Photobucket

Sunday, July 31, 2011

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK

Kepada semua pembaca blog cikgunie.blogspot.com
SELAMAT MENYAMBUT BULAN KEMULIAAN UMAT ISLAM, IAITU 
BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK.
Bulan Ramadhan ialah bulan keberkatan dan sama-samalah kita meningkatkan keimanan
dan ketakwaan dalam diri kita semoga dosa-dosa kita selama ini diampunkan Allah s.w.t
niatharianpuasa
Doa Puasa Harian
doaberbuka
DOA BERBUKA PUASA

niatsebulanpuasa
Doa  Puasa Sebulan

MENU BULAN RAMADHAN....


MENU SEPANJANG RAMADHAN 1432H
TARIKH
MENU
CATATAN
1 RAMADHAN
Nasi Ayam + Puding Buah + Kuih Kaswi

2 RAMADHAN
Nasi Tomato + Bubur Pulut Hitam + Kuih Donat

3 RAMADHAN
Nasi Campur + Salad Buah + Cucur Udang

4 RAMADHAN
Nasi Himpit + Kuah Lontong + Kuih Keria

5 RAMADHAN
Nasi Kerabu + Bihun Sup + Kuih Kasturi (Kacang Hijau)

6 RAMADHAN
Mee Kari + Pengat Labu + Kuih Talam

7 RAMADHAN
Kuetiaw Kerang + Sup Ayam Berempah + Bubur Nasi

8 RAMADHAN
Nasi Beriyani + Cendol Utara + Kuih Sagu (Telur Katak)

9 RAMADHAN
Pulut Kuning + Rendang Tok + Pan Pizza Rusni Ahmad

10 RAMADHAN
Nasi Ayam + Karamel + Cokodok Pisang

11 RAMADHAN
Mee Rebus + Bubur Kacang + Lepat Ubi

12 RAMADHAN
Nasi Tomato + Bubur Ubi Manis + Kuih Lompang

13 RAMADHAN
Nasi Campur + Salad Makaroni + Buah Melaka

14 RAMADHAN
Nasi Himpit + Kuah Kacang + Puding Roti + Lepat Pisang

15 RAMADHAN
Mee Goreng Mamak + Pengat Pisang + Kuih Donat

16 RAMADHAN
Bubur Nasi + Sup Gear Box + Hawaiian Pizza Rusni

17 RAMADHAN
Nasi Beriyani + Bubur Jagung + Buah Melaka

18 RAMADHAN
Soto Makasar + Salad Buah + Cucur Udang

19 RAMADHAN
Nasi Kerabu + Cendol Nyonya + Kek Kukus

20 RAMADHAN
Pulut Lemak + Rendang Lampung + Kek Batik

21 RAMADHAN
Nasi Ayam Penyet + Sup Cendawan + Kuih Kasturi

22 RAMADHAN
Nasi Campur + Kerabu Pucuk Paku + Karamel

23 RAMADHAN
Bihun Sup + Sup Gear Box + Puding Roti

24 RAMADHAN
Nasi Himpit + Rendang + Kuah Kacang + Salad Buah

25 RAMADHAN
Nasi Beriyani + Bubur Pulut Hitam + Cokodok Pisang

26 RAMADHAN
Mee Kari + Bubur Manis + Cendol + Lepat Ubi

27 RAMADHAN
Nasi Kerabu + Puding Labu + Agar2 Lumut

28 RAMADHAN
Nasi Tomato + Sup Ayam Berempah + Kek Kukus

29 RAMADHAN
Nasi Dagang + Bubur Ubi Manis + Kuih Seri Muka

30 RAMADHAN
Spaggeti + Sup Cendawan + Pizza Suppreme Rusni


Thursday, July 28, 2011

FOKUS PROSA TRADISIONAL SPM 2011

Soalan  2 (c) : Prosa Tradisional

Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Dengan tidak berfikir panjang lagi, Tuanku Nakhoda Tua percaya dengan kata-kata jurumudi yang palsu itu, lalu baginda menitahkan Muslim  Cik Mas menikahkan puterinya dengan jurumudi itu.
            Apabila jurumudi dan Mualim sudah sedia di depan Tuanku Nakhoda Tua, masuklah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan  geramnya, “ Ya, ayahanda, tua orang tua, berakal; makin tua makin berminyak, tetapi tua ayahanda tua cendawan makin tua makin busuk!”
            Tuanku Nakhoda menjadi tersentak, “Hai anakku yang tidak tahu dek untung, mengapakah kau berkelakuan demikian ini di depan orang tua ?”
            “Kerana mata ayahanda sudah kabur dan telinga ayahanda sudah pekak, sebab itulah anakanda berkata demikian . Cubalah ayahanda lihat siapakah di dalam petak jubung yang dilingkari tali sauh itu?”
            Tuanku Nakhoda Tua  segara menjengah ke petak jubung. Dilihatnya ada seorang muda yang sangat tampan dengan wajahnya berseri-seri bagai purnama empat belas hari bulan . baginda tertegun kaum lalu kembali bertanya kepada puterinya. “ hai anakanda, siapakah pemuda yang di dalam jubung itu?”
            “Dialah budak hitam yang meminta tolong bayarkan hutangnya kepada ayahanda dulu, tetapi telah ayahanda nyahkan dia.”

