Photobucket

Monday, May 16, 2011

Komsas Tingkatan 5 (GURINDAM)


Gurindam Tonggak Dua Belas
Hendak pandai menghargai masa,
Jangan dinanti esok lusa.

Ketekunan akan membawa kejayaan,
Kegigihan bekerja dengan keupayaan.

Wajah ceria keseronokan bekerja,
Usah berduka bermuram durja.

Hidup dalam kemuliaan kesederhanaan,
Bertindak dengan penuh kebijaksanaan.

Ketinggian peribadi jadi amalan,
Ketelusan hati jadi bekalan.

Kekuatan sifat baik hati,
Bertimbangrasa dan bersimpati.

Pengaruh kepimpinan melalui teladan,
Baik buruk jadikan sempadan.

Menjadi kewajipan menjalankan tugas,
Walaupun sederhana tetapi tegas.

Kebijaksanaan berhemat perlu diutama,
Tidak membazir teliti saksama.

Keutamaan kesabaran fikiran tenang,
Perkara susah menjadi senang.

Peningkatan bakat diberi sokongan,
Tunjukkan kebolehan jadikan dorongan.

 Nikmat mencipta budaya kreatif,
Kembangkan bakat semoga aktif.

Maksud Rangkap 1
Orang yang pandai menghargai masa ialah orang yang tidak bertangguh semasa melakukan sesuatu pekerjaan.
Maksud Rangkap 2
Orang yang tekun dan gigih bekerja akan mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka.
Maksud Rangkap 3
Keseronokan bekerja adalah penting kerana pekerjaan adalah satu ibadat. Jadi sentiasalah ceria semasa bekerja.
Maksud Rangkap 4
Orang yang bijak ialah orang yang sentiasa bersederhana dalam semua perkara yang dilakukan.
Maksud Rangkap 5
Ketinggian peribadi ialah orang yang sentiasa sabar dalam semua perkara yang dilakukan. Orang yang sabar ialah orang yang memiliki sifat yang terpuji dalam hatinya.
Maksud Rangkap 6
Sifat baik hati yang perlu diamalkan ialah mempunyai rasa simpati dan bertimbang rasa terhadap pekerja di bawah bimbingannya.
Maksud Rangkap 7
Seseorang pemimpin yang baik akan menunjukkan contoh dan teladan yang baik dan menjauhi perkara yang tidak elok agar dapat diikuti oleh pekerja-pekerjanya.
Maksud Rangkap 8
Setiap pekerja yang berdedikasi akan sentiasa menjalankan tugas dengan tegas tetapi sederhana dalam setiap tindakan.
Maksud Rangkap 9
Semua pekerja digalakkan berbelanja dengan berhemat apabila menggunakan duit kerajaan untuk mengelakkan pembaziran.
Maksud Rangkap 10
Sifat sabar dapat mendidik seseorang berfikir dengan tenang kerana sabar separuh daripada iman.
Maksud Rangkap 11
Setiap orang mempunyai keistimewaan dan kelebihan masing-masing. Oleh itu, kemahiran yang ada perlu ditonjolkan untuk dijadikan dorongan dalam mengasah bakat yang dimiliki.
Maksud Rangkap 12
Seseorang yang kreatif dalam melaksanakan tugasan dan tanggungjawab perlu diberikan ganjaran agar mereka dapat mengembangkan lagi bakat yang dimiliki.

No comments:

Post a Comment