Photobucket

Friday, January 17, 2014

TEKNIK DAN KAEDAH PENGAJARAN KOMSAS DAN KESUSASTERAAN MELAYU

Guru  tidak seharusnya beranggapan mempelajari sastera merupakan sesuatu perkara yang mudah dan membiarkan pelajar membaca dan faham sendiri. Guru  mesti mempunyai  keupayaan untuk menarik hati pelajar dengan menyelami peristiwa yang berlaku sehingga pelajar benar-benar dapat merasakan sesuatu peristiwa itu berlaku ke atas diri mereka. Bimbingan dan galakan daripada  guru kepada pelajar amat penting agar pelajar dapat melibatkan diri dalam aktiviti bilik darjah. Pendapat ini juga disarankan oleh Mike, yang menyatakan bahawa:

…teachers are the decisive element in the classroom. Teachers posses power to make a chlid’s life joyous or miserable. Teachers can be an instrument of inspiration or torture to a child’s motivation to learn. “

Guru seharusnya menggunakan pelbagai teknik untuk memotivasi pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran. Kajian kesan  pendekatan mengalami-menghayati terhadap pembelajaran sajak ke atas 51 orang pelajar Tingkatan 6 dijalankan oleh Noriah (1986). Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa faktor guru dan pendekatan pengajaran guru amat mempengaruhi pencapaian pelajar dari segi kefahaman, peningkatan minat dan perubahan sikap pelajar terhadap pembelajaran sajak. Guru seharusnya menggunakan pendekatan pengajaran pemusatan pelajar agar pelajar dapat menikmati pembelajaran sajak. 

Guru memainkan peranan sebagai “pelajar  contoh” di dalam kelas. Pelajar mudah dikawal sekiranya guru pandai memilih aktiviti yang sesuai, menjalankan pengajaran dan pembelajaran dua hala, memahami kehendak individu di dalam kelas dan menjalankan aktiviti pengukuhan berdasarkan kemampuan pelajar. ( Charles, 1985) Penerapan model pembelajaran “Role Playing” digunakan oleh Sadali dalam menjalankan kajian tindakan untuk meninjau pengaruh model ini ke atas 30 orang siswa dengan pendekatan kualitatif dan kuantitatif. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa;

(a)                           terdapat peningkatan kemampuan guru dalam mencapai objektif pembelajaran, memotivasikan pelajar dan membimbing perbincangan;
(b)                              pelajar lebih  berani menyatakan pendapat;
(c)                      terdapatnya kesedaran hubungan antara peranan yang dimainkan dengan masalah kehidupan masyarakat yang sebenar dan;
(d)                              memudahkan pelajar mengingat kembali tentang konsep, fakta dan teori.

Model Main Peranan dicadangkan sebagai salah satu alternatif untuk mengatasi masalah kualiti proses dan hasil pembelajaran.  Patricia & Barbara (1993) mengkaji perspektif guru dalam pengajaran sastera. Dapatan kajian ini  menunjukkan bahawa:

(i)                              guru perlu faham dan menilai kepentingan pelajar terhadap pendedahan bentuk karya sastera;
(ii)                            guru sentiasa meminta pelajar faham kriteria spesifik dan teknik-teknik untuk menganalisis sastera;
(iii)                         guru mengutamakan penghayatan estetika karyasastera;
(iv)                          guru  mengutamakan penglibatan pelajar dalam aktiviti penulisan kreatif;
(v)                            guru membantu pelajar membentuk kemahiran pembelajaran kolaboratif; dan
(vi)                          guru perlu memilih bahan bacaan sastera yang diminati oleh pelajar. Ini bemakna dari  sudut guru, pelajar perlu menguasai kemahiran menganalisis, kemahiran  penghayatan, kemahiran pembelajaran kolaboratif, dan kemahiran membaca genre sastera.

Boza Krakar (2001) menjalankan kajian ke  atas pelajar vokasional yang menggunakan bahasa ibunda dalam pengajaran dan pembelajaran sastera. Sebanyak 40% daripada peruntukan masa ditumpukan ke atas pembelajaran sastera. Tindakan ini sangat sesuai kepada pelajar vokasional dari aspek pemupukan minat dan meningkatkan tahap penguasaan. Dapatan kajian ini menunjukkan penggunaan sastera amat mempengaruhi minat membaca dan memimpin pelajar ke arah kecemerlangan diri.

Teknik membaca kuat merupakan salah satu teknik yang boleh digunakan oleh pensyarah untuk menggalakkan pelajar membaca sastera. Deborah & Linda (2003) menjalankan kajian ke atas murid Gred 1 dan Gred 4 bertujuan mewujudkan motivasi murid membaca bagi menghayati dan mengamati sastera dengan menggunakan teknik membaca kuat. Mereka mendapati bahawa murid lebih suka memilih aktiviti selain daripada membaca. Murid tidak mempunyai inspirasi untuk membaca buku-buku lain selain daripada buku teks. Kajian dijalankan dengan menggunakan teknik membaca kuat dan program “Home-School Independent Reading”. Dapatan kajian ini menunjukkan teknik membaca kuat memainkan peranan penting dalam perkembangan kemahiran membaca di kalangan  murid. Teknik ini dan program tersebut dicadangkan untuk diaplikasikan di sekolah bagi memupuk minat membaca di kalangan murid.  

