Photobucket

Saturday, November 13, 2010

Kemalangan Jalan Raya.



Saban tahun kemalangan jalan raya di negara kita meningkat menjelang musim perayaan. Kemalangan jalanraya tidak dapat dipisahkan daripada musim perayaan. Menjelang musim perayaan setiap tahun pasti jumlah kemalan di jalan raya di negara kita akan meningkat secara mendadak. Mengapakah kemalangan meningkat setiap tahun? Adakah kerana penguatkuasaan tidak berkesan atau kerana keadaan jalan yang tidak stabil? Jawapannya tepuk dada tanya selera.
Kemalangan maut sering berlaku di lebuh raya. Antara kenderaan yang sering terlibat dalam kemalangan jalan raya ialah bas, lori dan kereta. Manakala jumlah kemalangan yang mencatat kematian yang tertinggi ialah penunggang motosikal. Baru-baru ini, kemalangan maut yang melibatkan bas terbabas kerana tidak dapat dikawal mencatat jumlah kematian yang tertinggi, iaitu seramai 15 orang. Apa yang dapat disimpulkan tentang kemalangan jalan raya ialah berpunca daripada sikap manusia. Sikap manusia atau pemandu yang cuai di jalan raya adalah punca utama nahas jalan raya meningkat setiap tahun. Sikap acuh tidak acuh sikap pemandu terhadap undang-undang jalan raya menjadi pemangkin peningkatan kemalangan jalan raya di negara kita.
Terdapat beberapa punca nahas di jalan raya. Antaranya ialah sikap pemandu yang suka memandu melebihi had laju yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Had laju yang ditetapkan di lebuh raya ialah 120km sejam, tetapi pemandu memandu melebihi 130km sejam. Bagi jalan-jalan persekutuan pula pula, had laju yang ditetapkan ialah 90km sejam. Adakah pemandu-pemandu di negara kita mematuhi had laju yang telah ditetapkan oleh kerajaan? Jawapannya tentulah tidak kerana jumlah kemalangan maut di jalan raya di negara kita meningkat setiap tahun. Paparan di dada akhbar  pada musim-musim perayaan amat menyayat hati. Sebagai contoh, dalam perayaan Aidil Fitri yang lalu, orang ramai terpaksa menyaksikan seorang penumpang yang kemalangan tersepit dalam kenderaan tidak dapat dikeluarkan dan mati kerana kenderaan tersebut meletup tiba-tiba selepas terbabas. Apakah perasaan kita, jika kita sendiri yang mengalami keadaan seperti itu?
Selain itu, kemalangan jalan raya berlaku di negara kita kerana sikap pemandu yang cuai dan mengantuk semasa memandu. Mengantuk adalah faktor utama kenderaan yang dipandu akan terbabas seterusnya melanggar penghadang jalan sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan. Keadaan pemandu yang mengantuk atau kurang rehat menyebabkan mereka tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan semasa memandu kenderaan. Apabila tumpuan pemandu tidak fokus, kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa. Hal ini seterusnya akan menyebabkan kemalangan maut yang ngeri. Sebagai contoh,  kemalangan ngeri yang melibatkan bas ekspres Syarikat Sani  dalam perayaan Hari Raya Puasa baru-baru ini meragut hampir 15 nyawa. Adalah sia-sia nyawa terkorban di jalan raya. Justeru, sikap pemandu yang cuai dan mengantuk semasa memandu akan mengundang padah kepada pengguna jalan raya yang lain, bak kata pepatah orang lain yang makan nangka, orang lain yang terkena getahnya.
Intihanya, kemalangan jalan raya boleh dielakkan apabila semua pengguna jalan raya sentiasa berhemah ketika memandu. Kecuaian dan kelalaian sikap manusia adalah punca utama berlakunya kemalangan jalan raya. Oleh itu, perubahan sikap pemandu ketika berada di atas jalan raya dapat mengurangkan tragedi yang mengorbankan nyawa manusia. Mantan Perdana Menteri keempat pernah berkata, “rakyat Malaysia mempunyai kemudahan infrasrtuktur kelas pertama tetapi memiliki minda kelas ketiga.” Fahamilah kata-kata Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana jika kita tidak berubah maka orang lain tidak dapat menggerakkan kita. Tepuk dada tanya selera kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Kecuaian manusia merupakan faktor utama berlakunya kemalangan jalan raya di negara kita. Bincangkan.

No comments:

Post a Comment