Photobucket

Sunday, November 14, 2010

sedutan novel cikgunie...TERIMA KASIH KEKASIH ...

BAB DUA PULUH DUA

Tarikh 18 Mei tidak akan aku lupakan. Sekali lagi aku bertunang. Dulu aku bertunang dengan Danish. Pilihan keluarga. Juga seorang doktor. Aku tidak pernah tahu pun tentang tunang aku. Apabila aku tahu hal yang sebenarnya, situasinya semakin kompleks pula. Tunang aku adalah adalah kembar bos aku. Itupun pada mulanya aku ingatkan tunang aku adalah bos aku. Bodohnya aku.

Hari ini aku bertunang dengan bos aku juga. Dr. Haikal. Orangnya penuh misteri. Pada mulanya aku perasankan dia menyukaiku. Memang dia amat menyukaiku. Namun apa yang berlaku selepas aku menyukainya adalah di luar kemampuan fikiranku. Dr. Haikal hilang ingatan. Tunangku dulu juga mempunyai masalah mental selepas terlibat dengan kemalangan. Tunangku hari ini juga mempunyai masalah mental yang paling kronik. Hilang ingatan! Pun masalah hilang ingatannya berpunca dengan kemalangan juga. Kali ini aku dibebankan dengan tugasan yang tak mampu aku lakukan. Aku ditugaskan untuk memulihkan ingatan Dr. Haikal oleh ibu bapanya.

Hatiku masih lagi membengkak. Malam tadi hatiku sakit kerana sikap Dr. Haikal yang tidak mahu bertemu denganku. Rupanya Dr. Idris dan keluarganya ada di sana. Mereka merancang untuk datang meminang aku di rumah adikku pada hari ini. Tepat jam 11 malam, Mama dan Papa pula sampai ke rumah adikku, Aizat.

Semuanya yang berlaku dalam hidupku adalah rancangan Mama dan Papa. Kekecewaanku dan juga penderitaanku adalah hadiah daripada Mama dan Papa. Aku rasa tiada orang yang akan mengorbankan anak-anak mereka kecuali ibu dan bapaku.

“Mama, kenapa tak tanya Qis dulu sebelum merancang semua ni?”

“Kan Qis terlalu menderita selama ini kerana kehilangan Danish?”

“Tapi itu bukan bermakna Qis boleh terima orang lain.”
“Qis, Dr. Haikal dan Danish bukanlah orang yang sama, Honey.”

“Ma, Danish cuma tak berapa sihat mentalnya tapi Haikal pula hilang ingatan. Jadi mereka bukanlah orang yang normal.”

“Honey, Mama lebih suka orang yang hilang ingatan daripada orang yang sakit jiwanya.” Akhirnya Mama mengaku juga. Patutlah dulu Mama begitu tega memberitahuku bahawa Danish telah meninggal dalam kemalangan di Indonesia. Rupanya Mama memang mengharapkan aku berpisah dengan Danish.

“Ma, suka hati Mamalah. Qis ikut saja.” Akhirnya aku mengalah. Biarlah Mama bahagia. Aku tidak kisah sangat.

Seminggu selepas pertunangan kami, Dr. Haikal mencadangkan kami bernikah hujung bulan nanti. Aku terkejut yang amat sangat. Aku sebenarnya belum mengenali hati budinya walaupun dia bekerja sebumbung denganku.

Setiap saat fikiranku asyik memikirkan helah untuk mengelak berkahwin dengan Dr. Haikal. Sebenarnya aku perlukan masa. Aku belum dapat melupakan Danish sepenuhnya. Setiap hari hanya wajah itu yang menemaniku. Aku tidak pernah memikirkan orang lain.

Namun hari ini, sesuatu yang mengejutkan menanti sebaik pintu bilik rawatan aku buka. Di atas meja sejambak bunga ros putih, sekeping kad bersama gubahan sebuah puisi dan sekotak coklat menarik perhatianku. Lantas aku mencapai kad bersama gubahan puisi yang amat menarik minatku. Istimewa buat Qistina Batrisya.

Hah, semua hadiah ini untukku? Aku terkejut bukan kepalang. Mataku meneliti bait-bait puisi yang tertera di atas sekeping kad. Terlalu panjang dan penuh maksud yang tersurat dan tersirat.

ABJAD KEHIDUPAN

Aku berdiri di sini

Bukan semata menagih kasih

Cuma mengharap secebis harapan

Dunia bukan semata milik insan bercinta

Esok kita belum ketentuan

Fana mungkin datang menimpa

Gulana mungkin datang melanda

Hancur semuanya

Itulah takdir yang menetukan

Jangan ditaburi bumi ini dengan air mata andai

Kasih kita berakhir

Lantaran debu-debu yang

Mencari tempat persinggahan untuk dikotori

Namun hatiku tetap cekal

Onak dan duri akan ku rempuh

Pulau bahagia akan aku teroka

Quo-vadis bukanlah dasar hidup kita

Restu ibunda sudah kau warisi

Sayang hatimu bukan milikku

Tuhan merestui cinta murnimu

Usahalah kau hapuskan kedengkian dunia kerna

Visa telah kau punya

Walaupun kau bukan pengembara

Xenophobia bukanlah dasar hidup kita

Yakinlah pada diri sendiri

Zaman remaja penuh pancaroba

AKU PENCINTAMU

DR. FADZREEN IRSYADUDDIN

Dr. Fadzreen!

