hospital ini. Mungkin juga kami akan sama-sama menghadiri seminar di luar daerah bersama-sama. Jauhnya angan-angan aku. Tidak sia-sia misi aku aku hari ini. Misi mencari lelaki pertama untuk menghiasi carta hatiku.
Aku tahu kini. Aku ada jodoh dengan jejaka idaman aku. Siapa pernah menduga dia akan bertemu jejaka idaman dan bekerja di bawah satu bumbung? Bukankah, ini adalah bonus dalam hidup aku. Seronok hatiku tidak terkata. Sebolehnya aku cuba mengawal perasaan yang semakin tidak keruan. Bahagianya aku. Bangganya aku. Aku masih tidak percaya aku telah berjumpa Prince Charming dalam hidup aku. Orangnya kacak lagi menawan. Bertuahnya aku bekerja dengan jejaka kacak di Malaya ni.
“Dr. Qis, U boleh bekerja di bawah seliaan Dr. Fadzreen di fist class Wad Bersalin.” Doktor Danish Ong memberi arahan kepadaku. Aku hanya menganggukkan kepala tanda bersetuju. Bodohlah kalau aku menggelengkan kepala. Menggelengkan kepala bererti aku melepaskan peluang yang hanya datang sekali seumur hidup aku. Bagaimanalah nanti keadaan aku apabila bekerja dengan orang yang kita minati dalam diam? Mampukan aku berlagak profesional sedangkan hati aku sentiasa mengingati dirinya siang dan malam? Segalanya berkemungkinan.
Bulan lepas aku pernah nampak Dr Fadzreen bergandingan tangan keluar dari sebuah pusat beli belah di Rawang. Walaupun dia belum berkahwin, pastilah gadis itu istimewa dalam hidupnya. Sejak itu aku cuba menghindarkan diri daripada menaruh harapan terhadapnya lagi. Kini peluang muncul di depan mata. Perlukah aku melepaskannya? Jawapannya memang tidak.
Mindaku sarat dengan berbagai-bagai persoalan. Bagaimana aku hendak bekerja di bawah orang yang aku minati? Adakah Dr. Fadzreen Nushi mengenaliku? Mengapa sebelum ini aku tidak pernah tahu tentang pekerjaannya? Bagaimana pula dengan janjiku hari ini?
Misi aku hari ini ialah meluahkan perasaan kepada jejaka pertama yang menegur aku. Keberanian tidak ada dalam diriku untuk melaksanakan misi aku. Aku tidak berani memberitahu Dr. Fadzreen bahawa aku cinta kepadanya. Aku juga tidak berani memberitahu isi hatiku kepada jejaka pertama yang menegurku hari ini kerana orang itu ialah Dr. Fadzreen.
Betulkah Dr. Fadzreen dikira jejaka pertama yang menegurku hari ini? Walaupun Dr. Danish terlebih dahulu menegurku tapi dia adalah ketua aku. Jadi Dr. Fadzreen patut diisytiharkan jejaka pertama yang menegurku hari ini. Aku tersenyum dalam hati. Hmm….susahnya aku hendak membuat pilihan.
“Dr. Qis, boleh kita pergi sekarang?” Suara yang penuh kelembutan itu mengejutkan lamunanku. Aku hanya mampu mengangguk. Tuhan, benarkah apa yang sedang berlaku ke atas aku sekarang? Badanku terasa di awang-awangan apabila menyedari aku sedang berjalan beriringan dengan jejaka idamanku.
Dalam perjalanan menuju ke Wad Bersalin banyak juga soalan yang ditanya oleh Dr. Fadzreen. Indahnya dunia apabila dapat berjalan beriringan dan berbicara dari dekat dengan orang yang kita minati dan cintai. Namun kegembiraanku tidak lama apabila satu soalan yang terpacul dari bibir Dr. Fadzreen menunjukkan langsung dia tidak pernah terperasan akan aku selama ini.
“Dr. Qis asal dari mana?” Nah, soalan itu menunjukkan beliau tidak pernah mengenali aku. Rupanya selama lima tahun dia menyewa di depan rumahku di Rawang, sekalipun dia tidak pernah menoleh ke arahku. Akulah yang selama ini tergila-gila kepadanya. Aku dapat menghafal jenis keretanya, nombor plat keretanya dan berapa kali dia menukar keretanya! Semuanya aku ingat dengan jelas sekali. Tapi aku? Langsung dia tidak pernah perasan aku adalah anak jiran di depan rumah sewanya selama lima tahun! Hatiku sedih tidak terkira. Masihkah aku perlu menaruh harapan kepadanya bahawa dialah lelaki pertama yang akan mengisi carta hatiku ini? Perlahan-lahan aku merasakan misi aku hari ini tidak mungkin akan menjadi kenyataan. Berbezanya realiti dan impian hidup yang kita lalui. Aku mengeluh dalam hati.
“Hai, takkan kena fikir lama sangat nak ingat nama tempat kelahiran sendiri?” Dr. Fadzreen mematikan lamunanku.
“Qis asal dari KL.” Biarlah aku berbohong untuk meredakan rasa pedih di dada..
“KL ni luas.” Tingkahnya lagi.
“Cheras. Dr. Fadzreen pula dari mana?”
“Saya dari Perak. Pantai Remis.”
“Sebelum ni bertugas di mana?”
“Hospital Daerah Rawang.”
“Oh!” Aku mengangguk perlahan.
“Pernah pergi ke Rawang?” Aku hampir tumbang mendengar soalannya.
“Pernah!” Jawabku ringkas.
“Saya menyewa di Taman Selasih. Sekarang saya berulang-alik dari Taman Selasih ke sini.” Jelas Dr. Fadzreen tanpa dipinta.
Penjelasan jejaka itu sebenarnya adalah rakaman semula cerita yang telah aku hafal keseluruhan isinya. Manakan tidak. Taman Selasih adalah tempat tinggal aku. Rumahnya di depan rumahku. Aku boleh sebut satu persatu tentang rumahnya. Warna rumahnya lain dari yang lain. Rumahnya dicat warna oren lantern. Pagarnya berwarna kuning. Langsirnya sejak lima tahun dulu berwarna ungu lembut. Cuma coraknya yang bertukar setiap tahun.
“Hmmm.. kita dah sampai. Biarlah kita berkenalan dulu dengan jururawat di wad ini sebelum memulakan tugas hari ini.” Sekali lagi suara Dr. Fadzreen mengeluarkan aku dari alam fantasi.
Mataku memerhatikan Wad Bersalin Kelas Satu. Ada lima bilik semuanya. Dua bilik untuk seorang pesakit atau dikenali sebagai wad VIP. Dua bilik lagi menempatkan dua orang setiap bilik. 3 bilik lagi menempatkan empat orang untuk setiap bilik. Dr. Fadzreen menuju ke arah kaunter di depan Wad Bersalin Kelas Satu.
“Morning Doktor!” Staff Nurse di kaunter pendaftaran mengucapkan salam kepada kami.
“Morning.” Jawab kami serentak.
“Boleh I tengok patient list?” Dr. Fadzreen meminta senarai pesakit daripada jururawat bertugas.
“Ini listnya Doktor!”
“Thanks.”
Kemudian Dr. Fadzreen mengajak aku mengikutnya untuk melihat keadaan pesakit. Akhirnya kami sampai ke bilik 3. Wad ini menempatkan empat orang sebilik. Dr. Fadzreen merapati katil nombor 3.
“Bagaimana keadaan Puan hari ni?” Tanya Dr. Fadzreen kepada seorang pesakit sambil dia meneliti fail di hujung kaki pesakit tersebut.
“Makin sihat Doktor.”
Aku sempat mengerling nama pesakit tersebut. Nur Amirah. 30 tahun. Kandungan kelima. Terkejutnya aku. Umur baru 30 tahun tahun tapi anaknya masuk kelima. Aku yang dah masuk 28 tahun ini belum lagi mempunyai seorang anak pun.
“Puan masih rasa sakit di bawah abdomen?”
“Dah kurang.”
“Masih bleeding?”
“Hari ni dah tiada pendarahan.”
“Bagus. Puan dah makan ubat?”
“Dah.”
“Lepas ni Puan kena banyak berehat. Puan tak boleh buat kerja berat. Nanti bleeding lagi.” Lembut saja suara Dr. Fadzreen menasihati pesakit yang bernama Nur Amirah itu. Aku sangat terpesona. Kalau Dr. Fadzreen boleh melayan pesakitnya seperti itu, aku bayangkan dengan keluarganya tentu lebih lembut daripada itu. Apakah mungkin aku menjadi sebahagian daripada keluarganya satu hari nanti? Ya, semuanya berkemungkinan. Aku perlu yakin dengan diri sendiri. Peluang masih ada selagi kita mempunyai harapan.
Kami meronda keseluruhan Wad Kelas Satu. Sebenarnya pada hari ini hanya 12 orang saja pesakit yang masih dirawat di dalam wad tersebut. Tepat jam 9.30 pagi Dr. Fadzreen mengajak aku ke Klinik Pakar O&G.
“Kenapa saya kena ikut doktor ke sana ?” Aku bertanya kerana aku bukan doktor pakar. Di Klinik Pakar O&G hanya doktor-doktor pakar saja yang akan merawat pesakit luar.
“I nak U belajar tentang hal-hal orang perempuan. Lepas ni U boleh jadi doktor pakar dalam bidang O&G.” Lembut saja kata-katanya menjawab soalanku. Lemah longlai lutut aku tatkala dia memandang tepat ke dalam anak mataku. Hatiku tidak syak lagi dialah lelaki pertama aku kerana renungan matanya bisa mendebarkan dadaku.
Belum sempat aku membantu Dr. Fadzreen, telefon bimbit aku berdering. Tanpa melihat nombor tertera, pantas aku menekan punat menjawab panggilan. Panggilan dari Wad Bersalin. Aku dikehendaki segera ke Wad Bersalin kerana ada pesakit yang mengalami pendarahan. Bergegas aku ke Wad Bersalin. Di hadapan pintu lif, aku terlanggar seseorang yang baru keluar dari pintu lif. Seperti nangka busuk jatuh ke tanah, orang itu jatuh berdebuk. Aku cuba menghulurkan pertolongan. Tanganku ditepis dengan kasar.
“Kenapa awak ni selalu letak mata kat atas lutut?”
Aku tidak menghiraukan kata-kata lelaki itu. Sekali lagi aku menghulurkan tangan untuk membangunkan lelaki itu. Kali ini tanganku disambut dan tanpa diduga aku berjaya membantu lelaki itu berdiri semula.
“Terima kasih.” Katanya sepatah.
Aku mendongak melihat wajah lelaki itu. Pandangan kami bertaut. Matanya yang sepet dan plaster yang melekat di atas dahinya seakan-akan…. Ah, baru aku ingat. Samseng pagi tadi. Hampir pitam aku kerana lelaki itu ialah samseng yang tidak sengaja aku melanggarnya di hadapan pintu lif ini pagi tadi. Hari ini saja sudah dua kali aku terlanggar orang yang sama. Kali ini sangat dahsyat sampai orang itu terjatuh. Pandangannya sangat tajam. Hati aku berdebar dengan kencangnya. Aku takut. Aku menarik nafas cuba mengawal debaran di dada.
“Maafkan saya. Saya nak cepat. Ada patient bleeding kat atas.” Aku berbahasa seadanya.
“Kali ni saja saya maaafkan awak. Hah, cepatlah pergi. Mengapa tercegat lagi?”
“Betul, Encik tak apa-apa?” Aku risau jika samseng itu terseliuh atau apa-apa telah berlaku kepadanya akibat terjatuh sebentar tadi.
“Saya ok. Awak jangan risau. Tapi lain kali mata tu letak kat atas.” Suaranya makin kendur tapi kata-katanya masih berbisa. Pun dengan pandangan yang tajam dia merenung aku. Getaran di dada aku makin kencang. Takutnya aku. Tapi akhirnya dia menghantarkan pandangannya ke arah pintu lif. Aku mengerti isyarat menyuruh aku berlalu.
Aku meminta diri untuk beredar dan belum sempat aku melangkah ke dalam pintu lif aku terdengar bunyi benda terjatuh. Aku menoleh dan aku melihat samseng itu jatuh semula di atas lantai.
“Encik, ada masalah?”
Tanpa menjawab samseng itu mengangguk. Kakinya memang terseliuh dan dia tidak boleh berjalan. Mukanya berkerut menahan sakit. Aku menghubungi semula Wad Bersalin dan memberitahu keadaan aku. Aku cuba memapah samseng itu dan mendudukkan beliau di atas sebuah bangku yang berhampiran. Pantas aku mendapatkan bantuan dengan memanggil attendan hospital yang kebetulan lalu di situ. Di tangan attendan hospital itu ada sebuah kerusi roda. Attendan hospital itu cuba berkata sesuatu tetapi samseng itu meletakkan jari di bibirnya sebagai isyarat mendiamkan diri.
“Perlu saya ikut Encik ke Klinik Pesakit Luar?”
Samseng itu menggeleng.
“Terima kasih.” Sepatah perkataan itu jua yang keluar dari bibirnya.
Aku memandang tepat ke dalam anak matanya. Ada sesuatu yang tersembunyi di sana. Dia melarikan pandangannya ke arah attendan hospital sambil mengarah membawanya keluar dari situ. Mataku menghantar samseng itu hingga hujung koridor. Tanpa berlengah aku bergegas ke Wad Bersalin. Pesakit yang mengalami pendarahan tadi sudah dihantar ke Dewan Bedah. Pembedahan major kerana rahimnya terpaksa dibuang. Aku mengeluh. Hari pertama yang penuh kejutan.
BAB EMPAT
Suasana hingar bingar di wad kecemasan. Seorang pesakit mengalami tumpah darah di bawa dari Hospital Daerah Rawang. Kebetulan aku dan Dr. Fadreen on-call malam ini.
“Qis, ambil contoh darah patient. Nurse, pasang drip patient. Patient terpaksa dibedah sekarang juga.” Arahan Dr. Fadzreen membuatkan semua staff di wad kecemasan kelam kabut. Dalam masa 10 minit, semuanya berjaya dilaksanakan oleh staf yang bertugas.
“Qis, ikut saya ke dalam Dewan Bedah.”
“Kenapa pula? Kan doktor pelatih dah cukup untuk menolong Doktor kat dalam Dewan Bedah nanti!”
“Kes ni Qis belum jumpa. Patient ni placenta previa type four. Kandungannya kembar pula. Nampak macam uterusnya semakin nipis kerana terlalu meregang. Komplikasinya ialah uterusnya terpaksa dibuang!”
“Apa? Buang uterus? Malangnya nasib patient ni Doktor!”
“Cepatlah. Kita ada masa dua jam saja.”
Sebaik pembedahan dijalankan, sepasang bayi kembar lelaki dan perempuan berjaya dikeluarkan dari uterus ibu muda tersebut. Uterusnya berjaya diselamatkan namun Dr. Fadzreen telah meminta tandatangan suami wanita muda itu untuk mengikat salur fallopian isterinya.
Pembedahan ke atas pesakit tersebut membuatkan aku termenung panjang. Begitu sengsaranya menjadi seorang wanita. Melahirkan seorang bayi berhadapan dengan seribu kemungkinan. Risiko perlu ditanggung oleh seseorang wanita sebaik saja mereka bergelar seorang isteri. Teringat kes di Likas dua tahun lalu. Seorang wanita meninggal dunia selepas kelahiran anak ketiga kerana tumpah darah. Melahirkan anak pun boleh meninggal. Memang nasib wanita sentiasa berkorban sejak dilahirkan sehingga melahirkan.
Semalam seorang pesakit bilik 2 keguguran. Kandungannya sudah masuk minggu ke 14. Oleh kerana ada membran yang tertinggal, pesakit terpaksa dibuat D&C. Kasihan pula aku melihat keadaan diri pesakit tersebut.
“Penat?” Lamunanku terhenti sebaik mendengar suara Dr. Fadzreen.
“Sikit.”
“Nak makan?”
“Tak elok makan pada waktu malam.”
“Patutlah badan Qis melengking saja!”
“I memang kuat makan. Cuma waktu malam memang I tak makan.” Dalihku.
Sebenarnya aku malu juga bila Dr. Fadzreen Nushi mempertikaikan bentuk badanku. Sejak di UM lagi, teman-teman sekuliah menegur tentang badanku yang sekeping ini. Nak buat macam mana, aku sudah mencuba pelbagai kaedah namun badanku tetap tidak mahu naik. Macam-macam ubat sudah dicuba namun hasilnya tetap sama. Umairah temanku di Likas dulu pernah berseloroh. Katanya badanku akan naik kalau aku bercinta. Katanya lagi orang bercinta memang bahagia. Namun siapakah jejaka yang sudi bercinta dengan aku?
“Kalau macam tu, Qis temankan I ke kafe, boleh?”
Aku hanya mengangguk. Di pertengahan jalan, telefon bimbit aku berbunyi. Aku melihat nombor yang tertera di skrin telefon. Danny! Aku meminta izin Dr. Fadzreen untuk menjawab panggilan telefon. Dr. Fadzreen hanya mengangguk sambil tersenyum.
“Assalamualaikum!”
“Waalaikumsalam. Lamanya U ambil masa nak jawab panggilan I?”
“Sorry. I bersama kawan tadi.”
Danny cuba mengorek rahsia peribadi aku. Aku perlu telus. Tiada siapa di hatiku saat ini walaupun lelaki pertama yang akan menerima cinta pertama aku ialah Dr. Fadzreen. Namun Danny bukan jenis orang yang mudah berpuas hati. Danny berjanji akan membawa rombongan meminang sekiranya betul-betul tiada sesiapa di hatiku saat ini. Aku menyahut cabarannya walaupun aku tahu ia tidak mungkin akan berlaku.
Dari dalam kafe, Dr. Fadzreen melambai ke arahku. Aku terpaksa mematikan telefon bimbit sedangkan Danny masih di talian. Berbual dan berborak dengan orang yang berada dekat di sisi kita lebih bermakna daripada menjawab panggilan orang yang berada nun jauh dari pandangan mata kita. Lagipun aku belum lagi meluahkan hasratku kepada Dr. Fazdreen. Biarlah perigi mencari timba pula kerana aku pasti Dr. Fadzreen lelaki pertama aku. Itulah aku yang suka berangan dan menaruh harapan.
Aku senang berdamping dan menemani Dr. Fadzreen daripada melayani panggilan Danny. Aku senang sekali membantunya baik di dalam Dewan Bedah atau di Klinik Pakar O&G. Sedangkan Danny pula hanya akan menghubungiku bila-bila masa yang dia suka tanpa mengira waktu. Kadangkala tengah malam, kadangkala awal pagi dan kadangkala pada waktu maghrib! Kata Danny dia bekerja ikut syif. Bila aku tanya apa kerjanya, tidak pula dia mahu berterus terang.
Bagaimana aku mahu meneruskan hubungan dengan Danny sedangkan aku tidak boleh suka-suka menghubunginya. Aku hanya perlu menunggu panggilan daripadanya saja. Kadangkala seminggu Danny tidak menelefon aku. Bila aku beria-ia mahu berjumpanya, macam-macam alasan yang diberikannya. Akhirnya hatiku menjadi tawar terhadap Danny. Ah, perkenalanku dengannya bukanlah lama sangat. Namun Danny juga termasuk dalam kategori jejaka pertama yang berbual denganku pada hari pertama aku bertugas di Hospital Selayang. 16 Julai. Ya, 16 Julai. Aku tidak lupa.
Saat aku kelam kabut hendak ke hospital pada 16 Julai dulu, dia menghubungiku dan mengucapkan selamat pagi. Kemudian dia memberitahu keretanya sudah siap dibaiki. Dia akan mengambil keretanya tengahari tersebut. Pasti Danny juga termasuk dalam senarai lelaki pertama walaupun aku sangat pasti Dr. Fadzreen lelaki pertama aku.
Kadang-kadang aku keliru juga. Peristiwa 16 Julai datang dan pergi bersama harapan yang belum terkabul. Siapakah sebenarnya jejaka pertama yang menegur aku pada hari tersebut? Walaupun aku pasti Dr.Fadzreenlah jejaka pertama menegur aku dengan paling sopan, tapi ada lagi individu lain yang selalu muncul di benakku.
Hingga saat ini aku tidak pasti siapakah jejaka pertama yang akan aku isytiharkan pertama sekali menegurku pada hari itu. Jika Danny, dia hanya menelefon aku pada hari itu. Jika Dr. Danish pula, memanglah dia menegurku kerana dia bos aku. Lagipun aku melapor diri kepadanya. Jika Dr. Fazdreen pula memanglah dia orangnya kerana dia orang luar yang pertama berhadapan dengan aku pada hari tersebut. Entahlah. Tapi aku paling takut kalau samseng yang menengking aku di pintu lif hospital dikira lelaki pertama menegurku hari itu. Mungkinkah samseng itu lelaki pertama aku? Kenapa wajahnya kerap muncul di kotak fikirku saat aku lemas membuat keputusan untuk mengisytiharkan lelaki pertama aku? Betulkah dia?
Aku tidak perlu terburu-buru membuat pilihan kerana orang yang ingin datang merisik aku pada minggu pertama bulan Ogos dulu membatalkan hasrat mereka. Aku bersyukur kerana belum terdesak untuk mencari calon buat diri sendiri. Makanya aku tidak perlu mengisytiharkan siapakah lelaki pertama menegurku pada 16 Julai lalu walaupun aku mempunyai empat calon yang boleh dikategorikan sebagai lelaki pertama pilihan hatiku.
Hmmm..ramainya calon lelaki pertama aku. Siapakah yang akan mengisi carta hatiku yang masih lagi kosong? Baik aku buat undian. Fadzreen, Danish, Danny dan Samseng Pintu Lif. Akhirnya aku dapat memberi nama kepada samseng itu. Tapi aku tidak tergamak untuk meluahkan perasaan kepada salah seorang daripada empat calon tersebut. Lagipun aku tidak mahu dikatakan perigi mencari timba.
Kadangkala wajah lelaki samseng itu bertandang di kotak mindaku berjam-jam lamanya. Wajahnya yang bersih tanpa kumis, plaster yang membalut dahinya, rambut depannya yang beralun seperti iklan syampo jelas terbayang di ruang mataku. Matanya yang sepet seakan menyimpan pelbagai rahsia. Kenapa wajah itu yang sering mendatangi alam fantasiku? Tutur katanya yang berbisa, senyum sinis dan suaranya yang keras menengking aku seakan satu kenangan yang sukar dilupakan. Samseng Pintu Lif, kenapa engkau tiada bernama?
BAB LIMA
Genap tiga bulan aku bertugas di Wad Bersalin Kelas Satu. Aku berkongsi bilik dengan Dr. Izlynn yang sudah dua tahun bertugas di hospital ini. Dr. Izlynn sebaya dengan aku tetapi dia sudah pun bertunang. Katanya hujung tahun nanti dia akan melangsungkan perkahwinannya. Dr. Izlynn di bawah seliaan Dr. Danish.
Melalui Dr. Izlynn aku tahu serba sedikit tentang Dr. Danish. Dr. Danish jarang berbual kosong dengan doktor-doktor perempuan. Tiada seorang pun doktor di Wad Bersalin yang rapat dengan Dr. Danish Ong. Kata Dr. Izlynn, Dr. Danish terlalu tekun dengan kerjanya hinggakan tiada masa berbual dengan staf di bawahnya. Lagipun Dr . Izlynn baru dua tahun bekerja di bawah seliaan Dr. Danish. Dia pun bukan kenal sangat dengan Dr. Danish.
Aku tersenyum sendirian mengingatkan tingkah Dr. Danish. Bagi aku mustahil dia belum berpunya. Perwatakannya memang ciri-ciri lelaki idaman aku walaupun aku menggilai Dr. Fadzreen separuh mati. Senyumannya dan barisan giginya yang tersusun bisa mencairkan hati setiap gadis yang melihatnya termasuk aku. Kalaulah dia aku isytiharkan lelaki pertama aku, aku akan meluahkan perasaan aku kepadanya saat itu juga. Masalahnya aku sendiri tidak berani mengistiharkan jejaka pertama aku kerana aku mempunyai empat calon. Walaupun calon yang seorang lagi adalah seorang samseng tapi dia dikira lelaki pertama yang menegur aku secara berhadapan dan bertentang mata walaupun ayat-ayat yang dituturkan sangat berbisa dan membuatkan aku tidak boleh melupai wajahnya hingga saat ini.
“Assalamualaikum!” Suara yang bergema di depan pintu menerbangkan wajah Samseng Pintu Lif yang bertandang di kotak fikiranku.
“Waa…aaa..laikum…salam!” Hampir tercabut jantungku. Betulkah apa yang aku lihat? Wajah yang baru terbang dari khayalanku tiba-tiba berdiri di hadapan aku. Samseng Pintu Lif! Dia menghadiahkan aku sebuah senyuman. Antara sedar dengan tidak aku membalas senyumannya. Dada aku berdebar dengan kencangnya. Mengapa dia ke sini? Aku mengamati wajah yang berdiri di depan pintu. Dahinya ada parut kecil. Plaster sudah tiada di atas kening sebelah kanan dahinya. Senyuman masih menghiasi wajahnya. Tampak barisan giginya yang berlapis. Senyuman yang menawan kerana barisan giginya yang berlapis. Dia memakai kemeja putih dan berseluar jeans hitam. Macam tahi cicak pula. Terpana aku melihat wajahnya yang bersih tanpa kumis. Bayangkan saat kita memikirkan insan tersebut, tiba-tiba insan itu muncul di depan kita. Bukankah itu jodoh kita? Tapi kenapa jodohku dengan seorang samseng pula?
“Dr. Qistina?” Soalnya dengan wajah serius. Namun nadanya dikawal sebaik mungkin.
“Ya, saya. Ada apa yang boleh saya tolong?” Aku juga mengawal suara seanggun mungkin. Sedangkan debaran di dada semakin memuncak. Aku tahu aku bukan Doktor Pakar. Di Klinik Pakar O&G hanya doktor-doktor pakar saja yang akan merawat pesakit luar di hospital tempat aku bertugas. Lagipun tetamu tidak diundang ini seorang lelaki. Jadi tetamu tidak diundang ini bukan pesakit.
“Saya nak ajak Dr. Qistina makan. Boleh?”
“Hah? Makan?” Mimpikah aku? Samseng Pintu Lif ajak aku makan. Aku terkedu.
“Saya datang ni nak ajak Dr. Qistina keluar makan dengan saya.”
“Kenapa pula?”
“Saya terhutang budi!”
“Ehh..saya tak buat apa-apa pun.” Tingkahku.
“Dosa ke ajak Doktor Qistina makan?” Soalan yang berbau sindiran.
Aku serba salah. Samseng itu datang mengajak aku makan bersamanya. Biar betul. Terkedu aku sementara menyusun bait-bait ayat seterusnya. Musykil sungguh aku. Seingat aku, tidak pernah pula aku berhubungan dengan samseng ini. Aku bertembung dengannya saat aku melapor diri di hospital ini. Itupun aku yang melanggarnya. Apa pula budi yang aku taburkan kepadanya sehingga dia tiba-tiba datang mempelawa aku makan bersamanya? Perlukah aku mengikutnya? Hati aku berbelah bahagi. Sebenarnya aku takut untuk mengikutnya apatah untuk pergi makan.
“Di mana?” Walaupun aku takut berani pula aku bertanyakan tempat kepadanya. Lain yang aku inginkan, lain pula yang berlaku. Dari mana keberanian itu datang aku tidak pasti.
Belum sempat samseng itu menjawab, daun pintu diketuk dari luar. Dr. Danish!
“Sorry. I tak tahu U ada tetamu.” Katanya sambil menghulurkan tangan ke arah lelaki samseng yang tidak aku ketahui namanya itu.
“Saya, Hisyam. Daniel Hisyam.”
“Saya Danish. Dr. Danish.”
“Oh, ada hal Doktor cari saya?” Aku mencelah. Aku baru teringat tujuan kedatangan Dr.Danish mencari aku.
“I nak U gantikan tempat Dr. Fadzreen. Dia cuti kecemasan hari ni. Lagipun U boleh belajar tentang penyakit yang berkaitan dengan kehamilan. Lepas ni U boleh jadi doktor pakar dalam bidang O&G pula.” Lembut saja kata-katanya menjawab soalanku. Lemah longlai lutut aku tatkala dia memandang ke arahku sambil tersenyum. Aku tahu inilah peluang aku melepaskan diri daripada lelaki samseng itu.
Mataku merenung ke arah lelaki yang mengaku namanya Daniel Hisyam itu. Sesaat mata kami bertentangan, akhirnya Daniel Hisham meminta diri. Katanya dia akan datang lain kali untuk melunaskan janjinya tadi. Saat Daniel Hisyam mahu beredar, dia mengenyitkan mata kepada Dr. Danish. Memang wajah mereka ada persamaan. Cuma gaya rambut saja yang membezakan wajah mereka. Tapi apa yang hendak aku hairankan. Wajah mereka ada iras kacukan Cina kerana mata mereka yang sepet. Itulah sebenarnya persamaan mereka. Yang pasti lelaki yang mengaku namanya Daniel Hisyam tidaklah sekacak Dr. Danish.
Aku berjalan beriringan dengan Dr. Danish ke Klinik Pakar Sakit Puan. Dr. Danish masih dengan topik utamanya. Dia mahu aku menjadi Doktor Pakar seperti Dr. Fadzreen. Aku sedar siapa diri aku. Pengalaman belum ada dan keyakinan belum kukuh.
“Kenapa? U tak minat?” Dia terus menyambung hujahnya setelah melihat aku terdiam.
“I tiada pengalaman.” Aku menerangkan sejujurnya situasi aku kepada Dr. Danish Ong.
“I pun tiada pengalaman. Lagipun I lelaki. Kalau I kahwin pun, I tak akan merasa pengalaman mengandung dan bersalin! Tapi I suka mengkaji.”
Hampir pengsan aku mendengar penjelasan dan pengakuan Dr. Danish Ong. Dia belum berkahwin? Betulkah? Rasanya cerita-cerita tentang Dr. Danish yang aku dengar selama ini adalah tidak benar sama sekali. Mengapa semua staf di sini menyatakan Dr. Danish serius dan komited dengan kerjanya? Tetapi dengan aku dia terlalu berterus terang.
“I nak bakal isteri I nanti tidak mengalami sebarang komplikasi ketika mengandungkan anak kami.” Bagai halilintar membelah bumi tatkala Dr. Danish Ong menjelaskan keadaan dirinya dengan lebih lanjut. Rupanya Dr. Danish sudah pun berpunya. Memanglah aku tiada jodoh dengannya. Seorang lagi calon lelaki pertama aku terpaksa gugurkan. Tinggal lagi tiga calon. Adakah Dr. Fadzreen? Danny? Atau samseng yang namanya Daniel Hisyam? Aku tersenyum sendirian.
“Ada sesuatu yang melucukan?”
Malunya aku. Perbuatan aku dilihat dan dinilai orang. Pantas aku menggeleng kepala. Aku perlu melepaskan diriku daripada berfikir yang bukan-bukan. Dr. Danish adalah ketua aku. Dia juga sudah dimiliki. Itu aku perlu ingat. Kenapalah aku asyik melayan perasaan tentang jodohku? Aku mendiamkan diri sambil mengekori Dr. Danish dari belakang. Tidak lama kami pun sampai ke depan Klinik O&G. Sebelum aku menolak daun pintu, Dr. Danish mengajukan soalan cepu emas kepadaku.
“Umur berapa?”
Soalan itu berbaur peribadi. Perlukah aku menjawab sejujurnya?
“Rahsia ke?”
Aku menggeleng lantas menjawab sejujurnya.
“28.”
“Hmm…muda lagi.”
“Dah kahwin?”
Aku menggeleng. Peliknya sikap Dr. Danish hari ini.
“Tapi…tadi tu siapa?”
“Soalan itu I tiada jawapan. Titik.”
Aku bergegas masuk ke bilik Dr. Fadzreen yang tidak berkunci. Dr. Danish menunjukkan isyarat bagus kepadaku. Aku mengangguk.
Di dalam bilik Dr. Fadzreen, aku membayangkan beliau adalah lelaki pertama aku. Aku rasa aku tidak perlu bertangguh lagi. Aku mesti meluahkan isi hati aku kepadanya. Cuma aku tidak ada keberanian. Bayangkan heboh satu hospital apabila mengetahui aku membuat pengakuan kepada Dr. Fadzreen. Aku mengulum senyum. Bahagianya aku saat ini.
Mataku terpaku kepada susunan fail di atas meja. Fail-fail di atas meja aku belek dengan teliti. Belum sempat aku memulakan rutinku
, telefon bimbitku berbunyi. Aku melihat nombor di skrin. Danny. Hampir sebulan dia tidak menghubungiku!
“Awak okey hari ni?”
“Kita okey. Awak pulak macam mana?”
“Kita okey. I meet somebody today.”
“Siapa? Boleh kita tahu ?” Soalanku menunjukkan macamlah aku kekasih Danny.
“Bila jumpa Qistina nanti kita akan tunjukkan orangnya.”
“Wait..wait…Danny…macam mana awak tahu nama kita?”
Aku memang terkejut. Selama ini aku tidak pernah memberitahu Danny nama penuhku. Aku memberitahunya nama ringkasku Qis sahaja sebelum ini. Kad nama aku dirampas oleh samseng bermotosikal dulu. Dia tak sempat pun nak lihat nama aku. Bagaimana pula dia boleh memanggil aku Qistina?
“Kita cari kat JPJ.”
“Kat JPJ ada nama kita ke?”
“Nombor pendaftaran kereta awak!”
“Apa lagi awak tahu pasal kita?”
“Semua tentang awak. Kerja awak. Umur awak. Tempat tinggal awak.”
Kata-kata Danny membuat aku terpana. Dari mana dia mendapat maklumat tentang aku? Hebat sangatkah aku hinggakan Danny sanggup bersusah payah cuba mengenaliku. Sedangkan Dr. Fadzreen yang berada di depan rumahku selama lebih lima tahun tidak pernah perasankan aku, inikan pula Danny yang baru beberapa bulan aku kenal. Itu pun aku hampir lupa rupa parasnya kerana selepas kemalangan dulu aku tak pernah lagi bertemu dengannya. Aku rasa ada sesuatu yang sedang berlaku tanpa pengetahuanku.
“Berapa umur kita? Kerja kita? Dan di mana kita tinggal?” Aku rasa sudah sampai masanya aku perlukan penjelasan daripada Danny. Aku tidak mahu berada dalam teka-teki.
“Umur awak 28. Awak doktor dan sekarang tinggal kat Selayang. Atau ada apa-apa yang tertinggal?” Penjelasan Danny membuat aku terpempan. Masih ada lagi orang yang perasankan kehadiranku di muka bumi ini. Perasaan aku mula berbunga. Siapakah engkau wahai Danny? Maka perlukah aku isytiharkan Danny sebagai lelaki pertama aku? Lagipun dialah lelaki pertama yang bercakap dengan aku walaupun melalui telefon pada tarikh 16 Julai dulu. Seronoknya aku kerana ada insan di muka bumi ini yang perasankan kehadiran aku.
“Boleh kita tanya awak soalan yang agak personal?” Tiba-tiba aku semakin berani. Sebelum ini aku ragu-ragu untuk menyoal Danny.
“InsyaAllah.” Terkedu aku mendengar jawapan lelaki misteri yang aku langgar keretanya tidak lama dulu. Dalam masa tiga bulan terlalu banyak yang dia tahu pasal aku.
