Photobucket

Sunday, March 27, 2011

Kepentingan Tayar Kenderaan..

Tidak dinafikan enjin merupakan komponen penting bagi sesebuah kenderaan bermotor. Apa yang ingin Cikgunie kongsi bersama pembaca ialah mengenai kepentingan tayar kepada sesebuah kenderaan bermotor. Dulu Cikgunie pernah menulis dalam blog Cikgunie cara-cara mengisi angin dalam tayar. Hendak dijadikan cerita, Cikgunie selalu mengalami masalah berkaitan tayar kereta semasa ketiadaan Mr. Hubby Cikgunie. Baru-baru ini, suami Cikgunie pergi latihan menembak di Kota Kinabalu. Jadi, Cikgunie terpaksa hantar dan ambil anak-anak dari sekolah. Jadual Cikgunie berubah 100 peratus. Tapi demi anak-anak dan suami tercinta, pengorbanan seseorang isteri amat dituntut. Maka Cikgunie pun telah ditahan oleh seorang anggota polis trafik semasa mengambil anak Cikgunie dari sekolah. Cikgunie berdebar-debar kerana memikirkan apakah kesalahan yang Cikgunie lakukan kali ini. Sudahlah baru bayar 3 saman sebelum 28 Februari 2011 baru-baru ini. Rupa-rupanya sangkaan Cikgunie meleset. Polis trafik itu menegur Cikgunie dengan bahasa yang paling sopan. "Puan, tayar kereta Puan sudah botak. Demi keselamatan Puan dan anak-anak Puan, bolehkah Puan menukar tayar kereta Puan dengan seberapa segera." Huh, meremang bulu roma Cikgunie mendengar ayat-ayat yang sopan-santun dari bibir anggota polis trafik itu. Dengan perasan segan bercampur malu, Cikgunie mengucapkan ribuan terima kasih kerana memaklumkan Cikgunie. Sebelum ini Cikgunie tidak pernah terfikir tentang tayar kereta apatah lagi untuk melihat bunga pada tayar kereta.
Pembaca yang dihormati sekalian, ikutlah langkah-langkah yang Cikgunie lakukan selepas mendapat teguran yang amat sopan daripada anggota polis trafik itu.

  • Pertama, tanyalah polis trafik itu di manakah kedai tayar yang menawarkan perkhidmatan yang paling murah di kawasan anda.
  • Kedua, mintalah alamat daripada polis trafik atau orang yang mencadangkan anda menukar tayar kenderaan anda.
  • Ketiga, pergilah ke kedai tayar berkenaan dan bawalah kereta anda sekali.
  • Seterusnya, masuklah ke dalam kedai tayar itu dan tanyalah harga tayar kenderaan yang anda kehendaki itu.

Ini ialah tragedi yang berlaku semasa Cikgunie berada dalam kedai tayar Wisalaju Sdn. Bhd. di Labuan.
"Miss, saya nak tukar tayar kereta?"
"Apa rim?"
"Rim tu apa?"
"Saiz rim?"
"Entah!"
"Puan pergi tengok kat tayar apa dia tulis!"
Sebenarnya Cikgunie tak tahu pun apakah yang dikatakan rim oleh pembantu kedai tayar itu. Tetapi Cikgunie sentiasa ada altenatif kepada setiap tindakan Cikgunie. Apa yang susah sangat. Setakat nak tahu rim Cikgunie boleh tanya sesiapa sahaja termasuk suami Cikgunie. Cikgunie pun telefon suami Cikgunie dan bertanyakan rim kereta Cikgunie. Suami Cikgunie memberitahu rim kereta Cikgunie 17. Cikgunie masuk semula ke dalam kedai tayar. 
"Miss, rim dia 17."
"Apa saiz?"
"Saiz apa?"
"Tayar!"
"Entah."
"Kalau macam tu, macam mana mau tukar tayar?" Pembantu kedai mula rasa dipermainkan oleh Cikgunie.
Spontan Cikgunie rasa nak tahu saiz tayar ada ditulis di mana-mana bahagian. Lalu soalan bodoh pun menyusul.
"Miss, nak tau saiz tayar tu ada tulis kat mana-mana badan keretakah?"
"Aiiyooo...memang dia tulis kat tayar kereta la..."
"Haaa??? Betulkah?"
"Aiiyyyooo...Puan tak pernah tukar tayarkah?"
"Tak pernah. Dah 4 tahun saya pakai kereta ni, belum pernah tukar lagi walau sebiji tayar pun.."
Cikgunie pun memerhati angka dan huruf-huruf yang tertera pada tayar kereta Cikgunie...
275/55 R17
"Nasib baik ada. Puan nak tayar apa?"
"Good Year."
"Maaf la. Kat Labuan tiada tayar Good Year."
"Habis? Apa yang ada?"
"Falken, Roadstone, Bridgestone, Continental..."
"Paling murah?"
"Falken dan Roadstone."
"Buatan mana?"
"Falken, Indonesia dan Roadstone, Korea."
"Mana paling baik?"
"Roadstone."
"Harga?"
"Harga asal RM320 tapi saya kasi Puan RM290 x 4 = RM1160"
"Mahalnya!!!!"
"Semua tayar naik harga ooo sebab getah naik harga. Kalau Puan buat aligment sekali tambah lagi RM45. Kalau chamber kena tukar masa buat aligment untuk balancing dan timbang tayar kena tambah lagi."
"Kalau macam tu, awak buatlah apa yang patut."
Sementara menunggu proses tukar tayar dan seangkatan dengannya, Cikgunie bertanya pembantu kedai tayar Wisalaju itu tentang 275/55 R17 yang tertera ditayar kereta Cikgunie. Rupa-rupanya 275 ialah lebar tayar dalam cm, 55 pula ialah tinggi tayar dari rim manakala R17 pula ialah rim tayar Cikgunie 17 inci. Rim itu pula ialah aloi yang menampung tayar kereta. Pada pagi kelmarin habislah juga RM1200 duit Cikgunie kat kedai Wisalaju. Tauke kedai bagi diskaun RM5 kat Cikgunie. Tauke kedai itu hairan kerana tayar kereta Cikgunie tidak perlu tukar chamber semasa timbang tayar. Dia memuji Cikgunie kerana cermat membawa kereta. Katanya ada kereta yang baru 2 tahun dibeli terpaksa ditukar kedua-dua chamber. Semasa pulang ke rumah, terasa selesa memandu kereta yang lebih lancar di atas jalan raya. Maklumlah kereta Cikgunie pakai kasut baru. Sepanjang jalan Cikgunie tersenyum kerana mampu menyelesaikan masalah kereta tanpa suami Cikgunie. Rupa-rupanya semakin kita meningkat usia, semakin banyak benda yang perlu kita pelajari. Peribahasa malu bertanya sesat jalan ada kebenarannya. Jadi ringan-ringankanlah mulut anda untuk bertanya sesuatu yang tidak anda ketahui walaupun benda yang paling tidak bermakna kepada orang lain. Selepas anda mendapat sesuatu ilmu itu pula, kongsilah dengan orang lain agar kita semua mendapat manfaatnya. Ingatlah, tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan dan tiada jalan yang tiada penghujungnya.

No comments:

Post a Comment