Photobucket

Sunday, November 14, 2010

SOALAN 2: PEMAHAMAN

Soalan 2 (a).

· Soalan ini wajib dijawab.

· Berdasarkan petikan untuk soalan Rumusan.

· 3 soalan akan dikemukakan yang terdiri daripada:

o 2 soalan pemahaman langsung terhadap kandungan petikan.

o 1 soalan pemahaman atau aplikasi yang berasaskan KBKK.

· Soalan pemahaman langsung terhadap kandungan teks menyoal berasaskan kata tanya berikut:

o Apa...

o Siapa...

o Di mana...

o Mengapa/Kenapa...

o Bagaimana...

ataupun menggunakan arahan berikut:

o Jelaskan...

o Terangkan...

o Huraikan secara ringkas...

o Gambarkan ...

dan sebagainya.

· Soalan pemahaman/aplikasi berasaskan KBKK:

o Pada pendapat anda,...

o Sekiranya anda....

o Jika anda....dan sebagainya.

Pendekatan menjawab soalan

· Baca petikan dari awal hingga akhir walaupun semasa menjawab soalan rumusan anda sudah membacanya.

· Fahami apa yang terkandung dalam petikan.

· Baca soalan dan garis kata kunci soalan.

· Pastikan manakah soalan langsung dan soalan KBKK.

· Padankan apa yang disoal dengan markah yang diperuntukkan kerana jumlah markah boleh menggambarkan berapa isi yang dikehendaki.

· Tulis menggunakan ayat yang sempurna dari segi struktur ayat dan tanda baca yang digunakan.

· Gunakan bahasa yang standard, bukannya yang dipengaruhi kata pinjaman atau loghat tempatan.

· Sekiranya soalan terdiri daripada dua bahagian, jawab bahagian kedua dalam baris baru.

· Untuk soalan KBKK terutama yang berkehendakkan pandangan anda, jangan sesekali menjawab secara melawan arus, iaitu menentang gagasan atau saranan yang dikemukakan.

· Dicadangkan anda menggaris setiap isi yang dikemukakan dengan pensel.

· Contoh soalan dan jawapan:

Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia untuk membendung keganasan oleh golongan pelampau?

(3 markah)

Malaysia telah mengambil langkah-langkah yang wajar untuk mengatasi kegiatan ganas golongan pelampau dengan memperkenalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),memantau kegiatan persatuan dan pertubuhan yang diragui serta memberi penerangan menerusi media massa.

· Dicadangkan anda menggunakan tidak lebih 15 minit untuk menjawab ketiga-tiga soalan dalam bahagian ini.

KESAN AYAT TIDAK GRAMATIS

· Soalan 2 (a), 2(b), 2(c) dan 2(d).

Kesilapan calon ketika menjawab soalan pemahaman.
1. Isi jawaban dalam bentuk nota.
2. Ayat tidak lengkap kerana tiada subjek.

Sebab-sebab berlakunya kesilapan :
1. Pelajar degil dan cuai walaupun telah diberi ingatan.
2. Tidak belajar merancang masa untuk menjawab soalan.
3. Terikut-ikut dengan gaya penulisan dalam buku kerja pelajar.

Kesan kesilapan:
Contoh soalan 2(a)(ii) SPM 2008.

(ii) Pengarang mengemukakan beberapa bukti yang menunjukkan penglibatan Malaysia dalam bidang penerokaan angkasa lepas. Nyatakan bukti-bukti tersebut.
KK : Nyatakan.

Jawaban contoh :
-Pembabitan Malaysia bermula pada awal tahun 1980-an.
-Melaksanakan program penghantaran angkasawan pertama ke angkasa lepas
-Pelancaran tiga buah satelit ke angkasa lepas.

Isi betul - 3
Ayat tidak gramatis
Markah : 2
Pelajar hilang 1 markah.


Contoh soalan 2(a)(ii) SPM 2008.

Jawaban contoh :
- Persediaan dari segi fizikal supaya tubuh badan saya cukup sihat untuk menjalankan tugas sebagai angkasawan.

- Cari maklumat yang banyak berkaitan bidang angkasa lepas daripada internet, buku ilmiah mahu pun media massa supaya pengetahuan saya cukup mantap dalam bidang ini.

- Persediaan mental supaya sedia bersaing dan sanggup berkorban demi menjayakan tugas sebagai angkasawan.

Isi betul : 4 ( 2 isi dan 2 huraian )
Ayat tidak gramatis
Markah : 3
Pelajar hilang 1 markah.

Andaian :
Pelajar yang sama biasanya akan mengulangi setiap jawaban dengan cara memberi isi berbentuk nota ringkas. Pelajar mungkin akan kehilangan antara 6 hingga 8 markah untuk soalan 2(a) hingga 2(d) jika diandaikan pelajar ini dapat memberi isi dan huraian yang tepat tetapi ayat tidak gramatis.

