Photobucket

Tuesday, March 29, 2011

Jom belajar bahasa Melayu....


  1. Saya suka makan.                                        (Ayat Penyata)
  2. Boleh tolong saya?                                       (Ayat Tanya)
  3. Jangan merokok di dalam kenderaan awam. (Ayat Larangan)
  4. Sila datang lagi.                                            (Ayat suruhan)
  5. Tolong beratur dalam barisan.                       (Ayat Permintaan)
  6. Aduh, sakitnya kaki saya!                             (Ayat Seruan)
  7. Buku itu ditulis oleh Cikgu Ghalib.                 (Ayat Pasif)
  8. Saya membakar kek coklat di dalam oven.   (Ayat Aktif)
  9. Di perpustakaan Ali sedang membaca.          (Ayat Songsang)



Sunday, March 27, 2011

Soalan BM 2 ujian bulan mac 2011



      Setelah mencapai kemerdekaan,kemajuan ekonomi negara begitu pesat membangun Sektor pertanian telah menjadi tulang belakang ekonomi negara pada waktu itu. Namun, perubahan zaman menyaksikan Malaysia mengalami transformasi, yakni daripada sebuah negara yang berasaskan sektor pertanian dan perlombongan kepada sebuah negara yang berasaskan perindustrian dan perkhidmatan. Hasrat kerajaan untuk menjana sektor pertanian negara semula dapat dilihat apabila nama Kementerian Pertanian sendiri telah ditukar kepada Kementerian dan Industri Asas Tani. Perubahan ini bertujuan memberikan nafas baharu kepada kementerian tersebut dalam memainkan peranan yang lebih berkesan kepada perkembangan industri tani negara.
            Walau bagaimanapun, terdapat beberapa cabaran yang terpaksa dihadapi oleh sektor pertanian negara. Jika dibandingkan secara relatif antara sektor pertanian dengan  sektor lain, jumlah upah , insentif dan suasana tempat kerja dalam sektor pertanian tidak begitu kompetitif. Masalah ini secara langsung menyukarkan usaha kerajaan untuk menarik minat golongan muda nekerja dalam sektor pertanian. Rata-rata muda-mudi kampung lebih senang bekerja di kilang daripada bekerja di sawah ladang. Faktor guna tenaga negara yang kebanyakannya kini berkelulusan tinggi turut menyulitkan keadaan apabila graduan-graduan university lebih berminat untuk bekerja dalam sektor yang lebih glamor. Perasaan rugi kerana tidak mendapat kerja yang sesuai atau setaraf dengan diploma atau ijazah yang ada jika bekerja dalam sektor pertanian juga merupakan satu faktor yang diambil kira oleh lepasan-lepasan universiti ini. Maka tidak hairanlah apabila statistik yang dikeluarkan mendapati hampir 80 000 orang siswa siswi kini menganggur.
         Persepsi kemiskinan yang biasa dikaitkan dengan mereka yang bekerja dalam sektor pertanian turut menyunbang kepada keadaan ini. Secara kasar kita dapat melihat bahawa isi rumah miskin biasanya datang daripada mereka yang terlibat dalam sektor ini. Tanggapan ini patut diubah. Selain migrasi buruh yang kini lebih cenderung ke arah sektor lain, terdapat juga migrasi sumber, terutamanya sumber tanah, yang telah bertukar menjadi tapak-tapak perindustrian. Keadaan ini berlaku dengan ketara di kawasan Semenanjung Malaysia yang pada suatu ketika dulu dikenali sebagai “Jelapang Padi” negara dan kini semakin bertukar menjadi lembah industri berteknologi tinggi.
          Selain itu, tekanan kawalan harga terhadap kebanyakan produk hasil tani mengakibatkan margin keuntungan yang diperoleh oleh usahawan tani tidak besar. Keadaan semakin teruk apabila harga komoditi mentah sektor pertanian juga sangat dipengaruhi oleh pasaran antarabangsa yang tidak menentu. Usaha untuk memasarkan hasil tani tempatan yang bermutu turut berhadapan dengan sikap kebanyakan negara yang masih mengamalkan dasar melindungi sektor pertanian mereka. Antara yang mengamalkan dasar ini termasuklah negara maju yang menguar-uarkan ideologi pasaran bebas seperti Amerika Syarikat dan Jepun tetapi bersikap sebaliknya apabila isu pasaran sektor pertanian mereka tergugat. Cabaran-cabaran ini wajar dijadikan perangsang untuk membolehkan kita terus bersaing dan emajukan sektor pertanian Malaysia.
          Langkah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperkenalkan label “Malaysia’s Best” untuk buah-buahan tempatan yang menepati kualiti dan piawaian yang ditetapkan merupakan satu contoh baik dalam usaha ini. Usaha untuk membawa teknologi pertanian yang moden dan mesra alam juga patut diteruskan. Selain itu, penyelidikan dan pembangunan (P&P) yang lebih giat sewajarnya tidak hanya mendapat pembiayaan kerajaan tetapi penglibatan sektor swasta dalam konteks ini akan mempercepat usaha untuk memajukan sektor tani negara.
  (Dipetik dan diubah suai daripada rencana *Cabaran Memajukan
 Sektor Pertanian Negara*, Utusan Malaysia,7 Jun 2004)
      

