Photobucket

Sunday, November 14, 2010


CONTOH SOALAN BM KERTAS 2

SIJIL PELAJARAN MALAYSIA 2010


Soalan 1 : Rumusan

[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara menguruskan tekanan dan kepentingan pengurusan tekanan kepada individu. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Tekanan didefinisikan sebagai satu tindak balas mental dan fizikal terhadap pengalaman pahit atau sukar yang dialami oleh seseorang. Tekanan yang berterusan akan memberikan kesan buruk terhadap mental, emosi dan jasmani. Oleh itu, tekanan perlu diurus dengan baik supaya tindakan-tindakan yang terhasil merupakan tindakan yang mencerminkan kebijaksanaan dan bukan tingkah laku melulu yang memalukan. Ekoran itu, setiap individu perlu mengetahui cara-cara menguruskan tekanan dengan baik supaya tekanan tidak menguasai diri mereka.

Pepatah ada mengatakan bahawa mencegah lebih baik daripada mengubati. Kita perlu mengelakkan gejala ini sebelum terlambat dengan mengamalkan budaya hidup sihat, bukan sahaja dari segi pemakanan tetapi juga dari segi pergaulan. Beriadah merupakan salah satu amalan budaya hidup sihat. Aktiviti ini membolehkan seseorang itu mendapat tidur yang berkualiti dan menghindarkan kemurungan serta meningkatkan daya tahan. Kita juga perlu membuang segala perasaan buruk dan sentiasa berfikiran positif. Hal ini dapat dilakukan dengan memberikan kata-kata perangsang yang dapat meredakan perasaan negatif supaya kita berada dalam keadaan yang lebih terkawal dan seimbang. Walau bagaimanapun, jika kita gagal berbuat demikian, kita boleh memikirkan hikmah atau kebaikan di sebalik perkara-perkara buruk itu. Seseorang itu dapat menegaskan kepada dirinya bahawa seteruk mana sekalipun sesuatu perkara itu menyakitkan hatinya, bukan bererti dunia berakhir dalam hidupnya. Kita hendaklah memahami bahawa kitalah yang bertanggungjawab menentukan emosi kita. Oleh itu, kita hendaklah ingat bahawa perasaan marah tidak memberikan keuntungan, sebaliknya keadaan diri sendiri akan menjadi lebih buruk.

Tekanan juga boleh diatasi dengan cara memikirkan perkara-perkara yang menggembirakan kehidupan kita. Contohnya, seseorang itu boleh mengimbau kejayaan-kejayaan yang telah dicapai selama ini kerana dengan berbuat demikian, dia berasa lebih yakin dan mampu menghadapi cabaran. Penglibatan diri dalam kegiatan kemasyarakatan dapat menghindarkan tekanan dalam diri kita. Pergaulan dalam masyarakat membolehkan kita tidak keseorangan dalam menghadapi masalah hidup. Oleh itu, luahkan masalah tersebut kepada orang yang boleh dipercayai secara terus-terang dan tidak menyimpannya dalam hati kerana masalah yang dipendam akan menjadi racun yang membunuh secara senyap.

Berjenaka juga dapat mengurangkan kerunsingan kerana dengan ketawa seseorang dapat melupakan masalah yang dihadapinya. Di samping itu, kita perlu kembali kepada kepercayaan agama masing-masing supaya dapat menenangkan fikiran dan emosi. Kita perlu sedar bahawa masalah hati tidak dapat diatasi sekiranya kita lemah dalam penghayatan agama.

[Diubahsuaikan daripada Membina Motivasi Diri Tatkala Tertekan oleh Dr. HM Tuah Iskandar al Haj, Dewan Masyarakat, Mac 2002]

Soalan 2 : Pemahaman

Soalan 2(a) Petikan Umum.

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata bukan bererti dunia telah berakhir. [2 markah]

(ii) Apakah kesan daripada kegagalan menguruskan tekanan? [3 markah]

(iii) Huraikan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang dapat mengurangkan tekanan.