                        (Dipetik daripada Pelayaran Yang Penuh Peristiwa, dalam Antologi  Harga Remaja, DBP)
           
           
(i)         Berikan maksud rangkai kata wajahnya berseri-seri bagai purnama
     empat  belas hari bulan                                                                              [2 markah]

(ii)      Apakah reaksi Tuan Puteri Dayang Seri Jawa apabila mendapat bahawa beliau akan
           dinikahkan dengan jurumudi palsu?
                                                                                        [3 markah]
(i)                 Sikap Tuan Puteri Dayang Seri Jawa terhadap ayahandanya dianggap kurang sopan.
Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu berhemah ketika berkomunikasi dengan ibu bapa kita?                                                                                [ 3 markah]
                                                

FOKUS BM KERTAS 2 SPM 2011....


Soalan 2(b) : Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


           “ Siew Lan tak suka dia punya anak,” Bibik menerangkan.
           “ Dia mahu kasi orang, tak ada orang mahu. Kalau tak ada orang mahu dia mahu buang  itu budak ,” Bibik menerangkan lagi. Mak Timah terperanjat mendengar penerangan Bibik. Anaknya Khatijah dan Munah, merenggek- renggek lalu menyuruh Mak Timah mengambil budak itu. Timbul rasa kasihan mendengar nasib bayi yang tidak berdosa itu. Munah dan Khatijah terus meminta dia mengambil anak Swee Lan. Sementara itu, hati Mak Timah bertambah belas mengenang budak itu akan dibuang. Dia belas pada kanak-kanak yang tidak berdosa. Mak Timah terfikir, dia akan mendapat pahala jika mengambil budak itu. Pada Mak Timah, jika pandai dibela akan besar juga nanti budak itu. “ Lu, mahu anak Swee Lan, ambillah. Kita kasi, kalau lu mahu. Semua duit angkat sumpah, kita kasi. Kita kasi lagi lu duit satu ratus lima puluh ringgit.” Bibik membuat tawaran seolah-olah menjual beli barang-barang lagaknya. Mak Timah terfikirkan hutang yang sedang ditanggung oleh suaminya. Duit seratus lima puluh ringgit pada masa itu, lumayan betul.

          Ambillah mak, ambillah. Jah nak adik, Jah nak adik!” Khatijah merengek, meminta dia mengambil anak Swee Lan. Mak Timah terfikir pahala yang akan didapatinya. Mak Timah terfikir amal yang bakal dibuatnya. Setelah berunding dengan suaminya, suaminya bersetuju. Setelah pergi ke mahkamah membuat surat sumpah, rasmilah anak Swee Lan menjadi anak angkat Mak Timah. Namanya Zahara binti Muhammad alias Yap Siew Hong. Gelarannya Pungut sahaja.


 (Dipetik daripada cerpen “ Pungut Alias Zahara Alias Yap  Siew Hong ”  dalam Antologi
Dirgahayu Bahasaku, DBP)


(i)                 Siapakah Pungut?  
                                                                                                            [2 markah]

(ii)               Pada pendapat anda, mengapakah Swee Lan tidak mahu membela anaknya?
                                                                                                                        [3 markah]

(iii)             Huraikan satu nilai kemanusiaan yang terdapat dalam petikan di atas dan satu lagi nilai kemanusiaan yang terdapat dalam keseluruhan cerpen ini.
                                                                                                                        [4 markah]




Monday, July 25, 2011

Sesat Di hujung Jalan, Balik Ke pangkal Jalan ...

Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia dikurniakan Allah s.w.t akal dan fikiran. Kegunaan akal dan fikiran adalah untuk membezakan perkara jahil dan batil. Kadang-kadang sebagai insan biasa, manusia terdorong melakukan sesuatu yang di luar jangkauan pemikiran mereka sehingga tidak menyedari bahawa apa yang dilakukan itu melanggar norma dan batas kemanusiaan. Apabila hal yang tidak berasas ini dilakukan, barulah kita menyedari bahawa apa yang kita lakukan itu tidak wajar. Setelah menyedari kesilapan diri, eloklah kita bermuhasabah apakah perkara yang kita lakukan itu sesuai dengan taraf kita sebagai makhluk Allah. Setiap makhluk Allah pasti melakukan kesilapan dalam hidup mereka kerana kita bukanlah maksum seperti para Nabi. Kita juga bukanlah para wali yang sentiasa bertahajjud dan berzikir dengan nama Allah. Oleh itu, apabila menyedari kesilapan diri, maka perbaikilah segala kekurangan diri agar kita sentiasa berada dalam limpahan kasih sayang Allah s.w.t. bak kata pepatah sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Segalanya di tangan kita. Nasib baik dan buruk kita adalah kerana sikap kita. Masa depan kita juga bergantung kepada sikap kita hari ini. Untuk memilih intan dan permata, kita perlu menghindarkan ribuan pepasir. Namun untuk memilih kebaikan kita perlu menghindarkan seribu kajahatan. Tiada yang sempurna di dunia ini melainkan fikiran yang bersih dari noda dan cela. Sama-samalah kita mengucapkan kalimah "Astagfirullah al-'Azim.." apabila tersedar bahawa kita telah melakukan kesilapan.

Thursday, July 21, 2011

FRASA MENARIK....

Filosof Confuciuos ada berkata:
APALAH GUNA TIDUR SEBANTAL JIKA MIMPI KITA BERBEZA-BEZA, LEBIH BAIK BERLAINAN BANTAL NAMUN MIMPI KITA TETAP SAMA....

Wednesday, July 20, 2011

UNGKAPAN MENARIK HARI INI....

Perkataan paling indah ialah ALLAH.













                                           Lagu paling merdu ialah AZAN.


















Ensiklopedia paling sempurna ialah AL-QURAN.












                                             
Senaman paling baik ialah SOLAT.

