Photobucket

Wednesday, January 22, 2014

DITELAN PAHIT DIBUANG SAYANG


Semakin menghampiri ketibaan bulan FEBRUARI, jiwa ini semakin resah. Perasaan semakin kacau dengan seribu persoalan. Mampukah diri ini merealisasikan janji-janji yang pernah dilakar pada tahun 2013? Menunaikan janji sudah pasti. Merealisasikan impian juga pasti. Namun, ketidakupayaan dan harga diri memaksa diri ini pergi dan meninggalkan apa yang telah dimiliki. Sesungguhnya, diri ini tidak mampu menanggung perasaan lagi. Selamat tinggal Labuan. Kuala Nerang, aku datang kepadamu. Membawa cinta dan harapanku yang menggunung. Sesungguhnya aku menyayangi Labuan tetapi aku juga mencintai Kuala Nerang. Sungguh, aku tidak mampu membuat piihan namun aku terpaksa membuat keputusan. Keputusanku, ditelan pahit, dibuang sayang......

GURU-GURU YANG SPORTING

BERSAMA RAKAN SEJAWAT
KENANGAN DENGAN MURID PEND. KHAS

MAKLUMAN PBS UNTUK PENTAKSIRAN PUSAT PMR 2014

PENGOPERASIAN PPPMR TINGKATAN 3 TAHUN 2014

Guru-guru yang mengajar Tingkatan 3 dan Penyelaras PBS semua sekolah di seluruh negara perlu mengambil tindakan segera memaklumkan kepada semua murid Tingkatan 3 tahun 2014 tentang tarikh-tarikh Pentaksiran Pusat yang akan bermula pada bulan APRIL 2014 untuk mata pelajaran Geografi. Bulan JULAI 2014 pula, Pentaksiran Pusat untuk UJIAN LISAN BAHASA MELAYU, BAHASA INGGERIS dan Bahasa-bahasa lain yang diambil oleh murid-murid di sekolah masing-masing. Untuk mata pelajaran Bahasa, Matematik dan Sains pula UJIAN BERTULIS akan diadakan pada 23-25 SEPTEMBER 2014.

Monday, January 20, 2014

ULASAN NOVEL MELUNAS RINDU

Watak Utama Novel Melunas Rindu

FUAD @ JOSHUA @ ABDUL HALIM
Dilahirkan sebagai Islam daripada perkahwinan campur Melayu-Cina.
Ibunya bernama Mariana dan ayahnya Robert Lim.
Balik ke agama asal selepas diambil oleh bapa saudaranya.
Kembali memeluk ajaran Islam selepas mengetahui asal usulnya.
Menjadi seorang guru di SMK Seri Setia.
Berkenalan dengan Cikgu Farhana Ketua Panitia Bahasa Inggeris.
Farhana ialah adik Fuad tetapi berlainan bapa.
Tinggal bersama Mak salmah dan Pak Ismail.
Sangat rajin mempelajari agama Islam.
Seorang guru yang rajin dan berdedikasi.
Seorang sahabat yang baik dan sanggup membiayai perkahwinan kawannya Borhan.

Sunday, January 19, 2014

MEMBURU IMPIAN

KU MULA DENGAN LANGKAH INI
MENUJU SINARAN
YANG ABADI......

LAGU MEMBURU IMPIAN ADALAH LAGU KEGEMARAN CIKGUNIE KERANA MEMBERI MOTIVASI DALAM KEHIDUPAN KITA MEMBURU CITA-CITA....

KENANGAN 2012 SEMASA CIKGUNIE MENYANYIKAN LAGU MEMBURU IMPIAN....