“Sebenarnya awak kan Chinese. Kenapa awak boleh bagi dan jawab salam macam orang Islam yang lain kat kita?” Terluah juga persoalan yang berlegar di fikiranku sejak lama dulu.
“Memang Daddy kita Chinese tapi Mummy kita Malay. So, kita Muslim macam awak. Puas hati?”
“Ooooo….kenapa kita tak terfikir macam tu?”
“Awak puas hati?”
“Belum. Awak, kita ada satu lagi permintaan. Boleh awak kabulkan?”
“Hai, kenapa nak tanya pun kena minta kebenaran? Kalau awak minta bulan pun kita akan petik.”
“Siapa awak sebenarnya? Kerja awak. Umur awak?”
“Kenapa? Hal personel kita menjejaskan prestasi awak ke?”
“Bukan sampai ke situ!”
“Habis?”
“Baiklah. Tak payah jawab soalan tu. Lupakanlah.”
“Sebelum tu, boleh kita panggil awak Honey?”
Kali ini permintaan Danny membuat aku makin terkedu. Seolah-olah dia tahu nama timangan aku di rumah ialah Honey. Aku makin keliru. Rasanya sejak sebulan yang lalu Danny tidak menghubungiku adalah kerana dia sibuk mencari maklumat tentang aku. Makin perasan pula aku.
“Kenapa?” Aku cuba mendapatkan kepastian daripada Danny.
“Kita suka sangat gelaran tu!”
“Suka hatilah. Asalkan awak suka. Tapi parents kita memang panggil nama kita Honey.”
“Ye, ke? Thanks Honey. Rawat pesakit betul-betul. Ketua awak tu handsome juga orangnya. Jangan terpikat dengan dia sudahlah.” Kata-kata Danny membuat aku terpegun. Bagaimana dia boleh tahu pasal Dr. Danish dan Dr. Fadzreen?
“Hey, awak belum jawab soalan kita.”
“Sorry. Lain kali kita jawab. Bye, awak. Jaga diri. Lain kali kita cakap lagi.”
Talian diputuskan. Aku tidak tahu bila pula Danny akan menghubungiku. Banyak yang dia tahu pasal aku walaupun baru tiga bulan kami berkenalan. Aku mula musykil. Tentu ada sesuatu yang tidak kena. Tapi sekurang-kurangnya aku bersyukur. Ada juga insan yang perasankan kewujudan aku di Kuala Lumpur ini.
Mataku melirik tanda nama di atas meja. Tertera nama Dr. Fadzreen Nushi Irsyaduddin. Baru mula kerja sudah ada bilik sendiri. Entah bila aku akan dapat bilik sendiri. Betul juga kata jejaka idamanku. Aku boleh jadi Doktor Pakar sepertinya satu hari nanti.
Mulai sekarang aku perlu fokus pada satu bidang sahaja. Sebelum ini aku bertugas di Wad Bersalin Hospital Likas, Kota Kinabalu. Kini di tempat baru juga aku ditempatkan di Wad Bersalin. Aku perlu mendalami bidang yang berkaitan kehamilan dan proses melahirkan anak oleh seseorang perempuan. Aku mahu memecah monopoli Pakar Sakit Puan oleh kaum lelaki. Biar kehadiranku dalam bidang ini akan menambah jumlah bilangan doktor perempuan dalam bidang perbidanan.
Ketukan di pintu mengejutkan lamunanku. Dr. Danish muncul di muka pintu. Di tangannya ada sebuah fail. Matanya tepat merenungku. Belum sempat aku bersuara, dia mula menyindirku.
“Hai senyum sorang-sorang. Baru dapat call dari buah hati ke?” Lunaknya suara yang kedengaran di gegendang telingaku walaupun ia penuh sindiran.
“Takdelah. Orang macam saya ni siapalah yang hendak.” Aku merendah diri dengan situasi aku yang tidak pernah merasai nikmatnya cinta.
“Tapi gaya U jawab call tadi macam orang sedang dilamun cinta!” Dia masih memasang perangkap.
“Ye ke? Tak perasan pula ada orang sedang perhatikan saya.”
Hairannya aku. Semasa aku lalu-lalang di depan rumah Dr. Fadzreen selama lima tahun ini tidak pernah pula dia perasankan aku. Tapi di hospital ini, baru beberapa bulan aku bekerja di sini sudah mula ada yang perasankan gerak geri aku. Hairan aku dengan sikap Dr. Danish. Cepat sangat dia menangkap apa yang tersirat dan tersurat di hatiku.
“I ni makan garam dulu daripada U. Sikit-sikit tu I tahulah macam mana gayanya orang yang sedang dilamun cinta ni.”
Pandai pula Dr. Danish menggunakan peribahasa ketika berbual denganku.
“Takdelah Doktor. Tadi tu mangsa yang I langgar keretanya tidak lama dulu. Saja je dia tanya khabar I.”
Akhirnya aku menerangkan tentang Danny kepada Dr. Danish. Aku tidak mahu dia salah faham terhadap aku. Manalah tahu dia adalah lelaki pertama aku walaupun aku baru saja mengeluarkan namanya daripada calon lelaki pertama aku sebentar tadi. Mungkinkah pintu hatinya akan terbuka untukku satu hari nanti. Atau dia mahu menyuntingku menjadi permasuri hatinya. Biarlah aku terlebih perasan asalkan aku bahagia. Segalanya berkemungkinan. Ya, Allah! Kenapalah aku cepat sangat menaruh harapan kepada sesuatu yang belum pasti.
“Baiknya hati orang yang U langgar. Boleh telefon bertanya khabar lagi. Itulah untungnya jadi orang cantik.” Ada nada sinis dalam pujiannya. Aku kurang pasti kenapa Dr. Danish seperti marahkan aku. Tapi dia memang petah berkata-kata. Tapi cantikkah aku pada pandangan matanya? Pada aku biasa saja. Kulitku saja yang putih tapi rupa parasku biasa saja. Maklumlah Papa aku keturunan Banjar. Mama aku kulitnya hitam manis. Kedua-dua adik lelakiku semuanya berkulit sawo matang. Aku saja yang ikut kulit Papa.
Aku membiarkan detik waktu berlalu sehingga pintu diketuk dari luar. Muncul wajah seorang staff nurse. Di tangannya ada 10 fail pesakit. Jururawat itu adalah pembantu kepada Dr. Fadzreen. Selepas itu aku mengendalikan tugas yang sepatutnya dilakukan oleh Dr. Fadzreen.
Pesakit pertama mempunyai masalah kandungan luar rahim. Lembut saja Dr. Danish Ong menasihati wanita yang berusia 35 tahun itu agar tidak takut untuk menjalani pembedahan. Beliau mengarahkan aku membawa pesakit ke bilik ultrasound. Di sana dia menunjukkan kandungan pesakit itu yang berada di luar ovari sebelah kanan pesakit. Aku memerhatikan cursor yang ditunjukkan Dr. Danish Ong.
“Qis, U tolong nurse dapatkan tarikh untuk pembedahan pesakit ni. Kalau boleh esok hari.” Ringkas saja dia memberi arahan kepada aku. Tetapi masih lagi dengan suara yang lembut persis seorang ayah menyuruh anaknya melakukan sesuatu tugas yang mudah.
“Okey.” Jawabku lantas tanganku mencapai telefon di hadapanku. Aku menghubungi Dewan Bedah untuk mendapatkan masa pembedahan bagi pesakit kami yang pertama pada hari ini. Setelah mendapat masa dan waktu pembedahan daripada Dewan Bedah, aku menulis catatan di dalam borang maklumat pesakit.
“Qis, dah dapatkan masa pembedahan?”
“Dah. Jam 10 pagi esok. Jam 8 pagi ada pembedahan laparaskopi untuk pembuangan cyst seorang pesakit.”
“Thanks atas kerjasama U. Sekarang U tolong rawat pesakit seterusnya. Dr. Hasbul panggil I ke Dewan Bedah. Ada emergency-operation.” Dr. Danish Ong terus meluru keluar sebaik memberi arahan kepadaku.
Ah, hari yang memenatkan. Tapi aku seronok kerana dapat bekerja di dalam Klinik Pakar ditemani Dr. Danish. Kini aku akui kenapa Dr. Danish komited dengan kerjanya. Semuanya kerana kita menganggap pekerjaan sebagai satu ibadah. Nilai-nilai murni dalam Tonggak 12 yang mesti diserap dan diamalkan oleh seseorang penjawat awam.
Menyelamatkan nyawa pesakit memberi satu kepuasan dan kenikmatan. Aku juga layak menjadi Doktor Pakar Sakit Puan satu hari nanti. Aku mempunyai kelebihan berbanding dengan Dr. Danish kerana aku adalah perempuan. Ya, satu hari aku akan menjadi seperti beliau. Punya bilik sendiri dan punya pesakit sendiri. Rupanya seronok menjadi senior. Tapi kalau hendak jadi senior, mesti jadi junior dulu. Itu yang tidak berapa seronok.
BAB ENAM
BAB ENAM
Pembedahan ke atas pesakit Bilik 3 Katil 4 memakan masa hampir sejam. Doktor Fadzreen terpaksa memanggil Dr. Danish untuk membantunya melakukan pembedahan. Ini adalah kes luar biasa yang pertama kali aku temui. Sebelum ini dalam sesuatu kes mengeluarkan bayi dari uterus seseorang ibu, kami hanya mengambil masa paling lama 30 minit jika berlaku komplikasi. Selepas itu dalam masa 20 minit kami sudah siap menjahit uterus dan abdomen pesakit.
Hari ini kami berhadapan dengan pesakit yang mengalami masalah placenta previa type IV sejak usia kandungannya 20 minggu lagi. Pesakit tersebut bukan saja mengalami masalah uri di bawah tetapi urinya sudah berakar dan melekat di uterusnya. Darah dari rahim pesakit tidak berhenti mengalir dan sebab itulah Dr. Danish dipanggil. Aku sudah menggantikan 4 pain darah ke dalam badan pesakit.
“Kenapa Dr. Fadzreen?” Soal Dr. Danish sebaik tiba di dalam Dewan Bedah.
“Placenta patient melekat kat uterus!”
Dr. Danish mengambil dan memakai sarung tangan getah. Kemudian dia merapati pesakit. Tangannya membelek uterus pesakit tersebut.
“Nurse sediakan peralatan. Dr. Fadzreen stand by. Kita buat major-operation.” Dr. Danish mengarah staff nurse. Pantas Dr. Fadzreen menyediakan peralatan untuk melakukan pembedahan hesterektomi ke atas pesakit tersebut.
“Qis, U boleh belajar ilmu baru hari ni.” Dr. Danish memang selesa memangil namaku dengan panggilan Qis sahaja.
Dr. Danish memulakan tugasnya melakukan pembedahan untuk membuang rahim pesakit tersebut. Rahim pesakit tersebut perlu dibuang kerana urinya melekat pada rahim dan tidak boleh ditanggalkan. Lagipun berlaku pendarahan yang berterusan. Setakat ini pesakit tersebut sudah kehilangan empat liter darahnya. Mengikut prosedur, suami pesakit perlu tanda tangan borang kebenaran untuk membuang rahim pesakit, tetapi dalam keadaan kecemasan seperti ini, Dr. Danish sendiri yang turunkan tandatangannya.
“U pernah jumpa kes macam ni?” Dr. Danish menyoalku sambil tangannya mengeluarkan rahim dan uri yang melekat daripada perut ibu muda yang berusia 25 tahun itu.
“Belum. Ini kes luar biasa yang pertama kali saya lihat.” Jawabku ikhlas.
“Dalam bidang perbidanan, kes luar biasa lebih daripada ini pun U akan jumpa. Betul tak cakap saya Dr. Fadzreen?”
Dr. Fadzreen cuma mengangguk. Tangannya pantas menjahit semula abdomen ibu muda itu selepas Dr. Danish mengeluarkan uri dan uterusnya.
“Qis, tolong berikan plaster tu.” Arah Dr. Fadzreen kepadaku pula. Aku menyerahkan plaster yang berukuran yang panjangnya 6 inci kepada Dr. Fadzreen. Selepas membersihkan darah yang bersisa di bawah abdomen ibu muda itu, Dr. Fadzreen terus melekatkan plaster di bahagian yang telah dijahitnya tadi. Dr. Danish pula meletakkan uri yang masih melekat pada rahim ibu muda itu di atas dulang di tepi meja bedah.
“Qis, U tengok uterus patient ni. Di dalam perut ia tergantung sendirian tanpa melekat pada mana-mana organ dalaman yang lain. Fungsinya hanya untuk membenamkan benih yang telah disenyawakan dan seterusnya menampung tumbesaran benih yang disenyawakan tadi.”
“Maksud Doktor?” Aku memang tidak berapa faham penjelasan Dr. Danish sebentar tadi.
“Kalau kita pisahkan jantung daripada badan manusia, kita akan mati. Begitu juga kalau kita buang hati atau paru-paru kita, kita akan mati kerana fungsi organ dalaman kita saling berkait. Tapi uterus di dalam organ dalaman seseorang wanita, fungsinya hanyalah menyediakan ruang untuk bayi membesar setelah disenyawakan. Ada atau tiada uterus dalam diri seseorang wanita tidak menjejaskan mereka. Cuma mereka yang tiada uterus tak boleh mengandung dan melahirkan anak!”
Sambil memberi penjelasan kepadaku Dr. Danish membuang sarung tangannya yang berlumuran darah ke dalam bekas yang disediakan. Begitu juga Dr. Fadzreen. Keadaan mereka seolah-olah baru lepas menyiang ikan.
Penjelasan Dr. Danish menunjukkan dia layak menjadi seorang Ketua Pakar Sakit Puan. Nampaknya banyak yang perlu aku pelajari. Memang wanita yang diciptakan Allah amat unik. Ia berbeza dengan lelaki. Sebagai seorang wanita, aku tidak pernah merasakan apa-apa yang istimewa sehinggalah aku mendengar penjelasan Dr. Danish. Beruntungnya menjadi seorang wanita. Saat ini baru aku menyedari sebagai wanita aku mempunyai banyak keistimewaan. Mungkin kerana itulah syurga seseorang anak terletak di bawah telapak kaki ibunya.
Aku merenung ibu muda yang dibawa keluar dari Dewan Bedah ke ICU itu. Usianya baru 25 tahun. Bayinya yang aku dan Dr. Fadzreen keluarkan dari rahimnya tadi adalah anak sulungnya. Kerana komplikasi uri melekat di rahimnya, Dr. Danish telah membuat pembedahan hesterektomi ke atasnya. Ibu muda itu tidak boleh mengandung lagi! Rahimnya telah dibuang. Oh, Tuhan! Hari ini aku melihat tanda-tanda KebesaranMu.
“Hai, jauhnya melamun. Jom ke kafe. Kita makan sama-sama.” Satu suara lunak menerjah gegendang telingaku. Aku segera menoleh. Dr. Fadzreen rupanya.
“Jomlah. Saya pun dah lapar. 3 jam dalam Dewan Bedah rasa macam nak tercabut lutut ni!” Balasku sambil mengadu aku kepenatan.
“Qis, Doktor Pakar Neuron yang buat pembedahan memisahkan kembar siam lagi lama berada dalam Dewan Bedah. Mereka tak merungut pun.”
“Ala , nama pun Doktor Pakar. Tentulah takde masalah. I ni Doktor biasa je. Tu yang masalahnya!”
“Tadi I nampak jauhnya lamunan U. Ingatkan buah hati ke?”
“Apalah Doktor ni. Asalkan nampak I melamun je pasti U kaitkan dengan buah hati.”
“Marah ke? Habis tu U fikir tentang I ke?” Terkedu aku mendengar gurauan Dr. Fadzreen. Adakah dia bersungguh-sungguh atau sekadar bergurau denganku? Diakah lelaki pertama aku? Aku tidak perlu memikirkan lagi tentang lelaki pertama aku. Empat orang calon yang tidak menunjukkan perkembangan positif. Lupakan saja. Ah, aku perlu berpijak di bumi nyata. Ada jurang antara kami. Lelaki pertama hanyalah lakonan dalam drama swasta dalam televisyen saja. Dalam alam nyata jauh panggang dari api.
“Siapa lelaki bertuah tu?” Sekali lagi Dr. Fadzreen mengusik aku.
“Lelaki mana pulak ni?” Balasku.
“Yang dalam fikiran U sekarang ni.”
“Dr. Fadzreen, dalam fikiran I sekarang ni ialah nasib seorang kaum perempuan. Macam I ni. Banyak keistimewaan yang Allah berikan kepada kaum wanita tapi nasib kami ….” Sengaja aku mematikan bicaraku apabila Dr. Fadzreen mengerutkan dahinya. Aku tahu dia tidak faham dengan apa yang cuba aku sampaikan.
“Kenapa? U tak suka ke dilahirkan sebagai seorang perempuan?”
“Bukan tak suka. Tapi dilahirkan sebagai perempuan banyak fasa yang perlu dilalui.”
“Maksud U?”
“I kena kahwin. Lepas tu fasa kedua kena mengandung. Fasa ketiga kena bersalin. Fasa keempat kena menjaga dan membesarkan anak. Fasa kelima kena sekolahkan anak-anak. Fasa keenam….”
“Cukup….cukup…. berdosa U menyalahkan takdir.”
“No..No… I tak menyalahkan takdir. I hanya berfikir.”
“Samalah tu.”
“Tak sama. Selepas I berfikir I dapat buat satu kesimpulan. Rupa-rupanya seorang wanita itu lebih hebat dari lelaki!”
“Maksud U?”
“Wanita yang mengandung boleh melakukan tugas yang sama seperti lelaki selama 9 bulan 10 hari. Cuti bersalin hanya 60 hari saja. Selepas melalui proses bersalin sama ada normal atau pembedahan, mereka boleh mula bekerja sama seperti sebelum mereka mengandung. Menakjubkan! Lelaki tak boleh buat camtu kan ? Kan ? Kan ?.....”
“Betullah pengalaman dapat memberi pengajaran dan menginsafkan kita.” Dr.Fadzreen mengiyakan kata-kataku selepas mendengar penjelasanku yang agak panjang sebentar tadi.
“Sekarang I percaya kata-kata pujangga bahawa Syurga Itu Terletak Di bawah Telapak Kaki Ibu.” Aku masih lagi dibuai emosi.
“U rasa kesal tak pihak atasan tempatkan U di Wad Bersalin?”
“Tak. Malah I seronok sangat. 3 tahun lagi I nak ikut jejak U jadi Doktor Pakar O&G.
“Macam tulah. Baru ada wawasan. Lagipun nanti U boleh praktikkan kat diri sendiri.”
“U mean?”
“Masa tu mungkin U dah kahwin. Mungkin U dah pregnant atau mungkin U dah ada anak ke?”
Kata-kata Dr. Fadzreen membuat aku terfikir siapakah lelaki yang akan menjadi suamiku. Kalaulah Dr. Fadzreen yang menjadi suamiku, alangkah indahnya dunia. Jika bukan Dr. Fadzreen, sekurang-kurangnya Dr. Danish, lagi meriah hidup aku. Kalau bukan kedua-dua mereka, siapakah lagi yang mengenali diri aku di muka bumi ini? Ah, malangnya nasib anak dara pinggiran seperti aku. Hari-hari menyambut kelahiran bayi orang tapi bayi sendiri tahun bila pun aku tak pasti. Bukan apa calon bapanya belum ada. Hmm.. nasib badan nak buat macam mana. Lelaki pertama pun aku tak dapat cari, ini nak fikir fasal suami pula. Memang malang sungguh nasib aku.
Sepanjang perjalanan ke kafe, aku mendiamkan diri. Rasa malu mula bercampur baur dengan pelbagai perasaan membuatkan aku tidak berselera untuk memesan makanan. Akhirnya Dr. Fadzreen memesan mihun sup untuk aku. Tanpa membantah, aku terpaksa menjamah mihun sup yang agak keras di depanku. Dr. Fadzreen tenang menghabiskan nasi di pinggannya sambil sesekali merenungku. Itulah pertama kali aku makan berduaan dengan seorang lelaki dalam hidupku. Rasa seperti aku dan Dr. Fadzreen adalah pasangan yang bercinta pula.
Betulkah wujud lelaki pertama dalam hidup seseorang wanita? Kalau betul, biar Dr. Fadzreen saja yang menjadi lelaki pertama aku. Seronoknya jika fantasiku menjadi realiti. Tapi memang pun aku menyintai Dr. Fadzreen setengah mati. Aku mengulum senyum sambil menahan gelodak di jiwa. Ya, walau apa pun aku perlu mengisytiharkan Dr. Fadzreen lelaki pertama aku. Biar aku berterus terang dengannya.
Aku rasa dunia tidak akan kiamat kalau aku meluahkan perasaan kepadanya. Aku mesti berani. Kali ini aku akan mencari peluang. Aku masih ingat pesan orang tua-tua, jodoh tidak akan datang kalau tidak dicari.
“U jaga badan ke?” Soalnya memecah suasana. Terbang semula keberanian yang baru bertandang. Aku memandang tepat ke dalam anak mata Dr. Fadzreen. Lembut anak matanya merenungku. Aku jadi malu sendiri. Akhirnya aku dapat mengawal perasaan. Aku menerangkan kepada Dr. Fadzreen bahawa aku memang jenis tak kuat makan. Lagipun aku jarang makan pada waktu malam.
“Kalau macam tu, esok I belanja U makan kat restoran. Boleh?” Pelawaan Dr. Fadzreen ibarat pucuk dicita ulam mendatang. Mana mungkin aku lepaskan peluang keemasan ini. Aku menjerit dalam hati. Tapi betulkah apa yang sedang aku dengar? Kalaulah aku bukan sedang bermimpi, nampaknya akulah orang yang paling gembira di dunia ini. Sah, Dr. Fadzreen adalah lelaki pertama aku.
“Boleh ke?” Kali ini suara Dr. Fadzreen berkumandang lagi di cuping telingaku.
Sekali lagi aku menjerit di dalam hati. Aku bukan bermimpi. Juga aku bukan sedang berangan. Pelawaan Dr. Fadzreen tidak akan aku tolak walaupun aku ragu-ragu dia sudah dimiliki kerana aku yakin seyakinnya dia lelaki pertama aku. Namun aku perlu jual mahal. Biar harga diriku tinggi mencecah awan.
“Tengoklah.” Jawabku sepatah.
Aku meninggalkan Dr. Fadzreen yang terpinga-pinga. Biarlah aku berpura-pura tidak setuju. Kalau betul dia bersungguh, dia akan mengulangi lagi pelawaannya. Aku tersenyum dalam hati. Nampaknya aku tidak perlu menjadi perigi mencari timba. Rezeki datang bergolek. Kata orang rezeki jangan ditolak, maut jangan dicari. Semuanya berlaku jua dalam hidupku. Ah, hari yang mengggembirakan. Pantas aku menuju ke dalam wad bersalin. Pertama kali hatiku berbunga keriangan. Mimpi jadi kenyataan!
Di dalam Wad Bersalin aku lihat Dr. Danish sedang memeriksa pesakit. Tekun sungguh dia bekerja. Tadi dalam Dewan Bedah di bangunan sebelah, kini sudah ada dalam Wad Bersalin. Dia tersenyum sebaik melihat kelibat aku.
“Nasib baik U sampai. I baru nak call U. ”
“Kenapa Doktor?”
“U handle kes ni. Patient ni kena buat emergency operation. Ketubannya dah pecah. Airnya dah kurang takut baby lemas.”
“Kenapa tak induce saja Doktor?”
“The problem is tali pusat baby dah belit lehernya. U kena keluarkan baby before two hours, boleh?”
“Ok! Doktor nak ke mana?”
“I ada kes kat Dewan Bedah.” Jawab Dr. Danish sambil berlalu meninggalkan aku bersama pesakit itu. Aku meneliti report list pesakit tersebut. Umurnya 38 tahun. Anak kedua. Due date memang hari ini. Aku mengarahkan staff nurse dan JM memasang drip kepada pesakit tersebut.
Aku pula segera menghubungi Bilik Bedah supaya mereka bersedia sementara pesakit dibawa ke sana . Oleh kerana pesakit baru lepas makan, maka aku memasukkan tiub kecil melalui lubang hidungnya. Selepas menjoloknya hingga ke dalam perutnya, aku segera mengepam keluar makanan yang baru dimakannya. Pesakit tersebut hampir termuntah apabila aku memasukkan tiub melalui hidungnya.
Seorang lagi staff nurse menukar baju pesakit tersebut dengan baju putih yang bertali di belakangnya. Kepalanya ditutupi dengan pembalut kepala berwarna putih. Dalam masa 20 minit pesakit tersebut telah pun disorong ke dalam Bilik Bedah. Cepat juga aku melaksanakan arahan Dr. Danish. Dr. Danish telah mengingatkan aku agar mengeluarkan bayi dalam masa dua jam kerana takut tali pusat akan menjerut leher bayi pesakit.
Di dalam Bilik Bedah, Dr. Hasbul sedang menanti aku. Dalam masa tiga bulan ini banyak kali juga Dr. Hasbul membantu aku ketika di dalam Bilik Bedah.
“Berapa pain U bawa darah tadi?’ Tanya Dr. Hasbul.
“2 pain. Kenapa?’
“Cukuplah tu.”
“Ok, Qis. Hari ni U buat sendiri. I tengok je. Kalau ada komplikasi baru I tolong. Boleh?”
“Boleh.” Jawabku penuh yakin.
Dr. Hasbul kemudian menyuruh aku menyuntik ubat bius di tulang belakang pesakit. Tanpa berlengah aku terus mengambil jarum yang telah diisi dengan ubat bius. Ubat bius itu sebenarnya telah ditentukan dosnya oleh Pakar Bius sebelum aku masuk tadi. Inilah kali pertama aku melakukan pembedahan kepada pesakit sendirian dengan dibantu oleh staff nurse Bilik Bedah. Dr. Hasbul hanya memerhati saja tugas yang aku jalankan.
Apabila bayi berjaya dikeluarkan, aku menunjukkan bayi tersebut kepada ibunya. Ibunya hanya tersenyum. Aku menjahit semula abdomen pesakit. Staff nurse menolong aku membersihkan bahagian yang telah dijahit. Aku melekatkan plaster sepanjang 6 inci di atas bahagian yang telah dijahit. Pesakit tersebut kemudian mula merasa kesakitan selepas ubat bius mula tidak berfungsi.
“Puan rasa sakit ke?”
“Ya.” Pesakit itu menjawab lemah.
“Nurse, tolong bagi sebiji ubat tahan sakit pada patient ni.” Arahku.
Pesakit tersebut terus tertidur sebaik menelan ubat tahan sakit yang diberikan oleh jururawat. Aku pula segera masuk ke bilikku. Petang ini saja aku mengendalikan dua pembedahan. Rasa penat yang amat sangat. Sememangnya bertugas di Wad Bersalin bagi mana-mana hospital kerajaan amatlah memenatkan. Setiap hari ada saja kes baru. Setiap hari juga pasti ada ibu yang akan bersalin. Kalau bersalin normal, tugasku tidaklah penat sangat, tapi kalau bersalin melalui pembedahan, kerja bertambah sikit.
Apa yang menyeronokkan bekerja di Wad Bersalin ialah melihat wajah bayi yang baru dilahirkan. Mendengar tangisan pertama setiap bayi yang baru keluar dari rahim ibu mereka ibarat mendengar nyanyian dari syurga. Wajah bayi-bayi yang baru dilahirkan pula sebersih kapas dan seputih kain yang belum ternoda. Menatap wajah mereka ibarat menatap wajah bidadari dari syurga. Tidak puas memandang tanpa mencuit pipi mongel mereka. Alangkah seronoknya kalau aku juga dapat menjadi ibu seperti mereka.
Namun semua itu hanyalah anganku belaka. Tiada sesiapa yang sudi mencurahkan perasaan kepadaku. Aku pun terlalu sukar untuk mencari jodohku. Semua calon lelaki pertama aku digugurkan daripada senarai. Tiada langsung perkembangan positif. Biarlah sesiapapun selepas ini boleh menjadi lelaki pertama aku.
BAB TUJUH
BAB TUJUH
Perasaan hampa kembali bertamu di sudut hatiku. Dr. Fadzreen langsung tidak lagi menyebut tentang pelawaannya mengajak aku makan di restoran. Aku ingatkan tindakan aku jual mahal akan menguntungkan diriku tapi rupanya aku mengalami kerugian yang amat besar. Dr. Fadzreen sejak akhir-akhir ini jarang bergurau denganku. Aku amat sunyi sekali. Dr. Danish pula sentiasa sibuk 24 jam.
Aku semakin rindu dengan Danny. Dua minggu dia tidak menelefon atau menghantar sms kepada aku. Apakah dia sakit atau ditimpa kemalangan? Apakah aku sudah mula jatuh cinta dengan jejaka keturunan Cina itu? Hatiku sebenarnya sangat gembira apabila menerima panggilan daripada Danny. Ada nada lelucon lewat bicaranya. Dia tidak pernah bercakap formal denganku. Dia lebih suka mengusik dan bergurau. Namun dia tidak pernah mahu bertemu dengan aku. Alasannya sibuk.
Aku bercadang mahu menghubunginya sebaik saja sampai di rumah. Namun takdir telah mengubah segalanya.
“Hai, Honey! Rindulah lama tak dengar suara awak!” Suara yang dua minggu tidak kedengaran tiba-tiba menghubungiku. Terkedu aku tidak terkata.
“Apa khabar awak, Danny?” Aku terus menyoalnya.
“Lain macam je suara awak?” Awak sakit ke?” Soalanku dibalas soalan pula.
“Mana awak menghilang?” Tanpa menjawab soalannya aku juga terus mengasaknya dengan soalanku.
“Cari rumah awak!” Usiknya nakal.
“Buat apa?”
“Nak pinang awak!”
“Serius le sikit, awak. Kita tak sukalah hal-hal personal jadi bahan gurauan.”
“Okeylah..awak sihat ke Honey?”
“Tak.”
“Sakit apa?”
“Sakit sebab tak jumpa awak.”
“Mustahillah. Tapi kita tak boleh jumpa awak.”
“Kita nak jumpa awak juga. Awak… bila boleh kita jumpa awak?”
“Honey..sorrylah.. Kita betul-betul tak boleh sekarang ni. Harap awak faham!”
“Ye lah. Awak tu milik orang sebab tu tak nak jumpa kita!” Lega rasanya aku dapat melontarkan persoalan yang bermain dibenakku. Hanya lelaki yang telah berkeluarga saja yang akan mengelak dari bertemu perempuan yang baru dikenali. Persoalan itu sebenarnya telah lama terbuku di hatiku. Cuma hari ini saja baru aku ada keberanian. Biarlah apa jawapannya akan aku terima. Aku pasrah.
“Awak jangan tuduh sembarangan. Kita milik Mummy dan Daddy kita saja tau. Bukan milik siapa-siapa!”
Huh, leganya aku mendengar jawapan ikhlas dari mulut Danny walaupun aku meraguinya 100 peratus. Aku perlu menduga untuk mencari kebenaran. Aku tidak mahu tertipu. Seandainya Danny sudah berkeluarga, gugurlah lagi seorang calon lelaki pertama aku. Yang tinggal mungkin samseng yang bernama Daniel Hisyam itu. Entah kenapa kehadirannya seperti ombak memukul pantai yang meninggalkan buih putih di gigi pantai.
“Honey, awak masih di talian?” Kidung Danny melantunkan khayalanku ke alam nyata.
“Ya. Kita masih di sini. Kenapa awak selalu cari alasan tak nak jumpa kita?”
“Kita takut awak nak ikut kita balik pulak. Ye lah takut kita dikebas orang! Kan awak kata wajah kita mirip pelakon drama Taiwan tu. Apa namanya? Ha, awak kata rupa kita macam Mike He kan?”
“Mengadalah awak ni. Dah lah awak. Kita dah nak balik ni. Lain kali call kita tau!”
“Baiklah Tuan Puteri. I Miss U!”
“Miss U too!”
Kenapalah aku boleh terpikat dengan kepetahan Danny? Ah, aku tidak perlu percaya 100 peratus apa yang dibicarakan oleh Danny. Mustahil orang sekacak beliau tidak dimiliki oleh sesiapapun. Dr. Danish yang ada iras-iras Danny pun sudah ada seseorang dalam hidupnya. Itu Dr. Danish yang bekerja dari pagi hingga ke malam di hospital. Tambahan Danny yang bekerja di luar sana . Tentu hari-hari boleh jumpa gadis yang cantik-cantik.
Aku melihat jam di tangan. Hampir pukul 6.00 petang. Cepat-cepat aku mencapai kunci kereta. Pantas aku menuju ke tempat parking. Terperanjatnya aku melihat tayar depan sebelah kanan pancit. Macam manalah tayar aku boleh pancit. Mungkin terkena paku. Aku mengagak sendiri.
Apa aku nak buat sekarang? Dr. Fadzreen sudah balik sejam lalu. Dr. Hasbul on-call hari ni. Dr. Izlynn pula tunangnya yang hantar pagi tadi. Jadi, pasti tunangnya yang akan jemput beliau petang ni. Satu-satunya harapanku ialah Dr. Danish.
Dari bangunan Wad Bersalin kelihatan dia berjalan ke arah parking lot. Aku melambai ke arahnya.
“Hai Qis! Apa masalah U?” Sapanya sebaik beliau menghampiriku.
“Tayar kereta I pancit.”
“So, U nak suruh I buka tayar dan gantikan dengan tayar spare?”
“Taklah. I tau Doktor penat. I cuma nak tumpang balik je. Nanti I panggil mekanik datang.”
“Ok. No problem. Tapi bagi kunci kereta U kat I. Nanti I panggil mekanik.”
“Susahkan Doktor je.”
“Tak susah. U tumpang I ni tak de orang jealous ke?”
Aku menggeleng.
“Betul?”
Aku mengangguk tanpa jawapan.
“Orang yang langgar U tu tak marah ke?” Kali ini nadanya berbau cemburu. Aku malas melayan soalan Dr. Danish. Bukan dapat apa pun walaupun aku tahu dia maksudkan Danny. Langkah Dr. Danish makin laju. Aku mengekori Dr. Danish dari belakang. Dr. Danish menghampiri sebuah kereta Proton Wira. Terperanjat aku.
Ketua Pakar Sakit Puan pakai kereta Wira! Aku mengamati kereta Proton Wira yang berwarna Perawan Yellow itu. Seperti pernah ku lihat. Nah, kereta yang aku langgar beberapa bulan dulu. Langsung aku tidak perasankan kereta bos aku selama ini.
Jadi Dr. Danish adalah Danny? Soalan yang menerjah benakku tiba-tiba membuat aku malu. Memang ada persamaan pada wajah mereka kerana mata mereka yang sepet. Aku cuba mengingat wajah Danny dengan sejelasnya. Namun aku rasakan seperti ada perbezaan. Entahlah mungkin daya ingatan aku yang semakin lemah.
“Masuklah.” Dr. Danish mengarahkan aku masuk ke dalam keretanya sambil tangannya membuka pintu kereta untukku. Tanpa bicara aku melangkah masuk ke dalam kereta. Kepalaku sarat dengan soalan yang memerlukan jawapan segera. Bagaimana aku hendak memulakannya. Aku perlu bertindak. Sebaik kereta meluncur di jalan raya, aku mengeluarkan telefon bimbit. Aku mendail nombor telefon bimbit Danny. Aku sangat berharap telefon Dr. Danish yang berbunyi. Namun hampa. Langsung tiada deringan dari telefon bimbit Dr. Danish sedangkan di hujung talian, deringan berlarutan tanpa diangkat. Ke mana pula Danny pergi jika dia bukan Dr. Danish?
Mengapa jadi begini? Bukankah Danny adalah orang yang aku langgar keretanya. Kereta yang sedang aku tumpang inilah kereta yang aku langgar dulu. Aku ingat dengan jelas nombor plat keretanya. Sesekali Dr. Danish menjeling ke arahku. Aku masih lagi tidak tahu bagaimana harus memulakan bicara tentang keretanya yang aku langgar dulu. Aku perlukan kepastian. Siapakah Danny? Betulkah Dr. Danish.
“Qis nampak I ni macam suami orang ke?” Soalan Dr. Danish melunyaikan persoalan yang bermain di benakku. Kenapa tiba-tiba bertanya soalan yang bukan-bukan.
“Entah.”
“Kenapa Qis ragu-ragu saya ni suami orang atau bukan?”
Bila pulak aku menganggap Dr. Danish suami orang. Dengan Danny betullah. Aku selalu menganggap Danny suami orang kerana dia enggan berjumpa aku. Pelik pula sikap Dr. Danish hari ini. Namun aku perlu memberi komen untuk menjaga hati bos aku walaupun sikapnya memang pelik hari ini.
“Manusia ni macam-macam Doktor. Ada yang dah kahwin, ngaku bujang. Ada pulak yang bujang tapi ngaku dah kahwin. Yang seronoknya ada yang dah bercerai tapi masih kata tinggal sebumbung.”
“Tapi, Qis rasa I ni dah kahwin ke? Jawab dengan ikhlas.”
“Entah.”Jawabku sepatah.
“Bila Qis nak kahwin?”
“Hujung tahun.”
“Dengan siapa?”
“Jangan bimbang, bakal suami I baik orangnya.”
“Ye, ke. Siapa tu?”
“Adalah. Somebody. So, bila doktor nak kahwin?”
“Coming soon!” Jawabnya sambil tersenyum memandangku.
“Coming soon lagi!”
“U jangan bimbang. U orang pertama yang akan tahu bila I nak kahwin!” Kali ini tiada nada gurauan lewat bicaranya. Aku kehilangan bicara saat mendengar ungkapan yang lahir dari bibirnya. Sebenarnya setiap kali berbual dengan Doktor Danish, banyak yang aku tidak faham. Banyak yang tersurat dan tersirat. Tapi adakah dia Danny? Mustahil. Karektornya lain sungguh. Mana mungkin. Tapi kenapa aku suka membuat andaian yang bukan-bukan. Tadi dia tidak menjawab panggilan aku. Aku lemas dalam teka-teki yang tiada jawapan.
“Doktor tinggal kat mana?” Aku cuba mencari topik perbualan. Maklumlah menumpang kereta bos walaupun keretanya murah daripada kereta Honda Accord aku.
“Taman Pelangi. U pulak nak suruh I hantar kat mana?”
“Taman Sentosa!”
“Nasib baik kita ikut laluan yang sama. Kalau tak nanti tak sempat I nak rush.”
“Doktor ada hal ke?”
“I nak jumpa somebody. Janji pukul 7.30 malam.”
“Takpelah. I turun kat sini saja. Lepas ni I ambik teksi.”
“Tak payah. I hantar U sampai kat depan rumah. Warga KL sekarang ni bukan boleh percaya sangat. Hari-hari ada kes bunuh. Yang jadi mangsa anak dara macam awak, Qis.”
“Tapi anak dara tak laku macam saya dia orang tak pandang Doktor. Dia orang pilih yang cantik-cantik, yang solid-solid. Yang sekeping macam saya ni pandang pun dia orang tak sudi.”
Tidak tahu mengapa aku meluahkan kekecewaanku terhadap Dr. Danish. Mungkin kerana aku masih terasa dengan sikap Dr. Fadzreen tempohari. Sanggup dia melayani panggilan seseorang dan membiarkan aku menunggu di dalam kereta.
“Hish.. takkanlah awak ni anak dara tak laku Qis? U tahu Qis, awak ni cantik orangnya tau.”
Pandai pula Dr. Danish mengambil hati aku. Tapi kalau semua orang pandai mengambil hati aku seperti Dr. Danish, maka sudah lama aku jadi milik orang. Namun sampai hari ini tiada seorang pun yang sudi datang melamarku. Aku tidak tahu kenapa aku berbual yang bukan-bukan dengan Dr. Danish. Sebenarnya aku ingin mencari topik yang sesuai untuk bertanya betulkah Dr. Danish adalah Danny.
“Saya tak bergurau Doktor. Memang takde orang yang hendakkan saya. Kalau tak takkan dalam usia 28 tahun ni saya masih solo lagi?”
“Takkanlah gadis secantik Qis masih solo lagi?”
Aku menggeleng. Manalah tahu Dr. Danish boleh menjadi lelaki pertama aku.
“Qis, boleh I bagi kritikan? Maksud I kenapa U kata diri U anak dara tak laku”
“Apa dia? Saya tak kisah. Selama ni pun saya tak pernah ambil peduli hal orang.” Balasku tidak sabar.
Aku tahu sahabat sejati adalah cerminan peribadi kita. Kita tidak boleh melihat kekurangan diri sendiri tetapi orang yang rapat dengan kita dapat melihatnya dengan jelas. Jadi aku amat menghargai andai Dr. Danish dapat melontarkan pandangan peribadinya tentang kelemahan aku.
“Pertama rupa paras Qis buat orang keliru. Ada iras-iras Chinese. Dah tu Qis tak bertudung. Kedua nama Qis. Agak kebaratan walaupun maknanya memang agak islamik. Ketiga Qis tak pernah bergaul dengan orang di luar lingkungan hidup Qis. Dan keempat Qis jarang tersenyum kecuali dengan pesakit. Serius sangat. Orang pun takut nak tegur. Cubalah hadiahkan senyuman kepada setiap orang yang Qis temui. Barulah mereka akan perasan kewujudan Qis di sisi mereka.”
Rupanya terlalu banyak kekurangan dibandingkan kelebihan aku. Penjelasan Dr. Danish sebentar tadi seolah-olah mengejutkan aku daripada lena yang amat panjang. Itukah diriku? Salahkah diriku tidak bertudung? Bekerja di dalam Wad Bersalin terasa rimasnya kalau bertudung.
Tidak bergaul dengan masyarakat? Salahkah aku yang kekurangan waktu untuk bertegur sapa dengan jiran tetangga? Memang aku tidak mempunyai kawan karib. Tidak pernah senyum dengan orang yang tidak kukenali? Memang aku malu untuk melemparkan senyuman kepada orang yang tidak dikenali. Kenapa Dr. Danish boleh menelah sikapku padahal kami jarang berkomunikasi seperti ini? Tapi semua yang diperkatakan oleh Dr. Danish memang sikap aku 100 peratus.
Bagi aku Dr. Danish pakar dalam bab memberi nasihat. Kalau tidak masakan dia menegurku tentang calon pilihanku.
“Bagi I, Qis tak boleh terus terima calon yang dicadangkan oleh parents U.” Dia meluahkan kata-katanya apabila aku memberitahunya aku akan menerima siapa saja pilihan Mama dan Papa tentang calon suamiku.
“Kenapa? Dr. Danish dah jumpa calon yang sesuai untuk saya ke?” Sengaja aku cuba mengenakan Dr. Danish. Manalah tahu dia akan menawarkan dirinya pula sebagai calon suamiku. Atau pun dia akan mengaku dirinya adalah Danny yang selalu menelefon aku sesuka hatinya itu. Kalau tidak kenapa asyik jawab coming soon saja nak kahwin. Kenapa tidak dinyatakan tarikhnya dengan jelas?
“Maksud saya, Qis kena selidik latar belakang calon suami Qis. Tak boleh terima saja sesiapa yang datang pinang Qis.”
“Masalahnya sekarang Qis dah 28 tahun. Ini bukan masanya nak pilih siapa calon suami Qis. Kalau macam tu tunggu kucing bertanduk baru jumpa jodoh Qis.”
“Qis, I dah 36 tahun. Tapi I tak runsing nak kahwin macam U. Kenapa? U terdesak sangat nak kahwin ke?”
“U lelaki Dr. Danish. Memang la U tak runsing sebab U yang akan pinang orang. I ni perempuan. I kena tunggu orang pinang I. Lagipun adik lelaki I nak kahwin. Mana boleh dia langkah bendul.” Akhirnya aku meluahkan segala yang terbuku di hatiku. Biarlah Dr. Danish tahu segalanya tentang aku. Lagipun dia adalah bos aku. Aku juga amat pasti Dr. Danish bukan Danny walaupun aku tidak rabun lagi tentang nombor plat keretanya. Barangkali Danny sudah menjual keretanya kepada Dr. Danish. Kesimpulan yang paling simple.
BAB LAPAN
Langit tenang membiru. Mentari menampakkan wajahnya di ufuk timur. Sinaran sang suria mula menerjah jendela kamarku. Ceria sungguh pagi nan indah ini. Beburung bersiulan girang menyambut sinaran mentari pagi. Seperti biasa burung merpati hinggap di dahan sena di hadapan rumahku. Aku menghampiri jendela. Perlahan jemariku menguak daun jendela hingga ia terbuka luas. Tanpa silu cahaya mentari menyapa wajahku. Pantas aku menyelak langsir. Nah, seluruh ruang kamarku disimbah cahaya mentari pagi. Percuma saja aku memperoleh vitamin D untuk kesihatan kulitku.
Mataku merenung keluar jendela dan pandanganku berlabuh pada objek di hadapan rumahku. Aku melihat pakaian tuan rumah yang bertentangan dengan rumah Mama sudah berjemur. Mataku terpaut pada sesusuk tubuh. Rupanya Dr. Fadzreen sedang mencuci kereta di depan pagar rumahnya, iaitu betul-betul depan pintu pagar rumahku. Rasanya ingin saja aku turun ke bawah dan menyapanya. Namun alam sedarku masih berfungsi. Aku pernah menipunya aku tinggal di Cheras.
Hari ini kami off. Dutyku sama dengan Dr Fadzreen sejak mula aku bertugas hingga sekarang. Entah mengapa Dr. Fadzreen mengatur jadual kami sebegitu aku tak pasti. Mungkin kerana kami serasi atau kerana aku memang tidak pernah menolak permintaannya. Setiap kali dia ada kes, pasti dia meminta aku membantunya di dalam bilik atau dewan bedah. Aku memang cukup pasti kenapa aku sering mahu menolongnya. Tidak lain dan tidak bukan kerana aku cintakan dirinya dan aku anggap dia lelaki pertama aku.
Mataku memerhati Dr. Fadzreen yang leka mencuci kereta di depan pagar rumahku. Tiba-tiba jejaka itu mengalihkan pandangannya ke arah jendela kamarku. Mungkin Dr. Fadzreen terperasankan aku yang sedang mengintainya dari balik jendela kamarku. Cepat-cepat aku melarikan diri dari jendela. Dari balik langsir, aku lihat lama Dr. Fadzreen memandang ke arah jendela kamarku. Betapa segaknya Dr. Fadzreen memakai pakaian sukan ketika mengelap keretanya. Penampilannya memang berbeza apabila dia tidak memakai kemeja dan baju doktornya. Kenapalah bukan Dr. Fadzreen yang akan datang meminangku sebentar lagi?
Rombongan merisik yang hendak datang hari ini adalah kenalan sepupu sebelah Mama. Kata Mama orang yang akan datang melamarku hari ini juga seorang doktor. Kalaulah doktor yang akan datang melamarku hari ini ialah Dr. Fadzreen, aku tidak akan meminta wang hantaran walau pun satu sen. Tapi aku tahu aku hanya bermimpi di siang hari kalau aku mengharapkan Dr. Fadzreen yang melamarku.
Telefon bimbitku menjerit minta dijawab. Serta merta bayangan Dr. Fadzreen lenyap dari mindaku. Aku meneliti nombor di skrin. Danny! Setelah dua minggu menyepi diri tiba-tiba dia menghubungiku pada hari yang bersejarah bagi diriku.
“Assalamualaikum! Sihat ke? Apa mimpi awak hubungi saya pagi ni?” Marahku pada Danny memang nyata.
“Waalaikumsalam. Awak marah ngan kita ye? Sorrylah awak.. Kita sibuk sangat.”
“Dua minggu awak tak call kita, tau! Bukannya dua hari atau dua malam. Awak tak rasa ia satu jangkamasa yang lama ke?”
“Kenapa? Awak rindu ye?”
“Jangan nak perasanlah!”
“Hati kita kuat menyatakan awak rindukan kita.”
Aku hanya mendiamkan diri. Biarlah Danny menelah apa saja atau menebak apa saja yang terlintas di fikirannya. Yang nyata aku amat tersinggung. Aku ingin meluahkan perasaan. Aku amat mengharapkan pendapat Danny. Sekurang-kurangnya tentang pilihan Mama. Tapi apa yang aku dapat? Danny langsung tidak menjawab mesej aku apatah lagi panggilanku. Nyata sekali dia tidak ingin aku berkongsi masalah dengannya. Sikapnya seolah-olah dia tidak sudi mendengar masalah aku. Aku amat mengharapkan Danny menjadi pendengar setia aku sampai bila-bila. Tapi sikapnya tidak menggambarkan keinginanku. Aku kecewa. Biarlah hubungan aku dengan Danny menjadi sejarah. Aku akan sakiti hati Danny sepuasnya hari ini.
“Hari ni hari bahagia kita. Kita akan bertunang kejap lagi.” Aku meluahkan perasaan yang bergelora sejak semalam.
“Apa? Awak nak bertunang? Dengan siapa?”
“Entah!”
“Awak gurau ngan kita ye?”
“Kita serius. Kejap lagi rombongan akan sampai.”
“Qis, awak mainkan perasaan saya selama ni rupanya. Sungguh saya tak sangka!”
“Excuse me! Bila kita mainkan perasaan awak?”
“Habis? Awak nak bertunang. Bukankah itu namanya awak permainkan perasaan kita?”
“Hello…Encik Danny! Awak yang mainkan perasaan kita. Bukan kita yang mainkan perasaan awak!”
“Tapi..kenapa awak nak bertunang dengan orang lain. Bukan ngan kita?”
“Danny! Awak tak boleh salahkan kita tau. Awak tak pernah serius ngan kita. Kita ajak dating awak tak nak. Kita call awak kata busy. Sekarang kita nak bertunang, awak kata kita mainkan perasaan awak pula!” Keras kali ini nada suaraku.
“Siapa orang tu? Dia kena langkah mayat kita dulu tau!”
“Danny, tak payahlah awak nak marah-marah.”
“Tapi Qis, kita serius nak kahwin ngan awak. Mana boleh awak kahwin ngan orang lain!” Ada nada rajuk di sebalik suara Danny.
“Tapi awak tak pernah luahkan perasaan awak kat kita. Mana kita tahu apa yang tersurat dan tersirat di hati awak.” Sangkalku.
“Memanglah kita tak cakap terus terang. Tapi takkan awak tak faham istilah dan bahasa cinta kita?” Danny masih mempertahankan haknya.
“Kalau macam tu awak datanglah pinang kita sekarang. Lepas ni boleh kita kahwin ngan awak!” Aku separuh bergurau.
“Awak cabar kita ke?”
“Terpulang.”
“Macam mana kalau ibu bapa awak tak suka kita?”
“Danny, seperkara awak kena ingat tentang kita. Selama ni kita tak pernah ingkar cakap ibu bapa kita. So, kita akur dengan kehendak Papa dan Mama kita untuk kahwin dengan siapa saja yang datang pinang kita.”
“Jadi kalau kita datang bawa rombongan parents awak akan terima kita?”
“Ya. Awak datanglah pinang kita sekarang.”
“Kita guraulah, awak. Walau apa pun status awak selepas ini kita ucapkan tahniah. Ingat… selepas ini kita masih lagi kawan, boleh?”
“Jadi selama ini kita hanya kawan awak je?”
“Memanglah kita kawan awak. Kenapa?”
“Awak tak pernah sukakan kita?”
“Apa yang awak cakap ni? Awak kan anak gadis yang baik. Terimalah jodoh awak dengan hati terbuka. Sebenarnya kita bukanlah lelaki yang baik. Kita tak sebaik yang awak sangkakan! Biarlah hubungan kita dengan awak begini saja. Kalau awak ada masalah, awak hubungilah kita. Kalau kita boring, kita akan call awak.”
Airmataku menitis mendengar kata-kata Danny. Perkenalanku dengannya selama enam bulan berakhir begitu saja. Kami tidak pernah berjumpa, tidak pernah meluahkan perasaan tapi hubungan kami sangat istimewa. Danny juga adalah calon lelaki pertama aku. Tapi hubungan kami berakhir begini saja. Sedihnya aku. Gurauan aku tentang pertunangan ini memutuskan hubungan kami sekelip mata saja.
Aku tidak pasti kenapa aku terlalu sukar untuk memutuskan ikatan dengan Danny dan memulakan ikatan baru dengan orang yang tidak kukenali. Mungkin perasaanku yang tidak pernah dibuai rasa cinta membuatkan aku merasakan kehadirannya apabila mengenali Danny. Danny boleh menelah apa yang sedang aku fikirkan dan memahami perasaanku walaupun kami hanya berbual melalui telefon. Sebelum ini Danny ada memberi aku alamat Facebook beliau. Siap dengan password lagi. Tapi aku bukanlah orang yang suka bercatting dengan internet. Aku tidak mahu jadi bisu. Aku suka mendengar suara orang dan bercakap dengan orang.
“Boleh Mummy masuk?” Suara lunak diluar pintu mematikan lamunanku.
“Masuklah. Pintu tak berkunci.” Jawabku perlahan.
Seorang wanita berusia lewat 50-an masuk ke dalam kamarku. Dia memakai jubah berwarna hijau lumut dan bertuduh labuh berwarna krim. Mama membuntutinya dari belakang .
“Ini bakal ibu mertua Honey.” Mama memperkenalkan aku kepada wanita tersebut. Aku segera menyalami tangan yang dihulurkan oleh wanita itu. Kemudian bakal ibu mertuaku mengangkat tanganku. Tiba-tiba aku berasa bersalah. Aku tidak mahu kehilangan Danny. Walaupun Danny dalam nada serius menganggap aku kawannya, tetapi aku dapat rasakan ada sesuatu antara aku dan dirinya. Apakah sesuatu itu? Adakah cinta?
Aku meminta maaf kepada bakal ibu mertuaku. Aku juga meminta maaf daripada Mama. Aku membatalkan upacara pertunangan yang hanya dihadiri keluarga terdekat aku. Aku pasrah. Aku pasti Danny adalah lelaki pertama aku. Aku tidak mahu kehilangannya. Aku akan luahkan perasaanku kepada Danny. Biar dia tahu isi hatiku. Lagipun aku telah berjanji dengan diriku. Aku ingat lagi tarikh 16 Julai dulu aku akan melafazkan kalimah cinta kepada lelaki pertama yang menegurku hari itu. Pilihan aku tidak salah kerana Danny orang pertama yang menelefon aku pada pagi tersebut.
Bakal ibu mertuaku meletakkan cincin berlian di atas ribaanku. Katanya anggaplah ia sebagai hadiah daripada seorang ibu kepada anak perempuannya. Lantas dia mengangkat mukaku dan mencium dahiku penuh mesra. Aku tergamam. Bakal ibu mertuaku langsung tidak marah kepadaku. Sebelum keluar dari bilikku, dia menepuk bahuku beberapa kali sambil tersenyum.
Saat itu bayangan wajah Danny melambai mesra ke arahku. Wajah bakal ibu mertuaku yang tidak jadi menghilang perlahan-lahan. Aku kagum dengan beliau. Orangnya lembut dan senyuman sentiasa menghiasi bibirnya. Terasa satu perasaan yang sukar dimengerti menyelinap ke dalam tasik sanubariku. Rasa bersalah menyelinap tiba-tiba. Bisikan suaranya jelas berkumandang di telingaku.
“Qistina, boleh Mummy cakap sikit?” Tiba-tiba bakal ibu mertuaku bersuara. Aku memandang wajah Mama. Mama menganggukkan kepala lalu meminta izin keluar dari kamarku.
“Cakaplah Auntie. Qis sedia mendengarnya.”
“Mengapa Qis tak sudi terima pinangan anak Auntie.”
“Qis ucapkan terima kasih kerana anak Auntie sudi memilih Qis untuk menjadi suri hidupnya. Tapi Qis belum pasti dengan hati Qis. Maafkan Qis!”
“Mummy tak kisah. Nasib baik Along tak datang. Sebenarnya dia segan nak datang sekali dengan Auntie.”
Aku menundukkan muka. Rasa bersalah membuak-buak bergelora di sudut hatiku. Aku perlu bertahan. Aku mesti yakin ada lelaki pertama dalam hidupku. Danny adalah lelaki pertama aku. Jadi aku perlu berdiri gagah dengan keputusan yang telah aku buat. Aku tidak akan berganjak lagi.
Sejak itu Mama tidak pernah bersungut lagi. Papa juga tidak mengungkit lagi. Aku tahu Mama dan Papa sangat kecewa. Sejak itu juga Danny tidak pernah menghubungiku lagi. Puas aku menghubunginya namun tiada jawapan. Kadangkala taliannya sangat sibuk. Mesej-mesej yang aku hantar juga tidak pernah berbalas. Kekecewaan mula bersarang di dada. Apakah aku tersalah membuat pilihan. Hampir sebulan Danny menyepi.
Entah kenapa tiba-tiba tanganku terasa gatal untuk membuka laman Facebook. Semua doktor di Wad Bersalin termasuk Dr. Fadzreen sudah mempunyai laman Facebook masing-masing. Dr. Fadzreen mengajar aku cara membuka laman Facebook. Orang selurus aku tentulah meletak nama penuh ketika membuka akaun Facebook. Semua teman-teman dapat menjejaki aku. Dalam sekelip mata aku mempunyai ramai teman. Sejak mempunyai Facebook, hidupku tidak sunyi lagi. Aku pun terlupa dengan misi aku untuk memburu jejaka pertama aku. Sedang melayari Facebook, aku menerima satu kiriman mesej. Aku menekan cursor dan membuka kotak pesanan.
Hai, Qistina! Awak sihat?
Aku melihat pengirimnya. Daniel Hisyam!
Tanpa berlengah aku, aku menekan cursor ke laman Facebook Daniel Hisyam. Mataku sabar membaca biodata dirinya di bahagian profil. Tidak banyak maklumat yang dikongsi bersama peminatnya. Hanya dicatatkan dia seorang lelaki. Itu aku pun tahu. Sudah namanya Daniel Hisyam mestilah lelaki. Dia tidak meletakkan gambar sebenar di profilnya. Cuma kalimah Allah sebagai pengenalan profilnya. Mataku pantas melihat majikan dan pekerjaannya. Kementerian Kesihatan. Doktor Pakar Ortopedik. Paling mengejutkan aku samseng itu adalah seorang doktor di Hospital Kuala Lumpur. Biar betul. Samseng boleh jadi doktor.
Aku meneliti gambar-gambar peribadi yang tersimpan di dalam album di sebalik bebayang. Semua gambarnya… berpakaian racing sedang duduk di atas motor Aprilla berwarna biru. Mindaku seakan pernah bertemu situasi itu, tapi di mana. Aku cuba memerah otak mengingatnya. Akhirnya aku berjaya. Lelaki itulah yang menengking dan merampas kad nama dari tanganku ketika aku melanggar kereta Danny tahun lepas.
Aku beristighfar beberapa kali. Perjalanan takdir aku memang begini. Aku kehilangan Danny tapi Allah mengembalikan insan lain kepada aku. Hatiku berbunga kembali. Misi aku memburu lelaki pertama perlu aku teruskan. Aku memang ada peluang. Aku tidak kisah kerana walaupun lagaknya samseng tetapi Daniel Hisyam memang seorang doktor.
“Saya sihat. Dah berubah musim, bila nak lunas belanja saya makan.”
Aku mengepos mesej kepada Daniel Hisyam. Aku tidak tahu dari mana keberanian itu datang. Daniel Hisyam membalas mesej aku tidak lama kemudian. Tanpa sedar hampir sejam kami berbalas mesej hinggalah Daniel Hisyam menyatakan keinginannya untuk meminang aku. Pucuk dicita ulam mendatang. Tanpa berlengah aku menyatakan persetujuan. Daniel Hisyam seperti terkejut namun dia sangat gembira.
Rombongan meminang tiba tepat jam 4.50 petang. Acara peminangan kali ini amat sederhana. Mama tidak mahu terlalu meriah kerana takut pisang berbuah dua kali.
Pintu diketuk beberapa kali. Aku melangkah namun beberapa langkah, pintu dibuka dari luar. Mama bersama seorang wanita berjubah hijau lumut…. Aku hampir pitam. Wanita yang sama datang meminang aku. Mama menerangkan Puan Wahidah adalah calon ibu mertuaku. Rupanya dulu dia datang meminang aku untuk anak sulungnya. Kini dia datang meminang aku untuk adiknya pula.
“Maafkan Auntie kerana datang sekali lagi.”
“Qis yang salah, Auntie.”
“Dulu Along kata dia dah jumpa pilihan hatinya. Itulah Auntie datang.”
“Maafkan Qis, Auntie.” Aku tidak dapat menahan tangisan lagi.
“Terima kasih Qis. Akhirnya dapat juga Auntie bermenantukan Qis. Daniel sangat bertuah.”
“Mungkin dia akan menyesal setelah dia jumpa Qis nanti. Maklumlah dia tak kenal Qis lebih dekat sebelum ini.” Terluah jua kebimbangan yang bersarang dihatiku. Tiga kali kami bertembung dalam suasana tegang. Kali ketiga paling dahsyat sebab aku terlanggarnya hingga dia jatuh berdebuk macam nangka busuk. Ayat skema saja yang keluar dari mulutnya bila bertembung dengan aku, iaitu buta ke, mata letak kat mana. Akhirnya aku berbalas mesej dalam Facebook dengan Daniel Hisyam hingga hubunganku dengannya sampai ke tahap ini. Betul-betul macam mimpi.
“Sebenarnya Daniel yang suruh Auntie pinangkan Qistina. Katanya dia dah jumpa calon yang sesuai dengan dirinya.” Penjelasan bakal ibu mertuaku membuatkan aku hampir tersedak. Dari mana anaknya mengenali aku sebelum ini?
“Ha, ini gambarnya.” Aku membelek dan mengamati gambar jejaka di dalam gambar yang ditunjukkan kepadaku. Hampir pengsan aku melihat gambar yang diunjukkan kepadaku. Itulah rupa Daniel Hisyam yang menengking aku di pintu lif pada 16 Julai dulu. Walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu, wajahnya tidak mungkin aku lupakan. Aku mengamati gambar itu berulang kali. Walaupun tidak sekacak Danny, tapi raut wajahnya ada iras-iras Danny. Betulkah Daniel Hisyam itu Danny? Tapi Danny berpakaian kemas. Lagaknya bukan seperti samseng itu. Rambut Danny kemas. Bersisir rapi seperti Dr. Danish.
Bila teringatkan Dr. Danish, wajah Danny persis tampak seperti Dr. Danish pula. Kenapa fikiran aku semakin keliru. Selama berbulan ini, aku langsung tidak perasankan persamaan wajah Danny dengan Dr. Danish. Berulangkali aku cuba mengingat semula wajah Danny. Aku perlu mencari jawapannya. Walaupun sudah lama kemalangan itu berlaku, namun wajah Danny terakam dengan jelas di ingatan aku. Kemeja T berwarna hijau pucuk pisang dan jeans hitam yang dipakainya pada hari kemalangan itu jelas lagi di ruang mataku. Adakah Danny dan Daniel adik beradik? Pening kepala aku.
“Sebenarnya, Mummy ada satu permintaan… harap Qistina tak kisah.” Terbang melayang firasatku tentang Danny.
“Qis tak kisah..”
“Daniel minta percepatkan tempoh pertunangan kerana dia akan berkursus ke UK hujung bulan ni. Dia harap dapat langsungkan perkahwinan dalam masa dua minggu ini kerana dia berhajat nak bawa Qistina sekali ke UK .” Penjelasan bakal ibu mertuaku menafikan terus firasatku tentang Danny. Kali ini aku pasti mereka bukan adik beradik.
“Hujung bulan ni?” Aku mula terkejut.
“Ya. Itu pun kalau Qis tak kisah.”
Apakah jawapan yang bakal aku berikan kepada bakal ibu mertuaku? Sebenarnya aku sedang buat kajian kes tentang wanita-wanita yang mempunyai risiko melahirkan bayi down syndrome dengan Doktor Fadzreen. Hujung bulan ini kami akan ke Australia . Perlukah aku melepaskan peluang mencipta nama dalam bidang perbidanan?
“Sebenarnya Qis ada projek dengan ketua Qis di Australia hujung bulan ni. Kajian kes tentang wanita yang berisiko melahirkan bayi down syndrome.” Aku terpaksa membuat penjelasan tentang situasi yang sedang aku hadapi. Bakal ibu mertuaku tersenyum kelat.
“Tak apalah Qis. Kita ikut rancangan asal. Hujung tahun ni kita buat majlis kahwin.” Suara bakal ibu mertuaku hampir tidak kedengaran pada pendengaranku.
“Maafkan Qis, Auntie. Projek tu amat bermakna buat Qis. Qis berazam nak jadi doktor pakar satu hari nanti. Jadi Qis rasa sayang nak lepaskan projek tu pada orang lain.” Aku cuba membuatkan bakal ibu mertuaku memahami keadaanku.
“Qis, Mummy tak kisah. Janganlah Qis rasa bersalah. Qis sudi menerima lamaran anak Mummy pun dah dikira satu rahmat.” Bakal ibu mertuaku masih mengucapkan rasa bersyukur kerana aku menerima lamaran anaknya.
“Betul Mummy tak kisah?”
“Hmmm… bila Qis panggil Mummy, rasa macam Qis dah jadi menantu Mummy. Memang Mummy tak kisah. Itu cuma permintaan Along saja.”
Malunya aku Tuhan saja yang tahu. Mengapalah aku boleh tersasul.
“Maksud Auntie?”
“Panggil Mummy lebih mesra Qis. Sebenarnya Daniel takut Qis terpikat dengan orang lain. Tu yang dia minta cepatkan hari pernikahan.”
Jawapan bakal ibu mertuaku membuat aku terkejut. Siapakah yang hendak terpikat dengan aku? Dr. Fadzreen rasanya sudah dimiliki. Begitu juga Dr Danish. Danny pula pergi tanpa pesan. Itu sajalah kaum lelaki yang agak rapat dengan aku. Dr. Hasbul pula akan bertunang bulan depan.
“Mummy, sebenarnya biarlah Qis berterus terang. Seumur hidup Qis, tidak pernah ada seorang lelaki pun yang meluahkan perasaan mereka terhadap Qis. Anak Mummy sorang saja yang pernah meluahkan perasaan terhadap Qis. Itupun semasa berchatting dalam Facebook. Bagaimana anak Mummy boleh terfikir Qis akan terpikat dengan orang lain?” Terpaksa aku membuka pekung di dada. Biarlah apa tanggapan keluarga bakal ibu mertuaku terhadap diriku.
“Kalau Mummy tak dengar dari mulut Qis sendiri, Mummy tak percaya Qis tak pernah bercinta. Anak muda zaman sekarang, kecik-kecik lagi dah ada pasangan masing-masing. Orang secantik Qis, kalau buka mulut saja, pasti ramai yang menghantar lamaran!”
Sebab itulah Daniel Hisyam mengambil kesempatan. Pandai juga bakal ibu mertuaku mengambil hatiku. Andai benar kata-kata bakal ibu mertuaku, alangkah bahagianya aku. Tetapi aku tahu kata-kata itu langsung tiada kebenarannya. Kalau tidak masakan Dr. Fadzreen tidak terpikat dengan diriku. Padahal hampir seharian kami bertugas bersama dalam jangkamasa yang agak lama. Setahun. Kalau orang berkahwin dalam masa setahun, pasti sekarang mereka sedang menimang cahaya mata.
“Qis tak nak tahu dengan lebih lanjut siapa anak Mummy ke? Hubungannya dengan abangnya Along atau apa-apa ke?” Nah persoalan itulah sebenarnya yang bermain di minda fikirku. Aku bukan kenal pun Daniel Hisyam. Zahir mungkin aku kenal tapi peribadinya memang zero. Tapi perlukah aku mengiyakan kata-kata bakal ibu mertuaku? Dulu aku menolak pinangan anak sulungnya. Kini aku terima pula lamaran adiknya. Adakah tidak akan timbul konflik pula nanti?
Kalaulah aku tahu Puan Wahidah itu adalah emak Daniel Hisyam sudah tentu aku tidak akan berani bermesej hingga ke tahap meminang dengan Daniel Hisyam. Siapa pula abang sulungnya.? Menurut kata Mama dulu, anak sulung Puan Wahidah seorang doktor. Aku pasti kini abang Daniel Hisyam juga seorang doktor. Tapi tidak mungkin aku akan bertanya lanjut tentang tunangan aku. Kesiluan masih lagi menebal dalam jiwaku walaupun hati aku meronta-ronta ingin tahu.
“Qis memang anak dan menantu Mummy yang baik. Pasti Daniel tidak tersalah membuat pilihan.” Bakal ibu mertuaku mengakhiri kata-katanya sebelum berlalu dari kamarku.
Mataku mengekori bakal ibu mertuaku hingga hilang di sebalik daun pintu. Aku merenung kosong ke arah pintu yang terbuka luas. Perlahan aku bangun menutup pintu dan membaringkan badan di atas katil. Gambar Daniel Hisyam aku tatap berulangkali. Wajahnya tampak sangat nakal dan betul-betul macam samseng. Rambutnya yang ikal menutupi dahi di hadapan dan agak panjang hingga paras kolar baju itu pula menyamai watak Putera Mahkota cerita Princess Hours. Namun renungan matanya memendam sesuatu yang tidak terlafaz dengan kata-kata.
Aku sebenarnya tidak memikirkan sangat tentang kebahagiaan diriku. Lelaki pertama yang aku harapkan telah menjadi kenyataan. Lelaki samseng yang secara tidak sengaja aku langgar di depan pintu lif itu yang menjadi tunang aku. Hairan sungguh. Tapi kalau mengikut janjiku pada 16 Julai memang dialah lelaki pertama menegur aku pada hari itu walaupun sebenarnya dia menengking aku. Siapakah dia sebenarnya? Betulkah doktor samseng macam tu. Ah, aku malas berfikir. Cukuplah jika Mama dan Papa gembira. Kegembiraan mereka adalah kebahagiaan aku. Sebagai anak aku perlu patuh kepada mereka. Aku tahu mereka mahukan yang terbaik untukku. Aku akur kata-kata yang lahir dari bibirku menjadi kenyataan. Lelaki pertama aku adalah samseng itu yang kini sah menjadi tunang aku.
BAB SEMBILAN
Penerbangan selama lima jam dari Perth amat memenatkan. Aku dan Dr. Fadzreen baru sampai ke KLIA dari Lapangan Terbang Perth, Australia . Siang malam selama sebulan di sana kami asyik dengan pembentangan kertas kerja dan kajian kes tentang projek kami. Sekurang-kurangnya aku dapat pengalaman baru bekerja dengan para doktor di sana . Amat berbeza sekali dengan rawatan terhadap pesakit di sini.
