Photobucket

Monday, November 15, 2010

SEDUTAN NOVEL....Terima Kasih Kekasih...

BAB SATU

Balik segera! Ada hal penting.

Aku mengamati mesej yang baru saja aku terima. Penghantar … Mama. Belum sempat aku melihat butiran selanjutnya…..

Tiba-tiba ……Gedegangggg!

Ah, aku terlanggar kereta di hadapan aku. Sepantas kilat aku menekan brek dan memberhentikan kereta. Bunyi tayar diseret meresap ke dalam kereta lantas hinggap di gegendang telinga aku. Aku terhenyak di tempat duduk. Jantung aku berdegup kencang. Kereta yang aku langgar terhenti di atas bahu jalan. Aku hanya mampu melihat. Kemalangan rupanya.

Mata aku melorot ke hadapan. Pintu kereta terbuka luas. Seorang lelaki melangkah keluar dari kereta jenis Proton Wira dengan penuh bergaya. Dia memakai kemeja T berwarrna hijau pucuk pisang dan seluar jeans berwarna hitam. Amat padan sekali dengan kulitnya yang putih. Aku mengamati rupa parasnya. Oh, lelaki itu berketurunan Cina.

Beberapa saat, sebuah motorsikal berkuasa besar jenis motorsikal lumba berhenti di sebelah keretaku. Seorang lelaki yang memakai topi keledar yang menutup penuh mukanya turun dari motosikal dan mengetuk cermin kereta aku. Dia mengangkat cermin topi keledarnya hingga menampakkan bibir tanpa kumis.

“Mata letak kat mana? Buta ke?”

Sedapnya kalimah yang menangkap cuping telinga aku. Kasar pula ayat yang keluar daripada bibirnya. Aku terpempan. Rasa takut menguasai diri. Lelaki Cina yang memakai kemeja T berwarna hijau pucuk pisang itu hanya memerhatikan sahaja. Akhirnya lelaki Cina itu melangkah menghampiri keretaku. Aku mendiamkan diri dan hanya menunggu reaksi lelaki itu seterusnya. Lelaki bermotorsikal itu pula menunjuk isyarat supaya aku keluar dari kereta.

Aku tiada pilihan. Aku melakukan kesalahan, maka aku perlu bertanggungjawab. Terketar-ketar aku keluar dari kereta. Kedudukan aku terlalu rapat dengan lelaki berseluar jeans ketat dan memakai jaket kulit itu.

“Macam mana U drive?” Suara lelaki itu bergetar menahan amarah.

“Maa..maa..afkan sa..sa..saya Encik! Saya tak sengaja. Saya ingat Encik ni nak belok terus ke kiri. Mana saya tahu Encik ni brek mengejut.” Kataku merujuk lelaki Cina yang sudah berada di sebelahku.

Ada kereta dari arah kanan. Takkan I nak teruskan perjalanan. Lagipun U follow dekat sangat.” Lelaki Cina itu akhirnya bersuara. Lembut saja suaranya pada pendengaran telinga aku. Fasih pula dia berbahasa Melayu.

“Habis, sekarang ni nak buat macam mana?” Lelaki bermotosikal itu masih tidak puas hati. Suaranya seperti tadi. Keras dan kasar.

Aku mendongak memandang lelaki bermotosikal itu. Kemudian aku memandang ke arah lelaki Cina itu pula. Aku berada di tengah-tengah mereka. Aku sangat takut. Kereta yang lalu-lalang seakan tidak bersimpati padaku. Tiada sebuah kereta pun yang berhenti. Ya, Allah! Apa yang perlu aku lakukan? Aku tidak pernah terlibat dalam kemalangan sebelum ini. Berkomunikasi adalah cara terbaik. Tapi bagaimana?

“Terpulang kepada Encik berdua. Saya ikut saja.”

“Jadi U sanggup tanggung semua kerugian.” Lelaki bermotorsikal itu mula mengendurkan suaranya.

Aku mengangguk. Rupanya terlalu sukar untuk menyelesaikan masalah kemalangan yang kecil ini. Lebih-lebih aku seorang perempuan dan belum berkahwin pula.

“Maafkan saya, Encik. Saya betul-betul tak sengaja. Ini contact number saya. Apa-apa hal Encik konteks saya.” Aku menghulurkan kad nama aku kepadanya. Kad nama itu sebenarnya saja-saja kawan aku cetak. Mata aku melirik ke arah lelaki Cina itu. Aku cuba memohon simpati daripadanya.

“Betul ini contact number U?” Lelaki Cina itu ragu-ragu apabila melihat kad nama di tangan aku. Matanya yang sepet melirik ke arahku manakala lelaki bermotosikal itu tanpa sopan merampas kad nama dari tangan aku. Terkejut aku. Perasaan takut kembali menjalar dalam fikiranku. Siapakah lelaki yang kurang ajar itu? Pakaiannya melambangkan perwatakannya. Sarung tangan yang dipakai lelaki bermotosikal itu tersagat tanganku. Pedih dan sakit. Entah dibuat daripada kulit apa aku sendiri tidak pasti.

Matanya merenung kad nama aku. Pandangannya silih berganti antara kad nama dengan wajah aku. Perasaan aku tidak keruan. Rasa takut mula menjalar lagi. Namun akhirnya dia memberikan isyarat kepada lelaki itu agar beredar dari situ. Situasi yang menggerunkan itu berakhir juga. Lelaki Cina itu bersetuju menghantar keretanya ke bengkel pilihannya. Aku berjanji akan membayar semua kos membaiki keretanya. Sebelum berlalu dia juga memberikan nombor telefonnya kepadaku. Aku mula menekan setiap nombor yang diberikan. Selepas isyarat telefonnya berbunyi barulah lelaki itu beredar meninggalkan aku. Dia terus memecut keretanya. Lelaki bermotosikal itu memberikan isyarat ibu jari sebelum memecut meninggalkan aku.

Aku memandu dalam keadaan gementar. Peluh dingin memercik di mukaku. Rasa takut masih menguasai diri. Aku cuba mententeramkan diri. Biarlah aku melupakan kemalangan sebentar tadi. Aku mahukan ketenangan. Seram aku hendak memikirkan tindakan lelaki bermotosikal itu. Sampai di bangunan hospital, barulah aku melihat keadaan keretaku. Tiada kesan-kesan telah berlaku perlanggaran. Mungkin kerana itulah harga kereta import lebih mahal daripada kereta tempatan. Patutlah kereta Wira yang baru aku langgar sebentar tadi hampir tercabut bumpernya.