Wheatley (1992) menunjukkan bahawa pembelajaran aktif dapat mempertingkatkan pemikiran dan tindak balas pelajar. Pelajar seharusnya diberikan peluang untuk membuat refleksi terhadap aktiviti yang dijalankan untuk pembentukan makna daripada pengalaman. Piramid Pengalaman Pembelajaran oleh Dale (1954), menggalakkan pembelajaran secara konkrit kepada pembelajaran secara abstrak. Pelajar dapat berfikir induktif. Ini bertepatan dengan pendapat Glenn, Steward & Simpson  (1991) yang menyatakan bahawa pengajaran yang menggunakan bahan yang bermakna. Guru  perlu membantu pelajar dalam pembentukan pembelajaran yang bermakna. Ini sejajar dengan Gardner (1986) yang menegaskan bahawa pelajar mempunyai pelbagai kecerdasan yang perlu diperkembangkan oleh guru.  

Menurut Thomas & Swartout (1963), hanya ABM (Alat Bantu Mengajar) yang mempunyai komunikatif tinggi yang mampu membantu pelajar memperoleh  pengalaman belajar yang berfaedah bagi mengembangkan sikap ilmiah dan sikap sosial, kemantapan emosi dan daya penghargaan. ABM yang digunakan melibatkan penggunaan deria pelajar seperti pendengaran, penglihatan, sentuhan, rasa dan bau. Dengan penglibatan semua deria, pelajar bukan sahaja tertumpu kepada pengajaran dan pembelajaran guru, malah pelajar lebih mudah memahami dan mengingati bahan pelajaran yang disajikan kepadanya. Penggunaan ABM yang melibatkan deria semasa pengajaran dan pembelajaran akan menjadikan pengajaran guru lebih berkesan. ABM bukan sahaja membantu menghidupkan kelas, malah mempelbagaikan  perkembangan kognitif dan afektif pelajar. Pendapat ini sependapat dengan Lester (1956), Bruner (1966), Wilkinson (1971), Charles (1972).

Abdul Ghani (1996) menegaskan faktor  bahan memberi kesan dalam meningkatkan minat pelajar untuk terus menguasai sesuatu kemahiran berbahasa dan berinteraksi dengan lebih berkesan. Oleh itu, guru sastera perlu menggunakan pelbagai bahan media yang sesuai dan menarik supaya boleh menukar suasana pembelajaran yang kaku kepada pembelajaran yang melibatkan pelajar. Aplikasi dan manipulasi genre sastera melalui media elektronik, pengisian komputer, borang grafik dan sebagainya dapat mengekalkan minat dan tumpuan pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran sastera. Guru sastera perlu kreatif dan  inovatif serta menguasai kemahiran teknologi maklumat seiring dengan arus perkembangan pendidikan semasa. Kejayaan guru memilih bahan dan media sesuai dengan dapatan kajian Nadzeri (1985). Menurut Omardin (1999), sumber dan bahan pengajaran yang digunakan oleh  guru perlu menarik, dapat mengekalkan minat pelajar, mengembangkan minat pelajar terhadap pelajaran dan menjadikan pembelajaran lebih menarik. ABM dapat  membentuk daya pemikiran, kreatif dan memperkukuhkan persepsi pelajar. 

Pengajaran Dan Pembelajaran Interaktif (Active Learning / Interactive Learning / Reciprocal Teaching)  Vygotskian (1978) menegaskan proses interaktif semasa pengajaran dan pembelajaran di kalangan pelajar adalah amat penting. Chickering & Gamson (1987) mencadangkan pelajar mesti lebih membuat daripada mendengar dalam pengajaran dan pembelajaran, iaitu membaca, menulis, berbincang atau terlibat dalam penyelesaian masalah. Charles & James mendapati pelajar lebih suka strategi yang menggalakkan pembelajaran aktif seperti perbincangan kumpulan, pengajaran berasaskan audio visual, pembelajaran koperatif, perbahasan, drama, main peranan, simulasi dan bimbingan rakan sebaya.

Pelajar tidak suka pengajaran dan pembelajaran yang diadakan secara kuliah tradisional. Ruhl, Hughes & Schloss (1987) dalam kajian mencadangkan pengajaran dan pembelajaran guru memasukkan aktiviti pembelajaran yang aktif lagi singkat tanpa mengurangkan isi kandungan. Dengan ini, pelajar dapat belajar lebih daripada proses pengajaran dan pembelajaran.  Pembelajaran interaktif mula diperkenalkan oleh Brown, Campione, Reeve, Ferrara & Palincsar (1991).

Pembelajaran interaktif adalah suatu kaedah yang melibatkan interaksi antara guru dengan pelajar, pelajar dengan pelajar atau pelajar dengan  komputer. Pembelajaran berlaku semasa pelajar dan guru berkongsi idea dan saling memimpin dalam perbincangan. Ia mencabar pelajar untuk membentuk kebolehan untuk membuat pembentangan dapatan dan membuat rumusan hasil dapatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. 

Grinder (1991) dalam kajian ke atas pelajar seramai 30 orang, menunjukkan bahawa 22orang pelajar adalah berkebolehan belajar secara berkesan jika guru membekalkan aktiviti secara visual, pendengaran dan kinestetik. Dapatan  kajian ini  menunjukkan bahawa pembelajaran multisensori amat sesuai dengan kehendak pelajar.  Dapatan kajian Computer Technology Research (1993)  menunjukkan  bahawa proses penggabungan lebih daripada satu modaliti deria dapat meningkatkan ingatan dan pemahaman. Dengan mengambil peranan yang aktif dalam pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan deria untuk mengalami peristiwa baru, pelajar dapat menyelesaikan tugasan dan memperoleh pemahaman yang lebih luas dan mendalam. Dapatan kajian Schroeder (1993) membuktikan bahawa pelajar lebih suka melibatkan diri secara langsung dan pengalaman konkrit, berbanding dengan pembelajaran teori. Pengajaran dan pembelajaran aktif adalah amat sesuai bagi pelajar pada zaman sekarang. 



No comments:

Post a Comment