Di sana pesakit adalah pelanggan. Jadi tugas doktor adalah memastikan pesakit menerima rawatan dan mendapatkan perkhidmatan terbaik terutama bagi ibu-ibu yang mengandung. Ibu-ibu yang mengandung diberi layanan yang istimewa terutama bagi ibu-ibu yang mempunyai masalah dengan kehamilan mereka.
Bagi ibu-ibu yang disahkan mengandung bayi yang cacat terutama down syndrome mereka diberi layanan paling istimewa. Para kaunselor memberi terapi dan kaunseling kepada mereka agar dapat menerima keadaan bayi yang akan mereka lahirkan. Di sana, setiap ibu yang bakal melahirkan bayi down syndrome sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Ia amat berbeza sekali dengan di sini.
Ah, hanya sebulan saja aku di sana , sudah berani aku membandingkan perkhidmatan hospital di sana dengan di negaraku yang tercinta ini. Aku sepatutnya berbangga dengan negaraku, Malaysia . Baru 53 tahun merdeka, tetapi perkhidmatan yang disediakan kerajaan bertaraf dunia. Lagipun hujan emas di negara orang dan hujan batu di negara sendiri, lebih baik di negara sendiri.
“Hai, jauhnya lamunan. Teringatkan Mat Salleh kat Universiti Edith Cowan, ke?” Aku tahu Dr. Fadzreen maksudkan Pensyarah Perubatan dari Universiti Edith Cowan, Dr. George Abraham Mikail yang mengetuai projek kami semasa di Perth .
“Oh, Dr. Fadzreen. Terkejut I. Dah dapat teksi ke?”
“Yup! Jom kita ke sana .”
Aku segera mengekori Dr. Fadzreen. Perjalanan dari KLIA ke Kuala Lumpur sekurang-kurangnya mengubat rinduku terhadap bumi Malaysia yang tercinta ini. Aku teringatkan pinggir Bandar Stirling yang seakan-akan sama dengan Bandar Shah Alam. Bandarnya terancang dengan pepohon yang menghijau. Aku rindukan pohon akasia, begonia dan azalea. Pantas aku menyuruh teksi menghantar aku ke rumah Mama.
“Tolong hantar saya ke Rawang.” Arahku kepada pemandu teksi keturunan Cina itu.
“Buat apa U ke Rawang, Qis?”
Soalan Dr.Fadzreen mengejutkan aku. Baru aku teringat. Aku pernah membohongi Dr. Fadzreen aku berasal dari Cheras. Kantoi juga aku akhirnya.
“Balik rumah family I.” Jawabku selamba.
“Dulu U cakap rumah family U kat Cheras, kan ?” Dr. Fadzreen masih tidak puas hati.
“Ye, ke? Rasanya U silap dengar kot?”
“Mustahil I silap dengar.”
“Maaflah. Memang I sengaja tipu U. I tak nak orang tak dikenali tahu latar belakang I.” Aku cuba berdalih.
“Tapi kan kita dah lama kenal. Hampir setahun.” Dr. Fadzreen masih tidak mahu mengalah.
“Dr. Fadzreen, U kenal I baru setahun tapi I kenal U hampir enam tahun. Rumah sewa U depan rumah Mama I!” Akhirnya terluah jua perasaan yang selama ini terbuku di hatiku.
“Qistina Batrisya! U mean U anak Pakcik Qayyum depan rumah I kat Taman Selasih?” Dr. Fadzreen seakan ternampak hantu. Mungkin terkejut kerana aku adalah anak jirannya.
Aku hanya mengangguk. Dr. Fadzreen melepaskan keluhan panjang. Suasana tiba-tiba hening. Aku tidak tahu apa yang hendak aku bualkan lagi. Mungkin Dr. Fadzreen terasa hati kerana aku telah menipunya. Lagipun aku rasa tindakan aku adalah wajar. Mana mungkin aku akan menceritakan hal sebenar kepadanya. Nanti tidak semena-mena terungkap hijab perasaanku terhadapnya selama ini.
“Maknanya U sudah bertunang?” Tiba-tiba suara Dr. Fadzreen memecah keheningan suasana.
Aku mengangguk.
“Tunang U doktor juga?”
Sekali lagi aku mengangguk.
Kemudian teksi membelok ke Taman Selasih.
“Berhenti kat depan tu!” Dr. Fadzreen mengarah pemandu teksi itu berhenti betul-betul di depan pintu pagar rumahku.
“Thanks Doktor.”
“Tanggungjawab I. Tak perlu ucap terima kasih.” Katanya sambil berlalu masuk ke rumahnya. Aku masih terpana di depan pagar sambil memerhati Dr. Fadzreen menghilang ke dalam rumahnya. Kenapa Dr. Fadzreen seakan menyimpan amarah terhadapku? Besar sangatkah kesalahanku menipunya tentang tempat tinggalku? Atau pun dia juga menyimpan perasaan terhadapku? Itu adalah persoalan yang tidak masuk akal.
Dua hari aku bercuti sejak balik dari Perth , Australia . Mungkin perubahan cuaca menyebabkan aku batuk dan selesema. Hari ini kesihatan aku semakin baik. Aku cepat-cepat bersiap untuk ke hospital. Sebelum turun, aku menyelak langsir kamarku.
Mataku bertembung dengan pandangan Dr. Fadzreen. Tersentap jantungku seperti dipalu. Berdebar-debar dengan kencangnya. Adakah ini tandanya aku memang tidak dapat melupainya walaupun sudah bertunang? Diakah lelaki pertama aku sebenarnya?
Perlahan aku melambai ke arahnya. Aku hampir pengsan apabila Dr. Fadzreen membalas lambaianku sambil tersenyum. Aku paling suka melihat sepasang lesung pipitnya apabila dia tersenyum. Jarang ada lelaki yang mempunyai lesung pipit di pipi mereka. Dr. Fadzreen memberi isyarat agar aku menumpang keretanya. Aku hanya mampu mengangguk.
Sebaik memasuki bilikku yang bersebelahan Wad Bersalin, sekotak coklat dan sekuntum mawar merah menghiasi mejaku. Pantas aku melihat pengirimnya.
Hari-hari yang berlari
Melewati bilah-bilah masa
Di jaring sendu
Dalam detik sesingkat ini
Terukir namamu di hatiku
Menganyam seribu harapan
Di kanvas percintaan
Menjadi sebuah lakaran
Potret kasih kekasihku
FROM DANNY WITH LOVE
DANNY!
Berbulan dia tidak menjawab panggilanku. Dia juga tidak pernah menghubungiku sejak beberapa lama. Mengapa dia muncul kembali? Dia menghadiahiku coklat dan sekuntum mawar merah pula. Ada gubahan puisi nan syahdu lagi. Apakah ada sesuatu yang sedang berlaku? Apakah sesuatu itu? Lantas aku mencapai telefon bimbit. Belum sempat aku membuat panggilan, pintu bilikku diketuk dari luar.
“Assalamualaikum!”
“Waalaikumsalam. Oh, Dr. Danish!”
“Ada hal Doktor cari saya?”
“Ha..aaah.. saya nak Qis temankan saya tengahari ni.”
“Ke mana?”
“Lunch.”
“Nak buat apa?”
“Makanlah. Buat apa lagi!”
“Kenapa? Doktor dapat apa-apa anugerah ke?”
“Takkan nak kena menang anugerah baru boleh lunch dengan Dr. Qistina?”
“Taklah. Itu bukan maksud Qis. Cuma Qis rasa pelik. Biasanya kalau Doktor cari Qis pasti nak handle kes kat dalam Dewan Bedah. Ini nak ajak makan. Mestilah Qis pelik.”
“Pelik ke atau ada orang yang marah?” Soal Dr. Danish sambil matanya melirik ke arah mawar merah di atas mejaku.
“Siapa pulak yang nak marah kalau Qis keluar makan dengan bos ?” Lagilah aku pelik dengan tingkah Dr. Danish. Sudahlah pagi tadi sikap dan gerak geri Dr. Fadzreen memeningkan kepala aku, sekarang Dr. Danish pula.
“Kalau macam tu, tunggu I kat tempat parking tengahari nanti.” Dr. Danish mengingatkan aku sambil bangun dari kerusi. Lantas tangannya mencapai mawar merah nan sekuntum di atas mejaku lalu menghulurkannya kepadaku. Dalam keadaan terkejut aku menyambut mawar merah yang dihulurkannya.
“Thanks!” ujarnya sambil berlalu dari bilikku.
Terpana aku dengan situasi yang berlaku. Kenapa hari ini kejadian yang pelik-pelik berlaku dalam hidupku? Oh, hampir terlupa aku. Tadi aku mahu hubungi Danny sebelum kedatangan Dr. Danish ke bilikku. Aku melirik jam di tangan. Hampir pukul 9.00 pagi. Pasti Dr. Fadzreen sedang menunggu aku di Klinik Pakar O&G. Bergegas aku keluar dari bilikku.
“Sorry Dr. Fadzreen. I ada hal tadi.”
“Takpe. Hari ni patient tak ramai. I boleh handle sorang. U boleh pergi tolong Dr. Hasbul dan Dr. Izlynn di Bilik Bedah. Pagi ni ada tiga kes pembedahan kelahiran bayi songsang.” Dr. Fadzreen mengarah aku ke Bilik Bedah pula. Itulah susahnya menjadi orang bawahan. Asyik kena suruh ke hulu ke hilir saja. Pasti satu hari aku akan menjadi seperti Dr. Fadzreen dan Dr. Danish.
Cepatnya masa berlalu. Jam menunjukkan tepat pukul 1.00 tengahari. Aku menuju ke tempat parking. Dr. Danish sudah sedia menungguku. Setelah melabuhkan punggung di dalam kereta Proton Wiranya, Dr. Danish terus memecut keluar dari kawasan hospital.
Kali ini aku terasa kelainan ketika keluar dengan Dr. Danish. Mungkinkah dia ada sesuatu yang hendak dibincangkan dengan aku? Atau aku terasa bersalah keluar dengan lelaki lain pada hal aku sudah bertunang.
Tiba-tiba aku teringatkan tunanganku. Apakah yang akan berlaku kepadaku sekiranya terserempak dengan beliau. Apakah dia akan menengking dan memaki hamun aku? Aku tidak pernah berjumpa dengannya sejak kami bertunang. Selain berchatting dalam Facebook, kami tidak pernah berbual dengan telefon kerana aku terasa malu hendak meminta nombor telefonnya. Silapnya aku tidak bertanya lanjut tentang tunanganku daripada bakal ibu mertuaku. Maklumlah perasaan malu masih menebal dalam jiwaku.
Danny juga sudah tidak menghubungiku lagi. Tiba-tiba hari ini Danny telah menghadiahkan sekotak coklat dan mawar merah kepadaku pagi tadi. Siap dengan gubahan puisi yang mencengkam jiwa. Segera aku mencari telefon bimbit dari dalam tas tanganku. Perlahan aku menekan butang nombor telefon Danny.
Pada masa sama telefon bimbit Dr. Danish berbunyi. Mataku melirik ke arah Dr. Danish sementara telingaku setia mendengar nada dail yang tidak berjawab. Dr. Danish memerhati nombor di skrin telefon bimbitnya dan menoleh ke arahku tanpa menjawab panggilan dari telefon bimbitnya.
“Qis, takkan duduk sebelah menyebelah pun nak cakap kena guna handphone?”
“Ha..aahh? Saya dail nombor Doktor ke?”
“Yup! Kenapa? Tersilap dail ke?” Pertanyaan Dr. Danish membuat aku panik. Sekali lagi aku meneliti skrin telefon bimbitku. Memang itu nombor telefon Danny. Macamana pula Dr. Danish kata aku mendail nombornya? Padahal aku tidak pernah tahu nombor telefon bimbit Dr. Danish.
Hendak bertanya aku malu. Maklumlah Dr. Danish ketua aku. Akhirnya aku mengambil keputusan mendiamkan diri dan membiarkan persoalan tentang Danny berakhir di situ saja.
“Kita dah sampai!” Suara Dr. Danish mengejutkan lamunanku.
“Kenapa kita datang sini?” Aku hampir terlompat apabila melihat Dr. Danish memberhentikan keretanya betul-betul di depan sebuah kedai Pesona Pengantin.
“Kita pilih baju pengantin.” Jawabnya selamba.
“Baju pengantin? Siapa yang nak kahwin?” Hampir tercabut jantungku mendengar kata-kata Dr. Danish.
“I nak kahwin.”
“Kenapa ajak saya ke sini?”
“Kan I pernah cakap, kalau I nak kahwin, U orang pertama yang tahu.”
“Ye lah. Tapi tak perlu bawa Qis sampai ke sini.”
“Saya bawa Qis ke sini sebab nak ambil ukuran badan Qis!” Penjelasan Dr. Danish betul-betul buat aku makin keliru.
“Kenapa Doktor tak bawa bakal isteri Doktor? Kenapa nak ambil ukuran badan Qis pulak?”
“Qis kan dah bertunang?” Tiba-tiba terpacul soalan yang tidak pernah aku duga dari mulut Dr. Danish.
Aku mengangguk perlahan. Dr. Danish merenung tepat ke dalam anak mataku. Aku tidak dapat melawan tentangan matanya yang jernih dan bersinar itu. Lama dia merenung aku. Akhirnya aku melarikan pandanganku ke luar tingkap kereta.
“Qistina Batrisya!” Tiba-tiba Dr. Danish memanggil nama penuhku.
“Saya!”
“Siapa tunang U?”
Pertanyaan Dr. Danish tidak mampu aku jawab. Takkan aku hendak ceritakan samseng yang baru pertama kali aku jumpa itu tunang aku. Aku tidak pernah bertanya Mama siapakah tunanganku. Bakal ibu mertuaku pun pernah mengajukan soalan yang sama tetapi aku pura-pura tidak mahu tahu. Akhirnya aku terperangkap dengan pelbagai persoalan yang tak mampu aku huraikan.
“Daniel Hisyam.”
“Lama dah kenal dia?”
Aku menggeleng.
“Macam mana tak kenal boleh bertunang?”
“Entah. Saya tak tahu.”
“Bukankah I pernah nasihatkan U?
Aku membiarkan soalan Dr. Danish tanpa jawapan. Rasanya aku perlu membuang perasaan malu. Aku perlu dapatkan nasihat dan pendapat daripada Dr. Danish.
“ Boleh Qis minta pendapat Doktor?”
“Kan I pernah cakap U boleh cerita masalah U kat I sebelum dan selepas U berkahwin.”
“Sebenarnya pada hari pertama Qis nak pergi jumpa U untuk melapor diri tahun lepas, Qis berjanji pada diri Qis bahawa lelaki pertama yang Qis jumpa dan tegur Qis pada hari itu adalah lelaki pertama yang akan Qis cintai. Tahu apa yang berlaku? Sebelum pergi hospital, lelaki yang Qis langgar keretanya telefon Qis. Bila Qis sampai di hospital pula, Qis terlanggar seseorang di depan lif. Dia menengking Qis. Di dalam bilik U pulak, U tegur Qis. Lepas tu Dr. Fadzreen pula yang masuk bilik U dan tegur Qis. So, pada pendapat U, siapa lelaki pertama yang betul-betul menegur Qis dan perlu Qis cintai?”
“Sebenarnya Qis nak pilih siapa?”
“Entah.”
“Dr. Fadzreen?”
“Dia dah ada yang punya.”
“Mamat yang call U pagi tu?”
“Mamat tu dah mati!”
“Sebenarnya U suka pada mamat yang U jumpa kat lif pagi tu.”
“Kenapa plak U cakap I suka kat dia?”
“U jawablah sendiri soalan tu.”
“Ha, betullah. Orang tu yang menjadi tunang Qis. U nampak sekotak coklat dan mawar merah atas meja I tadi?”
“Kenapa dengan hadiah tu?”
“Pengirimnya adalah orang yang Qis langgar keretanya. Tapi Qis tak tahu siapakah dia sebenarnya.” Aku mula rasa selesa berbual mengenai kehidupan peribadi aku.
“Betul Qis tak kenal dia?”
Aku mengangguk.
“Sebenarnya tadi I cuba call dia, tapi entah macam mana keluar nombor Doktor. Terus terang Qis cakap. Qis tak pernah simpan nombor U.” Aku semakin berterus terang.
“Qistina Batrisya. Awak masih tak faham lagikah situasi awak sekarang ni?”
“Maksud Doktor?”
“Ya, Allah! Sukar sangatkah Qis nak memahami bahasa cinta kita. Tidakkah Qis terfikir pengirim bunga tu pula adalah orang yang langgar kereta Qis, dan orang yang langgar kereta Qis adalah I.”
“Apa? U? I mean Danny?” Tak mungkin.”
“Why?”
“Danny tu cakap dengan I tak macam U cakap dengan I.”
“Habis siapa lagi yang bebas keluar masuk bilik U selain I dan Dr. Fadzreen!”
Aku terpana. Memang tiada orang luar yang boleh masuk sesuka hati ke dalam Wad Bersalin apatah lagi bilik Doktor. Kenapa aku tidak pernah terfikir hal yang remeh ini. Ah, aku memang begitu. Sentiasa tidak ambil pusing hal yang tiada kaitan dengan aku.Tapi benarkah apa yang dituturkan Dr. Danish? Atau adakah dia cuba memerangkap hati dan perasaan aku yang makin keliru. Aku menatap wajah Dr. Danish. Lama aku memerhatikan seraut wajah yang kelihatan tenang dan menawan itu. Tanpa bicara Dr. Danish merenung tajam ke dalam anak mata aku.
“Qis sukakan saya?” Soalan yang tidak aku duga meletus dari bibirnya yang kemerah-merahan itu. Aku melarikan pandangan keluar tingkap.
“Kenapa? Qis tak sukakan saya?” Sekali lagi jantungku bagaikan direntap. Drama apakah yang sedang berlaku. Perilaku Dr. Danish sangat pelik mengalahkan perangai pelik Hagemaru. Apakah jawapan paling relevan harus aku lepaskan. Suka? Tidak suka? Walau apa pun aku adalah tunang orang.
“Qis, awak fahamkah situasi awak sekarang?”
Aku menggeleng.
“Kenapalah U ni lembab sangat nak memahami situasi yang tersangat ringkas ni. Itu belum lagi saat Qis nak hidup dengan saya selama-lamanya.” Kata-kata Dr. Danish yang sedikit keras terus merentap jantungku.
“Jadi Daniel Hisyam tu adik U?”
Dr. Danish menggeleng.
“Dia abang I!”
Dada aku seakan meletup. Semuanya punah. Semuanya musnah. Kenapa aku terjebak dalam situasi yang tidak pernah aku bayangkan? Jadi aku bertunang dengan Danish. Bukannya Daniel. Mengapa takdir aku begini? Dosa apakah yang telah aku lakukan sebelum ini.
“Tapi I pasti I tunangan Daniel. Bukannya Danish. I kenal orangnya. I ada gambarnya. U pun pernah nampak dia di bilik I.”
“Saja je Mummy I bawa gambar Daniel sebab dulu U pernah tolak pinangannya.”
“Maksudnya memang U adalah Danny kenalan I yang tak disengajakan tu? Dan Daniel pula samseng tu?”
“Tapi I memang berchatting dengan Daniel kat Facebook. Takkan itu pun Facebook U?”
“Yup. Dulu I ada bagi akaun Facebook kepada U dengan password sekali. Akaun Facebook tu atas nama Daniel Hisyam. Rasanya orang buta ICT macam U memang tak akan buka Facebook.”
Aku cuba mengingat kronologi yang berlaku. Entahlah. Memori aku terlalu lemah. Aku rasa sukar untuk mempercayai apa yang sedang berlaku. Mustahil mereka adalah adik beradik. Dr. Danish kacak orangnya tapi abangnya Daniel hanya sedap mata memandang saja. Tapi mengapa perwatakan mereka berbeza sama sekali? Paling mustahil Dr. Danish ialah Danny. Setiap hari aku bertemu muka dan bertegur sapa dengan Dr. Danish di hospital. Tutur kata mereka hampir tiada langsung persamaannya. Mana mungkin mereka orang yang sama?
“Miss Qistina Batrisya. I tak tahu mengapa I boleh terpikat pada orang selurus dan senaif U. Kenapalah pick up U slow sangat?” Dr. Danish mengomel terhadap dirinya sendiri. Namun pada pendengaranku ia terlalu menyakitkan hati. Betulkah apa yang diperkatakan oleh Dr. Danish? Tapi kenapa dia perlu berpura-pura jadi orang lain? Mengapa dia tidak berterus terang dengan aku. Kenapa dia mempermainkan aku? Ah, bencinya aku. Mengapa aku sebodoh ini? Aku sangat terkejut. Mindaku seakan tersekat dan sangat padat dengan lontara soalan demi soalan. Kenapalah orang yang kita percayai 100 peratus boleh memperlakukan kita sedemikan rupa?
“Habis, kenapa U berpura-pura selama ini? Kalau U jujur I tak akan jadi orang yang paling bodoh di muka bumi ini untuk memahami istilah dan bahasa cinta U!”
“I tak berpura-pura. I nak U berfikir. Bukan semua benda boleh kita dapat dengan mudah. Benda yang bernilai perlu kita dapatkan setelah melalui pelbagai dugaan dan ujian. Itu yang I nak U buat. Tapi U mengecewakan I.”
“U lagi mengecewakan I Dr. Danish. I tak sangka selama ini I diperbodohkan. Danny konon. Danny tak pernah melayan I macam U layan I Tuan Doktor. Kalau betul U dan Danny orang yang sama terima kasih sajalah. Banyak lagi lelaki lain yang boleh jadi suami I. Lagipun I bukan terdesak sangat nak berkahwin. Terima kasih kerana bawa I ke sini.”
Aku tidak tahu dari mana aku dapat kekuatan untuk melawan cakap Dr. Danish selaku ketua aku. Pintu keretanya aku hempas agak kuat ketika keluar sebentar tadi. Aku mengambil teksi dan pulang ke rumah.
Kenangan demi kenangan berlegar di ruang mataku. Pernah sekali Dr. Danish memakai kemeja berwarna hijau pucuk pisang. Aku pulak terfikir aku pernah nampak seseorang seperti itu tapi aku tidak ingat siapa. Bodohnya aku.
BAB SEPULUH
Hampir sebulan peristiwa itu berlalu. Hatiku masih lagi sakit. Namun sedikit sebanyak aku dapat menilai semua kekurangan dalam diriku. Rupanya selama ini bukanlah tiada jejaka yang menaruh perasaan terhadapku. Hanya mataku sahaja yang buta dan dan aku tidak pernah memahami tentang istilah dan bahasa cinta. Aku hanya memikirkan setiap cinta perlu diluahkan dengan kata-kata. Jika ungkapan cinta tidak dilafazkan, orang tidak mencintai kita. Rupanya cinta tidak perlu diluahkan. Cinta hanyalah ekspreasi perasaan yang hanya difahami oleh orang yang mengalaminya sahaja.
Pendapat Dr. Danish tentang Dr. Fadzreen ada juga kebenarannya. Sejak akhir-akhir ini baru aku perasan cinta yang cuba dihulurkan Dr. Fadzreen terhadapku. Namun kenapa dia tidak menggunakan pendekatan yang mudah dan ringkas? Kenapa Dr. Fadzreen perlu berkias dan bertamsil ketika membincangkan tentang hati dan perasaannya?
“Sejak kebelakangan ni Dr. Qis muram je? Ada sesuatu yang tak kena?”
“Takde apa-apa.” Bohongku.
“Betul ke I dengar cerita U dah putus tunang?”
Hampir putus urat sarafku mendengar kata-kata yang meluncur keluar dari bibir Dr. Fadzreen. Dari mana dia dapat tahu tentang pertunangan aku dengan Danny telah putus?
“Kalau U tak nak cerita I tak paksa. Tapi hati I sentiasa terbuka untuk Dr. Qistina.” Adakah Dr. Fadzreen bergurau atau sungguh-sungguh?
“Memang I dah putus tunang. Tapi betul ke tempat di hati U masih kosong?” Tiba-tiba sahaja aku menjadi berani. Sengaja aku mahu menduga kebenaran dan kesahihan kata-kata Dr. Fadzreen.
Dr. Fadzreen terkejut mendengar kata-kataku. Hampir tidak terkeluar kata-kata dari kerongkongnya. Adakah dia malu kerana soalanku atau dia hanya bergurau saja denganku sebentar tadi? Itulah sifat lelaki yang kaya dengan ego mereka. Sentiasa menidakkan kebenaran dan menegakkan kepalsuan.
“Maksudnya?” Soalan Dr. Fadzreen menunjukkan dia belum bersedia meluahkan perasaannya terhadapku.
“Takde apa-apa. Anggaplah U tak pernah dengar kata-kata I tadi tu.”
“Dr. Qistina, I mean I….” Kata-kata Dr. Fadzreen mati di situ. Aku segera keluar dari biliknya. Aku rasa Dr. Fadzreen bukanlah jenis orang yang akan mengaku jika dirinya mencintai seseorang. Biarlah. Lagipun dia hanya Ketua aku sahaja. Masalah aku dengannya tidaklah serumit masalah aku dengan Ketua Jabatan aku. Siapa lagi kalau bukan Dr. Danish.
Selama sebulan ini langsung dia tidak bertegur sapa denganku. Sewaktu briefing setiap pagi Sabtu pun dia akan mengelak dari meminta pendapat atau bertanyakan perkembangan pesakit yang sedang aku uruskan. Nampak sangat selepas aku memutuskan pertunangan kami, dia semakin mendendami aku.
Sejak balik dari kedai Pesona Pengantin sebulan lalu, aku meminta agar Mama memutuskan pertunangan dengan Danny.
“Qis nak Mama batalkan pertunangan Qis. Kalau boleh hari ini juga.” Aku tidak dapat menahan sebak yang mencengkam dada. Mama dan Papa membisu seribu bahasa.
“Bawa bertenang. Cuba cerita elok-elok dengan Mama apa yang telah berlaku?”
“Tunang Qis telah menghina Qis. Katanya dia kecewa dengan Qis. Katanya lagi Qis ni lembab dan macam-macam lagi.”
Akhirnya airmataku gugur juga membasahi pipiku yang semakin cengkung kebelakangan ini. Aku memang tidak ceria dan tidak bersemangat untuk bekerja seperti biasa. Maklumlah hari-hari terpaksa mengadap Dr. Danish yang telah melukakan hatiku. Hairannya aku. Dr. Danish boleh berlagak selamba seolah-olah tidak ada apa-apa yang pernah berlaku antara kami.
“Habis tu Qis dah bincangkan dengan tunang Qis?” Papa bertanya lembut.
“Qis tak nak cakap apa-apa lagi dengannya. Nanti lebih banyak dia menghina dan merendah-rendahkan maruah Qis.”
“Baiklah Qis. Nanti Mama akan jumpa dengan Puan Naimatul Wahidah. Biar kami selesaikan dengan cara baik. Maafkan Mama dan Papa. Kami tak tahu hati budi anaknya. Tapi keluarganya memang orang baik-baik.” Mama cuba menenangkan perasaan yang bergelodak di jiwaku.
“Terima kasih Ma, Pa. Tahun depan Qis nak minta posting ke kawasan luar Bandar. Biar Qis berkhidmat di hospital daerah pula. Mungkin di sana ada kebahagiaan buat Qis.” Aku sudah nekad dengan keputusan dan masa depan kebahagiaanku.
“Maafkan kami Honey. Kami telah buat Honey betul-betul kecewa.” Papa bersuara separuh kesal.
“Pa, semua itu takdir yang telah tertulis. Qis tak pernah salahkan sesiapa. Cuma jodoh Qis belum sampai. Biarlah adik-adik kahwin dulu. Qis tak kisah.”
Mama lantas memeluk dan mengelus rambutku. Aku tahu Mama sangat kecewa. Begitu juga Papa.
Hampir sebulan Dr. Danish memencil diri dariku. Kalau boleh aku akan cuba hapuskan semua kenangan dengan Danny kerana Danny adalah Dr. Danish. Aku harap Mama dan Papa dapat selesaikan masalah aku dengan Dr. Danish.
Kadang-kadang rasa hairan menjengah sanubariku. Kenapa Dr. Danish yang sentiasa kemas dan bergaya boleh berpakaian kasual seperti Danny. Cara Danny berbual dengan aku semasa di talian telefon memang jauh berbeza dengan Dr. Danish. Kenapalah mereka adalah orang yang sama padahal perwatakan mereka berbeza sama sekali?
“Honey, ada tetamu!” Mama menjerit lantang dari bawah. Aku segera berlari menuruni anak tangga. Hampir pengsan aku melihat tetamu yang datang ke rumahku pada awal pagi minggu ini.
“Apa khabar, awak?” Terketar aku menyapa tetamu yang tidak diundang itu.
“Sihat. Awak?” Ada nada getar di hujung suaranya.
“Kita sihat.”
Aku kehilangan bicara seterusnya. Bibirku gagal menyusun bicara kerana lidahku menjadi teramat kelu. Di hadapanku Dr. Danish berpakaian seperti kali pertama kami bertemu. Aku memang terpesona dengan rupa parasnya yang ada iras-iras hero drama Taiwan itu. Amat berbeza sekali dengan perwatakan Dr. Danish yang selalu aku lihat di hospital.
“Kita minta maaf pasal kejadian hari tu. Kita terlalu emosional.” Akhirnya Danny membuka bicara apabila aku mendiamkan diri terlalu lama.
“Tapi kenapa awak menipu kita? Kenapa awak tak ceritakan awak adalah Dr. Danish?”
“Awak, kita minta maaf. Sebenarnya hal kita terlalu kompleks untuk dijelaskan kepada awak.”
“Apa yang kompleksnya? Apa yang sukar sangat kita nak fahami awak?”
“Awak jangan paksa kita boleh tak? Kita datang ni nak jernihkan keadaan. Kita nak berbaik dengan awak. Kita nak teruskan pertunangan kita ngan awak Kita tak boleh kehilangan awak. Kita sayangkan awak!” Danny mula bersuara lirih. Aku tidak tahu di mana hilangnya ketegasan kata-kata Dr. Danish ketika dia berada di hospital.
“Tapi awak sanggup kata kita ni lembab, tak faham istilah dan bahasa cinta awak, tak berfikir, lurus , naïf dan bukan-bukan lagi. Tergamak awak kata kita macam tu dan langsung awak tak minta maaf dengan kita. Lepas kita putuskan pertunangan baru awak datang. Apa maksud awak sebenarnya?”
“Awak, kita betul-betul minta maaf. Lain kali kita tak buat lagi.”
“Tapi awak, kita dah serik. Kita tak nak bermain dengan api lagi.”
“Maknanya awak tak pernah cintakan kita? Atau awak memang cintakan abang kita?”
“Awak? Kita tak suka cara awak memperbodohkan kita! Senang-senang awak mainkan perasaan kita.”
“Honey, Bagilah kita peluang kedua. Kita betul-betul tak boleh kehilangan awak. Kita betul-betul cintakan awak!”
“Danny, biar kita terus terang saja. Kita sedih sangat awak cakap bukan-bukan kat kita.”
“Honey, janganlah macam tu. Kita buat macam tu agar awak tak terpikat dengan orang lain. Kita cuma nak menduga awak saja. Tak lebih daripada itu.” Semakin sayu Danny memujuk aku.
“Danny, awak tahu kita memang sayangkan awak tapi kita tak nak terluka. Sebab tu perpisahan adalah jalan terbaik untuk kita.”
“Honey, kita memang tak boleh berpisah dengan awak. Hidup kita makin ceria sejak bertemu awak. Kita tak nak awak tinggalkan kita dan awak tak boleh tinggalkan kita.”
Kali ini Danny hampir menangis. Aku pula amat sedih mendengar rayuannya. Aku semakin hairan. Tiada langsung ketegasan dalam nada suaranya seperti Dr. Danish ketika di hospital. Rasanya mereka bukan orang yang sama. Kalau Dr. Danish tidak buat pengakuan seperti hari itu, aku langsung tidak perasan mereka adalah orang yang sama walaupun wajah mereka hampir seiras. Akhirnya pertunangan kami diteruskan.
Di hospital, Danny menjadi Dr. Danish. Dia tetap bos aku walaupun aku tunangnya. Sama seperti sebelum aku mengetahui dia adalah tunangku. Tugasnya sibuk 24 jam di hospital. Tiada langsung masa untuk aku walaupun hanya untuk minum di kafe hospital.
Seminggu sekali barulah dia menghubungiku. Kerana aku menyenangi perwatakan Danny yang bersahaja, maka Dr. Danish lebih suka membawa penampilan yang kasual dan ringkas ketika keluar bersamaku pada hujung minggu.
“Awak sembunyikan sesuatu dari kita ke?” Aku cuba mengorek rahsia Dr. Danish yang mempunyai dua perwatakan yang berbeza sama sekali.
“Sembunyikan apa?”
“Rahsia peribadi? Atau rahsia apa-apa ke?”
“Honey, kita macam orang lain juga, Cuma kita tak suka hal kerjaya mengganggu hal-hal peribadi. Sebab tu kita jadi bujang terlajak, tau tak.”
“Danny, awak lain sangat masa kat hospital. Kita rasa macam kita takde sebarang hubungan dengan awak.” Aku mula meluah perasaan yang terpendam selama ini.
“Awak, kita pun tak tahu kenapa semasa bekerja kita tak boleh fokus pada awak. Pada hal kita nak sangat bermesra dengan awak…” Kata-kata Danny terhenti di situ.
“Kita bukan minta lebih-lebih. Apa salahnya awak ucap kata-kata seperti.. Honey okey hari ni … atau Honey sihat atau Honey kita sayang awak …”
“Jadi awak masih marah dengan kita?”
“Kenapa bila awak menjadi Danny, kita rasa diri kita disayangi. Tetapi bila awak menjadi diri awak sebenarnya kita dapat merasakan sangat jauh jurang antara kita.” Airmataku hampir mengalir dari kelopak mataku apabila aku meluahkan rasa hati yang masih bersisa terhadap Dr.Danish.
“Sebenarnya kita cemburu dengan Dr. Fadzreen.”
“Apa? Awak cemburu dengan Dr. Fadzreen?”
“Ye lah. Hari-hari dia di sisi awak. Kita hanya memandang dari jauh saja.”
“Tapi kan kita di bawah seliaan Dr. Fadzreen. Awak juga yang tugaskan kita dengan dia. Mana boleh awak cemburu dengan Dr. Fadzreen?”
“Awak tahu tak? Dr. Fadzreen pernah beritahu kita dia nak pikat awak dengan apa cara sekalipun asalkan dia dapat memiliki awak!”
“Tapi Dr. Fadzreen tak pernah beritahu kita pun yang dia sukakan kita!” Aku menyangkal sama sekali dakwaan Danny.
“Awak… kenapalah sukar sangat awak nak faham istilah dan bahasa orang yang dilamun cinta? Tapi tak apalah awak tak faham. Kalau awak faham gerak geri Dr.Fadzreen, kita mungkin akan berputih mata!”
“Kita tak fahamlah apa yang awak sedang cakapkan!”
“Dr. Fadzreen pernah cakap dia suka kat awak. Kalau boleh kita nak tukar awak di bawah seliaan Dr. Syazwan Nazmi tapi takut awak tak selesa.” Terpaku aku mendengar penjelasan Danny.
“Awak, mana boleh awak buat camtu kat kita. Kita dah serasi kerja dengan Dr. Fadzreen.” Aku terpaksa membantah kali ini. Walaupun Dr. Fadzreen suka atau tidak kepadaku tetapi aku memang suka bekerja dengannya.