Soalan 1: Rumusan [30 Markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti,kemudian buat satu rumusan tentang cabaran-cabaran untuk memajukan sektor pertanian dan kepentingan sektor pertanian kepada negara. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

                                                     Soalan 2: Pemahaman
                                                             [35 Markah]
                                                      Jawab semua soalan
Soalan 2(a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab semua soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i)                 Berikan maksud rangkai kata tulang belakang ekonomi negara.            [2 markah]
(ii)               Nyatakan langkah-langkah yang perlu diambil untuk memajukan sektor pertanian negara. [3 markah]
(iii)     Pada pendapat anda, mengapakah sektor pertanian tidak boleh diabaikan walaupun kita beralih kepada sektor perindustrian?  [4 markah] 

Soalan 2 (b)     Petikan Cerpen
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan ayat-ayat anda sendiri.

           
Matahari kian terang. Fikiran kami kian lega. Semua harta benda kami tinggalkan. Ibuku sempat membawa barang-barang kemasnya, tetapi Pak Ngah Isa dan orang-orang lain sempat membawa beras sebanyak-banyaknya. Aku mengerti dengan sungguh-sunguh bahawa perpindahan kami  disebabkan oleh perang! Walaupun aku tidak mengerti sesungguhnya makna perang itu, tetapi kurasakan akibatnya. Rata-rata kami mengetahui perang sekarang ialah perlanggaran mendadak  oleh Jepun ke atas Inggeris. Kampung kami, Pulau Pak Amat, yang mempunyai sebuah benteng yang kami banggakan selama ini, menjadi tempat permulaan tentera-tentera Jepun mendarat (hal ini kuketahui setelah aku measuring sekolah di kota). Seorang jiran kami, telah menghitung di hadapanku. Pagi ini ialah 8 Disember 1941.
            Aku menghirup sesuatu di dalam rongkong pengalaman dalam usiaku empat belas tahun. Rata-rata kami dihinggapi duka nestapa oleh kejadian ini. Ketika kami tiba di hadapan Sungai Gali, kami tidak mendengar bunyi ledakan bom mortar. Sesekali kudengar sayup-sayup rentetan senapang. Akan tetapi sesuatu yang ajaib telah berlaku. Ketika kami tiba di pangkalan Kampung Dal, kami telah kehilangan sesuatu. Kami tidak menyedarinya sebelum ini. Kami terpinga-pinga. Ayahku dengan gagahnya cuba menguasai sebuah perahu untuk surut ke belakang.  Ayahku ditahan oleh Pak Ngah. Semua orang menahan ayahku. Ibuku menangis dan bersenggayut di kain pakai ayahku. Adikku juga.
            Kami kehilangan Pak Husain!
            Dialah yang mengetuai kami berpindah. Dialah yang mengusung Jarah. Dia jugalah yang mengumpulkan kami ke pangkalan. Dia segala-galanya. Dia tertinggal dalam saat akhir apabila Pak Ngah memerintahkan kami meninggalkan pangkalan. Tidak ada seorang pun antara kami yang sedar bahawa Pak Husain belum turun ke pangkalan. Ketika perahu kami melewati Tuk Lukup, Pulau Tukang dolah, Pulau Panjang dan Sungai Gali, kami belum sedar akan kehilangan Pak Husain. Mak Bidah sterna juga tidak sedar. Sekarang Mak Bidah mula meraung. Ketiadaan Pak Husain, pahlawan kami, menjadi suatu kumpulan fikiran kami bersama-sama. Sebagai lazimnya, dalam saat-saat yang menekan dan maut di mana, kehilngan itu terpaksa ditelan.