Friday, January 17, 2014

ORIENTASI MURID TINGKATAN 4 SMK MUTIARA

16 JANUARI 2014.....
TULANG BELAKANG SEMUA KEJAYAAN CIKGUNIE....

MENERIMA JEMPUTAN DARIPADA IBU NURUL SYAFIKAH SEBELUM POSTING

SEBAHAGIAN DARIPADA MURID DAN IBU BAPA

BERSAMA IBU NURUL SYAFIKAH

ORIENTASI MURID PROGRAM PENDIDIKAN KHAS INTERGRASI

Minggu yang penuh dengan tugasan dan pemantauan. Juga minggu penutupan Majlis Orientasi Tingkatan 1 Pendidikan Khas dan Tingkatan 4....
MEMBERI TAKLIMAT KEPADA MURID-MURID PPKI

LANGKAH PENJIMATAN TAIADA BANNER CUMA GUNA LCD...



ADIK MOHD AIMAN YANG PINTAR WALAUPUN OKU

KECACATAN BUKAN PENGHALANG ANAK-ANAK ISTIMEWA KE SEKOLAH

JOM BUAT KARANGAN....

Usaha Mengantarabangsakan Bahasa Melayu

Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah ingat bahawa orang lain, iaitu bangsa lain tidak akan menyebarkan bahasa Melayu ke seantero dunia, kecuali kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita hendaklah mempunyai iltizam untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa terpenting pada suatu hari nanti. Oleh itu, langkah yang pertama ialah kita perlulah memastikan bahawa bahasa Melayu mestilah diterima di tanah air sendiri. Jika bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan juga bahasa rasmi di negara kita ditolak oleh sebilangan besar rakyat di negara kita, bagaimanakah penduduk dunia mahu menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kedua mereka? Oleh hal yang demikian, kita mestilah menyokong segala usaha yang bertujuan meningkatkan atau memartabatkan bahasa Melayu di negara sendiri.

Selain itu, kita juga hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui peranan kita sebagai duta kecil ketika berada di luar negara. Sama ada kita sebagai pelajar, pelancong, atau pekerja, kita mestilah sentiasa berusaha untuk menyebarluaskan bahasa Melayu dengan pelbagai cara. Ketika berada di luar negara, apalah salahnya jika kita mengajar rakan kita dari negara lain untuk mempelajari bahasa Melayu. Untuk menarik perhatian mereka, kita juga mestilah bersedia untuk mempelajari bahasa mereka. Jika kita bersedia untuk mempelajari bahasa mereka, mereka juga pasti bersedia untuk mempelajari bahasa kita.

Seterusnya, kita hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui pejabat kedutaan negara kita di luar negara. Di seluruh dunia, terdapat 104 buah kedutaan Malaysia yang mampu memainkan peranannya untuk menyebarluaskan bahasa Melayu. Melalui kedutaan tersebut, kita hendaklah mengetengahkan bahasa Melayu di negara-negara asing dalam pelbagai acara atau majlis. Melalui usaha ini, bahasa Melayu akan lebih dikenali, dipelajari, dihayati dan seterusnya dihormati oleh warga dunia. Pepatah Melayu mengatakan,"tak kenal maka tak cinta". Sebagai rakyat yang mempunyai semangat `bahasa jiwa bangsa’, kita hendaklah mempunyai iltizam atau kesungguhan untuk mempromosikan bahasa Melayu walau di mana jua kita berada.

Zaman teknologi maklumat dan komunikasi ini pula, rakyat Malaysia mestilah memanfaatkan penggunaan Internet. Mereka yang pakar dalam bidang ini seperti ahli akademik, pakar bahasa dan sebagainya hendaklah menyebarluaskan bahasa Melayu melalui laman web atau blog bagi membolehkan masyarakat dunia untuk mendekati dan mempelajari bahasa Melayu. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan masyarakat di duni mencari dan memperoleh maklumat melalui Internet. Oleh itu, kita mesti;ah mengambil kesempatan ini untuk mempromosikan bahasa Melayu. Oleh sebab Internet merupakan medium yang paling murah, mudah dan cepat untuk menyebarkan maklumat, kita mestilah mengeksploitasikan kelebihan ini untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu ke seantero dunia.