Kenapa tiba-tiba Dr. Fadzreen menghubungiku dengan cara yang penuh romantik? Terujanya aku mendapat hadiah sejambak bunga ros putih dan puisinya yang begitu menyentuh perasaan. Tidak pula aku tahu Dr. Fadzreen pandai menggubah puisi nan syahdu seperti ini.

Pantas aku mencapai telefon bimbit. Segera aku menghubungi nombor telefon Dr. Fadzreen. Malangnya nombor yang aku dail tiada dalam perkhidmatan. Aku mula menghitung hari. Sebenarnya hampir setahun aku tidak pernah menghiraukan Dr. Fadzreen. Selepas kematian Danish selalu juga Dr. Fadzreen mengambil berat tentang diriku. Namun selepas kedatanganku ke sini, aku langsung tidak menghiraukan setiap mesej yang dikirimkan Dr. Fadzreen. Cuma sesekali dia menelefon, barulah aku menjawab panggilannya. Kenapa di saat diriku dimiliki Dr. Fadzreen muncul semula dalam hidupku?

Aku tertanya-tanya sendiri. Siapakah yang menghantar semua ini di dalam bilik rawatan tempat aku bertugas? Sedang aku melayani soalan tanpa jawapan, pintu bilik diketuk. Aku menyuruh saja tetamu itu masuk.

“Assalamualaikum!” Satu suara lembut hinggap di cuping telingaku. Aku mengangkat muka. Terkasima aku.

“Dr. Fadzreen!”

“Suka?” Soalnya sepatah sambil matanya melirik jambangan bunga di atas mejaku.

“Sangat suka. Tapi apa maksud semua ni?”

“Dulu I lakukan kesilapan. Kini I tak nak perkara sama berulang lagi.”

“Maksud Doktor?”

I nak melamar U!”

“Melamar saya?”

“Ya!”

Aku sangat terkejut mendengar kata-kata Dr. Fadzreen. Kenapa baru kini dia meluahkan segalanya kepadaku? Aku tidak dapat berkata apa-apa. Dr. Fadzreen datang pagi-pagi ke hospital ini untuk meluahkan perasaannya kepadaku? Apa jawapan yang paling sopan akan aku berikan kepadanya? Aku mengeluh perlahan.

Tidak semena-mena, pintu bilik diketuk dari luar.

“Masuk!” Arahku.

Aku hampir tumbang melihat Dr. Haikal di muka pintu.

“Dr. Fadzreen, kenalkan tunang saya. Dr. Haikal.”

“Tunang?” Air muka Dr. Fadzreen berubah tiba-tiba. Namun dia bersikap profesional. Dr. Fadzreen memang lelaki budiman. Dia menghulurkan tangannya dan bersalam dengan Dr. Haikal.

“Isya, saya kenal dia sebelum ni ke?” Dr. Haikal meminta kepastian daripadaku.

“Tak. Dr. Fadzreen ni kenalan Isya kat hospital Selayang dulu.” Jelasku separuh gugup.

Ada hal Dr. Fadzreen datang ke sini?” Kini Dr. Haikal memfokus soalannya kepada Dr. Fadzreen pula. Aku pun sebenarnya ingin mengajukan soalan yang serupa. Namun Dr. Haikal telah memudahkan tugasku.

I ada lawatan Doktor Pakar Sakit Puan hari ni kat sini.”

Ya, Allah! Baru aku teringat. Hari ini ibu-ibu yang mempunyai masalah kehamilan ada temu janji dengan Doktor Pakar dari Ipoh. Tidak pula aku melihat nama doktor pakar sakit puan yang akan buat lawatan ke sini. Betapa tidak prihatinnya aku. Tapi Dr. Fadzreen masih bersikap selamba walaupun aku tahu hatinya amat kecewa.

“Oh, ya, Isya… I nak U temankan I ambil baju pengantin jam 9.00 pagi nanti. Jangan lupa pulak.”

Aku hanya mengangguk. Selepas meminta diri, Dr. Haikal meninggalkan aku bersama Dr. Fadzreen.

“Pantasnya masa merampas apa yang ingin I miliki.” Dr. Fadzreen berbicara sendiri. Aku membiarkan Dr. Fadzreen melayan perasaan. Akhirnya Dr. Fadzreen mengajukan soalan cepumas kepada aku.

“Qis cintakan Dr. Haikal?” Mata Dr. Haikal memandang tepat ke arahku. Aku memang tidak pandai menipu. Aku hanya mampu menggeleng.

“Habis kenapa Qis bertunang dengan dia?”

“Dr. Haikal hilang ingatan. Ibu bapanya minta tolong Qis pulihkan ingatan anaknya!”

Aku hampir menangis saat meluahkan isi hatiku kepada Dr. Fadzreen.

“Qis belum berubah!”

“Maksud U?”