(Dipetik daripada Pahlawan Buntung, oleh S. Othman Kelantan,
Antologi dirgahayu Bahasaku,Dewan Bahasa dan Pustaka)



(I)        Apakah maksud rangkai kata kami dihinggapi duka nestapa?    [2markah]
(ii)        Peperangan mendatangkan banyak kemusnahan kepada manusia. Nyatakan kesan-kesan
            peperangan terhadap sesebuah negara.     [4 markah]
(iii)       Pada pendapat anda, apakah yang telah berlaku kepada Pak Husain?  [3 markah] 

Soalan 2 ( c )   Petikan Prosa Klasik

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat-ayat anda sendiri.

           
Setelah pagi hari, maka Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi dan dayang-dayang itu pun pergi sekalian turun ke taman. Setelah dilihat oleh penunggu tasik itu tuan puteri itu datang, maka katanya, “Hai, cucuku, itulah Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi datang. Pergilah Tuanku bersembunyi pada tempat yang sunyi-sunyi.” Setelah itu, maka tuan puteri itu pun datang dengan segala dayang-dayang dan inang-inang pengasuhnya.
            Setelah sampai ke taman itu, maka Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi berseru-seru, “Adakah nenekku di rumah?” Maka sahut peri itu, “Tikar dan bantal seperti ada orang tidur.” Maka kata segala dayang-dayang itu, “Benarlah kata tuan puteri baharu pula rumah nenekku itu ada tempat tidur laki-laki rupanya.” Maka kata peri itu, “Adapun tempat tidur siang hari ini tempat hamba tidur pada malam hari.” Maka ia pun tertawalah serta bergurau senda. Maka tuan puteri itun pun berbedak dan berlangirlah. Maka ramailah bergosok-gosok. Maka barang lakunya tuan puteri itu habislah dilihat oleh Raja Indera Bumaya itu. Maka baginda pun berahilah dalam hatinya. Sungguhlah seperti kata peri itu. Maka tuan puteri itu pun pergilah mandi keluar di dalamcindai itu serta diiringkan oleh segala dayang-dayang dan inang pengasuh sekalian.
            Setelah sudah maka Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi pun turun mandi. Maka Raja Indera Bumaya pun turun berjalan di tepi kolam itu, seorang pun tiada melihat dia. Maka Raja Indera Bumaya pun berlindung pada pohon kemunting. Maka baginda pun menjadikan dirinya seekor burung bayan terlalu indah-indah rupanya. Syahadan ada pun matanya itu daripada intan dan bulunya daripada emas. Maka bayan itu pun hinggap pada pohon kemunting itu serayalah berbunyi terlalu merdu suaranya.
            Setelah didengar oleh Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi bunyi burung bayan itu, maka tuan puteri pun memandang ke atas pohon kemunting itu. Maka dilihat oleh tuan puteri seekor burung bayan terlalu indah rupanya. Maka kata tuan puteri kepada inangda, “Tangkaplah bayan itu.”

(Dipetik daripada Hikayat langlang Buana, Antologi
Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka)


(I)        Berikan maksud rangkai kata seorang pun tiada melihat dia.     [2 markah ]
|(ii)       Pada pendapat anda, mengapakah Raja Indera Bumaya mengintai Puteri Mandu Ratna Dewi
            mandi di kolam?  [3 markah ]
(iii)       Nyatakan keistimewaan yang dimiliki Raja Indera Bumaya. [3 markah ]

Soalan 2 (d)     Petikan Puisi
Baca puisi di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

DIRGAHAYU BAHASAKU

Tempatmu di singgahsana
Hati nurani bangsaku
Warga yang berbudi
Setia dan amanah

Bahasa itu maruah bangsa
Yang mesti dipelihara martabatnya
Agar tetap kukuh dan ampuh
Melayari lautan bijaksana
Salam ikatan mesra dan teguh.