Maka :
1. Jawab dalam bentuk ayat yang gramatis.
2. Ayat gramatis mempunyai subjek.
3. Subjek jawaban diperoleh daripada predikat soalan.
4. Gandingkan predikat soalan dengan isi jawaban lengkap.
5. Ayat gramatis boleh terdiri daripada ayat tunggal atau ayat
majmuk.

Soalan 2(b)/2(c)/2(d)

CERPEN
1. Annyss Sophillea
2. Lambaian Malar Hijau
3. Virus Zel Untuk Abah

DRAMA
1. Serunai Malam
2. Kerusi

3. Seri Nara

4. Kerusi

5. Jangan Bunuh Rama-rama

6. Puteri Li Po

PROSA KLASIK
1. Sabor

2. Cerita Bayan Yang Tidak Mendengar Cakap Ibubapa

3. Kezaliman yang membawa Padah

4. Sikap Terburu-buru Membawa Padah

5. Kepahlawanan Tun Beraim Bapa

6. Peminangan Puteri Gunung Ledang


SAJAK
1. Duhai Pentafsir
2. Di Ruang Gemanya
3. Anak Laut
4. Derita Pertama
5. Jalan jalan raya kotaku


PUSI
1. Pantun Kiasan
2. Seloka Pak Kaduk
3. Pantun Enam Kerat
4. Syair Kelebihan Ilmu

Pemahaman Komsas

- 26 markah diperuntukkan [35 - 9 daripada Pemahaman Umum]

Walaupun markahnya 26 sahaja dengan 8 -9 soalan daripada 3 bahagian, namun kalau anda peka dan tahu teknik untuk mendapatkan markah atau menjaga markah supaya tidak diambil @dipotong @didenda oleh pemeriksa, senang-senang sahaja anda akan mendapat markah penuh. Tak percaya? Ikut nasihat ini:

  • Baca soalan dan jawab berdasarkan kehendak soalan. [mungkin anda akan kata, memanglah... tapi ketahuilah murid-murid sekalian, banyak pelajar yang tersilap kerana tidak menjawab soalan yang ditanyakan.]
  • Jangan pula tak jawab soalan dan dibiarkan kosong. Sah 0 markah; dapat juga markah kan? Tapi kosonglah.
  • Apabila menjawab soalan, pastikan anda menjawab soalan itu dengan lengkap. Tatabahasa mesti betul. Ejaan dan tanda baca mesti betul. Jangan nak cepat, tulis tu main tarik saja, sampai n jadi u dan sebagainya. Jangan pula buat ejaan seperti yang biasa dalam dunia siber atau sms. Nahas tu! [Nampak remeh kan? Tapi perkara ini semua sangat penting. Kadang-kadang kerana kelalaian kita, percuma saja kita buang markah yang amat berharga]
  • Soalan 1 biasanya akan bertanya tentang makna kata atau frasa atau maksud perenggan. Bagi makna kata atau frasa, berikan kata sinonim yang lain. Bagi puisi moden atau tradisional - apabila anda menjawab, sila gunakan bahasa prosa moden. Gunakan ayat anda sendiri. Jangan cedok bulat-bulat ayat pantun, seloka atau sajak itu. Berikan maksud mengikut pemahaman anda (sebagaimana yang anda telah pelajari). Begitu juga dengan prosa tradisional. Guna ayat sediri iaitu bahasa moden. (jangan pula guna bahasa sms - parah)
  • Soalan kedua biasanya soalan kbkk. Jawaban bagi soalan ini hendaklah daripada calon sendiri @ pendapat calon. Sekiranya calon menuliskan isi-isi atau perkara-perkara yang yang ada dalam petikan, markah 0 akan diberikan. [tak jawab soalan- anda didenda]. Namun demikian, jawaban bagi soalan ini hendaklah berkaitan dengan topik, jangan suka-suka hati nak beri pendapat sendiri tetapi tak ada kaitan.
  • Sekiranya soalan yang ditanyakan itu wajar atau tidak, anda harus bijak. Walaupun anda boleh memilih sama ada wajar atau tidak, tetapi anda haruslah bijak memilih yang mana lebih baik, yang sepatutnya, dan yang mudah untuk ditanda oleh pemeriksa atau yang pemeriksa selesa. (ini pendapat saya sahaja)
  • Pastikan anda memberikan pendapat yang dihuraikan. Kalau boleh berikan beberapa pendapat. Tulis lebih tak apa asal tatabahasa terpelihara. Saya selalu bercakap kepada pelajar-pelajar saya bahawa kalau seseorang itu mahu mandapat A dalam BM, dia hendaklah rajin menulis, menulis dan menulis. Jangan lupa, serlahkan kematangan anda dalam huraian pendapat anda itu.
  • Soalan ketiga biasanya berkaitan dengan unsur komsas. Dalam prosa tradisional, jarang ada soalan aspek komsas. Tahun ini tak tahulah.
  • Aspek Komsas yang biasa ditanyakan ialah tema, persoalan, watak dan perwatakan, gaya bahasa, latar, nilai dan sebagainya sebagaimana yang anda telah pelajari. Kadang-kadang ada soalan begini:
  • Jelaskan 2 nilai berdasarkan petikan dan dua nilai berdasarkan keseluruhan cerpen. Bagaimana nak jawab? Dua nilai daripada petikan ialah nilai kasih sayang dan tabah. Mama Zel amat menyayagi Zel dan memberikan hadiah sebuah komputer bersempena hari lahirnya. Mama Zel tabah menghadapi pelbagai dugaan hidup sebagai ibu tunggal yang perlu mencari sara hidup sendiri manakala dua nilai daripada keseluruhan cerpen pula ialah nilai tekun dan nilai yakin diri. (kemudian berikan contoh kedua-dua nilai tersebut).
  • Nampak macam panjang kan? Tapi tak apa, lebih baik bagi lebih daripada beri kurang. Objektif kita ialah untuk mendapatkan markah yang diperuntukkan itu.
  • Jangan keliru antara nilai dan persolan kerana kadang-kadang ada nilai yang juga merupakan persoalan. yang pentingnya bagaimana anda menuliskan nilai itu sebagai persoalan. Contoh: kasih sayang ialah nilai, bagaimanakah kasih sayang menjadi persoalan? Salah satu caranya ialah dengan meletakkan perkataan persoalan di hadapan kasih sayang >>> persoalan kasih sayang atau tambahkan perkataan lain contoh antara keluarga. Persoalan kasih sayang antara ibu dan anak dsb. Yang pentingnya, apabila anda menjawab soalan persoalan, jangan sesekali samakan persoalan dengan nilai kerana pemeriksa akan keliru untuk memberikan anda markah. Jangan kelirukan pemeriksa.
  • Apa lagi ya? Oh ya, jangan seronok sangat menulis hingga anda mengabaikan masa. Rancang masa anda dengan baik dan jawab semua soalan. Saya doakan anda semua akan berjaya dengan cemerlang dalam SPM khususnya dalam BM. Malam ini tidurlah dengan lena selepas berdoa semoga kerja keras anda selama ini akan membuahkan hasil yang cemerlang. Esok, bangun dengan segar dan penuh semangat dan berjuang habis-habisan untuk mendapatkan hak anda.