Bukan itu sahaja, kita juga hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui filem. Jika penerbit filem di negara kita mampu menghasilkan filem yang bermutu, sudah pasti masyarakat antarabangsa akan menerima filem kita. Apabila mereka menerima filem kita, hal ini akan memberikan peluang kepada mereka untuk mendalami dan mempelajari bahasa dan budaya Melayu. Namun, masalah yang kita hadapi ialah penerbit filem negara kita masih belum mampu menghasilkan filem yang bertaraf antarabangsa seperti filem yang dihasilkan oleh negara Hongkong, Jepun, Korea , Bollywood, dan sebagainya JIka kita mahu menggunakan filem sebagai satu cara untuk menyebarluaskan bahasa Melayu, kita mestilah memartabatkan dan mengantarabangsakan filem Melayu juga. Oleh itu, semua pihak atau penerbit filem perlulah berusaha menghasilkan filem bertaraf dunia untuk menyebarluaskan bahasa Melayu di seantero dunia seterusnya memajukan bidang perfileman.

Intihanya, bahasa digunakan untuk menyampaikan maklumat. Bahasa juga digunakan untuk menyatupadukan rakyat. Semakin ramai orang menggunakan sesuatu bahasa itu, semakin kukuh bahasa tersebut digunakan oleh masyarakat. Oleh itu, semua lapisan masyarakat Malaysia perlu menggembleng tenaga memartabatkan bahasa Melayu dengan mengantarabangsakan bahasa Melayu kerana Bahasa Jiwa Bangsa.


JOM BERMAIN TEKA-TEKI....

PANTUN TEKA TEKI

Kalau tuan pergi ke kedai
Belikan saya buah keranji
Kalau tuan bijak pandai
Apa binatang keris di kaki?
(AYAM JANTAN)

Ada biji roda pedati
Bentuknya bulat daripada besi
Bila bermain diikat sekuat hati
Dilempar hidup dipegang mati?
(GASING)

Buah budi bedara mengkal
Masak sebiji di tepi pantai
Hilang budi bicara akal
Buah apa tidak bertangkai?
(BUAH MULUT)

Burung nuri burung dara
Terbang ke sisi taman kayangan
Cubalah teka wahai saudara
Semakin diisi semakin ringan?
(BELON)

Bunga orkid indah warnanya
Penyeri taman dan juga hutan
Ramai orang datang bertanya
Bintang apa hidup di lautan?
(TAPAK SULAIMAN)

Pak Pung Pak Mustafa
Encik Dolah di rumahnya
Ada tepung ada kelapa
Gula melaka jadi intinya?
(BUAH MELAKA)

Kelip-kelip kusangka api
Kalau api mana asapnya
Hilang ghaib disangkakan mati
Kalau mati mana kuburnya?
(KILAT)

Budak-budak bermain batu
Batu dikira satu persatu
Badannya lurus bermata satu
Ekornya tajam apakah itu?
(JARUM)

Jika tuan membeli tikar
Tikar anyaman dari mengkuang
Kalau tuan bijak pintar
Ular apa membelit pinggang?
(TALI PINGGANG)

Masak tumis sambal petai
Makan kenyang sambil sendawa
Anda menziarah sahabat handai
Buah apakah yang akan dibawa?
(BUAH TANGAN)

Pokoknya bulat dan juga rendang
Masam dan hijau ketika muda
Buahnya bentuk seperti bintang
Sudah masak kuninglah ia.
(BELIMBING)

Belayar perahu dari Bentan
Menyusur tepi Selat Melaka
Lebar kepala dari badan
Apakah ikan cubalah teka?
(PARI)

Mak Minah menanak minyak
Kemenyan dibakar dengan setanggi
Dua peha beranak banyak
Untuk mendaki tempat yang tinggi?
(TANGGA)

Gigi berduri tatah bersigai
Pembelah kayu ia berguna
Jika tuan orang yang pandai
Benda apakah makannya dua cara?
(GERGAJI)

