Photobucket

Monday, May 23, 2011

SAMBUTAN HARI GURU 2011

MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT WP LABUAN
Majis Sambut Tamu
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
KPPM bersama Pengarah Pelajaran WP Labuan (Pn. Mistrine Radin)


Sunday, May 22, 2011

Hargailah Apa Yang Kita Ada....



Menitis air mata Cikgunie menatap laporan akhbar dan mendengar laporan dari televisyen mengenai kejadian tanah runtuh di rumah anak-anak yatim, Kajang. Dalam sekelip mata 16 nyawa melayang kerana tanah runtuh. Bukan hendak mencari salah siapa kejadian tanah runtuh berlaku sehingga menimbus hidup-hidup anak-anak  yatim yang berusia dalam lingkungan 7-17 tahun. Apabila bergelar anak yatim, sudah tentulah kanak-kanak malang itu tidak mempunyai ibu atau bapa. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Kehidupan yang menghimpit memaksa kanak-kanak yang kematian ibu bapa menetap di rumah anak-anak yatim untuk meneruskan kelangsungan hidup. Ajal, maut, jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan. Siapalah kita hendak mengubah perjalanan takdir dan menentang hukum alam. Segala yang berlaku telah tersurat dan sebagai hambanya kita perlu redha dengan segala ketentuan hidup ini.
Sesekali cubalah kita renungkan sejenak. Letakkan diri kita dalam keadaan anak-anak yatim yang telah kehilangan ibu atau bapa ini. Lihatlah sekeliling kita. Adakah ada dalam kalangan saudara mara kita yang kematian ibu atau bapa dalam usia yang masih kecil. Jika ada, salahkah jika kita membantu anak-anak yatim ini menjadi anak angkat kita? Salahkah jika kita membantu anak-anak yatim ini seperti anak-anak kita sendiri? Salahkah jika kita mengambil berat akan kebajikan anak-anak yatim ini? Tentu tidak salah, bukan?Sebagai waris yang masih hidup, baik ibu atau bapa anak-anak yatim ini, perlukah kita meminggirkan zuriat kita dengan orang yang pernah kita sayang dengan meletakkan mereka di rumah anak-anak yatim? Haruskah? Mengapa kita mengambil jalan mudah meletakkan anak-anak yatim yang masih mempunyai waris di rumah anak-anak yatim? Susah sangatkah menjaga anak-anak yatim ini? Tepuk dada tanya selera kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jika hendak seribu daya, jika tidak mahu seribu dalih kerana masing-masing bersikap seperti enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing.
Nah, hasilnya 16 orang anak-anak yatim meninggal dunia dalam sekelip mata! Cikgunie sedia tahu, masyarakat sedia maklum dan waris anak-anak yatim memang mengetahui, menjaga anak-anak sendiri 2-3 orang pun kadang-kadang terabai, inikan pula menjaga berpuluh-puluh orang kanak-kanak yang berbeza sikap dan berlainan keturunan. Sangat sukar dan memang payah.Jadi, kita boleh bayangkan kanak-kanak yang berusia 7-10 tahun melakukan urusan seharian tanpa bantuan orang lain. Mampukah kanak-kanak sekecil itu melakukan urusan hariannya tanpa orang dewasa? Kita tidak boleh salahkan penjaga rumah anak-anak yatim kerana tenaga mereka tidak ramai. Kanak-kanak di rumah yatim akan belajar mengenal kehidupan setiap hari sehinggalah mereka dewasa sebelum waktunya. Tiada siapa yang akan membantu mereka. Pandai-pandailah menyesuaikan diri dan menguruskan sendiri. Justeru, apabila berlaku sesuatu musibah seperti kejadian tanah runtuh, mampukah kanak-kanak in i menyelamatkan diri? Siapakah yang akan sentiasa memerhatikan dan memantau aktiviti kanak-kanak ini selain rakan-rakan senasib mereka? Nasib mereka mungkin berubah jika mereka tinggal bersama waris mereka yang masih hidup. Cikgunie menulis berdasarkan pengalaman semasa melakukan kerja amal di sebuah rumah anak-anak yatim. Sangat mengharukan melihat kanak-kanak yang kehausan kasih sayang ibu bapa mereka meneruskan kelangsungan hidup di rumah anak-anak yatim. Apabila berlaku kejadian seperti ini, apakah tangisan waris anak-anak yatim ini mempunyai lagu dan irama? Jawapannya, mengalir air mata darah sekali pun, nyawa anak-anak yatim ini tidak akan kembali! 
Sebelum nasi menjadi bubur, sebelum bisul menjadi barah, sebelum pasir menjadi pulau, sebelum tanah menjadi gunung, sebelum satu menjadi dua, sebagai ibu bapa yang mempunyai anak-anak, hargailah anak-anak kita. Sebagai waris yang mempunyai kaum keluarga yang sudah meninggal dunia, jenguk-jenguklah akan kerabat kita yang kehilangan ibu bapa bapa mereka. Jangan sampai kehidupan anak-anak yang kehilangan ibu atau bapa ini menggadaikan hidup mereka di rumah anak-anak yatim. Bagi ibu atau bapa pula, jika pasangan kita sudah meninggal dunia, janganlah dilupakan zuriat kita apabila kita berkahwin semula. Ingatlah, peritnya hidup anak-anak yatim yang masih mempunyai ibu atau bapa tetapi ditempatkan di rumah anak-anak yatim hanya Allah saja yang tahu. Tiada sesiapun yang mahu tinggal di rumah-rumah kebajikan seperti rumah anak-anak yatim selagi waris masih ada. Tidak luak sesaga emas, tidak luak segantang beras, tidak luak setitis air dan tidak luak segenggam tanah tanah jika kita memelihara naka-anak yatim seperti anak kita sendiri. Langit tidak selalu cerah, laut tidak selamanya bergelora dan hidup tidak semestinya menongkat langit, jadi hargailah apa yang kita ada. Anak-anak adalah anugerah Tuhan yang tiada nilainya.

ALFATIHAH BUAT ADIK-ADIK YANG PERGI.....

myMetroSemua mangsa yang terkorban berjaya dikeluarkan

Malangnya Anak Yatim....Tragedi 21 Mei

Saturday, May 21, 2011

Untuk renungan...

                                                                                                                                   

JIKA HENDAK MENUNGGU OMBAK TIDUR, 
MAKA SAMPAI KIAMAT NELAYAN TIDAK AKAN TURUN KE LAUT...

KERANA,,,,

NELAYAN DAN LAUT YANG BERGELORA 
IBARAT OMBAK DAN PANTAI...

Friday, May 20, 2011

Mengapa Ada Kerinduan....

KOLONEL HAJI KHAIRIL....
Terima kasih daun keladi,
Kalau boleh tolong lagi...