CONTOH JAWAPAN PEMAHAMAN KOMSAS

1. Apakah akibat yang diterima oleh Akmal setelah menembak Strenn ? Mengapakah perkara tersebut berlaku?
Setelah menembak Strenn, Akmal tumbang. Perkara tersebut berlaku kerana di Alstonia orang yang membunuh akan mati bersama-sama orang yang dibunuh.

2. Pada pendapat anda, mengapakah Akmal bertindak menembak Strenn?
Pada pendapat saya, Akmal bertindak menembak Strenn kerana Akmal bimbang Eyrique akan tewas. Akmal berusaha untuk menyelamatkan nyawa Eyrique dan sanggup berkorban demi persahabatannya dengan Annyss. Akmal juga bertindak menembak Strenn kerana dia merupakn seorang yang jahat/kejam/sombong.

3. Huraikan dua nilai kemanusiaan berdasarkan petikan di atas dan dua nilai kemanusiaan lain yang terdapat dalam cerpen tersebut.
Nilai kemanusiaan dalam petikan ialah tolong menolong. Hal ini dibuktikan melalui tindakan Akmal membantu Eyrique . Nilai kedua dalam petikan ialah nilai keberanian. Nilai ini ditunjukkan melalui tindakan Akmal berani menembak Strenn. Nilai kemanusiaan dalam cerpen ialah nilai kegigihan. Hal ini dibuktikan oleh Annyss yang tabah dalam usaha mencari Eyrique. Nilai kedua dalam cerpen ialah nilai keberanian. Nilai ini digambarkan melalui tindakan Annyss yang berani menggembara ke bumi seorang diri. Nilai kemanusiaan seterusnya ialah amanah. Hal ini ditunjukkan melalui Annyss yang berusaha menunaikan wasiat ayahanda dan bondanya.

4. Apakah yang dimaksudkan dengan meremangkan bulu tengkuknya berdasarkan petikan di atas?

Maksud meremangkan bulu tengkuknya berdasarkan petikan ialah Annyss berasa seram/takut.

5. Mengapakah Akmal pergi ke planet Alstonia?
Akmal pergi ke planet Alstonia kerana pada setiap malam dia bermimpi akan Annyss menyebabkan dia berasa seolah-olah terdengar suara Annyss yang memerlukannnya. Akmal juga pergi ke sana kerana sudah seminggu dia dan Annyss tidak berjumpa dan hal ini menyebabkannya berasa canggung kerana ketiadaan Annyss.