Tuesday, July 19, 2011

Sinopsis Prosa Tradisional Antologi SKSH

HIKAYAT CENDAWAN PUTIH
Kisah ini bermula dengan keadaan RAJA INDERA KEMALA PUTERA yang jatuh sakit selepas berperang sehinggau tubuhnya menjadi kurus kering. Rakyat negeri itu pun semakin sunyi kerana ramai yang mati dalam peperangan tersebut. RADEN KESUMA WATI sangat sedih lalu meminta  ahli nujum melihat keadaan RAJA INDERA KEMALA PUTERA itu. Ahli nujum pun sepakat menyatakan bahawa penyakit raja akan sembuh apabila mendapatkan TELUR BURUNG MERPATI PUTIH YANG BERSARANG DALAM TELINGA NAGA DI ATAS GUNUNG MERAKSA DEWA. Selepas itu ramailah rakyat negeri itu yang keluar mencari telur burung merpati itu namun tiada seorang pun yang berjaya sampai ke tempat itu.
Selain itu, di negeri MELAKA PURA, rajanya yang bernama RAJA SHAH DEWA ALAM bermimpi baginda makan telur burung merpati putih. Maka baginda pun menyuruh segala rakyatnya mencari telur burung merpati putih itu. Namun sampai ke sudah, tiada seorang pun rakyatnya yang berjumpa dengan telur burung merpati putih itu. Puteri baginda yang bernama TUAN PUTERI PELINGGAM CAHAYA sangat sedih dan susah hati. Semasa tidur TUAN PUTERI PELINGGAM CAHAYA bermimpi seorang perempuan tua memberitahunya bahawa tempat burung merpati putih itu di atas GUNUNG MERAKSA DEWA. Dan sarangnya di dalam telinga naga. Selepas terjaga, TUAN PUTERI PELINGGAM CAHAYA menitahkan ahli MANGKUBUMI menyeru sekalian rakyat dan pahlawan terbilang untuk mencari telur merpati putih itu. Sekalian hulubalang memberitahu ahli MANGKUBUMI bahawa mereka baru saja pulang daripada mencari telur burung merpati putih itu yang sememangnya tiada dalam dunia ini. Apabila mengetahui hal itu, PUTERI PELINGGAM CAHAYA pun menitahkan agar ahli MANGKUBUMI menjaga ayahandanya dan beliau sendiri yang keluar untuk mencari telur burung merpati putih itu. Pemergian TUAN PUTERI PELINGGAM CAHAYA disertai oleh tiga laksa rakyat dan seorang menteri yang gagah serta 800 hulubalang yang tahan tetak, tahan gergaji , tahan rendam dan tahan bakar. Mereka pun memulakan perjalanan menuju hutan belantara.
Setelah beberapa lama berjalan, ramailah rakyat dan pengikut TUAN PUTERI PELINGGAM CAHAYA yang mati kerana kelaparan dan tidak cukup tidur. Menyedari hal itu, TUAN PUTERI PELINGGAM CAHAYA menitahkan agar semua rakyatnya kembali ke dalam negeri dan mana-mana yang masih bertahan, bolehlah meneruskan pengembaraan bersama-sama baginda. Namun tidak lama kemudian, semua hulubalang dan rakyat yang mengikut baginda hilang entah ke mana. Tinggallah TUAN PUTERI PELINGGAM CAHAYA seorang yang meneruskan perjalanan. Tujuh hari perjalanan yang tiada arah tujuan itu, TUAN PUTERI PELINGGAM CAHAYA bertemu seorang pemuda tampan dan seekor kuda sedang berehat di bawah pohon beringin. Pemuda lagak hulubalang itu sedang tertidur di atas batu di bawah pohon beringin itu. Di atas dada hulubalang itu ada sebilah keris yang panjangnya 4 hasta. TUAN PUTERI LINGGAM CAHAYA pun mengambil keris itu lalu menikan leher pemuda itu hingga mati. TUAN PUTERI PELINGGAM CAHAYA pun menukarkan bajunya dengan baju hulubalang itu lalu mengambil kuda hitam itu. Dengan gaya seorang lelaki, TUAN PUTERI PELINGGAM CAHAYA menunggang kuda itu selama 4 hari sehingga bertemu sebuah negeri bernamaq KESAMBI PURA. Di negeri itu, TUAN PUTERI PELINGGAM CAHAYA menukar namanya kepada nama lelaki iaitu BANGBANG GAJAH MERTA.
BANGBANG GAJAH MERTA pun menceritakan perihal dia hendak mencari telur burung merpati putih kepada raja negeri KESAMBI PURA. Raja negeri KESAMBI PURA ketika itu sedang mencari menantu untuk puterinya. Oleh itu baginda menjemput BANGBANG GAJAH MERTA untuk menyertai pertandingan mencari menantu bagi puterinya.  Pertandingan itu sangat sukar tetapi amat mudah bagi BANGBANG GAJAH MERTA. Pertandingan itu mensyaratkan MENGAMBIL LIMAU NIPIS DALAM LUBANG TANAH YANG DALAMNYA SEHASTA TETAPI TIDAK BOLEH DIAMBIL DENGAN KAYU ATAU BILAH LIDI TETAPI HANYA DITERIMA JIKA DIAMBIL DENGAN MENJEMPUT LIMAU KASTURI ITU DENGAN 3 JARI. Semua peserta mengaku kalah sehingga tiba giliran BANGBANG GAJAH MERTA.
BANGBANG GAJAH MERTA menuangkan satu kendi air dalam lubang tanah itu maka timbullah buah limau kasturi itu. Dengan menggunakan 3 jarinya, baginda pun menjemput limau kasturi itu lalu diberikannya kepada RAJA KESAMBI PURA. Raja itu pun menyuruh orang menyediakan persiapan perkahwinan puterinya TUAN PUTERI RATNA MELUR dengan BANGBANG GAJAH MERTA tanpa mengetahui sebenarnya BANGBANG GAJAH MERTA juga seorang puteri raja. Akhirnya BANGBANG GAJAH MERTA pun berkahwinlah dengan TUAN PUTERI RATNA MELUR. Selepas berkahwin, BANGBANG GAJAH MERTA pun meneruskan perjalanan mencari telur burung merpati putih. Dalam perjalanannya baginda bertemu dengan seekor singa lalu menggeletarlah badannya. Tetapi singa itu boleh bercakap dan singa itu juga tahu bahawa BANGBANG GAJAH MERTA ialah PUTERI PELINGGAM CAHAYA. Singa itu menyuruh TUAN PUTERI PELINGGAM CAHAYA menunggu sehingga 10 hari lagi di situ kerana anak raja KEMALA PUTERA iaitu RADEN KEMALA NINGRAT akan datang ke situ untuk mengambil telur burung merpati putih. Selepas itu BANGBANG GAJAH MERTApun menukar pakaian perempuan dan duduk di dalam telinga singa itu. (Cerita ini panjang sangat...sambungan kemudian...)