ANTOLOGI MADU ILMU


HARI TUANYA SINGGAH karya AWANG ABDULLAH
Di pentas terbuka
Ia seakan mengalah
Pada lakonan yang tersisa:
Lolongan perih
Membanting duka
Lengkingan jerih
Membelasah sengsara
Sulur-sulur sepi
Merayap dari perdu senyap
Mencengkam usianya
Di banir musim
Hari tuanya singgah
Di batas waktu yang saujana;

Hanya pada babak-babak terakhir
Ia sempat mempersiapkan diri
Dan menghayati kembali watak pilihan
Sebelum ia rebah dengan skrip tergenggegam
Di puncak cerita sebuah kebenaran.

SINOPSIS JERIJI KASIH


    Anuariza merupakan seorang pelajar yang sedang menunggu keputusan STPM. Beliau tinggal  bersama SOLEHA ibu angkatnya dan adiknya AZUERA juga tinggal bersama-sama. Mereka tinggal di sebuah kampung dengan kehidupan yang sangat daif tetapi ANUARIZA mempunyai cita-cita yang tinggi. NEK SIAH yang tinggal berhampiran rumahnya sering membantu mereka. Pada suatu hari, anak NEK SIAH iaitu SYED MUSTAFA telah pulang dan menetap di kampung itu. NEK SIAH menyuruh ANUARIZA menjadi guru tuisyen kepada anak-anak SYED MUSTAFA. Anak-anak SYED MUSTAFA dijaga oleh NEK SIAH di rumah baru mereka. Hobi Anuariza ialah mencari buah asam kelubi untuk dijual kepada peraih Ah Chong. SYED MUSTAFA kagum dengan kebolehan Anuariza memungut buah asam kelubi.
    Semasa mengajar anak-anak SYED MUSTAFA, Anuariza tidak mempunyai masalah dengan SYARIFAH FARISYA tetapi dia mempunya masalah dengan SYED FARIZ. Syed fariz TIDAK BERMINAT UNTUK BELAJAR DAN MEMPUNYAI PELBAGAI MASALAH DISIPLIN DI SEKOLAH BARUNYA. SYED FARIZ mempunyai sifat pendendam. Dia mendendami ayahnya SYED MUSTAFA kerana telah menyebabkan kematian ibunya. Ibunya menderita kerana ayahnya mempunyai hubungan dengan setia usahanya sendiri.
    Anuariza cuba mendekati SYED FARIZ dengan lembut namun SYED FARIZ semakin nakal di sekolah barunya. AZUERA yang sekelas dengannya memberitahu Anuariza bahawa SYED FARIZ mebawa rokok ke sekolah. SYED FARIZ berkawan baik dengan pelajar perempuan yang bermasalah di sekolah itu, LILY SURYANI. Mereka menjadi ketua samseng dengan memers ugut pelajar lain. Pengawas sekolah, Ruhaiza telah dipukul oleh SYED FARIZ dan LILY SURYANI kerana mereka menyangka rahsia SYED FARIZ diketahui oleh kakaknya akibat perbuatan RUHAIZA. RUHAIZA pun mengadu dengan guru kaunseling sekolah mereka. Guru kaunseling berjanji akan menolong SYED FARIZ daripada terjebak dengan kes salah laku yang serius.
    SYARIFAH FARISYA kesal kerana dia menemui rokok dalam bilik adiknya. Dia tahu perangai adiknya di sekolah lamaberulang kembali. Sejak itu, SYARIH FARISYA menjadi murung. ANUARIZA hairan dengan perubahan sikap SYARIFAH FARISYA. Akhirnya SYARIFAH FARISYA menceritakan masalah adiknya kepada ANUARIZA. Anuariza berusaha untuk menyelesaikan masalah anak-anak SYED MUSTAFA.
    ANUARIZA pun menceritaka kesusahan keluarganya kepada SYED FARIZ. Keluarga ANUARIZA dari Kuala Lumpur. Dia ditinggalkan oleh ibu dan bapanya di rumah SOLEHA. Apabila suami SOLEHA, TAMRIN, ayah angkatnya meninggal dalam kebakaran, mereka pulang ke kampong. NEK SIAH membantu ibu angkatnya SOLEHA mendirikan rumah tempat mereka berteduh. Sejak itu NEK SIAH, ibu SYED MUSTAFA banyak membantu kehidupan dia dan ibu angkatnya.
    ANUARIZA cuba mendekati SYED MUSTAFA untuk menceritakan masalah anak-anaknya. SYED MUSTAFA menuduh arwah isterinya terlalu memanjakan SYED FARIZ. Dia pula sibuk bekerja untuk mengumpul kekayaan keluarga. Akhirnya NEK SIAH dipanggil oleh guru disiplin sekolah SYED FARIZ kerana kegiatannya yang terbabit dalam penyalahgunaan ubat batuk. NEK SIAH kesal kerana pihak polis pun turut dating ke rumah untuk menangkap cucunya itu. Rupanya SYED FARIZ terlibat lebih jauh daripada itu. SYED FARIZ telah merogol RUHAIZA dengan bantuan rakan-rakannya. RUHAIZA ditahan di dalam wad manakala SYED FARIZ ditahan di lokap. NEK SIAH dan SYARIFAH FARISYA hanya mampu menangis. Anuariza semakin buntu.
    Ayah RUHAIZA, Khusairi sangat marah dengan keluarga SYED MUSTAFA yang telah mencemarkan maruah anaknya. NEK SIAH cuba mententeramkan Khusairi. Akhirnya SYED MUSTAFA pulang untuk menjamin SYED FARIZ. Dia telah menampar anaknya beberapa kali sehingga berdarah. Anuariza cuba menerangkan masalah SYED FARIZ kepada SYED MUSTAFA. Semua masalah SYED FARIZ diceritakan kepada SYED MUSTAFA. SYED MUSTAFA terdiam dan cuba mencari kesalahannya sebagai bapa yang gagal mendidik anak.
    Akhirnya SYED MUSTAFA menemui ayah RUHAIZA. Dia meminta maaf daripada Khusyairi. SYED MUSTAFA berjanji akan membantu masa depan RUHAIZA. Akhirnya Khusyairi menarik balik tuduhannya terhadap SYED FARIZ. SYED MUSTAFA berjanji akan menjadikan RUHAIZA anak angkatnya dan akan bertanggungjawab sepenuhnya atas perbuatan anaknya SYED FARIZ.
    Sementara itu, ANUARIZA mula menjalankan projek TAMAN FANTASI yang diidam-idamkannya. Dia mahu membantu ekonomi keluarganya dengan meningkatkan pendapatan melalui bidang pertanian.  SYED MUSTAFA berjanji untuk merelisasikan impiannya. Akhirnya, NEK SIAH melamar emak angkat ANUARIZA u tuk dijodohkan dengan anaknya SYED MUSTAFA. Sementara itu, SYARIFAH FARISYA menentang cadangan ayahnya hendak berkahwin dengan SOLEHA kerana dia sudah mulai mencintai ANUARIZA. Dia tidak mahu perkahwinan itu memutuskan hubungan cintanya dengan ANUARIZA. SYARIFAH FARISYA mengambil keputusan nekad dengan melarikan diri dari rumah. Dia ke rumah HAJI LOKMAN dan HAJAH MUNIRAH di Kuala Lumpur.  Dia memberitahu ANUARIZA yang dia berada di sana. ANUARIZA pun bergegas mencari SYARIFAH FARISYA di rumah HAJI LOKMAN. Mereka tertarik dengan keistimewaan ANUARIZA.
    SYARIFAH FARISYA pun pulang ke kampung. Dia mula sedar bahawa seseorang anak perlukan kasih sayang seorang ibu walaupun ibu tiri. Sementara itu, projek TAMAN FANTASI ANUARIZA telah Berjaya menarik perhatian HAJI LOKMAN. Dia bercadang untuk menanam anggur dan menyertai SYED MUSTAFA dalam rancangan membangunkan projek itu.