Mengingatkan kemalangan sebentar tadi, aku menjadi sangat takut. Siapakah lelaki bermotosikal yang biadap itu? Aku langsung tidak nampak wajahnya yang ditutupi topi keledar hitam. Sikap lelaki yang biadap itu melupakan hasrat aku hendak tanya nama hamba Allah yang aku langgar keretanya sebentar tadi. Astagfirullahalazim. Lalai dan cuainya aku. Aku cuba mengingati wajah lelaki tersebut. Itu pun aku gagal untuk mengecamnya. Yang pasti lelaki itu berketurunan Cina walaupun dia agak fasih berbahasa Melayu. Lelaki bermotosikal itu pula sangat fasih berbahasa Melayu. Adakah dia lelaki Melayu? Biarlah dia lelaki Melayu atau lelaki Cina, aku tidak mahu cari pasal. Takut.

Aku memasuki bangunan yang tersergam di hadapanku. Besarnya mengalahkan bangunan di tempat lamaku. Hari ini hari pertama aku melapor diri di sini, di tempat baru. Tiga tahun dulu aku berkhidmat di Malaysia Timur. Aku seorang doktor. Sebelum ini aku berkhidmat di Hospital Likas, Kota Kinabalu. Keadaan di Hospital Likas tidak sibuk dan sesak seperti di hospital ini. Sebenarnya aku damai di sana. Cuma Mama dan Papa yang sibuk menyuruh aku posting ke Kuala Lumpur semata-mata untuk mencari pasangan hidup buatku. Ah, aku perlu taat kepada kedua orang tuaku.

Mataku tidak putus-putus memandang bangunan yang sedang aku lalui. Tersangat besar bangunan bersalin di hospital ini. Aku langsung tidak tahu tentang bangunan yang menempatkan pesakit-pesakit untuk bersalin. Aku menuju ke arah lif yang terbuka di depanku. Tanpa berlengah aku pun memasuki lif dan menekan butang tingkat 5. Aku sendiri tidak tahu mengapa tanganku laju menekan butang lif yang bernombor 5.

Hanya aku seorang saja yang berada di dalam lif. Lif terhenti di tingkat 3. Dua orang jururawat dan seorang doktor masuk. Mereka menekan butang nombor 5. Sah, mereka menuju ke tingkat yang sama denganku. Doktor lelaki itu tersenyum memandangku. Tanpa ucapan aku turut membalas senyumannya. Terasa macam sedang berlakon iklan ubat gigi pula.

Apabila lif berhenti di tingkat 5, aku melangkah keluar diikuti oleh doktor lelaki dan dua orang jururawat itu. Aku melihat tanda arah yang terdapat di tepi lif. Bilik Ketua Pakar Sakit Puan di hujung sekali aras 5. Nampaknya aku tidak tersilap menekan butang ke tingkat 5. Pantas aku menuju ke arah bilik Ketua Pakar Sakit Puan.

Di depan pintu tertera nama Doktor Danish Ong Abdullah. Aku mengetuk pintu agak kuat. Kedengaran suara menyuruh aku masuk dari dalam.

Morning!” Sapaku setelah masuk ke dalam.

Morning. Have a sit!” Suara Doktor yang agak berusia itu mesra pada pendengaranku.

Thanks. I’m Qistina Batrisya from Likas.”

“Oh, You lah salah seorang doktor baru yang akan melapor diri pagi ni?” Doktor itu seakan terkejut.

Aku hanya menganggukkan kepala. Fikiranku ligat berfikir. Salah seorang doktor yang akan melapor diri? Maknanya bukan aku seorang saja yang akan melapor diri pada pagi ini. Siapa lagi mereka?

“Maksud Doktor, ada lagi doktor baru yang akan melapor diri?”

Yup. Tapi belum sampai sampai lagi agaknya,” Penerangan Ketua Pakar Sakit Puan itu melegakan aku. Sekurang-kurangnya aku tidak kekok sebagai staf baru di hospital ini. Doktor lelaki itu menyambung. “Agak lama saya tunggu di sini. Nampaknya U sorang yang datang.”

Sorry Doktor. I pun terlewat juga sebenarnya. Tadi I terlibat dalam kemalangan semasa on the way ke sini. Tu yang agak lambat sikit.”

“Tak apalah Doktor Qistina. Esok U boleh jumpa Ketua Pakar Sakit Puan. U boleh balik dulu dan mula bertugas esok .”

“Tapi kan sekarang saya dah jumpa Doktor. Kena lapor sekali lagi ke esok hari?” Aku mula ragu-ragu dengan penjelasan Doktor Danish Ong.

“Saya Doktor Daud Ong. Pengarah Hospital ini. Ini bilik anak saya. Doktor Danish Ong. Dia belum sampai lagi. Katanya tadi ada hal mustahak. Sengaja saya datang ke sini kerana dia maklumkan saya ada doktor baru yang akan melapor diri hari ini .”

Terkejut aku mendengar penjelasan Doktor Daud Ong. Rupanya aku sedang berhadapan dengan Pengarah Hospital. Patutlah nampak seperti dia sudah berumur. Paling menunjukkan kebodohanku ialah aku tidak lihat tanda nama yang dipakainya. Tertera nama Dr. Daud Ong.

Seingat aku kalau Ketua Pakar apa-apa pun paling tinggi pun usia mereka dalam 40-an ke atas. Ini nampak seperti baya-baya Papa aku. Memanglah tua kerana dia Pengarah Hospital. Malunya aku kerana hari pertama datang ke hospital ini sudah berhadapan dengan Pengarah Hospital.

Aku membuat keputusan untuk pulang ke rumah. Mesej yang dihantar Mama pagi tadi menyuruh aku pulang segera. Apa hal? Hatiku tertanya juga. Entah apa halnya Mama menyuruh aku pulang segera. Mungkinkah ada orang datang hendak meminang aku? Kalau benar telahanku, biarlah aku terima saja pinangannya. Usia aku pun sudah menjangkau 28 tahun. Lagipun tiada sesiapa yang bertakhta di hatiku saat ini.

Rumah keluargaku terletak di Rawang. Baru dua hari aku menyewa rumah di Selayang. Biar dekat dengan kawasan hospital. Sekurang-kurangnya kalau aku on-call tidaklah teruk sangat terkejar-kejar ke hospital. Apalah masalah dengan Mama? Aku kena pulang segera ke Rawang. Hmm…satu kesempatan untuk aku bertemu dengan buah hati pengarang jantung aku. Siapa lagi kalau bukan kekasih di depan rumahku.

Betulkah jejaka di hadapan rumah Mama kekasih aku? Mimpilah aku sekiranya jejaka itu meluahkan hasrat hatinya kepada aku. Aku hanya meminatinya dalam diam. Jejaka idaman aku menyewa rumah di depan rumah Mama sejak lima tahun dulu. Hanya jejaka itulah yang aku puja siang dan malam. Namun tatkala takdir mula berbisik, nyatalah jejaka itu bukan milikku. Aku tahu jejaka itu sudah pun dimiliki kerana aku pernah melihatnya berjalan berpegangan tangan dengan seseorang. Hancurnya hatiku saat itu.

