Photobucket

Monday, January 13, 2014

TEKNIK MENULIS KARANGAN CEMERLANG "A"


FORMULA CIKGUNIE (1T3H1C2P)

AYAT TOPIK ( FAKTA ATAU IDEA UTAMA)
AYAT HURAIAN 1
AYAT HURAIAN 2
AYAT HURAIAN 3
AYAT CONTOH
AYAT PERIBAHASA
AYAT PENYIMPUL

KARANGAN DIMENSI KELUARGA
USAHA IBU BAPA MENGGALAKKAN ANAK-ANAK MENCEBURI BIDANG SUKAN

Bidang sukan merupakan salah satu bidang yang penting di negara kita.( AYAT TOPIK ). Hal ini demikian kerana, aktiviti sukan mendatangkan faedah yang banyak kepada masyarakat dan negara kita. (AYAT HURAIAN 1 ). Sehubungan dengan itu, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang sukan perlulah memainkan peranan yang berkesan. (AYAT HURAIAN 2 ). Ibu bapa, anggota masyarakat dan pihak sekolah  perlu memberi sokongan kepada remaja untuk melibatkan diri dalam sukan. (AYAT HURAIAN 3). Terdapat beberapa jenis sukan yang dapat mengharumkan nama negara seperti badminton, renang, bola sepak, sepak takraw, taekwando dan lain-lain lagi. (AYAT CONTOH ). Sekiranya ibu bapa memberi galakan dan sokongan moral kepada anak-anak mereka, sudah pasti matlamat untuk memajukan bidang sukan di negara kita akan tercapai iaitu seperti peribahasa Melayu, di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan. (AYAT PERIBAHASA). Oleh itu, nama negara kita akan dikenali dan digeruni di peringkat antarabangsa melalui kejayaan atlit negara dalam bidang sukan. (AYAT PENYIMPUL).

Antara peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa adalah dengan memberi galakan dengan cara membelikan anak-anak mereka peralatan sukan. ( AYAT TOPIK ). Sekiranya anak-anak memiliki peralatan sukan yang lengkap dan sesuai sudah pastilah mereka lebih bersemangat untuk bersukan. (AYAT HURAIAN 1). Hal ini demikian kerana, minat anak-anak dapat dikembangkan sekiranya peralatan sukan yang sesuai dimiliki oleh mereka. (AYAT HURAIAN 2). Sebagai contoh, ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka pakaian, kasut dan alat-alat yang berkaitan dengan permainan yang diceburi oleh anak-anak mereka seperti raket badminton, skuash dan tenis (AYAT CONTOH). Seterusnya, mereka akan berusaha  melakar kemenangan dan seterusnya mengharumkan nama sekolah, daerah, negeri dan negara. (AYAT HURAIAN 3 ). Kemenangan dan kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha dan sokongan ibu bapa  bak kata peribahasa kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. (AYAT PERIBAHASA). Justeru, sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa memainkan peranan penting menggalakkan anak-anak mereka melibatkan diri dalam bidang sukan dengan menyediakan peralatan sukan yang diperlukan anak-anak mereka. (AYAT PENYIMPUL ).

Ibu bapa juga perlu menggalakkan anak-anak untuk menceburkan diri dalam bidang sukan dengan aktif. (AYAT TOPIK) Ibu bapa boleh menasihati anak-anak supaya memperuntukkan masa mereka dalam aktiviti kokurikulum seperti sukan dan permainan.( AYAT HURAIAN 1). Hal ini demikian kerana, aktiviti sukan akan menyihatkan dan mencergaskan badan. (AYAT HURAIAN 2 ). Di samping itu, anak-anak yang berbakat dan berminat dalam sukan dan permainan tertentu bolehlah melibatkan diri dengan lebih aktif untuk mencipta kejayaan yang cemerlang. (AYAT HURAIAN 3). Tamsilnya, ibu bapa boleh menghantar anak-anak mereka menyertai pertandingan mengikut bakat anak-anak mereka seperti pertandingan futsal, bola sepak dan lain-lain. (AYAT CONTOH). Bakat dan minat anak-anak perlu dipupuk dari bangku sekolah lagi untuk dikembangkan agar dapat mengharumkan nama negara di persada dunia bak mutiara kata melentur buluh biarlah daripada rebungnya. (AYAT PERIBAHASA). Jelaslah bahawa anak-anak yang melibatkan diri dalam sukan sejak kecil akan dapat mengharumkan nama di persada dunia apabila dewasa kelak (AYAT PENYIMPUL).