Thursday, May 19, 2011

SINOPSIS NOVEL DARI LEMBAH KE PUNCAK..

      Jalil seorang pelajar Tingkatan 5 telah melalui pelbagai pahit getir selepas bapanya, PAK TEH meninggal dunia. Ibunya, MAK TEH seorang wanita kampung yang selalu bertindak mengikut fikirannya tanpa memikirkan kesan dan akibat tindakannya itu. Kisah bermula, apabila Biah, seorang gadis dari Kampung Bukit Nibung, di Bukit Jenun melarikan diri selepeas ditunangkan. Penduduk Kampung Bukit Nibung gempar apabila mendakwa Biah dilarikan oleh Muhsin, iaitu abang Jalil. Sejak itu, MAK TEH menjual tanah bendang dan tanah pusaka peninggalan PAK TEH kepada sepupu PAK LANG ALI. PAK LANG ALI mengambil kesempatan atas situasi yang berlaku kepada MAK TEH. PAK LANG ALI menjual tanah bendang MAK TEH sebanyak 5 relong kepada sepupunya PAK AMAT di GUAR CHEMPEDAK dengan harga RM10,000.00 sedangkan dia membayar kepada MAK TEH dengan harga RM5,000.00. Oleh kerana terdesak MAK TEH menjual dengan harga murah kerana dia hendak menghapuskan keaiban yang dilakukan oleh anak lelaki kesayangannya dan menghilangkan malu dengan orang kampung. 
     MAK TEH menumpang di rumah sepupunya PAK LONG AYOB. Jalil tidak mahu engikut ibunya berpindah kerana dia hendak meneruskan pelajaran. Dugaan pertama yang dihadapi oleh Jalil ialah ibunya telah merobohkan rumahnya dan semua kayu rumahnya dibawa ke Guar Chempedak kerana hendak didirkan rumah baru di Bagan Lalang. Jalil terpaksa mendirikan dangau untuk beliau berteduh. Dengan kudrat yang ada, Jalil cuba mengusahakan tanah arwah bapanya dengan berbincang semula dengan pembeli tanah itu, Pak Amat. Jalil berjanji dia akan pulangkan duit RM10,000 kepada Pak Amat dalam masa 10 tahun. Detik-detik kesukaran yang dilalui oleh Jalil ialah semasa diganggu oleh Kudin, abang Biah dan semasa dia hendak membayar yuran peperiksaannya. Jalil juga dipulaukan oleh penduduk kampung kerana perbuatan abangnya Muhsin. Namun, Latifah anak PAK LANG ALI menjadi penyelamat kepada kehidupan Jalil. Latifah ketika itu dalam tingkatan 3 amat menyanjungi keketanlan semangat juang Jalil. Latifah juga yang memujuk ayahnya agarnya membantu Jalil membayar yuran peperiksaan SPM. 
      Selepas membayar yuran itu, Jalil menyerahkan resit yurannya agar disimpan oleh Latifah sebagai bukti dia telah membayar yuran kepada gurunya. Latifah juga membantu Jalil semasa kakinya luka ketika menanam padi dalam petak sawahnya kerana Kudin telah dengan sengaja melemparkan kaca di dalam bendangnya. Selepas peperiksaan SPM, Jalil meninggalkan kampung halamannya dengan berhijrah ke Kuala Lumpur kerana tanahnya itu sudah jadi milik orang. Namun, Pak Amat membiarkan Jalil mengusahakan tanah sawahnya sendiri. Semasa Jalil mahu ke Kuala Lumpur dia memajak padinya yang baru menguning kepada Ah Bee sebanyak RM400. Dengan duit itu, Jalil membeli tiket keretapi ke Kuala Lumpur. sebelum pergi ke KL, Jalil telah membeli batu nisan untuk diletakkan di kubur ayahnya di kedai Hameed dengan harga RM15. Di KL, Jalil bertemu dengan Abang Joe di Pasar Budaya dan seterusnya dia bekerja dengan Abang Joe. Abang Joe beruntung kerana jalil mahir melukis. Selepas itu, mereka engusahakan projek dengan menghantar lukisan ke hotel-hotel. 
      Kejayaan yang dilakar oleh jalil tidak berhenti di situ kerana dia mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM. Dia melanjutkan pelajaran di UPM dalam bidang Lanskap. Jalil belajar sambil belkerja dengan Abang Joe. Akhirnya mereka menubuhkan Syarikat Alam Hijau. Syarikat jalil berkembang sehinggalah mereka membina empayar perniagaan berasaskan landskap dan dekorasi. Semasa teuduga pegawai akaun, Jalil bertemu semula dengan Latifah setelah berbelas tahun dia meninggalkan Kampung Nibung. Akhirnya Jalil dan Joe telah melancarkan PROJEK TAMAN TEMA KAMPUNG NIBUNG. Latifah menjadi pendorong dan inspirasi kehidupan Jalil telah membantu Jalil mendapatkan kepercayaan orang kampung untuk menjual tanahy mereka kepada Jalil.Akhirnya kesengsaraan hidup Jalil dalam usaha menebus semula tanah pusaka ayahnya berbaloi.

Mata Pelajaran Kesusasteraan Melayu...