“Okey, sekarang awak tahu kenapa kita tidak boleh fokus pada awak semasa kita di hospital. Kita tak nak hal peribadi dicampuradukkan dengan kerjaya. Nanti awak tak selesa dan kita pun tak selesa bekerja di jabatan yang sama.”
“Awak, kita minta maaf. Kita tak tahu hal yang sebenarnya.” Kenapalah aku tidak dapat memahami apa yang tersurat dan tersirat di sebalik pergaulanku dengan Dr. Fadzreen. Dan kenapalah aku terlewat mengetahui Dr. Fadzreen juga menyimpan perasaan terhadapku!
“Kita tak kisah asalkan awak masih sudi meneruskan pertunangan kita!” Kata-kata akhir Danny sebentar tadi memadamkan terus harapanku untuk memiliki jejaka yang mengintai pintu kamar hatiku selama enam tahun ini. Kenapalah aku buta untuk menilai perasaan Dr. Fadzreen terhadap aku selama setahun lebih aku bekerja bersamanya?
Patutlah pagi tadi ketika balik ke rumah Mama, Dr. Fadzreen menegur aku lain daripada biasa. Katanya aku nampak pucat sebab seminggu tidak bertemu dengannya. Katanya lagi dia boleh mengubat sebarang jenis penyakit yang aku hidapi asalkan aku sentiasa bersamanya sepanjang hayat ini! Itu pun aku anggap gurauan. Memang lurus aku mengalahkan bendul.
Apa yang perlu aku lakukan sekarang? Saat aku mendambakan akan kasih sayang Dr. Fadzreen, langsung dia tidak menunjukkan emosinya kepadaku. Saat aku menghulurkan cintaku kepada insan lain barulah dia membuka hijab perasaannya terhadapku. Adilkah takdir yang telah disuratkan ke atas hamba Allah yang daif ini?
BAB SEBELAS
Sepanjang perjalanan ke Restoran Jejambat Sungai Buloh, fikiran aku ligat memikirkan bagaimana aku hendak berkomunikasi dengan Dr. Fadzreen. Menyesalnya aku menerima pelawaan Dr. Fadzreen untuk belanja aku makan. Kenapalah keretaku boleh pancit? Kalau tidak, aku tidak perlu menumpang Dr. Fadzreen balik ke rumah Mama.
Di dalam restoran itu, pengunjungnya tidak ramai. Mungkin kerana hari sudah petang. Kami mengambil tempat yang paling tepi. Belum sempat kami mengambil pesanan, satu suara yang cukup aku kenali menyapa kami tiba-tiba.
“Boleh I join sekali?”
“Oh, Dr. Danish. Have a sit!”
Dr. Danish mengambil tempat di sebelahku. Aku mula diburu seribu macam perasaan.
“You all dari mana?”
“Dari hospital. Kami nak balik rumah.” Dr. Fadzreen menjawab tanpa sebarang prasangka sedangkan hatiku mula dipagut kebimbangan.
“Kenapa? Rumah you all berdekatankah?”
“Yup. Rumah Dr. Qistina depan rumah I.”
“Biar betul Qis? U tak pernah cakap dengan I pun!”
“Doktor tak pernah tanya pun.”
“Takkan semua benda I nak kena tanya baru U nak jawab. Unfair!”
“Wait…wait.. kenapa U nak marah Dr. Qistina kerana masalah yang remeh tu?”
Dr. Fadzreen mula curiga dengan situasi yang sedang berlaku.
“Sebab Qistina ni…..” Ayat Dr. Danish terhenti di situ.
“Kenapa Qis?” Dr. Fadzreen menghalakan soalannya kepadaku pula.
“Takde apa-apa. Dr. Fadzreen, boleh tak kita balik sekarang. Lain kali saja U belanja saya makan.”
“Okey, kami balik dulu Dr. Danish. See U tomorrow!”
“Qis, I hantar U balik. Sorry Dr. Fadzreen. I ada hal nak bincang dengan Qis.”
Terpempan aku mendengar arahan Dr. Danish. Dr. Fadzreen kehairanan.
“Sebenarnya Dr. Qistina ada masalah dengan Dr. Danish ke?” Dr. Fadzreen mengajukan soalan yang tidak mampu aku jawab. Aku sekadar menganggukkan kepala.
“Kalau macam tu I balik dulu. Sorry Dr. Danish. Dr. Qis, kalau ada problem call I.” Kata Dr. Fadzreen sambil berlalu.
Aku menundukkan muka ke meja. Tidak berani aku menentang mata Dr. Danish. Dalam situasi seperti ini, Dr. Danish adalah dirinya dan bukan Danny yang selamba dan berpakaian kasual. Saat ini Dr. Danish masih berpakaian kemas dan rambutnya tersisir rapi. Dia tidak memakai contact lense sebaliknya memakai kaca matanya yang tidak berapa tebal seperti Dr. Daud Ong.
Sebenarnya aku tidak mampu menolak bila Dr. Fadzreen hendak belanja aku makan. Lagipun keretaku pancit. Dr. Danish sibuk di dalam Dewan Bedah sedangkan aku terpaksa pulang segera ke rumah Mama. Jadi aku menerima pelawaan Dr. Fadzreen untuk menumpang keretanya. Aku tidak mahu Dr. Fadzreen menyangka yang bukan-bukan. Maklumlah aku telah pun buat pengakuan kepadanya yang aku telah putus tunang tidak lama dulu. Jadi aku rasa tindakan aku adalah wajar walaupun aku membelakangkan Dr. Danish.
“Kenapa Qis buat macam ni?” Ada nada pilu di hujung suaranya.
“Qis tak buat apa-apa pun.” Sangkalku.
“Qis dah bertunang kenapa boleh keluar dengan lelaki lain?”
“Tadi kereta Qis pancit. Qis cari Doktor tapi Doktor ada kat Dewan Bedah. Jadi Qis minta tolong Dr. Fadzreen hantar Qis balik rumah Mama sebab rumah Dr. Fadzreen depan rumah Qis.”
Terketar-ketar aku menerangkan kedudukan sebenar kepada Dr. Danish. Entah kenapa bila berhadapan dengan Danny dalam pakaian kemasnya membuatkan aku keliru. Aku jadi serba salah. Kata ganti nama apakah yang akan aku gunakan untuk aku dan dirinya? Mahu tak mahu aku terpaksa berbual dalam bahasa yang formal seperti di tempat kerja.
“Kan I dah kata. Dr. Fadzreen ada perasaan kat Qis. Jadi dia akan ambil kesempatan untuk menghulurkan pertolongan kepada Qis. Janganlah naïf sangat Qis!”
“Doktor, andainya Qis sakit nak bersalin. Dr. Fadzreen ada di sini. Doktor pula ada kursus di luar negara.Perlukah Qis tunggu Doktor balik dari luar negara baru boleh Qis bersalin semata-mata hendak mengelakkan pertolongan Dr. Fadzreen?” Nah dapat juga aku kaitkan cemburu butanya dengan hakikat sebenar kehidupan di maya pada ini.
“Qis, jangan berani bagi andaian seperti itu! Minta simpang Malaikat 44 Qis bersalin berbidankan Dr. Fadzreen!” Kali ini keras nada Dr. Danish. Tidak tahu pula aku tahap cemburunya mengatasi semua benda yang ada di dunia ini.
“Doktor, Qis hanya beri contoh dan situasi saja. Bukanlah Qis berniat kalau nak bersalin nanti Qis nak Dr. Fadzreen bidankan Qis.”
“Lagi-lagi Dr. Fadzreen. Tiada lagikah doktor di hospital tu yang Qis boleh bagi contoh?”
Aku mengambil pendekatan mendiamkan diri. Tidak kuasa aku hendak bertekak dengan Dr. Danish. Aku cuba mencari kelembutan dalam ketegasan suaranya. Pun aku gagal untuk mencarinya. Mengapakah Danny dan Dr. Danish adalah orang yang sama? Aku rindukan Danny saat ini untuk memujuk dan meredakan perasaanku yang bergelodak.
“Qis, I nak U ikut I ke rumah family I malam ni. Ada hal yang I nak bincangkan!”
Aku terkejut mendengar arahan Dr. Danish.
“Kenapa saya nak kena ikut Doktor balik pulak? Saya ada hal nak balik segera ke rumah Mama. Esok adik I nak bertunang!”
Aku tidak boleh terlalu berlembut dan sentiasa mengikut telunjuk Dr. Danish.
“Okey. Up to you. Lepas ni U jangan menyesal dan jangan salahkan I jika sesuatu yang tidak diduga menimpa U!” Kata-kata Dr. Danish berbaur ugutan.
Kenapa tiba-tiba malam yang indah untuk diraikan bersama keluarga aku menjadi semuram dan sesuram ini? Ah, pada firasatku, Dr. Danish memang begitu. Dia selalu mengugut aku jika kehendaknya tidak aku turuti. Tapi selepas itu tiada apa-apa yang berlaku terhadap aku. Akhirnya aku mengambil keputusan menyuruh Dr. Danish menghantar aku pulang ke rumah Mama.
Pagi esoknya majlis pertunangan adikku berlangsung dalam suasana yang paling meriah. Dr. Fadzreen banyak membantu Papa menguruskan catering untuk makan tengahari para tetamu. Sepatutnya majlis pertunangan adikku berlangsung di rumah pihak perempuan tetapi bakal isteri adikku adalah seorang mualaf, maka majlis pertunangannya dibuat di rumahku.
Aku melihat para tetamu yang beransur pulang. Dr. Fadzreen menolong Papa mengemas kerusi meja di khemah di depan rumahku. Aku pernah membayangkan, andainya aku ada jodoh dengan Dr. Fadzreen, Papa cuma perlu mencantumkankan porch depan rumah kami dan porch depan rumah Dr. Fadzreen ketika majlis kahwin kami. Itu lebih menjimatkan kos kerana rumah kami bertentangan! Namun semua itu adalah impian aku sebelum bertunang dengan Dr. Danish.
“Assalamualaikum!” Satu suara memecah lamunanku.
“Waalaikumsalam!” Tergagap aku menjawab salam. Dr. Daud Ong dan Puan Naimatul Wahidah berdiri betul-betul di depanku. Aku mempersilakan mereka masuk lalu memanggil Papa dan Mama keluar ke ruang tamu.
“Danish kirim salam untuk Qistina sekeluarga.” Satu-satu Puan Naimatul Wahidah menuturkan bicaranya.
“Kenapa Daniel tak datang sekali?” Papa nampaknya lebih arif daripada puetri tunggalnya ini.
“Dia ada kes pagi tadi. Pembedahan lutut ke atas mangsa kemalangan.”
Pembedahan lutut? Betullah Daniel Pakar Tulang.
“Oh, begitu. Terukkah mangsa kemalangan tu?” Giliran Mama pula menyoal bakal bapa mertuaku.
“Puan tahulah kan.. kalau kat wad kecemasan di HKL tu, semua kes yang teruk-teruk saja dirujuk di situ.”
Doktor Daud Ong dan Puan Naimatul Wahidah tidak lama di rumahku. Mereka bergegas pulang sebaik menerima panggilan telefon dari Dr. Danish. Kata Dr. Daud Ong ada kes kecemasan di rumahnya. Jenuh aku memikirkan apakah kes kemalangan yang berlaku di rumah mereka namun sampai ke sudah aku tidak mendapat jawapannya.
BAB DUA BELAS
Pagi-pagi lagi aku sudah sampai ke pejabat. Aku menyuruh Papa menghantar aku kerana keretaku masih di hospital. Aku perlu mendapatkan kebenaran tentang Danny daripada Dr. Danish. Mustahil mereka adalah orang yang sama.
Aku melirik jam di tangan. Pukul 7.00 pagi. Masih terlalu awal. Kereta Dr. Danish tiada di tempat parking. Biasanya jam 7.15 barulah muncul wajah Dr. Danish di pejabatnya.
Aku menunggu Dr. Danish di kaunter pendaftaran Wad Bersalin. JM Ayu Azira yang bertugas pada pagi ini. JM Ayu Azira tersenyum memandangku. Kemudian dia mempersilakan aku duduk. Sementara menunggu Dr. Danish, aku berbual dengan JM Ayu Azira.
“Dah lama kerja kat hospital ni?” Aku memulakan perbualan. Sebelum ini aku jarang bertegur sapa dengan JM atau Staf Nurse yang bertugas di Wad Bersalin ini. Entah kenapa pagi ini aku boleh menjadi peramah pula.
“Dah masuk tiga tahun!” Jawab JM Ayu Azira mesra.
“Seronok?”
“Sangat seronok. Doktor pula seronok kat sini?”
Aku sekadar mengangguk dan tersenyum.
“Macam mana dengan Dr. Danish?” Entah kenapa ringan saja mulutku bertanyakan tentang Dr. Danish.
“Maksud Doktor kembar Dr. Daniel?”
Jawapan JM Ayu Azira membuat aku keliru.
“Kembar Dr. Daniel?”
JM Ayu Azira mengangguk.
“Maksudnya?” Aku semakin keliru.
“Doktor tak tahu ke?”
“Apa?”
“Kembar Dr. Daniel tu tak sihat. Maksudnya Dr. Danish tu ada masalah sikit dengan mentalnya!” Penjelasan JM Ayu Azira boleh membuatkan aku sakit jantung.
“Jadi?”
“Dr. Danish terlibat dalam kemalangan dua tahun lalu. Sejak itu perangainya berubah.”
“Maksudnya, Dr. Danish tu tak sihat?”
“Ya. Saya ingatkan Doktor tahu hal sebenarnya.”
JM Ayu Azira terus melanjutkan ceritanya. Katanya Dr. Daniel selalu datang ke Wad Bersalin untuk berjumpa dengan adiknya. Lagipun Dr. Daniel sangat sayangkan Dr. Danish. Sebab itulah Dr. Daniel tidak akan berkahwin selagi adiknya belum berkahwin. Cerita-cerita JM Ayu Azira seterusnya bisa membuat aku mati kerana sakit jantung.
Aku meninggalkan JM Ayu Azira di kaunter pendaftaran dengan penuh persoalan. Aku perlukan penjelasan daripada Dr. Danish. Cepat-cepat aku menuju ke bilik Dr. Danish. Saat aku masuk, Dr. Danish sedang termenung di mejanya.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.”
“Maaf kerana mengganggu Doktor pagi-pagi ni.”
“Maaf kerana tak dapat datang semalam.” Dr. Danish bersuara perlahan.
Tiba-tiba lidahku kelu. Aku kehilangan bicara. Bagaimana aku mahu bangkitkan persoalan tentang kembarnya? Ah, aku perlu berani. Aku tidak mahu terus menjadi selurus bendul atau senaif pelajar kelas hujung. Aku mahu berani bertindak.
“Saya baru dapat tahu pagi ni.” Akhirnya aku dapat juga meluahkan bunga-bunga intipati tentang masalah aku.
“Tahu apa?” Dr. Danish sedikit kaget.
“Tentang kembar Doktor.”
“Kembar saya? Maksudnya?” Kali ini mulut Dr. Danish semakin terlopong.
“Kenapa U menipu?”
“I tak berniat nak menipu!”
“Tapi itu memang perbuatan menipu.”
“Sorry!”
Dr. Danish mengulang perkataan yang sama setiap kali aku menuduhnya menipu aku. Akhirnya dia menjelaskan bahawa malam kelmarin dia mengajak aku berjumpa keluarganya untuk menerangkan situasi yang sebenarnya. Apabila aku menolak dia tidak dapat berbuat apa-apa. Aku menyesal tak sudah. Memang nasib aku yang malang. Pada pendapat aku semua benda yang dirancang akan berjalan lancer tapi aku lupa satu perkara. Takdir Tuhan tiada siapa yang dapat mengubahnya. Apa daya aku. Aku tiada kuasa mengundur waktur walau sedetik ke belakang. Pilihan yang ada ialah mengorak langkah ke hadapan walaupun jalannya penuh onak dan duri.
Aku berlari keluar dari bilik Dr. Danish. Di dalam lif aku bertembung dengan Dr. Fadzreen. Dr. Fadzreen kehairanan melihat aku yang terkocoh-kocoh seolah dikejar hantu. Tanpa mempedulikan Dr. Fadzreen, aku melangkah keluar dari lif sebaik pintu lif terbuka. Aku bergegas meninggalkan perkarangan hospital.
Aku memecut ke arah lebuh raya. Sampai di hentian Serdang, aku memberhentikan kereta. Aku terlalu kecewa. Kenapalah aku terlalu bodoh? Patutlah Puan Naimatul Wahidah mengucapkan terima kasih kerana aku sudi menerima pinangan anaknya. Dr. Danish juga pernah menyuruh aku menyiasat terlebih dahulu latar belakang lelaki yang bakal menjadi tunanganku. Rupanya semua itu adalah tanda-tanda bakal suamiku bukanlah orang yang sempurna.
Aku memicit kepala yang semakin berat. Rasanya aku sudah tidak berdaya lagi untuk berfikir tentang Danny. Kalau betul Danny tidak sihat, mengapa dia masih lagi boleh bertugas? Bahagian Sakit Puan pula. Doctor yang paling cekap dan Pakar Sakit Puan pula? Bila aku ajak bertemu, dia sering menolak. Patutlah dia sering mengelak daripada bertemu dengan aku. Rupanya kesihatan mentalnya tidak berapa baik. Bagaimana aku mahu melepaskan ikatan dengannya? Minta simpang daripada menjadi isteri kepada lelaki yang kurang sihat mentalnya.
Aku berkira-kira mahu meneruskan perjalanan ke Shah Alam. Aku mahu berjumpa dengan kawan yang juga seorang kaunselor di HUKM. Namun bunyi telefon bimbit mematikan hasratku.
“Assalamualaikum!” Satu suara yang cukup aku kenali menerjah gegendang telingaku.
“Waalaikumsalam! Apa hal awak cari kita?” Aku semakin menyampah untuk berbual dengan penipu seperti Danny.
“Kita pergi pejabat abang tadi. Kita cakap semuanya pada dia.”
“Ha, berpakatlah awak adik beradik menipu orang lain pulak. Cukuplah kita sorang yang terkena.” Aku meluahkan kemarahan yang terbuku di dada.
“Qis, dengar dulu. Kita minta maaf banyak-banyak. Itu semua idea abang kita. Bukan idea kita.”
“Tak kisahlah Danny. Buatlah apa yang awak suka. Lepas ni jangan libatkan kita lagi.”
“Apa maksud awak Qistina?”
“Maksud saya pertunangan kita putus. Saya tak rela bersuamikan orang yang tak berapa sihat mentalnya seperti awak.”
“Qistina, awak hina kita. Kita tak minta jadi macam ni. Kita nak selamatkan abang kita. Sebab tu kita tercampak keluar masa kemalangan dulu. Kita sihat macam awak juga. Kenapa awak kata mental kita tak sihat?” Kedengaran suara Danny teresak-esak menangis di hujung talian.
Astagfirullahulazim. Aku beristighfar di dalam hati. Kenapalah aku begitu tega menghina Danny? Nampaknya aku pun terikut-ikut tidak sihat mentalku apabila bercakap dengan Danny.
“Honey, betulkah awak tidak sukakan kita?”
“Kita tak suka penipu macam awak adik beradik!”
“Kalau awak tidak sukakan kita, biarlah kita mati saja.”
“Danny!”
“Kita tahu awak sukakan abang kita. Kita tak sihat tapi abang kita sihat. Tak kisahlah. Kita harap awak bahagia. Jangan lupa kirimkan Al-Fatihah kepada kita kelak.”
“Danny!” Aku menjerit sekuat hati sebaik Danny memutuskan talian telefon bimbitnya. Aku seolah tersedar daripada mimpi. Pesakit mental tidak boleh dicederakan mental mereka. Mereka akan menjadi lebih agresif. Ya, Tuhan! Apa yang telah aku lakukan?
Apakah tindakan yang bakal Danny lakukan? Mungkinkah dia akan membunuh diri? Aku tidak mahu menjadi punca Danny membunuh diri. Ya, Allah! Selamatkanlah Danny daripada segala musibah. Walaupun aku tidak bisa menerima Danny kerana mentalnya tidak sihat, tapi aku tidak rela kehilangan Danny begitu saja. Aku perlu menerima hakikat. Danny sakit dan aku tidak boleh membiarkan dia memusnahkan dirinya.
Aku menghubungi Dr. Daud. Aku ceritakan semuanya kepada Dr. Daud. Dr. Daud menyuruh aku bertenang. Dia tahu apa yang perlu dilakukan terhadap anaknya dalam keadaan seperti itu. Dr. Daniel juga meminta aku menjenguk Danny jika aku ada masa.
Bagaimana aku hendak menjenguk Danny? Sepanjang pertunanganku dengan Danny, aku langsung tidak pernah ke rumah mereka. Lagipun aku takut Danny berdendam denganku. Manalah tahu, tiba-tiba dia mengancam aku dengan benda tajam kerana menghina penyakitnya. Setahu aku, pesakit mental memang pendendam orangnya.
Saat ini aku boleh bayangkan Dr. Danish sedang memberikan ubat penenang kepada Danny. Pesakit mental yang agresif hanya boleh ditundukkan dengan ubat penenang. Kalau tidak mereka akan menjadi lebih agresif. Aku tidak dapat bayangkan kehidupanku nanti sekiranya aku tidak memutuskan pertunangan dengan Danny.
BAB TIGA BELAS
Pagi-pagi lagi aku menerima tetamu tidak diundang. Dr. Daniel Hisyam menunggu aku di lobi hospital. Agak lama aku tidak bertemu dengannya. Apakah adiknya mempunyai masalah? Aku tidak nampak kelibat Dr. Danish sejak pagi. Mungkin sakit mentalnya semakin tenat. Atau Dr. Danish sedang mendapatkan rawatan untuk dirinya sendiri?
Aku cuma berbasa basi sahaja dengan Dr. Daniel. Malas aku hendak mengungkit pasal Facebook dan sebagainya. Aku sudah dapat jawapan kepada semua persoalan aku selama ini. Dr. Daniel akan sentiasa mengawasi pergerakan adiknya, Dr. Danish. Ke mana saja dan di mana saja. Menatap wajah Dr. Daniel, hatiku berdebar kencang. Walaupun perkenalan aku dengannya sesingkat embun di pagi hari, namun kehadirannya walaupun seketika berbekas di hatiku. Aku merindui saat-saat manis bersamanya.
Namun takdir telah memisahkan kami. Dr. Daniel terlalu sayangkan adiknya. Aku tidak pasti apakah Daniel tidak mempunyai perasaan terhadap aku lewat perkenalan singkat kami. Dia berbicara seolah-olah aantara kami tidak pernah mengenali sebelum ini. Hakikatnya aku berperang dengan perasaan sendiri. Antara rindu dan kasihan. Antara sedih dan simpati. Semuanya bercampur aduk sehingga aku lemas melayan perasaan.
Selama seminggu Dr. Daniel tidak berhenti memujukku menjenguk adiknya. Aku tewas dengan rayuan Daniel. Walaupun sudah puas aku memberi pelbagai alasan namun Dr. Daniel tetap tidak mahu mengalah. Akhirnya aku berjanji akan menjenguk Dr. Danish pada hari minggu ini. Aku rasa aku perlu tahu juga apa sebenarnya yang telah berlaku terhadap Danny. Kalau aku mahu menyelesaikan masalah, maka aku perlu mencari punca masalah tersebut.
Pertama kali aku melihat pasangan kembar Dr. Daud Ong, iaitu Dr. Danish dan Dr. Daniel dari dekat. Aku kagum dengan kebesaran Allah yang menciptakan makhluknya yang pelbagai rupa dan bentuk. Tetapi pasangan kembar ini membuktikan kebesaran Tuhan. Wajah mereka sangat berbeza ibarat langit dengan bumi. Personaliti mereka memang berbeza. Begitu juga gaya rambut mereka.
“Silakan duduk Qistina.” Suara lembut Puan Naimatul menggoyahkan tujuan kedatangan aku ke rumah mereka.
“Terima kasih Auntie!” Aku terpaksa berbahasa.
“Sebenarnya hari bertunang tu lagi Auntie nak bagitau Qis tentang Danish tapi Qistina tak nak tahu..” Puan Naimatul terus kepada persoalan pokok. Aku menantikan bicara seterusnya yang bakal diperkatakan Puan Naimatul. Namun bicaranya terhenti di situ. Aku terpaksa berfikir dan menyusun ayat seterusnya agar tidak melukakan hati sesiapa terutama Danish tunanganku.
Aku mula menyalahkan diri sendiri. Semuanya salah aku. Aku sangka kalau pilihan sendiri, semuanya teratur dan sempurna. Perkenalan yang singkat melalui Facebook bukanlah jaminan jodoh terbaik buat kita. Aku ingatkan Daniel rupanya Dr. Danish atau panggilan manjanya Danny. Kasihan Daniel. Terpaksa berkorban untuk adiknya. Rupanya kita sering tertipu dengan pandangan luaran seseorang. Seperti Dr. Danish. Nampak seolah tidak ada kecacatan langsung. Namun siapa sangka, Dr. Danish yang mengaku namanya Danny kepada aku adalah tidak berapa sihat mentalnya.
“Auntie, semua ini akan Qis jadikan sebagai pengajaran pada masa hadapan. Qis tak akan ulangi lagi kesilapan ini. Biarlah Qis berhati-hati dan berwaspada pada masa akan datang.” Aku rasa sesiapa yang mendengar setiap patah kata aku tadi akan memahami maksudnya.
“Qis, I harap U dapat teruskan pertunangan dengan Danish. Danish perlukan U dalam hidupnya!”
Nah, yang berlaku adalah sebaliknya. Aku terkejut mendengar saranan Dr. Daniel. Sepatutnya dia membantu aku melepaskan diri daripada adiknya yang cacat mental itu. Tapi sekarang dia menyuruh aku mengorbankan diri sendiri dengan meneruskan pertunangan dengan adik kembarnya yang tidak sihat mentalnya itu. Aku merenung tajam ke arah Dr. Daniel. Danish hanya merenungku dengan ekor matanya. Perasaan simpati mula menjalar dalam sanubariku.
“Qistina, Uncle tak paksa Qistina. Kalau Qistina rasa membebankan, tak perlulah diteruskan ikatan pertunangan ini. Tapi kalau Qistina rasa dapat memberi sedikit kebahagiaan kepada Danish, Uncle bersyukur banyak-banyak kepada Allah.”
Apa lagi yang dapat aku luahkan? Semuanya telah nyata. Mereka semua mengharapkan aku untuk memberi sedikit ruang kepada anak mereka menikmati erti kebahagiaan. Tetapi tidakkah mereka terfikir akan kebahagiaan aku? Sejak remaja aku tidak pernah menikmati erti percintaan. Kerana terlalu lurus, aku tidak tahu aku punya ramai peminat. Sangkaku kalau seseorang itu menyintai aku, mereka akan meluahkan cinta mereka kepadaku. Rupanya ia bukan seperti apa yang aku bayangkan!
“Uncle, Auntie… berilah Qistina masa. Sebenarnya Qis masih lagi terkejut. Baru seminggu Qis dapat tahu tentang hal ini. Qis masih lagi tersasul yang Danish adalah Danny dan Danny adalah Danish.” Aku harap penjelasan aku itu dapat memuaskan hati semua pihak.
Nampaknya Danish gembira mendengar penjelasan aku.
“Qis, biarlah kita hantar awak balik. Kita gembira sangat hari ni. Sudah seminggu kita tak makan nasi.”
Hampir menangis aku mendengar kata-kata Danish. Sudah seminggu dia tidak makan nasi kerana aku mahu memutuskan pertunangan dengannya. Saat itu perwatakan Dr. Danish tiada lagi. Hanya Danny. Jejaka ringkas yang berpakaian kasual dan bercakap penuh ceria. Tiada ketegasan seperti di hospital. Tiada arahan untuk aku hulurkan blade, gunting atau plaster. Hari ini Danish seperti budak-budak yang akur dengan arahan aku.
Petang itu aku membawa Danish makan di kedai mamak. Aku memesan nasi putih dengan kari kepala ikan. Danish makan dengan lahapnya. Pertama kali aku melihat Danish dari sudut yang berbeza. Memang sekali pandang, Danish tiada langsung kekurangannya. Tapi apabila memandangnya berkali-kali, baru aku nampak kekurangannya. Sebelum ini aku langsung tidak terfikir untuk menilai perwatakan Dr. Danish semasa bekerjasama dengan aku baik di dalam bilik bersalin atau di dalam dewan bedah. Semuanya nampak normal. Tapi hari ini aku nampak segala kekurangannya.
Danish takut tentang segala-galanya. Danish takut bila berbicara tentang kemalangan, Danish takut apabila aku menyebut tentang kebakaran, dan yang paling ditakutinya ialah kehilangan aku! Tegakah aku membiarkan Danish merana kerana aku? Tapi perlukah aku berkorban demi seorang jejaka yang bernama Danish.
“Qis, awak janji jangan tinggalkan kita, boleh?”
Aku mengangguk.
“Kenapa awak tak nak cakap ngan kita?”
“Sebab awak tipu kita!”
“Kita takut awak terpikat dengan Dr. Fadzreen!”
“Dr. Fadzreen?”
“Ya. Tapi awak tak suka Dr. Fadzreen kan ?”
Pun dalam keadaan terpaksa aku mengangguk.
“Awak mesti janji jangan tinggalkan kita. Kalau awak tinggalkan kita, kita tak nak hidup lagi!”
Perlahan aku memegang tangan Danish. Aku genggam tangannya rapat-rapat. Kemudian Danish mengaitkan jari kelingkingnya dengan jari kelingkingku. Aku memejamkan mataku rapat-rapat. Aku perlukan kekuatan untuk meneruskan ikatan pertunangan dengan Danish.
Perasaan simpati mudah sangat menguasai diriku. Aku tidak tahu mengapa aku terlalu cepat kasihankan orang. Mungkin kerana aku seorang doktor, maka nilai kemanusiaan dalam diriku sangat tinggi. Melihat ke dalam mata Danish, jernih dan berkilauan sinar matanya membayangkan dia sedang dilamun cinta. Melihat ke dalam diri sendiri, aku terkepung antara kepentingan diri dan kebahagiaan Danish.
Sudah tersurat barangkali jodohku dengan Danish. Kalaulah aku tahu jodohku dengan pesakit mental, rasanya lebih baik aku menerima pelawaan Dr. Fadzreen. Atau pun aku tinggalkan saja hospital tempat aku bertugas dan berpindah ke tempat lain. Ah, hampir pecah kepalaku memikirkan keputusan yang bakal aku berikan kepada keluarga Dr. Daud Ong.
Aku cuba melihat Danish dari sudut pandangan yang berbeza. Aku singkap semula pertemuan pertama kami. Danish memang kacak orangnya. Aku reflek semula memori aku melapor diri kepadanya di Bilik Pakar Sakit Puan. Tiba-tiba saja aku rasakan aku ingin mengubati penyakit Danish! Mana tahu dengan keajaiban perubatan yang canggih bisa merawat penyakit Danish. Aku yakin aku boleh. Adakah aku juga telah ditimpa masalah mental sepertinya?
Aku perlu mencari punca Danish menjadi begitu. Kata JM Ayu Azira, perangai Danish berubah selepas dia kemalangan. Ini bermakna, Danish bukan mewarisi penyakit mental daripada kedua-dua ibu bapanya. Harapan untuk pulih mungkin ada. Aku perlu ke Wad Psikiatrik esok hari. Tugas aku adalah merawat Danish. Sayang jejaka sekacaknya kalau dibiarkan tidak sihat selama-lamanya!
“Maafkan saya Doktor kerana tak buat temu janji dulu.”
“Tak pe. Hari ni bukan hari lawatan pesakit.”
“Sebenarnya saya ada hal peribadi nak bincang dengan Doktor.”
“Kenapa? Dr. Qistina stress ke?”
“Hish takdelah Doktor.”
“Manalah tahu kot-kot stress dengan anak-anak kembar Dr. Daud Ong tu.”
“Takdelah Doktor. Dia orang tu okey apa. Seronok saya kerja kat situ.”
“Gurau je lah Dr. Qistina. Apa yang boleh saya tolong?”
“Patient saya nak bersalin. Tapi dia tak mahu balik ke rumahnya. Kononnya suaminya tak siuman selepas kemalangan beberapa tahun dulu.”
“Jadi apa masalahnya?”
“Dia takut suaminya kelar lehernya atau leher bayinya dan macam-macam lagilah.” Aku terpaksa mereka cerita yang agak menarik agar Doktor Amarjeet dapat menghuraikan serba sedikit tentang kes pesakit mental seperti Danish.
“Dr. Qistina, sebenarnya pesakit yang mentalnya tidak sihat selepas terbabit dengan kemalangan adalah kerana sarafnya telah rosak akibat hentakan yang kuat di kepala mereka. Ada sesetengahnya boleh hilang ingatan.”
“Tapi tidakkah mereka boleh dikategorikan sebagai tidak siuman?”
“Dr. Qistina, mereka ni siuman. Cuma kadang-kadang mereka akan mengalami stress atau depress kerana hal yang kecil-kecil. Saat itu mereka tidak mungkin dapat mengawal perasaan mereka. Tapi kes yang saya kendalikan setakat ini, pesakit saya masih lagi dapat mengawal perasaan mereka.”
“Tidakkah hal ini akan menyebabkan gangguan dalam pekerjaan mereka?”
“Kes yang saya dapat setakat ini belum ada lagi. Sorang patient saya anggota TUDM masih lagi berkhidmat dengan kerajaan. Malah dia mendapat kemalangan tu semasa dia darjah lima .”
“Maksudnya pesakit yang mentalnya tak sihat ni masih boleh berkhidmat lagilah?”
“Ya. Tiada sebab kesihatan mental mereka mempengaruhi pekerjaan pesakit tersebut. Cuma mereka ni susah nak kahwin!”
“Susah nak kahwin? Kenapa?”
“U sendiri kalau dijodohkan dengan orang yang U ketahui tidak berapa sihat mentalnya, U nak kahwin dengan mereka?”
“Soalan tu saya kena fikir dulu.”
“Ha, tengok tu. U sendiri kata nak fikir dulu. Macam mana dengan orang lain? Kadang-kadang saya kasihan dengan pesakit saya.”
“Takpelah Doktor. U cari pesakit yang kacak dan suruh jumpa saya.”
“Betul ke? Awak jangan terkejut Dr. Qistina. Kebanyakan daripada pesakit saya kacak-kacak orangnya tau.”
“Takpelah Doktor. Nanti semua anak-anak saya tak sihat macam ayahnya.”
“Hey, bukan macam tu Dr. Qistina. Mereka bukan mewarisi genetik nenek moyang mereka. Percayalah anak-anak mereka akan normal. Kalau nak buktikan teori saya U kahwinlah dengan salah sorang pesakit saya.”
“Tak naklah Doktor. Saya dah bertunang.”
“Kalau macam tu, U nasihatkan patient U tu jangan tunjukkan sangat rasa bimbang kat suami dia tu. Kalau boleh berilah lebih perhatian kat suaminya.”
Sepanjang perjalanan balik dari Kompleks Klinik Pakar ke Wad Bersalin, aku diburu rasa bersalah. Sampainya hati aku menyamakan Danish dengan orang yang tidak siuman. Tidak siuman bermakna gila. Takkanlah Danish orang gila? Kalau gila dengan kerjanya aku setuju. Danish sangat komited ketika di wad bersalin atau di dewan bedah. Mana mungkin dia gila. Kalau gila mungkin juga ada kebenarannya. Jadi kesimpulannya Danish cuma tidak berapa sihat mentalnya tapi bukan gila.