Penantian aku selama ini pun berakhir. Peritnya menerima kenyataan bahawa cintanya bukan milikku. Namun aku pasrah. Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Aku akur kini. Jejaka yang menyewa rumah di hadapan rumah Mama sudah pun berpunya. Orang yang mengisi hatinya pula bukanlah aku. Mengapa aku bukan gadis pilihannya? Jawapannya ialah aku sangat malang. Tidak pernah seorang pun lelaki meluahkan perasaan mereka terhadapku selama aku bernafas di muka bumi ini.

Perlukah aku memulakan? Biarlah aku menjadi perigi mencari timba. Memang tidak ada salahnya aku memulakan langkah. Tapi siapakah jejaka yang aku boleh luahkan perasaan? Jejaka idamanku sudah dimiliki. Perlukah aku membilang lelaki ke sepuluh yang aku temui esok hari untuk menjadi pasangan hidupku? Lagipun aku percaya setiap insan yang diciptakan Allah ada pasangannya masing-masing. Mungkin cepat atau lambat jodoh seseorang itu akan tiba. Tanpa disedari aku telah tiba di hadapan pagar rumah Mama.

Aku melihat rumah jejaka tersebut. Keretanya tiada di garaj. Ke manakah dia? Rinduku yang mula berbunga terkulai layu. Kecewanya aku. Kepulangan aku sia-sia sahaja. Kelibatnya tidak kelihatan. Ke manakah engkau wahai sang arjuna. Hanya aku yang memujamu sedangkan aku bukan dewi pujaanmu. Hmm..malang adalah permainan takdir hidup aku. Terimalah segalanya dengan hati terbuka.

“Assalamualaikum!” Kedengaran suara Mama memberi salam. Terkejut aku.

“Waalaikumsalam!” Jawabku separuh gugup.

“Kenapa berhenti kat depan pagar?”

“Saja. Kejap lagi nak keluar.” Dalihku.

“Hai, baru sampai dah nak keluar lagi?” Soal Mama tidak puas hati.

“Ye lah. Kan Qis baru mula kerja. Qis balik ni pun sebab Mama suruh.”

“Ye lah tu. Mama dan Papa baru nak makan. Jom kita makan sekali.”

“Qis nak rehatlah Mama. Tiada selera nak makan.”

“Kenapa? Honey, ada apa-apa yang tak kena?”

“Qis langgar kereta orang pagi tadi Ma!”

“Habis Qis tak pa-apa ke?” Mama mula gusar.

“Qis takde apa-apa. Tapi kereta Cina tu teruk juga.”

“Qis baiki je la kereta orang tu. Kalau tak nak bayar, biar Papa yang bayarkan.”

Aku tahu Mama hanya ingat aku mempunyai masalah kewangan. Sebenarnya hal itu bukan menyebabkan kerunsingan aku. Sebenarnya aku tidak tentu arah kerana tidak nampak kelibat jejaka idamanku ketika pulang tadi. Keretanya juga tiada. Ke manakah dia pergi? Adakah dia keluar bertemu kekasihnya? Hatiku mula diburu cemburu. Kenapa aku perlu cemburu kepadanya sedangkan dia bukan milikku? Ah, sakitnya kepalaku memikirkan jejaka itu.

“Qis, pukul 5 nanti turun ke bawah.” Jeritan Mama dari bawah membawa lara hatiku berterbangan ditiup angin.

Ada apa Mama?” Terkocoh-kocoh aku turun ke bawah. Aku hampir terlupa tujuan kepulanganku ke rumah Mama.

Ada orang nak datang merisik. Qis tengoklah orangnya dulu. Kalau tak berkenan Mama tak paksa.” Selamba saja Mama menjelaskan tujuannya menyuruh aku pulang.

“Mama ingat anak Mama ni dah tak laku ke?” Aku rasa seperti budak-budak apabila Mama memperlakukan aku sedemikian rupa.

“Bukan macam tu, Sayang. Mama tahu tugas Qis 24 jam kat hospital tu. Mana mungkin Qis jumpa orang luar. Mama hanya menunaikan kewajipan Mama.”

Penjelasan Mama membuatkan aku tergamam. Memang tugas seorang doktor seperti aku tiada masa untuk mencari teman hidup apatah lagi seorang suami. Lagi pun sekarang aku akan bertugas di wad bersalin. Siapa lelaki yang akan aku temui di sana? Tiada sesiapa kerana setiap lelaki yang aku temui di sana adalah suami para isteri yang akan bersalin.

“Suka hati Mamalah. Qis tak kisah. Kalau Mama setuju, Mama terima sajalah. Qis tak nak turun petang nanti.”

“Tak boleh Sayang. Mereka pun nak juga lihat calon menantu. Pihak lelaki pula tentulah nak tengok calon isterinya.” Mama memujukku lembut.

“Baiklah Mama. Qis nak tidur. Nanti Mama kejutkan Qis.” Akhirnya aku mengalah. Sebenarnya aku terlalu sedih. Jejaka idamanku sudah dimiliki. 5 tahun jejaka idamanku menyewa bersama teman-temannya di hadapanpan rumah Mama. Mereka menyewa sejak aku masih student di UM lagi. Namun sampai sekarang aku masih tidak tahu namanya. Peliknya aku. Aku tidak dapat menerima cinta rakan sekuliah di HUKM kerana menyimpan hasrat untuk menjadi suri hidupnya satu hari nanti. Setelah diposting ke Sabah dan balik semula ke sini, pun hasrat aku masih tidak kesampaian. Akhirnya aku terlelap jua.


BAB DUA

Bunyi telefon bimbit mengejutkan lenaku.

“Assalamualaikum.”

“Nak cakap dengan siapa?” Aku rasa aku tidak pernah dengar suara orang yang menelefon aku. Nombor yang tertera di skrin telefon pun tidak pernah aku lihat.

Sorry to disturb U.” Lembut dan bersahaja suaranya berbual denganku.

“Maafkan saya. Siapa yang bercakap?” Terpaksa aku bertanya lanjut.

“Tuan punya kereta yang U langgar pagi tadi!” Satu-satu suara di hujung talian menuturkan bicara denganku. Kenapa suaranya selembut bayu yang berpuput di pantai sedangkan pagi tadi aku rasa hampir pengsan diperlakukan oleh lelaki bermotosikal itu.

Sorry! I tak perasan. Dah baiki kereta U?”

I dah hantar bengkel. Mekanik tu kata bumpernya kena ganti yang baru.”

“Berapa kosnya?”

Arround RM200. Bumper RM100 dan upah cat bumper dalam RM100.”

U nak I pergi bayar sekarang ke?”

No! No! I cuma nak maklumkan U je. Esok I pergi ambil kereta I.”

