Photobucket

Sunday, July 17, 2011

LUPA ATAU PELUPA...

PENGALAMAN 17072011

Setiap manusia dikurniakan akal oleh Allah s.w.t. Maka dengan akal manusia berfikir untuk membezakan baik dan buruk setiap perbuatan mereka. Namun, kadang-kadang akal berfikir di luar jangkauan pemikiran dan kadangkala akal tidak dapat berfungsi dengan baik. Justeru, berlaku masalah pelupa dalam hidup seorang insan yang bernama manusia. Di sini, Cikgunie ingin berkongsi pengalaman yang berlaku pada 17072011. Hari ini merupakan hari yang amat bermakna bagi Cikgunie.
Anak perempuan tunggal Cikgunie telah mewarisi bakat Cikgunie dalam bidang masakan. Oleh itu, beliau telah dipilih oleh guru sekolahnya menyertai pertandingan memasak anjuran MAGGI dan NESTLE. Selalunya sesuatu yang tidak disangka akan berlaku apabila suami Cikgunie berkursus atau tiada di sisi Cikgunie. Hari ini Cikgunie suami Cikgunie berkursus dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Jadi Cikgunie terpaksa menghantar dua orang anak lelaki ke latihan taekwando dan selepas itu terpaksa bergegas ke Sekolah Mmenengah St. Anne tempat pertandingan memasak. Nasib baik jarak antara sekolah anak Cikgunie SK Pekan satu dengan Sekolah Menengah St. Anne tidak jauh. Lagipun SM St. Anne sebelah sekolah Cikgunie sahaja. Dalam mengejar masa pada awal pagi, Cikgunie terambil kunci kereta suami Cikgunie. Oleh sebab malas mahu masuk semula ke dalam rumah, Cikgunie pun terpaksa memandu kereta suami Cikgunie yang sememangnya manual. Terkial-kial jugalah Cikgunie memandu kereta secara manual tetapi mujurlah Cikgunie sampai ke sekolah anak Cikgunie dengan selamatnya.

Cerita seterusnya ialah semasa berpatah balik ke SM St. Anne, ada pemeriksaan polis. Cikgunie terkial-kial memberhentikan kereta. Namun enjin kereta Cikgunie mati tiba-tiba kerana silap masuk gear. Polis trafik itu pun menghampiri Cikgunie lalu meminta lesen memandu dan kad pengenalan. Selamba sahaja Cikgunie memberikan lesen memandu dan kad pengenalan kepada polis trafik itu. Ikuti perbualan Cikgunie dengan polis trafik itu.

“Puan, bila tarikh lesen memandu tamat tempoh?”

“15 Julai.”

“Jadi, lesen Puan dah matilah!”

“Belum.”

“Kat lesen ni tamat tempoh 15 Julai 2011.”

“Memanglah tamat tempoh 15 Julai 2011. Tapi sekarang belum tamat lagi.”

“Puan, hari ni 17 Julai 2011.”

“Haah...biar betul? Hari ni 17 Julai?”

“Ya, Puan! Hari ini 17 Julai 2011.”

“Eh, bukan ke hari ni 12 Julai?”

“12 Julai hari Selasa, Puan!”

“Laaaa...kenapa saya tak perasan haribulan ni?”

“Itu maknanya Puan lupa tarikh. Puan ingat tak harijadi Puan?”

“Ya, lah...saya lupa. Hurrmmm...macam mana ni? Habis saya nak kena saman ke?”

“Tak apalah Puan. Baru dua hari. Tapi puan kena ingat tarikh hari ni sampai bila-bila.”

“Sebab apa pula?”

“Sebab saya tak saman Puan.”

Moral cerita ini ialah sebagai guru zaman globalisasi ini kita tidak pernah menulis tarikh di papan tulis sebagaimana pada zaman persekolahan kita dahulu. Cikgunie ingat lagi, guru-guru Cikgunie dulu-dulu akan menulis hari di sebelah kiri atas sekali di papan tulis dan tarikh di sebelah kanan papan tulis. Selepas itu barulah ditulis tajuk yang akan dipelajari pada hari itu. Oleh itu, murid-murid pada zaman Cikgunie bersekolah dahulu akan ingat dengan jelas tarikh dan hari-hari penting dalam hidup mereka. Lagi satu mengapa Cikgunie lupa ialah faktor usia dan kesihatan. Semakin meningkat usia kita semakin berkurang ingatan kita. Lagi pun Cikgunie telah menjalani empat kali pembedahan semasa melahirkan anak menyebabkan banyak ubat bius telah masuk ke dalam badan Cikgunie. Penggunaan ubat bius juga boleh menyebabkan kita menjadi lupa. Walau apa pun, setiap sesuatu yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Mungkin selepas ini anak Cikgunie boleh jadi Chef yang terkenal? Siapa tahu kerana segalanya berkemungkinan.

1 comment: