Photobucket

Sunday, November 14, 2010

SOALAN RAMALAN 2 (D)

DI RUANG GEMANYA

Telah kurangkumkan rebah setiaku

Pada setiap pilu dan rindu

Melayang dan mengembang

Ke hayat gemilang. Sejak itu

Tidak ku kesal lagi

Goda dan duga

Di gerimis senja.

Telah kupahatkan lelah umurku

Pada setiap kerikil dan debu

Datang dan menghilang

Ke hujung kenang. Sesudah itu

Tidak kukenal lagi

Hampa dan derita

Di guruh pagi

Gerimis senja guruh pagi

Adalah titipan maya

Bakal kukongsikan hati

Mengukir tadbir di ruang gemanya.

Dharmawijaya

Gurindam alam, 1994.

MAKSUD

? Penyajak menumpahkan seluruh taat setianya tanpa berbelah bahagi terhadap negaranya dan senantiasa berharap agar negaranya akan mencapai kegemilangan.
? Penyajak telah berjuang semasa negara dalam keadaan kucar-kacir.Setelah melakukan pengorbanan ikhlas itu, dia sanggup menghadapi sebarang rintangan pada masa depan tanpa mengenal kecewa atau derita.
? Penyajak menganggap dugaan sebagai lumrah kehidupan dan dia sanggup berkongsi pengalamannya dengan orang lain untuk menghadapi pelbagai bentuk cabaran hidup.
? Penyajak berikrar untuk sama-sama berusaha menangani pelbagai cabaran yang melanda negara agar kegemilangan negara sentiasa terserlah.

TEMA

Semangat patriotik yang menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada tanah air .

PERSOALAN

1. Kesanggupan seseorang dalam perjuangan ke arah kegemilangan tanah air yang tercinta.
2. Kesukaran atau dugaan adalah lumrah kehidupan dan semua orang mesti menghadapinya dengan berani dan cekal.
3. Kesediaan memberikan sumbangan tenaga dan idea untuk menjamin tanah air sentiasa gemilang dalam pelbagai bidang.


BENTUK

1. Terdiri daripada 3 rangkap.
2. 4 hingga 17
3. 3 hingga 5patah kata sebaris
4. 5 hingga 11 suku kata sebaris

GAYA BAHASA DAN KEINDAHAN BUNYI

1. Asonansi.
Contohnya; hampa dan derita (pengulangan vokal ?a?)
2. Aliterasi.
Contohnya ; bakal kukongsikan hati (pengulangan konsonan ?k? )
3. Pengulangan kata.
Contohnya; telah kurangkumkan rebah setiaku telah kupahatkan lelah umurku.
4. Sinkof.
Contohnya; telah kurangkumkan rebah setiaku.
5. Simbol.
Contohnya ; kerikil dan debu bermaksud cabaran, dugaan atau malapetaka

NILAI

1. Keberanian.
Contohnya, berani berjuang dan berusaha untuk memajukan negara
2. Kejujuran / Keikhlasan.
Contohnya, jujur berjuang tanpa mengharapkan ganjaran
3. Cinta akan tanah air / semangat patriotik.
Contohnya , penyajak menumpahkan seluruh rasa setianya kepada tanah air.

PENGAJARAN

1. Kita hendaklah bersedia melakukan pengorbanan demi kemakmuran negara.
2. Kita hendaklah jujur dan ikhlas dalam usaha memajukan negara.
3. Kita mestilah mencintai negara kerana di situlah tempat kita dilahirkan, dibesarkan dan mengecapi kejayaan dalam hidup.
4. Kita hendaklah berani dan cekal menghadapi pelbagai rintangan hidup. 5. Kita mestilah sentiasa bersatu padu dan bekerjasama.

No comments:

Post a Comment