U hantar kereta kat bangkel mana?” Aku perlu tahu alamat bengkel yang membaiki kereta lelaki tersebut. Kalau tidak macam mana aku hendak membayar kos kerosakan keretanya.

“Kenapa? Kereta U pun rosak juga ke?”

I nak bayar kos kerosakan kereta U.

Miss, kan I dah kata I just nak maklumkan U je. Tak payah U nak tanggung kosnya. Sikit je.”

“Apa? Maksudnya I tak payah bayar?” Hairannya aku. Pagi tadi bukan main marah lagi lelaki bermotorsikal dan lelaki Cina itu terhadapku. Kini lain pula nadanya. Aku mencubit pipi aku beberapa kali. Mimpikah aku. Sakit pula bila terkena cubitan. Ah, realiti. Memang kenyataan.

“Ya. I juz nak bagitau U je.”

“Nak bagitau je? Ah, terima kasihlah Encik. Boleh saya tahu nama Encik?”

Kenapa laju saja soalan itu terpacul dari bibirku? Ah, tidak rugi berkenalan dengan ramai orang. Getus hatiku. Sebenarnya aku lega kerana tidak perlu bertemu lelaki Cina yang aku langgar keretanya kerana dia mungkin akan datang bersama lelaki bermotosikal yang ganas itu.

“Panggil I Danny aje. Okay see U next time.” Langsung lelaki itu mematikan talian telefonnya. Aku termangu di birai katil.

Aku cuba mengingat semula kejadian pagi tadi. Aku terlanggar kereta seorang lelaki Cina. Mukanya masam mencuka. Datang pula lelaki bermotosikal kuasa besar yang garangnya mengalahkan harimau. Mengapa pula lelaki yang menelefon aku tadi siap memberiku salam. Sudahlah begitu, lembut pula bait-bait kata yang dituturkan kepadaku. Kemudian keretanya yang rosak aku tak payah bayar. Itu yang paling sedap didengar. Betulkah namanya Danny? Apa bangsa dan agamanya? Ah, meleret-leret pula aku melamun.

Lemas melayan perasaan, aku turun ke bawah. Mama sedang minum petang bersama Papa di taman berhampiran kolam ikan. Aku menghampiri mereka.

“Ha, dah cukup rehat?” Soal Mama. Aku mengangguk malas.

“Honey, duduk sini.” Papa mengarahkan aku duduk di sebelahnya. Lama Papa merenung aku.

Kenapa Pa?”

“Honey satu-satunya anak perempuan Papa. Papa mahukan yang terbaik untuk Honey.”

“Pa.. Qis tak faham apa yang cuba Pa sampaikan. Qis dah besar. Papa cakap ajelah apa yang tersirat di hati Papa.”

“Mereka tak jadi datang petang ni. Pihak lelaki ada masalah. Mungkin mereka akan datang minggu depan.” Papa meluahkan perasaan yang tersirat di hatinya dengan wajah yang muram.

“Pa, Qis belum terdesak nak kahwin lagilah. Umur Qis baru masuk 28 tahun. Qis baru 3 tahun bekerja. Qis belum puas lagi merasai nikmat hidup sebagai orang bujang.”

“Maksudnya Qis tak rasa dah terlewat untuk mencari pasangan hidup?” Papa masih tidak puas hati dengan jawapanku.

“Pa, Qis serahkan jodoh Qis di tangan Tuhan. Ramai lagi orang di luar sana yang belum kahwin walaupun usia sudah menjangkau 40 tahun.” Cikgu aku dulu, Intan Salwati, umurnya 45 tahun belum juga berkahwin. Jika dibandingkan dengan aku sekarang, aku rasa aku masih muda belia lagi. Aku terpaksa meredakan kebimbangan Papa terhadapku.

Papa seorang yang agak kolot dalam hal memberi pendidikan kepada aku kerana tugasnya adalah seorang guru. Papa dan Mama memberi didikan agama dan pelajaran yang seimbang untuk aku. Aku bersyukur dilahirkan dalam keluarga pendidik. Papa seorang guru tetapi Mama adalah seorang Pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri. Mama merupakan Ketua Sektor Akademik di Jabatan Pelajaran Selangor.

Aku tidak pernah bertanya tentang gaji mereka. Aku tahu gaji Papa mungkin lebih rendah daripada gaji Mama tetapi seumur hidup aku tidak pernah mendengar Mama merungut tentang perbezaan gaji mereka.

“Jadi, Honey dapat pulang tak minggu depan?” Soalan Papa mematikan lamunanku. Papa lebih suka memanggilku dengan gelaran Honey. Aku tahu Papa menyayangiku melebihi Mama.

“InsyaAllah Pa. Kalau umur panjang dan diizinkan Tuhan, Qis balik nak jumpa bakal suami.” Jawabku separuh bergurau. Aku lihat ada sinar harapan di wajah Papa.

“Macam itulah anak Papa!” Balas Papa dengan penuh makna.

“Macam mana dengan tugas hari ni?” Mama pula mencelah.

“Qis mula duty esok. Tadi dah jumpa Pengarah Hospital. Dia suruh Qis datang jumpa anak dia esok hari.” Jawapanku membuatkan Mama tertanya-tanya. Begitu juga dengan Papa.

“Maksud Qis?”

Ayahnya Pengarah Hospital. Anaknya pula Ketua Pakar Sakit Puan!” Jelasku ringkas. Biarlah Papa dan Mama berfikir hospital tempat aku akan bertugas mulai esok dikawal oleh Pengarah Hospital anak beranak.

“Persekitarannya macam mana? Sibuk macam kat KK atau kurang sikit?” Mama terus bertanya soalan tentang tempat kerjaku.

“Hospital baru. Bangunannya nampak besar dan keadaannya tentulah lebih sibuk dari Likas kat KK dulu.” Jawabku cuba meredakan kebimbangan Mama. Aku tahu Mama risaukan aku. Aku merupakan Puteri tunggal dalam keluargaku. Dua orang adik lelakiku pun sudah bekerja. Beza umur antara kami hanya selang setahun.

Aizat adik di bawah aku sudah pun masuk 27 tahun. Aizuddin adik bongsuku pula sudah menginjak usia 26 tahun. Kedua-dua mereka sudah mempunyai pilihan hati masing-masing. Aizuddin seorang Pegawai Perancang Bandar dan Desa di Pulau Pinang manakala Aizat pula seorang pensyarah di UTP, Perak. Aku tahu sebab itulah Papa dan Mama seolah-olah terdesak untuk mencari jodoh untukku.

“Bila Honey nak balik ?” Giliran Papa pula bertanyakan soalan kepadaku.

“Lepas Maghrib nanti. Kenapa Pa?”

Aku dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena.