“Qis menerima seseorang dalam hidup Qis kerana simpati. Dulu Danish sekarang Haikal pula. Bukankah itu bermakna Qis melukakan diri sendiri?”

“Memang Qis melukakan diri sendiri. Tapi Qis bahagia andainya Papa dan Mama gembira.”

“Qis memang anak yang mendengar kata.”

“Dr. Fadzreen nak tahu sesuatu?” Aku cuba menduga lelaki sebijak Dr. Fadzreen.

“Apa?”

“Andainya usia Qis masih belasan tahun atau awal dua puluhan, mungkin ibu bapa Qis tak akan memaksa Qis berkahwin dengan pilihan mereka.”

“Takkan sebelum ni Qis tak pernah suka kat orang?”

“Qis pernah suka kat somebody tapi dia buat tak tahu je. Jadi I rasa I buang masa je.”

“Siapa?”

“Dr. Fadzreen Irsyaduddin!”

Nah terluah jua segala yang terpendam jauh di dasar hatiku selama ini. Muka Dr. Fadzreen berubah. Aku tahu dia tidak pernah menyangka bahawa sebelum aku menjadi doktor lagi aku mula sukakannya. Namun dia tidak pernah perasankan kewujudanku di muka bumi ini.

“Maafkan I, Qis. Memang I selalu terlewat.”

“Ya! U selalu terlewat. Dan I selalu tercepat selangkah di depan.”

Saat itu aku mahu menangis. Namun air mataku telah kering. Danish telah membawa bersama semua kegembiraanku. Haikal pula menghadiahi bunga-bunga penderitaan buatku. Kini Dr. Fadzreen pula membuat aku dalam dilema. Aku betul-betul berada di persimpangan kini.

Memilih Dr. Fadzreen bererti aku akan melukakan hati Dr. Haikal dan keluarganya. Menerima Dr. Haikal pula akan meletakkan aku di dalam sangkar penderitaan buat selama-lamanya. Bayangkan apabila Dr. Haikal pulih dari ingatannya suatu hari nanti, apakah yang bakal berlaku kepadaku? Bagimana pula dengan keadaan tunangnya? Semuanya mengusutkan lagi fikiranku yang sedia kusut.

BAB DUA PULUH TIGA

Aku membelek kad ucapan dan gubahan puisi daripada Dr. Fadzreen. Suatu masa dulu aku begitu mendambakan cinta dan kasih sayangnya. Namun aku tersilap menilai persahabatan yang dijalinkan denganku. Akhirnya aku tidak nampak cinta yang cuba dihulurkan kepadaku. Apa yang aku nampak hanyalah kasih sayang Danish yang tidak berbelah bagi buatku.

Setelah dua tahun berlalu, mengapa baru kini Dr. Fadzreen membuka hijab perasaannya terhadapku? Adakah kerana kekasihnya dulu telah melarikan diri atau meninggalkannya? Atau Dr. Fadzreen memang sukakan aku sejak dulu? Aku rasa tidak. Yang aku pasti Dr. Fadzreen komited dengan kerjanya seperti Danish. Kalau tidak masakan sekarang dia sudah menjadi Ketua Pakar Sakit Puan di Hospital Ipoh. Ah, sukarnya aku merungkai persoalan yang menjengah kotak fikiranku.

Aku membelek gambar Danish yang berada di bucu katil. Wajahnya yang tersenyum manis di dalam bingkai melekakan aku. Kenangan demi kenangan mula menjengah ingatan. Aku rindukan Danish saat ini. Aku mahu menghapuskan wajah Dr. Fadzreen daripada muncul di ruang mataku.

“Awak, kita dah tukar nombor telefon tau. Nanti kontekslah nombor baru kita.”

“Apa nombornya, awak? Suruh kita call dia tapi tak kasi nombor baru dia.”

“0174070598!”

Itulah saat manis yang masih segar sebelum Danish berangkat ke Indonesia. Selepas itu hanya dua kali aku sempat menghubungi nombor itu sebelum Danish kemalangan. Entah siapalah yang menggunakan nombor itu sekarang? Rasa ingin tahu tiba-tiba menjelma di kotak fikiranku.

Pantas tanganku mendail 0 1 7 4 0 7 0 5 9 8. Aku mendengar nada deringnya dengan jelas. Lagu popular CINTA dendangan Amy Mastura mula berkumandang. Lagu itu adalah nada dering tuan punya nombor tersebut.

Kalau benar cinta itu buta

Siapa pula jadi mangsanya

Kalau benar cinta itu setia

Menangis ketawa sama ha ha ha

Kalau benar cinta itu setia

Berapa pula harganya

Hatiku berdebar-debar. Apakah yang akan aku cakapkan apabila tuan punya nombor itu menjawab panggilanku? Aku ketepikan perasaan itu seketika. Aku ingin bercakap juga dengan sesiapa pun yang menjawab panggilanku. Biarlah aku andaikan orang itu ialah Danish. Aku betul-betul tidak bisa melupakan Danish dan kenangan yang telah ditinggalkannya.

“Assalamualaikum!” Satu suara bergema di hujung talian.

“Waalaikumsalam!” Gugup aku menjawab salam lelaki yang suaranya seperti pernah aku dengar.

Who’s in the line?”