Sinopsis Prosa Tardisional Antologi SKSH

HIKAYAT INDERA NATA
Cerita ini mengisahkan pengembaraan Putera raja yang terbuang. Indera Nata mengikut ibunya yang diceraikan oleh ayahandanya kerana telah tertukar perwatakan dengan Si Kembar Batu, iaitu orang asli di hutan. Dalam misi membalas dendam, Raja, Indera Jenaka dan Si Kembar Batu telah mati dibakar oleh Indera Nata. Ketujuh-tujuh orang puteri yang telah diselamatkan oleh Indera Nata turut meraikan kegembiraannya. Namun apabila bondanya Tuan Puteri Cenderawati menyatakan bahawa raja yang mati itu ialah suaminya dan ayahanda kepada Indera Nata maka dia sangat sedih. Salah seorang isteri Indera Nata iaitu Tuan Puteri Cendera Kesuma mempunyai ilmu menghidupkan orang mati. Maka Tuan Puteri Cendera Kesuma pun menyeru gemala  hikmat kesaktian pemberian Betara Gangga sehingga raja itu pun hidup semula. Raja itu menyatakan keinsafannya setelah dia menyedari dia tertipu dengan Si Kembar Batu sehingga mengusir anak dan isterinya daripada negeri Rom.  Dalam usaha memujuk isterinya supaya kembali bersamanya semula, Raja Rom pun menangis dengan hibanya. Akhirnya Puteri Cenderawati menerima semula suaminya Raja Rom itu.
Selepas itu, datanglah seekor raksasa yang tidak puas hati kerana Indera Nata telah melarikan tujuh orang puteri yang ditawannya. Indera Nata telah dibekalkan gemala kesaktian milik Tuan Puteri Cendera Kesuma untuk berlawan dengan raksasa itu. Raksasa itu pun berlawan dengan Indera Nata dan akhirnya Indera Nata dapat menewaskan raksasa yang teramat besar itu. Kemudian, ibu bapa puteri-puteri itu pun datang ke Rom untuk mengambil anak mereka semula. Namun apabila melihat ketampanan dan ketangkasan Indera Nata, mereka pun mengembalikan puteri-puteri mereka kepada Indera Nata. Namun Indera Nata hanya mengahwini  4 daripada 7 orang puteri itu termasuk puteri yang disayanginya Tuan Puteri Cendera Kesuma.

Monday, July 18, 2011

Antologi Seuntai Kasih Secebis Harapan

Maka kata Indera Nata, “Wah, ayahanda, janganlah ayahanda menyatakan salah yang demikian itu kerana pekerjaan itu ayahanda tiada tahukan halnya kerana pada bicara patik, adapun kita manusia hidup di dalam dunia ini lupa dan lalai melainkan yang tiada lupa dan lalai hanya Tuhan kita juga Yang Maha Kuasa dan Maha Tinggi itulah adapun kita manusia ini ingat dan lupa barang sesuatu pekerjaan hendaklah diperiksakan dengan sehabis-habis periksanya dengan fikir dan jikalau kita perbuat barang sesuatu yang tiada periksa maka kemudiannya nanti menyesal juga. Maka itulah kita manusia baiklah menyesal dahulu daripada kemudian.”
(dipetik daripada Hikayat Indera Nata, Antologi Seuntai kasih Secebis Harapan)

Maka tuan Puteri  itu pun singgahlah di sana lalu baginda naik ke darat. Sebermula maka dilihatnya suatu pun tiada kayu yang lain melainkan hanyalah kayu rumbnia juga yang ada.buahnya pun sedang masak belaka. Maka segala dayang-dayang itu pun mengambil buah rambnia itu lalu dimakannya. Maka bijinya itu pun dilemparkan ke tanah. Maka dilihatnya tumbuh pula kembalidan jadi besar pohonnya dan lalu berbuah pula. Dapat dimakannya buah itu dengan seketika itu juga. Syahadan maka tuan puteri dan segala dayang-dayang itu pun hairanlah melihat hal buah kayu rumbnia itu seraya fikir di dalam hati baginda, “Sebab buah rumbnia inilah gerangan maka saudaraku tiada kembali lagi.” Maka air mata tuan puteri itu pun bercucuranlah tiada terasa lagi cucur sebab terkenangkan saudara baginda itu. Maka tuan puteri itu pun bertitah kepada segala isi bahtera itu, “Kosongkan suatu petak dan muatkan olehmu tanah pulau ini.” Maka segala orang isi bahtera itu pun bermohonlah bermuatlah tanah pulau itu sambil berkata-kata, “ Inilah susahnya kita belayar dengan  orang perempuan ini dan orang yang lain bermuat segala dagangan, akan kita ini bermuat segala tanah; hendak berkebun rupanya nakhoda kita ini di dalam bahtera ini.”