“Sebenarnya, kalau Honey setuju dengan pilihan Mama dan Papa, biarlah kita sekalikan majlis pertunangan dan akad nikah nanti.” Terpaku aku mendengar saranan Papa. Bergilir-gilir aku memandang Papa dan Mama. Aku cuba mencari kepastian di wajah mereka.

“Mama, Papa … andai Qis membebankan, buatlah apa yang terbaik untuk Qis. Qis tahu niat Ma dan Pa adalah untuk kebaikan Qis.” Terpaksa aku berserah dengan takdir yang telah diputuskan oleh Mama dan Papa. Biarlah aku terima sesiapa saja pilihan mereka asalkan dapat membahagiakan kedua orang tuaku.

“Mama tahu Qis anak yang mendengar kata.” Lantas Mama memelukku dengan erat sekali. Terasa kehangatan kasih sayangnya menjalar dalam segenap urat sarafku. Sungguh aku tidak sanggup mengorbankan diriku untuk hidup di samping orang yang tidak aku kenali. Lalu bagaimana aku harus menangani kemelut yang sedang melanda diriku? Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubahnya. Aku perlu berubah. Aku mesti mengubah nasib aku. Aku tekad akan mengubah takdir aku.

Perjalanan ke Selayang terasa beribu batu jauhnya. Aku tekad dengan keputusanku. Aku akan menyerahkan cintaku kepada lelaki pertama yang menegurku esok hari. Bukan lelaki kedua atau kesepuluh. Aku akan mencari lelaki pertama untuk mengisi carta hatiku yang paling atas. Tapi siapakah dia? Tidak kira apa pun yang berlaku aku akan luahkan perasaan kepada lelaki pertama yang menegurku esok hari. Ya, aku akan mengubah nasib aku.

Kata orang yang pertama adalah afdal. Yang kedua adalah sangat baik. Yang ketiga adalah baik. Yang seterusnya adalah impian. Jadi mengejar yang pertama adalah matlamat. Mendapat yang kedua adalah rahmat. Menemui yang ketiga adalah nasib. Mencari yang seterusnya adalah harapan. Lalu aku mahu yang pertama. Lelaki pertama untuk cinta pertama aku. Adakah nasib aku akan berubah selepas mendapat yang pertama? Takdir yang menentukan.

Biarlah siapapun lelaki pertama itu asalkan aku dapat menyelamatkan diri daripada berkahwin dengan lelaki pilihan Mama dan Papa yang entah siapa-siapa orangnya. Manalah tahu lelaki pertama yang menegurku esok hari adalah jejaka yang aku cari-cari selama ini. Tidak sabar aku menunggu esok hari.

Esok adalah harapan. Esok adalah penantian. Esok adalah penentuan. Semua yang berlaku esok adalah penentuan hidup dan mati aku.

BAB TIGA

Pagi-pagi lagi aku sudah bangun. Selamat datang hari yang akan mencatat sejarah buatku. Aku melihat kalender. 16 Julai. Tarikh ini akan aku ingat selamanya. Hari ini aku pasti bertemu jejaka idaman. Lelaki pertama yang menegurku hari ini adalah lelaki pertama yang akan menerima cinta pertama aku. Siapakah jejaka bertuah itu? Biar siapa pun dia, aku akan pastikan dia menjadi milikku. Minta-minta janganlah tempang atau cacat orangnya. Hitam putih kacak hodoh bukan lagi ukuran.

Aku mengenakan sepasang baju kebaya berwarna maroon dengan bunga-bunga kecil berwarna oren. Rambut paras bahu aku biarkan lepas bebas. Aku melihat wajahku di depan cermin. Mukaku yang bujur sirih tampak sedikit ceria selepas disapu bedak dan dikenakan make-up yang ringkas. Sekadar sedikit pemerah pipi dan lipstick nipis aku rasakan sudah terlebih pula make-up ku hari ini. Maklumlah aku akan bertemu jejaka yang akan menjadi pasangan hidup aku hari ini. Harapan aku menggunung tingginya. Aku tersenyum sendirian.

Selalunya aku tidak pernah kenakan sebarang make-up apabila bertugas di hospital. Siapakah yang mahu melihat kecantikanku? Bekerja di dalam wad bersalin tidak memungkinkan aku bergaya seperti model. Tetapi hari ini aku terpaksa bergaya. Minta-minta aku berjumpa Mr. Perfect atau Prince Charming.

Aku menghadiahkan sebuah senyuman paling manis untuk diriku sendiri di hadapan cermin. Hmm…manis juga aku rupanya. Sengaja aku memberi motivasi untuk diri sendiri sebelum memulakan langkah keluar rumah. Ketika mengenakan kasut, bunyi telefon bimbit berdering dari dalam rumah. Ah, hampir aku terlupa. Tertinggal pula telefon bimbit di atas meja ruang tamu.

Aku bergegas masuk semula ke dalam rumah. Pantas aku mencapai telefon comel itu. Aku melihat skrin telefon. Danny. Ah, panggilannya macam penting. Selepas menjawab panggilannya, dia mengucapkan selamat pagi buatku. Aku sedikit teruja. Maklumlah sebagai motivasi untuk aku menjayakan misiku hari ini. Seronoknya berangan sambil memandu kereta. Suara deejay yang menghiburkan semakin menceriakan hariku. Lagu-lagu yang berkumandang dari corong radio cukup menghiburkan. Bibirku tidak lekang mengukir senyuman. Hari yang indah ini pasti mencipta sejarah buatku. Sejarah bahagia aku.

Tanpa sedar kereta sudah memasuki perkarangan hospital. Selepas parking kereta, aku menunggu lif untuk ke tingkat 5. Aku berdiri membelakangkan lif. Hatiku berbunga keriangan. Aku senyum sendirian memikirkan misi aku yang mungkin menjadi kenyataan hari ini. Bunyi pintu lif terbuka mengejutkan aku. Segera aku berpaling untuk masuk ke dalam lif. Malangnya aku terlanggar seseorang. Beg tangan terjatuh.

“Buta ke? Mata letak kat mana?”

Aku mengangkat muka. Pandanganku terpaku pada seorang jejaka yang berada di hadapanku. Matanya yang agak sepet memandang tajam ke arahku. Wajahnya bujur sirih. Rambut di atas dahinya diangkat ke atas dengan tangan kirinya. Terserlah plaster di atas dahinya. Mungkin dia datang untuk membuka jahitan di atas dahinya. Aku mengagak sendirian. Jejaka bermata sepet itu memakai jaket kulit dan seluar jeans lusuh. Semua kemungkinan bermain di minda fikirku.

“Kenapa? Dah tak larat nak kutip barang yang jatuh ke?” Kali ini alam fantasiku berterbangan seiring herdikan lelaki yang aku kira mengalahkan mafia di Itali. Matanya melirik ke arah beg tangan aku di atas lantai. Belum sempat aku mengambilnya, tangannya terlebih dahulu mencapai beg tangan aku lantas disandangkannya di atas bahu aku.