“Siapa yang cakap?”

“Saya Danish. Dr. Danish dari HAS.”

“Dr. Danish? U mean Dr. Danish Ong?”

“Ya. U siapa?

“Maaf, saya silap nombor!”

Aku terus mematikan talian. Aku pasti suara yang sedang berkomunikasi dengan aku sebentar tadi adalah Danish. Mengapa berlaku hal yang tidak pernah aku fikirkan? Apakah muslihat di sebalik semua ini? Pening aku memikirkan. Aku cuba melelapkan mata. Namun usahaku gagal. Aku ke bilik air lalu berwuduk. Belum sempat aku mengenakan telekung, telefon bimbitku berbunyi. Pantas aku mencapai telefon bimbitku. Aku melihat nombor yang tertera di skrin. Nombor yang baru aku dail sebentar tadi. Aku berkira-kira sama ada mahu menjawab atau tidak. Akhirnya aku membiarkan saja telefon terus berdering. Biarlah aku pentingkan tanggungjawab sebagai hamba Allah daripada menjawab panggilan yang akan mengharu-birukan perasaanku.

Rupanya Danish masih hidup. Kenapa Mama dan Papa memberitahuku Danish telah meninggal? Kalau Danish masih hidup, takkanlah Dr. Fadzreen tidak tahu? Pening aku memikirkan masalah yang tiba-tiba muncul dalam hidupku.

Aku perlukan jawapan kepada semua persoalan. Aku akan pulang ke Rawang. Aku perlu pergi ke rumah Dr. Daud Ong. Aku juga akan pergi ke Hospital Selayang dan HKL. Aku perlukan penjelasan daripada Mama dan Papa. Namun kata-kata Danish yang dia berada di HAS mematikan hasratku. Aku perlu mencari alasan untuk ke HAS.

Nampaknya Allah mengabulkan niatku. Sebaik sampai di perkarangan hospital, Dr. Haikal menggamit aku. Aku mengekorinya dari belakang. Sampai di dalam pejabat, Dr. Haikal mengunjukkan sekeping surat. Surat arahan Seminar Pakar Perubatan selama lima hari di HAS. Aku hampir melompat kegembiraan. Namun mengenangkan Dr. Haikal di hadapanku, hasrat itu aku pendamkan.

BAB DUA PULUH EMPAT

Panorama pagi sungguh indah. Sebaik memasuki negeri Jelapang Padi perasaanku terasa sungguh damai. Mataku tidak lepas memandang kehijauan sawah padi yang luasnya saujana mata memandang. Sekali-sekala mataku memandang ke hadapan. Maklumlah takut terbabas pula.

Aku keluar dari Plaza Tol Alor Setar Utara menuju ke Hospital Sultanah Bahiyah. Selepas meletakkan kereta di tempat parking, aku terus melapor diri. Kemudian aku ke klinik pesakit luar. Aku memerhatikan carta organisasi. Tidak terlihat kelibat Danish. Aku ke Wad Sakit Puan dan Wad Bersalin. Juga tiada kelibat Danish. Akhirnya aku mengambil keputusan ke cafe yang terletak di luar bangunan hospital.

Ketika melalui kawasan parking kereta, aku melihat seorang doktor lelaki sedang membelek keretaku. Lantas aku menuju ke tempat parking.

“Kenapa Doktor?” Sapaku sebaik menghampiri lelaki itu. Aku tahu lelaki itu seorang doktor kerana Kementerian telah mengarahkan semua doktor yang keluar dari kawasan hospital perlu memakai baju doktor.

Doktor lelaki itu sedikit terkejut. Lantas dia memusingkan mukanya mengadapku. Ya, Allah! Danish! Aku hampir tumbang. Memang lelaki di hadapanku Dr. Danish. Raut wajahnya dan senyumannya tidak berubah. Rambut depannya terjuntai di atas dahi dan rambut belakangnya melimpasi kolar kemeja hijau pucuk pisang yang dipakainya. Dia menghadiahkan senyuman paling manis kepadaku. Dadaku berdebar kencang. Benarlah Danish yang berada di hadapanku. Mustahil Danish telah meninggal dunia. Jejaka di hadapanku kini saling tak tumpah dengan Danish. Bukan lagi seiras tapi memang jejaka itu Danish. Itu aku cukup pasti.

“Saya terlanggar bumper depan kereta Nissan Sentra ni. Tak taulah sapa punya kereta ni.” Jejaka itu menerangkan tujuannya membelek keretaku. Mataku tidak lekang dari menatap wajah Danish. Suara Danish masih seperti dulu. Ada nada bersalah dalam getar suaranya. Namun wajahnya tampak sedikit terkejut. Terkejut berjumpa aku atau terkejut ada orang melihat perbuatannya. Aku tidak pasti.

“Doktor, sebenarnya kereta ni saya punya.”

“Ye, ke? Maaflah saya terlanggar masa reverse tadi. Tapi saya betul-betul tak sengaja. Maafkan saya.” Berulangkali jejaka itu memohon maaf daripadaku.

“Takpelah Doktor. Hal kecik je.”

“Beginilah Cik. Saya hantar kereta Cik kat bengkel dulu. Lepas tu saya tanggung kosnya. Boleh?”

“Mana-manalah, Dr. Danish..” Jawabku cuba mencari peluang mengenali jejaka itu dengan lebih dekat lagi.

Excuse me? Mana awak tahu nama saya Dr. Danish?” Matanya yang sepet hampir terjojol keluar mendengar aku memanggil namanya Dr. Danish.

“Hello Doktor. Kat baju awak tu ada name tage. Atau saya salah sebut nama Doktor?” Balasku selamba. Namun naluri aku kuat menyatakan doktor kacak itu ialah Danish, tunangku yang dikatakan telah meninggal setahun lalu.

Wajah doktor itu bertukar kemerahan. Aku tidak mahu terus menduganya kerana taklimat seminar akan berlangsung pada jam 2.30 petang. Aku pun menyerahkan kunci kereta kepada Dr. Danish . Selepas itu aku berlalu menuju ke dewan seminar.

Semasa taklimat diadakan aku tidak dapat fokus. Fikiranku bercelaru. Kalau doktor tadi Dr. Danish tunangku dulu, mengapa dia tak mengenali diriku. Pada hal dulu dia mencintaiku separuh mati. Atau Mama dan Papa bersubahat mengatakan Danish meninggal kerana tidak mahu bermenantukan lelaki yang tidak sihat mentalnya. Ah, segalanya berkemungkinan. Lagipun orang yang tak sihat mentalnya boleh lupa perkara paling penting dalam hidup mereka. Dr. Haikal adalah bukti yang cukup nyata. Tanpa sedar taklimat seminar untuk petang itu berakhir.

Tepat jam 5.00 petang taklimat seminar berakhir. Aku menuju ke tempat parking kereta. Keretaku berkunci. Aku mencari kunci kereta di dalam beg tangan. Tiada. Di mana aku menyimpannya? Ya, Allah, rupanya aku menyerahkan kunci kereta kepada Dr. Danish tengahari tadi untuk di bawa ke bengkel. Kenapa aku boleh lupa pula? Bagaimana aku hendak dapatkan kunci keretaku? Tiada pilihan lain selain menghubungi nombor telefonnya. Belum sempat aku mengeluarkan telefon bimbit, satu suara menegur dari belakangku.

“Asssalamualaikum!”

Aku menoleh. Dr. Danish! Terperanjat aku.

“Kunci kereta U,” katanya sambil menghulurkan kunci kereta kepadaku.

Thanks!” Jawabku sepatah.

It’s okey. I pergi dulu.” Katanya sambil tersenyum. Barisan gigi dan senyumannya mengingatkan aku pada pertemuan pertama kami dulu. Tapi mengapa kini Danish tidak mengenaliku lagi. Tidak mungkin pelanduk dua serupa. Aku semakin yakin Dr. Danish tidak mati dan lelaki di hadapanku kini ialah Dr. Danish.

Wait….waitt.. aaa.. tunggu sekejap. I nak tanya sesuatu.” Aku tidak boleh membiarkan Dr. Danish pergi begitu sahaja tanpa menjawab persoalan yamg semakin bermaharajalela di benakku.

“Ha, kenapa? I dah buat salah ke?”

No..no.. tak.. U tak buat salah. I cuma nak tanya berapa kos U baiki kereta I tadi?”

“Kenapa?” Lembutnya suara Dr. Danish sama seperti dulu.

I nak bayar.” Aku tidak tahu kenapa lain aku nak tanya lain pula soalan yang terpacul dari bibirku.

“Eh, kan I yang langgar bumper depan kereta U. Kenapa U nak bayar pulak?” Sangkal Dr. Danish.

“Ye, ke. I ingat I yang langgar kereta U. Tapi I betul-betul pernah langgar kereta U.” Balasku.

“Bila tu? Dalam mimpi kut?” Pun bibir Dr. Danish masih tersenyum. Aku memang terpesona dengan senyumanya yang menawan sejak dulu lagi. Namun aku perlu fokus pada pokok persoalan aku. Sebab utama kedatanganku ke Alor Setar untuk mendapatkan kepastian. Ya, kepastian tentang Danish. Aku tahu dia sedang berpura-pura.

“Boleh tak U jangan berpura-pura tak mengenali I. I tahu dan I pasti U Dr. Danish dari Hospital Selayang anak kepada Dr. Daud Ong dan tunang kepada I, Dr. Qistina Batrisya.” Aku sudah tidak sabar dengan sikap Danish yang semakin berpura-pura.

Kali ini mata Dr. Danish di hadapanku membesar.

Miss, boleh U ulang semula ayat U tadi. I tak faham.”

U tunang I dan U tak meninggal!”

U tunang I? I tak meninggal? Bila pula I bertunang dan bila pula I meninggal?”

“Jangan berpura-puralah Danish. U terlibat dalam kemalangan di Indonesia tapi tak meninggal. Sebelum tu kita merancang akan bernikah. Tapi I tak tahulah mengapa jadi begini.” Aku mula kehilangan bicara.

“Jadi begini? Maksud U, I mungkir janji tak kahwin dengan U?” Dahi Dr. Danish berkerut.

