Menitis air mata Cikgunie menatap laporan akhbar dan mendengar laporan dari televisyen mengenai kejadian tanah runtuh di rumah anak-anak yatim, Kajang. Dalam sekelip mata 16 nyawa melayang kerana tanah runtuh. Bukan hendak mencari salah siapa kejadian tanah runtuh berlaku sehingga menimbus hidup-hidup anak-anak yatim yang berusia dalam lingkungan 7-17 tahun. Apabila bergelar anak yatim, sudah tentulah kanak-kanak malang itu tidak mempunyai ibu atau bapa. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Kehidupan yang menghimpit memaksa kanak-kanak yang kematian ibu bapa menetap di rumah anak-anak yatim untuk meneruskan kelangsungan hidup. Ajal, maut, jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan. Siapalah kita hendak mengubah perjalanan takdir dan menentang hukum alam. Segala yang berlaku telah tersurat dan sebagai hambanya kita perlu redha dengan segala ketentuan hidup ini.
Sesekali cubalah kita renungkan sejenak. Letakkan diri kita dalam keadaan anak-anak yatim yang telah kehilangan ibu atau bapa ini. Lihatlah sekeliling kita. Adakah ada dalam kalangan saudara mara kita yang kematian ibu atau bapa dalam usia yang masih kecil. Jika ada, salahkah jika kita membantu anak-anak yatim ini menjadi anak angkat kita? Salahkah jika kita membantu anak-anak yatim ini seperti anak-anak kita sendiri? Salahkah jika kita mengambil berat akan kebajikan anak-anak yatim ini? Tentu tidak salah, bukan?Sebagai waris yang masih hidup, baik ibu atau bapa anak-anak yatim ini, perlukah kita meminggirkan zuriat kita dengan orang yang pernah kita sayang dengan meletakkan mereka di rumah anak-anak yatim? Haruskah? Mengapa kita mengambil jalan mudah meletakkan anak-anak yatim yang masih mempunyai waris di rumah anak-anak yatim? Susah sangatkah menjaga anak-anak yatim ini? Tepuk dada tanya selera kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jika hendak seribu daya, jika tidak mahu seribu dalih kerana masing-masing bersikap seperti enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing.
Nah, hasilnya 16 orang anak-anak yatim meninggal dunia dalam sekelip mata! Cikgunie sedia tahu, masyarakat sedia maklum dan waris anak-anak yatim memang mengetahui, menjaga anak-anak sendiri 2-3 orang pun kadang-kadang terabai, inikan pula menjaga berpuluh-puluh orang kanak-kanak yang berbeza sikap dan berlainan keturunan. Sangat sukar dan memang payah.Jadi, kita boleh bayangkan kanak-kanak yang berusia 7-10 tahun melakukan urusan seharian tanpa bantuan orang lain. Mampukah kanak-kanak sekecil itu melakukan urusan hariannya tanpa orang dewasa? Kita tidak boleh salahkan penjaga rumah anak-anak yatim kerana tenaga mereka tidak ramai. Kanak-kanak di rumah yatim akan belajar mengenal kehidupan setiap hari sehinggalah mereka dewasa sebelum waktunya. Tiada siapa yang akan membantu mereka. Pandai-pandailah menyesuaikan diri dan menguruskan sendiri. Justeru, apabila berlaku sesuatu musibah seperti kejadian tanah runtuh, mampukah kanak-kanak in i menyelamatkan diri? Siapakah yang akan sentiasa memerhatikan dan memantau aktiviti kanak-kanak ini selain rakan-rakan senasib mereka? Nasib mereka mungkin berubah jika mereka tinggal bersama waris mereka yang masih hidup. Cikgunie menulis berdasarkan pengalaman semasa melakukan kerja amal di sebuah rumah anak-anak yatim. Sangat mengharukan melihat kanak-kanak yang kehausan kasih sayang ibu bapa mereka meneruskan kelangsungan hidup di rumah anak-anak yatim. Apabila berlaku kejadian seperti ini, apakah tangisan waris anak-anak yatim ini mempunyai lagu dan irama? Jawapannya, mengalir air mata darah sekali pun, nyawa anak-anak yatim ini tidak akan kembali!
Sebelum nasi menjadi bubur, sebelum bisul menjadi barah, sebelum pasir menjadi pulau, sebelum tanah menjadi gunung, sebelum satu menjadi dua, sebagai ibu bapa yang mempunyai anak-anak, hargailah anak-anak kita. Sebagai waris yang mempunyai kaum keluarga yang sudah meninggal dunia, jenguk-jenguklah akan kerabat kita yang kehilangan ibu bapa bapa mereka. Jangan sampai kehidupan anak-anak yang kehilangan ibu atau bapa ini menggadaikan hidup mereka di rumah anak-anak yatim. Bagi ibu atau bapa pula, jika pasangan kita sudah meninggal dunia, janganlah dilupakan zuriat kita apabila kita berkahwin semula. Ingatlah, peritnya hidup anak-anak yatim yang masih mempunyai ibu atau bapa tetapi ditempatkan di rumah anak-anak yatim hanya Allah saja yang tahu. Tiada sesiapun yang mahu tinggal di rumah-rumah kebajikan seperti rumah anak-anak yatim selagi waris masih ada. Tidak luak sesaga emas, tidak luak segantang beras, tidak luak setitis air dan tidak luak segenggam tanah tanah jika kita memelihara naka-anak yatim seperti anak kita sendiri. Langit tidak selalu cerah, laut tidak selamanya bergelora dan hidup tidak semestinya menongkat langit, jadi hargailah apa yang kita ada. Anak-anak adalah anugerah Tuhan yang tiada nilainya.
No comments:
Post a Comment