Cekal dan waja semangat pejuangku
Hak bangsaku memilikimu
Hak bangsaku mendaulatkanmu
Di bumi bertuah ini
Merentas dunia tak bertepi.

Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan
Ke barat dan ke timur menjalin persaudaraan
Gagah pelautku membelah lautan
Ke utara dan ke selatan bahasaku mencengkam
Dari pulau ke pulau menggilap mutiara silam.

Dirgahayu bahasaku
Di arena antarabangsa suaramu tumbuh
Menusuk kalbu lagu bahasamu
Bahasamu bahasa minda
Mudah akrab dan bertatasusila
Daripada bangsa yang bernama Melayu
Menempa kejayaan di alaf baru.

(Dipetik daripada Manuskrip Luka Bangsa, 2006,
Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka)
                                                                                                           


(I)        Apakah maksud….
            Tempatmu di singgahsana
            Hati nurani bangsaku,
            dalam puisi di atas?                                     [2 markah ]
(ii)        Nyatakan tiga kepentingan bahasa kepada kita.  [3 markah]
(iii)       Huraikan dua persoalan dalam sajak di atas. [3 markah]


Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Tatabahasa
 [30 markah]
                                                                 Jawab semua soalan
(a)    Tulis satu ayat bagi tiap-tiap frasa di bawah ini untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan,menukarkan imbuhan atau menggunakan frasa itu sebagai peribahasa dan nama khas

(i)                 Turun naik
(ii)               Tinggi rendah
(iii)             Pasang surut
(iv)             Jual beli
(v)               Suami isteri
(vi)             Bukit bukau [6 markah]                                                                                                           
(b)   Sambungkan ayat-ayat tunggal di bawah ini supaya menjadi ayat majmuk dengan kata hubung (dan, tetapi, atau, serta, yang, lalu, bahawa, supaya).
         (i) Sebuah stesen televisyen Iraq telah menyirkan rakaman video. Rakaman video itu         menunjukkan seorang pegawai perisik dari Syria. Pegawai itu merancang kegiatan pengganas di Iraq
          (ii)Sebuah bas terbabas. Bas itu melanggar sebuah kereta. Bas itu melanggar sebuah kedai.
         (iii)Institusi pendidikan di negara ini perlu dilengkapi kemudahan moden. Institusi pendidikan di negara ini perlu aktif menjalankan pelbagai aktiviti penyelidikan. Penyelidikan ini dapat dijadikan rujukan oleh institusi pendidikan di seluruh dunia.[ 6 markah ]                                                                                                                       
      (c)Dalam petikan di bawah ini, terdapat tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betukan kesalahan-kesalan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak bolah menyenaikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

        Tahun Melawat Malaysia diistihar oleh kerajaan bermula pada tahun 1990. Usaha ini menunjukkan bahwa kerajaan semakin memberikan pemerhatian yang serius kepada industri pelancungan kerana langkah ini berpontensi untuk memaju ekonomi negara.
                                                                                         [6 markah] 
(d) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senarai dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.  
       (i)    Ramai pelajar yang tidak sukakan pelajar baharu itu kerana sikapnya yang tidak menghormati orang lain.
       (ii)   Separuh pelajar yang tinggal di asrama sekolah itu diracunkan makanan pada alam tadi.
       (iii) Isu Lagu Negaraku itu heboh orang ramai perkatakan setelah video itu disebarkan dengan
             Internet. [6 markah]
 (e)  Berikan maksud peribahasa di bawah.
       (i)  di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
       (ii) sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.
       (iii)seperti mencurahkan air ke daun keladi
           [6 markah]                                                               
Soalan 4 : Novel
[15 markah]
Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel berikut:
(i)         Melunas Rindu karya Hartini Hamzah.
(ii)        Kabus Di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah.
(a)        Huraikan watak dan perwatakan watak utama dalam novel yang anda 
            pelajari.     [7 markah]
(b)        Nyatakan dua pengajaran bagi kedua-dua novel yang anda pelajari.
[8 markah]








Kepentingan Tayar Kenderaan..