(dipetik daripada Hikayat Nakhoda Muda dalam Antologi Seuntai Kasih Secebis Harapan)


TEKS PROSA TRADISIONAL DALAM ANTOLOGI SEUNTAI KASIH SECEBIS HARAPAN

  1. HIKAYAT INDERA NATA 
  2. HIKAYAT CENDAWAN PUTIH
  3. HIKAYAT PUTERA JAYAPATI
  4. HIKAYAT SERI KELANTAN
  5. HIKAYAT NAKHODA MUDA
  6. HIKAYAT CAYA LANGKARA

Antologi Seuntai Kasih Secebis Harapan

PANTUN BUDI

Akar keladi melilit selasih,
    Selasih tumbuh di hujung taman,
Kalungan budi junjungan kasih,
    Mesra kenangan sepanjang zaman.

Ambil galah jolok ramunia,
    Kait  mari sampai berdiri,
Kita hidup di atas dunia,
    Buat baik taburkan budi.

Ambilkan saya buah delima,
    Masak sebiji di balik daun,
Budi tuan saya terima,
    Jadi kenangan bertahun-tahun.

Anak dara berkain cukin,
    Dari Daik bulan puasa,
Tidak kira kaya miskin,
    Asalkan baik budi bahasa.

Baju bercorak tiada benia,
    Pakaian anak Panglima Garang,
Emas dan perak pengaruh dunia,
    Budi yang baik dijunjung orang.

Antologi Seuntai Kasih Secebis Harapan


GURINDAM DUA BELAS - FASAL KESEBELAS

Hendaklah berjasa,
Kepada yang sebangsa.

Hendaklah jadi kepala,
Buang perangai yang cela.

Hendaklah memegang amanat,
Buanglah khianat.

Hendak marah,
Dahulukan hujah.

Hendak dimalui,
Jangan melalui.

Hendak ramai,
Murahkan perangai.

UJIAN LISAN BAHASA MELAYU

CONTOH PERSEMBAHAN BERKUMPULAN (FORUM)

TAJUK: MELESTARIKAN ALAM SEKITAR

Dewasa  ini, arus modenisasi dan globalisasi telah memesatkan pembangunan negara. Pelbagai projek sosioekonomi dijalankan dengan begitu rancak namun secara tidak sedar alam sekitar kita sudah terjejas. Hal ini merupakan kemelut yang terpaksa dihadapi oleh negara kita. Kita sebenarnya tersepit antara keinginan menjadi sebuah negara maju dengan alam sekitar yang perlu dipelihara, bak kata peribahasa “ditelan mati emak, diluah mati bapa”. Untuk mengupas isu ini dengan lebih jelas, satu perbincangan ilmiah telah dianjurkan oleh Persatuan Pencinta Alam Sekolah Menengah St. Anthony dengan menjemput pelajar Tingkatan 5 Adhara sebagai ahli panel.

Lennon: Salam sejahtera kepada Cikgu Rusni dan rakan sekalian. Pada pagi ini kami akan menyampaikan forum yang bertajuk Melestarikan Alam Sekitar. Sebelum membincangkan tajuk forum ini, saya Tony Tan mewakili kumpulan saya  mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Rusni kerana beliau telah memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada kami untuk melaksanakan  ujian lisan ini. Sempena kempen “Sayangi Bumi Kita” yang sedang berlangsung di seluruh negara, Persatuan Pencinta Alam Sekolah Menengah st. Anthony mengambil kesempatan untuk bersama-sama membantu kerajaan memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan alam ini kepada kita. Hal ini amat mengerikan kerana selama ini kita semua hidup dalam sebiji “belon” yang terlalu kotor.
Oleh itu, bagi membincangkan fenomena ini dengan lebih lanjut lagi bermaklumat, saya telah menngundang empat orang tokoh yang terlibat dalam pelestarian alam sekitar secara langsung, iaitu di sebelah kanan saya Saudara Kenji Yap.  Di sebelah kiri saya pula Saudara Goh Boon Ong seterusnya Saudara Melvin Tan dan yang terakhir Saudara Ng Yu Haw.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
Semua yang berlaku mesti ada permulaannya. Setiap isu ada pokok pangkalnya, begitu juga dengan masalah pencemaran ini. Terlalu banyak pendapat yang diutarakan tentang pencemaran air, udara dan bunyi. Oleh itu,  kita dengar pendapat saudara Yap tentang persoalan ini.  Silakan Saudara Yap.

