HADIAH HARI GURU
Hari ini, 16 Mei 2011 merupakan Hari Guru. Seluruh negara menyambut Hari Guru sebagai tanda penghargaan kepada guru-guru yang telah mendidik setiap insan yang dilahirkan di Tanah Melayu sejak akhir abad ke-18 Masehi secara formal di madrasah-madrasah ketika itu. Corak pendidikan yang ada pada waktu ini berbentuk bukan formal. Ia wujud dan berkembang bersama-sama perkembangan agama Islam di negari-negeri Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan Melayu sejak abad ke 14 Masehi lagi. Pedagang Arab dan India yang beragama Islam datang berdagang ke Kepulauan Melayu untuk mencari bekalan rempah ratus dan minyak wangi. Pada waktu itu wujudnya institusi pendidikan yang dinamakan ‘sekolah pondok’. Sekolah pondok ini dibangunkan dan dimajukanbersama secara gotong royong di kalangan masyarakat setempat. Pada abad ke 18 dan 19, Terengganu, Kelantan dan Kedah merupakan negeri yang paling banyak sekolah pondok. Banyak tokoh agama muncul menyebarkan agama Islam di Semenanjung Tanah Melayu. Sekolah pondok juga merebak di Semenanjung Tanah Melayu termasuk Singapura.
Sehingga sebelum abad ke 20 masih tiada sistem dan organisasi pendidikanberbentuk formal.Pada akhir abad ke-19, barulah pendidikan vernakular mula mengambil tempat. Sistem pendidikan diwaktu ini adalah warisan budaya pendidikan zaman pemerintahan Inggeris. Pada zaman ini terbentuk lima jenis persekolahan iaitu Sekolah Vernukular Melayu, SekolahVernukular Cina , Sekolah Vernukular India, Sekolah Vernakular Inggeris dan Sekolah Agama ( Madrasah ). Ciri-ciri sebegini rupa terbentuk kerana mengambil kira faktor politik, ekonomi ,sosio-budaya dan agama.Sukatan pelajaran yang diajar ketika itu ialah mengenai bidang pertanian dan ilmu keagamaan. Selepas itu, pada awal abad ke-20, barulah sistem pendidikan di Tanah Melayu menggunakan sukatan pelajaran seperti ilmu hisab, ilmu alam, tawarikh, dan lain-lain lagi sukatan pelajaran yang diperkenalkan oleh penjajah Inggeris dan tokoh-tokoh pendidikan dari Cina dan India. Sekolah Vernakular Tamil dan Cina mengajar berlandaskan negara asal imigran tersebut. Tokoh-tokoh seperti W.G Shellabear dan R.O Winstedt telah memainkan peranan penting dalam memajukan sistem pendidikan di Tanah Melayu (maafkan Cikgunie kerana kenyataan ini seperti memuji orang Inggeris).
Sir Richard Winstedt yang menjadi Penolong Pengarah Pelajaran Sekolah-sekolah Melayu pada masa itu, mencadangkan ditubuhkan Maktab Perguruan untuk melatih guru-guru di Tanah Melayu. Cadangan R.O Winstedt telah diterima oleh kerajaan dan Residen-residen Inggeris pada 20 Oktober 1917. Tanjung Malim dipilih sebagai tapak penubuhan Maktab Perguruan kerana kedudukannya yang berhampiran dengan jalan keretapi, sungai dan pecan. Selain itu, tanah di kawasan Tanjung Malim sangat subur. Seluas 63 ekar tanah dibeli oleh kerajaan Inggeris dan kerja-kerja pembinaan bermula pada tahun 1919. Maktab ini siap sepenuhnya pada tahun 1922. Maktab ini mula beroperasi pada 23 Nov 1922 dengan tenaga pengajar 3 orang guru dari Eropah, 7 orang guru Melayu dan seorang guru anyaman dari Filipina. Maktab ini dibuka dengan rasminya oleh Sir George Maxwell, Ketua Setiausaha Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 29 November 1922. Maktab Matang yang wujud sebelum MPSI telah dibubarkan dan semua pelajar serta gurunya diserap di dalam MPSI.
Mata pelajaran yang diajar ialah Ilmu Hisab, Ilmu Alam, Sejarah, anyaman, cara bertani dan bertukang dan lain-lain lagi.Syarat kemasukan ialah lulus Darjah 6. Permulaan pelajar di MPSI ialah seramai 120 orang. Maktab Perguruan Sultan Idris melahirkan guru-guru untuk keperluan sekolah-sekolah di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua meletus. Pada masa Perang Dunia Kedua, MPSI dijadikan hospital tentera oleh kerajaan Inggeris dan pelajar dipindahkan ke Kuala Kangsar dan dengan ihsan Sultan Abdul Aziz, pelajar MPSI itu tinggal di tiga buah istana di Kuala Kangsar, iaitu Istana Hulu, Istana Kuning dan Istana Hilir.
Semasa pemerintahan Jepun ( 1941 hingga 1956 ) Pendidikan Tamil dan Pendidikan Melayu diteruskan dengan ditambah bahasa Jepun. Penubuhan sekolah Nippon-Go adalah untuk menggantikan Sekolah Vernukular Cina dan Inggeris. Pengajaran di sekolah ini lebih menekankan lagu-lagu klasik Jepun dan Kebudayaan Jepun. Selepas tamat Perang Dunia Kedua 1946, Inggeris kembali semula ke Tanah Melayu. Keadaan sistem pendidikan pada waktu ini bercelaru, orangMelayu telah mula mempunyai semangat nasionalisme manakala masyarakat imigran seperti Cina dan India masih mahu kekal bermastautin di Tanah Melayu. Selain itu, timbul kesedaran di kalangan orang Melayu untuk memajukan sistem pendidikan. Melalui pendidikan, ekonomi dan sosial orang Melayu berjaya ditingkatkan.Sesuai dengan tarafnya sebagai sebuah maktab yang terulung, pada 21 Februari 1987, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pelajaran ketika itu telah mengisytiharkan MPSI dinaikkan tarafnya menjadi sebuah institusi pendidikan dengan nama Institut Pendidikan Sultan Idris untuk mengendalikan Kursus Sijil Lanjutan Perguruan dan Diploma Lepas Sijil. Pada I Mei 1997, IPSI telah dinaikkan taraf menjadi sebuah universiti perguruan. Sesungguhnya hadiah buat seorang guru ialah kelahiran sebuah maktab perguruan yang terulung melahirkan para guru yang berkemahiran mendidik murid-murid pada hari ini. Tanpa Maktab Perguruan Sultan Idris, tokoh-tokoh ternama seperti Datuk Senu abdul Rahman, Embong Yahya, Syed Nasir Ismail, Ibrahim Yaakob, Abdul Rahman Talib, dan mantan Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba tidak dapat dilahirkan dan mungkin kita tidak akan bergelar guru pada hari ini.
Terima kasih MPSI sebagai Suluh Budiman untuk para guru.
Terima kasih MPSI sebagai Suluh Budiman untuk para guru.
No comments:
Post a Comment