Sukarnya mencari buku ulasan dan kajian mata pelajaran Kesusasteraan Melayu....
Kementerian Pelajaran telah menukar teks mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dengan menggantikan novel Restu kepada novel Jeriji Kasih dan Dari Lembah Ke Puncak. Masalah yang timbul ialah sebelum tahun 2011, hanya sebuah novel sahaja yang dipelajari oleh pelajar yang mengambil mata pelajaran elektif Kesusasteraan Melayu, iaitu novel Restu. Kini, dua buah novel yang dipelajari oleh pelajar yang mengambil mata pelajaran elektif Kesusasteraan Melayu, iaitu novel Jeriji Kasih dan Dari Lembah ke Puncak. Puncak permasalahan ialah guru-guru yang mengajar mata pelajaran elektif ini untuk membina soalan-soalan ujian dan peperiksaan kerana tiada format yang khusus. Cikgunie menghadapi masalah ini kerana tidak tahu bagaimana format membina soalan novel. Adakah perlu memasukkan kedua-dua buah novel atau salah satu novel sahaja? Buku kerja memang tiada di pasaran. Cikgunie hanya jumpa buku Diskusi Apresiasi terbitan Cerdik Publications sahaja sebagai rujukan teks MADU ILMU, ANAK GLOBAL, SEUNTAI KASIH SECEBIS HARAPAN dan novel JERIJI KASIH dan DARI LEMBAH KE PUNCAK.

Monday, May 16, 2011

AkU GuRu BaHaSa MeLaYu: WAJIB BACA....

AkU GuRu BaHaSa MeLaYu: WAJIB BACA....

WAJIB BACA....


HADIAH HARI GURU
Hari ini, 16 Mei 2011 merupakan Hari Guru. Seluruh negara menyambut Hari Guru sebagai tanda penghargaan kepada guru-guru yang telah mendidik setiap insan yang dilahirkan di Tanah Melayu sejak akhir abad ke-18 Masehi secara formal di madrasah-madrasah ketika itu. Corak pendidikan yang ada pada waktu ini berbentuk bukan formal. Ia wujud dan berkembang bersama-sama perkembangan agama Islam di negari-negeri Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan Melayu sejak abad ke 14 Masehi lagi. Pedagang Arab dan India yang beragama Islam datang berdagang ke Kepulauan Melayu untuk mencari bekalan rempah ratus dan minyak wangi. Pada  waktu itu wujudnya institusi pendidikan yang dinamakan ‘sekolah pondok’. Sekolah pondok ini dibangunkan dan dimajukanbersama secara gotong royong di kalangan masyarakat setempat. Pada abad ke 18 dan 19, Terengganu, Kelantan dan Kedah merupakan negeri yang paling banyak sekolah pondok. Banyak tokoh agama muncul menyebarkan agama Islam di Semenanjung Tanah Melayu. Sekolah pondok juga merebak di Semenanjung Tanah Melayu termasuk Singapura.
Sehingga sebelum abad ke 20 masih tiada sistem dan organisasi pendidikanberbentuk formal.Pada akhir  abad ke-19, barulah pendidikan vernakular  mula mengambil tempat. Sistem pendidikan diwaktu ini adalah warisan budaya pendidikan zaman pemerintahan Inggeris. Pada zaman ini terbentuk lima jenis persekolahan iaitu Sekolah Vernukular Melayu, SekolahVernukular Cina , Sekolah Vernukular India, Sekolah Vernakular Inggeris dan Sekolah Agama ( Madrasah ). Ciri-ciri sebegini rupa terbentuk kerana mengambil kira faktor politik, ekonomi ,sosio-budaya dan agama.Sukatan pelajaran yang diajar ketika itu ialah mengenai bidang pertanian dan ilmu keagamaan. Selepas itu, pada awal abad ke-20, barulah sistem pendidikan di Tanah Melayu menggunakan sukatan pelajaran seperti ilmu hisab, ilmu alam, tawarikh, dan lain-lain lagi sukatan pelajaran yang diperkenalkan oleh penjajah Inggeris dan tokoh-tokoh pendidikan dari Cina dan India. Sekolah Vernakular Tamil dan Cina mengajar berlandaskan negara asal imigran tersebut. Tokoh-tokoh seperti W.G Shellabear  dan R.O Winstedt telah memainkan peranan penting dalam memajukan sistem pendidikan di Tanah Melayu (maafkan Cikgunie kerana kenyataan ini seperti  memuji orang Inggeris).
Sir Richard Winstedt yang menjadi Penolong Pengarah Pelajaran Sekolah-sekolah Melayu pada masa itu, mencadangkan ditubuhkan Maktab Perguruan untuk melatih guru-guru di Tanah Melayu. Cadangan R.O Winstedt telah diterima oleh kerajaan dan Residen-residen Inggeris pada 20 Oktober 1917. Tanjung Malim dipilih sebagai tapak penubuhan Maktab Perguruan kerana kedudukannya yang berhampiran dengan jalan keretapi, sungai dan pecan. Selain itu, tanah di kawasan Tanjung Malim sangat subur. Seluas 63 ekar tanah dibeli oleh kerajaan Inggeris dan kerja-kerja pembinaan bermula pada tahun 1919. Maktab ini siap sepenuhnya pada tahun 1922. Maktab ini mula beroperasi pada 23 Nov 1922 dengan tenaga pengajar 3 orang guru dari Eropah, 7 orang guru Melayu dan seorang guru anyaman dari Filipina. Maktab ini dibuka dengan rasminya oleh Sir George Maxwell, Ketua Setiausaha Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 29 November 1922. Maktab Matang yang wujud sebelum MPSI telah dibubarkan dan semua pelajar serta gurunya diserap di dalam MPSI.
Mata pelajaran yang diajar ialah Ilmu Hisab, Ilmu Alam, Sejarah, anyaman, cara bertani dan bertukang dan lain-lain lagi.Syarat kemasukan ialah lulus Darjah 6. Permulaan pelajar di MPSI ialah seramai 120 orang.  Maktab Perguruan Sultan Idris melahirkan guru-guru untuk keperluan sekolah-sekolah di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua meletus. Pada masa Perang Dunia Kedua, MPSI dijadikan hospital tentera oleh kerajaan Inggeris dan pelajar dipindahkan ke Kuala Kangsar dan dengan ihsan Sultan Abdul Aziz, pelajar MPSI itu tinggal di tiga buah istana  di Kuala Kangsar, iaitu Istana Hulu, Istana Kuning dan Istana Hilir.
Semasa  pemerintahan Jepun ( 1941 hingga 1956 ) Pendidikan Tamil dan Pendidikan Melayu diteruskan dengan ditambah bahasa Jepun. Penubuhan sekolah Nippon-Go adalah untuk menggantikan Sekolah Vernukular Cina dan Inggeris. Pengajaran di sekolah ini lebih menekankan lagu-lagu klasik Jepun dan Kebudayaan Jepun. Selepas tamat Perang Dunia Kedua 1946, Inggeris kembali semula ke Tanah Melayu. Keadaan sistem pendidikan pada waktu ini bercelaru, orangMelayu telah mula mempunyai semangat nasionalisme manakala  masyarakat imigran seperti Cina dan India masih mahu kekal bermastautin di Tanah Melayu. Selain itu, timbul kesedaran  di kalangan orang Melayu  untuk memajukan sistem pendidikan. Melalui pendidikan, ekonomi dan sosial orang Melayu berjaya ditingkatkan.Pada tahun 1946, MPSI dibuka semula dan pelajarnya telah diserap semangat nasionalisme sehingga mereka berani menuntut hak-hak pelajar sehingga berlaku tunjuk perasaan pada 10 Disember 1949. Selepas itu MPSI ditutup selama 3 bulan.
Sesuai dengan tarafnya sebagai sebuah maktab yang terulung, pada 21 Februari 1987, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pelajaran ketika itu telah mengisytiharkan MPSI dinaikkan tarafnya menjadi sebuah institusi pendidikan dengan nama Institut Pendidikan Sultan Idris untuk mengendalikan Kursus Sijil Lanjutan Perguruan dan Diploma Lepas Sijil. Pada I Mei 1997, IPSI telah dinaikkan taraf menjadi sebuah universiti perguruan. Sesungguhnya hadiah buat seorang guru ialah kelahiran sebuah maktab perguruan yang terulung melahirkan para guru yang berkemahiran mendidik murid-murid pada hari ini. Tanpa Maktab Perguruan Sultan Idris, tokoh-tokoh ternama seperti Datuk Senu abdul Rahman, Embong Yahya, Syed Nasir Ismail, Ibrahim Yaakob, Abdul Rahman Talib, dan mantan Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba tidak dapat dilahirkan dan mungkin kita tidak akan bergelar guru pada hari ini.
Terima kasih MPSI sebagai Suluh Budiman untuk para guru.