6. Pada pendapat anda wajarkah Akmal menyusuri Annyss ke Alstonia?
Pada pendapat saya, wajar bagi Akmal menyusuri Annyss ke Alstonia kerana dia ingin bertemu Annyss bagi melepaskan rasa rindu dan menguatkan lagi ikatan persahabatan antara mereka. Akmal juga ingin membuktikan kesetiaan dalam persahabatan dengan cara membantu Annyss.
ATAU
Pada pendapat saya tidak wajar Akmal menyusuri Annyss ke Alstonia kerana Alstonia merupakan negara asing bagi Akmal. Saya berpendapat bahawa Akmal mungkin mengalami pelbagai cabaran di Alstonia di samping terpaksa meninggalkan keluarga di bumi

MARIAH

Cerpen ini mengisahkan tekanan jiwa yang dialami oleh seorang pelajar tingkatan enam bernama Mariah kerana perlakuan ayahnya yang tidak bertanggungjawab. Edah, rakan Mariah menyampaikan hajat Cikgu Tini supaya Mariah berjumpa dengannya di bilik kaunseling pada masa pertama selepas rehat. Pelbagai persoalan bermain-main di kepala Mariah sebelum bersemuka dengan Cikgu Tini. Dalam pertemuan yang disifatkan sebagai pertemuan kakak dengan adiknya, Cikgu Tini cuba menyiasat punca-punca yang menyebabkan kemerosotan pencapaian akademik Mariah. Mariah berasa amat malu untuk meluahkan masalahnya yang sebenar, tetapi dia tidak sanggup untuk berbohong. Apabila Mariah diminta supaya berterus terang kerana Cikgu Tini sudah mengetahui segala-galanya, Mariah mula menceritakan masalah yang sedang dihadapinya. Mariah menceritakan bahawa kematian adiknya, Hilmi menyebabkan ayahnya berasa bersalah dan jiwanya tertekan apabila disalahkan oleh ibu. Ayah Mariah mula menjadi seorang kaki botol dan tekanan perasaannya lebih parah lagi apabila isterinya turut meninggal dunia selepas itu. Keadaan ayahnya semakin menjadi tidak menentu dan mabuk serta sering meminta wang daripada Mariah. Mariah menghadapi dilema untuk menunaikan permintaan ayahnya sedangkan dia mempunyai keperluan untuk membeli buku rujukan.

Setelah mendengar pengakuan ikhlas daripada Mariah, Cikgu Tini cuba membantu Mariah dengan meminjamkan beberapa buah buku rujukan kepadanya. Sebaik sahaja Mariah keluar daripada bilik kaunseling, Edah memberitahu Mariah supaya ke pejabat untuk urusan biasiswa. Namun, sebelum sempat ke pejabat, Bibah datang memberitahu Mariah bahawa ada seorang pemuda bernama Borhan ingin bertemu dengannya. Borhan menyampaikan berita sedih tentang kemalangan yang menimpa ayah Mariah. Cikgu Tini tidak dapat menahan kesedihannya setelah mendapat tahu berita tersebut. Borhan menyatakan hasratnya untuk membiayai kos persekolahan Mariah sekali gus ingin melihat Mariah berjaya dalam pelajaran.

Sinopsis Cerpen Di Sisi Rinda

Cerpen ini mengisahkan pengorbanan seorang lelaki tua bernama Jumari Jipan yang terpaksa menjaga seorang anak yatim piatu iaitu Deliah akibat daripada tragedi peperangan yang memisahkannya dengan keluarga yang turut terkorban. Seluruh keluarga Deliah terkena ledakan born dan dia tinggal sebatang kara. Jumari Jipan terharu mengenang nasibnya lantas mengarnbil keputusan untuk menjaga Deliah bersama-sama dengan kucingnya yang bergelar Rinda apabila rnengenang kembali ikatan persahabatan yang terjalin antara Jumari dengan datuk Deliah iaitu Ripin. Jumari amat menyayangi Deliah kerana dia tidak mempunyai cucu sendiri.

Pada suatu hari ketika Jumari dan Deliah berjalan-jalan di sekitar kawasan rumah yang terbiar, mereka terjurnpa sebilah keris pusaka yang dianggap oleh Deliah sebagai keris sakti milik datuk Deliah iaitu Ripin di sebuah tempat yang mempunyai pelbagai cerita mitos. Semasa arwah datuk Deliah masih hidup, keris tersebut dikatakan masih ada tetapi terus ghaib sampailah dia mati. Malah seingat Jumari, keris itu sudah pun hilang beberapa waktu sebelum kematian kawannya itu. Sementara itu, Jumari mendapati ada beberapa buah khemah yang sudah didirikan di sekitar tempat tersebut oleh tentera Jepun. Suasana persekitarannya amat sunyi kerana sebahagian besar daripada penduduk kampung telah meninggalkan kawasan itu sebelum kemaraan tentera Jepun. Tanpa disedari, tiba-tiba datang seorang askar Jepun menghampiri mereka untuk mengambil kucing kesayangan Deliah. Tetapi, Deliah dan Jumari cepat bertindak dan terus melarikan din menuju ke jeti untuk menaiki bot. Deliah yang sudah biasa dengan semak-samun di situ berlari dengan mudah di celah-celahnya, dan sesekali terdengar bunyi tembakan dari arah belakang. Rupa-rupanya mereka tertembak sesama sendiri. Deliah berasa lega apabila mendapati Jumari turut selamat dan terus menaiki bot di samping menyedari keris tersebut benar-benar hilang.