Tidak dinafikan enjin merupakan komponen penting bagi sesebuah kenderaan bermotor. Apa yang ingin Cikgunie kongsi bersama pembaca ialah mengenai kepentingan tayar kepada sesebuah kenderaan bermotor. Dulu Cikgunie pernah menulis dalam blog Cikgunie cara-cara mengisi angin dalam tayar. Hendak dijadikan cerita, Cikgunie selalu mengalami masalah berkaitan tayar kereta semasa ketiadaan Mr. Hubby Cikgunie. Baru-baru ini, suami Cikgunie pergi latihan menembak di Kota Kinabalu. Jadi, Cikgunie terpaksa hantar dan ambil anak-anak dari sekolah. Jadual Cikgunie berubah 100 peratus. Tapi demi anak-anak dan suami tercinta, pengorbanan seseorang isteri amat dituntut. Maka Cikgunie pun telah ditahan oleh seorang anggota polis trafik semasa mengambil anak Cikgunie dari sekolah. Cikgunie berdebar-debar kerana memikirkan apakah kesalahan yang Cikgunie lakukan kali ini. Sudahlah baru bayar 3 saman sebelum 28 Februari 2011 baru-baru ini. Rupa-rupanya sangkaan Cikgunie meleset. Polis trafik itu menegur Cikgunie dengan bahasa yang paling sopan. "Puan, tayar kereta Puan sudah botak. Demi keselamatan Puan dan anak-anak Puan, bolehkah Puan menukar tayar kereta Puan dengan seberapa segera." Huh, meremang bulu roma Cikgunie mendengar ayat-ayat yang sopan-santun dari bibir anggota polis trafik itu. Dengan perasan segan bercampur malu, Cikgunie mengucapkan ribuan terima kasih kerana memaklumkan Cikgunie. Sebelum ini Cikgunie tidak pernah terfikir tentang tayar kereta apatah lagi untuk melihat bunga pada tayar kereta.
Pembaca yang dihormati sekalian, ikutlah langkah-langkah yang Cikgunie lakukan selepas mendapat teguran yang amat sopan daripada anggota polis trafik itu.

  • Pertama, tanyalah polis trafik itu di manakah kedai tayar yang menawarkan perkhidmatan yang paling murah di kawasan anda.
  • Kedua, mintalah alamat daripada polis trafik atau orang yang mencadangkan anda menukar tayar kenderaan anda.
  • Ketiga, pergilah ke kedai tayar berkenaan dan bawalah kereta anda sekali.
  • Seterusnya, masuklah ke dalam kedai tayar itu dan tanyalah harga tayar kenderaan yang anda kehendaki itu.