Selain itu, ibu bapa hendaklah memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke tempat latihan atau ke kompleks sukan pada setiap petang. (AYAT TOPIK). Sehubungan dengan itu,anak-anak mereka lebih bersemangat untuk bergiat aktif dalam bidang sukan tersebut. (AYAT HURAIAN 1 ). Mereka juga boleh menemani anak-anak dan menyaksikan anak-anak mereka berlatih atau bertanding dalam sesuatu acara sukan atau permainan yang diadakan di peringkat sekolah atau daerah. (AYAT HURAIAN 2 ). Hal ini demikian kerana anak-anak akan merasa diri mereka dihargai dan bakat mereka diperakui oleh ibu bapa mereka. (AYAT HURAIAN 3 ). Sebagai contoh, anak-anak akan berusaha lebih keras dan lebih bersemangat menyertai acara sukan kerana mendapat sokongan moral daripada ahli keluarga mereka. (AYAT CONTOH). Ironinya, situasi ini akan memberikan kesan yang lebih mendalam dalam jiwa anak-anak kerana tiada gunung yang tidak dapat didaki dan tiada lurah yang tidak dapat dituruni. (AYAT PERIBAHASA ). Oleh itu, mereka akan berasa lebih yakin untuk mencipta kemenangan pada peringkat yang lebih tinggi lagi.    
( AYAT PENYIMPUL ).

Ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka majalah sukan dan bahan bacaan yang disukai oleh anak-anak mereka. ( AYAT TOPIK). Hal ini demikian kerana, anak-anak akan lebih berminat untuk menceburkan diri dalam bidang sukan dengan serius kerana mereka mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang sukan yang diceburi. (AYAT HURAIAN 1 ).  Mereka juga akan mendapat maklumat atau perkembangan terkini idola mereka dalam bidang sukan menerusi majalah-majalah sukan tersebut. (AYAT HURAIAN 2 ). Selain itu, kejayaan ahli-ahli sukan antarabangsa yang dipaparkan dalam majalah sukan tersebut akan menjadi idola dan pencetus semangat serta motivasi kepada anak-anak untuk menjadi ahli sukan yang berjaya. (AYAT HURAIAN 3 ). Sebagai contoh kejayaan Datuk Li Chong Wei, Datuk Nichole Ann David, Rodger Federer, Ronaldo atau Van Persi dan lain-lain lagi cukup dikenali di seluruh dunia. (AYAT CONTOH ). Tak kenal maka tak cinta, selepas kenal barulah anak-anak akan meminati dunia sukan yang bukan sahaja mempopularkan atlit malahan menjanjikan pendapatan yang lumayan. (AYAT PERIBAHASA). Jelaslah bahawa dengan mengenali tokoh-tokoh sukan melalui majalah atau bahan bacaan sukan akan menarik minat anak-anak menceburi bidang sukan.(AYAT PENYIMPUL)
                                                                                      
Intihanya, ibu bapa adalah faktor perdana dalam usaha menggalakkan anak-anak melibatkan diri dalam bidang sukan. Justeru itu, ibu bapa perlu mempunyai kesedaran mencungkil dan mengembangkan bakat anak-anak dalam bidang sukan supaya dapat melahirkan lebih banyak ahli sukan di negara kita. Ibu bapa disarankan agar memastikan kecemerlangan akademik dan kecemerlangan sukan anak-anak mereka bergerak seiring sekiranya mahu negara kita maju dalam bidang sukan. Hal ini dapat direalisasikan jika semua ibu bapa mengamalkan pepatah, genggam bara api biar sampai jadi arang kerana hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih.




No comments:

Post a Comment