Berikan pendapat anda. [4 markah]


Soalan 2(b) Petikan Drama

Baca petikan drama di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Tun Pepatih Putih: Ampun Tuanku Puteri,patik membawa junjungan Duli Tuanku Sultan untuk menasihati Tuanku Puteri darihal adab menghadap ke balai penghadapan. Patik dititah Tuanku Sultan supaya mengajar Tuanku Puteri akan tatacara menghadap baginda untuk anugerah kehormat gelaran Hang kepada Tuanku Puteri. Setelah Tuanku Puteri dijelaskan segala atur cara kelak, nanti patih masih ada untuk mengiringi Tuanku Puteri bagi saat penghormatan diri Tuanku Puteri ke seluruh negara.

Puteri Hang Li Po: (Dengan sinis) Alangkah gembiranya beta dan ayahanda beta Raja China nanti.

Tun Pepatih PUTIH: Mohon ampun Tuanku Puteri, patik kurang arif akan maksud Tuanku Puteri itu.

PUTERI HANG LI PO: (Sambil memberi senyuman sinis) Ya, Orang Kaya, bukankah penghormatan itu diberi sempena keberangkatan Panglima Di Po kembali ke negara China? Dan beta dengar ia julung-julung kali diberikan pada seorang wanita. Apalah kepahlawanan yang ada pada beta?

TUN PEPATIH PUTIH: Percayalah Tuanku Puteri bahawa penganugerahan ini sungguh sesuai dengan Tuanku Puteri yang bakal menerimanya. Tuanku Sultan dan patik sekalian sangat mengagumi ketabahan Tuanku Puteri memulai hidup di sebuah negara yang sungguh asing dalam segala tindak-tanduknya. Tuanku Puteri bukan saja telah berjaya menyesuaikan diri malah telah dapat menguasai bahasa negeri ini tanpa banyak bicara.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada drama Puteri Li Po oleh Rahmah Bujang dalam antologi Kerusi, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Jelaskan tugas Tun Pepatih Putih. [3 markah]

(ii) Pada pendapat anda, apakah faedah yang boleh diperoleh jika anda mudah menyesuaikan diri dengan kehidupan di tempat yang serba asing? [3 markah]

(iii) Huraikan satu nilai murni yang dimiliki Puteri Hang Li Po dalam petikan di atas dan dua nilai murni Puteri Hang Li Po dalam drama tersebut. [3 markah]


Soalan 2(c ) Petikan Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Setelah berapa lamanya, maka isteri Sultan Mahmud, bonda Raja Ahmad itu pun mangkatlah. Maka Sultan Mahmud amat bercinta. Maka baginda memberi titah pada Bendahara dan segala orang besar-besar. “Apa bicara orang kaya sekalian kerana negeri Melaka sekarang tiada beraja perempuan?”

Maka sembah segala orang besar-besar, “Anak raja mana yang hendak tuanku pinang supaya patik sekalian kerjakan?”

Maka titah Sultan Mahmud, “Jikalau beristeri sama anak raja-raja ini, adalah raja-raja lain pun demikian juga; yang kita kehendaki, barang yang tiada pada raja yang lain, itulah hendak kita peristeri. Akan sekarang kita hendak meminang Puteri Gunung Ledang; Laksamana dan Sang Setia kita titahkan.”

Maka sembah Laksamana dan Sang Setia, “Baiklah, Tuanku.”

[Dipetik daripada Peminangan Puteri Gunung Ledang dalam antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka]

(i) Apakah maksud amat bercinta dalam petikan di atas? [2 markah]

(ii) Mengapakah Sultan Mahmud ingin meminang Puteri Gunung Ledang? [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, mengapakah Sultan Mahmud menitahkan Laksamana dan Sang

Setia pergi meminang Puteri Gunung Ledang? [3 markah]


Soalan 2(d) Petikan Sajak

Baca petikan sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri

MANUSIA DAN KESEJAHTERAAN

Kelelahan kita semakin parah tenatnya

beserta kekejaman mengatasi kedamaian

titik pertemuan menjadi tentangan

tak siapa mau beralah.

Saat ini siapa lagi yang sanggup bersemboyan

janjikan harapan semanis janji orang bercinta

setiap perbicaraan tanpa persatuan

kejujuran mati di hati.

Hari ini tak payah parau bertanya

ketuaan dunia akan tenggelam juga

dalam kebodohan manusia

yang kian bermuka dua.