Kalau tuan pakai lencana
Pakailah songkok di atas kepala
Kalau tuan bijak laksana
Binatang apakah tiada kepala?
(KETAM)




TEKNIK DAN KAEDAH PENGAJARAN KOMSAS DAN KESUSASTERAAN MELAYU

Guru  tidak seharusnya beranggapan mempelajari sastera merupakan sesuatu perkara yang mudah dan membiarkan pelajar membaca dan faham sendiri. Guru  mesti mempunyai  keupayaan untuk menarik hati pelajar dengan menyelami peristiwa yang berlaku sehingga pelajar benar-benar dapat merasakan sesuatu peristiwa itu berlaku ke atas diri mereka. Bimbingan dan galakan daripada  guru kepada pelajar amat penting agar pelajar dapat melibatkan diri dalam aktiviti bilik darjah. Pendapat ini juga disarankan oleh Mike, yang menyatakan bahawa:

…teachers are the decisive element in the classroom. Teachers posses power to make a chlid’s life joyous or miserable. Teachers can be an instrument of inspiration or torture to a child’s motivation to learn. “

Guru seharusnya menggunakan pelbagai teknik untuk memotivasi pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran. Kajian kesan  pendekatan mengalami-menghayati terhadap pembelajaran sajak ke atas 51 orang pelajar Tingkatan 6 dijalankan oleh Noriah (1986). Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa faktor guru dan pendekatan pengajaran guru amat mempengaruhi pencapaian pelajar dari segi kefahaman, peningkatan minat dan perubahan sikap pelajar terhadap pembelajaran sajak. Guru seharusnya menggunakan pendekatan pengajaran pemusatan pelajar agar pelajar dapat menikmati pembelajaran sajak. 

Guru memainkan peranan sebagai “pelajar  contoh” di dalam kelas. Pelajar mudah dikawal sekiranya guru pandai memilih aktiviti yang sesuai, menjalankan pengajaran dan pembelajaran dua hala, memahami kehendak individu di dalam kelas dan menjalankan aktiviti pengukuhan berdasarkan kemampuan pelajar. ( Charles, 1985) Penerapan model pembelajaran “Role Playing” digunakan oleh Sadali dalam menjalankan kajian tindakan untuk meninjau pengaruh model ini ke atas 30 orang siswa dengan pendekatan kualitatif dan kuantitatif. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa;

(a)                           terdapat peningkatan kemampuan guru dalam mencapai objektif pembelajaran, memotivasikan pelajar dan membimbing perbincangan;
(b)                              pelajar lebih  berani menyatakan pendapat;
(c)                      terdapatnya kesedaran hubungan antara peranan yang dimainkan dengan masalah kehidupan masyarakat yang sebenar dan;
(d)                              memudahkan pelajar mengingat kembali tentang konsep, fakta dan teori.

Model Main Peranan dicadangkan sebagai salah satu alternatif untuk mengatasi masalah kualiti proses dan hasil pembelajaran.  Patricia & Barbara (1993) mengkaji perspektif guru dalam pengajaran sastera. Dapatan kajian ini  menunjukkan bahawa:

(i)                              guru perlu faham dan menilai kepentingan pelajar terhadap pendedahan bentuk karya sastera;
(ii)                            guru sentiasa meminta pelajar faham kriteria spesifik dan teknik-teknik untuk menganalisis sastera;
(iii)                         guru mengutamakan penghayatan estetika karyasastera;
(iv)                          guru  mengutamakan penglibatan pelajar dalam aktiviti penulisan kreatif;
(v)                            guru membantu pelajar membentuk kemahiran pembelajaran kolaboratif; dan
(vi)                          guru perlu memilih bahan bacaan sastera yang diminati oleh pelajar. Ini bemakna dari  sudut guru, pelajar perlu menguasai kemahiran menganalisis, kemahiran  penghayatan, kemahiran pembelajaran kolaboratif, dan kemahiran membaca genre sastera.