Arkib Negara Malaysia - Maktab Perguruan Sultan Idris

Arkib Negara Malaysia - Maktab Perguruan Sultan Idris

Komsas Tingkatan 5 (GURINDAM)


Gurindam Tonggak Dua Belas
Hendak pandai menghargai masa,
Jangan dinanti esok lusa.

Ketekunan akan membawa kejayaan,
Kegigihan bekerja dengan keupayaan.

Wajah ceria keseronokan bekerja,
Usah berduka bermuram durja.

Hidup dalam kemuliaan kesederhanaan,
Bertindak dengan penuh kebijaksanaan.

Ketinggian peribadi jadi amalan,
Ketelusan hati jadi bekalan.

Kekuatan sifat baik hati,
Bertimbangrasa dan bersimpati.

Pengaruh kepimpinan melalui teladan,
Baik buruk jadikan sempadan.

Menjadi kewajipan menjalankan tugas,
Walaupun sederhana tetapi tegas.

Kebijaksanaan berhemat perlu diutama,
Tidak membazir teliti saksama.

Keutamaan kesabaran fikiran tenang,
Perkara susah menjadi senang.

Peningkatan bakat diberi sokongan,
Tunjukkan kebolehan jadikan dorongan.

 Nikmat mencipta budaya kreatif,
Kembangkan bakat semoga aktif.

Maksud Rangkap 1
Orang yang pandai menghargai masa ialah orang yang tidak bertangguh semasa melakukan sesuatu pekerjaan.
Maksud Rangkap 2
Orang yang tekun dan gigih bekerja akan mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka.
Maksud Rangkap 3
Keseronokan bekerja adalah penting kerana pekerjaan adalah satu ibadat. Jadi sentiasalah ceria semasa bekerja.
Maksud Rangkap 4
Orang yang bijak ialah orang yang sentiasa bersederhana dalam semua perkara yang dilakukan.
Maksud Rangkap 5
Ketinggian peribadi ialah orang yang sentiasa sabar dalam semua perkara yang dilakukan. Orang yang sabar ialah orang yang memiliki sifat yang terpuji dalam hatinya.
Maksud Rangkap 6
Sifat baik hati yang perlu diamalkan ialah mempunyai rasa simpati dan bertimbang rasa terhadap pekerja di bawah bimbingannya.
Maksud Rangkap 7
Seseorang pemimpin yang baik akan menunjukkan contoh dan teladan yang baik dan menjauhi perkara yang tidak elok agar dapat diikuti oleh pekerja-pekerjanya.
Maksud Rangkap 8
Setiap pekerja yang berdedikasi akan sentiasa menjalankan tugas dengan tegas tetapi sederhana dalam setiap tindakan.
Maksud Rangkap 9
Semua pekerja digalakkan berbelanja dengan berhemat apabila menggunakan duit kerajaan untuk mengelakkan pembaziran.
Maksud Rangkap 10
Sifat sabar dapat mendidik seseorang berfikir dengan tenang kerana sabar separuh daripada iman.
Maksud Rangkap 11
Setiap orang mempunyai keistimewaan dan kelebihan masing-masing. Oleh itu, kemahiran yang ada perlu ditonjolkan untuk dijadikan dorongan dalam mengasah bakat yang dimiliki.
Maksud Rangkap 12
Seseorang yang kreatif dalam melaksanakan tugasan dan tanggungjawab perlu diberikan ganjaran agar mereka dapat mengembangkan lagi bakat yang dimiliki.

Komsas Tingkatan 5 (SYAIR)


SYAIR MAKNA RIAK (PENYELENGGARA-MOHD YUSOF MD NOR)
Kemudian dinyatakan makna riak,
Amal ibadat kerana manusia,
Inilah kebencian Tuhan yang sedaya,
Sebab kerana syirikkan Dia.

Terkadang riak pula dilakukan,
Mengiringkan beberapa puasa tak makan,
Bertutur itu suara diperlahankan,
Tubuh dan badan tidak dihiraukan.

Supaya disangka ianya wali,
Akan dunia tidak peduli,
Hemahnya itu sangatlah ali,
Tetapi hatinya ke dunia bertali.

Terkadang riakkan ia berilmu,
Bersurah ketika orang berjamu,
Berkata-kata tidaklah jemu,
Nahu dan sarap habis diramu.

Terkadang bercakap ilmunya mantik,
Bicara alhayat konon diselidik,
Supaya disangka ianya cerdik,
Sukalah orang memberinya gundik.

Terkadang riak dengan pakaian,
Berserban lilit ekor berhambayan,
Sejadah di bahu bersampaian,
Tasbih di tangan beruitan.

Pejamkan mata duduk bersila,
Lidah berzikir Allah Taala,
Terkadang jazbah seperti gila,
Kasadnya hendak jadi kepala.

Riak demikian menjadi balak,
Amal itu tentu ditolak,
Terkadang dilemparkan ke mukanya pulak,
Allah Taala sualak.

