CERPEN HUTAN RIMBA KARYA SASJIRA
Cerpen ini mengisahkan kekesalan hati seorang pemandu jentolak yang telah memusnahkan hutandara untuk pembangunan. Dalam sekelip mata, hutan dara yang dilitupi busana hijau itu menjadi gondola. Musnah semua busana rimba dirobek jentolak berjenama Caterpillar itu. Semua flora dan fauna, kecil besar, tua muda musnah dalam sekelip mata. Selama 30 tahun Pak Tua memandu jentolak itu untuk membersihkan hutan bagi membina kawasan perladangan kelapa sawit di hutan dara itu. Air mata kekesalan menitis dari kelopak matanya yang dipenuhi garis-garis halus. Pak Tua bertekad untuk menanam semula dan memulihara hutan yang telah ditebangnya suatu masa dahulu. Dia inginkan hutan itu merimbun dan menghijau semula. Dia juga mahukan mergastua dan segala jenis binatang dalam hutan itu kembali mendiami habitat masing-masing. Setiap hari Pak Tua merungut di depan isterinya, Mak Tua. Mak Tua tetap menyatakan Pak Tua tidak bersalah kerana dia hanya menjalankan tugasnya untuk mencari rezeki bagi membesarkan keempat-empat orang anaknya. Pak Tua, seorang lelaki yang berasal dari seberang dan berhijrah mencari rezeki di Sandakan. Setiap hari dia melalui Sungai Kinabatangan dan di sanalah dia selalu Nampak gadis sungai sedang mencuci pakaian. Cintanya pun berputik dan akhirnya bersambut. Ayah Mak Tua menghalang kerana Pak Tua bukan warganegara namun kerana cinta Pak Tua berjanji akan menetap di Sabah. Akhirnya mereka berkahwin dan dikurnia 4 orang anak. Keempat-empat orang anaknya belajar sehingga ke menara gading tanpa bantuan sesen pun daripada kerajaan. Ajam, anaknya yang sulung menjalankan perniagaan pengangkutan bas antarkota, Bakar, anaknya yang kedua lulusan Sarjana Pertanian bekerja sebagai pengurus estet ladang kelapa sawit, Melati, anak ketiganya bekerja sebagai pensyarah di sebuah Institusi Pengajian Tinggi dan anaknya yang bongsu Budi, seorang guru lulusan Sarjana Muda Pendidikan. Kini dengan usaha dan bantuan anak-anaknya PakTua cuba membina semula warisan hutan yang pernah dimusnahkannya dulu. Hutan simpan impian Pak Tua telah membuahkan hasil. Semua buah-buahan hutan terdapat dalam hutan simpan yang diusahakan oleh Pak Tua. Mak Tua tersenyum bangga kerana perkahwinannya yang pernah ditentang oleh ayahnya dahulu ternyata mengundang bahagia yang tidak terkata. Pak Tua tersenyum bangga kerana usahanya membuahkan hasil. Apa lagi dalam meniti usia senja seperti ini dia sudah bergelar haji dan hidupnya ditemani cucu-cucu dan anak-anak yang memahami hasratnya.
No comments:
Post a Comment