Yap: Terima kasih Pengerusi. Sebelum saya membincangkan punca-puncanya,  saya rasa lebih baik diterangkan terlebih dahulu maksud pencemaran. Pencemaran alam sekitar membawa maksud perbuatan mencemarkan alam sekitar dengan unsur-unsur yang kotor. Maka, sesuatu yang pada asalnya bersih dan dapat digunakan dengan baik dan selamat telah menjadi kotor dan mendatangkan kemudaratan apabila digunakan.
Punca-punca yang diwartakan  sebagai penyebab pencemaran terbahagi kepada dua jenis.  Pertama,  pencemaran yang disebabkan oleh faktor semula jadi dan kedua, pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia.
Pencemaran yang disebabkan oleh faktor semula jadi ialah pencemaran yang berlaku dengan sendirinya setelah berlakunya bencana alam seperti letusan gunung berapi, dilanda ribut taufan, gempa bumi, dan sebagainya.  Pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia pula ialah pencemaran yang dilakukan oleh manusia sama ada sengaja atau tidak sengaja. Antaranya ialah pencemaran udara;  contohnya   gas-gas beracun dan zarah-zarah yang terperangkap hasil daripada asap kenderaan, jerebu daripada kesan pembakaran secara terbuka, dan sebagainya. Pencemaran air pula disebabkan oleh pembuangan air kumbahan, sisa-sisa kimia, haba, pembuangan sampah dan sebagainya.  Pencemaran tanah pula berpunca daripada pemusnahan hutan akibat pembalakan, pembuangan sisa-sisa kimia, dan sisa-sisa pepejal .
Saya rujuk pencemaran akibat aktiviti manusia yang dipetik dari laman web sebagai perbincangan. Di Malaysia, hampir 90 -95% kawasan pedalaman telah mempunyai sistem jalan raya. Hal ini bermakna, jumlah kenderaan bermotor di negara kita telah meningkat secara keseluruhannya. Namun begitu, kenderaan bermotor merupakan penyumbang terbesar pencemaran udara di negara kita. Rujukan saya seterusnya ialah pencemaran laut.  Lebih 90% daripada punca pencemaran laut disebabkan oleh aktiviti manusia dan baki 10% berpunca daripada sektor perkapalan. Dapatan ini berdasarkan kajian Persatuan Pencinta Alam, bertajuk “Tumpahan Minyak Yang Meracuni Perairan Malaysia”, yang disiarkan dalam majalah Dewan Kosmik (Mac), DBP, Kuala Lumpur, 1995, m.s.:53-55) 
Bagi pencemaran tanah pula, saya rujuk pada penerokaan hutan. Hutan memang mempunyai nilai komersial dalam ekonomi negara. Hutan didapati membekalkan kayu balak dan kertas yang merupakan sumber penting bagi pendapatan mata wang asing . Di kawasan tropika, rotan dianggarkan menyumbangkan nilai tahunan sebanyak RM 1200 juta setahun dalam perdagangan dunia. Akan tetapi, pengeksploitasian hutan yang melampau untuk tujuan pembalakan, pertanian, perternakan, dan sebagainya telah mengakibatkan pencemaran alam yang sangat dahsyat .
Oleh itu, jelaslah pencemaran alam sekitar banyak dilakukan oleh tangan-tangan manusia berbanding dengan kejadian pencemaran semula jadi seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, dan ribut taufan. Setakat ini sahaja pendapat saya tentang punca-punca pencemaran, Saudara Pengerusi Lennon.

Lennon: Terima kasih Saudara Yap kerana memberikan pandangan yang bernas. Jika teliti, memang benar pencemaran banyak dicetuskan oleh manusia sendiri. Apabila keuntungan yang tergambar di hadapan mata, nilai-nilai murni tidak lagi menjadi pegangan. Yang menyedihkan ialah semua penduduk dunia merasai kesan negatifnya sedangkan yang melakukan kerosakan hanyalah segelintir manusia. Bagi melihat sejauh mana fenomena buruk pencemaran ini, kita tujukan permasalahan ini kepada Saudara Melvin.  Silakan Saudara Melvin.