Maksud Rangkap 1
Allah membenci sikap manusia yang riak kerana riak adalah tanda-tanda orang syirik (menduakan Tuhan). Riak bermaksud menunjuk-nunjuk kelebihan yang dimiliki kepada orang lain.
Maksud rangkap 2
Orang yang riak itu kadang-kadang menunjukkan perbuatan baiknya dengan melakukan kebaikan tetapi pada masa yang sama tidak menghiraukan pakaian yang dipakainya sama ada sesuai atau tidak.
Maksud Rangkap 3
Sesetengah orang menunjuk-nunjuk yang diri mereka seperti alim ulama sehingga tidak peduli dengan apa yang sedang berlaku di sekekelilingnya. Perbuatan orang seperti ini seolah-olah dialah ahli atau pakar dalam hal-hal keagamaan tetapi hatinya masih lagi memikirkan hal-hal keduniaan.
Maksud Rangkap 4
Sesetengah orang suka menunjukkan bahawa dia mempunyai ilmu pengetahuan yang luas sehinggakan menyampaikan ceramah ketika majlis makan yang dihadiri ramai orang. Setiap masa dia akan menyampaikan ilmu yang kononnya sangat berguna tetapi sebenarnya dia mencampur-adukkan bahasa yang betul dengan bahasa yang tidak betul.
Maksud Rangkap 5
Sesetengah orang menunjukkan riak dengan bercakap menggunakan bahasa yang berbunga-bunga dari segi nahu dan maknanya supaya orang menganggapnya sangat bijak. Orang yang bijak berkata-kata ini sebenarnya mengharapkan orang memberikannya balasan seperti gundik kerana bahasanya sangat manis menyebabkan ramai orang tertawan.
Maksud Rangkap 6
Sesetengah orang lelaki yang riak ini cuba menunjukkan kewarakan dirinya dengan memakai serban yang melilit penuh kepalanya sehingga berjuraian ekor serbannya. Orang jenis juga selalu mempamerkan sejadah dengan melipatkan dan meletakkan di atas bahunya. Tasbih juga tidak pernah lekang dari tangannya. Orang riak ini sentiasa menggerakkan biji tasbih di tangannya seolah-olah sedang berzikir.
Maksud Rangkap 7
Sesetengah orang yang selalu berzikir kepada Allah Taala menyedari akan kebesaran dan keEsaan Allah tetapi di dalam hatinya tersimpan niat dan tujuan hendak enjadi lebih berkuasa daripada Allah Taala.
Maksud Rangkap 8
Riak yang berlebihan dalam kehidupan seseorang akan terkumpul menjadi banyak sebesar gunung. Apabila riak itu berlebihan, maka segala amalan seseorang itu tidaka akan diterima oleh Allah. Ada sesetengah keadaan, riak itu akan memakan diri seseorang itu. Apabila hal ini berlaku, Allah Taala akan suka kerana orang yang riak itu mendapat balasan.
                                                                 Tema
Syair Makna Riak bertemakan jenis-jenis sifat takbur (bangga diri) yang dimiliki oleh seseorang supaya dirinya mendapat pujian.
                                                                 Persoalan
1.  Beribadat kerana manusia (orang yang melakukan kebaikan untuk menunjuk-nunjuk)
2.  Berbuat kabaikan tetapi tidak menutup aurat.
3.  Sikap berpura-pura warak  tetapi hati masih tertarik dengan keindahan dunia.
4.  Menyampaikan ilmu bukan pada tempatnya.
5.  Menggunakan ayat melankolik untuk mendapatkan ganjaran.
6.  Pakaian melambangkan status (berpura-pura pakai pakaian seperti ulamak).
7.  Perasaan ujub dan bangga diri dengan berhasrat menyaingi kuasa Tuhan.
8.  Perbuatan riak akan menyebabkan semua amalan dan kebaikan tidak diterima oleh Tuhan.

KOMSAS TINGKATAN 5 (Pantun Lapan Kerat)


PUISI TRADISIONAL TINGKATAN 5                               
PANTUN LAPAN KERAT (HARUN MAT PIAH-PENYELENGGARA)
Buat bangsal di tengah hutan,
 Tebaslah hutan buat halaman,
                                Di tepi halaman menanam kubis,
                                                Diselang dengan pokok papaya;
Biarlah sabar dengan perlahan,
                 Itulah tanda tuan beriman,
                                Tidak patah digoncang iblis,
                                                Akhirnya tuan menang berjaya.
                                                                       
Ikan teluk parang-parang,
Anak ketam disangka lelabi,
Berburu musim tengkujuh,
Dapat buruan dibelah-belah;
Bukan makhluk sebarang-barang,
Cucu Adam sepaian nabi,
Turun dari langit ke tujuh,
Jadi khalifah kepada Allah.

Lengkang-lengkung apa dipaku,
Paku jatuh patah dua,
Menjadi riuh orang di darat,
Anak Cik Itam jatuh  jalar;
Bumi kandungan nenek moyangku,
Kerana lalai rosak binasa,
Kebudayaan Timur dinodai Barat,
Bahasa ibunda hina terbiar.


Maksud Rangkap 1
Orang yang sabar dalam setiap pekerjaan dan perbuatannya akan beroleh kejayaan. Tanda-tanda orang beriman ialah melalui perbuatan dan sifat sabar yang dimiliki oleh mereka. Orang yang beriman akan dapat menangkis gidaan dan hasutan iblis durjana.

Maksud Rangkap 2
Khalifah atau pemimpin Allah di muka bumi ini adalah berasal dari keturunan Nabi Adam. Hanya orang yang terpilih dan memiliki keistimewaan sahaja yang akan memimpin manusia di dunia ini.

Maksud Rangkap 3
Kedatangan penjajah Barat bukan sahaja mengaut hasil bumi negara kita tetapi turut mencemarkan kebudayaan dan nilai-nilai ketimuran yang diamalkan sejak sekian lama. Selain itu, bahasa ibunda masyarakat Melayu juga diabaikan kerana masyarakat menganggap bahasa Inggeris lebih tinggi statusnya.

Sunday, May 15, 2011

SELAMAT HARI GURU

KEPADA SEMUA GURU DI MALAYSIA,
SELAMAT HARI GURU...
SEMOGA SEMUA GURU DI MALAYSIA AKAN CEMERLANG
DALAM MEMBERI PENDIDIKAN KEPADA ANAK BANGSA NEGARA KITA.

GURU...
Tanpa guru NEGARA TIADA PEMIMPIN
Tanpa guru pujangga TIDAK DAPAT BERMADAH
Tanpa guru pesakit KETIADAAN DOKTOR
Tanpa guru para peniaga TIDAK MENDAPAT UNTUNG
Tanpa guru siapalah kita
Tanpa guru di manakah kedudukan ?
Tanpa guru tiada perubahan dalam hidup kita
Kerana guru adalah segalanya
Profesion keguruan adalah sunnahRrasullullah
KERANA kerjaya NABI MUHAMMAD SAW
ADALAH GURU DAN PEMIMPIN YANG BERWIBAWA.