Sinopsis Cerpen Sebutir Pasir di Kaki

Cerpen ini mengisahkan sikap tegas Fuad yang tidak rela membiarkan Datuk Sukar mengambil alih tanah pusaka arwah ayahnya. Kejadian itu berlaku sewaktu Fuad bercuti di Singapura dan Datuk Sukar cuba mendapatkannya dengan meminta ibu Fuad menurunkan cap jarinya di surat serah kuasa. Fuad sangat marah dengan tindakan Datuk Sukar yang membelakangkannya. Lantas, Fuad bertekad untuk berjumpa dengan Datuk Sukar dan mengambil semula geran tanah dan membatalkan surat serah kuasa yang ditandatangani oleh ibunya. Walaupun dilarang oleh ibunya, Fuad tetap berdegil dan terus ke rumah Datuk Sukar. Setelah didesak, Fuad menjelaskan maksud kedatangannya kepada Datin Sipah dan Junainah sementara menanti Datuk Sukar balik.

Sekembalinya Datuk Sukar dari jamuan kerajaan, dia sudah dapat menjangkakan maksud kedatangan Fuad. Datuk Sukar cuba menerangkan kedudukan yang sebenarnya tentang tujuan pengambilalihan tanah tersebut dan menjelaskan projek yang sedang dirancang secara usaha sama dengan tauke Ban Heng. Dia menawarkan harga yang agak lumayan sebagai ganti rugi kepada Fuad supaya dia dapat membeli lebih banyak tanah lain. Namun, segala tawaran Datuk Sukar ditolak oleh Fuad kerana dia tidak sanggup meninggalkan bandar tersebut dan membiarkan tanahnya diambil untuk kepentingan orang lain. Malah, Fuad turut menyatakan kesediaannya untuk mencarikan Datuk Sukar tanah yang lain jika diperlukan. Bagi Fuad perkara ini bukanlah kecil baginya kerana soal tanah pusaka ini melibatkan masa depan keluarganya. Tindakan tegasnya menyebabkan Datuk Sukar marah dan menganggap Fuad cuba menggagalkan projeknya dan melepaskan peluang untuk menjadi kaya-raya. Kemarahan Datuk Sukar tidak dapat dibendung kerana dia amat kesal dengan sikap Fuad yang tidak mengenang budi dengan mengungkit-ungkit segala kebaikan dan keistimewaan yang diberikannya kepada Fuad. Selain itu, dia turut memberhentikan Fuad daripada syarikatnya dan memutuskan hubungan cinta yang terjalin erat antara Fuad dengan Junainah, sekali gus membatalkan hasratnya untuk menerima Fuad sebagai menantunya.

Sambil menyerahkan semula geran tanah tersebut, Datuk Sukar terus mengusir Fuad keluar dari rumahnya. Fuad menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan. Pada masa itu, kedengaran suara Datin Sipah memanggil Junainah dan Fuad untuk meminta bantuan mereka kerana Datuk Sukar pengsan.

Sinopsis Cerpen Aku, Kris dan Kristal

Cerpen ini mengisahkan pengalaman hidup suka duka seorang anak dagang bernama Hana Hashim, ketika melanjutkan pelajarannya di Cardiff, Britain. Semasa berada di sana dia rapat dengan Kris dan Kristal. Mereka menjadi sahabat karib. Sebelum berpindah ke apartmen, Hana dipelawa oleh Kris untuk tinggal di rumah ibu Kris, semasa ayah Kris bertugas di Malaysia. Hana sering dibawa oleh Kris dan Kristal melawat tempat-tempat yang menarik di sekitar Britain. Walau bagaimanapun, Hana yang mempunyai pegangan agama yang kuat sentiasa menjaga adat ketimuran dan batas pergaulannya. Apabila berpindah ke apartmen bersama-sama dengan rakan-rakan, Hana bebas untuk mengadakan usrah dan mengikuti program yang dianjurkan di Malaysian Hall. Puan Doogan, ibu Kris sesekali datang menjengok Hana. Sejak itu, perhubungan antara Hana dengan Kristal mulai renggang dan tidak semesra dulu apabila Kristal mendapati Hana mendapat perhatian yang lebih daripada Kris. Tanpa diduga, Hana menerima sepucuk surat dari kampung yang memintanya untuk menerima peminangan daripada Cikgu Wan Hadi. Hana tidak membantah, malah menyerahkan bulat-bulat kepada ibu bapanya untuk membuat keputusan.