Ini ialah tragedi yang berlaku semasa Cikgunie berada dalam kedai tayar Wisalaju Sdn. Bhd. di Labuan.
"Miss, saya nak tukar tayar kereta?"
"Apa rim?"
"Rim tu apa?"
"Saiz rim?"
"Entah!"
"Puan pergi tengok kat tayar apa dia tulis!"
Sebenarnya Cikgunie tak tahu pun apakah yang dikatakan rim oleh pembantu kedai tayar itu. Tetapi Cikgunie sentiasa ada altenatif kepada setiap tindakan Cikgunie. Apa yang susah sangat. Setakat nak tahu rim Cikgunie boleh tanya sesiapa sahaja termasuk suami Cikgunie. Cikgunie pun telefon suami Cikgunie dan bertanyakan rim kereta Cikgunie. Suami Cikgunie memberitahu rim kereta Cikgunie 17. Cikgunie masuk semula ke dalam kedai tayar. 
"Miss, rim dia 17."
"Apa saiz?"
"Saiz apa?"
"Tayar!"
"Entah."
"Kalau macam tu, macam mana mau tukar tayar?" Pembantu kedai mula rasa dipermainkan oleh Cikgunie.
Spontan Cikgunie rasa nak tahu saiz tayar ada ditulis di mana-mana bahagian. Lalu soalan bodoh pun menyusul.
"Miss, nak tau saiz tayar tu ada tulis kat mana-mana badan keretakah?"
"Aiiyooo...memang dia tulis kat tayar kereta la..."
"Haaa??? Betulkah?"
"Aiiyyyooo...Puan tak pernah tukar tayarkah?"
"Tak pernah. Dah 4 tahun saya pakai kereta ni, belum pernah tukar lagi walau sebiji tayar pun.."
Cikgunie pun memerhati angka dan huruf-huruf yang tertera pada tayar kereta Cikgunie...
275/55 R17
"Nasib baik ada. Puan nak tayar apa?"
"Good Year."
"Maaf la. Kat Labuan tiada tayar Good Year."
"Habis? Apa yang ada?"
"Falken, Roadstone, Bridgestone, Continental..."
"Paling murah?"
"Falken dan Roadstone."
"Buatan mana?"
"Falken, Indonesia dan Roadstone, Korea."
"Mana paling baik?"
"Roadstone."
"Harga?"
"Harga asal RM320 tapi saya kasi Puan RM290 x 4 = RM1160"
"Mahalnya!!!!"
"Semua tayar naik harga ooo sebab getah naik harga. Kalau Puan buat aligment sekali tambah lagi RM45. Kalau chamber kena tukar masa buat aligment untuk balancing dan timbang tayar kena tambah lagi."
"Kalau macam tu, awak buatlah apa yang patut."
Sementara menunggu proses tukar tayar dan seangkatan dengannya, Cikgunie bertanya pembantu kedai tayar Wisalaju itu tentang 275/55 R17 yang tertera ditayar kereta Cikgunie. Rupa-rupanya 275 ialah lebar tayar dalam cm, 55 pula ialah tinggi tayar dari rim manakala R17 pula ialah rim tayar Cikgunie 17 inci. Rim itu pula ialah aloi yang menampung tayar kereta. Pada pagi kelmarin habislah juga RM1200 duit Cikgunie kat kedai Wisalaju. Tauke kedai bagi diskaun RM5 kat Cikgunie. Tauke kedai itu hairan kerana tayar kereta Cikgunie tidak perlu tukar chamber semasa timbang tayar. Dia memuji Cikgunie kerana cermat membawa kereta. Katanya ada kereta yang baru 2 tahun dibeli terpaksa ditukar kedua-dua chamber. Semasa pulang ke rumah, terasa selesa memandu kereta yang lebih lancar di atas jalan raya. Maklumlah kereta Cikgunie pakai kasut baru. Sepanjang jalan Cikgunie tersenyum kerana mampu menyelesaikan masalah kereta tanpa suami Cikgunie. Rupa-rupanya semakin kita meningkat usia, semakin banyak benda yang perlu kita pelajari. Peribahasa malu bertanya sesat jalan ada kebenarannya. Jadi ringan-ringankanlah mulut anda untuk bertanya sesuatu yang tidak anda ketahui walaupun benda yang paling tidak bermakna kepada orang lain. Selepas anda mendapat sesuatu ilmu itu pula, kongsilah dengan orang lain agar kita semua mendapat manfaatnya. Ingatlah, tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan dan tiada jalan yang tiada penghujungnya.

Sunday, March 20, 2011

SELAMAT MENJAWAB SOALAN .....




Pelajar-pelajar SM ST Anthony, selamat berjuang esok. Ujian Bulan Mac tingkatan 1- tingkatan 5 ikut format peperiksaan sebenar. Malam ni ulangkaji topik-topik yang sudah belajar. Semoga kejayaan menjadi milik semua pelajar St. Anthony....Amin.

Saturday, March 19, 2011

Soalan Struktur Sejarah

Bab 3 : Kesedaran Pembinaan Negara dan Bangsa
1. Sistem politik masyarakat Melayu tradisional berbeza daripada sistem politik negara moden pada hari ini. Namun penjajahan kuasa barat telah mengubah konsep kerajaan dan negeri masyarakat Melayu tradisional.
(a) Nyatakan peranan golongan berikut:
(i)  Raja
     Memberi perlindungan politik kepada rakyat.
     Menjaga keselamatan rakyat yang mendiami wilayah pemerintahannya.
(ii)  Rakyat
     Mengakui kedaulatan dan kekuasaan Raja yang memerintah.
     Menumpahkan taat setia terhadap raja.


(b)  Apakah perubahan yang berlaku dalam sistem politik negeri2 Melayu selepas penjajahan kuasa Barat?
(i)   Penetapan setiap sempadan negeri dan kerajaan.
(ii)  Konsep kerajaan digantikan dengan konsep negeri.
(iii) Pembentukan kerajaan pusat.
(iv) Pembentukan negara bangsa moden melalui pengenalan gagasan Malayan Union.