Thursday, May 12, 2011

Kelemahan Manusia....Seperti Cikgunie...

Manusia yang diciptakan Allah seringkali melakukan kesilapan dalam setiap aspek kehidupan mereka. Apa yang ingin Cikgunie kongsikan dengan pembaca sekalian ialah kesilapan Cikgunie semasa menyiapkan proposal untuk memohon pembiayaan bank sebanyak RM200,000.00 untuk mendirikan sebuah kilang mengeluarkan kuih tradisional. Semasa menyiapkan laporan kewangan, iaitu aliran tunai masuk, Cikgunie terlupa untuk menyimpan maklumat yang telah direkodkan. Sebelum itu, Cikgunie meminta bantuan suami Cikgunie untuk mengedit dan menyemak semula semua penyata yang telah direkodkan. Suami Cikgunie pula jenis sentiasa berhati-hati dalam setiap pekerjaannya. Oleh itu, dia menyangka Cikgunie telah menyimpan semua data yang direkod dalam fail di komputer, lalu dia telah kansel semua data yang telah disemaknya kerana tiada langsung kesalahan rekod yang dicatat oleh Cikgunie. Selepas itu, bila suami Cikgunie buka semula fail aliran tunai itu untuk dicetak, suami Cikgunie dapati fail itu kosong. Pada masa itu, barulah dia bertanyakan Cikgunie, adakah Cikgunie telah menyimpan data yang merekodkan aliran tunai yang Cikgunie buat. Cikgunie bukanlah jenis orang yang buat kerja berkali-kali. Selagi tidak siap sesuatu kerja di komputer, Cikgunie tidak akan menyimpan fail itu dalam dokumen.Tentulah Cikgunie cakap Cikgunie belum lagi simpan rekod itu dalam fail. Kesannya, Cikgunie kena buat kerja dua kali dengan muka yang paling masam di dunia dan dengan hati yang membengkak mengalahkan gunung Kinabalu. Moral cerita, bila buat kerja sentiasalah beringat kerana satu kesilapan boleh memudaratkan hidup kita walaupun kesilapan itu paling kecil dan sebesar zarah sahaja.

Tuesday, May 10, 2011

Friday, May 6, 2011

IBUKU PERMULAAN HIDUPKU...

                                                                                                                       
SELAMAT HARI IBU....
Ibu....Ibu....Ibu....
Engkaulah Ratu Hatiku...
Bila ku berduka
Engkau mengubat luka
Bila ku gembira
Engkau tersenyum bahagia...
Ibu...
Bilakah masanya
Aku dapat menjadi sepertimu
Senyumanmu sentiasa di bibir setiap masa
Andai aku dapat tersenyum
Itulah kebahagiaan hakiki buatku.
ilusirasa : roussenie a.r

PERUTUSAN KHAS YAB PERDANA MENTERI

PERUTUSAN KHAS YAB PERDANA MENTERI 
SEMPENA HARI GURU 2011


Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
Salam 1 Malaysia,
Di zaman sekolah dahulu, Hari Guru adalah hari yang saya nanti-nantikan. Pengorbanan guru-guru kepada saya amat saya sanjungi. Saya pasti anda juga mempunyai perasaan yang sama.
Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua guru yang sentiasa ikhlas mencurahkan ilmu dan bakti tanpa penat dan lelah.Golongan guru sentiasa bersedia memberi pendidikan kepada anak-anak kita. Semoga mereka bakal memimpin negara kelak untuk kegemilangan semua. Saya doakan agar anak-anak kita penuh dengan ilmu di dada, kaya dengan agama, adat dan budaya.
Saya amat berbesar hati jika kita dapat saling berhubung dan mengeratkan lagi silaturahim. Hubungi saya pada bila-bila masa sahaja di laman Twitter (@NajibRazak) laman Facebook (Najib Razak) dan juga emel peribadi najib@1Malaysia.com.my
Selamat Hari Guru. Terima kasih atas perjuangan yang tidak ternilai.
Ikhlas daripada,
Najib Razak
16 Mei 2011

Thursday, May 5, 2011

Cerpen Tanggar Amanat


CERPEN TANGGAR AMANAT
Cerpen ini mengisahkan seorang usahawan eko-pelancongan pewaris ketujuh Ahmad Abdullah di Taman Nasional Yellowstone, Amerika Syarikat. Hawa merupakan pewaris Ahmad Abdullah dan isteri kepada Adam. Pakar geologis meramalkan akan berlaku letusan gunung berapi di sekitar Yellowstone dan berdasarkan pergerakan seismic yang sedang menghampiri Canyon Village. Grand Geyser melepaskan erupsi air panas dalam masa sehari kelmarin. Semuanya merupakan petanda bahawa Yellowstone akan bermandikan larva gunung berapi dalam masa terdekat. Adam berusaha memujuk isterinya meninggalkan Yellowstone dan pulang ke Malaysia. Hawa bertegas tidak mahu berpindah kerana moyangnya telah  menetap dan menjana ekonomi di Yellowstone bertahun-tahun lamanya sehingga menjadi sebuah empayar. Tiba-tiba  Hawa terasa loya dan pening yang amat sangat. Hawa terasa seperti gunung berapi di selatan Yellowstone telah meletus dan dia terdampar dalam kawah gunung berapi sehingga terhumban ke dalam sebuah terowong. Tiba-tiba dia terdengar suara seseorang member salam. Perkataan ‘bonda’ yang diucapkan oleh suara tersebut membuat Hawa tergamam. Siapakah gerangan yang sedang berbicara dengannya. Suara itu memberitahu Hawa bahawa dia berada dalam rahimnya sendiri dan dunia belum kiamat. Hawa melihat seketul objek berukuran 12 sentimeter di hadapannya. Barulah dia tahu itulah janin yang yang sedang dikandungnya.  Dia melihat janinnya yang sedang membesar di dalam rahimnya tersenyum manis. Janinnya  mengelus lembut jemarinya. Hawa terkasima dan menjadi kaget. Janinnya memberitahu bahawa dalam keadaan tertentu si ibu akan dapat berkomunikasi dengan janin yang sedang dikandungnya. Hawa mula rasa bahagia. Dia sedang berkomunikasi dengan janinnya sendiri. Tiba-tiba janinnya mengutarakan persoalan agar Hawa segera berpindah dari Yellowstone kerana Yellowstone akan berkubur dengan letusan gunung berapi. Sebagai pewaris kelapan, janin Hawa mahu hidup seperti insane yang lain. Kini tahulah Hawa bahawa dia sedang mengandungkan seorang bayi lelaki. Hawa teringat bahawa tempat seorang isteri ialah di sisi suami. Tidak lama kemudian, Adam pulang dan Hawa memberitahu keputusannya untuk pulang ke Malaysia.