Demi kelak dewasanya anakku

kau bikinlah perhitungan sendiri

untuk menjengah neraka kecintaan manusia

mencucuri bahan api neraka.

Tambah mengimbau sorotan kitab MUHAMMAD!

tambah mengimbau sorotan kita ESA !

hanya kesejahteraan membunga api.

Salmi Manja.

[Dipetik daripada antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka]

(i) Jelaskan gelagat manusia yang tidak disenangi oleh penyajak. [3markah]

(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah keamanan dapat diwujudkan di muka bumi ini?

[3 markah]

(iii) Nyatakan pengajaran yang terdapat dalam sajak ini. [3 markah]


Soalan 3:Pengetahuan dan KemahiranTatabahasa

[30 markah]

Jawab semua soalan.

(a) Tuliskan satu ayat daripada perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan anda faham akan maksudnya. Anda tidak boleh menambah imbuhan, menukar imbuhan, menggunakan perkataan sebagai peribahasa dan nama khas.

(i) Masyarakat majmuk

(ii) Kancah kehidupan

(iii) Rencam manusia

(iv) Liputan meluas

(v) secara langsung

(vi) merentas sempadan

[6 markah]

(b) Tentukan jenis-jenis ayat-ayat berikut sama ada ayat perintah, ayat tanya atau ayat seruan.

(i) Judul lagu yang dinyanyikan Mawi itu apa?

(ii) Oh, dialah pelajar Akademi Fantasia yang tersingkir itu!

(iii) Bagaimana anda boleh mengatasi masalah kenaikan harga barang?

(iv) Silalah bang Mamat berikan kritikan terhadap persembahan saya.

(v) Amboi, merdunya suara Yuna!

(vi) Jangan benarkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah masuk ke dalam dewan.

[6 markah]

(c ) Dalam ayat-ayat di bawah terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan imbuhan. Kenal pasti kesalahan-kesalahan tersebut dan betulkannya. Anda tidak perlu menyalin ayat-ayat itu semula.

(i) Emak memasak ayah sepinggan mee goreng.

(ii) Tomok berjaya didendangi lagu itu dengan penuh perasaan sehingga mendapat pujian daripada penal juri.

(iii) Di pusat beli-belah itu, terdapat banyak kedai yang jualan perabut kayu jati.

[6 markah]

(d) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya. Anda tidak perlu menyalin ayat-ayat itu semula.

(i) Dia berasa gelisah bila mendengar berita kematian ayah saudaranya.

(ii) Pemuda itu dibawa di mahkamah atas sebab pembunuhan yang dilakukan oleh mereka.

(iii) Badannya kelihatan ramping setelah mengikuti program penurunan berat badan pada dua bulan yang lalu.

[6markah]

(e) Lengkapkan tempat kosong dengan simpulan bahasa yang paling sesuai.

(i) Setiap kali Shahir pulang ke kampung dia akan membawa _________________untuk ahli keluarganya agar mereka berasa gembira.

(ii) Pada cuti persekolahan nanti Asma Idah dan ahli keluarganya akan ______________ke Pulau Perhentian, Terengganu.

(iii) Airell menerima keputusan penyingkirannya dengan _______________ kerana peluangnya dalam dunia hiburan masa ada.

[6 markah]

Soalan 4 : Novel

[15 markah]

Jawab kedua-dua soalan di bawah. Jawapan anda hendaklah berdasarkan satu daripada novel yang berikut:

(i) ‘Terminal Tiga’ karya Othman Puteh

(ii) ‘Seteguh Karang’ karya Tuan Faridah Syed Abdullah.

(a) Sesebuah cerita mempunyai unsur saspen untuk menarik minat pembaca.

Huraikan tiga unsur saspen dalam novel yang telah anda kaji. [7 markah]

(b) Berdasarkan dua buah novel yang telah anda kaji, nyatakan empat nilai murni yang dimiliki oleh watak utama dalam kedua-dua buah novel tersebut. [8 markah]

KERTAS SOALAN TAMAT


*************SELAMAT MENJAWAB SEMOGA BERJAYA ****************

No comments:

Post a Comment