Boza Krakar (2001) menjalankan kajian ke  atas pelajar vokasional yang menggunakan bahasa ibunda dalam pengajaran dan pembelajaran sastera. Sebanyak 40% daripada peruntukan masa ditumpukan ke atas pembelajaran sastera. Tindakan ini sangat sesuai kepada pelajar vokasional dari aspek pemupukan minat dan meningkatkan tahap penguasaan. Dapatan kajian ini menunjukkan penggunaan sastera amat mempengaruhi minat membaca dan memimpin pelajar ke arah kecemerlangan diri.

Teknik membaca kuat merupakan salah satu teknik yang boleh digunakan oleh pensyarah untuk menggalakkan pelajar membaca sastera. Deborah & Linda (2003) menjalankan kajian ke atas murid Gred 1 dan Gred 4 bertujuan mewujudkan motivasi murid membaca bagi menghayati dan mengamati sastera dengan menggunakan teknik membaca kuat. Mereka mendapati bahawa murid lebih suka memilih aktiviti selain daripada membaca. Murid tidak mempunyai inspirasi untuk membaca buku-buku lain selain daripada buku teks. Kajian dijalankan dengan menggunakan teknik membaca kuat dan program “Home-School Independent Reading”. Dapatan kajian ini menunjukkan teknik membaca kuat memainkan peranan penting dalam perkembangan kemahiran membaca di kalangan  murid. Teknik ini dan program tersebut dicadangkan untuk diaplikasikan di sekolah bagi memupuk minat membaca di kalangan murid.  

Wheatley (1992) menunjukkan bahawa pembelajaran aktif dapat mempertingkatkan pemikiran dan tindak balas pelajar. Pelajar seharusnya diberikan peluang untuk membuat refleksi terhadap aktiviti yang dijalankan untuk pembentukan makna daripada pengalaman. Piramid Pengalaman Pembelajaran oleh Dale (1954), menggalakkan pembelajaran secara konkrit kepada pembelajaran secara abstrak. Pelajar dapat berfikir induktif. Ini bertepatan dengan pendapat Glenn, Steward & Simpson  (1991) yang menyatakan bahawa pengajaran yang menggunakan bahan yang bermakna. Guru  perlu membantu pelajar dalam pembentukan pembelajaran yang bermakna. Ini sejajar dengan Gardner (1986) yang menegaskan bahawa pelajar mempunyai pelbagai kecerdasan yang perlu diperkembangkan oleh guru.  

Menurut Thomas & Swartout (1963), hanya ABM (Alat Bantu Mengajar) yang mempunyai komunikatif tinggi yang mampu membantu pelajar memperoleh  pengalaman belajar yang berfaedah bagi mengembangkan sikap ilmiah dan sikap sosial, kemantapan emosi dan daya penghargaan. ABM yang digunakan melibatkan penggunaan deria pelajar seperti pendengaran, penglihatan, sentuhan, rasa dan bau. Dengan penglibatan semua deria, pelajar bukan sahaja tertumpu kepada pengajaran dan pembelajaran guru, malah pelajar lebih mudah memahami dan mengingati bahan pelajaran yang disajikan kepadanya. Penggunaan ABM yang melibatkan deria semasa pengajaran dan pembelajaran akan menjadikan pengajaran guru lebih berkesan. ABM bukan sahaja membantu menghidupkan kelas, malah mempelbagaikan  perkembangan kognitif dan afektif pelajar. Pendapat ini sependapat dengan Lester (1956), Bruner (1966), Wilkinson (1971), Charles (1972).