Banyak maklumat yang aku dapat daripada Dr. Amarjeet. Mulai sekarang aku perlu selalu bertemu Dr. Amarjeet untuk bertanyakan lebih banyak maklumat bagi memulihkan Danish. Sebagai tunang, aku rasa aku tidak dapat memulihkankannya dalam masa terdekat. Menurut Dr . Amarjeet hanya seorang saja pesakitnya daripada 12 orang yang telah berjaya dipulihkan. Ini bermakna adalah tipis peluang Danish untuk pulih seperti sedia kala.
Walau apa pun, aku perlu menanggung risiko. Aku perlu berkahwin dengan Danish dalam masa terdekat. Semakin lama aku buat keputusan, harapan untuk Danish sembuh mungkin tipis. Aku perlu membuktikan teori Dr. Amarjeet. Pesakit mental akibat kemalangan boleh sembuh dan dapat melahirkan anak-anak yang sihat mental dan fizikal.
Dr. Daud Ong dan Puan Naimatul Wahidah terkejut menerima keputusanku. Aku meminta agar perkahwinanku dipercepatkan. Dr. Daniel mengucapkan tahniah yang tidak terhingga. Tidakkah Daniel merasakan apa yang aku rasa? Teganya Daniel membiarkan aku berkahwin dengan adiknya. Tapi keputusan itu aku yang buat. Menyesalkah aku? Semua keluarga Dr. Daud Ong gembira dengan keputusan aku kecuali Danish.
“Honey, kita tahu awak terpaksa.”
“Danish, kita rela terima awak seadanya.”
“Honey, kita tahu awak tak ikhlas. Kita tahu awak hanya simpati kepada kita.”
“Danish, kita ikhlas terima awak. Kita tahu awak perlukan kita.”
“Memang kita perlukan awak tapi awak tak pernah perlukan kita, kan ?”
“Danish, please. Kita betul-betul sukakan awak.”
“Honey, berani awak bersumpah demi Allah awak sukakan kita?”
“Danish, bukan kita takut bersumpah. Tapi kita tak nak gunakan nama Allah sesuka hati kita. Cukuplah awak percaya kita betul-betul sukakan awak.”
“Ha, kan itu tandanya awak simpati ngan kita?”
“Danish, Honey betul-betul cintakan Danish. Honey nak bersama Danish saat susah dan senang.”
“Honey, adakah kita sedang bermimpi?”
“Danish, awak bukan sedang bermimpi. Kenyataannya kita cintakan awak.”
Aku tidak tahu kenapa tiba-tiba aku boleh melahirkan perasaan terhadap Danish. Walaupun aku menyenangi sikap Dr.Danish sebelum ini namun selepas aku mengetahui kenyataan tentang dirinya, aku ragu-ragu. Tapi hari ini aku Berjaya singkirkan Daniel dari hatiku kerana aku rasa aku mula mencintai Dr. Danish. Berjaya juga aku mengenang saat aku mula melapor diri kepadanya.
Aku berdebar menanti saat aku akan diijabkabulkan dengan Danish. Hanya tinggal seminggu lagi. Apakah nasib yang aku perjudikan untuk hidup di samping suami yang tidak berapa sihat mentalnya?
BAB EMPAT BELAS
Persiapan yang meriah sedang diaturkan keluargaku. Dua hari lagi aku akan melangsungkan perkahwinan dengan Danish. Namun pagi tadi Danish memberitahuku dia akan ke Indonesia . Katanya dia terpaksa ke Indonesia untuk membeli perabot jati di sana . Danish mahu memilih sendiri set bilik tidur dari kilang Jati Japara di Jakarta.
Semua orang tidak akan membantah sebarang keputusan yang telah dibuat Danish. Maklumlah semua orang terlalu takut dengan mental Danish yang tidak berapa sihat. Hanya aku sahaja yang memandang Danish dari sudut pandangan yang berbeza.
Sebenarnya hidup ini tidak seindah seperti yang direncanakan. Petang tadi, Dr. Daud Ong menelefon Mama. Katanya Danish terlibat dengan kemalangan di sana . Hatiku berkecai mendengar berita Danish sudah pergi meninggalkan aku untuk selamanya.
Dr. Daud Ong sekeluarga terpaksa berlepas ke Jakarta kerana mahu menguruskan jenazah Danish. Aku meraung sebaik Mama memberitahu jenazah Danish tidak akan dibawa pulang ke Malaysia . Dr. Daud Ong memberitahu Mama, Danish akan dikebumikan di sana .
“Honey, Mama harap Honey bersabar.” Mama memujukku lembut.
“Ada apa Ma?”
“Kuatkan semangat ya Honey?”
“Kenapa?”
“Danish sudah pergi.”
“Memanglah Danish pergi ke Indonesia .”
“Tapi dia pergi untuk selama-lamanya!” Air mata Mama tumpah jua. Aku semakin tidak mengerti.
“Maksud Mama?”
“Danish kemalangan dan meninggal di sana …” bagai halilintar membelah bumi saat Mama menyatakan Danish sudah tiada lagi. Aku rebah di pangkuan Mama. Sebulan peristiwa itu sudah berlalu. Namun aku merasakan seolah baru semalam ia berlaku.
Aku menyesal yang teramat. Kata-kata Danish beberapa hari sebelum dia ke Indonesia terngiang-ngiang di telingaku. Dia menduga aku menipunya tentang perasaan ku terhadapnya. Kenapalah saat itu aku tidak bersumpah dengan nama Allah? Sekurang-kurangnya hati Danish tenang dan gembira mendengarnya. Tapi aku bersyukur. Sekurang-kurangnya ungkapan cinta yang aku lafazkan buat Danish mungkin dapat meyakinkan hatinya. Aku tahu aku ikhlas saat aku melafazkan cinta aku terhadapnya.
Baru kini aku menyedari aku betul-betul kehilangan. Aku kehilangan orang yang mencintaiku. Aku kehilangan tunang aku. Aku kehilangan bakal suami aku. Aku kehilangan perasaan dan cintaku. Danish, teganya aku menghina dirimu dulu. Ya, Allah! Aku pernah menyamakan Danish dengan orang gila. Danish, di mana dapat aku mencari penggantimu?
“Taklah. Apa hal cari saya?”
“Lama tak makan dengan Dr. Qistina.” Dr. Fadzreen lembut mengajak aku makan bersamanya.
“Jomlah. Saya pun dah lapar.”
“Rasanya belum terlewat saya ucapkan takziah.”
“Tak apa. Dah nasib saya.”
“Saya tak pernah sangka Dr. Qistina masih lagi bertunang. Dulu ayah Qis pernah cakap Qis dah putus tunang.”
“Agaknya itu adalah tanda-tanda saya memang tiada jodoh dengan Danish.”
“Mulanya saya ingat Qis bertunang dengan Daniel. Rupanya dengan Danish.”
“Kenapa?”
“Takdelah. Danish tu kan lain sikit.”
“Dr. Fadzreen, walau siapa pun Danish, dia tunang Qis. Selama Qis hidup 29 tahun ini, dia sajalah jejaka yang tidak jemu-jemu menghulurkan cintanya terhadap Qis. Qis betul-betul sayangkan Danish.”
“Maafkan saya buat Qis tersinggung.”
“Qis tak kisah.”
Aku rasa aku masih tidak dapat menerima kenyataan. Aku meninggalkan Dr. Fadzreen di kafe keseorangan. Aku tiada langsung mood untuk makan. Selera makan aku akhir-akhir ini juga menurun. Aku tidak tahu kenapa aku terlalu kecewa dengan pemergian Danish. Aku terlalu kecewa kerana aku menyedari bahawa aku betul-betul mencintainya sebelum ini. Sekarang baru aku akui. Aku benar-benar mencintai Danish.
Sejak beberapa malam lalu, aku sering diganggu mimpi-mimpi ngeri. Apabila aku terjaga, aku dapati ia hanyalah mimpi. Dan selepas itu, aku terlalu sukar untuk tidur. Aku mencadangkan kepada Mama yang aku perlukan ubat penenang. Namun Papa membantah cadanganku. Papa tidak mahu aku bergantung dengan ubat sepanjang hayatku.
Akhirnya Mama dan Papa mencadangkan aku tukar tempat kerja. Dengan bantuan Dr. Fadzreen, aku ditukarkan ke Hospital Daerah Changkat Melintang, di Perak Tengah. Di sini aku damai menjalani kehidupan baru dalam suasana kampung. Aku mahu melenyapkan kenangan pahit ketika di Selayang. Namun bayangan Danish sentiasa mengekori setiap jejak langkahku.
BAB LIMA BELAS
Aku menumpang di rumah adikku Aizat di Bandar Universiti. Nasib baiklah Aizat baru berkahwin. Mereka belum lagi mempunyai anak. Jadi aku berasa selesa kerana terasa seperti berada di rumah Mama.
Kedudukan kawasan perumahan Bandar Universiti betul-betul strategik. UITM dan UTP adalah dua buah universiti di kiri dan kanan perumahan Bandar Universiti. Jarak dari Hospital Changkat Melintang tempat aku bertugas pula 25 kilometer dari Bandar Universiti. Perjalanannya memakan masa 15 minit saja. Maklumlah keadaan jalan di Perak Tengah ini tidak sama dengan di Selayang atau Rawang yang senantiasa sibuk dengan kenderaan di jalan raya.
Aku hanya berkurung dalam bilik saja pada waktu cuti atau ketika tiada on-call. Biasanya pada cuti hujung minggu seperti ini aku jarang keluar. Bandar yang terdekat dengan Bandar Universiti adalah Ipoh dan Sitiawan. Namun aku jarang ke Ipoh kerana jalannya terlalu sibuk. Aku lebih suka ke Sitiawan atau Manjung kerana di sana ada Teluk Batik dan Teluk Senangin. Pusat beli-belah pun banyak di sana . Jadi kalau sudah penat membeli-belah aku boleh merehatkan diri di Teluk Batik atau terus ke Pulau Pangkor!
Pagi ini Aizat dan isterinya Afifah Hanim berbulan madu ke Cameron Higlands. Entah kali ke berapa mereka berbulan madu aku sudah lupa. Pada hal mereka baru saja lima bulan melangsungkan perkahwinan. Mengingati perkahwinan mereka aku menjadi sebak. Sepatutnya tarikh itu aku yang naik pelamin bersama Danish. Namun Danish terlebih dahulu meninggalkan aku. Pemergian Danish meninggalkan kesan mendalam dalam hidupku.
Aku merenung potret Danish di atas meja solekku. Gambar itu diberikan Puan Naimatul pada hari pertunanganku dulu. Berulangkali aku menatap potret itu. Gambar itu ketika Danish masih muda dan masih rugged lagi. Hanya potret itulah peneman aku di kala sunyi seperti ini. Gambar itu sajalah satu-satunya yang ada bersamaku kini.
Sungguh aku tidak dapat melupakan Danish hingga kini. Ada juga beberapa kali Dr. Fadzreen menghubungi sejak aku di sini. Namun aku langsung sudah tidak mempunyai perasaan terhadapnya lagi. Aku pun hairan kerana sejak di UKM lagi aku telah menaruh harapan terhadapnya namun kini aku sudah tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadapnya lagi.
Danish telah membawa pergi cintaku bersamanya. Aku pun tidak mahu memikirkan lagi tentang usiaku yang akan masuk 30 tahun pada akhir Disember nanti. Tidak perlu aku memikirkan lagi tentang jodoh kerana jodohku sudah meninggal dunia. Biarlah aku kuburkan niat untuk mencari pengganti Danish.
Aku tatap berulangkali potret Danish. Aku rasa dia sedang tersenyum memandangku. Kenangan bersamanya menjelma kembali.
“Honey, kita suka sangat ngan awak!”
“Kita pun suka ngan awak.”
“Kenapa awak tak nak pakai tudung?”
“Kita rimaslah. Kerja kat Wad Bersalin sentiasa sibuk.”
“Agaknya kalau awak pakai tudung macam Mummy kita tentu manis kan ?”
“Nanti lepas kahwin ngan awak baru kita pakai tudung, boleh?”
Air mataku menitis perlahan. Aku tidak sempat tunaikan permintaan Danish. Dia ingin melihat aku bertudung seperti Mummynya. Kalaulah benar Danish tidak siuman, mengapa dia masih boleh membezakan antara kemungkaran dan kejahilan? Ah, dangkalnya pemikiranku. Danish cuma tidak sihat mentalnya saja tetapi pemikirannya masih baik. Kenapakah Allah menjemputnya sebelum sempat aku merawatnya?
Aku bingkas bangun. Aku menghampiri almari pakaian. Aku mengeluarkan sebuah kotak yang berwarna keemasan. Kotak itu diberikan Danish seminggu sebelum hari perkahwinanku.
“Honey, kita ada hadiah untuk awak.”
“Apa?”
“Nantilah, balik rumah baru awak buka.”
Rupanya sejak balik dari bertemu Danish aku langsung terlupa dengan kotak itu. Apabila hendak berpindah ke sini, barulah aku teringatkan kotak itu. Pun waktu itu aku tidak membukanya. Aku terlalu sedih dengan pemergian Danish.
Mataku sayu memerhatikan kotak berwarna keemasan itu. Apakah yang ada di dalamnya? Rasa ingin tahu membuak-buak dalam dadaku. Perlahan aku membuka kotak itu dengan cermat. Aku hampir pengsan melihat sepasang baju kebaya berwarna ungu dan sehelai tudung berwarna putih.
Pantas aku mengenakan baju kebaya itu ke badanku. Amat padan sekali dengan tubuhku yang semakin berisi sejak kebelakangan ini. Kemudian aku mengenakan tudung berwarna putih itu di atas kepalaku. Amat manis wajahku yang sedikit tembam tatkala aku mengenakan tudung itu. Memang wajahku sangat berbeza daripada tadi. Betullah kata Danish. Aku nampak lebih manis apabila bertudung.
Danish, rupanya mengenangkanmu membuat aku lebih bahagia. Aku amat berbangga kerana ditakdirkan bertemu dan bercinta denganmu. Aku tahu dirimu tidak sempurna seperti orang lain, tetapi nalurimu amat mengenali hatiku. Danish, engkau adalah pertama dan terakhir insan yang akan aku kenang sepanjang hayatku.
Aku mendapat semangat baru untuk melalui hari-hari seterusnya. Danish akan terus menjadi pemangkin perubahan dalam hidupku. Aku berazam hendak membuat perubahan. Aku akan mulakan dari dalam diriku. Perubahan sikap dan cara berpakaian. Aku akan mengubah penampilan aku. Aku juga akan menyambung study aku. Aku akan menjadi doktor pakar sebelum usiaku 32 tahun.
“Cantiknya Kak Long!” Adik iparku terkejut melihat penampilanku pagi berikutnya.
“Terima kasih!”
“Kak Long mimpi apa malam tadi?” Aizat mula menyakat aku.
“Mimpi bulan jatuh ke riba!”
“Bertuahnya Kak Long…” Celah adik iparku pula.
“Fifah, nanti boleh belikan tudung bawal kat Kak Long? Kak Long tak pandai nak beli.” Adik iparku hanya mengangguk. Aku patutnya rasa malu dengan mualaf seperti adik iparku. Sejak sebelum kahwin dia sudah bertudung. Tapi aku…nasib baiklah aku asyik terkenangkan Danish. Dalam banyak-banyak memori yang menjengah minda fikirku, teringat juga aku tentang hasrat Danish melihat aku bertudung. Hari ini aku telah menunaikan impiannya. Kalau boleh hingga akhir hayatku.
Di hospital, ramai staf yang terkejut dengan perubahan gaya dan penampilan aku. Ada yang tersenyum gembira kerana perubahan aku dan ada yang tidak suka dengan perubahan aku. Salah seorangnya Dr. Hazreen.
“Isya, kenapa tukar angin?”Dr. Hazreen dan lain-lain staf di hospital ini memang mengenali aku dengan nama Dr. Isya. Sengaja aku menukar nama ringkas Qis aku kepada Isya. Biarlah Danish membawa nama manjaku Qis bersamanya.
“Dah sampai seru!” Jawabku ringkas.
“Tak seronoklah. Nanti tinggal I sorang doktor perempuan kat hospital ni yang tak pakai tudung.”
“Ala , kalau macam tu, U pun pakai tudung macam I lah, Hazreen.” Balasku.
“Tak naklah. I belum sampai seru lagi.” Balas Dr. Hazreen sambil tersenyum.
Dr. Hazreen merupakan satu-satunya kawan yang agak rapat dengan aku sejak aku bertugas di sini beberapa bulan lalu. Rumah sewanya di sebelah rumah adikku Aizat. Aku senang sekali berkawan dengan Dr. Hazreen. Dia seorang gadis yang periang. Dia tidak pernah ambil pusing dengan setiap masalah yang melanda hidupnya. Dua kali dia sudah putus tunang. Namun hidupnya sentiasa ceria. Kata Hazreen, kalau orang tak suka cara kita, biarlah ia berlalu dari hidup kita. Memang falsafah hidupnya mudah.
“Isya, hari ni ada doktor baru akan melapor diri. Lelaki tau.”
“Ala , kalau lelaki pun tapi suami orang nak buat apa.” Tingkahku.
“Dr. Batrisya, doktor lelaki ni bujang lagi tau!” Balas Hazreen sambil tersenyum.
“Mana kau tahu?”
“Aku tahulah. Pagi tadi dia tumpang kereta aku!”
“Apa?”
“Dia sewa belakang rumah aku. Orang KL. Baru semalam sampai kat Bandar U. ”
Oh, patutlah. Semalam aku lihat ada orang bising-bising di belakang rumah adikku Aizat. Rupanya ada orang baru pindah.
BAB ENAM BELAS
Aku menatap wajah doktor baru di hadapanku tanpa berkelip. Iras wajahnya seperti Danish. Matanya agak sepet seperti keturunan Cina. Namun kepalanya gondol seperti rambut pelatih-pelatih rekrut di sekolah tentera. Rasaku mungkin panjang rambutnya satu sentimeter. Kalaulah rambutnya panjang dan menutupi dahi, tentu wajahnya seperti Danish. Ah, aku terlalu dibuai perasaan.
Pertama kali berhadapan dengan Dr. Haikal membuat jantungku berdebar kencang. Wajahnya memang agak mirip dengan Danish. Cuma rambut mereka yang membezakannya. Begitu juga dengan penampilannya. Ia amat berbeza sama sekali dengan Danish. Adakah Dr. Daud Ong mempunyai anak kembar lagi? Tidak mungkin. Lagipun aku teringat dalam dunia ini terdapat tujuh orang yang mempunyai wajah yang hampir serupa atau seiras.
“Hai, saya Dr. Haikal dari HKL.”
“Saya Dr. Isya.” Balasku.
“Cantiknya nama. Nice to meet you.”
“Saya juga.”
“Dah lama kerja di sini?”
“Hampir enam bulan.” Jawabku perlahan.
“Oh, masih baru lagilah.”
Aku hanya menganggukkan kepala.
“Saya baru di sini, Jadi saya perlukan tunjuk ajar dari semua staf di sini.” Katanya sebelum meninggalkan aku di dalam Wad 3.
Aku melirik jam di tangan. Hampir pukul 7.40 pagi. Pukul 8 pagi nanti semua staf dan pegawai perubatan perlu berkumpul di dalam bilik mesyuarat. Ada briefing dengan pengarah hospital yang baru. Sebenarnya Pengarah bagi semua Hospital Daerah adalah sama tarafnya dengan Ketua Pakar Perubatan yang terdapat di hospital-hospital besar seperti HKL atau Hospital Selayang ataupun Hospital Ipoh .
Aku sampai di dalam blik mesyuarat sebelum jam 8 pagi. Ramai staf serta pegawai perubatan yang terlebih dahulu sampai daripadaku. Aku mengambil tempat duduk paling belakang. Baru hari ini aku nampak semua staf dan pegawai perubatan Hospital Daerah Changkat Melintang. Ramai juga. Bisikku dalam hati. 6 orang pegawai perubatan termasuk Dr. Haikal, 3 orang pembantu perubatan, 13 orang staff nurse, 10 orang jururawat Masyarakat dan 8 orang attendant hospital.
“Assalamualaikum dan selamat sejahtera…. Terima kasih kerana sudi datang ke majlis yang tidak sepertinya…” aku rasa hampir tumbang sebaik mendengar kata-kata Dr. Haikal. Tutur kata dan lenggok gaya percakapannya mirip Danish. Adakah aku masih bermimpi tentang Danish yang telah tiada?
“Sebenarnya saya baru saja dilantik menjadi Pengarah Hospital ini, jadi saya mohon kerjasama anda semua untuk melicinkan lagi pentadbiran hospital ini…” kali ini ada nada ketegasan dalam suaranya. Tidak mungkin Danish hidup kembali. Aku beristigfar di dalam hati. Kenapakah semua lelaki bermata sepet yang aku temui, aku nampak persamaan di wajah mereka dengan Danish?
Aku beredar ke kantin selepas selesai briefing dengan Pengarah Hospital yang baru. Di sana aku bertembung dengan Dr. Hazreen.
“Isya, aku tak sangka doktor baru yang tumpang kereta aku tu Pengarah Hospital kita!”
“Itulah, kau. Cakap tak pernah berlapik.”
“Tapi kan ..kau rasa betul ke dia kata dia belum kahwin?” Soalan Dr. Hazreen mengejutkan aku.
“Kenapa?” Balasku.
“Sajalah nak cuba nasib.”
“Hai, Dr. Tham tu kau nak letak kat mana?”
“Kau tau tak Qis? Apakah halangan terbesar bercinta dengan non-muslim?” Dr. Hazreen bertanyaku tiba-tiba.
“Kenapa? Dr. Tham tu kan dah convert?” Hujahku.
“Siapa kata dia dah convert?”
“Tak de siapa pun yang bagitau aku. Tapi cara dia bercakap dengan aku menunjukkan dia dah peluk Islam.”
“Memanglah dia macam tu. Kalau setakat dia bagi salam, kata insya Allah, Alhamdulillah dan lain-lain tu bukan bermakna dia dah peluk Islam, Dr. Batrisya oii!”
“Ye ke?” Aku memang sukar untuk mempercayainya. Dr. Tham Siew Hong selalu mengucapkan salam kepadaku setiap kali kami bertembung. Kadang-kadang ketika aku menyampaikan pesanan kepada Dr. Hazreen dia akan berkata; insya-Allah akan saya sampaikan. Adakah itu bermakna dia masih belum memeluk agama Islam? Nampaknya aku masih lagi selurus bendul dan senaif pelajar kelas hujung.
BAB TUJUH BELAS
Cuaca cerah. Langit tenang membiru. Laut juga tenang membiru. Sesekali ketenangan air laut berkocak dengan kehadiran buih-buih kecil. Aku memerhatikan keindahan alam dari dalam feri. Hazreen sengaja mengajak aku bercuti ke Pulau Pangkor. Katanya untuk merehatkan dan menenagkan fikiran setelah penat bekerja selama seminggu. Aku hanya menurut sahaja cadangannya. Lagipun kami pergi balik hari.
Penumpang-penumpang berpusu-pusu keluar dari feri menuju ke jeti. Aku dan Hazreen penumpang paling akhir yang turun dari feri. Kami turun perlahan-lahan kerana Hazreen gayat orangnya. Lagipun dia tidak pandai berenang.
Kami mengambil teksi dan terus mengarahkan pemandunya membawa kami bersiar-siar di Pulau Pangkor. Teksi memberhentikan kami di sebuah resort yang agak selesa. Resort itu betul-betul mengadap laut. Segar angin laut membuai perasaanku. Memoriku bersama Danish muncul di ingatan.
“Honey, kita suka ngan laut. Tapi kita tak pandai berenang.” Kata Danish apabila kami melawat Taman Tema Air Sunway Lagoon tidak lama dulu.
“Kalau macam tu, apa kata kita bawa awak pegi PD?”
“Tak naklah. Kita suka pergi pulau peranginan.”
“Pulau Langkawi?” Sengaja aku mahu menduganya.
“Kita suka Pulau Pangkor.”
“Okey, kalau macam tu, lepas kahwin nanti kita pergi Pulau Pangkor!”
Danish, kenapalah hanya aku seorang yang datang ke sini? Aku melepaskan keluhan panjang. Rupanya terlalu sukar memadamkan kenangan. Semakin ingin kita lupakan semakin kerap ia muncul di ingatan. Ketika itu aku langsung tidak ikhlas mahu membawa Danish ke sini. Sebenarnya aku berkata-kata saat itu hanya untuk tidak melukakan hati Danish. Aku sebenarnya takut dengan laut. Kenapa setelah Danish meninggalkan aku, aku jadi berani dalam serba serbi?
“Assalamualaikum!”
“Waalaikumsalam.” Terkejut aku melihat Dr. Haikal berdiri di sebelahku. Kenapa aku tidak perasankan kehadirannya?
“Jauhnya Dr. Isya melamun!”
“Teringat kisah lama.” Balasku.
“Tentu terkenangkan orang jauh.” Duga Dr. Haikal.
“Ya, orang tu berada sangat jauh.” Balasku perlahan.
Memang aku terkenangkan orang jauh. Sangat jauh dari aku. Aku teringatkan Danish yang sedang berada di alam lain.
“Boleh saya duduk di sini?”
Aku hanya mampu mengangguk. Aku tidak selesa. Saat ini aku mahu mengenangkan Danish sepuasnya. Aku tidak mahu diganggu. Hazreen yang memahami perasaanku pun boleh membiarkan aku melayan perasaan. Kenapa Dr. Haikal mahu mengganggu ketenangan aku pula?
“Dr. Isya datang berdua saja?”
Aku mengangguk.
“Tadi saya nampak Dr. Hazreen dan Dr. Isya datang bersama. Kemana dia?”
“Dr. Haikal, kami datang kerana mahu mencari ketenangan. Jadi kami tidak mahu mengganggu antara satu sama lain!”
“Maksudnya saya mengganggu ketenangan Dr. Isya?”
Aku mengangguk.
“Maafkan saya. Sebenarnya saya ada hal nak cakap dengan Dr. Isya.”
“Kenapa tak cakap kat hospital saja?”
“Kebetulan tadi saya terlintas nak cakap dengan Dr. Isya.”
“Apa dia?”
“Dr. Isya sudah bertunang?”
“Kenapa?”
“Hanya perempuan yang bertunang saja memakai cincin bertatahkan berlian di jari manis mereka.”
Mataku segera mengerling jari manis di tangan kananku. Cincin bertatahkan berlian itu adalah hadiah Puan Naimatul kepadaku. Walaupun orang bertunang memakai cincin belah rotan tetapi Puan Naimatul memberikan cincin berlian itu kepadaku kerana sanggup menerima pinangan anaknya. Malangnya aku tidak sempat mendirikan mahligai bahagia bersama Danish.
Hatiku sebak tiba-tiba. Aku tatap wajah Dr. Haikal di sebelahku. Aku nampak bayangan Danish di sebalik wajahnya. Aku rasa mahu memeluknya saat itu juga. Namun minda fikirku masih berfungsi. Dr. Haikal bukan Danish. Danish telah tiada. Yang ada padaku hanyalah kenangan yang tidak seberapa sewaktu bersamanya dalam masa yang singkat.
“Dr. Haikal, maafkan saya. Kisah hidup saya terlalu peribadi untuk dikongsi dengan orang lain. Cukuplah Dr. Haikal tahu saya sudah dimiliki.”
“Dr. Isya mengingatkan saya kepada seseorang!”
“Dalam dunia ni ada tujuh orang yang serupa Dr. Haikal.”
“Tapi Dr. Isya terlalu mirip dengannya.”
“Kalau Dr. Haikal nak tahu, wajah Dr. Haikal lebih mirip dengan seseorang yang pernah saya kenali dulu.”
“Siapa?” Dr. Haikal pantas ingin tahu orang yang mirip dengannya.
“Biarlah saya sorang yang tahu. Saya balik ke bilik dulu.”
Cepat-cepat aku meninggalkan Dr. Haikal. Siapakah gadis yang dia maksudkan mirip dengan aku? Ah, malas aku memikirkan hal yang tiada kaitan dengan aku. Di dalam bilik, Hazreen sedia menanti aku. Katanya kami perlu bertolak sekarang kerana teksi sedang menunggu kami. Ah, ruginya sewa bilik untuk jangkamasa dua tiga jam. Tapi aku puas. Dapat mengadap laut dan bermain dengan kenangan lalu bersama Danish. Ia adalah saat yang membahagiakan aku.
BAB LAPAN BELAS
Pagi Isnin memang ramai pesakit luar. Kedua-dua bilik Pegawai Perubatan digunakan. Aku dan Dr. Hazreen bertugas di bilik Pegawai Perubatan pagi ini. Aku dibantu oleh Staf Nurse Cik Camelia dan Dr. Hazreen dibantu oleh JM Mahani. Di Wad Kecemasan pula Pembantu Perubatan yang bertugas. Dr. Haikal tiada di hospital selama seminggu kerana ada seminar di Kuala Lumpur .
Jam menunjukkan angka 12. Aku meneliti fail rekod pesakit. Ada lima orang lagi. Perut aku juga sudah berbunyi. Sebagai seorang dotor aku perlu profesional. Aku perlu menghabiskan tugasku merawat lima orang lagi pesakit.
“Masuk.” Arahku kepada pesakit bernombor 69.
“Nombor?” Staff Nurse Camelia meminta nombor daripada pesakit yang baru masuk ke bilikku.
“Nombornya Misi.” Pesakit itu lantas menghulurkan nombor yang dipegangnya kepada kepada SN Camelia.
“Duduk, Puan.” Arahku.
“Terima kasih Doktor.”
“Apa sakitnya?”
“Saya gunakan IUCD sebagai perancang kehamilan. Tapi semalam, saya buat ujian air kencing di klinik swasta. Doktor kat klinik swasta tu cakap saya mengandung.”
“Ok. Puan baring kat sini.” Aku mengarahkan pesakit berkenaan berbaring di atas katil pesakit. Aku menekan di bawah abdomen pesakit berkenaaan. Kemudian aku memeriksa denyutan nadinya pula. Memang wanita ini mengandung. Pengalaman aku bekerja di Wad Bersalin sebelum ini banyak membantu aku ketika bertugas di sini.
“Nurse, telefon Hospital Ipoh. Dapatkan appointment untuk mengeluarkan IUCD dari dalam pangkal uterus patient ni.”
Pesakit seterusnya adalah pelajar sebuah sekolah menengah di sini. Empat orang semuanya. Aku tahu sangat kalau kes pelajar datang kerana batuk-batuk. Selepas memeriksa tekak mereka, nampak normal saja. Tidak ada tanda-tanda tekak mereka merah atau luka kerana terlalu kerap batuk seperti yang didakwa mereka. Mereka memang perlukan ubat batuk untuk melepaskan gian saja. Aku sengaja menulis sirap paracetamol dalam preskipsi ubat mereka.
Leganya dapat menghabiskan tugas tengahari ini. Petang nanti ada lagi pesakit yang akan datang untuk mendapatkan rawatan di hospital ini. Maklumlah hospital daerah. Kebanyakan pesakit yang datang pada waktu pagi adalah kakitangan kerajaan. Pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan pada waktu petang pula adalah pekerja kampong atau pun buruh ladang.
Kadangkala aku hairan dengan sikap manusia. Apa salahnya kaki tangan kerajaan datang mendapatkan rawatan pada waktu petang dan bekerja pada waktu pagi. Buruh-buruh ladang dan pekerja kampong seperti penoreh pula sanggup pergi bekerja pada waktu pagi dan datang mendapatkan rawatan pada waktu petang. Memang pemikiran pekerja sektor awam dan sektor swasta berbeza.
“Hai, mengeluh nampak?” Satu suara menerjah gegendang telinga aku. Aku memandang kea rah datangnya suara tersebut. Dr. Haikal.
“Doktor, bila balik?”
“Baru sampai. Banyak patient hari ni?”
“Biasalah Doktor. Hari Isnin. Monday Blues.” Jawabku separuh bergurau.
“Saya ingatkan orang KL je yang ada sikap macam tu. Rupanya kat daerah macam ni pun ada?”
“Biasalah Doktor. Dunia makin canggih.”
“Dr. Isya dah makan?”
“Belum. Saya pesan dengan SN Camelia tadi. Nanti dia belikan saya makan tengahari.”
“Kalau macam tu, Dr. Isya pergi kantin. Makan kat sana . Biar saya gantikan Dr. Isya.”
“Takpelah Doktor. Lagi pun hari ni saya lapang.”
“Saya tahu Dr. Isya lapang hari ni tapi saya nak tolong Dr. Isya.”
“Terima kasih Dr. Haikal. Saya pergi dulu.”
Lantas aku mencapai beg tangan di atas meja. Aku menganggukkan kepala sebelum berlalu keluar dari bilik rawatan. Dr. Haikal hanya tersenyum sambil melambaikan tangan kepadaku.
Aku berselisih dengan Dr. Hazreen di pertengahan jalan.
“U takde patient ke petang ni Isya?”
“Ada .”
“Habis? U nak ke mana ni?”
“Nak pi makan. Kenapa?”
“Sapa nak rawat pesakit nanti?”
“Dr. Haikal.” Balasku sambil tersenyum.
“Mana aci? Sepatutnya dia tolong aku. Kenapa dia tolong kau pula?”
“Sebab dia kesiankan aku. Patient aku ramai sungguh pagi ni. 69 orang Cik Hazreen oii. Kau bayangkan kalau aku doktor klinik swasta, berapa ribu aku dapat hari ni?”
“Mata duitan juga kau ni Isya, ye? Aku ingatkan kau ni lurus orangnya. Rupanya kau pun pandai berkira jugak?”
“Sekali-sekala je.” Balasku sambil berlalu ke kantin.
Hatiku sedikit lega. Sebenarnya aku terlalu penat hari ini. Bantuan yang dihulurkan oleh Dr. Haikal sedikit melegakan aku. Maklumlah aku dibayar gaji setiap bulan oleh kerajaan. Kalaulah aku buka klinik sendiri, rasanya semakin ramai pesakit, semakin lega hatiku. Manakan tidak, setiap pesakit paling kurang akan dikenakan bayaran paling minimum RM35.00. Kalau RM35.00 x 69 pesakit = RM2185.00. Ah, betullah kata Dr. Hazreen, aku terlalu berkira dengan pekerjaan aku.
Tepat jam 5 petang, aku sudah tercongok di depan hospital. Aku bercadang hendak ke Manjung. Aku hendak membeli beberapa barang keperluan bayi untuk adik iparku. Kandungannya sudah masuk tujuh bulan. Aku hairan dengan sikapku. Orang lain yang mengandung, aku pula sibuk-sibuk. Ah, walau apa pun bakal bayi yang hendak dilahirkan itu adalah anak buah aku juga.
Dari jauh aku nampak Dr. Haikal melambai ke arahku. Kenapa pula dengannya? Aku bergegas mendapatkan Dr. Haikal.
“Maafkan saya.” Katanya sebaik aku menghampirinya.
“Kenapa Doktor?”
“Kereta saya pancit. Boleh tumpang Dr. Isya balik?”
“Boleh tu boleh. Tapi saya ada hal sikit.” Aku cuba menolak permintaan Dr. Haikal sebaik mungkin.
“Kalau macam tu tak apalah. Saya naik teksi je.”