Pada masa yang sama keadaan salji di luar sudah beransur kurang. Hati Hana semakin sebak apabila mengenang kembali detik-detik pertemuannya dengan Kris dan Kristal. Kristal pernah menemui Hana untuk bertanya tentang hubungannya dengan Kris. Hana berterus terang dan menafikan sebarang ikatan dengan Kris sambil memberitahu Kristal bahawa dia sudah pun bertunang dengan orang lain. Kristal berasa lega dengan pengakuan Hana. Lewat senja, Hana menerima panggilan telefon daripada Kris kerana dia ingin berjumpa dengan Hana. Kris menyatakan hasratnya untuk melanjutkan pelajarannya di Jerman Barat kerana kecewa apabila mendapat berita bahawa Hana sudah bertunang. Kristal turut kecewa kerana pemergian Kris dirahsiakan daripadanya. Mulai saat itu, Kristal berkenalan dengan Fiztgerald dan tingkah lakunya semakin berubah. Perasaan kecewanya terhadap Kris membuat Kristal mengambil tindakan membunuh din dengan mengambil terlalu banyak pil tidur. Ketika Hana mengenang kembali detik pertemuannya dengan Kris dan Kristal beberapa tahun yang lain, serta memerhatikan keadaan salji di luar jendela, tiba- tiba dia dikejutkan dengan kehadiran seseorang yang pernah dikenal sebelum itu.

Sinopsis Cerpen Virus Zel untuk Abah

Cerpen ini mengisahkan kehidupan seorang remaja bernama Zel yang menghadapi konflik jiwa ekoran daripada perpisahan kedua -dua orang tuanya. Dia amat sedih kerana masalah keretakan rumah tangga keluarganya tidak mendapat simpati daripada rakan-rakannya. Walau bagaimanapun, nasibnya agak baik kerana dia tetap disayangi oleh mamanya yang sentiasa melayaninya dengan baik dan memberi perhatian dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi walaupun sibuk menguruskan perniagaannya yang semakin maju. Zel tidak pernah dilarang untuk berjumpa dengan abahnya atau bergaul sesama saudara tirinya. Namun, walaupun sudah 10 tahun berpisah dengan abahnya, dendam Zel terhadap abahnya masih tidak padam. Zel berhasrat untuk bertindak memasukkan virus ZEL dalam program ZQ 1308 milik keluarga baru abahnya. Dia masih mempunyai teman baik seperti Win yang turut memahami masalahnya dan sentiasa menasihatinya. Hubungan akrab mereka sejak kecil lagi membolehkan Win berjaya memujuk Zel untuk membatalkan rancangannya. Ternyata daripada pujukan Win, Zel akhirnya akur dan membatalkan hasratnya untuk merosakkan program komputer abahnya.

Sinopsis Cerpen Tragedi

Cerpen ini mengisahkan tragedi yang sangat menyedihkan Pak Ismawan yang kehilangan anaknya, Iswan dalam kemalangan jalan raya. Iswan ialah seorang remaja yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam bidang sukan, khususnya permainan badminton. Dia pernah mewakili negara ke pertandingan Piala Thomas. Kehebatannya mendapat sanjungan para peminat. Ketika Pak Ismawan sedang berdoa, dia didatangi olah Irnawati, rakan sekelas Iswan sejak tingkatan satu. Sambil mengucapkan takziah, Irnawati memohon keizinan daripada Pak Ismawan untuk menyimpan raket badminton kepunyaan Iswan sebagai kenang-kenangan. Semasa hayatnya, Irnawati pernah berselisih pendapat dengan Iswan apabila bercakap tentang permainan badminton.

Kemalangan berlaku sewaktu Irna menemani Iswan sambil berbasikal untuk latihan stamina. Ketika mereka menyusuri jalan, sebuah kereta dari belakang telah menabrak Iswan. Dia dilanggar oleh rakannya sendiri, George Bulang yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk dan masih lagi di peringkat bawah umur. Iswan dikejarkan ke hospital, tetapi doktor gagal menyelamatkannya. Beberapa bulan kemudiannya, kes kemalangannya diputuskan oleh mahkamah sebagai kes langgar dan lari. Pak Ismawan bersedia memaafkan George Bulang walaupun dia sebenarnya sangat marah dan sedih.

Pada suatu hari, Pak Ismawan didatangi oleh seorang pegawai dan Majlis Keselamatan Jalan Raya yang bertujuan untuk mengundangnya memberikan ceramah sempena kempen keselamatan jalan raya. Pak Ismawan bersedia memberikan penerangan tentang tragedi yang menimpa anaknya sebagai iktibar kepada para hadirin. Dalam keadaan sebak, dia menasihati mereka supaya berhati-hati di jalan raya, di samping mematuhi peraturan dan tidak sekali -kali memandu dalam keadaan mabuk.

Sinopsis Cerpen Budi Yang Tak Terbeli

Cerpen ini mengisahkan pengorbanan seorang ibu bernama Jemah terhadap anaknya Murni. Jemah yang masih tinggal di kampung sering diajak oleh Murni untuk tinggal bersama- samanya di bandar. Setelah memujuk beberapa kali, akhirnya ibunya mengikut Murni ke rumah sewa Murni di bandar. Pada hari pertama lagi, apabila Murni dan suaminya iaitu Jamal ke pejabat, Jemah berasa kurang selesa dan risau apabila terkenang akan kampung halamannya. Kebiasaan membuat kerja di kampung menyebabkannya tidak selesa duduk diam. Lantas dia mengambil kesempatan itu untuk menajak rumput di sekeliling rumah anaknya, Tetapi, perbuatannya itu telah menimbulkan kemarahan menantunya, Jamal apabila dia balik dari tempat kerja. Manakala pada sebelah petangnya, Jamal sekali lagi tidak senang hati apabila melihat pokok ketapang di depan rumahnya ditebang oleh ibu mentuanya. Jamal menunjukkan sikap marahnya sambil menyindir ibu mentuanya. Pada petang itu, Murni membawa ibunya bersiar-siar melihat keindahan kota, tetapi ternyata Jemah tidak terhibur dengan cara hidup yang dianggapnya serba tidak selesa itu. Dia mahu balik ke kampung.