“Okey….okey I silap orang. Thanks sebab tolong baiki kereta I, Dr. Danish. I harap ini kali terakhir kita berjumpa.”

Aku terus membuka pintu kereta dan menghempas pintu dengan kuat. Sakitnya hatiku. Dr. Danish tidak mengaku dia mengenaliku. Aku terus keluar dari kawasan hospital. Dari cermin belakang aku nampak Dr. Danish menggelengkan kepalanya.

Lima hari di HAS terasa bagaikan setahun. Apa tidaknya, slot hari kedua dan hari terakhir Dr. Danish yang membentangkan kajiannya. Kajian tentang pesakit mental di Malaysia. Suaranya, gayanya, senyumannya dan segala-galanya persis Danish. Tapi mengapa dia masih tidak mengaku dia mengenaliku. Aku perlu berbuat sesuatu.

Sebelum pulang ke Ipoh, aku ke pejabat Dr. Danish. Ketua Pakar O&G. Mungkin peristiwa dua tahun lalu betul-betul menguji mental aku. Tidak sedar kakiku sudah berada di depan pintu Dr. Danish. Perlahan aku mengetuk pintu. Suara menyuruh aku masuk kedengaran dari dalam.

“Doktor, hari ni saya mahu balik Ipoh. Tapi saya perlukan jawapan ikhlas daripada Doktor.”

“Jawapan? Apa soalannya Doktor?” Senyuman terukir di bibirnya mengiringi bicaranya yang lembut dan sopan. Keadaan ini sedikit menggoyahkan hasratku. Namun aku perlu berani. Aku tidak mahu takdir mempermainkan aku lagi.

“Betul Doktor tak kenal siapa saya?” Nada suaraku amat tegas.

Tiada jawapan yang keluar dari bibirnya. Tapi senyumannya masih terukir. Kemudian dia menggelengkan kepalanya.

“Betul Doktor tak kenal saya?” kali ini suaraku semakin tinggi.

Dia menggeleng lagi.

“Betul?” Ulangku sepatah.

Dia mengangguk. Namun matanya masih menatap wajahku.

“Okey, I tak kisah U tak kenal I. Tapi sebelum saya keluar dari bilik ni, I nak buat sesuatu. Pertama kali dan terakhir dalam hidup I.”

“Okey U buatlah apa yang U nak buat. I tak kisah. Yang penting lepas ni U gembira.” Katanya dengan nada bersahaja.

“Betul U tak kisah?” Ulangku.

Dia mengangguk lagi. Serentak itu aku mengumpul segenap kekuatan lalu menampar mukanya sepenuh hati. Dr. Danish terkejut. Aku lagi terkejut dengan tindakan aku. Kesannya lima jari aku jelas berbekas di pipi kanannya. Memang aku kidal sebab itu pipi kanannya yang menjadi mangsa pelempang aku. Tapi hatiku puas. Kalau betul dia Dr. Danish yang pernah jadi tunangku lagi hatiku puas. Kalau bukan aku minta maaf dalam hati. Tapi aku yakin seratus peratus dia ialah Danish.

“Terima kasih!” Ucapnya perlahan.

“Terima kasih!” Ucapnya sekali lagi sambil mengusap pipi kananya.

Aku berlari keluar dari bilik Dr. Danish. Pantas aku menuju ke tempat parking. Aku menarik nafas dalam-dalam. Aku beristighfar beberapa kali. Aku menjadi gila kerana syik teringatkan Danish. Orang yang aku sangkakan mati rupanya masih hidup bahagia. Aku yang menderita separuh mati. Berbaloikah pengorbanan aku selama setahun ini menangisi pemergian Danish yang sebenarnya pergi ke daerah lain? Danish tidak mati. Danish masih hidup. Dapatkah air mataku yang tumpah digantikan semula? Dapatkah usiaku yang semakin menginjak 30 tahun diundur ke belakang? Dapatkah aku menerima suratan takdirku selepas ini? Arggghhhh……. Aku tidak mampu berfikir lagi.

Selamat tinggal kenanganku. Selamat tinggal Danish. Selamat tinggal Hospital Alor Setar. Selamat tinggal semuanya. Aku akan meninggalkan alam bujangku. Aku akan menumpukan perhatian hanya kepada Dr. Haikal kerana walau siapa pun dia aku akan menyayanginya. Tempat Danish perlu aku isi dengan insan lain yang menyayangiku. Biarlah aku membina mahligai pelangi di petang hari kerana mulai hari ini aku akan kuburkan nama Danish dari dairi hidupku.

BAB DUA PULUH LIMA

Dr. Haikal terkejut. Mama terkejut. Begitu juga Papa. Hazreen lagilah terkejut. Walau semua orang terkejut, Dr. Fadzreen tidak terkejut. Semua orang terkejut dengan keputusanku mahu melangsungkan pernikahan pada hujung bulan ini kecuali Dr. Fadzreen. Kalau sebelum ini aku seakan tidak yakin dan tidak mahu melangsungkan perkahwinan dengan Dr. Haikal, tapi hari ini aku membuat keputusan sendiri. Bukan Mama. Bukan juga Papa.