“Lain kali mata letak kat atas, bukan kat lutut.” Katanya sambil beredar. Aku terpaku di depan lif. Kejadian yang tidak seronok untuk dikenang. Misiku pasti menemui kegagalan. Aku ditegur oleh seorang lelaki samseng. Bukan ini yang aku harapkan. Mengapa berlaku sesuatu yang tidak kita ingini di saat kita mahu membuat pilihan? Walau apa pun yang berlaku hari ini pasti mencatat mencatat sejarah aku. Yang pasti bukan sejarah dunia atau sejarah Malaysia.

Mengapa aku berjumpa dengan samseng pula hari ini? Sudahlah samseng, kasar pula bahasanya. Kalau bahasa kasar, samseng pula, bagaimana hendak aku tafsirkan rupa parasnya? Watak budak nakal dalam cerita Why Why Love bukanlah kacak pun. Itulah perbandingan yang mampu aku katakan. Tapi aku perlu ingat akan misi aku. Tidak mungkin samseng itu pula yang mesti menjadi lelaki pertama aku. Sudahlah orangnya tidak kacak, samseng pula. Mana mungkin dialah lelaki pertama aku. Ah, dia hanya pengganggu saja. Hatiku berbisik.

Aku menaiki lif dan menuju ke tingkat 5. Aku tidak bertemu seorang lelaki pun dalam perjalanan ke bilik Doktor Pakar Sakit Puan. Hatiku berdebar-debar. Bagaimanakah rupa Doktor Danish Ong? Adakah setegap dan segagah ayahnya? Masih muda atau sudah 40 tahun umurnya? Semuanya menjadi teka-teki. Akhirnya kakiku sampai juga ke hujung koridor. Perlahan aku mengetuk pintu.

Come in!” Jelas kedengaran suara dari dalam menyuruh aku masuk. Perlahan aku membuka pintu dan masuk ke dalam bilik Ketua Pakar Sakit Puan. Seorang lelaki keturunan Cina berada di dalamnya. Masih muda lagi orangnya. Aku ingatkan Ketua Pakar Sakit Puan sudah berusia orangnya. Rupanya masih muda lagi. Mungkin dalam pertengahan 30-an umurnya.

Dia tersenyum memandangku. Aku mengamati rupa parasnya. Kacak dan bergaya orangnya walaupun dia memakai baju doktor di luar kemejanya. Rambutnya disisir rapi dan kemas. Kaca mata yang dipakainya tidak tebal seperti kebanyakan doktor pakar yang selalu aku temui. Matanya agak sepet tetapi tidak terlalu bundar. Hidungnya mancung. Kemas dan bergaya. Penampilannya pula menarik. Orangnya memang kacak sekacak Kingone dalam drama Taiwan Why Why Love. Sekali pandang aku menyukainya. Aku melihat tanda nama di kemejanya. Danish Ong. Sahlah beliau ialah Ketua tempat bertugas aku di sini.

Have a sit! U Miss Qistina Batrisya?”

Thanks. Saya Qistina Batrisya.” Gugup dan gementar ketika aku memperkenalkan diri kepadanya. Renungan matanya yang agak sepet seolah cuba mengenali diriku dengan lebih lanjut. Aku mula berasa tidak selesa. Takkanlah bos aku menjadi lelaki pertama yang menegurku paling sopan hari ini. Mana mungkin aku meluahkan perasaan kepadanya. Harapnya ada jejaka lain yang akan menegurku paling sopan selain dia.

Harapanku berbunga apabila kedengaran pintu diketuk dari luar. Aku berasa lega kerana mungkin ada jejaka atau doktor lain yang masuk ke biliknya lantas menegur aku. Maka tercapailah misi aku. Aku mula menguntum senyuman. Dengan agak kuat Doktor Danish Ong menyuruh tetamu yang mengetuk pintu masuk. Mataku turut melirik ke arah pintu. Seorang lelaki memakai kemeja berwarna biru laut dan tali leher bercorak petak-petak kecil berwarna kuning melangkah masuk lalu berdiri di sebelahku.

Nah, nasib aku memang berubah hari ini. Hampir pitam aku. Berkali-kali aku melihat jejaka yang berada di sebelahku sambil menggosok mata. Dr. Danish kehairanan melihat tingkah aku. Huh, lelaki idaman aku. Bagaimana mungkin dia boleh berada di sini? Aku sangat gembira. Terujanya aku kerana lelaki pertama yang akan menegurku hari ini ialah jejaka idamanku. Kenapa jejaka idaman aku ke sini? Dan kenapakah hari ini aku baru perasan jejaka idamanku terlalu kacak? Terlalu kacak orangnya tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata. Alis matanya yang lebat, kumisnya yang nipis, bibirnya yang kemerahan, hidungnya yang mancung dan lesung pipit yang menghiasi kedua belah pipinya menjadikan dia jejaka yang cukup sempurna di mataku.

Morning! Saya Doktor Fadzreen Nushi Irsyaduddin.” Sapanya sambil menghulurkan tangan ke arahku. Mimpikah aku. Takkanlah dia jodohku. Pipiku mula panas menahan malu sendiri saat aku bersalaman dengannya. Terujanya aku. Gembiranya aku. Memori hari ini akan aku pahat dalam diari hidupku.

Rupanya jejaka idamanku seorang doktor. Selama lima tahun aku menaruh harapan dalam diam kepadanya, kini aku dapat bertentang mata dengannya. Baru hari ini aku dapat menyapanya. Segala yang aku impikan menjadi kenyataan. Juga baru hari ini aku tahu namanya. Sedap pula namanya. Suaranya pula terlalu mesra pada pendengaranku. Aku sangat terpesona mendengar bicaranya yang sungguh lembut ketika dia memperkenalkan dirinya.

Morning. Have a sit. Doktor Qistina Batrisya. Juga Doktor baru di Klinik Obsetektrik dan Ginekologi ini.” Doktor Danish Ong memperkenalkan aku kepada jejaka tampan lagi kacak itu.

“Dr. Qis, actually Dr. Fadzreen Nushi baru hari ini memulakan tugasnya sebagai Doktor Pakar O&G di hospital ini. U pun boleh jadi Doktor Pakar satu hari nanti. So, I letakkan U di bawah seliaan Dr. Fadzreen.”

Penjelasan Doktor Danish Ong membuatkan hatiku menjerit keriangan. Mana tidaknya. Aku akan bekerja dan sentiasa menemani jejaka idamanku di mana-mana saja dalam kawasan hospital ini. Mungkin juga kami akan sama-sama menghadiri seminar di luar daerah bersama-sama. Jauhnya angan-angan aku. Tidak sia-sia misi aku aku hari ini. Misi mencari lelaki pertama untuk menghiasi carta hatiku.