Wednesday, May 4, 2011

Cerpen Hutan Rimba


CERPEN HUTAN RIMBA KARYA SASJIRA

Cerpen ini mengisahkan kekesalan hati seorang pemandu jentolak yang telah memusnahkan hutandara untuk pembangunan. Dalam sekelip mata, hutan dara yang dilitupi busana hijau itu menjadi gondola. Musnah semua busana rimba dirobek jentolak berjenama Caterpillar itu. Semua flora dan fauna, kecil besar, tua muda musnah dalam sekelip mata. Selama 30 tahun Pak Tua memandu jentolak itu untuk membersihkan hutan bagi membina kawasan perladangan kelapa sawit di hutan dara itu. Air mata kekesalan menitis dari kelopak matanya yang dipenuhi garis-garis halus. Pak Tua bertekad untuk menanam semula dan memulihara hutan yang telah ditebangnya suatu masa dahulu. Dia inginkan hutan itu merimbun dan menghijau semula. Dia juga mahukan mergastua dan segala jenis binatang dalam hutan itu kembali mendiami habitat masing-masing. Setiap hari Pak Tua merungut di depan isterinya, Mak Tua. Mak Tua tetap menyatakan Pak Tua tidak bersalah kerana dia hanya menjalankan tugasnya untuk mencari rezeki bagi membesarkan keempat-empat orang anaknya. Pak Tua, seorang lelaki yang berasal dari seberang dan berhijrah  mencari rezeki di Sandakan. Setiap hari dia melalui Sungai Kinabatangan dan di sanalah dia selalu Nampak gadis sungai sedang mencuci pakaian. Cintanya pun berputik dan akhirnya bersambut. Ayah Mak Tua menghalang kerana Pak Tua bukan warganegara namun kerana cinta Pak Tua berjanji akan menetap di Sabah. Akhirnya  mereka berkahwin dan dikurnia 4 orang anak. Keempat-empat orang anaknya belajar sehingga ke menara gading tanpa bantuan sesen pun daripada kerajaan.  Ajam, anaknya yang sulung menjalankan perniagaan pengangkutan bas antarkota,  Bakar, anaknya yang kedua lulusan Sarjana Pertanian bekerja sebagai pengurus estet ladang kelapa sawit, Melati, anak ketiganya bekerja sebagai pensyarah di sebuah Institusi Pengajian Tinggi dan anaknya yang bongsu Budi, seorang guru lulusan Sarjana Muda Pendidikan. Kini dengan usaha dan bantuan anak-anaknya PakTua cuba membina semula warisan hutan yang pernah dimusnahkannya dulu. Hutan simpan impian Pak Tua telah membuahkan hasil. Semua buah-buahan hutan terdapat dalam hutan simpan yang diusahakan oleh Pak Tua. Mak Tua tersenyum bangga kerana perkahwinannya yang pernah ditentang oleh ayahnya dahulu ternyata mengundang bahagia yang tidak terkata. Pak Tua tersenyum bangga kerana usahanya membuahkan hasil. Apa lagi dalam meniti usia senja seperti ini dia sudah bergelar haji dan hidupnya ditemani cucu-cucu dan anak-anak yang memahami hasratnya.                                                           

Tuesday, May 3, 2011


CERPEN PENANGGUNGAN

Cerpen ini mengisahkan Kapten Mamat yang menghadapi konflik dalam dirinya setelah didatangi oleh janda kelasinya Baharom. Masnah, janda arwah Baharo ialah saudara jauh sebelah bapanya. Masnah dating menuntut haknya sebagai seorang janda. Suaminya Baharom meninggal selepas jatuh dari tiang geladak kapal yang dikemudi oleh Kapten Mamat. Kapten Mamat sangat bersimpati dengan Masnah namun apa dayanya. Isteri Kapten Mamat cuba mententeramkan Masnah namun gagal. Masnah meluahkan kekecewaannya kerana nasibnya tidak terbela selepas kematian suaminya, Baharom. Kapten Mamat berjanji untuk membela nasib Masnah. Keadaan menjadi kelam kabut apabila, Masnah tiba-tiba pengsan. Isteri Kapten Mamat menyuruhn ya memanggil bomoh. Namun Kapten Mamat tidak percayakan khidmat bomoh lalu dia menggosokkan tapak kaki Masnah. Kemudian dia menyuruh isterinya memercikkan air ke muka Masnah. Akhirnya Masnah sedar dari pengsan. Kapten Mamat menyuruh Masnah balik ke kampong untuk menenangkan jiwanya. Dia juga menyuruh Masnah berjumpa doctor untuk mengetahui penyakit yang dialaminya. Masnah akhirnya akur dengan nasihat Kapten Mamat. Sehebat mana penanggungan masalah yang dihadapinya, Masnah akur dengan ketentuan Tuhan bahawa setiap yang hidup akan mati.

CERPEN IDOLA


CERPEN IDOLA karya ZAEN KASTURI
Cerpen ini mengisahkan seorang penjaga panggung yang sangat teruja ketika menyaksikan persembahan hero dalam drama bangsawan. Setiap kali dia masuk ke dalam panggung, dia sering membayangkan bahawa dirinyalah yang sedang berlakon di atas pentas. Penjaga panggung juga sentiasa berangan-angan hendak menjadi hero suatu hari nanti. Namun penjaga panggung hanyalah seorang lelaki miskin yang tinggal di kawasan setinggan. Dia juga mempunyai seorang isteri dan 10 orang anak. Isteri penjaga panggung sering menasihatinya agar berhenti berangan-angan kerana impiannya hanyalah seperti ular yang hendak menjadi naga. Sebagai seorang lelaki ego, penjaga panggung sering menganggap nasihat daripada isterinya seperti lalang ditiup angin. Penjaga panggung tetap dengan impiannya sehinggalah satu hari dia berkesempatan berbual dengan hero idolanya. Hero memberitahu penjaga panggung, hidup seorang pelakon sepertinya hanyalah untuk menghiburkan hati peminat yang datang menonton persembahannya. Hero menyatakan bahawa dia juga adalah manusia biasa yang hidup seperti orang lain. Mungkin keistimewaan yang ada padaanya ialah pandai berlakon tetapi hidupnya di luar panggung adalah seperti orang lain. Kini barulah penjaga panggung sedar bahawa setiap orang mempunyai kebolehan dan kemahiran masing-masing. Lagipun kehidupan seorang pelakon hanyalah untuk menghiburkan orang ramai dan bukan diri sendiri. Oleh sebab teruja dengan kebolehan orang lain penjaga panggung memandang rendah kebolehan sendiri. Akhirnya penjaga panggung meluahkan kekesalannya dengan membaling semua kerusi di dalam panggung dan merosakkan pentas sebagai tanda kebebasan pemikirannya.