Abdul Ghani (1996) menegaskan faktor  bahan memberi kesan dalam meningkatkan minat pelajar untuk terus menguasai sesuatu kemahiran berbahasa dan berinteraksi dengan lebih berkesan. Oleh itu, guru sastera perlu menggunakan pelbagai bahan media yang sesuai dan menarik supaya boleh menukar suasana pembelajaran yang kaku kepada pembelajaran yang melibatkan pelajar. Aplikasi dan manipulasi genre sastera melalui media elektronik, pengisian komputer, borang grafik dan sebagainya dapat mengekalkan minat dan tumpuan pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran sastera. Guru sastera perlu kreatif dan  inovatif serta menguasai kemahiran teknologi maklumat seiring dengan arus perkembangan pendidikan semasa. Kejayaan guru memilih bahan dan media sesuai dengan dapatan kajian Nadzeri (1985). Menurut Omardin (1999), sumber dan bahan pengajaran yang digunakan oleh  guru perlu menarik, dapat mengekalkan minat pelajar, mengembangkan minat pelajar terhadap pelajaran dan menjadikan pembelajaran lebih menarik. ABM dapat  membentuk daya pemikiran, kreatif dan memperkukuhkan persepsi pelajar. 

Pengajaran Dan Pembelajaran Interaktif (Active Learning / Interactive Learning / Reciprocal Teaching)  Vygotskian (1978) menegaskan proses interaktif semasa pengajaran dan pembelajaran di kalangan pelajar adalah amat penting. Chickering & Gamson (1987) mencadangkan pelajar mesti lebih membuat daripada mendengar dalam pengajaran dan pembelajaran, iaitu membaca, menulis, berbincang atau terlibat dalam penyelesaian masalah. Charles & James mendapati pelajar lebih suka strategi yang menggalakkan pembelajaran aktif seperti perbincangan kumpulan, pengajaran berasaskan audio visual, pembelajaran koperatif, perbahasan, drama, main peranan, simulasi dan bimbingan rakan sebaya.

Pelajar tidak suka pengajaran dan pembelajaran yang diadakan secara kuliah tradisional. Ruhl, Hughes & Schloss (1987) dalam kajian mencadangkan pengajaran dan pembelajaran guru memasukkan aktiviti pembelajaran yang aktif lagi singkat tanpa mengurangkan isi kandungan. Dengan ini, pelajar dapat belajar lebih daripada proses pengajaran dan pembelajaran.  Pembelajaran interaktif mula diperkenalkan oleh Brown, Campione, Reeve, Ferrara & Palincsar (1991).

Pembelajaran interaktif adalah suatu kaedah yang melibatkan interaksi antara guru dengan pelajar, pelajar dengan pelajar atau pelajar dengan  komputer. Pembelajaran berlaku semasa pelajar dan guru berkongsi idea dan saling memimpin dalam perbincangan. Ia mencabar pelajar untuk membentuk kebolehan untuk membuat pembentangan dapatan dan membuat rumusan hasil dapatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. 

Grinder (1991) dalam kajian ke atas pelajar seramai 30 orang, menunjukkan bahawa 22orang pelajar adalah berkebolehan belajar secara berkesan jika guru membekalkan aktiviti secara visual, pendengaran dan kinestetik. Dapatan  kajian ini  menunjukkan bahawa pembelajaran multisensori amat sesuai dengan kehendak pelajar.  Dapatan kajian Computer Technology Research (1993)  menunjukkan  bahawa proses penggabungan lebih daripada satu modaliti deria dapat meningkatkan ingatan dan pemahaman. Dengan mengambil peranan yang aktif dalam pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan deria untuk mengalami peristiwa baru, pelajar dapat menyelesaikan tugasan dan memperoleh pemahaman yang lebih luas dan mendalam. Dapatan kajian Schroeder (1993) membuktikan bahawa pelajar lebih suka melibatkan diri secara langsung dan pengalaman konkrit, berbanding dengan pembelajaran teori. Pengajaran dan pembelajaran aktif adalah amat sesuai bagi pelajar pada zaman sekarang. 