Sayu pula hatiku mendengar kata-kata Dr. Haikal. Mana mungkin Pengarah Hospital naik teksi. Sebagai jiran setaman, adalah tidak manis aku tidak menolong orang. Lagi pun Dr. Haikal adalah bos aku.
“Rasanya tak manis pula Dr. Haikal naik teksi. Biarlah saya tumpangkan Doktor.”
“Tapi kan Dr Isya ada hal? Tak ganggu ke?”
“Sebenarnya saya nak beli barang sikit kat Manjung. Tapi takpe esok pun saya boleh pergi.”
“Kalau macam tu, saya ikut awak ke Manjung. Saya pun nak beli barang sikit.” Kata-kata Dr. Haikal tidak mampu aku nak tolak.
Perjalanan ke Manjung memakan masa hampir satu jam. Maklumlah masa balik kerja pada waktu petang seperti ini banyak sangat lori-lori kontena yang menggunakan laluan ini untuk ke pelabuhan Lumut. Aku berasa tidak selesa memandu sedangkan Dr. Haikal berada di sebelahku.
Situasi yang sama pernah berlaku setahun dulu saat aku menumpangkan Danish. Danish tidak selesa dan akhirnya dia yang memandu keretaku. Katanya tidak selamat orang lain yang memandu. Danish masih terkenangkan saat kemalangan yang mengubah status dirinya.
Aku perlu akur. Orang yang berbeza sedang berada di sebelahku. Apabila aku mengerling, Dr. Haikal sudah pun terlena. Nampak sangat aku seperti juga pemandu-pemandu perempuan yang lain. Terlalu perlahan dan terlalu berhati-hati di atas jalan raya. Akhirnya aku sampai juga ke destinasi.
Aku menghentikan kereta betul-betul di hadapan butik pakaian bayi Anakku. Dr. Haikal terkejut yang amat sangat.
“Buat apa kita datang sini?”
“Nak beli pakaian bayi.”
“Bayi siapa?” Dr. Haikal nampak cemas.
“Bakal anak buah saya.”
“Oh..”
“Boleh saya tanya sesuatu?”
“Apa?”
“Bila Dr . Isya nak kahwin?”
“Saya tak akan kahwin.”
“Kenapa?”
“Tunang saya dah meninggal.”
“Maafkan saya.”
“Saya tak kisah. Saya takkan boleh menipu orang selamanya.”
“Dr Isya terlalu setia orangnya. Dan jujur pula.”
“Dia cinta pertama saya. Dia pergi dua hari sebelum kami bernikah.” Entah kenapa laju saja aku menceritakan kisah yang aku simpan selama setahun setengah ini.
Saat itu aku lihat Dr. Haikal termangu.
BAB SEMBILAN BELAS
Pagi-pagi lagi Dr. Hazreen marah-marah. Aku tidak tahu apa yang dimarahkannya. Mukanya masam mencuka. Sepatah aku tegur, sepatah dijawabnya. Aku tidak pasti apa yang telah berlaku terhadapnya. Biasanya tiada insan lain yang akan menyebabkannya berkeadaan demikan kecuali Dr. Tham.
Dalam perjalanan ke Wad Lelaki, aku bertembung dengan Dr. Tham. Muka Dr. Tham juga sama dengan Dr. Hazreen. Masam. Malas aku hendak menegurnya. Namun Dr. Tham seperti biasa akan menegur aku walaupun mukanya masam seperti limau kasturi.
“Assalamualaikum!”
Terkejut aku mendengar sapaan Dr. Tham. Biasanya dia selalu mengucapkan Hallo, atau Morning jika berselisih dengan aku. Tapi pagi ini dalam keadaan masam mencuka dia boleh mengucapkan salam kepadaku seperti orang Islam yang lain. Mahu tidak mahu aku terpaksa menjawab salamnya dengan penuh tanda tanya.
“Something wrong?” Sengaja aku mahu menduga permasalahan Dr. Tham. Maklumlah di hospital ini, pegawai perubatannya tak ramai. Hanya 6 orang saja. Balik-balik kami akan bertembung dengan orang yang sama.
“Takde apa-apa.” Selamba saja Dr. Tham menjawab persoalanku.
“I tengok U lain macam je. U gaduh dengan Hazreen ke?” Aku memang tidak pandai berkias dan beribarat. Aku jenis orang yang terus pada pokok persoalan. Kata orang straight to the point.
“Masih awal lagi. Jom ke kantin.” Tiba-tiba saja Dr. Tham mempelawa aku. Aku melirik jam di tangan. 8.20 pagi. Memang masih awal. Kami baru saja selesai melawat wad. Kebetulan pesakit tidak ramai. Jam 9 pagi baru kami akan ke klinik pesakit luar. Masih ada masa 40 minit lagi. Aku menerima pelawaan Dr. Tham.
Di kantin, tidak ramai pelanggan. Kantin Hospital ini kecil sahaja. Ia tidak seperti kafe di Hospital Selayang atau Hospital Ipoh. Aku memilih meja di tepi tingkap. Mataku mengadap padang yang luas bersebelahan kantin hospital.
“I nak minta pendapat U. ” Dr. Tham bersuara tiba-tiba.
“Pendapat?” Aku kehairanan.
“Hazreen!”
“Why?”
“Betulkah dia sukakan I?”
“Kenapa U tak tanya dia sendiri?”
“I dah tanya. Tapi dia membisu seribu bahasa.”
Pandai pula Dr. Tham menggunakan peribahasa. Tentu dia banyak belajar dengan rakan-rakannya yang berbangsa Melayu.
“Dr. Tham, U tahu tak?...” Mata sepet Dr. Tham memandang tepat ke anak mataku. Aku tahu Dr. Tham ternanti-nanti ayatku seterusnya.
“Orang Melayu kaya dengan budi bahasa. Kalau mereka diam tu tandanya mereka setuju. Takkanlah Hazreen nak cakap, memang saya cintakan awak. Itu bukan budaya orang Melayu.”
“Takkanlah?”
“Kenapa? U tak percaya?”
“Bukan tak percaya. Tapi kenapa dia membandingkan I dengan Dr. Haikal?”
“Apa katanya?” Aku pula yang ingin tahu butiran Hazreen seterusnya.
“Sekurang-kurangnya Dr. Haikal tu walaupun ayahnya Chinese tapi Muslim.”
“Kenapa? U belum peluk Islam ke?”
“I ni pior Chinese. Belum peluk Islam lagi.”
“Habis? Kenapa U bagi salam kat I macam Muslim yang lain?”
“I nak belajar dulu. Biar mahir. Lepas tu baru I peluk Islam.”
“Dr. Tham, I tahu kenapa Hazreen marah sangat dengan U. ”
“Kenapa?”
“Sebab U melamarnya.”
“Salahkah I melamarnya?”
“Tak. Yang salah ialah U belum convert tapi U melamar dia. Kalau I pun tak akan terima.”
“I tak faham.”
“Perempuan Islam tak boleh kahwin dengan lelaki bukan Islam.”
“Tapi I akan peluk Islam selepas I mendalami ajaran Islam. Sekarang pun I dah pandai tunaikan solat lima waktu. Dr. Haikal yang ajar I.”
Terkejut aku. Boleh pula Dr. Haikal mengajar Dr. Tham solat. Tapi aku memang selalu lihat sejak Dr. Haikal selalu bersama Dr. Tham. Aku tidak pernah ambil pusing hubungan mereka. Lagi pun mereka sering berkomunikasi dalam bahasa Mandarin. Manalah aku hendak faham buah butir perbualan mereka.
Aku mengagumi kesungguhan Dr. Tham. Dia sanggup mendalami ajaran Islam sebelum memeluk agama Islam. Dr. Tham telah membuktikan dia ingin memeluk Islam bukan kerana Hazreen tetapi kerana dia ingin mendalami ajaran Islam. Nampaknya aku dan Hazreen memang tersalah sangka.
“Dr. Tham, I akan jelaskan pada Hazreen. Sebagai seorang muslim, I mengalu-alukan niat murni U. ”
“Thanks. Macam mana pula U dengan Dr. Haikal?”
Aku terkasima. Kenapa dia membabitkan aku dan Dr. Haikal pula? Bagaimana Dr. Tham tiba-tiba mengaitkan aku dengan Dr. Haikal? Padahal aku baru beberapa bulan bekerja di bawahnya. Namun aku selalu merasakan sudah lama mengenalinya. Belum sempat menjawab soalan Dr. Tham, Dr. Haikal tiba-tiba muncul di dalam kantin. Aku berpandangan dengan Dr. Tham tanpa suara.
“Rupanya U kat sini. Kenapa tak jawab call I?” Soalan itu Dr. Haikal halakan kepadaku. Tegas dan tenang.
“Hand set I tertinggal dalam kereta.” Jawabku seperti orang bersalah.
“Panjang sungguh umur Dr. Haikal.” Dr. Tham tiba-tiba mencelah. Aku tahu Dr. Tham ingin menyelamatkan keadaan. Lagipun dia yang mengajak aku ke sini.
“Ni mesti mengumpat pasal saya?” Kali ini nada suara Dr. Haikal semakin lembut. Ada nada lucu di hujung suaranya. Suara Dr. Haikal tiba-tiba mengingatkan aku tentang Danish. Aku berasa lega. Nampaknya aku bukanlah melakukan kesalahan besar.
“Kami sedang puji doktor. Makan?” Pelawaku.
“Thanks. Saya cari awak, Dr. Isya, kerana ada hal.”
“Ada apa?”
“Ada patient baru admit tadi. Patah kaki dan tangan. Kena buat operation kat Hospital Ipoh. I nak U ikut I kerana I sendiri yang akan buat pembedahan kakinya.”
Perjalanan dari Changkat Melintang ke Hospital Ipoh akan memakan masa 30 minit sahaja. Kami menaiki ambulans bersama seorang Staf Nurse. Aku memerhatikan pesakit yang terlantar di atas katil di dalam ambulans. Pesakit itu adalah pelajar UITM Cawangan Seri Iskandar yang kemalangan dengan bas sekolah di simpang Bota, awal pagi tadi. Aku melihat tulang kakinya yang patah terkeluar dari kulitnya. Pesakit telah diberi ubat bius. Jadi dia tertidur dengan tenangnya.
Saat ini fikiran aku bercelaru. Kenapa pula Dr. Haikal yang perlu buat pembedahan terhadap pesakit itu di Hospital Ipoh? Setahu aku ramai doktor atau pakar perubatan di Hospital Ipoh . Aku tidak pernah tahu Dr. Haikal pakar perubatan apa. Yang aku tahu dia adalah Pengarah Hospital Daerah Changkat Melintang. Aku tidak pernah bertanya kerana ia tiada kaitan dengan aku.
Aku merenung Dr. Haikal di sebelahku. Sesekali matanya memandang ke luar ambulans. Rasa ingin tahu membuak-buak di dadaku. Akhirnya…
“Sebenarnya Dr. Haikal Pakar Perubatan apa?”
“Ortopodik. Kat Ipoh hari ni ada tiga pembedahan tulang. Jadi tiada doktor yang dapat kendalikan kes patient ni. Jadi I kena buat sendiri.”
Nah, terlerai semua persoalanku. Di Changkat Melintang tiada kemudahan untuk membuat major-operation. Jadi semua kes yang melibatkan pembedahan termasuk pesakit yang akan bersalin secara pembedahan akan dirujuk ke Hospital Ipoh.
Aku terpaksa pendamkan perasaan yang semakin membuak-buak di dadaku. Soalan itu akan aku kemukakan bila tiba masanya nanti.
BAB DUA PULUH
Hari Rabu adalah lawatan untuk ibu-ibu mengandung. Hari ini tidak ramai pesakit yang membuat temu janji. Hampir 10 orang pesakit mengandung peringkat tri-semester pertama. SN Camelia yang membantu aku mengambil tekanan darah dan menimbang badan ibu-ibu yang baru mengandung itu. Tugasku tidak banyak hari ini.
Aku meneliti borang MC (Medical Certificate) yang perlu aku tandatangan. Tiga sahaja. Tidak banyak. Ini bermakna hanya tiga daripada sepuluh ibu-ibu mengandung ini yang bekerja dengan kerajaan. Kalau tidak mereka tidak akan minta MC. Selepas selesai tugas di dalam bilik rawatan, aku bercadang hendak pergi bank di Batu Gajah.
Di depan kaunter pendaftaran, aku bertembung dengan Dr. Haikal. Dia mengajak aku menemaninya ke Ipoh . Aku menolaknya dengan lembut. Aku tidak mahu sesiapa pun menggantikan tempat Danish di hatiku. Agak lama juga aku tidak berbual dengan diriku tentang Danish. Akhir-akhir ini aku jarang melayan perasaan. Biasanya ketika sendirian di dalam kamar aku akan melayan perasaan bersama kenangan-kenangan yang Danish tinggalkan kepadaku.
“Dr. Isya, saya minta awak temankan saya hari ni saja. Tak kan tak boleh kot?”
“Maaflah Dr. Haikal. Saya nak pegi bank kat Batu Gajah.” Aku memang tidak pandai menipu.
“Ok. Kalau macam tu, saya hantar Dr. Isya ke Batu Gajah. Selepas tu, Dr. Isya temankan saya ke Ipoh .”
Aku terpaksa menerima permintaan Dr. Haikal. Aku tidak mahu menyangka yang bukan-bukan. Sebelum ini Dr. Haikal sering menyatakan wajah aku mirip seseorang yang pernah dikenalinya. Tapi dia tidak ingat siapa. Aku tidak mahu dianggap perasan pula. Jadi dalam keadaan terpaksa aku mengikut permintaan Dr. Haikal.
Dr. Haikal membawa aku ke Restoran Tasik Raban yang berhampiran Stadium Indera Mulia. Dia mengarahkan aku duduk di sebuah meja yang sudah ditempahnya. Aku hanya menuruti sahaja kehendaknya. Dengan tidak semena, mataku tertancap pada sepasang suami isteri yang sedang berjalan masuk ke dalam restoran!
“Kenalkan, ini Daddy dan Mummy I.” Kata-kata Dr. Haikal seterusnya bisa membuatkan aku berhenti bernafas. Aku tidak pernah menyangka Dr. Haikal akan membawa aku berkenalan dengan ibu bapanya.
Wanita itu menghulurkan tangannya dan aku menyambut tangannya dengan gementar. Tanganku sejuk tiba-tiba. Mata wanita itu bersinar memandangku. Aku hanya tersipu memandangnya.
“Saya ….” Aku tidak pasti perlukah aku mengenalkan diriku kepada mereka.
“Mummy, Daddy.. inilah Dr. Isya yang sering Haikal ceritakan tu.”
Aku hanya mampu tersenyum kelat. Aku tidak pasti apakah sandiwara yang sedang berlaku. Siapakah Dr. Haikal sebenarnya?
“Dr. Isya asal dari mana?” Pertanyaan Mummy Haikal membuat aku terpempan. Aku rasa sudah sampai masanya aku memberitahu siapa aku sebenarnya.
“Puan, saya dari Rawang.”
“Oh, jadi Isya orang KL juga?”
Aku hanya mampu mengangguk. Pada hal Rawang dengan KL jauh juga jaraknya.
“Seronok kerja kat sini?” Mummy Dr. Haikal semakin galak bertanya.
Aku mengangguk lagi.
“Cantik cincin Isya!” Kata-kata Mummy Dr. Haikal kali ini memaksa aku berterus terang. Lagi pun aku tidak mampu menipu diriku dan orang di sekelilingku.
“Ini cincin tunang saya.” Mata Mummy dan Daddy Haikal saling berbicara. Kali ini aku lihat wajah ibu dan bapa Dr. Haikal berubah. Dr. Haikal pula merah padam mukanya.
“Tunang saya meninggal setahun lalu.” Penjelasanku kali ini membuat Dr. Haikal menarik nafas lega. Begitu juga Mummy dan Daddy Dr. Haikal.
“Isya, memang Haikal bertuah. Dapat mengenali orang yang senasib dengannya.”
“Maksudnya?”
“Tunang Haikal meninggal dalam kemalangan dua tahun lalu.”
Penjelasan Mummy Dr. Haikal kali ini membuat aku kehilangan bicara. Patutlah Dr. Haikal seakan tidak mempedulikan hal yang berlaku di sekelilingnya kecuali tentang tugasnya sebagai Pengarah Hospital . Rupanya ada peristiwa pahit yang cuba dilupakannya. Patutlah Dr. Haikal menyatakan wajah aku mirip seseorang. Seseorang itu pula adalah tunangnya.
“Boleh temankan Auntie ke bilik air?” Tiba-tiba Mummy Dr. Haikal mengajak aku menemaninya ke bilik air. Tanpa sepatah suara, aku mengekorinya ke bilik air.
“Dr. Batrisya dah lama kenal Haikal?” Tanya Mummy Dr. Haikal sebaik kami hampir ke tandas.
Aku mengangguk lalu meminta diri. Puan Noriha segera menarik tanganku.
“Ia bukan seperti yang Dr. Batrisya fikirkan.”
“Maksudnya?”
“Batrisya, sebenarnya semasa kemalangan dengan tunangnya dulu, Haikal koma selama sebulan. Sebaik sedar dia hilang ingatan.”
“Jadi Dr. Haikal tidak ingat siapa dirinya ?”
“Ya, kami sepakat memberitahu tunangnya bahawa Haikal telah meninggal.”
“Maksudnya tunang Haikal belum meninggal?”
Mummy Dr. Haikal mengangguk. Aku tidak tahu apa sebenarnya yang telah berlaku dalam hidup Dr. Haikal namun perasaan ingin tahu terus menggelodak dalam dadaku.
“Kenapa? Apa salah tunangnya?”
“Kami tahu tunangnya mungkin tidak dapat menerima hakikat tentang keadaan Haikal. Kami faham tentang kesihatan mental Haikal waktu itu. Jadi kami rasa keadaan Haikal saat itu dapat melepaskan beban tunangnya.”
“Tidakkah Auntie terfikir mungkin tunangnya akan mencintai Dr. Haikal walau apa pun keadaannya?”
“Tidak mungkin keadaanku itu akan berlaku!”
“Tapi mungkin tunangnya betul-betul mencintainya daan sanggup menerima Dr. Haikal walau apa pun keadaannya?”
“Tak payah berteka-teki Dr. Isya. Tunang Dr. Haikal sudah pun berkahwin dengan orang lain sebaik mengetahui Haikal koma.”
Aku terpempam mendengar cerita tidak langsung dari Mummy Dr. Haikal. Bagaimana keadaan yang menyedihkan boleh berlaku terhadap Dr. Haikal? Rupanya bukan aku seorang yang kehilangan tunang.
“Maafkan Auntie, Isya. Kami semua memang sengsara melihat Haikal menderita selepas dia sedar dari koma. Tapi percayalah, semua yang berlaku di luar dugaan.”
Aku terpaksa akur dengan kata-kata Puan Noriha, Mummy Haikal. Kami kembali ke meja makan seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Dr. Haikal terlalu gembira melihat aku amat mesra dengan Mummynya. Aku tidak tahu bagaimana untuk menangani keadaan seperti ini. Mahu tidak mahu aku terpaksa berpura-pura. Puan Noriha meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadapku. Dia berharap aku dapat memulihkan ingatan anaknya!
Kenapa aku sahaja yang sering dijadikan bahan untuk memulihkan pesakit mental? Dua tahun lalu aku ditunangkan dengan Danish yang tidak sihat mentalnya. Setahun lalu pula aku diminta melupakan Danish yang dikatakan telah meninggal dunia. Hampir enam bulan aku melalui penderitaan untuk melupakan Danish hinggalah aku terlontar di Daerah Parit Tengah ini. Hari ini pula aku dibebankan dengan tugas memulihkan ingatan Dr. Haikal pula. Apakah aku dilahirkan hanya untuk menyelamatkan dan menyembuhkan penyakit pesakit mental?
Aku duduk semula. Dr. Haikal merenungku penuh tanda tanya. Begitu juga Dr. Idris, Daddy Dr. Haikal. Sejam makan bersama keluarga Dr. Haikal seolah sepuluh jam lamanya.
Pelbagai persoalan bermain dibenakku. Namun Dr. Haikal tampak bersahaja. Tanpa banyak rungutan, aku lihat dia makan dengan penuh berselera. Sedangkan aku, hendak habis sesuap nasi pun memakan masa lima minit. Begitu juga Puan Noriha. Aku nampak dia langsung tiada selera. Mungkin dia juga sepertiku.
BAB DUA PULUH SATU
Kenyataan amat memeritkan untuk ditelan. Dr. Haikal menaruh harapan yang terlalu tinggi terhadapku. Kenapalah aku tidak pernah tahu Dr. Haikal menyimpan perasaannya terhadapku? Ah, aku memang selurus bendul dan senaif budak kelas hujung. Aku tidak pernah mempertikaikan kenyataan atau laporan yang aku terima. Begitu juga apa saja yang disampaikan orang, aku akan mengiyakan tanpa banyak bicara.
Sikapku yang sedemikian telah menyebabkan aku sering menjadi mangsa keadaan. Setahun yang lalu aku bertunang dengan Danish yang aku tidak tahu mempunyai masalah dengan mentalnya. Menjelang hari perkahwinan kami pula, aku diberitahu Danish telah mati kerana terlibat dalam kemalangan di Indonesia. Kini aku terpaksa menerima hakikat Dr. Haikal hilang ingatan setelah terlibat dalam kemalangan dengan tunangnya. Dr. Haikal tidak mati tetapi dia koma selama sebulan selepas kemalangan. Selepas sedar dari koma Dr. Haikal hilang ingatan pula.
Aku rasa aku telah dipermainkan oleh takdir. Keluarga Dr. Haikal tidak tahu bahawa mereka telah membawa aku ke alam mega menderita. Mereka tidak tahu bahawa aku terlalu menderita selepas menerima takdir buatan mereka.
Aku telah membazirkan waktu dengan sia-sia. Aku telah berkenalan dengan Danny yang sebenarnya Danish. Aku tidak menyangka aku telah bertunang dengan bos aku yang sebenarnya adik Daniel. Aku telah menangisi pemergian Danish. Kini setelah Danish hampir aku lupakan, muncul pula Dr. Haikal dengan kes yang hampir sama.
Dalam tempoh dua tahun ini aku telah melukakan diriku sendiri. Usiaku mencecah 30 tahun tanpa aku sedari. Setelah menyedarinya aku tidak dapat menolaknya ke belakang smula. Takdir apakah yang telah mempermainkan aku sebegini rupa?
“Hai, jauhnya lamunan?” Suara Dr. Hazreen mematikan lamunanku.
“Takdelah. Kau dari mana?”
“Dari bilik rawatan. Ada mesej untuk kau.”
Baru aku teringat. Aku tertinggal beg tangan di dalam bilik rawatan sebelum aku melawat Wad 3 tadi.
“Apa mesejnya?”
“Adik kau suruh kau pergi UTP sekarang jugak. Dia suruh kau bawa adik ipar kau balik.”
“Kenapa?”
“Adik kau ada kat Penang sekarang ni.”
Ya, Allah! Baru aku teringat. Adik ku Aizat memang telah berpesan kepadaku malam tadi agar aku dapat mengambil adik iparku di tempat kerjanya kerana dia ada meeting di Penang. Aku melirik jam di tangan. Pukul 4.00 petang. Nasib baik belum terlewat. Adik iparku habis kerja jam 5.00 petang.
“Thanks Hazreen. Kau beritahu bos aku balik awal.”
“Kau beritahulah sendiri. Dia ada kat bilik rawatan.”
“Ha, biar betul?”
“Betul tak betul pun, dia yang suruh aku datang maklumkan kau.”
“Apa?”
“Dia yang jawab panggilan untuk kau tadi.”
Ya, Allah! Malunya aku. Ini kali kedua aku cuai. Tinggalkan beg tangan merata tempat. Kalau aku seorang guru, nescaya sudah lama beg tangan aku dikebas orang. Maklumlah pelajar zaman sekarang sanggup lakukan apa saja untuk membeli apa yang mereka ingini. Kes minggu lepas sudah membuktikannya. Ada jururawat hospital ini yang kehilangan beg duit semasa menjalankan rawatan pergigian di salah sebuah sekolah daerah ini.
Aku bergegas ke bilik rawatan. Cadangku untuk mengambil beg tangan aku yang tertinggal tengahari tadi. Di dalam bilik rawatan Dr. Haikal sedang melayan pesakit. Aku mula berasa serba salah.
“Kenapa dengan patient ni?” Aku cuba berbahasa dengan Dr. Haikal.
“Poisoning!”
“Keracunan makanan kat mana?”
“Sekolah.” Jawab Dr. Haikal sepatah.
Aku rasa ini bukanlah masa yang sesuai untuk aku keluar dari kawasan hospital. Serta merta aku mengambil alih tugas Dr. Haikal. Pelajar lelaki itu aku suruh baring di atas katil rawatan. Aku mengambil tekanan darahnya dan denyutan jantungnya. Aku membuka baju pelajar lelaki itu lalu menekan bahagian perut dan bawah abdomennya. Nyatalah pelajar itu telah keracunan makanan.
“Pagi tadi adik makan apa?”
“Nasi lemak dan teh ais.”
“Tengahari tadi?”
“Nasi putih dan kari ayam.”
“Bila adik mula sakit perut dan muntah-muntah?”
“Jam 2.30 petang tadi.”
“Okey, adik kena admit kat hospital. Siapa bawa adik ke sini?”
“Cikgu.”
“Okey. SN Camelia, tolong uruskan prosedur kemasukan ke wad untuk patient ni.” Aku mengarahkan SN Camelia menguruskan prosedur kemasukan wad untuk pesakit yang keracunan makan itu. Tanpa sedar, Dr. Haikal sedang memerhatikan aku menjalankan tugasku.
“Patient dah habis, boleh U temankan I makan?”
“Maaflah Dr. Haikal. Kan I kena jemput adik ipar I.” Aku menolak lembut permintaan Dr. Haikal.
“Oh, I lupa pulak. I ikut U. Boleh kita makan kat sana . Dengar kata makanan kat kafe UTP tu sedap. Ada Western food dan Chinese food.”
Apa lagi yang boleh aku katakan. Setiap saat dan setiap detik, Dr. Haikal akan mencuri semua peluang yang terbentang di depan mata.
Aku membawa keretaku dan Dr. Haikal membawa keretanya. Dia mengekori aku dari belakang. Selepas melimpasi Bandar Universiti, aku membelok ke kiri. Deretan pepohon yang menghijau dan keindahan tasik bekas lombong di dalam kawasan UTP sedikit melekakan penglihatanku. Satu-satunya Universiti Swasta milik Petronas yang terdapat di Perak ini menawarkan pelbagai Kursus Kejuruteraan. Adik iparku adalah salah seorang pensyarah Kejuruteraan Komputer di UTP ini.
Aku memberhentikan kereta di hadapan bangunan Kejuruteraan Komputer. Kelihatan kelibat adik iparku yang sarat mengandung sedang berjalan ke tempat parking kereta. Aku melambai ke arahnya. Afifah Hanim lantas menuju ke arah keretaku. Saat itu kereta Dr. Haikal sudah pun berhenti di sebelah keretaku.
Dr. Haikal keluar dari keretanya dengan penuh bergaya. Pantas aku teringatkan Danish dan saat kami mula berkenalan. Sayangnya rambut Danish panjang melimpasi dahinya dan bahagian belakang pula, rambutnya melimpasi kolar baju. Tapi kini Dr. Haikal di hadapanku dan bukannya Danish. Gaya Dr. Haikal pula seperti seorang model yang menggayakan rambut ala tentera.
“Fifah, kenalkan Dr. Haikal. Bos Kak Long kat Hospital tu.”
“Saya Afifah. Adik ipar Dr. Qistina.”
“Siapa Qistina?”
“Saya.” Jawabku sepatah.
“Bukankah U Dr. Isya. I mean Dr. Batrisya?”
“Nama penuh saya Qistina Batrisya.”
“Saya rasa macam pernah berkenalan dengan seseorang yang bernama Qistina.”
“Dr. Haikal, kat Malaysia ni ramai orang yang namanya Qistina. Tak percaya Dr. Haikal boleh semak dalam buku panduan telefon!”
Namun jawapanku membuatkan Dr. Haikal kehairanan. Dia merenung ke dalam anak mataku. Aku tidak tahu apa yang sedang berada dalam fikiran orang yang hilang ingatan. Puan Noriha pernah memberitahuku, sebaik sedar Dr. Haikal langsung tidak mengenali mereka sekeluarga. Sejak beberapa bulan ini saja Dr. Haikal belajar menerima hakikat mereka adalah ibu dan bapanya.
“Ha, kenapa pula Dr. Haikal datang sampai kat UTP ni?” Suara Afifah yang tiba-tiba itu dapat menyelamatkan keadaanku.
“Dia nak makan Chinese food kat kafe UTP ni.” Balasku.
“Ha, jomlah. Kaki Fifah ni dah lenguhlah berdiri, Kak Long.”
Kasihan pula aku dengan keadaan adik iparku. Kami segera ke kafe. Dr. Haikal memesan makanan kegemarannya. Aku pula sekadar memesan Me Hainan sementara Afifah sekadar memesan segelas jus oren. Aku lihat Dr. Haikal seakan memikirkan sesuatu.
Aku terus pulang bersama adik iparku sebaik habis makan. Dr. Haikal tidak pulang bersama kami. Katanya dia hendak tunaikan solat maghrib di kampus UTP yang baru dirasmikan oleh DYMM Sultan Azlan Shah.
Aku berkurung di dalam kamar. Biasanya pada waktu prima aku akan menonton berita Buletin Utama. Namun pada malam ini aku tiada langsung keinginan untuk buat benda-benda yang aku suka.
Potret di atas almari solek aku tatap. Agak lama aku menatap potret Danish. Memang berbeza dengan Dr. Haikal. Aku cuba mencari titik persamaan antara mereka. Hanya mata mereka yang sedikit sepet dan bibir mereka yang tiada berkumis. Benarlah kata orang, rambut dapat mengubah wajah dan penampilan seseorang.
Aku pernah melihat M. Nasir dengan rambut afro. Begitu juga Mawi. Aku pernah lihat Mawi memakai rambut palsu. Begitu berbeza wajah mereka dengan wajah asal. Mungkinkah Dr. Haikal akan menjadi Danish jika dia membiarkan rambutnya panjang melimpasi dahi dan kolar baju? Saat ini aku benar-benar berharap Dr. Haikal dan Danish adalah orang yang sama. Semakin aku cuba melupakan Danish semakin sukar pula aku menghapuskan kenangan bersamanya.
Perlahan aku meletakkan potret Danish di atas almari solek. Aku perlu mencari kebenaran tentang Dr. Haikal. Aku tidak mahu terluka lagi.
Aku segera mengambil telefon bimbit. Pantas aku mencari nombor Dr. Haikal. Akhirnya aku dapat juga nombor telefon rumah Dr. Haikal. Dr. Haikal tidak pernah memberitahu sesiapa nombor telefon bimbitnya kecuali staf di bahagian kecemasan saja. Aku mendail nombor telefon Dr. Haikal.
“Assalamualaikum!”
“Waalaikumsalam. Mau ngomong sama siapa?” Suara wanita dalam pelat Indonesia mengejutkan aku.
“Saya nak cakap dengan Dr. Haikal.”
“Sebentar ya, Bu.”
Agak lama juga aku menunggu barulah kedengaran gagang diangkat.
“Assalamualaikum!” Satu suara garau bergema di hujung talian.
“Dr. Haikal?”
“Ya, saya. Siapa yang cakap?”
“Dr. Isya. Saya nak jumpa Dr. Haikal sekarang jugak.”
“Apa hal? Saya tak dapat keluar sekarang.”
“Saya nak jumpa Doktor sekarang jugak.”
“Saya betul-betul tak boleh.”
“Oh, kalau Doktor mahu saya temankan Doktor, saya kena temankan. Tapi kalau saya mahu Doktor temankan saya, Doktor tak boleh. Kenapa sejak dulu sampai sekarang saya mesti ikut telunjuk Doktor?” Aku tidak tahu kenapa aku boleh menjadi pemarah seperti ini.
“Dr. Isya, tolonglah. Jangan cakap yang bukan-bukan. Esok saya akan datang rumah awak. Bukan saya seorang tapi keluarga saya juga.”
Aku terus menghempas gagang telefon. Buat pertama kali aku hilang sabar. Semuanya kerana Dr. Haikal.
BAB DUA PULUH DUA
Tarikh 18 Mei tidak akan aku lupakan. Sekali lagi aku bertunang. Dulu aku bertunang dengan Danish. Pilihan keluarga. Juga seorang doktor. Aku tidak pernah tahu pun tentang tunang aku. Apabila aku tahu hal yang sebenarnya, situasinya semakin kompleks pula. Tunang aku adalah adalah kembar bos aku. Itupun pada mulanya aku ingatkan tunang aku adalah bos aku. Bodohnya aku.
Hari ini aku bertunang dengan bos aku juga. Dr. Haikal. Orangnya penuh misteri. Pada mulanya aku perasankan dia menyukaiku. Memang dia amat menyukaiku. Namun apa yang berlaku selepas aku menyukainya adalah di luar kemampuan fikiranku. Dr. Haikal hilang ingatan. Tunangku dulu juga mempunyai masalah mental selepas terlibat dengan kemalangan. Tunangku hari ini juga mempunyai masalah mental yang paling kronik. Hilang ingatan! Pun masalah hilang ingatannya berpunca dengan kemalangan juga. Kali ini aku dibebankan dengan tugasan yang tak mampu aku lakukan. Aku ditugaskan untuk memulihkan ingatan Dr. Haikal oleh ibu bapanya.
Hatiku masih lagi membengkak. Malam tadi hatiku sakit kerana sikap Dr. Haikal yang tidak mahu bertemu denganku. Rupanya Dr . Idris dan keluarganya ada di sana . Mereka merancang untuk datang meminang aku di rumah adikku pada hari ini. Tepat jam 11 malam, Mama dan Papa pula sampai ke rumah adikku, Aizat.
Semuanya yang berlaku dalam hidupku adalah rancangan Mama dan Papa. Kekecewaanku dan juga penderitaanku adalah hadiah daripada Mama dan Papa. Aku rasa tiada orang yang akan mengorbankan anak-anak mereka kecuali ibu dan bapaku.
“Mama, kenapa tak tanya Qis dulu sebelum merancang semua ni?”
“Kan Qis terlalu menderita selama ini kerana kehilangan Danish?”
“Tapi itu bukan bermakna Qis boleh terima orang lain.”
“Qis, Dr. Haikal dan Danish bukanlah orang yang sama, Honey.”
“Qis, Dr. Haikal dan Danish bukanlah orang yang sama, Honey.”
“Ma, Danish cuma tak berapa sihat mentalnya tapi Haikal pula hilang ingatan. Jadi mereka bukanlah orang yang normal.”
“Honey, Mama lebih suka orang yang hilang ingatan daripada orang yang sakit jiwanya.” Akhirnya Mama mengaku juga. Patutlah dulu Mama begitu tega memberitahuku bahawa Danish telah meninggal dalam kemalangan di Indonesia. Rupanya Mama memang mengharapkan aku berpisah dengan Danish.
“Ma, suka hati Mamalah. Qis ikut saja.” Akhirnya aku mengalah. Biarlah Mama bahagia. Aku tidak kisah sangat.
Seminggu selepas pertunangan kami, Dr. Haikal mencadangkan kami bernikah hujung bulan nanti. Aku terkejut yang amat sangat. Aku sebenarnya belum mengenali hati budinya walaupun dia bekerja sebumbung denganku.