Sepanjang hari Dr. Haikal tersenyum. Berulangkali dia mengucapkan terima kasih kepadaku.

“Isya, terima kasih kekasihku.”

“Tak perlu ucap terima kasih.” Balasku.

“Tak sangka Isya sanggup menerima diri Haikal.”

“Mungkin jodoh kita telah tertulis sejak di Loh Mahfuz lagi,” kataku.

Dr. Haikal hanya tersenyum. Sesekali matanya merenung lembut ke arahku. Aku perlu tabah. Keputusan ini kubuat demi maruah dan harga diriku. Teganya Danish berpura-pura tidak mengenaliku. Biarlah aku tanggung semuanya. Mustahil Dr. Fadzreen dan Mama tidak tahu yang Danish masih hidup. Kalau Danish mahu meninggalkan aku sekalipun tidak perlu dengan cara menipu. Kalau menipu cara lain mungkin aku boleh terima, tapi bila mengaitkan dengan soal hidup dan mati, aku tidak boleh terima. Kenyataannya kini aku sudah menguburkan nama Danish dari hatiku. Bagiku Danish telah mati baik jasad mahupun nama. Tidak perlu lagi aku memburu pelangi yang telah menghilang. Rindu yang kuburu selama ini terlerai ditelan ombak dendam.

Ah, alangkah sia-sianya hidupku selama dua tahun ini. Aku mengeluh perlahan.

“Isya, ada masalah?”

Suara Dr. Haikal memecah gegendang telingaku.

“Hah, masalah? Tak adalah.”

“Tadi tu mengeluh panjang je.”

“Ye ke. Tak perasan pun.” Dalihku.

“Esok jangan lupa. Kita pergi ambil baju pengantin.” Dr. Haikal mengingatkan aku. Aku hanya mengangguk.

Petang itu Dr. Haikal menghantar aku pulang ke rumah. Sejak balik dari Alor Setar, Dr. Haikal tidak membenarkan aku memandu sendiri. Katanya darah tengah manis, macam-macam boleh berlaku. Aku hanya mendiamkan diri dan melayan perasaan sepanjang perjalanan. Tiba-tiba Dr. Haikal bersuara memecah keheningan suasana.

“Isya!”

“Hmm..”

“Tidur ke?”

“Tak.”

“Masa seminar dulu jumpa tak dengan Pakar O&G?” Soalan Haikal membuat jantung aku berdebar kencang.

“Siapa?” Meluncur saja kalimah ingin tahu dari bibirku.

“Dr. Danish Ong. Dulu kami sama-sama kat Universiti.”

Bicara Dr. Haikal bisa membuat jantungku luruh. Aku hairan mengapa dadaku berdebar setiap kali mendengar nama Danish padahal aku telah kuburkan semua memoriku bersamanya. Namun aku perlu kuat. Keputusan telah aku buat. Aku memilih Dr. Haikal untuk menjadi suamiku. Danish tiada kaitan denganku sekarang walaupun dia masih hidup.

“Kenapa tiba-tiba bertanyakan Dr. Danish?” soalku.

“Dia baik, kacak dan banyak peminat. Tapi sampai sekarang tak kahwin-kahwin. Dengarnya putus cinta. Pada pandangan mata Isya, Dr. Danish tu kacak tak?”

“Tak.” Pantas aku menjawab.

Thanks. Sebenarnya sebelum ni semua orang yang Haikal tanya kata Dr. Danish tu kacak. Isya sorang saja kata tidak. Thanks, Isya.”

“Tak perlu berterima kasih. U lagi kacak. Tak salah I pilih U.”

“Ye, ke? Tapi kalau U jumpa abang Dr. Danish, lagi U terlopong.” Usik Dr. Haikal.

“Kenapa I nak terlopong pula?”

“Dia lagi handsome dari I. Tapi sayang dia dah meninggal.”

“Meninggal?”

“Ya, abang Dr. Danish meninggal semasa mereka ke Indonesia sebelum pernikahan Dr. Danish. Dr. Daniel yang meninggal tu sama tempat kerja dengan I.”

Wajah Danish segera muncul di skrin mindaku disusuli Dr. Daniel yang aku gelar jejaka samaseng pada mulanya. Takkan Dr. Daniel meninggal? Ah, aku tidak sesekali akan memikirkan pasal Danish lagi. Titik. Persoalan lain pula tiba-tiba muncul dibenakku. Dr. Haikal. Tunangku. Bagaimana orang yang dikatakan hilang ingatan setahun lalu boleh ingat pasal staf di tempat kerjanya.

“Eh, bukankah U hilang ingatan. Macam mana U boleh ingat pasal staf yang sama kerja dengan U dua tahun lepas?” Aku terpaksa mengajukan soalan yang agak sensitif kepada Dr. Haikal.

I hilang ingatan?”

“Ya, kan U selalu cakap tak ingatlah. Lupalah. Lagipun ada orang beritahu I yang U hilang ingatan.”

“Siapa yang cakap I hilang ingatan?”

Mummy U. Katanya U accident dengan tunang U. U koma and hilang ingatan.”

“Isya, listen to me. I normal. Sihat. Sempurna, okey. Jangan pedulikan cakap Mummy I.”