Aku tahu kini. Aku ada jodoh dengan jejaka idaman aku. Siapa pernah menduga dia akan bertemu jejaka idaman dan bekerja di bawah satu bumbung? Bukankah, ini adalah bonus dalam hidup aku. Seronok hatiku tidak terkata. Sebolehnya aku cuba mengawal perasaan yang semakin tidak keruan. Bahagianya aku. Bangganya aku. Aku masih tidak percaya aku telah berjumpa Prince Charming dalam hidup aku. Orangnya kacak lagi menawan. Bertuahnya aku bekerja dengan jejaka kacak di Malaya ni.

“Dr. Qis, U boleh bekerja di bawah seliaan Dr. Fadzreen di fist class Wad Bersalin.” Doktor Danish Ong memberi arahan kepadaku. Aku hanya menganggukkan kepala tanda bersetuju. Bodohlah kalau aku menggelengkan kepala. Menggelengkan kepala bererti aku melepaskan peluang yang hanya datang sekali seumur hidup aku. Bagaimanalah nanti keadaan aku apabila bekerja dengan orang yang kita minati dalam diam? Mampukan aku berlagak profesional sedangkan hati aku sentiasa mengingati dirinya siang dan malam? Segalanya berkemungkinan.

Bulan lepas aku pernah nampak Dr Fadzreen bergandingan tangan keluar dari sebuah pusat beli belah di Rawang. Walaupun dia belum berkahwin, pastilah gadis itu istimewa dalam hidupnya. Sejak itu aku cuba menghindarkan diri daripada menaruh harapan terhadapnya lagi. Kini peluang muncul di depan mata. Perlukah aku melepaskannya? Jawapannya memang tidak.

Mindaku sarat dengan berbagai-bagai persoalan. Bagaimana aku hendak bekerja di bawah orang yang aku minati? Adakah Dr. Fadzreen Nushi mengenaliku? Mengapa sebelum ini aku tidak pernah tahu tentang pekerjaannya? Bagaimana pula dengan janjiku hari ini?

Misi aku hari ini ialah meluahkan perasaan kepada jejaka pertama yang menegur aku. Keberanian tidak ada dalam diriku untuk melaksanakan misi aku. Aku tidak berani memberitahu Dr. Fadzreen bahawa aku cinta kepadanya. Aku juga tidak berani memberitahu isi hatiku kepada jejaka pertama yang menegurku hari ini kerana orang itu ialah Dr. Fadzreen.

Betulkah Dr. Fadzreen dikira jejaka pertama yang menegurku hari ini? Walaupun Dr. Danish terlebih dahulu menegurku tapi dia adalah ketua aku. Jadi Dr. Fadzreen patut diisytiharkan jejaka pertama yang menegurku hari ini. Aku tersenyum dalam hati. Hmm….susahnya aku hendak membuat pilihan.

“Dr. Qis, boleh kita pergi sekarang?” Suara yang penuh kelembutan itu mengejutkan lamunanku. Aku hanya mampu mengangguk. Tuhan, benarkah apa yang sedang berlaku ke atas aku sekarang? Badanku terasa di awang-awangan apabila menyedari aku sedang berjalan beriringan dengan jejaka idamanku.

Dalam perjalanan menuju ke Wad Bersalin banyak juga soalan yang ditanya oleh Dr. Fadzreen. Indahnya dunia apabila dapat berjalan beriringan dan berbicara dari dekat dengan orang yang kita minati dan cintai. Namun kegembiraanku tidak lama apabila satu soalan yang terpacul dari bibir Dr. Fadzreen menunjukkan langsung dia tidak pernah terperasan akan aku selama ini.

“Dr. Qis asal dari mana?” Nah, soalan itu menunjukkan beliau tidak pernah mengenali aku. Rupanya selama lima tahun dia menyewa di depan rumahku di Rawang, sekalipun dia tidak pernah menoleh ke arahku. Akulah yang selama ini tergila-gila kepadanya. Aku dapat menghafal jenis keretanya, nombor plat keretanya dan berapa kali dia menukar keretanya! Semuanya aku ingat dengan jelas sekali. Tapi aku? Langsung dia tidak pernah perasan aku adalah anak jiran di depan rumah sewanya selama lima tahun! Hatiku sedih tidak terkira. Masihkah aku perlu menaruh harapan kepadanya bahawa dialah lelaki pertama yang akan mengisi carta hatiku ini? Perlahan-lahan aku merasakan misi aku hari ini tidak mungkin akan menjadi kenyataan. Berbezanya realiti dan impian hidup yang kita lalui. Aku mengeluh dalam hati.

“Hai, takkan kena fikir lama sangat nak ingat nama tempat kelahiran sendiri?” Dr. Fadzreen mematikan lamunanku.

“Qis asal dari KL.” Biarlah aku berbohong untuk meredakan rasa pedih di dada..

“KL ni luas.” Tingkahnya lagi.

“Cheras. Dr. Fadzreen pula dari mana?”

“Saya dari Perak. Pantai Remis.”

“Sebelum ni bertugas di mana?”

“Hospital Daerah Rawang.”

“Oh!” Aku mengangguk perlahan.

“Pernah pergi ke Rawang?” Aku hampir tumbang mendengar soalannya.

“Pernah!” Jawabku ringkas.

“Saya menyewa di Taman Selasih. Sekarang saya berulang-alik dari Taman Selasih ke sini.” Jelas Dr. Fadzreen tanpa dipinta.

Penjelasan jejaka itu sebenarnya adalah rakaman semula cerita yang telah aku hafal keseluruhan isinya. Manakan tidak. Taman Selasih adalah tempat tinggal aku. Rumahnya di depan rumahku. Aku boleh sebut satu persatu tentang rumahnya. Warna rumahnya lain dari yang lain. Rumahnya dicat warna oren lantern. Pagarnya berwarna kuning. Langsirnya sejak lima tahun dulu berwarna ungu lembut. Cuma coraknya yang bertukar setiap tahun.

“Hmmm.. kita dah sampai. Biarlah kita berkenalan dulu dengan jururawat di wad ini sebelum memulakan tugas hari ini.” Sekali lagi suara Dr. Fadzreen mengeluarkan aku dari alam fantasi.

Mataku memerhatikan Wad Bersalin Kelas Satu. Ada lima bilik semuanya. Dua bilik untuk seorang pesakit atau dikenali sebagai wad VIP. Dua bilik lagi menempatkan dua orang setiap bilik. 3 bilik lagi menempatkan empat orang untuk setiap bilik. Dr. Fadzreen menuju ke arah kaunter di depan Wad Bersalin Kelas Satu.

Morning Doktor!” Staff Nurse di kaunter pendaftaran mengucapkan salam kepada kami.

Morning.” Jawab kami serentak.