Setiap saat fikiranku asyik memikirkan helah untuk mengelak berkahwin dengan Dr. Haikal. Sebenarnya aku perlukan masa. Aku belum dapat melupakan Danish sepenuhnya. Setiap hari hanya wajah itu yang menemaniku. Aku tidak pernah memikirkan orang lain.
Namun hari ini, sesuatu yang mengejutkan menanti sebaik pintu bilik rawatan aku buka. Di atas meja sejambak bunga ros putih, sekeping kad bersama gubahan sebuah puisi dan sekotak coklat menarik perhatianku. Lantas aku mencapai kad bersama gubahan puisi yang amat menarik minatku. Istimewa buat Qistina Batrisya.
Hah, semua hadiah ini untukku? Aku terkejut bukan kepalang. Mataku meneliti bait-bait puisi yang tertera di atas sekeping kad. Terlalu panjang dan penuh maksud yang tersurat dan tersirat.
ABJAD KEHIDUPAN
Aku berdiri di sini
Bukan semata menagih kasih
Cuma mengharap secebis harapan
Dunia bukan semata milik insan bercinta
Esok kita belum ketentuan
Fana mungkin datang menimpa
Gulana mungkin datang melanda
Hancur semuanya
Itulah takdir yang menetukan
Jangan ditaburi bumi ini dengan air mata andai
Kasih kita berakhir
Lantaran debu-debu yang
Mencari tempat persinggahan untuk dikotori
Namun hatiku tetap cekal
Onak dan duri akan ku rempuh
Pulau bahagia akan aku teroka
Quo-vadis bukanlah dasar hidup kita
Restu ibunda sudah kau warisi
Sayang hatimu bukan milikku
Tuhan merestui cinta murnimu
Usahalah kau hapuskan kedengkian dunia kerna
Visa telah kau punya
Walaupun kau bukan pengembara
Xenophobia bukanlah dasar hidup kita
Yakinlah pada diri sendiri
Zaman remaja penuh pancaroba
AKU PENCINTAMU
DR. FADZREEN IRSYADUDDIN
Dr. Fadzreen!
Kenapa tiba-tiba Dr. Fadzreen menghubungiku dengan cara yang penuh romantik? Terujanya aku mendapat hadiah sejambak bunga ros putih dan puisinya yang begitu menyentuh perasaan. Tidak pula aku tahu Dr. Fadzreen pandai menggubah puisi nan syahdu seperti ini.
Pantas aku mencapai telefon bimbit. Segera aku menghubungi nombor telefon Dr. Fadzreen. Malangnya nombor yang aku dail tiada dalam perkhidmatan. Aku mula menghitung hari. Sebenarnya hampir setahun aku tidak pernah menghiraukan Dr. Fadzreen. Selepas kematian Danish selalu juga Dr. Fadzreen mengambil berat tentang diriku. Namun selepas kedatanganku ke sini, aku langsung tidak menghiraukan setiap mesej yang dikirimkan Dr. Fadzreen. Cuma sesekali dia menelefon, barulah aku menjawab panggilannya. Kenapa di saat diriku dimiliki Dr. Fadzreen muncul semula dalam hidupku?
Aku tertanya-tanya sendiri. Siapakah yang menghantar semua ini di dalam bilik rawatan tempat aku bertugas? Sedang aku melayani soalan tanpa jawapan, pintu bilik diketuk. Aku menyuruh saja tetamu itu masuk.
“Assalamualaikum!” Satu suara lembut hinggap di cuping telingaku. Aku mengangkat muka. Terkasima aku.
“Dr. Fadzreen!”
“Suka?” Soalnya sepatah sambil matanya melirik jambangan bunga di atas mejaku.
“Sangat suka. Tapi apa maksud semua ni?”
“Dulu I lakukan kesilapan. Kini I tak nak perkara sama berulang lagi.”
“Maksud Doktor?”
“I nak melamar U!”
“Melamar saya?”
“Ya!”
Aku sangat terkejut mendengar kata-kata Dr. Fadzreen. Kenapa baru kini dia meluahkan segalanya kepadaku? Aku tidak dapat berkata apa-apa. Dr. Fadzreen datang pagi-pagi ke hospital ini untuk meluahkan perasaannya kepadaku? Apa jawapan yang paling sopan akan aku berikan kepadanya? Aku mengeluh perlahan.
Tidak semena-mena, pintu bilik diketuk dari luar.
“Masuk!” Arahku.
Aku hampir tumbang melihat Dr. Haikal di muka pintu.
“Dr. Fadzreen, kenalkan tunang saya. Dr. Haikal.”
“Tunang?” Air muka Dr. Fadzreen berubah tiba-tiba. Namun dia bersikap profesional. Dr. Fadzreen memang lelaki budiman. Dia menghulurkan tangannya dan bersalam dengan Dr. Haikal.
“Isya, saya kenal dia sebelum ni ke?” Dr. Haikal meminta kepastian daripadaku.
“Tak. Dr. Fadzreen ni kenalan Isya kat hospital Selayang dulu.” Jelasku separuh gugup.
“Ada hal Dr. Fadzreen datang ke sini?” Kini Dr. Haikal memfokus soalannya kepada Dr. Fadzreen pula. Aku pun sebenarnya ingin mengajukan soalan yang serupa. Namun Dr. Haikal telah memudahkan tugasku.
“I ada lawatan Doktor Pakar Sakit Puan hari ni kat sini.”
Ya, Allah! Baru aku teringat. Hari ini ibu-ibu yang mempunyai masalah kehamilan ada temu janji dengan Doktor Pakar dari Ipoh . Tidak pula aku melihat nama doktor pakar sakit puan yang akan buat lawatan ke sini. Betapa tidak prihatinnya aku. Tapi Dr. Fadzreen masih bersikap selamba walaupun aku tahu hatinya amat kecewa.
“Oh, ya, Isya… I nak U temankan I ambil baju pengantin jam 9.00 pagi nanti. Jangan lupa pulak.”
Aku hanya mengangguk. Selepas meminta diri, Dr. Haikal meninggalkan aku bersama Dr. Fadzreen.
“Pantasnya masa merampas apa yang ingin I miliki.” Dr. Fadzreen berbicara sendiri. Aku membiarkan Dr. Fadzreen melayan perasaan. Akhirnya Dr. Fadzreen mengajukan soalan cepumas kepada aku.
“Qis cintakan Dr. Haikal?” Mata Dr. Haikal memandang tepat ke arahku. Aku memang tidak pandai menipu. Aku hanya mampu menggeleng.
“Habis kenapa Qis bertunang dengan dia?”
“Dr. Haikal hilang ingatan. Ibu bapanya minta tolong Qis pulihkan ingatan anaknya!”
Aku hampir menangis saat meluahkan isi hatiku kepada Dr. Fadzreen.
“Qis belum berubah!”
“Maksud U?”
“Qis menerima seseorang dalam hidup Qis kerana simpati. Dulu Danish sekarang Haikal pula. Bukankah itu bermakna Qis melukakan diri sendiri?”
“Memang Qis melukakan diri sendiri. Tapi Qis bahagia andainya Papa dan Mama gembira.”
“Qis memang anak yang mendengar kata.”
“Dr. Fadzreen nak tahu sesuatu?” Aku cuba menduga lelaki sebijak Dr. Fadzreen.
“Apa?”
“Andainya usia Qis masih belasan tahun atau awal dua puluhan, mungkin ibu bapa Qis tak akan memaksa Qis berkahwin dengan pilihan mereka.”
“Takkan sebelum ni Qis tak pernah suka kat orang?”
“Qis pernah suka kat somebody tapi dia buat tak tahu je. Jadi I rasa I buang masa je.”
“Siapa?”
“Dr. Fadzreen Irsyaduddin!”
Nah terluah jua segala yang terpendam jauh di dasar hatiku selama ini. Muka Dr. Fadzreen berubah. Aku tahu dia tidak pernah menyangka bahawa sebelum aku menjadi doktor lagi aku mula sukakannya. Namun dia tidak pernah perasankan kewujudanku di muka bumi ini.
“Maafkan I, Qis. Memang I selalu terlewat.”
“Ya! U selalu terlewat. Dan I selalu tercepat selangkah di depan.”
Saat itu aku mahu menangis. Namun air mataku telah kering. Danish telah membawa bersama semua kegembiraanku. Haikal pula menghadiahi bunga-bunga penderitaan buatku. Kini Dr. Fadzreen pula membuat aku dalam dilema. Aku betul-betul berada di persimpangan kini.
BAB DUA PULUH TIGA
Aku membelek kad ucapan dan gubahan puisi daripada Dr. Fadzreen. Suatu masa dulu aku begitu mendambakan cinta dan kasih sayangnya. Namun aku tersilap menilai persahabatan yang dijalinkan denganku. Akhirnya aku tidak nampak cinta yang cuba dihulurkan kepadaku. Apa yang aku nampak hanyalah kasih sayang Danish yang tidak berbelah bagi buatku.
Setelah dua tahun berlalu, mengapa baru kini Dr. Fadzreen membuka hijab perasaannya terhadapku? Adakah kerana kekasihnya dulu telah melarikan diri atau meninggalkannya? Atau Dr. Fadzreen memang sukakan aku sejak dulu? Aku rasa tidak. Yang aku pasti Dr. Fadzreen komited dengan kerjanya seperti Danish. Kalau tidak masakan sekarang dia sudah menjadi Ketua Pakar Sakit Puan di Hospital Ipoh . Ah, sukarnya aku merungkai persoalan yang menjengah kotak fikiranku.
Aku membelek gambar Danish yang berada di bucu katil. Wajahnya yang tersenyum manis di dalam bingkai melekakan aku. Kenangan demi kenangan mula menjengah ingatan. Aku rindukan Danish saat ini. Aku mahu menghapuskan wajah Dr. Fadzreen daripada muncul di ruang mataku.
“Awak, kita dah tukar nombor telefon tau. Nanti kontekslah nombor baru kita.”
“Apa nombornya, awak? Suruh kita call dia tapi tak kasi nombor baru dia.”
“0174070598!”
Itulah saat manis yang masih segar sebelum Danish berangkat ke Indonesia . Selepas itu hanya dua kali aku sempat menghubungi nombor itu sebelum Danish kemalangan. Entah siapalah yang menggunakan nombor itu sekarang? Rasa ingin tahu tiba-tiba menjelma di kotak fikiranku.
Pantas tanganku mendail 0 1 7 4 0 7 0 5 9 8. Aku mendengar nada deringnya dengan jelas. Lagu popular CINTA dendangan Amy Mastura mula berkumandang. Lagu itu adalah nada dering tuan punya nombor tersebut.
Kalau benar cinta itu buta
Siapa pula jadi mangsanya
Kalau benar cinta itu setia
Menangis ketawa sama ha ha ha
Kalau benar cinta itu setia
Berapa pula harganya
Hatiku berdebar-debar. Apakah yang akan aku cakapkan apabila tuan punya nombor itu menjawab panggilanku? Aku ketepikan perasaan itu seketika. Aku ingin bercakap juga dengan sesiapa pun yang menjawab panggilanku. Biarlah aku andaikan orang itu ialah Danish. Aku betul-betul tidak bisa melupakan Danish dan kenangan yang telah ditinggalkannya.
“Assalamualaikum!” Satu suara bergema di hujung talian.
“Waalaikumsalam!” Gugup aku menjawab salam lelaki yang suaranya seperti pernah aku dengar.
“Who’s in the line?”
“Siapa yang cakap?”
“Saya Danish. Dr. Danish dari HAS.”
“Dr. Danish? U mean Dr. Danish Ong?”
“Ya. U siapa?
“Maaf, saya silap nombor!”
Aku terus mematikan talian. Aku pasti suara yang sedang berkomunikasi dengan aku sebentar tadi adalah Danish. Mengapa berlaku hal yang tidak pernah aku fikirkan? Apakah muslihat di sebalik semua ini? Pening aku memikirkan. Aku cuba melelapkan mata. Namun usahaku gagal. Aku ke bilik air lalu berwuduk. Belum sempat aku mengenakan telekung, telefon bimbitku berbunyi. Pantas aku mencapai telefon bimbitku. Aku melihat nombor yang tertera di skrin. Nombor yang baru aku dail sebentar tadi. Aku berkira-kira sama ada mahu menjawab atau tidak. Akhirnya aku membiarkan saja telefon terus berdering. Biarlah aku pentingkan tanggungjawab sebagai hamba Allah daripada menjawab panggilan yang akan mengharu-birukan perasaanku.
Rupanya Danish masih hidup. Kenapa Mama dan Papa memberitahuku Danish telah meninggal? Kalau Danish masih hidup, takkanlah Dr. Fadzreen tidak tahu? Pening aku memikirkan masalah yang tiba-tiba muncul dalam hidupku.
Aku perlukan jawapan kepada semua persoalan. Aku akan pulang ke Rawang. Aku perlu pergi ke rumah Dr. Daud Ong. Aku juga akan pergi ke Hospital Selayang dan HKL. Aku perlukan penjelasan daripada Mama dan Papa. Namun kata-kata Danish yang dia berada di HAS mematikan hasratku. Aku perlu mencari alasan untuk ke HAS.
Nampaknya Allah mengabulkan niatku. Sebaik sampai di perkarangan hospital, Dr. Haikal menggamit aku. Aku mengekorinya dari belakang. Sampai di dalam pejabat, Dr. Haikal mengunjukkan sekeping surat . Surat arahan Seminar Pakar Perubatan selama lima hari di HAS. Aku hampir melompat kegembiraan. Namun mengenangkan Dr. Haikal di hadapanku, hasrat itu aku pendamkan.
BAB DUA PULUH EMPAT
Panorama pagi sungguh indah. Sebaik memasuki negeri Jelapang Padi perasaanku terasa sungguh damai. Mataku tidak lepas memandang kehijauan sawah padi yang luasnya saujana mata memandang. Sekali-sekala mataku memandang ke hadapan. Maklumlah takut terbabas pula.
Aku keluar dari Plaza Tol Alor Setar Utara menuju ke Hospital Sultanah Bahiyah. Selepas meletakkan kereta di tempat parking, aku terus melapor diri. Kemudian aku ke klinik pesakit luar. Aku memerhatikan carta organisasi. Tidak terlihat kelibat Danish. Aku ke Wad Sakit Puan dan Wad Bersalin. Juga tiada kelibat Danish. Akhirnya aku mengambil keputusan ke cafe yang terletak di luar bangunan hospital.
Ketika melalui kawasan parking kereta, aku melihat seorang doktor lelaki sedang membelek keretaku. Lantas aku menuju ke tempat parking.
“Kenapa Doktor?” Sapaku sebaik menghampiri lelaki itu. Aku tahu lelaki itu seorang doktor kerana Kementerian telah mengarahkan semua doktor yang keluar dari kawasan hospital perlu memakai baju doktor.
Doktor lelaki itu sedikit terkejut. Lantas dia memusingkan mukanya mengadapku. Ya, Allah! Danish! Aku hampir tumbang. Memang lelaki di hadapanku Dr. Danish. Raut wajahnya dan senyumannya tidak berubah. Rambut depannya terjuntai di atas dahi dan rambut belakangnya melimpasi kolar kemeja hijau pucuk pisang yang dipakainya. Dia menghadiahkan senyuman paling manis kepadaku. Dadaku berdebar kencang. Benarlah Danish yang berada di hadapanku. Mustahil Danish telah meninggal dunia. Jejaka di hadapanku kini saling tak tumpah dengan Danish. Bukan lagi seiras tapi memang jejaka itu Danish. Itu aku cukup pasti.
“Saya terlanggar bumper depan kereta Nissan Sentra ni. Tak taulah sapa punya kereta ni.” Jejaka itu menerangkan tujuannya membelek keretaku. Mataku tidak lekang dari menatap wajah Danish. Suara Danish masih seperti dulu. Ada nada bersalah dalam getar suaranya. Namun wajahnya tampak sedikit terkejut. Terkejut berjumpa aku atau terkejut ada orang melihat perbuatannya. Aku tidak pasti.
“Doktor, sebenarnya kereta ni saya punya.”
“Ye, ke? Maaflah saya terlanggar masa reverse tadi. Tapi saya betul-betul tak sengaja. Maafkan saya.” Berulangkali jejaka itu memohon maaf daripadaku.
“Takpelah Doktor. Hal kecik je.”
“Beginilah Cik. Saya hantar kereta Cik kat bengkel dulu. Lepas tu saya tanggung kosnya. Boleh?”
“Mana-manalah, Dr. Danish..” Jawabku cuba mencari peluang mengenali jejaka itu dengan lebih dekat lagi.
“Excuse me? Mana awak tahu nama saya Dr. Danish?” Matanya yang sepet hampir terjojol keluar mendengar aku memanggil namanya Dr. Danish.
“Hello Doktor. Kat baju awak tu ada name tage. Atau saya salah sebut nama Doktor?” Balasku selamba. Namun naluri aku kuat menyatakan doktor kacak itu ialah Danish, tunangku yang dikatakan telah meninggal setahun lalu.
Wajah doktor itu bertukar kemerahan. Aku tidak mahu terus menduganya kerana taklimat seminar akan berlangsung pada jam 2.30 petang. Aku pun menyerahkan kunci kereta kepada Dr. Danish . Selepas itu aku berlalu menuju ke dewan seminar.
Semasa taklimat diadakan aku tidak dapat fokus. Fikiranku bercelaru. Kalau doktor tadi Dr. Danish tunangku dulu, mengapa dia tak mengenali diriku. Pada hal dulu dia mencintaiku separuh mati. Atau Mama dan Papa bersubahat mengatakan Danish meninggal kerana tidak mahu bermenantukan lelaki yang tidak sihat mentalnya. Ah, segalanya berkemungkinan. Lagipun orang yang tak sihat mentalnya boleh lupa perkara paling penting dalam hidup mereka. Dr. Haikal adalah bukti yang cukup nyata. Tanpa sedar taklimat seminar untuk petang itu berakhir.
Tepat jam 5.00 petang taklimat seminar berakhir. Aku menuju ke tempat parking kereta. Keretaku berkunci. Aku mencari kunci kereta di dalam beg tangan. Tiada. Di mana aku menyimpannya? Ya, Allah, rupanya aku menyerahkan kunci kereta kepada Dr. Danish tengahari tadi untuk di bawa ke bengkel. Kenapa aku boleh lupa pula? Bagaimana aku hendak dapatkan kunci keretaku? Tiada pilihan lain selain menghubungi nombor telefonnya. Belum sempat aku mengeluarkan telefon bimbit, satu suara menegur dari belakangku.
“Asssalamualaikum!”
Aku menoleh. Dr. Danish! Terperanjat aku.
“Kunci kereta U,” katanya sambil menghulurkan kunci kereta kepadaku.
“Thanks!” Jawabku sepatah.
“It’s okey. I pergi dulu.” Katanya sambil tersenyum. Barisan gigi dan senyumannya mengingatkan aku pada pertemuan pertama kami dulu. Tapi mengapa kini Danish tidak mengenaliku lagi. Tidak mungkin pelanduk dua serupa. Aku semakin yakin Dr. Danish tidak mati dan lelaki di hadapanku kini ialah Dr. Danish.
“Wait….waitt.. aaa.. tunggu sekejap. I nak tanya sesuatu.” Aku tidak boleh membiarkan Dr. Danish pergi begitu sahaja tanpa menjawab persoalan yamg semakin bermaharajalela di benakku.
“Ha, kenapa? I dah buat salah ke?”
“No..no.. tak.. U tak buat salah. I cuma nak tanya berapa kos U baiki kereta I tadi?”
“Kenapa?” Lembutnya suara Dr. Danish sama seperti dulu.
“I nak bayar.” Aku tidak tahu kenapa lain aku nak tanya lain pula soalan yang terpacul dari bibirku.
“Eh, kan I yang langgar bumper depan kereta U. Kenapa U nak bayar pulak?” Sangkal Dr. Danish.
“Ye, ke. I ingat I yang langgar kereta U. Tapi I betul-betul pernah langgar kereta U. ” Balasku.
“Bila tu? Dalam mimpi kut?” Pun bibir Dr. Danish masih tersenyum. Aku memang terpesona dengan senyumanya yang menawan sejak dulu lagi. Namun aku perlu fokus pada pokok persoalan aku. Sebab utama kedatanganku ke Alor Setar untuk mendapatkan kepastian. Ya, kepastian tentang Danish. Aku tahu dia sedang berpura-pura.
“Boleh tak U jangan berpura-pura tak mengenali I. I tahu dan I pasti U Dr. Danish dari Hospital Selayang anak kepada Dr. Daud Ong dan tunang kepada I, Dr. Qistina Batrisya.” Aku sudah tidak sabar dengan sikap Danish yang semakin berpura-pura.
Kali ini mata Dr. Danish di hadapanku membesar.
“Miss, boleh U ulang semula ayat U tadi. I tak faham.”
“U tunang I dan U tak meninggal!”
“U tunang I? I tak meninggal? Bila pula I bertunang dan bila pula I meninggal?”
“Jangan berpura-puralah Danish. U terlibat dalam kemalangan di Indonesia tapi tak meninggal. Sebelum tu kita merancang akan bernikah. Tapi I tak tahulah mengapa jadi begini.” Aku mula kehilangan bicara.
“Jadi begini? Maksud U, I mungkir janji tak kahwin dengan U?” Dahi Dr. Danish berkerut.
“Okey….okey I silap orang. Thanks sebab tolong baiki kereta I, Dr. Danish. I harap ini kali terakhir kita berjumpa.”
Aku terus membuka pintu kereta dan menghempas pintu dengan kuat. Sakitnya hatiku. Dr. Danish tidak mengaku dia mengenaliku. Aku terus keluar dari kawasan hospital. Dari cermin belakang aku nampak Dr. Danish menggelengkan kepalanya.
Sebelum pulang ke Ipoh , aku ke pejabat Dr. Danish. Ketua Pakar O&G. Mungkin peristiwa dua tahun lalu betul-betul menguji mental aku. Tidak sedar kakiku sudah berada di depan pintu Dr. Danish. Perlahan aku mengetuk pintu. Suara menyuruh aku masuk kedengaran dari dalam.
“Doktor, hari ni saya mahu balik Ipoh. Tapi saya perlukan jawapan ikhlas daripada Doktor.”
“Jawapan? Apa soalannya Doktor?” Senyuman terukir di bibirnya mengiringi bicaranya yang lembut dan sopan. Keadaan ini sedikit menggoyahkan hasratku. Namun aku perlu berani. Aku tidak mahu takdir mempermainkan aku lagi.
“Betul Doktor tak kenal siapa saya?” Nada suaraku amat tegas.
Tiada jawapan yang keluar dari bibirnya. Tapi senyumannya masih terukir. Kemudian dia menggelengkan kepalanya.
“Betul Doktor tak kenal saya?” kali ini suaraku semakin tinggi.
Dia menggeleng lagi.
“Betul?” Ulangku sepatah.
Dia mengangguk. Namun matanya masih menatap wajahku.
“Okey, I tak kisah U tak kenal I. Tapi sebelum saya keluar dari bilik ni, I nak buat sesuatu. Pertama kali dan terakhir dalam hidup I.”
“Okey U buatlah apa yang U nak buat. I tak kisah. Yang penting lepas ni U gembira.” Katanya dengan nada bersahaja.
“Betul U tak kisah?” Ulangku.
Dia mengangguk lagi. Serentak itu aku mengumpul segenap kekuatan lalu menampar mukanya sepenuh hati. Dr. Danish terkejut. Aku lagi terkejut dengan tindakan aku. Kesannya lima jari aku jelas berbekas di pipi kanannya. Memang aku kidal sebab itu pipi kanannya yang menjadi mangsa pelempang aku. Tapi hatiku puas. Kalau betul dia Dr. Danish yang pernah jadi tunangku lagi hatiku puas. Kalau bukan aku minta maaf dalam hati. Tapi aku yakin seratus peratus dia ialah Danish.
“Terima kasih!” Ucapnya perlahan.
“Terima kasih!” Ucapnya sekali lagi sambil mengusap pipi kananya.
Aku berlari keluar dari bilik Dr. Danish. Pantas aku menuju ke tempat parking. Aku menarik nafas dalam-dalam. Aku beristighfar beberapa kali. Aku menjadi gila kerana syik teringatkan Danish. Orang yang aku sangkakan mati rupanya masih hidup bahagia. Aku yang menderita separuh mati. Berbaloikah pengorbanan aku selama setahun ini menangisi pemergian Danish yang sebenarnya pergi ke daerah lain? Danish tidak mati. Danish masih hidup. Dapatkah air mataku yang tumpah digantikan semula? Dapatkah usiaku yang semakin menginjak 30 tahun diundur ke belakang? Dapatkah aku menerima suratan takdirku selepas ini? Arggghhhh……. Aku tidak mampu berfikir lagi.
Selamat tinggal kenanganku. Selamat tinggal Danish. Selamat tinggal Hospital Alor Setar. Selamat tinggal semuanya. Aku akan meninggalkan alam bujangku. Aku akan menumpukan perhatian hanya kepada Dr. Haikal kerana walau siapa pun dia aku akan menyayanginya. Tempat Danish perlu aku isi dengan insan lain yang menyayangiku. Biarlah aku membina mahligai pelangi di petang hari kerana mulai hari ini aku akan kuburkan nama Danish dari dairi hidupku.
BAB DUA PULUH LIMA
Dr. Haikal terkejut. Mama terkejut. Begitu juga Papa. Hazreen lagilah terkejut. Walau semua orang terkejut, Dr. Fadzreen tidak terkejut. Semua orang terkejut dengan keputusanku mahu melangsungkan pernikahan pada hujung bulan ini kecuali Dr. Fadzreen. Kalau sebelum ini aku seakan tidak yakin dan tidak mahu melangsungkan perkahwinan dengan Dr. Haikal, tapi hari ini aku membuat keputusan sendiri. Bukan Mama. Bukan juga Papa.
Sepanjang hari Dr. Haikal tersenyum. Berulangkali dia mengucapkan terima kasih kepadaku.
“Isya, terima kasih kekasihku.”
“Tak perlu ucap terima kasih.” Balasku.
“Tak sangka Isya sanggup menerima diri Haikal.”
“Mungkin jodoh kita telah tertulis sejak di Loh Mahfuz lagi,” kataku.
Dr. Haikal hanya tersenyum. Sesekali matanya merenung lembut ke arahku. Aku perlu tabah. Keputusan ini kubuat demi maruah dan harga diriku. Teganya Danish berpura-pura tidak mengenaliku. Biarlah aku tanggung semuanya. Mustahil Dr. Fadzreen dan Mama tidak tahu yang Danish masih hidup. Kalau Danish mahu meninggalkan aku sekalipun tidak perlu dengan cara menipu. Kalau menipu cara lain mungkin aku boleh terima, tapi bila mengaitkan dengan soal hidup dan mati, aku tidak boleh terima. Kenyataannya kini aku sudah menguburkan nama Danish dari hatiku. Bagiku Danish telah mati baik jasad mahupun nama. Tidak perlu lagi aku memburu pelangi yang telah menghilang. Rindu yang kuburu selama ini terlerai ditelan ombak dendam.
Ah, alangkah sia-sianya hidupku selama dua tahun ini. Aku mengeluh perlahan.
“Isya, ada masalah?”
Suara Dr. Haikal memecah gegendang telingaku.
“Hah, masalah? Tak adalah.”
“Tadi tu mengeluh panjang je.”
“Ye ke. Tak perasan pun.” Dalihku.
“Esok jangan lupa. Kita pergi ambil baju pengantin.” Dr. Haikal mengingatkan aku. Aku hanya mengangguk.
Petang itu Dr. Haikal menghantar aku pulang ke rumah. Sejak balik dari Alor Setar, Dr. Haikal tidak membenarkan aku memandu sendiri. Katanya darah tengah manis, macam-macam boleh berlaku. Aku hanya mendiamkan diri dan melayan perasaan sepanjang perjalanan. Tiba-tiba Dr. Haikal bersuara memecah keheningan suasana.
“Isya!”
“Hmm..”
“Tidur ke?”
“Tak.”
“Masa seminar dulu jumpa tak dengan Pakar O&G?” Soalan Haikal membuat jantung aku berdebar kencang.
“Siapa?” Meluncur saja kalimah ingin tahu dari bibirku.
“Dr. Danish Ong. Dulu kami sama-sama kat Universiti.”
“Kenapa tiba-tiba bertanyakan Dr. Danish?” soalku.
“Dia baik, kacak dan banyak peminat. Tapi sampai sekarang tak kahwin-kahwin. Dengarnya putus cinta. Pada pandangan mata Isya, Dr. Danish tu kacak tak?”
“Tak.” Pantas aku menjawab.
“Thanks. Sebenarnya sebelum ni semua orang yang Haikal tanya kata Dr. Danish tu kacak. Isya sorang saja kata tidak. Thanks, Isya.”
“Tak perlu berterima kasih. U lagi kacak. Tak salah I pilih U.”
“Ye, ke? Tapi kalau U jumpa abang Dr. Danish, lagi U terlopong.” Usik Dr. Haikal.
“Kenapa I nak terlopong pula?”
“Dia lagi handsome dari I. Tapi sayang dia dah meninggal.”
“Meninggal?”
“Ya, abang Dr. Danish meninggal semasa mereka ke Indonesia sebelum pernikahan Dr. Danish. Dr. Daniel yang meninggal tu sama tempat kerja dengan I.”
Wajah Danish segera muncul di skrin mindaku disusuli Dr. Daniel yang aku gelar jejaka samaseng pada mulanya. Takkan Dr. Daniel meninggal? Ah, aku tidak sesekali akan memikirkan pasal Danish lagi. Titik. Persoalan lain pula tiba-tiba muncul dibenakku. Dr. Haikal. Tunangku. Bagaimana orang yang dikatakan hilang ingatan setahun lalu boleh ingat pasal staf di tempat kerjanya.
“Eh, bukankah U hilang ingatan. Macam mana U boleh ingat pasal staf yang sama kerja dengan U dua tahun lepas?” Aku terpaksa mengajukan soalan yang agak sensitif kepada Dr. Haikal.
“I hilang ingatan?”
“Ya, kan U selalu cakap tak ingatlah. Lupalah. Lagipun ada orang beritahu I yang U hilang ingatan.”
“Siapa yang cakap I hilang ingatan?”
“Mummy U. Katanya U accident dengan tunang U. U koma and hilang ingatan.”
“Isya, listen to me. I normal. Sihat. Sempurna, okey. Jangan pedulikan cakap Mummy I.”
“Habis takkan Mummy U nak tipu I. Apa faedahnya?”
“Banyak faedahnya, Isya.”
“Apa?”
“U cari sendiri.”
“Haikal, jawab soalan saya sejujurnya. U cintakan I?”
Tanpa berfikir Dr. Haikal mengangguk.
“U hilang ingatan?”
Dr. Haikal menggeleng.
“Tapi kenapa U berlagak seperti orang hilang ingatan?”
“Isya, apa perasaan U selepas U sedar dari koma, orang beritahu U tunang U dah kahwin dengan orang lain. U nak mengaku U waras dan terima kenyataan atau U berpura-pura tak tahu apa-apa.”
“Jadi U berpura-pura hilang ingatan? Begitu?”
Dr. Haikal mengangguk. Aku sangat terpukul. Mummy Dr. Haikal menyuruh aku memulihkan ingatan anaknya dengan berkahwin dengannya, tapi sebenarnya anak lelakinya tidak pernah hilang ingatan pun. Mengapa takdir selalu mempermainkan aku? Di mana silapnya aku? Fikiranku berkecamuk. Dulu Danish. Sekarang Dr. Haikal. Perlukah aku meneruskan perkahwinan tanpa cinta dan perasaan? Ah, Dr. Haikal pun sama. Menguji perasaanku dan mempermainkan takdirku. Mungkin aku perlu pergi dari daerah ini. Tapi di manakah kembaraku ini akan berakhir. Semakin jauh aku melangkah batas-batas rindu, semakin jauh mentari yang kuburu.
“Isya, I’m sorry. I terpaksa berlakon untuk mendapatkan cinta U. I tahu U jenis orang yang tinggi sifat empati. I ngaku I ambil kesempatan.”
Tanpa sempat ku tahan, air mata laju mencurah pipiku yang agak cengkung belakangan ini. Aku membiarkan mutiara jernih ini gugur semahunya. Tidak perlu aku menyekanya. Aku sakit hati. Marah. Kecewa. Semuanya bersatu dalam dada. Pedih menghiris kalbu. Perasaanku terluka. Hatiku kecewa. Semua orang yang kukenali mengambil kesempatan atas kenaifan aku. Adilkah? Mama. Papa. Dr. Daud Ong. Mummy Haikal. Haikal. Dan Danish. Mengapa nama itu masih lagi kusebut walaupun namanya telah kukuburkan? Mengapa hatiku masih berdebar sangat aku teringatkan dirinya?
Maafkan aku Dr. Haikal. Aku tidak dapat menerima kenyataan ini. Perpisahan adalah jalan terbaik buat kita. Aku terluka. Sangat kecewa.
Dr. Fadzreen! Mengapa engkau tidak pernah melafazkan kalimah cintamu saatku memerlukannya? Dr. Fazreen yang tidak pernah menguji cintaku. Tapi kini semuanya musnah. Semuanya punah. Aku terpaksa meninggalkan Dr. Fadzreen juga. Biarlah kehampaan menjadi permainan hidup Dr. Fadzreen pula.
Danish! Mengapa sanggup engkau mengecewakan aku? Adakah dirimu sedang mengecap kebahagiaan atas kekecewaan dan kesengsaraan aku? Aku sedar. Bahagia bukan milikku. Cinta bukan milikku. Hanya satu milikku. Kenangan bersamamu Danish. Terpahat kukuh di hatiku. Dulu kini dan selamanya. Biarlah aku semadikan pusaramu di jiwaku agar aku bisa melawatmu saat rindu datang bertamu. Damailah engkau di pusaramu. Di jiwaku.
KEMBOJA DI PUSARA
Secebis kenangan berguguran di kelopak ingatan
Berderai satu persatu di halaman sengsara
Dalam keterpaksaan
Aku kutip dan kuhimpunkan di perdu duka
Nestapa mula mengundang lara
Mendung sayu pun berarak hiba
Awan pilu semakin memutih
Hujan tangisan pun bergema
Mengalunkan irama sendu
Mengiringi pemergian
Kematian yang tidak bernama....
Bersemadi di pusara sepi
Bertemankan pepohon kemboja..
Di sini aku berdiri
Sebuah pusara tanpa nesan
Terbiar sepi di keheningan pagi
Memutih bebunga kemboja menaburi pusara
Embun pun takkan mampu menyubur
Bebunga kemboja yang semakin layu
Lantas aku sirami air mata kasih
Bersama sedu sedan
Aku menyedut wangian bebunga kemboja
Membuai perasaan membelai rawan
Aku kehilangan sebuah memori
Tidak mampu aku hidupkan kembali
Saat senja melabuhkan tirai
Aku mengusung luka yang semakin sarat
Pusara sepi aku tinggalkan
Pesananku kepada pepohon kemboja
Payungilah pusara sepi ini
Sehingga aku datang lagi
Pada musim-musim rindu
Yang mendatang...
Tinggallah pusara sepi...
Tinggallah kemboja putih
Aku pergi untuk kembali....
Xde sambungan lg ke? Best la..
ReplyDeleteAda,,,,sambungannya tapi atas sebab2 peribadi cikgu belum bersedia untuk publish sambungan novel ini....
Delete