(c)  Apakah maksud konsep bangsa?
      Sekumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan dan warganegara sesebuah negara.


(d) Bilakah wujudnya konsep negara dan bangsa Malaysia?
     Pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dan 
Pembentukan Malaysia  pada 16 September 1963.


(e) Pada pendapat anda, bagaimanakah bangsa Malaysia dibentuk?
     Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.
     Perpaduan masyarakat majmuk dipupuk melalui Rukun Negara.



Thursday, March 17, 2011

Mari Membuat Pizza....

Cara-cara Membuat Pizza "Chicken Supreme Cikgunie"
Bahan-bahan untuk membuat doh
1/2 kilo tepung berprotein tinggi (cikgunie guna tepung Blue Key)
1 paket yis mauripan
500 ml air suam
1 sudu besar gula
1/2 sudu garam
1 sudu minyak zaitun
Bahan-bahan untuk membuat toping
3 ketul dada ayam bersaiz besar
10 batang sosej
1 labu bawang besar
1 tin kecil  tomato puri
1 sudu "oregano leaf" - kekalkan ejaan B.Inggeris
2 biji tomato
2 sudu minyak zaitun
250 gram "mozarella cheese" - bahan utama untuk toping (di Labuan sekarang 1kg keju ni RM65.00)
LANGKAH DEMI LANGKAH MEMBUAT PIZZA
Masukkan tepung ke dalam bekas adunan dan buat lubang di tengah-tengahnya.
Masukkan gula, garam dan yis ke dalam air suam tadi. Kacau hingga larut dan biarkan yis mengembang. (Jangan sesekali gunakan sudu logam - boleh kacau dengan sudu plastik atau senduk kayu)
Curahkan air yang sudah dilarutkan dengan gula, garam dan yis ke tengah-tengah tepung di dalam mangkuk adunan.
Ulilah tepung tadi sehingga menjadi doh seperti dalam gambar di bawah.








Biarkan doh itu selama 15 minit atau ia mengembang 3 kali ganda daripada saiz asal seperti dalam gambar.












Sementara menunggu doh kembang, masaklah bahan-bahan toping untuk pizza
Bahan-bahan ni belum dimasak. Masukkan 1 sudu minyak zaitun, tumis dengan bawang besar yang dipotong dadu. Tambah sedikit serbuk cili dan serbuk kari untuk menambah perisa. Tambah secubit garam atau perasa yang anda suka. Jadilah seperti dalam gambar di sebelah.






Masukkan 1 sudu minyak zaitun dan tumis tomato puri bersama-sam "oregano leaf". Tambah secubit garam dan 1 sudu gula jika suka. Hasilnya dalam gambar..








Langkah seterusnya, masukkan doh tadi ke dalam loyang, kalau suka ikut saiz S,R dan L atau 4 inci, 6 inci dan 9 inci. Lenyekkan doh tadi setebal 1cm.














Kemudian, sapu tomato puri yang sudah dimasak di atas lapisan pizza.










Seterusnya letaklah apa-apa saja yang anda suka sebagai toping pizza anda. Cikgunie letak ayam dan sosej yang baru separuh masak sebagai toping pizza cikgunie sebab cikgunie buat pizza perasa "Chicken Supreme"...





Jangan lupa letak keju mozarella yang sudah diparut di atas toping pizza kita...nanti piza kita tak rasa macam pizza pula..
Kalau nak sedap dan nak liat-liut lagi boleh letak banyak-banyak keju kat lapisan atas pizza kita...
Sekarang semua sudah lengkap, puan-puan sekalian bolehlah masukkan pizza kita ke dalam oven. Bakarlah selama15-20 minit.



Inilah rupa pizza cikgunie yang sudah siap dimasak. Sengaja letak dalam pinggan.


Jangan lupa, bila sudah tahu caranya, cubalah buat sekali hari ini. Kalau tak cuba hari ini, buatlah esok hari. Kalau tak mampu juga, buatlah setahun sekali. Tidak mampu juga, cubalah buat sekali seumur hidup kita. Jumpa lagi di lain resepi....







P/S# 1/2 kilo tepung, cikgunie dapat 2 keping pizza bersaiz besar dan 1 keping pizza bersaiz kecil.