“Boleh I tengok patient list?” Dr. Fadzreen meminta senarai pesakit daripada jururawat bertugas.

“Ini listnya Doktor!”

Thanks.”

Kemudian Dr. Fadzreen mengajak aku mengikutnya untuk melihat keadaan pesakit. Akhirnya kami sampai ke bilik 3. Wad ini menempatkan empat orang sebilik. Dr. Fadzreen merapati katil nombor 3.

“Bagaimana keadaan Puan hari ni?” Tanya Dr. Fadzreen kepada seorang pesakit sambil dia meneliti fail di hujung kaki pesakit tersebut.

“Makin sihat Doktor.”

Aku sempat mengerling nama pesakit tersebut. Nur Amirah. 30 tahun. Kandungan kelima. Terkejutnya aku. Umur baru 30 tahun tahun tapi anaknya masuk kelima. Aku yang dah masuk 28 tahun ini belum lagi mempunyai seorang anak pun.

“Puan masih rasa sakit di bawah abdomen?”

“Dah kurang.”

“Masih bleeding?”

“Hari ni dah tiada pendarahan.”

“Bagus. Puan dah makan ubat?”

“Dah.”

“Lepas ni Puan kena banyak berehat. Puan tak boleh buat kerja berat. Nanti bleeding lagi.” Lembut saja suara Dr. Fadzreen menasihati pesakit yang bernama Nur Amirah itu. Aku sangat terpesona. Kalau Dr. Fadzreen boleh melayan pesakitnya seperti itu, aku bayangkan dengan keluarganya tentu lebih lembut daripada itu. Apakah mungkin aku menjadi sebahagian daripada keluarganya satu hari nanti? Ya, semuanya berkemungkinan. Aku perlu yakin dengan diri sendiri. Peluang masih ada selagi kita mempunyai harapan.

Kami meronda keseluruhan Wad Kelas Satu. Sebenarnya pada hari ini hanya 12 orang saja pesakit yang masih dirawat di dalam wad tersebut. Tepat jam 9.30 pagi Dr. Fadzreen mengajak aku ke Klinik Pakar O&G.

“Kenapa saya kena ikut doktor ke sana?” Aku bertanya kerana aku bukan doktor pakar. Di Klinik Pakar O&G hanya doktor-doktor pakar saja yang akan merawat pesakit luar.

I nak U belajar tentang hal-hal orang perempuan. Lepas ni U boleh jadi doktor pakar dalam bidang O&G.” Lembut saja kata-katanya menjawab soalanku. Lemah longlai lutut aku tatkala dia memandang tepat ke dalam anak mataku. Hatiku tidak syak lagi dialah lelaki pertama aku kerana renungan matanya bisa mendebarkan dadaku.

Belum sempat aku membantu Dr. Fadzreen, telefon bimbit aku berdering. Tanpa melihat nombor tertera, pantas aku menekan punat menjawab panggilan. Panggilan dari Wad Bersalin. Aku dikehendaki segera ke Wad Bersalin kerana ada pesakit yang mengalami pendarahan. Bergegas aku ke Wad Bersalin. Di hadapan pintu lif, aku terlanggar seseorang yang baru keluar dari pintu lif. Seperti nangka busuk jatuh ke tanah, orang itu jatuh berdebuk. Aku cuba menghulurkan pertolongan. Tanganku ditepis dengan kasar.

“Kenapa awak ni selalu letak mata kat atas lutut?”

Aku tidak menghiraukan kata-kata lelaki itu. Sekali lagi aku menghulurkan tangan untuk membangunkan lelaki itu. Kali ini tanganku disambut dan tanpa diduga aku berjaya membantu lelaki itu berdiri semula.

“Terima kasih.” Katanya sepatah.

Aku mendongak melihat wajah lelaki itu. Pandangan kami bertaut. Matanya yang sepet dan plaster yang melekat di atas dahinya seakan-akan…. Ah, baru aku ingat. Samseng pagi tadi. Hampir pitam aku kerana lelaki itu ialah samseng yang tidak sengaja aku melanggarnya di hadapan pintu lif ini pagi tadi. Hari ini saja sudah dua kali aku terlanggar orang yang sama. Kali ini sangat dahsyat sampai orang itu terjatuh. Pandangannya sangat tajam. Hati aku berdebar dengan kencangnya. Aku takut. Aku menarik nafas cuba mengawal debaran di dada.

“Maafkan saya. Saya nak cepat. Ada patient bleeding kat atas.” Aku berbahasa seadanya.

“Kali ni saja saya maaafkan awak. Hah, cepatlah pergi. Mengapa tercegat lagi?”

“Betul, Encik tak apa-apa?” Aku risau jika samseng itu terseliuh atau apa-apa telah berlaku kepadanya akibat terjatuh sebentar tadi.

“Saya ok. Awak jangan risau. Tapi lain kali mata tu letak kat atas.” Suaranya makin kendur tapi kata-katanya masih berbisa. Pun dengan pandangan yang tajam dia merenung aku. Getaran di dada aku makin kencang. Takutnya aku. Tapi akhirnya dia menghantarkan pandangannya ke arah pintu lif. Aku mengerti isyarat menyuruh aku berlalu.

Aku meminta diri untuk beredar dan belum sempat aku melangkah ke dalam pintu lif aku terdengar bunyi benda terjatuh. Aku menoleh dan aku melihat samseng itu jatuh semula di atas lantai.

“Encik, ada masalah?”

Tanpa menjawab samseng itu mengangguk. Kakinya memang terseliuh dan dia tidak boleh berjalan. Mukanya berkerut menahan sakit. Aku menghubungi semula Wad Bersalin dan memberitahu keadaan aku. Aku cuba memapah samseng itu dan mendudukkan beliau di atas sebuah bangku yang berhampiran. Pantas aku mendapatkan bantuan dengan memanggil attendan hospital yang kebetulan lalu di situ. Di tangan attendan hospital itu ada sebuah kerusi roda. Attendan hospital itu cuba berkata sesuatu tetapi samseng itu meletakkan jari di bibirnya sebagai isyarat mendiamkan diri.

“Perlu saya ikut Encik ke Klinik Pesakit Luar?”

Samseng itu menggeleng.

“Terima kasih.” Sepatah perkataan itu jua yang keluar dari bibirnya.

Aku memandang tepat ke dalam anak matanya. Ada sesuatu yang tersembunyi di sana. Dia melarikan pandangannya ke arah attendan hospital sambil mengarah membawanya keluar dari situ. Mataku menghantar samseng itu hingga hujung koridor. Tanpa berlengah aku bergegas ke Wad Bersalin. Pesakit yang mengalami pendarahan tadi sudah dihantar ke Dewan Bedah. Pembedahan major kerana rahimnya terpaksa dibuang. Aku mengeluh. Hari pertama yang penuh kejutan.


No comments:

Post a Comment