“Habis takkan Mummy U nak tipu I. Apa faedahnya?”

“Banyak faedahnya, Isya.”

“Apa?”

U cari sendiri.”

“Haikal, jawab soalan saya sejujurnya. U cintakan I?”

Tanpa berfikir Dr. Haikal mengangguk.

U hilang ingatan?”

Dr. Haikal menggeleng.

“Tapi kenapa U berlagak seperti orang hilang ingatan?”

“Isya, apa perasaan U selepas U sedar dari koma, orang beritahu U tunang U dah kahwin dengan orang lain. U nak mengaku U waras dan terima kenyataan atau U berpura-pura tak tahu apa-apa.”

“Jadi U berpura-pura hilang ingatan? Begitu?”

Dr. Haikal mengangguk. Aku sangat terpukul. Mummy Dr. Haikal menyuruh aku memulihkan ingatan anaknya dengan berkahwin dengannya, tapi sebenarnya anak lelakinya tidak pernah hilang ingatan pun. Mengapa takdir selalu mempermainkan aku? Di mana silapnya aku? Fikiranku berkecamuk. Dulu Danish. Sekarang Dr. Haikal. Perlukah aku meneruskan perkahwinan tanpa cinta dan perasaan? Ah, Dr. Haikal pun sama. Menguji perasaanku dan mempermainkan takdirku. Mungkin aku perlu pergi dari daerah ini. Tapi di manakah kembaraku ini akan berakhir. Semakin jauh aku melangkah batas-batas rindu, semakin jauh mentari yang kuburu.

“Isya, I’m sorry. I terpaksa berlakon untuk mendapatkan cinta U. I tahu U jenis orang yang tinggi sifat empati. I ngaku I ambil kesempatan.”

Tanpa sempat ku tahan, air mata laju mencurah pipiku yang agak cengkung belakangan ini. Aku membiarkan mutiara jernih ini gugur semahunya. Tidak perlu aku menyekanya. Aku sakit hati. Marah. Kecewa. Semuanya bersatu dalam dada. Pedih menghiris kalbu. Perasaanku terluka. Hatiku kecewa. Semua orang yang kukenali mengambil kesempatan atas kenaifan aku. Adilkah? Mama. Papa. Dr. Daud Ong. Mummy Haikal. Haikal. Dan Danish. Mengapa nama itu masih lagi kusebut walaupun namanya telah kukuburkan? Mengapa hatiku masih berdebar sangat aku teringatkan dirinya?

Maafkan aku Dr. Haikal. Aku tidak dapat menerima kenyataan ini. Perpisahan adalah jalan terbaik buat kita. Aku terluka. Sangat kecewa.

Dr. Fadzreen! Mengapa engkau tidak pernah melafazkan kalimah cintamu saatku memerlukannya? Hanya Dr. Fazreen yang tidak pernah menguji cintaku. Tapi kini semuanya musnah. Aku terpaksa meninggalkan Dr. Fadzreen juga. Biarlah kehampaan menjadi permainan hidup Dr. Fadzreen pula.

Danish! Mengapa sanggup engkau mengecewakan aku? Adakah dirimu sedang mengecap kebahagiaan atas kekecewaan dan kesengsaraan aku? Aku sedar. Bahagia bukan milikku. Cinta bukan milikku. Hanya satu milikku. Kenangan bersamamu Danish. Terpahat kukuh di hatiku. Dulu kini dan selamanya. Biarlah aku semadikan pusaramu di jiwaku agar aku bisa melawatmu saat rindu datang bertamu. Damailah engkau di pusaramu.

KEMBOJA DI PUSARA

Secebis kenangan berguguran di kelopak ingatan

Berderai satu persatu di halaman sengsara

Dalam keterpaksaan

Aku kutip dan kuhimpunkan di perdu duka

Nestapa mula mengundang lara

Mendung sayu pun berarak hiba

Awan pilu semakin memutih

Hujan tangisan pun bergema

Mengalunkan irama sendu

Mengiringi pemergian

Kematian yang tidak bernama....

Bersemadi di pusara sepi

Bertemankan pepohon kemboja..

Di sini aku berdiri

Sebuah pusara tanpa nesan

Terbiar sepi di keheningan pagi

Memutih bebunga kemboja menaburi pusara

Embun pun takkan mampu menyubur

Bebunga kemboja yang semakin layu

Lantas aku sirami air mata kasih

Bersama sedu sedan

Aku menyedut wangian bebunga kemboja

Membuai perasaan membelai rawan

Aku kehilangan sebuah memori

Tidak mampu aku hidupkan kembali

Saat senja melabuhkan tirai

Aku mengusung luka yang semakin sarat

Pusara sepi aku tinggalkan

Pesananku kepada pepohon kemboja

Payungilah pusara sepi ini

Sehingga aku datang lagi

Pada musim-musim rindu

Yang mendatang...

Tinggallah pusara sepi...

Tinggallah kemboja putih

Aku pergi untuk kembali....

2 comments:

  1. Bab seterusnya xde ke? Best la.. ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cari tajuk SELAGI ADA RINDU,,dalam blog ini...tapi sampai BAB 25 jer

      Delete