Thursday, January 16, 2014

PENGALAMAN GURU KEHIDUPAN


Minumlah walau seteguk air dari lautan pengalaman

Agar hilang dahaga kehausan di sahara kehidupan

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

UPM merupakan salah sebuah Universiti penyelidikan yang terunggul di Malaysia. Entiti akademik yang terkenal di seantero dunia ini terletak di Serdang, iaitu bersebelahan dengan Wilayah Pentadbiran Putrajaya. Sebagai sebuah Pusat Pengajian dan Penyelidikan yang mempunyai reputasi bertaraf antarabangsa, UPM telah berjaya menyatukan para pelajar dan warga kerja dari serata dunia sekali gus menjadikan UPM sebuah entiti global yang amat disegani.

Universiti Putra Malaysia mula ditubuhkan sebagai sebuah Sekolah Pertanian pada 21 Mei 1931. Ia dibangunkan di kawasan seluas 22 ekar di Serdang dan menawarkan dua program sahaja pada masa itu; Program Diploma 3 tahun dan Program Persijilan 1 tahun di dalam bidang pertanian.

Tanggal 23 Jun 1947, Sekolah Pertanian ini telah dinaiktaraf sebagai Kolej Pertanian Malaya oleh Sir Edward Gent, Gabenor Malayan Union ketika itu.  Penubuhan Universiti Pertanian Malaysia seterusnya tercetus apabila Sekolah Pertanian di Serdang ini bergabung dengan Fakulti Pertanian, Universiti Malaya.

Dr. Mohd. Rashdan bin Haji Baba, yang merupakan pengetua Kolej Pertanian Malaya, dilantik sebagai Naib Canselor di bawah Seksyen 18, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Universiti Pertanian Malaysia memulakan sesi akademiknya pada 23 Julai 1973 dengan pengambilan seramai 1,559 pelajar. Pelajar-pelajar tersebut memulakan pengajian di tiga fakulti pengasas dan satu bahagian asasi iaitu Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Sains Penternakan, Fakulti Perhutanan, Fakulti Pertanian dan Bahagian Sains Asasi, yang pada masa itu menekankan bidang perhutanan dan veterinar selaras dengan dasar dan keperluan Negara. 

Pada tahun 80-an, UPM mengembangkan bidang pengajian ke bidang Sains dan Teknologi (S&T). Pada tahun 3 April 1997, nama Universiti ditukar dari Universiti Pertanian Malaysia ke Universiti Putra Malaysia oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad, untuk menggambarkan status UPM sebagai pusat pengajian tinggi yang merangkumi pelbagai bidang, terutamanya sains dan teknologi maklumat yang menjadi keperluan kepada pembangunan negara di alaf baru ini.


Cikgunie belajar di UPM sesi 1989-1993 dalam jurusan Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama.

UNIVERSITI PERTAHANAN NASIONAL MALAYSIA (UPNM)


Sejarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bermula dengan penubuhan Akademi Tentera Malaysia (ATMA) pada 1 Jun 1995 sebagai organisasi yang bertanggungjawab menjalankan program pengajian di peringkat Sarjana Muda dan latihan ketenteraan kepada Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Peranan ATMA kemudian diperluaskan dengan menjadikannya sebagai UPNM yang diwartakan pada 10 November 2006. Walaupun UPNM memulakan pengambilan kumpulan pertama pelajarnya pada sesi 2007/2008, sebenarnya ia telah mempunyai pengalaman mengendalikan program pengajian di peringkat Sarjana Muda selama 11 tahun iaitu dari tahun 1995 hingga 2006 melalui program kerjasama antara Kementerian Pertahanan dengan Universiti Teknologi Malaysia di mana seramai lebih kurang 1017 graduan telah dikeluarkan dalam tiga bidang yang merangkumi Kejuruteraan, Sains dan Pengurusan.
Di samping memperoleh kelayakan profesional, semua graduan telah ditauliahkan sebagai Pegawai ATM dan mereka sedang berkhidmat di pelbagai unit dalam Tentera Darat, Tentera Laut DiRaja Malaysia dan Tentera Udara DiRaja Malaysia.
UPNM telah ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia pada 21 Jun 2006 bagi mengeluarkan graduan tentera dan awam untuk keperluan pertahanan negara. Perintah perbadanan UPNM telah dikeluarkan pada 6 November 2006 untuk memulakan pengajian akademik sesi 2007/2008. Bagi pengambilan siswa baru sesi 2007/2008 seramai 550 siswa melapor untuk Program Asasi Pertahanan yang terdiri 121 siswa awam dan 350 siswa tentera.
Sementara itu, untuk program sarjana muda seramai 130 siswa awam dan 297 siswa Asasi Pertahanan akan mengikuti program sarjana muda di bidang Kejuruteraan, Sains dan Teknologi serta Pengurusan dan Pengajian Pertahanan. Bagi memulakan pengajian sesi 2007/2008 UPNM telah menubuhkan 3 buah fakulti di samping Pusat Asasi Pertahanan, iaitu Fakulti Kejuruteraan Pertahanan, Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan serta Fakulti Pengurusan dan Pengajian Pertahanan.
Program akademik yang ditawarkan di fakulti adalah setanding dengan IPTA luar dan dalam negara. Program ini akan dapat menarik minat pelajar kerana ia menyediakan kurikulum yang merangkumi bidang sains dan teknologi pertahanan yang berbentuk hands on. Pengetahuan yang diperolehi boleh diaplikasi kepada aset pertahanan negara seperti kapal tentera laut, pesawat udara dan peralatan ketenteraan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Di samping itu, ia dapat diaplikasikan dalam sektor perindustrian yang berteraskan sains dan teknologi terkini.


Wednesday, January 15, 2014

TAWARAN BIASISWA

HEBAHAN TAWARAN BIASISWA KEPADA PELAJAR MALAYSIA BAGI MENGIKUTI PROGRAM IJAZAH KEDOKTORAN (Ph.D), SARJANA SASTERA (MASTERS) DAN SARJANA MUDA SASTERA DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI BRUNEI DARUSSALAM

Tajaan penuh di bawah Indian Technical and Economic Cooperation (ITEC) kepada pemohon yang berkelayakan bagi tahun 2013/2014.

Tarikh tutup permohonan 17 Januari 2014.


Sebarang pertanyaan sila emel kepada asnira.mohtar@moe.gov.my<mailto:asnira.mohtar@moe.gov.my>

TAKWIM PEPERIKSAAN 2014

TARIKH PEPERIKSAAN AWAM 2014

SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (ULANGAN)
9 HINGGA 12 JUN 2014
UJIAN LISAN SIJIL TINGGI AGAMA (STAM)
7 HINGGA 17 JULAI 2014
UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR)
9 HINGGA 11 SEPTEMBER 2014
SIJIL TINGGI AGAMA MALAYSIA (STAM)
13,15,20 DAN 21 OKTOBER 2014
SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM)
3 NOVEMBER 2 DISEMBER 2014

SISTEM PENGURUSAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (SPPBS)

KEMASUKAN PRESTASI MURID KE DALAM SISTEM PENGURUSAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (SPPBS)

Modul Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) akan beroperasi melalui Sistem Pengurusan Sekolah (SPS) yang akan dilaksanakan pada 1 APRIL 2014 bagi perkara-perkara berikut;

Ø  Kemasukan prestasi murid yang belum selesai bagi pelaksanaan Pentaksiran Sekolah (PS) tahun 2013 untuk Tahun 1, Tahun 2, dan Tahun 3 Sekolah Rendah.

Ø  Kemasukan prestasi murid yang belum selesai bagi pelaksanaan PS dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) tahun 2013 untuk Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 Sekolah Menengah.

Ø  Kemasukan prestasi murid bagi pentaksiran PS tahun 2014 untuk Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3 Sekolah Rendah.

Ø  Kemasukan prestasi murid bagi pelaksanaan PAJSK tahun 2014 untuk Tahun 4 Sekolah Rendah.


Ø  Kemasukan prestasi murid bagi pel;aksanaan PS dan PAJSK tahun 2014 untuk Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 Sekolah Menengah.