Pada suatu hari Murni dan Jamal menerima surat daripada Jemah di kampung yang meminta mereka supaya balik. Kehadiran surat itu tidak menyenangkan hati Jamal dan berprasangka buruk terhadap ibu mentuanya. Jamal sebenarnya seorang menantu yang terlalu berkira-kira sehingga wang yang dikirim oleh Murni kepada ibunya di kampung diminta supaya dikurangkan. Apabila mereka balik ke kampung, Jemah meminta Murni supaya menurunkan cap jarinya. Murni tertanya-tanya akan tujuan ibunya menyuruh dia berbuat demikian. Jemah menjelaskan kepada anaknya bahawa dia ingin memindahmilikkan tanah yang baru dibeli daripada Long Kasah atas nama Murni. Perbuatan ibunya itu benar-benar membuat hati Murni dan Jamal tersentuh dan tidak menyangka sama sekali ibunya begitu mengambil berat akan dirinya. Jamal sedar akan sikap buruknya selama ini terhadap ibu mentuanya itu. Pengorbanan dan budi Jemah ternyata tidak terbalas.

Sinopsis Cerpen Lambaian Malar Hijau

Cerpen ini mengisahkan kehidupan seorang remaja yang bernama Daneng. Dia tinggal di sebuah perkampungan orang asli yang dikelilingi oleh hutan rimba yang penuh dengan flora dan fauna yang pelbagai jenis. Selepas menduduki PMR, dia tidak berminat untuk menyambung pelajarannya lagi kerana hutan belantara baginya sudah cukup untuk meneruskan kelangsungan hidupnya. Pada suatu hari, Cikgu Jo bertandang ke rumahnya untuk mengajaknya pergi memancing. Sebenarnya, kesempatan itu digunakan oleh Cikgu Jo untuk menasihati Daneng supaya menyambung semula pelajaran sehingga ke peringkat universiti. Cikgu Jo amat yakin akan kebolehan Daneng, kerana dia merupakan seorang murid yang bijak. Pada peringkat awal, Cikgu Jo tidak berjaya mempengaruhi Daneng dan berasa kecewa apabila Daneng tetap dengan pendiriannya yang tersendiri yang mahu tinggal terus di daerah pedalaman itu. Hal ini demikian kerana Daneng sudah sebati dengan kehidupan di dalam hutan belantara, di samping meneruskan warisan nenek moyangnya. Namun, kemudiannya Daneng berubah fikiran dan bersedia untuk menurut Cikgu Jo balik semula ke sekolah. Selepas 25 tahun berlalu, kini Daneng sudah bergelar “Datuk” setelah berjaya menjadi orang yang berpengaruh. Tetapi, jasa gurunya tetap dikenang. Cikgu Jo amat bangga akan kejayaan Daneng dan Daneng pula berasa terhutang budi kepada gurunya itu.

Sinopsis Cerpen Kerana Manisnya Epal

Cerpen ini mengisahkan kegigihan dan kesabaran seorang pekebun epal bernama Buchanan, yang berjaya mendapatkan kebun epalnya semula yang mempunyai nilai sentimental baginya. Dia mengusahakan kebun epalnya dengan menanam hampir 200 jenis epal walaupun usianya sudah lanjut. Buchanan amat kecewa kerana pengorbanannya tidak dihargai oleh kelima-lima orang anaknya yang menyisihkannya. Dia dibantu oleh dua orang anak angkatnya, Mazlina dan Yvonne yang menuntut di Universiti Richmond. Mereka bekerjasama membantu Buchanan memetik buah epal dan menjaga pohon epal yang pelbagi jenis itu dengan baik. Tetapi, pada suatu hari Buchanan menerima sepucuk surat daripada pihak Gabenor yang menolak rayuannya untuk mengekalkan kebun epalnya itu. Dia keberatan melepaskan kebun tersebut kepada pihak pemerintah yang bercadang untuk membina lapangan terbang tentera. Dia menentang keras usaha untuk memusnahkan kebunnya dengan mengancam untuk menembak mereka demi mempertahankan haknya. Namun, pada akhirnya sebelum pihak Gabenor memulakan operasi membersihkan kebun epalnya, datang perkhabaran terkini yang membatalkan rancangan tersebut setelah Gabenor menikmati rasa manis dan lazat epal di kebunnya itu.

Sinopsis Cerpen Annyss Sophillea

Cerpen ini mengisahkan perbezaan kehidupan makhluk di planet bernama Alstonia dengan warga di Bumi. Makhluk di Alstonia yang dimaksudkan ialah Annyss Sophillea yang telah berkenalan dengan Akmal, seorang pemuda warga Bumi. Walaupun jarak masa persahabatan yang terjalin agak singkat namun kedua-duanya begitu intim sehingga akhirnya membawa kepada pengorbanan yang tidak terkira nilainya. Annyss sebenarnya sedang berusaha untuk mencari saudara kembarnya, Eyrique Etiqaz yang sepatutnya menaiki takhta di Alstonia menggantikan bapa saudaranya. Namun, pencarian Annyss hampir gagal. Tetapi dengan berbekalkan semangat gigih dan kental, Annyss berjaya menemui saudara kembarnya yang dikurung oleh Strenn. Eyrique sebenarnya diculik oleh Strenn dan konco-konconya kerana dia ingin menguasai Mahligai Alstonia sepenuhnya. Strenn juga mencuba untuk memikat Annyss supaya menjadi Permaisuri Alstonia. Satu pertarungan yang hebat telah berlaku antara Strenn dengan Eyrique sehingga Eyrique nyaris ditewaskan. Walau bagaimanapun, dia dibantu oleh Akmal dan berjaya menewaskan Strenn.

Sinopsis Cerpen Menatap Wajahnya

Cerpen ini mengisahkan seorang anak yatim piatu bernama Muliati yang tinggal bersama-sama dengan neneknya sejak peristiwa kemalangan yang meragut nyawa ahli keluarganya yang tersayang. Dia seorang gadis yang cacat akibat kecelakaan semasa menyertai ekspedisi anjuran Kelab Kembara sekolahnya. Sebelum itu Muliati berperwatakan lincah dan rajin membantu gurunya, di samping terkenal sebagai olahragawati sekolah. Tetapi, sejak kemalangan itu dia mula menyepi dan menyendiri. Namun, berkat usahanya yang gigih dan atas dorongan Cikgu Balkis, dia berjaya menjejakkan kakinya di menara gading. Semasa belajar di universiti, dia sangat merindui bekas gurunya, Cikgu Balkis yang banyak membantu dan menyara persekolahannya sejak terjalin hubungan yang rapat hampir tujuh tahun. Kini, mereka berpisah kerana gurunya berpindah ke daerah lain dan dia tidak dibenarkan menemui Cikgu Balkis atas sebab-sebab yang dia sendiri kurang pasti. Dia cuma diberitahu bahawa suami Cikgu Balkis mahu Cikgu Balkis memberi perhatian sepenuhnya kepada anaknya yang baru dilahirkan setelah lima tahun mendirikan rumah. Muliati yakin anugerah Ilahi yang diterima itu ialah berkat Cikgu Balkis mengasihi anak yatim piatu.

Meskipun sudah bertahun-tahun mereka berpisah, Muliati sentiasa berdoa semoga tercipta bibit pertemuan antara mereka kerana ingin berkongsi kejayaan yang diperolehnya. Hal ini amat dirasal oleh Muliati pada saat dia akan menerima ijazah kepujian pada majlis konvokesyen. Poskad yang diterimanya daripada Cikgu Balkis membuatkan Muliati berasa sayu apabila mendapat tahu Cikgu Balkis sedang menjalani pembedahan kerana menghidap sejenis penyakit ganjil sejak beberapa tahun yang lalu. Cikgu Balkis mengucapkan tahniah atas kejayaannya dan meminta supaya Muliati mendoakannya supaya selamat menjalani pembedahan tersebut.

Sinopsis Cerpen Pusaran

Cerpen ini mengisahkan hubungan rapat antara seorang budak lelaki bernama Junid dengan seekor anak lembu jantan bernama Pusaran. Junid sangat sayang akan Pusaran dan dijaganya sejak Junid berusia empat tahun. Junid dan Pusaran seolah-olah tidak dapat dipisahkan. Junid akan jatuh sakit kalau dipisahkan daripada Pusaran. Hal ini jelas terjadi semasa Junid dihantar ke rumah datuknya untuk bercuti. Semasa tempoh perpisahan itu, Junid dan Pusaran jatuh sakit. Walau bagaimanapun apabila tiba masanya Junid disekolahkan, ayahnya Mohsin dan ibunya Musalmah fikir sudah tiba masanya Junid dan Pusaran dipisahkan. Lagipun, sudah dewasa dalam perkiraan seekor anak lembu jantan dan telah memenuhi syarat untuk dikorbankan. Pada suatu hari, Junid amat gelisah apabila kembali dari sekolah, dia mendapati Pusaran tidak ada lagi di kandangnya. Junid pun mencari-carinya di merata-rata tempat. Akhirnya dia menemui Pusaran yang hampir menghadapi saat-saat untuk dikorbankan oleh Tuan Haji Subki. Penistiwa ini menyebabkan Junid mengalami tekanan perasaan. Apabila melihat keadaan ini, Tuan Haji Subki membatalkan hasrat untuk menyembelih Pusaran.

No comments:

Post a Comment