Melvin: Terima kasih Saudara Lennon. Tentang kesan buruk pencemaran ini, saya berpendapat bahawa sekalian umat manusia atau semua rakyat Malaysia telah mengetahui dan menontonnya di televisyen atau melayari Internet. Kesan yang amat dirasai sekarang gara-gara pencemaran udara ialah pemanasan global yang semakin meningkat dari hari ke hari. Pemanasan global telah mengubah cuaca dan sistem iklim dunia. Ribut taufan, misalnya, berlaku dengan amat kerap.  Selain itu, berlakunya pencemaran serius secara global seperti kesan rumah hijau, pemusnahan ozon dan hujan asid. Sementara itu, pengeluaran gas monoksida, iaitu sejenis gas beracun yang boleh membunuh sekiranya terkumpul dalam kawasan yang tertutup. Sejenis unsur lagi yang boleh terhasil melalui penggunaan kenderaan bermotor ialah plumbum, iaitu sejenis bahan kimia yang sangat beracun dan boleh menyebabkan kerosakan otak, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak .
Seterusnya, kita lihat pula kesan pencemaran air.  Saya ambil bukti yang dipetik dari laman web semasa berlaku di Jepun iaitu Teluk Minamata, Jepun. Pencemaran toksik terdapat dalam air menyebabkan simptom kebas-kebas, sakit kepala, kabur penglihatan dan penuturan yang tidak betul. Sesetengahnya berakhir dengan kelumpuhan dan ada yang menemui maut. Simptom yang disebabkan oleh keracunan raksa ini telah membabitkan beratus-ratus keluarga nelayan. Penyakit ini seterusnya dikenali sebagai penyakit Minamata.
Kesan pencemaran bukan sahaja dialami oleh manusia bahkan turut memberikan kesan kepada hidupan yang lain. Antara kesan pencemaran yang banyak membunuh hidupan akuatik di perairan cetek ialah kesan tumpahan minyak ke laut. Apabila tumpahan minyak berlaku dengan banyak berhampiran dengan persisiran pantai, lapisan minyak yang mengancam hidupan laut serta burung terbentuk. Tumpuhan tersebut juga turut menjejaskan tumbesaran dan kesuburan plankton yang boleh mengurangkan pembiakan makanan laut dalam jangka panjang akan mengancam sumber pendapatan ataupun periuk nasi nelayan.

Goh:  (angkat tangan)

Lennon: Ya, saudara Goh.

Goh: Minta maaf, saya ingin membuat tambahan atas informasi daripada Saudara Melvin. Antara kesan yang dianggap kronik ialah anomalia, iaitu pembesaran tubuh dan tingkah laku yang tidak normal serta kurang daya ketahanan badan kesan penggunaan sumber air yang tersebut. Demikianlah sedikit banyak pendapat saya Saudara Pengerusi.

Lennon: Terima kasih Saudara Goh dan Melvin. Nampaknya, dampak atau pun impak pencemaran ini bukanlah sekadar berlaku di negara kita yang tidak diselia rapi .Oleh itu, beberapa langkah perlu dikenal pasti untuk mengatasi isu yang serius ini. Saya mempersilakan Saudara Goh memperkatakan langkah-langkah yang telah, sedang dan akan diambil oleh kerajaan.

Goh: Terima kasih dan salam sejahtera semua. Apabila disebut pencemaran yang teruk itu, tentu terfikir di benak kita tiadakah cara untuk mengatasi permasalahan ini. Antara langkah yang telah dilaksanakan ialah menggalakkan orang ramai menggunakan petrol tanpa plumbum bagi kenderaan bermotor. Selain itu, mencari alternatif selain minyak juga adalah penting bagi tujuan mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar. Dua bahan alternatif yang dicadangkan ialah gas asli (natural gas) dan propana.
Dewasa ini, kajian bagi menghasilkan minyak enjin biomassa daripada tumbuh-tumbuhan sedang giat dijalankan. Contohnya di negara kita, ahli sains telah pun menemukan sejenis minyak daripada kelapa sawit yang boleh mengurangkan pencemaran udara tanpa menjejaskan kecekapan enjin. Sungguhpun penemuan ini masih terlalu baru untuk dipastikan sama ada minyak ini praktikal ataupun tidak,  alternatif  ini patut dijadikan satu titik permulaan bagi meningkatkan usaha kita ke arah mencapai konsep pembangunan berterusan yang prihatin terhadap persekitaran.

Ng: Bukan sahaja di dalam negara kita, di peringkat antarabangsa, Malaysia dan Indonesia melalui ASEAN telah menyalurkan pandangan mereka mengenai isu-isu Selat Melaka. Satu rancangan yang dikenali sebagai Rancangan Kontigensi Kebangsaan Mengawal Tumpahan Minyak telah diadakan di Jabatan Alam Sekitar. Objektif  kerjasama serantau ini ialah bagi merealisasikan kerjasama serantau untuk membolehkan satu tindakan serta-merta dijalankan bagi mengawal tumpahan minyak yang tumpah di perairan Malaysia . saya rasa itu sahaja  antara langkah yang telah dilaksanakan oleh kerajaan kita bagi menangani isu ini.

Lennon: Hadirin sekalian, demikianlah pandangan ahli panel forum kita pada hari ini. Semoga, segala maklumat yang diperoleh dalam perbincangan ilmu ini memberikan kesedaran kepada kita untuk menjaga alam sekitar. Apa yang nyata ialah pencemaran sebenarnya berlaku kerana hasil kerja tangan-tangan rakus sebahagian daripada kita.  Sewajarnya kita sedar bahawa bumi ini sahajalah tempat tinggal kita. Oleh itu, sama-samalah kita memulihara dan memelihara keindahan alam sekitar kita. Sekian, terima kasih.